>Malaysia ‘mangsa’ gempa jiran

>
Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my
31.3.2011

PETA menunjukkan kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik menyebabkan ada kemungkinan turut menerima kesan jika berlaku gempa bumi kuat di negara-negara jiran.

KUALA LUMPUR – Kajian mendapati Malaysia akan turut berisiko menerima tempias gegaran dari semasa ke semasa sekiranya bencana alam yang teruk berlaku di Sumatera, Pulau Jawa dan Filipina.

Walaupun negara ini tidak termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik namun fenomena itu diakui oleh Jabatan Mineral dan Geosains sendiri melalui kajian yang dilakukan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, jika gempa bumi melanda Sumatera, sebahagian kawasan di Semenanjung Malaysia akan terasa gegaran manakala Sabah dan Sarawak pula menerima kesan sama jika bencana itu berlaku di Filipina.

“Kepingan tektonik bumi dan titik gempa di negara ini dalam keadaan solid (kukuh) berbanding negara lain yang sentiasa aktif.

“Namun negara ini tidak akan terlepas merasai gegaran sama ada kuat atau sedikit akibat tempias daripada kedua-kedua negara itu dan ia bergantung kepada skala di mana titik gempa di dua negara itu sama ada cetek atau dalam,” ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

KOMEN : SEMUGA ALLAH SWT MEMBERIKAN PERLINDUNGAN KEPADA NEGARA DAN RAKYAT MALAYSIA…AMIN.

>DAP MAHU TAWAN NEGERI SEMBILAN

>
DARI UTUSAN MALAYSIA
31.3.2001

Penulis Koh See Kien pula menulis dalam akhbar Nanyang Siang Pau mengenai hasrat DAP untuk menawan Negeri Sembilan.

Artikel bertajuk “DAP merisik pemerintahan di Seremban” disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun pada halaman A14, 28 Mac 2011.

Pada 18 Mac lalu, DAP meraikan ulang tahun penubuhannya kali ke-45 di Seremban, Negeri Sembilan. Mereka mengadakan majlis makan malam secara besar-besaran yang amat luar biasa. Ia juga bertujuan memberitahu ahli-ahli bahawa Seremban adalah kubu kuat parti itu.

Tarikh itu dipilih kerana pendaftaran DAP diluluskan pada 18 Mac 1966 di Seremban. Langkah itu dibuat setelah parti asal iaitu PAP dianggap tidak sah untuk menjalankan sebarang kegiatan politik di negara ini setelah Singapura keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Setelah DAP diluluskan dengan bunga sakura sebagai lambang parti, ia mempunyai satu kerusi Parlimen di Bangsar (yang ditandingi Devan Nair atas tiket PAP pada Pilihan Raya Umum 1964) dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan (yang ditandingi calon Bebas, Chen Min Sin pada pilihan raya kecil 1965).

Selepas pendaftaran DAP, Min Sin menjadi Pengerusi parti itu tanpa bertanding dan Devan Nair sebagai Setiausaha.

Saya ingat kembali kisah silam ini, kerana di Seremban bukan sahaja menjadi tanah suci kepada DAP, malah di situ juga bermulanya Parti Demokratik Bersatu (UDP) pimpinan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr. Lim Chong Eu.

Apabila Chong Eu secara rasmi keluar dari MCA pada 1961, rakan-rakan beliau mengajaknya ke Negeri Sembilan. Beliau yang menerima ajakan itu telah berpindah ke Seremban dan menubuhkan rangkaian UDP di negeri itu.

Malangnya selepas dua tahun UDP berkembang di Negeri Sembilan, Chong Eu berbalah dengan rakan-rakannya dan beliau bertindak memindahkan operasi parti itu ke Pulau Pinang. Pada 1969, Chong Eu telah menyingkirkan pemerintahan kerajaan Perikatan di Pulau Pinang dan bermulanya era baru dalam politik beliau.

