Puting beliung landa selatan AS

SEJUMLAH rumah semalam musnah akibat puting beliung di bandar Pratt, pinggir Birmingham kelmarin.

BIRMINGHAM, Amerika Syarikat (AS) – Sebanyak 161 angin puting beliung melanda selatan AS kelmarin dalam kejadian ribut paling buruk sejak 40 tahun lalu.

Cuaca buruk itu menyebabkan lebih 220 orang terbunuh setakat ini dengan 131 sahaja berlaku di negeri Alabama kelmarin.

Perintah darurat diisytiharkan di Alabama, Arkansas, Georgia, Kentucky, Mississippi, Missouri, Tennessee dan Oklahoma ekoran cuaca buruk itu.

Presiden AS, Barack Obama menyatakan bantuan akan dihantar ke negeri-negeri yang terjejas teruk akibat ribut tersebut.

Para penduduk terkejut apabila melihat kerosakan tersebut semalam di sini manakala sebahagian lagi menangis ekoran kehilangan orang tersayang dan rumah.

Sejumlah serpihan bangunan yang diranapkan oleh angin puting beliung ditemui sejauh 80 kilometer dari tempat asal.

Angin puting beliung dan ribut yang berlaku kelmarin dianggap melibatkan kematian paling ramai sejak ribut taufan Katrina pada 2005.

Menurut laman Accuweather.com, angin puting beliung itu merupakan yang terburuk pernah berlaku sejak 310 orang terbunuh pada 3 April 1974. – Agensi

p/s  Sejak kebelakangan ini  berlaku banyak bencana alam yang merosakan hartabenda dan kehilangan nyawa manusia dimerata dunia. ALLAH swt Maha Agong dan Maha Mengetahuai segala sesuatu yang berlaku. Bila manusia mula melupakan ALLAH swt. ALLAH swt akan mengingatkan manusia yang lalai akan kebesaran dan kekuasaannya diatas muka bumi ini. Sesungguhnya manusia dijadikan atas kebesaran ALLAH swt dan akan kembali kepadanya jua. Amin.

Advertisements

>Video seks, pakatan dan pemilihan Pas

>
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my

HAMPIR sebahagian besar dunia blog minggu ini sesak dengan kisah rakaman video seks siri kedua yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang yang dimuat naik ke dalam YouTube kelmarin, yang kemudiannya disiarkan oleh blog-blog terbabit.

Lucunya, walaupun sebahagian besar blog mesra pembangkang bermati-matian cuba menafikan penglibatan pemimpin terbabit dengan rakaman video seks tersebut tetapi pada masa sama mereka tetap menyiarkan rakaman tersebut dalam bentuk imej.

Blog Duke of UMNO (dukeofumno.blogspot.com) yakin rakaman video itu telah ditonton oleh ramai rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada mereka penyokong kerajaan mahupun pembangkang semata-mata mahu melihat sendiri apakah benar pelaku di dalam rakaman tersebut adalah pemimpin yang disebut-sebut itu.

Katanya, benar atau tidak lelaki dalam rakaman tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa yang jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah dilihat sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang baik di kalangan pemimpin Pas dan DAP mahupun di peringkat akar umbi.

“Majoriti mereka menyesal dengan idea Pas dan DAP bergabung dengan PKR. PKR memang “busuk”, kata mereka. Sudah lama mereka mahu parti mereka keluar dari pakatan dan bergerak secara solo sebagaimana dahulu.

“Sekiranya Anwar ada rasa tanggungjawab, malu dan sedar diri, dia sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan berikan kepada DAP. Kemudian, dia seharusnya melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Umum (PKR) yang tidak pernah dipertandingkan itu,” katanya.

Blog Gelombang Rakyat (gelombang-rakyat.blogspot.com) pula mendakwa beberapa pemimpin Pas peringkat negeri mula mendesak agar Anwar melepaskan kesemua jawatan politik bagi memberi fokus terhadap tuduhan-tuduhan yang sedang dihadapinya.

“Walaupun pada asasnya mereka menganggap penyebaran video seks itu sebagai satu serangan politik, namun Anwar juga mesti membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau bukan individu di dalam video itu. Mereka juga turut senada dengan keputusan Setiausaha Agung Pas, (Datuk) Mustafa Ali bahawa keputusan hasil kajian pihak polis sebagai penentu masa depan pembangkang,” kata penulis blog ini.

