HUDUD : Ahli Parlimen bukan Islam 
perlu beri laluan – Hadi

31 Mac 2015 2:16 AM
ABDUL HADI AWANG (dua kiri) bersama Mohamad Sabu (kiri), Mustafa Ali (dua kanan) dan Takiyuddin Hassan semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
KUALA LUMPUR 30 Mac –Ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam perlu memberi laluan kepada Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung pindaan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Parlimen.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu selaras dengan semangat Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut beliau, pada masa sama, Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama-agama lain diamalkan secara bebas di negara ini.
“Adalah tidak wajar Perlembagaan kita tidak memihak kepada orang Islam untuk melaksanakan hukum syariat sendiri sedangkan agama lain bebas.
“Islam adalah agama Persekutuan. Ini percanggahan yang perlu diperbetulkan oleh semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Penolongnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memasukkan satu usul bagi membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Tindakan itu menyebabkan sekutu Pas, DAP membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi dan turut meminta beliau meninggalkan pakatan pembangkang jika mahu membentangkan rang undang-undang persendirian atas kapasiti Ahli Parlimen pakatan pembangkang.
Beliau menambah, semua ahli Parlimen yang beragama Islam seharusnya menyokong rang undang-undang persendirian tersebut tanpa mengira parti politik yang diwakili mereka.
“Bidang kuasa kerajaan negeri Kelantan memerlukan pindaan kepada Jadual Kesembilan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen,” jelasnya.
Abdul Hadi berkata, pindaan turut merangkumi kaedah sebatan yang bakal digunakan agar hukuman itu lebih berunsur mendidik pesalah.
Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan menambah bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh negara termasuk di Kelantan.
“Pada masa ini, hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan,” ujarnya.
Jelas beliau, sebagai perban­dingan, Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, denda RM10,000 dan 12 sebatan.

POLITIK : Pas sifatkan DAP berbohong

26 Mac 2015 2:11 AM
KOTA BHARU 25 Mac – Pas menyifatkan sekutunya, DAP sebagai ‘berbohong’ apabila mendakwa tidak diberikan kefahaman secukupnya berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Mohamed Fadzli Hassan
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadz­li Hassan berkata, tanggapan tersebut tidak betul kerana sudah beberapa kali penjelasan tentangnya diberikan sebelum ini.
Justeru kata­nya, beliau yakin kepemimpinan DAP sudah jelas berkaitan isu tersebut dan tidak perlu lagi mempertikainya selepas Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.
“Saya sendiri sudah tiga kali bersama-sama pimpinan Pas Pusat serta kerajaan negeri berjumpa mereka bagi menjelaskan berkaitan hudud.
“Bermula di pejabat DAP di Cheras, semua pimpinan atasan DAP serta PKR hadir dan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kemudian di Pejabat Agung Pas dan akhir sekali di bangunan Parlimen baru-baru ini. Pimpinan lain seperti Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan tidak kurang daripada empat kali hadir.
“Bagi saya pimpinan pakatan pembangkang sudah jelas tentang hudud dan pendirian kita. Pada perjumpaan terakhir di Parlimen baru-baru ini tidak ada pun keputusan dibuat supaya Pas menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 ( Pindaan 2015) di DUN Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap keputusan DAP semalam yang memutuskan hubu­ngan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Susulan keputusan tersebut menyebabkan terdapat dalam kala­ngan masyarakat yang meletakkan kesalahan terhadap Pas kononnya gagal memberi kefahaman sejelas­nya kepada DAP berkenaan hudud, sekali gus menimbulkan kemelut di antara kedua-dua parti itu.
Sementara itu, Mohamed Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri berkata, sebahagian daripada pe­mimpin pakatan pembangkang itu dengan tegas menolak pelaksanaan hudud dalam setiap kali perjumpaan.