Pada masa sama, DAP yang sudah bertapak di Negeri Sembilan telah bertindak memperluaskan pengaruh mereka ke Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Malangnya, pada pilihan raya umum 1982, Min Sin yang bertanding kerusi Parlimen di Negeri Sembilan telah kalah dan menyebabkan negeri itu bukan lagi kubu kuat DAP. Keadaan semakin parah apabila ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di negeri itu yang bertindak keluar parti seorang demi seorang.

Bagi mengelak perlakuan keluar parti berterusan, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng telah meletakkan syarat calon DAP yang bertanding pada pilihan raya umum 2004 perlu menandatangani surat perjanjian untuk tidak keluar parti jika menang bertanding.

Dalam pada itu, tanda-tanda bahawa pengaruh DAP kembali semula di Negeri Sembilan bermula pada Pilihan Raya Umum 2008 apabila mereka memenangi 10 kerusi DUN. Jika dicampur empat ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang Pas, pihak pembangkang mempunyai 15 ADUN berbanding 21 ADUN BN.

Berdasarkan perkembangan ini, nampaknya Negeri Sembilan menjadi destinasi baru yang ingin ditawan DAP. Sama ada mereka akan berjaya berbuat demikian adalah bergantung kepada sokongan daripada PKR dan Pas.

Ia juga bergantung kepada kemampuan mereka untuk menggoyang kedudukan UMNO yang merupakan menyumbang kerusi terbanyak kepada BN di negeri itu. Jika gagal, mereka tidak akan dapat membuat perubahan di situ dengan mudah.


KOMEN : DAP BERCITA-CITA NAK MENAWAN NEGERI SEMBILAN PADA PRU 13. TAKAN BN NAK SERAHKAN SEBUAH LAGI NEGERI PADA PUAK PEMBANGKANG….

>GTP – JANGAN PERCAYA

> Pedulikan kritikan, pastikan momentum GTP diteruskan
DARI UTUSAN MALAYSIA
31.3.2011

PROGRAM Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun pertama pelaksanaannya telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

Kita sedar kebanyakan sasaran ditetapkan di bawah GTP adalah berskala besar dan ia dibentuk melalui proses usaha sama antara kumpulan cerdik pandai terbaik dalam sektor awam dan juga swasta.

Memang sedikit sebanyak kesan transformasi yang dilakukan oleh kerajaan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

GTP yang diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri itu memberi banyak hasil yang positif.

Tetapi usah kejayaan tahun pertama ini melalaikan kita semua. Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, semua pihak tidak harus leka dengan kejayaan dalam tempoh singkat ini kerana masih banyak perlu dilakukan untuk menjayakan program GTP.

Bagaimanapun untuk meneruskan kejayaan ini, negara memerlukan komitmen dan sokongan semua pihak, bukan saja penjawat awam sahaja.

Ini kerana GTP ini mempunyai tiga fasa – fasa pertama 2010-2012, fasa kedua 2013-2015 dan fasa terakhir 2015-2020.

Jadi, untuk memastikan momentum kejayaan program transformasi itu berterusan, semua pihak perlu berusaha gigih dan bekerja sebagai satu pasukan untuk kepentingan rakyat dan negara.

Momentum pencapaian GTP ini memang patut diteruskan dalam merealisasikan sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan laporan tahun pertama GTP pada Ahad lalu, memberi harapan bahawa rakyat sebagai pemegang saham terpenting GTP akan terus mendapat manfaat hasil pencapaian memberangsangkan tahun pertama pelaksanaan enam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Oleh itu sebarang kelemahan yang dapat dikesan perlu diperbaiki bagi memastikan matlamat GTP tercapai.

Laporan prestasi keseluruhan GTP yang disiarkan untuk tatapan umum nampaknya dicemburui oleh pihak pembangkang. Sebab itu sudah ada suara sumbang cuba merendah-rendahkan hasil pencapaian GTP.