Bagi blog Pelantaq Hujah (pelantaqhujah.blogspot.com) pula melihat percanggahan pandangan antara Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tentang hala tuju Pas selepas tersebarnya rakaman video seks adalah detik-detik keretakan kedua-dua parti pembangkang itu.

Ini ditambah pula rasa berang Timbalan Murysidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din kepada lidah rasmi PKR, Suara Keadilan yang menyiarkan laporan yang bercanggah dengan kenyataan sebenar beliau berhubung akhbar Utusan Malaysia.

“Adakah ini tanda-tanda bahawa PKR dan Pas sudah semakin retak? Retaknya bukan lagi menunggu belah, tetapi retaknya menjadi ribuan retak. Setiap hari kita dapat melihat masing-masing mengeluarkan kenyataan yang saling bertentangan,” katanya.

Mengulas mengenai laporan tidak benar Suara Keadilan berhubung kenyataan Haron, blog Taiping Mali (taipingmali.blogspot.com) berkata, jelas sekali Haron yang diketahui tetap berpegang kepada kebenaran kini terhimpit dengan politik kepartian yang disertainya.

Kata blog ini, apabila Haron berkata “jangan baca akhbar yang membawa berita fitnah sebab hukumnya haram”, beliau tidak langsung berfikir untuk menyatakan perkara yang tidak benar, sebaliknya ia berlandaskan al-Quran dan ijmak.

“Tetapi malangnya Ustaz Haron tersilap kerana menyertai parti gerombolan pakatan pembangkang. Akibatnya kata-kata beliau diubah dan dijadikan “tidak benar” dan terpaksalah dinafikan sekeras-kerasnya. Inilah antara risiko dan cabaran yang perlu dihadapi oleh Haron Din dan ustaz-ustaz lain yang mukhlisin (apabila terlibat dengan politik kepartian yang sempit),” katanya.

Sementara itu, agak menarik juga untuk melihat perkembangan dalam Pas menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu Jun ini. Mohd Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) berkata, ada kemungkinan pemilihan pucuk pimpinan pada Muktamar Pas kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu antara penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, Mohamad Sabtu dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, Nasharudin mempunyai beberapa keistimewaan tetapi malangnya ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya sehingga beliau kelihatan tidak berketerampilan manakala Mohamad Sabu walaupun telah menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi beliau tidak begitu disenangi.

“Khabarnya Tok Guru Nik Aziz telah menyatakan cadangan agar Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden… Apabila isyarat itu sudah jelas, saya percaya selepas ini senario dalam perebutan jawatan timbalan presiden akan berubah. Sekali gus ia akan merancakkan mutktamar Pas kali ini. Pertandingan mungkin bukan dua penjuru tetapi tiga, atau mungkin akan ada yang menarik diri,” katanya.

Blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) pula berkata, kebanyakan veteran Pas mahukan Nasharuddin kekal sebagai pemimpin nombor dua dalam parti itu dengan mengambil kira kebolehan yang ada pada beliau.

Katanya, Pas tidak perlu orang ‘berani tetapi bengap’. Pas juga tidak perlu orang yang ‘kaya tetapi kedekut’ sebagai Timbalan Presiden. Pas kena kembali kepada politik zaman Asri (Datuk Asri Muda). Cekap, pantas mengintai peluang dan tidak terlalu setia dengan pakatan politik.

“Jangan cepat sangat nak menyanjung individu. Kena tengok jangka panjang. Kena tengok kemampuan kita di bawah,” kata blog itu.

Tabur bakti pendidikan negara

Oleh RAJA JAAFAR ALI
utusanjohor@utusan.com.my
Bangunan yang menempatkan bilik-bilik darjah masih teguh berdiri.

JOHOR BAHRU 28 April – Tiga tahun lagi bakal menyaksikan genap seabad umur Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang sebelum ini dikenali sebagai English College (EC) menabur bakti dalam pendidikan negara.

