Kisah Iswara di klia2; Tahniah KPN; Kongsi gelap mahu dihalalkan?

klia2 dan teksi merah putih
MALAM Ahad lalu, saya terbang dari satu destinasi dan mendarat di lapangan terbang baharu negara, klia2 kira-kira jam 9.30 malam.
Cukup hebat lapangan terbang itu. Tidak terasa pun landasannya berombak-ombak seperti dakwaan sesetengah pihak.
Sampai di terminal, pesawat disambungkan terus ke jambatan. Maka itu penumpang tidak perlu lagi menapak dalam hujan atau panas menuruni tangga dan berjalan ke bangunan terminal. Sungguh selesa.
Walaupun syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan kepada penumpang kerana kemudahan itu, ia tidak menjadi masalah kepada kami.
Masuk ke bangunan saya cukup kagum dengan klia2. Sebagai salah seorang frequent traveler, saya dapat merasakan ia adalah lapangan terbang yang hebat di dunia.
Saya seperti memasuki ke kompleks membeli-belah. Ia adalah lapangan terbang emporium. Tidak terasa kita sedang berada di dalam sebuah lapangan terbang.
Pendek kata orang ramai boleh berkunjung ke situ untuk bershopping dan bukan untuk mengambil pesawat penerbangan.
Alangkah hebatnya lagi sekiranya lapangan terbang itu sendiri menjadi factory outlets – yang menjual barangan berjenama dengan harga yang murah.
Walaupun sebelum ini saya ada menulis mengenai kuota peniaga Melayu di situ masih rendah, namun saya berdoa keadaan itu akan berubah.
Oleh kerana terlalu letih setelah menempuh perjalanan, saya dan seorang rakan yang tinggal di Dubai bergegas untuk mencari teksi.
Saya tiba di kaunter tiket. Dari aras atas menuju ke kaunter itu kita kena menaiki lif dalam satu ruang yang sempit dan dipenuhi dengan troli kosong yang tidak diuruskan dengan sempurna. Berlaku kesesakan sedikit apabila troli yang ditolak masuk ke lobi lif dihalang oleh troli-troli kosong yang ditinggalkan.
Di kaunter teksi saya dapat melihat tertera tertulis: Teksi berkupon dan Teksi bermeter.
Saya pun terus menuju ke teksi berkupon dengan harapan dapat menaiki teksi limo yang selesa dalam keadaan keletihan untuk pulang ke rumah. Saya membayar kupon RM85 ke sebuah seksyen di Shah Alam.
Saya kira agak mahal dan lebih mahal daripada teksi limo di KLIA, iaitu sekitar RM75. Saya tidak merungut. Kami diarahkan ke Pintu 5 untuk mendapatkan teksi.
Di situ saya terus menuju ke deretan teksi merah putih. Saya beranggapan dapat menaiki teksi syarikat Limo dan bukan teksi merah putih yang saya sangka seperti teksi bermeter.
Namun kami diminta menaiki sebuah teksi merah putih jenis Proton Iswara lama yang cukup daif rupanya.
Menjengah masuk terbau pula wangian yang menusuk hidung. Macam bau setanggi dibakar? Biar betul. Siap dengan bulu burung merak di atas dashboard.
Oleh kerana pemandu itu berbadan besar, kerusi pemandu ditolak ke belakang. Kerusi belakang tidak boleh dinaiki oleh dua penumpang.
Saya diarahkan duduk di kerusi penumpang hadapan dan seorang lagi di belakang saya. Kerusi saya pula terlalu ke hadapan dan sandarnya menegak. Saya seperti tidak percaya.
Oleh kerana terlalu memikirkan suasana teksi itu — dan nasib malang kami — tiba-tiba saya ketawa seorang, lalu menggeleng-gelengkan kepala — tak percaya!
Fikiran saya merewang-rewang. Marah. Mulalah teringatkan muka Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), muka pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, jenis teksi-teksi hebat di Dubai, di Bangkok mahupun teksi-teksi Sonata baru di Jakarta.
Badan yang letih bertambah letih. Rakan saya yang tinggal di Dubai senyap menyepi. Saya menoleh ke arahnya dia kelihatan tiada mood.
Lebih meletihkan, teksi itu yang bunyi enjinnya seperti merayu-rayu, terpaksa beratur panjang pula untuk ke pintu plaza tol dekat lapangan terbang itu.
Apalah salahnya pemandu teksi ini menggunakan touch n go atau pun smart tag, kata hati saya.
Oleh kerana terlalu letih tiba-tiba rakan saya di belakang bersuara “laju sikit tak boleh ka…” Saya pula senyap.
Kasihan pun ada juga dengan pemandu itu. Mungkin dia orang susah. Rakan saya itu kelihatan cukup tertekan. Dia pula terpaksa terbang pulang ke Dubai jam 6 pagi keesokan harinya. Kami tiba ke destinasi hampir tengah malam.
Keluar dari teksi itu, rakan saya itu tiba-tiba bersuara melepas perasaan: “teksi itu sepatutnya sudah dilupuskan…”
Saya tidak berkata apa-apa.
Klia2 cukup hebat, tapi masalah teksi cabuk seperti itu tak selesai-selesai dari dahulu sampai sekarang. Adakah soal teksi ini juga memerlukan satu iltizam politik untuk diselesaikan? Lekeh sangatlah kita ini?
Gambaran cantik saya mengenai lapangan terbang klia2 hilang sama-sekali.