Sedangkan laporan pencapaian GTP sudah dibuat penelitian dan maklum balas oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Antarabangsa yang membuktikan pencapaian enam NKRA adalah fakta benar dan bukan direka-reka.

Rakyat sendiri boleh membandingkan langkah-langkah yang diambil kerajaan melalui GTP dengan Buku Jingga yang memaparkan janji-janji pembangkang dalam tempoh 100 hari jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Namanya ‘pembangkang’ jadi itulah kerja parti pembangkang. Pedulikan apa pembangkang hendak kata. Sebenarnya bukan suatu yang pelik apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa laporan kejayaan GTP adalah tidak tepat dan tidak boleh dipercayai.

Untuk menjawab segala kesangsian dan kritikan segelintir pihak tertentu itu, biarlah rakyat sendiri yang menilainya.

Apa yang penting, momentum program untuk mentransformasikan secara radikal cara bekerja pihak kerajaan dan menyelesaikan isu-isu rakyat dapat diteruskan dan dirasai oleh penduduk negara ini.

KOMEN : YANG BERKATA JANGAN PERCAYA TU ADALAH PUAK PEMBANGKANG. TAK ABIS-ABIS MENIDAKAN APA YANG BAIK UNTUK RAKYAT. PANDAI KOMEN PENYELESAIAN TAK NAK DIBERI. MASIH LAGI MEREKA NAK PERTAHANKAN BUKU JINGGA MEREKA…

>Undian kali ini memihak Malaysia

>
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Shin Man Gil mencabut undian tertera nama Malaysia pada majlis cabutan undian Kelayakan Piala Dunia 2014 di Rumah AFC, Bukit Jalil, semalam. Malaysia akan menentang Taiwan pada pusingan pertama. – UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed

KUALA LUMPUR – Tuah ternyata memihak Malaysia dalam undian Kelayakan Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2012 apabila mendapat laluan agak mudah selepas undian yang dibuat di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Nama Malaysia yang dicabut sebagai pasukan pertama pada sesi undian Kelayakan Piala Dunia 2014 oleh Shin Man Gil selaku Pengarah Pertandingan Pasukan Kebangsaan AFC memperlihatkan Harimau Malaya bakal berdepan dengan lawan yang berada di ranking ke-40 Asia, Taiwan pada pusingan pertama.

Selesai sahaja sesi undian pusingan pertama, suasana bilik undian sedikit gamat di kalangan media Malaysia apabila pasukan jiran, Singapura bakal menjadi lawan Harimau Malaya jika anak-anak buah K. Rajagobal di pusingan kedua jika dapat melepasi cabaran Taiwan.

Keputusan undian itu ternyata melegakan buat kem negara kerana dapat mengelak lawan-lawan yang lebih handal di pusingan kedua seperti Iran, Arab Saudi, Qatar, Jordan, Uzbekistan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau China.

Seandainya pertemuan dengan Singapura dapat direalisasikan, ia sudah pastinya memberikan peluang terbaik buat Malaysia melangkah lebih jauh iaitu sekurang-kurangnya di pusingan ketiga iaitu perlawanan di peringkat kumpulan yang akan menghimpunkan 20 pasukan terbaik.

Perlawanan pertama pada 29 Jun ini akan dilangsungkan di sini sebelum Harimau Malaya berlepas ke Taipei bagi mengharungi perlawanan timbal balik kedua pada 3 Julai ini.

Jepun, Korea Selatan, Australia, Korea Utara dan Bahrain yang merupakan lima pasukan di ranking teratas mendapat bye sehingga ke pusingan ketiga.

Pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010, langkahan Malaysia tersekat di pusingan pertama lagi apabila tunduk kepada Bahrain 1-4 menerusi kiraan agregat.

Skuad kebangsaan Indonesia diundi sekali lagi berdepan Turkmenistan pada pusingan kedua selepas pasukan Olimpik mereka disingkirkan negara yang sama pada pusingan pertama kelayakan Olimpik manakala Thailand pula akan bertemu pemenang antara Afghanistan dan Palestin.