Memulakan operasi pada 21 Mac 1914, di bangunan berdekatan Istana Sungai Chat dan berhadapan dengan Pantai Lido, seramai 21 pelajar terpilih dari Sekolah Bukit Zahrah ditempatkan di sini di bawah tunjuk ajar dua guru ‘orang putih’ dari England yang dikenali sebagai Mr. Morrison dan Mr. Holman.

EC terus berkembang sebagai institusi pendidikan Inggeris di bandar raya ini sebelum dipindahkan ke Jalan Sungai Chat berhadapan dengan Dataran Bandaraya pada 1930 dan terus mencipta nama dengan kelahiran kumpulan-kumpulan pelajar cemerlang.

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dari 1941 hingga 1945 menyaksikan EC bertukar peranan menjadi markas tentera, kilang senjata, hospital dan tempat tahanan sebelum dibuka semula pada 1946 dengan kemasukan kumpulan pelajar perempuan pertama tiga tahun kemudian.

Sebaik tamat penjajahan British, nama EC ditukar kepada MSAB pada 1960, bersempena nama Sultan Abu Bakar, Bapa Pembangunan Johor yang membawa kemodenan dalam pentadbiran kerajaan Johor dan sekolah ini melahirkan banyak ‘produk’ tokoh seperti Tun Hussien Onn, Tun Dr. Ismail dan Tun Musa Hitam.

Pada masa kini, kesemua sejarah lengkap sekolah ini sejak awal penubuhan, era kegemilangan dan suka dukanya dihimpunkan di dalam Muzium Mini Tun Hussein Onn di dalam MSAB sendiri.

Pada 1998, ia telah dirasmikan anak kepada Perdana Menteri ketiga itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Melangkah masuk ke dalamnya, terpampang gambar tokoh-tokoh terkemuka yang lahir dari sekolah ini termasuk Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menerima pendidikan formal di sekolah ini.

Selain itu, banyak gambar hitam putih generasi terdahulu MSAB yang membangkit nostalgia di bangku sekolah terutama kepada Alumni MSAB terhadap sekolah berusia 97 tahun ini.

Bukan itu saja, muzium mini itu juga menempatkan peralatan makmal, buku teks dan latihan pelajar pada era 1930-an hingga kini, termasuk juga piala-piala kemenangan.

Pemimpin-pemimpin lain yang menerima pendidikan di sekolah ini ialah bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat; wartawan dan penulis, Adibah Amin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Selain itu, juga bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsudin Osman, Datuk Chua Jui Meng dan Datuk Bandar Johor Bahru, Jaffar Awang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MSAB, Zais Akil berkata, siapa saja digalakkan mengunjungi muzium mini tersebut untuk mengetahui dengan lebih dekat sejarah penuh penubuhannya, terutama bekas-bekas pelajar sekolah ini.

“Kita akan buat majlis besar-besaran sempena 100 tahun MSAB pada 2014 nanti. Muzium ini menjadi saksi kepada kecemerlangan yang ditonjolkan oleh mereka yang pernah mendapat pendidikan awal di sini dari era penjajah, kemerdekaan dan kemajuan Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Alumni MSAB, meluahkan rasa bangga dengan penganugerahan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Premier sejajar dengan matlamat membina negara bangsa, pembangunan modal insan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dan memartabatkan profesion perguruan.

p/s  Saya adalah salah seorang bekas pelajar MSAB (EC) dari tahun 1975 sehingga 1979. Peperiksaan yang diduduki ialah Lower School Certificate (LCE) dan Malaysia Certificate of Education (MCE). Mewakili MSAB dalam pasukan Bolasepak bawah 15 thn (1977) dan bawah 18 thn (1979). Kepada rakan-rakan yang mengenali saya boleh hubungi saya di jalaini62@yahoo.com. Sejarah tidak akan dilupai… Untuk lebih mengenali saya klik about me di blog ini.

Tinju novis sukan tempur lasak

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my
DUA pelatih polis yang menyertai kejohanan demonstrasi sukan tomoi berentap di dalam gelanggang tinju di Dewan Perdana (Pulapol) Air Hitam, baru-baru ini.

JEMPOL 28 April – Apa langkah anda untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh? Cabut lari atau bersedia untuk bertempur.