Ia semua gara-gara teksi Iswara itu.
PPS: Jangan bagi muka!
SAYA patut angkat tabik spring kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar di atas ketegasannya menangani kemelut pasukan sukarelawan “bawah tanah” — pasukan peronda sukarela (PPS) di Pulau Pinang.
Rakyat sungguh lega melihatkan ketegasan itu. Jangan difikirkan sangat mengenai soal politik Tan Sri. Teruskan tanggungjawab untuk negara.
Sesiapa sahaja yang bersalah harus dihukum. Soal keselamatan negara adalah kedaulatan negara ini. Maka itu tiada maaf dalam isu ini.
Sesiapa yang mengutuk dan mencerca Tan Sri secara terbuka juga wajib dikenakan tindakan.
Negara kita bukan negara cowboy yang lawless atau tiada undang-undang. Negara kita Malaysia ini berdiri di atas Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Hukum mereka yang cuba mengadu-domba suasana aman di negara ini.
Jangan bimbang Tan Sri KPN, kami semua berada di belakang Tan Sri dan anggota PDRM semua.
Bagi Lim Guan Eng pula kelakuan saudara agak keterlaluan. Ingatlah saudara ialah seorang ketua menteri sebuah negeri. Profesionallah sedikit. Jangan ingat kita besar sangat. Saudara bukannya ketua pembangkang.
Guan Eng ialah seorang ketua pegawai eksekutif negeri Pulau Pinang. Janganlah bongkak sangat apabila membandingkan PPS dengan JKKK. Ada juga puak dia yang mengaitkan dengan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF). Mengapa tidak dibubarkan JMF. Mereka mahu samakan PPS dengan JMF?
Ingatlah JMF ditubuhkan jauh lama daripada penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja. Ia adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat negeri Johor.
Puak-puak itu jangan pandai-pandai kaitkan dengan hak raja pula. Orang Melayu akan mempertahankan institusi diraja ke titisan darah terakhir.
Raja adalah benteng terakhir orang Melayu dan rakyat Malaysia yang menyayangi institusi itu.
Di pendekkan cerita kalau ditanya dengan sesiapa pun yang waras, kerajaan Pulau Pinang tidak perlu mempunyai pasukan ala keselamatan lain, selain Polis Diraja Malaysia.
Apakah mereka tidak percayakan lagi institusi kepolisan? Apakah mereka tak yakin dengan keupayaan pasukan peronda motosikal dan kereta polis?
Atau mereka mempunyai cita-cita besar lain?
Jangan tanya saya, tanyalah mereka…
Kongsi gelap dan pengubahan wang haram
AKTIVITI kongsi gelap di Malaysia ini bermula dari sejarah Tanah Melayu lagi. Di masa penghijrahan orang Cina dari Tanah Besar China, aktiviti itu dibawa sekali ke sini.
Pergerakan itu kini sudah canggih. Ia membabitkan transaksi wang yang cukup besar. Nilainya boleh dianggarkan berbilion-bilion ringgit.
Kegiatan haram yang menjadi satu budaya dalam masyarakat itu kian bercambah. Lagi banyak aktiviti perniagaan, bandar-bandar baharu lagi banyak percambahan kumpulan-kumpulan ini.
Ia diwujudkan kononnya untuk menjaga wilayah, kawasan dan daerah. Ia dijaga oleh kongsi-kongsi ini atas pelbagai nama. Ada juga yang menggunakan nama pengenalan melalui nombor-nombor.
Jika kongsi gelap atau pergerakan bawah tanah under world ini dimulakan oleh orang Cina, kini sudah ada juga dijalankan oleh geng-geng India dan Melayu.
Strata orang Cina sudah naik. Mereka berada dalam satu tahap yang lebih besar. Menggerakkan perniagaan. Strata jalanan ini pula dilakukan oleh geng-geng India, walaupun geng-geng Cina masih ada.
Dipendekkan cerita kegiatan ini juga mempunyai kaitan dengan aktiviti pinjaman wang haram atau ah long yang melata di negara ini. Wang haram yang diperoleh diubah menjadi wang pinjaman untuk orang ramai.
Itu pasal pihak berkuasa tempatan sukar membanteras aktiviti pelekat-pelekat yang menguasai semua dinding dan papan tanda milik awam.
Itu pasal aktiviti mesin-mesin judi sukar dihapuskan kerana di belakangnya ialah pergerakan bawah tanah ini. Itu pasal tumbuhnya pusat-pusat snuker, pasar-pasar raya, hotel-hotel bajet yang tumbuh bagai cendawan.
Kita tidak mahu melihat apa yang berlaku di beberapa negara Eropah Timur, yang menjadi pusat mafia Rusia mengubah wang mereka dengan kasino-kasino serta hotel-hotel murahan di sana, juga berlaku di negara ini.
Saya diberitahu, aktiviti mereka amat aktif.
Saya mahu tanya adakah pihak berkuasa sedar mengenai?
Apakah ada pihak di negara ini mahu memberi pengiktirafan kepada mereka? Atau mengubah taraf haram kongsi mereka kepada berstatus halal?
Jangan tanya lagi saya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140903/re_03/Kisah-Iswara-di-klia2-Tahniah-KPN-Kongsi-gelap-mahu-dihalalkan#ixzz3CJa948TK  © Utusan Melayu (M) Bhd 