Sementara itu, pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee boleh menarik sedikit nafas lega apabila kertas undian Malaysia yang dicabut sebagai pasukan terakhir dari 24 negara akan berdepan pilihan ke-11, Lebanon.

Tidak berdepan dengan salah satu pasukan gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Australia atau Bahrain pasti memberikan sedikit sinar harapan buat Kim Swee mencari kemenangan pada pusingan kedua agar dapat meneruskan api perjuangan sehingga ke pusingan akhir kelayakan iaitu di kalangan 12 pasukan terakhir.

Nasib yang dimiliki Malaysia bagi undian kelayakan Olimpik mungkin dicemburui beberapa negara jiran lain seperti Thailand yang terpaksa mengharungi laluan sukar apabila Bahrain menjadi lawan mereka sementara Vietnam diundi menentang Arab Saudi.

Skuad Olimpik negara bakal bertandang ke Beirut terlebih dahulu pada 19 Jun ini sebelum bermain di tempat sendiri pada 23 Jun.

KOMEN : JANGAN DIPANDANG RENDAH PADA PIHAK. BOLA ITU BULAT. BERJUANGLAH HINGGA MENCAPAI KEJAYAAN…

>SELAMATKAH BANGUNAN INI

>
Hotel tertinggi di dunia dibuka
DARI UTUSAN MALAYSIA
31.3.2011

BANGUNAN Hotel Ritz-Carlton setinggi 118 tingkat terletak di hadapan Pelabuhan Victoria, Hong Kong. – AGENSI

HONG KONG 30 Mac – Hotel tertinggi di dunia di Hong Kong mula beroperasi hari ini dan bangunan setinggi 118 tingkat atau hampir setengah kilometer itu menyajikan panorama ikonik bandar Pelabuhan Victoria.

Tingkat 102 sehingga 118 Hotel Ritz-Carlton itu menjadi Pusat Perdagangan Antarabangsa Hong Kong dan ia telah dibuka secara rasmi semalam dan akan mula mengambil tempahan Jumaat ini.

Presiden dan Ketua Operasi Hotel Ritz-Carlton, Herve Humler memberitahu pemberita, mereka telah membuka sebuah hotel yang telah mengambil masa selama 10 tahun untuk dibina.

“Walaupun semakin banyak bangunan tertinggi di dunia sedang dibina, kami tidak berasa tergugat, malah kami akan sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan,” kata Humler.

Jelas Humler, pelanggan dari tanah besar China menjadi penyumbang terbesar bagi pasaran hotel tersebut meningkat kepada empat peratus berbanding tiga peratus sejak 14 tahun lalu.

“Angka ini dijangka terus meningkat.

“Di China, semua yang direka pelu mempunyai faktor extravaganza untuk menarik minat pelanggan berikutan mereka mementingkan kualiti perkhidmatan,” ujar Humler.

Hotel tersebut mempunyai 312 buah bilik, sebuah bar dan restoran yang digelar Ozone di tingkat 118 dengan ketinggian 490 meter dari permukaan tanah serta sebuah dewan tari-menari yang terbesar di Hong Kong.

Hotel Ritz-Carlton menjadi satu daripada tempat yang paling mahal untuk didiami dengan kadar sewa bagi sebuah bilik ‘standard’ berharga AS$575 (RM1783) untuk satu malam. – AFP/dpa

>KANAK-KANAK SIHAT

>
Kanak-kanak tiga tahun seberat 62kg

Lu Hao yang baru berusia 3 tahun bermain bola di kawasan rumahnya di Foshan, Guangdong di China. – REUTERS

BEIJING 30 Mac – Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di China menggemparkan laman Internet minggu lalu apabila mempunyai berat 62 kilogram.

Lu Hao dikatakan boleh memakan tiga mangkuk besar nasi sekali hidangan dan akan mengamuk selagi tidak kenyang.