Ini adalah hakikat kehidupan, di mana amat perlu setiap individu mengetahui serba sedikit kaedah mempertahankan diri jika berlaku serangan, ancaman atau jenayah ke atas diri mereka.

Maka, sebab itulah ramai di kalangan anak muda hari ini memperlengkapkan diri mereka dalam seni mempertahankan diri, sukan tempur atau berguru dengan mereka yang diperakui kehebatannya.

Oleh itu, cara sama juga diguna pakai oleh sebahagian besar anggota keselamatan negara yang diperlengkapkan dengan kemahiran mempertahankan diri melalui penglibatan secara serius dalam sukan tempur.

Terkini mereka menyertai tinju novis, di mana melibatkan 16 orang pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, dekat sini dan berlangsung di Dewan Perdana di sini, baru-baru ini.

Seorang peserta, Muhamad Firdaus Maulud, 28, dari Seremban memberitahu, sukan tinju sudah lama bertapak di negara ini.

”Tinju novis ini untuk kami yang baru menceburkan diri. Saya fikir apa yang lebih penting adalah kesungguhan terlibat dalam sukan itu, yang saya lihat mampu menyihatkan badan dan menguatkan mental serta fizikal,” katanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, ditumbuk dan bertahan sewaktu bertempur sesuatu yang amat berguna dalam kerjaya kepolisan, lebih-lebih lagi berhadapan penjenayah kelak.

”Tidak mengapa hidung berdarah kerana sukan tinju novis ini menunjukkan ‘kejantanan’ kita di atas gelanggang,” ujarnya.

Rakannya, Nik Nordin Nik Lin, 24, berharap, generasi belia hari ini wajar menyertai apa juga sukan tempur untuk mempertahankan diri.

”Bila kita masuk sukan tempur ini, kita perlu juga melihat keperluannya pada masa hadapan dalam keadaan mendesak dan sedia membantu sesiapa sahaja yang ditimpa bahaya,” katanya.

Tambahnya, dalam mana-mana sukan tempur sekali pun, memang wujud perasaan takut apatah lagi bimbang dengan kecederaan yang dialami.

”Sukan ini memang lasak untuk lelaki. Ia sebenarnya menambah kekuatan badan kita untuk menerima apa juga asakan,” jelasnya.

Sementara itu, S. Alaganthdra, 22, dari Kuala Lumpur berkata, selain menyertai kejohanan tinju, dia turut terlibat dalam karate do.

”Selain tinju novis, saya terlibat dalam sukan karate do. Semua ini memerlukan kekuatan jati diri kerana jika kita lemah, ia tidak memberikan sebarang faedah.

”Tinju novis membuktikan keberanian kita,” katanya.

Mohamad Syawal Ahmad, 20 pula, pernah mewakili negeri Perak dalam kejohanan tinju.

”Orang melihat, kita bertembung di atas gelanggang. Tetapi orang tidak tahu, yang kesemuanya itu memerlukan teknik dan cara bertempur.

”Bukannya kita tumbuk semberono. Kita bertumbuk untuk mencapai kejayaan dengan memperoleh pingat serta mengumpulkan sebanyak mana mata dalam pertarungan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirul Ariffin, 22, dari Kelantan pula, meminati sukan tomoi dan ia memang sudah sebati dalam dirinya.

”Saya gembira kerana Pulapol Air Hitam sudi menjemputnya dari Pulapol Kuala Lumpur untuk memeriahkan majlis dengan pertunjukan sukan tomoi ini. Ini juga sukan tempur yang menarik dan menyeronokkan,” kata Amirul.

Begitu juga Tengku Sharizal Tengku Abd. Rahman, 22, yang juga dari Pulapol Kuala Lumpur dan turut menggemari sukan tomoi ini.

”Adalah baik kalau kita menyertai mana-mana sukan tempur dari usia kanak-kanak lagi. Saya sendiri pun menyertai sukan tomoi ini dari kecil dan belajar dari ayah sendiri.

”Sekarang sukan ini, digemari oleh sesiapa sahaja di Kelantan,” katanya.

>Kecekapan SPRM elak negara rugi RM890 juta

>
DARI UTUSAN MALAYSIA
29.4.2011

KUALA LUMPUR 28 April – Kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras gejala rasuah berjaya mengelakkan negara mengalami kerugian kira-kira RM890 juta setahun melalui empat tumpuan kesalahan rasuah.