Advertisements

Semenanjung Korea tegang

SEOUL 31 Mac – Korea Utara dan Korea Selatan hari ini saling berbalas tembakan meriam, memarakkan lagi perselisihan antara kedua-dua negara jiran itu sehingga memaksa penduduk Korea Selatan di beberapa buah pulau dipindahkan.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-seok, jirannya melepaskan sejumlah 500 tembakan meriam dalam satu latihan tentera dengan 100 daripadanya jatuh di perairan yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.
Korea Selatan pula membalas dengan 300 tembakan meriam yang menyasarkan Garisan Had Korea Utara. Jelas Min-seok, tindak balas itu tercetus apabila Korea Utara melakukan latihan tembakan meriam ke arah Korea Selatan bagi mempertahankan sempadan perairannya.
Latihan ketenteraan oleh Pyongyang itu bermula pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan, disusuli tindakan balas Korea Selatan tidak lama kemudian.
“Sebahagian peluru Korea Utara itu mengenai sempadan laut Korea Selatan semasa latihan berlangsung. Oleh itu, pihak tentera melakukan tembakan balas ke sempadan Korea Utara berpandukan protokol biasa,” kata Min-seok.
Para penganalisis berkata, insiden itu berlaku sehari selepas Pyongyang mengancam untuk melakukan ujian nuklear baharu, sebagai isyarat kekecewaan Korea Utara dengan sekatan Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan rundingan pelbagai pihak membabitkan program nuklearnya.
Pyongyang melihat rundingan itu sebagai satu peluang untuk mendapatkan konsesi dan bantuan daripada komuniti antarabangsa.
“Saya tidak melihat ini sebagai satu percubaan untuk mencetuskan satu perbalahan secara serius.
“Tindakan ini adalah cubaan Korea Utara untuk mengekalkan tekanan bagi meneruskan satu rundingan nuklear,” kata seorang profesor Universiti Pengajian Korea Selatan, Yang Moo-jin di Seoul.
Korea Utara sebelum ini, seperti biasa menguar-uarkan tentang latihan tembakan meriamnya dengan memberitahu Korea Selatan terlebih dahulu serta mengeluarkan larangan provokatif belayar dan terbang.
Pada 2010, Korea Utara melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke Pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.
Dua anggota marin Korea Selatan maut dalam kejadian itu, sementara 15 yang lain serta tiga penduduk awam cedera. – AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140401/lu_03/Semenanjung-Korea-tegang#ixzz2xbxDQmaU  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Pelarasan tarif insurans diluluskan