The Sun melaporkan, ibu bapa kepada kanak-kanak itu, Lu Yuncheng dan Chen Huan bimbang dengan pembesaran melampau anak mereka itu dan cuba mengurangkan makanannya, tetapi tidak berjaya kerana Lu Hao akan menangis tanpa henti.

Mereka juga telah cuba menggalakkannya berdiet tetapi turut gagal.

Lu Hao dilaporkan mengalami peningkatan lebih 9 kilogram tahun lalu.

Menurut Lu Yuncheng, anaknya itu hanya seberat 2.5 kilogram ketika dilahirkan, tetapi kini berat badannya lima kali lebih berat dari kanak-kanak seusianya. – AGENSI

KOMEN : SIHAT KE KANAK-KANAK INI. KANAK-KANAK INI DIKATEGORIKAN SEBAGAI KANAK-KANAK OBESE. SINDROM KEGEMUKAN INI JUGA SEBENARNYA TELAH MELANDA KANAK-KANAK DI MALAYSIA. AHLI SUMO DARI NEGARA CHINA SEDANG DIBESARKAN…

>Lidah tentukan langkah manusia ke syurga atau neraka

>
Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir
DARI BERITA HARIAN ONLINE
2011/03/29

KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.

Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumus kan manusia.”

Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka. Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.

Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.

Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatang kan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.

Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.

Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.

Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.

Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”

KOMEN : UNTUK DIJADIKAN PANDUAN KITA DALAM MELAYARI KEHIDUPAN SEHARIAN SEBAGAI UMAT ISLAM….AMIN

>OIC terus membisu isu Libya

>
Oleh Mustafa Kamal Basri
DARI UTUSAN MALAYSIA
29.3.2011

HARI ini masuk hari ke-11, tentera bersekutu melancarkan serangan ke atas Libya sejak 19 Mac lalu, bagi menguatkuasakan zon larangan terbang dan melindungi penduduk awam di negara itu daripada serangan tentera Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi.

Dua hari lalu pula, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mula mengambil alih sepenuhnya operasi ketenteraan di Libya daripada tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat (AS), setelah beberapa siri rundingan yang sukar, kerana mendapat bantahan keras daripada Turki, satu-satunya negara Islam yang menganggotai pakatan itu.

Agak aneh, NATO dilihat begitu beriya-iya mahu mengepalai operasi ketenteraan di Libya, walaupun krisis di Libya berada di luar operasi ketenteraan NATO iaitu di luar benua Eropah.

Serangan udara besar-besaran tentera bersekutu ke atas Libya dikecam Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin yang memberi amaran tindakan tentera bersekutu itu mengundang perang ‘salib’.

China turut mengecam keputusan Majlis Keselamatan itu pada 17 Mac lalu dengan menyifatkan ia satu tindakan yang mencabul kedaulatan sesebuah negara yang mempunyai kerajaan yang sah.

Begitu juga Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa turut mengecam serangan besar-besaran itu, walaupun Liga Arab menyokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan zon larangan terbang di Libya.

Namun, AS dan sekutunya tidak mengendahkan semua kecaman itu. Dengan bantuan serangan tentera bersekutu di Libya, pemberontak di Libya berjaya menawan kembali empat bandar yang jatuh ke tangan tentera kerajaan Libya.

Gaddafi kini kelihatan tertekan setelah tentera bersekutu melancarkan lebih 160 serangan setiap hari dan terdesak mahu gencatan senjata diadakan antara kedua-dua pihak.

Apakah serangan tentera bersekutu ke atas Libya benar-benar bertujuan melindungi penduduk awam atau Barat sebenarnya mahu membantu pemberontak menggulingkan Gaddafi.

Barat, terutama Britain masih tidak puas hati dengan Gaddafi berhubung tragedi letupan jet penumpang Pan Am di Lockerbie, England pada 1988 yang mengorbankan 258 orang dan AS pula masih belum dapat melupakan sikap permusuhan Gaddafi terhadap AS suatu ketika dahulu. Mereka juga dilihat mempunyai kepentingan lain di Libya kerana mahu merebut keuntungan daripada sumber minyak di negara di utara Afrika itu.

