Legoland Malaysia dibuka 15 September ini

UTUSAN MALAYSIA
30/7/2012

SEORANG pekerja menyiapkan miniatur stesen kereta api Kuala Lumpur yang diperbuat daripada Lego di Legoland Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Julai – Legoland Malaysia, taman tema baru yang terletak di Iskandar Malaysia, Johor Bahru bakal dibuka kepada orang ramai pada 15 September ini.
Ketua Pegawai pembangunan Theme Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Muhammad Zainal Ashikin berkata, taman tema itu telah 98 peratus siap dengan sebahagian besar infrastruktur dan permainan sudah pun dipasang.
“Kami kini di dalam proses untuk meletakkan sentuhan terakhir dengan pengujian permainan, pemasangan 15,000 model-model Lego menggunakan 50 juta kepingan Lego dan proses terakhir pengindahan taman mengikut tema,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Legoland Malaysia adalah taman tema pertama seumpamanya di rantau ini, diuruskan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bagi Bahagian Rekreasi dan Pelancongan.
Taman tema Legoland itu adalah keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.
Legoland Malaysia itu turut dibangunkan bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta di kawasan seluas 31 hektar di Medini North, pusat gaya hidup Iskandar Malaysia.
Muhammad Zainal berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah sejuta pelancong pada tahun pertama operasi Legoland Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini hampir 63,000 pas tahunan dan pas harian telah dijual kepada orang ramai sejak ia dilancarkan lewat tahun 2011.
Mengulas mengenai perkembangan projek-projek lain di sekitar Legoland, Muhammad Zainal menambah, pihaknya juga merancang pelbagai pembangunan lain seperti taman tema air dan Hotel Legoland pada 2014.

Impian pesakit tumor saraf jumpa PM tercapai

DARI UTUSAN MALAYSIA
8/6/2012

NAJIB Tun Razak membaca kad ucapan disampaikan Adam Akbar Ali, penghidap tumor saraf tunjang yang ditemani ibu kanak-kanak itu, Siti Rogayah Syed Ismail di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 7 Jun – Impian Adam Akbar Ali, 10, pesakit tumor saraf tunjang untuk bertemu pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak, tercapai hari ini. Dalam pertemuan kira-kira 10 minit bersama Perdana Menteri, Adam ditemani bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, dan ibu, Siti Rogayah Syed Ismail, 32, di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Najib beramah mesra dengan Adam dan memberi kata-kata semangat kepadanya kerana bakal menjalani pembedahan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat pada 20 Jun ini. Dalam kad ucapan kepada Adam, Perdana Menteri menulis “Kpd (kepada) Sdr (saudara) Adam Akbar, semoga Allah akan memberi Rahmatnya kpd Adik Adam dalam menjalani pembedahan. Saya berdoa adik Adam akan cepat pulih”.
Sementara itu, Adam turut menyampaikan kad ucapan yang ditulisnya, “Salam Datuk Seri Najib. I Love U. Terima Kasih” kepada Najib.
Dalam pertemuan yang singkat itu, Perdana Menteri mahu Pejabat Perdana Menteri membantu mempercepatkan visa Adam ke Amerika Syarikat.
Selain itu, beliau mahu Pejabat Perdana Menteri menghubungi pihak Hospital John Hopkins untuk memberi rawatan terbaik kepada Adam. Ketika ditemui pemberita, Adam berkata, dia berasa sangat gembira kerana impiannya untuk bertemu Perdana Menteri tercapai hari ini.
“Perdana Menteri telah memberi kata-kata semangat kepada saya. Beliau turut mendoakan agar saya cepat sembuh.
“Terima kasih, Perdana Menteri sebab menolong Adam,” katanya.
Pertemuan kanak-kanak itu dengan Perdana Menteri diatur oleh Sinar Harian.
Sementara itu, Akbar Ali turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meskipun sibuk namun meluangkan masa untuk bertemu Adam yang bakal menjalani pembedahan di Amerika Syarikat.
“Pertemuan ini akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada Adam agar dapat mengharungi cabaran, sembuh dan kembali ceria seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Adam menghidap penyakit tumor saraf tunjang atau ‘intramedullary cervical spinal cord tumor’ sejak empat tahun lepas. Tumor atau ketumbuhan yang berada pada saraf tunjangnya telah mengganggu saraf kaki, tangan dan pernafasan.
Semalam, Kerajaan Negeri Terengganu memberi sumbangan RM100,000 dan 1MCA Medical Foundation pula menderma RM20,000 untuk menampung kos pembedahannya. – BERNAMA

KOMEN : BERSAMA DOA KAMI SEKELUARGA UNTUK ADIK ADAM SEMOGA BERJAYA DALAM PENBEDAHAN NANTI… AMIN

BUDAK SEKOLAH KAT MALAYSIA PUN SAMA…

Indonesia diberi jolokan ‘Baby Smoker’

gambar hiasan, seorang kanak-kanak sedang asyik menghisap rokok di Jakarta.

JAKARTA 20 Mei – Jolokan negara ‘Baby Smoker’ yang diberikan kepada Indonesia, mungkin bukanlah suatu pencapaian yang boleh dibanggakan buat negara ini.
Namun, itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh Indonesia apabila digelar sedemikian rupa, hanya kerana jumlah perokok teramai di negara itu terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur.
Berdasarkan data terbaru yang diperolehi Suruhanjaya Perlindungan Anak, sebanyak 69 peratus remaja Indonesia merupakan perokok aktif yang tinggal dalam keluarga perokok.
Apa yang turut membimbangkan, sebanyak 89 juta kanak-kanak terdedah kepada bahaya asap rokok dan terancam kesihatan mereka.
“Ini jelas memalukan. Fakta ini harus kita terima kerana data jelas menunjukkan jumlah perokok terbesar di Indonesia terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur,” kata ketua suruhanjaya itu, Aris Merdeka Sirait seperti dilaporkan media-media tempatan, hari ini.
Data yang dikeluarkan suruhanjaya itu juga menunjukkan, 230,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun sudah menjadi perokok aktif.
“Data terakhir di Sukabumi, misalnya mendapati ada seorang kanak-kanak berusia 11 bulan sudah menjadi perokok aktif.
“Setiap lima minit kalau tidak merokok, anak kecil itu akan mengalami perubahan perilaku. Inilah salah satu fakta mengapa Indonesia menerima jolokan Baby Smoker kerana perkara seperti ini tidak berlaku di negara lain,” kata Aris.
Katanya, walaupun China mencatat jumlah perokok terbesar di dunia, namun kes perokok cilik tidak pernah dilaporkan.
Kata Aris, di Indonesia, pemerintah mengizinkan syarikat pengeluar rokok mengiklankan produk mereka dengan bebas.
Menurut Aris, data yang dikeluarkan oleh pengusaha rokok Indonesia mendapati, perokok aktif di Indonesia saat ini mencapai 89 juta orang.
“Bayangkan jika daripada angka itu, masing-masing memiliki seorang anak, maka terdapat 89 juta anak Indonesia yang sudah terdedah atau menghisap asap rokok sebagai perokok pasif,” jelasnya. Apa yang membimbangkan ialah anak-anak muda berusia belasan tahun merupakan sasaran dan sangat berpotensi menjadi penjual produk rokok. – Utusan