Oleh FADZIL ZAINOL
ekonomi@utusan.com.my





KUALA LUMPUR 4 Feb. – Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan pelarasan kadar baharu tarif insurans kenderaan untuk tahun ini, dengan anggaran peningkatan sekitar RM2 hingga RM23.
Tarif baharu itu akan berkuat kuasa pada 15 Februari ini, ke atas setiap kenderaan baharu yang dibeli atau insurans yang diperbaharui semula.
Kelulusan itu antara lain membabitkan pelarasan tarif asas bagi perlindungan komprehensif dan perlindungan pihak ketiga untuk kenderaan persendirian dan motosikal.
Pelarasan itu merupakan kali ketiga sejak 2012, selepas BNM membenarkan peningkatan premium setiap tahun antara 2012 hingga 2015.
Difahamkan, BNM telah pun menghantar notis pelarasan itu kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) minggu lalu.
Di dalam notis tersebut, PIAM perlu memastikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada lebih 30 pemain industri insurans mengikut kadar premium terbaharu itu bagi memastikan pengguna tidak keliru dengan pelarasan tersebut.
Pada 2011, BNM telah meluluskan pelarasan kadar premium insurans itu sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu.
Menurut bank pusat itu, pelarasan tersebut merupakan kali pertama sejak 30 tahun lalu dan membabitkan jumlah yang kecil serta dilakukan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun bermula 2012.
Institut Automotif Malaysia (MAI) sebelum ini meramalkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) kenderaan baharu tahun ini bakal mencapai 670,000 unit.
Perkembangan ini dilihat memberi manfaat kepada syarikat insurans am yang kini boleh meraih kutipan premium yang lebih tinggi. ( AYAT TAK BOLEH BLAH…AYAT SENANG NAK KAYAKAN TAUKEY INSURAN)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140205/ek_01/Pelarasan-tarif-insurans-diluluskan#ixzz2sPIP2vBQ  © Utusan Melayu (M) Bhd


 KOMEN : INSURAN KENDERAAN PULAK NAIK… SYARIKAT INSURANCE UNTUNG BERJUTA PUN TARIF INSURAN DINAIKAN… MACAMANA TU….

APA KECOH SANGAT-DAH JADI UNDESIREABLE ITEMS….

Jepun beri alasan sekat Anwar masuk: Anifah
2014/01/21 – 07:37:52 AM Oleh Sophia Ahmad

Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilarang memasuki Jepun kerana pernah disabitkan kesalahan jenayah.


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata larangan itu terkandung dalam Seksyen II Artikel 5 Akta Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Pelarian negara berkenaan. 


Katanya, perkara itu dinyatakan Kerajaan Jepun kepada pegawai Kedutaan Malaysia di negara itu yang diarahkan untuk mendapat penjelasan berhubung insiden berkenaan. 


Jepun seperti negara berdaulat lain, berhak melarang kemasukan mana-mana individu tanpa sebarang penjelasan.