Menurut Laporan Tahunan 2010 SPRM, kerugian terbesar adalah menerusi perlombongan haram pasir melibatkan anggaran kerugian berjumlah RM745 juta setahun.

Ia diikuti tumpuan kesalahan rasuah melibatkan kebocoran pintu masuk negara yang mana kerajaan dianggarkan boleh mengalami kerugian RM86.4 juta setahun.

Laporan sama menyebut, kerugian bagi kes melibatkan penyelewengan subsidi diesel pula adalah sebanyak purata RM50 juta setahun manakala pembalakan haram (RM8.95 juta).

“Dalam isu pasir, nilai suapan terlibat berjumlah RM321,528.40 selain enam orang ditangkap kerana rasuah seks.

“Berdasarkan anggaran 3,000 lori mengangkut pasir selama setahun, kerugian boleh mencecah sehingga hampir RM600 juta. Kerugian ditanggung akibat penyeludupan ke negara jiran pula sekitar RM145 juta setahun.

“Anggaran ini hanya mengambil kira pasir yang diangkut menggunakan kapal berkapasiti 4,000 tan hingga 5,000 tan sebanyak dua kali sehari,” kata laporan itu.

Laporan tersebut diserahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Mengenai kebocoran pintu masuk negara, risikan SPRM di Selangor mendapati kira-kira 35 peratus daripada 1,000 hingga 1,500 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke Malaysia setiap hari, membayar antara RM70 dan RM100 bagi mengelak prosedur pemeriksaan Imigresen.

“Sogokan kepada penguat kuasa di Jeti Penumpang Pulau Ketam pula mencecah RM60,000 sebulan.

“Perkara ini membawa kesan buruk kerana Kementerian Dalam Negeri menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM171 juta untuk pengurusan tahanan dan pengusiran PATI pada 2009,” ujarnya.

Sementara itu, bagi mengatasi kerugian ekoran penyelewengan diesel, SPRM kini menjalankan kajian menyeluruh bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Penggunaan teknologi nanotag dalam pengurusan subsidi diesel mula dipersoalkan. Begitu juga keberkesanan sistem fleet card e-diesel bagi mengatasi penyelewengan dan ketirisan,” katanya.

Mengenai pembalakan haram, laporan itu menyebut sebanyak 10 siasatan terbuka dijalankan daripada 46 maklumat diterima SPRM membawa kepada sitaan balak berjumlah RM8.95 juta.

“Antara lokasi dijalankan operasi balak adalah Felda Nitar Timur berdekatan Hutan Simpan Mersing di Johor, Hutan Simpan Hijau Lenggong di Perak, Daerah Hulu Selangor serta operasi di Kedah yang membawa kepada penahanan Pengarah dan Pegawai Perhutanan Daerah Kedah Selatan,” katanya.

KOMEN : YANG PALING BAHAYA PASAL RASUAH NI, NEGARA PUN BOLEH DIJUAL KALAU TAK DIBASMI DARI ATAS HINGGA KE AKAR UMBI. TERUSKAN USAHA MURNI MEMBASMI RASUAH. TAHNIAH SPRM…

>RAMAINYA YANG DISUAP?

>
944 pesalah rasuah diberkas 2010
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan MOHD. RAFIE AZIMI
pengarang@utusan.com

ABU Kassim Mohamed (kiri) menyerahkan Laporan Tahunan SPRM 2010 kepada Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Tan Sing Giaw dan Zamri Yahya di Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR 28 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 944 pesalah rasuah tahun lepas, jumlah tangkapan tertinggi dalam sejarah pencegahan rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 444 tangkapan atau 88.8 peratus berbanding 500 tangkapan pada 2009.

”Daripada jumlah itu, sebanyak 293 tangkapan membabitkan penjawat awam, 102 di kalangan kakitangan sektor swasta, 545 orang awam dan seorang ahli politik,” katanya selepas majlis penyerahan Laporan Tahunan SPRM 2010 kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi JKMR, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad.

Abu Kassim berkata, sepanjang tahun lepas juga, seramai 381 orang dituduh di mahkamah bersabit kesalahan rasuah iaitu merupakan peningkatan sebanyak 119 peratus atau 207 orang berbanding tahun sebelumnya.

