AIR ASIA : Pesawat lakukan pendaratan cemas?

02 Januari 2015 1:59 AM
ANAK kapal helikopter Super Puma Tentera Udara Indonesia memantau menerusi tingkap dalam operasi mencari mangsa pesawat AirAsia QZ8501 di Laut Jawa, semalam. – AFP
JAKARTA 1 Jan. – Mungkinkah pesawat Air­Asia Indonesia QZ8501 melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas ke laut?
Itulah antara beberapa spekulasi yang dibuat oleh pelbagai pihak di negara ini berikutan penemuan bangkai pesawat itu yang disahkan terhempas di Laut Jawa.
Bekas Ketua Staf Angkatan Udara Indonesia Chapy Hakim berkata, buat masa ini perkara yang paling munasabah untuk diperkatakan ialah pesawat malang itu melakukan pendaratan cemas di atas laut.
Katanya, keadaan mayat mangsa yang ditemukan setakat ini memberi petunjuk bahawa pesawat yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada Ahad lalu tidak terhempas seperti mana dijangkakan oleh banyak pihak.
“Apa sebenarnya berlaku kita belum pasti, tetapi sekurang-kurangnya berdasarkan perkembangan terkini adalah jelas pesawat itu tidak terhempas, sebaliknya juruterbang berusaha melakukan pendaratan cemas,’’ katanya se­perti dilaporkan oleh media Indonesia.
Seorang lagi penganalisis pener­bangan, Samudera Sukardi berpendapat, pesawat AirAsia Indonesia itu mungkin hilang kawalan disebabkan cuaca buruk seperti merempuh awan kumulonimbus sehingga mengalami gegaran.
“Dalam keadaan itu, pesawat sukar terkawal sehingga menyebabkan ia terhempas,’’ katanya.
Beliau berkata, pandangan itu berasaskan kepada permintaan juruterbang yang meminta kebenaran daripada pusat kawalan udara untuk naik dari paras 32,000 kaki kepada 38,000 kaki dan mengubah laluan ke kiri.
Penganalisis penerbangan, Arista Atmadjati pula berpendapat, pesawat itu seperti tersalah arah dari rancangan penerbangan asal mungkin disebabkan radar dan sistem pesawat rosak sehingga kapalterbang itu tidak boleh dikendalikan.
“Juruterbang berusaha mengawal pesawat namun tidak berjaya, disebabkan terkena petir ketika memasuki awan kumulonimbus sehingga sistem kokpit rosak,” ujarnya.
Mengulas keadaan mayat mangsa yang masih sempurna, Arista berkata, kemungkinan besar ketika pesawat menjunam ke dalam laut, semua penumpang telah memakai tali pinggang keselamatan.
“Jadi mereka masih terikat di kerusi masing-masing memandangkan pesawat tidak berkecai. Tetapi selepas tiga hari mayat bertaburan memandangkan pintu pesawat sudah tertanggal,’’ katanya.
Advertisements

AIR ASIA : Pesawat QZ8501 mungkin di dasar laut

30 Disember 2014 2:09 AM
JAKARTA 29 Dis. – Pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang dalam penerba­ngan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura awal pagi semalam berkemungkinan berada di dasar laut selepas dikhuatiri terhempas di perairan Indonesia ketika beberapa negara sekitar Asia menghantar kapal dan pesawat untuk membantu operasi pencarian.
Pesawat Airbus A320-200 yang membawa seramai 162 orang itu dilaporkan hilang selepas juruterbang gagal mendapat kebenaran daripada pusat kawalan trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta untuk menukar laluan bagi mengelakkan cuaca buruk.
Pesawat QZ8501 itu juga dimaklumkan tidak mengeluarkan isyarat kecemasan dan hilang di perairan Laut Jawa lima minit selepas gagal mendapat kebenaran pertukaran laluan berikutan kesesakan trafik udara.
Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Soelistyo berkata, berdasarkan koordinasi mereka, pesawat itu dijangka berada di dasar laut.
Sumber penerba­ngan awam Indonesia melaporkan kepada agensi Reuters, pihak berkuasa mempunyai data radar pesawat tersebut dan sedang menunggu pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan pesawat sebelum memulakan siasatan punca kemalangan.
Seramai 155 penumpang Indonesia, tiga rakyat Korea Selatan, dan seorang penum­pang dari Singapura, Malaysia dan Britain menaiki pesawat ber­kenaan.
Jurucakap Tentera Udara Indonesia, Hadi Thahjanto berkata, dua pesawat C-130 digunakan untuk mencari pesawat QZ8501 di kawasan timur laut Pulau Bangka yang terletak di perairan Laut Jawa.
Negara jiran seperti Australia, Malaysia, Singapura dan China turut menghantar kapal dan pesawat bagi membantu operasi pencarian.
Sementara itu, Soelistyo berkata, Indonesia mungkin tidak memiliki teknologi canggih untuk mencari pesawat di dasar laut dan mereka menerima tawaran bantuan daripada Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis bagi melicinkan operasi. – REUTERS