Pernah dipenjara atas kesalahan jenayah


Apabila perkara ini berlaku, saya meminta pejabat kita di sana mendapatkan penjelasan dan jawapan yang diterima ialah Anwar dinafikan kemasukan ke negara itu kerana pernah dipenjara atas kesalahan jenayah, katanya dalam sidang media di sini semalam.


Artikel 5 akta itu menyatakan individu yang pernah dipenjara untuk tempoh setahun atau lebih di Jepun atau negara lain atas kesalahan selain politik, boleh dilarang daripada memasuki negara berkenaan. 

Kelmarin, Anwar dihalang memasuki Jepun oleh imigresen negara itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6.45 pagi, dari Kuala Lumpur. Beliau kemudian diarah pihak berkuasa Jepun untuk mengambil penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Anifah berkata, keputusan yang sama pernah dibuat Malaysia ke atas Senator Nick Xenophon dari Australia kerana melanggar peraturan Jabatan Imigresen ketika lawatan beliau yang terdahulu.


Apabila ini berlaku, kita juga tidak memberikan penjelasan kepada Kerajaan Australia kerana ia adalah hak Malaysia sepenuhnya untuk membuat keputusan seperti itu, katanya.


Beliau berkata, Wisma Putra tidak tahu-menahu mengenai pemergian Anwar ke negara itu kerana beliau bukan individu yang dianggap sebagai pengganas atau mengancam keselamatan negara.


Ini ialah sebuah negara bebas yang rakyatnya bebas ke mana-mana asalkan tidak melanggar undang-undang. Pada saya, Anwar ialah rakyat Malaysia, bukan pengganas yang perlu sentiasa dipantau.


Kalau saya benar-benar berkuasa mempengaruhi Kerajaan Jepun untuk tidak membenarkan Anwar masuk (ke negara itu), saya berasa sangat disanjung dan dihormati, katanya.

Antara kesulitan rakyat dan minda menteri



oleh Salleh Buang 

PENULIS ialah penganalisis undang-undang.