Ia melibatkan seramai 131 orang penjawat awam, 56 orang kakitangan sektor swasta, 193 dari kalangan orang awam dan seorang bekas menteri besar.

”Malah, kadar sabitan kes di peringkat perbicaraan awal juga berjaya ditingkatkan daripada 64.4 peratus pada 2009 kepada 71 peratus pada tahun semasa,” katanya.

Sepanjang 2010, tambah Abu Kassim, sejumlah 1,220 kertas siasatan dibuka daripada 5,646 maklumat berunsur rasuah yang diterima iaitu peningkatan sebanyak 29.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak 900 kertas siasatan atau 73.8 peratus berjaya disiapkan dalam tahun semasa berbanding 67.4 peratus pada 2009.

”Peningkatan 6.4 peratus penyiapan kertas siasatan itu merupakan satu perkembangan positif yang menggambarkan kecekapan SPRM dalam menyelesaikan siasatan yang dijalankan,” katanya.

KOMEN : BILA ADANYA PENAWARAN DAN PERMINTAAN… YANG MENANG ADALAH SYAITAN!!!!

>BILA PAPA SUDAH MARAH

>
Anwar berang ditanya sumpah laknat
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 April – Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam nada berang hari ini mempertikaikan soalan wartawan ketika ditanya sama ada beliau akan menyahut cabaran ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah untuk bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Bandar Baru Sentul, selepas solat Jumaat esok.

Katanya, beliau tidak pernah diminta oleh sesiapa untuk mengangkat sumpah.

“Ikut hukum siapa nak sumpah. Saudari orang Islam? Hukum mana yang suruh angkat sumpah. Tak boleh jawab, ok tak payah,” katanya bagi menjawab soalan seorang wartawan dalam nada tinggi.

Anwar menegaskan bahawa dalam hal seperti itu orang yang mahu mengangkat sumpah harus bebas daripada dosa besar iaitu tidak pernah minum arak dan tidak pernah berzina.

Beliau turut berang ketika ditanya mengenai kesediaannya memberi sampel deoksiribonukleik (DNA) kepada polis berhubung rakaman video seks yang didakwa mirip dirinya.

“DNA apa?,” tegasnya berulang kali yang sinikal menyatakan kepada wartawan “Semoga awak dapat naik pangkat dalam masa yang terdekat,”

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hampir sejam bermula kira-kira pukul 2.50 petang untuk memberi keterangan kali kedua berhubung laporan polis yang dibuat selepas penayangan video seks yang mirip dengan dirinya pada 21 Mac lalu.

Anwar yang memberi keterangan untuk kali kedua selepas kali pertama dibuat pada 22 Mac lalu, turut menafikan lelaki dalam video tersebut adalah dirinya.

Beliau ditemani isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, anaknya, Nurul Izzah dan dua wakil rakyat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Tian Chua selain peguamnya, R. Sivarasa.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa pihak polis memberi perlindungan kepada pihak tertentu sehingga klip video seks tersebut sekali lagi tersiar di Internet.

“Penyebaran bahagian kedua klip video ini secara jelas menunjukkan mereka yang bertanggungjawab menyebarkan klip itu bebas untuk berbuat demikian tanpa perlu risau dikenakan apa-apa tindakan.

“Hari ini saya memberi keterangan kepada pihak polis yang saya percaya mereka terlibat memberi perlindungan kepada mereka yang terlibat, jika tidak mustahil bab kedua video ini boleh disebarkan tanpa apa-apa tindakan,” katanya.

Anwar turut menuduh TV3, akhbar Utusan Malaysia dan portal berita Agenda Daily adalah perkakas UMNO murahan dan jijik.

KOMEN : NAK BERSUMPAH PUN NAK TUNGGU ORANG SURUH KE? SENDIRI MAHU INGATLAH MASA BUAT ADA KE ORANG SURUH? BUAT REPOT POLIS, DIPENGHUJUNGNYA POLIS JUGA SALAH. UMNO, TV3 DAN UTUSAN MALAYSIA YANG BERKONSPIRASI UNTUK MENJATUHKANNYA.