Tindakan Barat begitu cepat bertindak ke atas Libya tidak disenangi oleh dunia Islam yang melihat Barat mengamalkan pendekatan double standard dalam isu-isu membabitkan negara-negara Islam.

Dunia Islam masih belum dapat melupakan taktik ‘melambat-lambat’ yang diambil oleh AS dan NATO dalam isu Bosnia, semasa perang Bosnia dari April 1992 hingga Disember 1995, sehingga menyebabkan beratus ribu penduduk Islam Bosnia menjadi korban keganasan tentera Serb.

Namun, apa yang lebih mengecewakan, seperti isu-isu lain yang melibatkan negara-negara Islam, sekali lagi dalam krisis Libya, OIC terus berpeluk tubuh tidak berbuat apa-apa.

KOMEN : BILA OIC LEBIH SELESA DENGAN SLOGAN ‘OH I SEE’ BANGSA ARAB AKAN TERUS BERSENGKETA SESAMA SENDIRI DAN ISRAEL SERTA SEKUTUNYA AKAN TERUS MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MENGHANCURKAN PERPADUAN UMAT ISLAM DIDUNIA.

>Jangan heret rakyat dengan skandal pemimpin

>
DARI UTUSAN MALAYSIA
29.3.2011

MENGENALI taktik Anwar Ibrahim sejak dahulu, sangat tidak menghairankan apabila Ketua Pembangkang itu sering kali mengheret rakyat dalam masalah atau isu moral dan peribadinya.

Bukan sekali dua beliau melibatkan rakyat dalam kes-kes membabitkannya. Ini termasuklah dalam kes liwat pertama dan juga yang kedua.

Tidak cukup dengan ceramah jelajah seluruh negara, Anwar juga memprovokasi rakyat untuk mengadakan perhimpunan haram semata-mata untuk menunjukkan kepada umum bahawa beliau ada sokongan.

Tentu ramai yang masih ingat sebelum ini beliau bersembunyi atau mendapatkan perlindungan di dalam Kedutaan Turki di ibu negara apabila Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis berhubung dakwaan liwat terhadapnya.

Ketika itu, Anwar mendakwa bimbang tentang keselamatan dirinya, lantas sebab itulah beliau berlindung di kedutaan tersebut.

Hakikatnya, apabila beliau menjelajah seluruh negara dan berceramah di banyak tempat, dirinya sentiasa selamat bergerak ke mana-mana tanpa sebarang ancaman.

Yang terbaru, dalam kes video seks yang dikaitkan dengannya, seperti dijangka, beliau sekali lagi menjadikan rakyat sebagai ‘benteng’ untuk melindungi dirinya daripada tuduhan yang dilemparkan.

Sememangnya Anwar mempunyai hak membuat penafian dan mempertahankan dirinya daripada tuduhan kononnya beliau adalah lelaki dalam video seks melibatkan pelacur dari China itu. Itu tidak dipersoalkan.

Tetapi, tindakannya mengulangi taktik sama iaitu mengapi-apikan emosi rakyat kononnya beliau teraniaya dan menjadi mangsa sehingga membawa kepada rancangan penganjuran perhimpunan-perhimpunan jalanan, itu sangatlah dikesali.

Sama ada beliau sendiri atau parti-parti pembangkang, kini masjid dan surau digunakan untuk berceramah bagi menepis tuduhan demi tuduhan serta skandal melibatkan Anwar termasuk kes video seks tersebut.

Di sinilah ketidakadilan berlaku kerana rakyat terutama umat Islam tertipu setiap kali mahu mendengar ceramah di masjid. Apa tidaknya, mereka ingin mendengar kuliah agama tetapi diperdengarkan dengan ceramah berkaitan isu dan kes melibatkan Anwar.