SEDIKIT masa dulu, bila harga ayam naik dan rakyat mula meluahkan rasa kecewa, ada menteri yang dilaporkan berkata “Jangan makan ayam”, tapi cari alternatif lain seperti daging.
Di lain waktu, apabila segolongan rakyat menyuarakan rasa terkilan mereka tentang sistem pilihan raya di negara ini, ada Menteri yang dilaporkan berkata “Kalau tak suka sistem sedia ada di negara ini, boleh berhijrah ke negara lain”. Kenyataan menteri ini kemudian disokong oleh seorang menteri lain, dengan kata-kata (lebih kurang), “Kalau tak suka, boleh duduk dalam hutan”.
Begitu juga, bila pada suatu ketika, harga gula naik, dan rakyat mula menyuarakan rasa sedih mereka, ada menteri yang dipetik sebagai berkata “Jangan makan gula, untuk hidup lebih lama”.
Baru-baru ini, bila berita bertiup kencang tentang kemungkinan tol lebuh raya akan naik dan rakyat (seperti telah dijangka) kemudian menzahirkan rasa kesal mereka, ada menteri lain pula yang dipetik telah berkata “Jangan gunakan lebuh raya. Gunakan jalan lama yang sedia ada”.
Memandangkan jawapan-jawapan menteri seperti yang disebutkan di atas tadi itulah, saya faham kenapa Dr. Asyraf Wajdi Dasuki (tokoh muda yang baru dilantik anggota MT UMNO) telah menyifatkannya sebagai sebagai “kenyataan dangkal yang hanya menambah kemarahan rakyat”
Lalu beliau menasihatkan agar menteri-menteri kita merungkai “formula terbaik” bagi menyelesaikan kesulitan rakyat akibat “pelbagai kenaikan hampir serentak” yang sudah pasti akan memberi kesan buruk kepada kos sara hidup. berikut adalah jawapan menteri apabila setiap barangan di naikkan harga selepas 5 mei lalu.
Pada Selasa lalu (17 Disember) saya pulang dari Subang dengan pesawat udara Firefly dan tiba di lapangan terbang di Kepala Batas (dekat Alor Setar) kira-kira jam 3.45 petang. Ketibaan saya dengan kerusi roda disambut oleh seorang sahabat yang bertugas di situ. Dalam perbualan kita yang tidak dirancang itu, sahabat saya itu sempat berpesan kepada saya untuk melihat kandungan portal berikut setibanya saya di rumah nanti – http://ajensifakap.blogspot.com/2013/12/harga-barang-naik-najib-razak-hari-ini.html.
Untuk makluman pembaca Utusan, saya salinkan di bawah ini sebahagian sahaja dari apa yang saya temui di portal itu. Mengikut pemilik portal itu, kenyataan-kenyataan berikut dibuat oleh Menteri-Menteri kita semenjak 5 Mei lalu –
* “jika petrol naik, jalan kaki jangan bawa kereta”.
* “jika tepung naik, jangan makan tepung, makan ubi”.
* “jika tambang bas naik, hantar anak sendiri ke sekolah”.
* “jika letrik naik, pakai lilin.. “.
* “jika tol naik, sila guna jalan biasa tiada tol”.
* “gula naik untuk elak obesiti …”.
* “jika tidak buat gst, malaysia akan bangkrap”.
* “tambang lrt paling rendah di dunia, mesti perlu di naikkan sebab sudah 10 tahun tak naik-naik”.
* “ayam naik jangan makan ayam, makan ikan”.
* “harga rumah naik jangan beli rumah, sewa saja”.
* “harga kereta naik tidak bebankan rakyat”.
Berikutnya, saya dapati bahan yang sama juga telah disiarkan dalam portal lain, iaitu http://akuanakpahang.blogspot.com/2013/12/kerajaan-barisan-nasional-dikecam-hebat.html. Rakyat kita yang tinggal di Lembah Klang sudah pun sedia maklum bahawa Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) telah mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan tambang pengangkutan awam LRT dan monorel akan naik tahun depan (2014). Bagi SPAD, kenaikan itu wajar memandangkan sudah 10 tahun tiada kenaikan.
Kenaikan kos hidup sudah tidak dapat dielakkan lagi memandangkan bahawa selain kenaikan harga gula, harga petrol juga telah naik dan tidak lama lagi tarif elektrik (dijangka berkuatkuasa tahun depan).
Kenaikan tarif elektrik itu akan memberi impak negatif kepada negara. Mengikut Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kadar inflasi negara dijangka meningkat daripada 2.8 kepada 3.0 peratus tahun depan.
Saya difahamkan oleh pihak yang lebih arif mengenai hal ini bahawa secara amnya kenaikan gaji rakyat kita (yang bekerja dengan majikan) adalah pada tahap 2.5% setahun sahaja, manakala kenaikan harga barang keperluan adalah lebih tiga kali ganda, iaitu 8.5% setahun. Perbezaan ini pastinya membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.
Rakyat hairan bagaimana harga gula boleh naik tiga kali dalam tempoh kurang satu tahun. Kali pertama, harga gula naik adalah pada 6 Julai 2010, kali kedua pada 4 Disember 2010, manakala kali ketiga pada 9 Mei 2011. Alasan yang diberi oleh kerajaan adalah “rasionalisasi subsidi.”
Rakyat negara ini tahu Malaysia adalah salah satu pengeluar gula utama dunia. Ada 4 buah kilang gula di negara kita, iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd (juga dipanggil Gula Prai), Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. Rakyat juga tahu Raja Gula Malaysia, Robert Kuok, merupakan antara orang terkaya di negara ini dan di rantau Asia.
Justeru, rakyat mahu tahu kalau Malaysia antara pengeluar gula utama dunia, bagaimana harga gula di negara ini boleh terus naik?
Pada Ogos 2012 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada rakyat negara ini bahawa usaha menangani kenaikan kos sara hidup rakyat akan terus menjadi “komitmen utama” kerajaan.
Harapan kita jaminan keramat Perdana Menteri ini akan terus ditunaikan, dan bila rakyat meluahkan rasa hati mereka mengenai kos sara hidup yang terus meningkat, hendaknya tidak ada lagi jawapan dari mana-mana menteri yang tidak masuk akal, seolah-olahnya memperbodohkan rakyat.




Amalan berbudi bahasa dalam masyarakat semakin luntur


PENULIS ialah pemerhati sosio-politik 

noor.azam33@gmail.com

ISUNYA bukan bola. Bukan tak boleh bertegur sapa. Isunya adab berbahasa. Dalam budaya Melayu ada yang disebut berbudi bahasa. Tingkah laku dan cara kita bertingkah-kata, terutama di depan massa. Sekarang lebih penting lagi, kerana akan tersiar dalam media massa dan media sosial yang bebas dan luas sebarannya. Lebih besar lagi kesannya apabila yang bertingkah kata adalah tokoh terkemuka.
Zaman tiga puluh atau empat puluh tahun dulu, yang jadi contoh teladan adalah orang tua-tua atau yang bergelar dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Zaman itu tidak ada istilah idola yang dipopularkan melalui kegiatan seni di pentas dan dalam tv.
Tanpa diangkat-angkat dan dipuji-puji dengan publisiti, orang tua dan berpangkat dijadikan contoh teladan. Sekarang, semakin ramai orang tua-tua dan yang dianugerah kehormatan istana pun, tingkah laku dan bahasa percakapan mereka tidak berbudi bahasa lagi. Yang melakukan bermacam jenayah pun kian ramai.
Perkataan “biadab” dan “kurang ajar” yang dulunya jarang sekali kita dengar di khalayak ramai, sekarang sudah jadi bahasa basahan. Maaflah, ada kalanya kenyataan dari istana pun menggunakan kata “biadab”.
Bahasa dan tingkah laku sangat kasar tak bersopan dalam episod pertengkaran keluarga – yang jadi kegemaran penulis skrip drama tv untuk menunjukkan konflik – sudah keterlaluan. Apakah sampai begitu sekali parahnya tingkah laku dalam keluarga orang Melayu sekarang?
Bahasa istana pun – kecuali dalam majlis adat istiadat – makin hilang. Semakin ramai rakyat Malaysia yang tak boleh berbahasa Melayu yang bagus – apa lagi bahasa istana – dianugerahi gelaran Datuk dan Tan Sri. Pendek kata, semakin hari, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita, semakin luntur. Dalam acara hiburan Melayu di tv kita – anak-anak muda penggemar siaran tv di panggung – dilatih menjerit melolong terpekik-pekik bagai dirasuk polong.
Maaflah, mukadimah ini agak panjang. Sebenarnya saya nak tulis tentang masalah perbezaan pendapat antara YB Khairy Jamaluddin dengan Datuk Jamal Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza. Saya menganggap peristiwa seperti ini – yang belum pernah terjadi – adalah penting.
Khairy bukan sebarangan orang. Beliau seorang menteri, tokoh muda yang segak dan popular; punya masa depan yang panjang untuk menjadi pemimpin negara. Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas kemajuan sukan, beliau boleh saja menegur dan mengkritik persatuan dan kelab sukan di bawah naungannya.
Akan tetapi dengan status ini, tidak seharusnya membolehkan beliau meluahkan perasaannya sampai melupakan kesopanan Melayu dan kebijaksanaan seorang pemimpin yang dipilih oleh parti Melayu dan rakyat.
Kata Datuk Siti Nurhaliza dalam twitternya, selepas pemimpin persatuan bola sepak dan Datuk Jamal Nasir diserang YB Khairy: “Sbg Menteri Muda & being look up, rasanya @Khairykj perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah…lantang x perlu biadab dgn yg lebih tua.” Siti beralaskan komennya dengan perkataan “rasanya” dan “berhemah”.
Malangnya para penyokong Khairy menghentam Siti dengan mengungkit perkahwinan dan taraf pendidikannya, dibandingkan dengan Khairy yang mendapat ijazah dari Universiti Oxford dan berkahwin dengan anak Perdana Menteri.
Janganlah lupa: Rezeki, jodoh pertemuan dan tanah kubur kita di tangan Tuhan. Tiada pasti apakah taraf pendidikan penyokong-penyokong menteri kita ini.
Namun ini menunjukkan orang yang rendah moralnya dan tak tahu berbudi bahasa. Dan ini bukanlah salah mereka, tetapi bukti salah didikan dan contoh teladan yang kita berikan. Kalau guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari.
Jamal Nasir sebagai orang tua yang berkhidmat dalam bola sepak negara – lama sebelum YB Khairy ikut masuk ke lapangan ini – merasa tersentuh hatinya. Kritik tajam daripada seorang menteri yang ada kuasa dan kepandaian, dirasakan bagai sembilu berbisa.
Sayanglah! YB Khairy menyambut luahan perasaan orang tua ini – dengan sergahan “Orang luar jangan masuk campur!”
Ada banyak isu di negara kita ini, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan bangsa kita, “orang luar” patut sekali “ikut campur”.
Rakyat yang prihatin ikut bertanggungjawab apa yang berlaku. Sumbangan rakyat diperlukan untuk membolehkan rancangan kerajaan dilaksanakan. Undi rakyat diperlukan dalam setiap pilihan raya. “Suara rakyat” – meskipun dianggap “orang luar” – adalah salah satu ciri penting dalam amalan demokrasi.
Mohon maaf. Ini hanya coretan pendapat seorang tua yang duduk jauh di luar gerbang kuasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131119/re_07/Amalan-berbudi-bahasa-dalam-masyarakat-semakin-luntur#ixzz2l3llVJXd
© Utusan Melayu (M) Bhd 