Persoalannya, mengapakah sejak dulu Anwar tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri apabila sesuatu tuduhan berkaitan skandal atau masalah moral dilemparkan kepada dirinya.

Mengapa setiap kali ada dakwaan skandal membabitkannya didedahkan kepada umum, rakyat mesti dilibat sama?

Mengapa mesti mengerahkan rakyat untuk membela dirinya sedangkan ini kes atau skandal peribadi?

Selepas berlalunya beberapa kes melibatkan Anwar bermula sejak pemecatannya daripada jawatan kerajaan pada 1998 sehingga kini, rakyat sudah pasti boleh ‘membaca’ dan menyimpulkan motif di sebalik taktik beliau mengheret rakyat.

Dalam hal ini juga, rakyat juga tidak seharusnya mudah terlibat atau terperangkap dalam sebarang taktik atau agenda Anwar dalam usahanya untuk membela diri di ‘mahkamah terbuka’ dalam apa sahaja kes melibatkan dirinya.

KOMEN : ANWAR DAN PAKATAN PEMBANGKANG MEMANG SUDAH SINONIM DENGAN PROVOKASI DAN MENGAPI-APIKAN EMOSI RAKYAT UNTUK MENGADAKAN PERHIMPUNAN HARAM DISAMPING MERUSUH. MENGGUNAKAN MASJID DAN SURAU UNTUK MENABURKAN FITNAH JAHAT DEMI KESINAMBUNGAN POLITIK SEMPIT MEREKA.

>Rali Proton mahu tawan APRC

>
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Syed Zainal Abidin (kanan) memberi penerangan mengenai jentera Pasukan Rali Proton Motorsports kepada Dr. James Dawos pada pelancaran penyertaan pasukan tersebut dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik Musim 2011 di Bandar Sunway semalam.

PETALING JAYA – Tidak mahu menoleh ke belakang dan ingin melupakan episod malang pada Kejohanan Rali Monte Carlo 2011 bulan lalu.

Itu hajat pasukan Rali Proton Motorsport menjelang perlumbaan pertama Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) di Johor, Jumaat ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, mereka mensasarkan untuk memulakan perlumbaan APRC 2011 dengan lebih cemerlang.

“Bagi keseluruhan perlumbaan pula kami mensasarkan untuk mencatat kejayaan yang lebih baik berbanding tahun lepas apabila muncul juara di New Zealand dan meraih kedudukan 1-2 di China,” katanya pad sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di sini, semalam.

Jelasnya, kehadiran pelumba berpengalaman, Alister McRae dan Chris Atkinson mampu untuk mengendali jentera Satria Neo Super 2000 seterusnya mengulangi pencapaian menduduki tempat kedua keseluruhan kategori pengeluar.

“Kita juga bukan hanya mahu memperkenalkan produk dari Malaysia (Proton), tetapi terus memperkenalkan negara ini sepanjang perlumbaan sebagai sebuah negara yang terkenal dengan tempat-tempat menarik termasuk pada pusingan pertama APRC di Johor.

“Kami juga ingin merupakan episod duka di Monte Carlo dan menjanjikan saingan yang hebat walaupun perlumbaan APRC memang dijangka kompetitif dengan kehadiran beberapa pasukan hebat,” katanya.

Simbolik penyerahan Jalur Gemilang dilakukan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk James Dawos Mamit.

Selepas pusingan pertama di Johor, perlumbaan akan bersambung di Australia dari 13 hingga 15 Mei, sebelum memasuki pusingan ketiga di New Caledonia (17-19 Jun), manakala New Zealand akan menjadi lokasi pusingan keempat (15-17 Julai).

Perlumbaan pusingan kelima berlangsung di Jepun dari 30 September hingga 2 Oktober dan pusingan terakhir akan diadakan di China dari 4 hingga 6 November depan.

KOMEN : SEMOGA PROTON TERUS BERJAYA MENGHASILKAN KERETA YANG BERMUTU DAN BERPRESTASI TINGGI.