BUDAK SEKOLAH KAT MALAYSIA PUN SAMA…

Indonesia diberi jolokan ‘Baby Smoker’

gambar hiasan, seorang kanak-kanak sedang asyik menghisap rokok di Jakarta.

JAKARTA 20 Mei – Jolokan negara ‘Baby Smoker’ yang diberikan kepada Indonesia, mungkin bukanlah suatu pencapaian yang boleh dibanggakan buat negara ini.
Namun, itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh Indonesia apabila digelar sedemikian rupa, hanya kerana jumlah perokok teramai di negara itu terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur.
Berdasarkan data terbaru yang diperolehi Suruhanjaya Perlindungan Anak, sebanyak 69 peratus remaja Indonesia merupakan perokok aktif yang tinggal dalam keluarga perokok.
Apa yang turut membimbangkan, sebanyak 89 juta kanak-kanak terdedah kepada bahaya asap rokok dan terancam kesihatan mereka.
“Ini jelas memalukan. Fakta ini harus kita terima kerana data jelas menunjukkan jumlah perokok terbesar di Indonesia terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur,” kata ketua suruhanjaya itu, Aris Merdeka Sirait seperti dilaporkan media-media tempatan, hari ini.
Data yang dikeluarkan suruhanjaya itu juga menunjukkan, 230,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun sudah menjadi perokok aktif.
“Data terakhir di Sukabumi, misalnya mendapati ada seorang kanak-kanak berusia 11 bulan sudah menjadi perokok aktif.
“Setiap lima minit kalau tidak merokok, anak kecil itu akan mengalami perubahan perilaku. Inilah salah satu fakta mengapa Indonesia menerima jolokan Baby Smoker kerana perkara seperti ini tidak berlaku di negara lain,” kata Aris.
Katanya, walaupun China mencatat jumlah perokok terbesar di dunia, namun kes perokok cilik tidak pernah dilaporkan.
Kata Aris, di Indonesia, pemerintah mengizinkan syarikat pengeluar rokok mengiklankan produk mereka dengan bebas.
Menurut Aris, data yang dikeluarkan oleh pengusaha rokok Indonesia mendapati, perokok aktif di Indonesia saat ini mencapai 89 juta orang.
“Bayangkan jika daripada angka itu, masing-masing memiliki seorang anak, maka terdapat 89 juta anak Indonesia yang sudah terdedah atau menghisap asap rokok sebagai perokok pasif,” jelasnya. Apa yang membimbangkan ialah anak-anak muda berusia belasan tahun merupakan sasaran dan sangat berpotensi menjadi penjual produk rokok. – Utusan