POLITIK : DAP dianggap putus dengan Pas – Haron Din

Pakatan pembangkang bakal berkecai
MAISARAH SHEIKH RAHIM | 26 Mac 2015 2:13 AM
KUALA LUMPUR 25 Mac – Keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap amat melampau sekali gus memberi isyarat hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai.
Harun Din
Perkara itu disua­rakan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang turut menyelar tindakan DAP menggelarkan Abdul Hadi sebagai pengkhia­nat kerana ia tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu parti sendiri sedangkan orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran DAP berbuat demikian seperti mahu mengajar Pas seolah-olah mengarahkan parti itu untuk menukarkan Presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.
“Adakah pada saat-saat seperti ini ketika kita semua mahu per­ba­i­ki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu, memutuskan hubungan dengan Presiden mengisyaratkan kepada pakatan akan berpecah.
“Apa yang nyata bukan kita memulakan masalah keretakan ini, tidak fahamkah DAP bahawa Pre­siden adalah sebahagian dalam parti dan parti merupakan sebahagian Presiden, jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan Pre­siden nak berhubung dengan siapa?
“Parti di bawah arahan Presiden, amat pelik tindakan DAP itu, kita nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
DAP semalam mengambil keputusan untuk memutuskan hubu­ngan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu me­laksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama, parti itu turut menuduh Abdul Hadi sebagai pe­mimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhia­nat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian ber­kenaan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan parti itu.
Dalam pada itu, tokoh ulama berpengaruh itu berkata, Pas sudah berkali-kali menyatakan kepada DAP bahawa jika mereka merasakan tidak perlu lagi kepada pakatan, maka parti itu dipersilakan keluar daripada gabungan kerjasama antara mereka. Menurut beliau, DAP perlu membuat keputusan sebegitu tanpa lagi berdolak-dalik mencari pelbagai alasan dengan menjadikan isu hudud sebagai modal pekikan mereka.
Sedangkan Pas, katanya, meng­anggap pakatan masih lagi berguna dan boleh dipertahankan buat ketika ini sehingga keadaan menentukan sebaliknya.
“Kalau DAP rasa mahu keluar, keluar sahaja dan kita tunggu senario politik baharu,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Haron berkata, DAP diminta merujuk semula keputusan pakatan pembangkang dalam soal hudud iaitu ketiga-tiga parti bersetuju dalam tidak bersetuju tentang agenda perjuangan Pas tersebut.
“Tidak mengapalah kalau mereka menentang hudud tetapi ja­nganlah sampai buat tuduhan begitu yang kurang sopan,” katanya.

HUDUD : DAP buat keputusan tidak masuk akal

TAK DAPAT KELDAIKAN PRESIDEN, CACAIKAN PENGIKUT OKLAH
25 Mac 2015 1:45 AM
KOTA BHARU 24 Mac – Pas negeri menyifatkan DAP membuat keputusan tidak masuk akal apabila hanya mahu memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bukannya dengan parti itu secara keseluruhannya.
Mohd. Amar
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP sepatutnya mengeluarkan kenyataan lebih jelas dan tidak perlu bermain wayang dengan ayat yang mengelirukan banyak pihak.
Beliau berkata, jika itu keputusan DAP, maka ini bermakna kepemim­pinan parti yang berteraskan kaum Cina itu juga telah memutuskan hubungan dengan Pas.
“Saya tidak faham kenapa putuskan hubungan dengan Presiden, sedangkan Presiden mewakili parti. Kenapa putuskan dengan Presiden tetapi tidak putuskan dengan parti, apa maksud DAP, saya sendiri tidak faham.
“Kami mendukung kepemimpinan Presiden, tolak Presiden bermakna tolak parti dan DAP jangan ingat dengan tindakan itu dia boleh menang. Keputusan tidak munasabah,” katanya kepada kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.
DAP hari ini mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan Pas bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.
Pada masa sama, DAP turut menuduh Abdul Hadi sebagai pe­mimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur, selain tidak menghormati persetujuan Majlis Pimpinan pakatan pembangkang dalam isu itu sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara dibuat oleh DAP kerana menganggap Abdul Hadi ‘pengkhia­nat’ dalam pakatan pembangkang kerana membentangkan usul rang undang-undang persendirian ber­kenaan hudud ke Parlimen tanpa pengetahuan parti itu.
Sebelum ini, Mohd. Amar mene­gaskan, Pas tidak kisah untuk bersendirian kerana sepanjang berada bersama-sama pakatan pembangkang, mereka sudah beberapa kali disisihkan rakan sekutu sehingga terpaksa berjuang bersendirian dalam pelbagai isu.
Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Pas akan merugikan pakatan pembangkang sendiri yang selama ini saling bergantung antara satu sama lain.
“Parti tidak boleh berdiri sendiri, Pas memerlukan DAP, DAP memerlukan Pas, PKR memerlukan Pas dan kita mencapai kejayaan hari ini kerana kerjasama yang terjalin ini.
“DAP juga bergantung pada Pas, kalau Pas tidak sokong belum tentu DAP boleh menguasai Pulau Pinang, Selangor. Siapa putus antara satu sama lain, semua akan rugi,” katanya.
Dalam pada itu ketika mengulas kenyataan Setiasusaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang menyifatkan pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan bukan keutamaan berdasarkan pandangan ulama-ulama besar dunia, Mohd. Amar berkata, itu pandangan peri­badi beliau, Pas tetap akan meneruskan hasrat melaksanakan undang-undang Islam tersebut.
“Ulama mana yang beliau maksudkan. Itu pandangan beliau sahaja,” katanya.

HUDUD : Pas Selangor teguh 
di belakang Hadi

Terus sokong hudud walaupun ditentang DAP
ZABRY MOHAMAD 
DAN ABDUL YAZID ALIAS | 25 Mac 2015 1:47 AM
Iskandar
SHAH ALAM 24 Mac – Pas Selangor akan terus menyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang meskipun tindakannya dalam isu hudud ditentang keras sekutu mereka, DAP sehingga memutuskan hubungan dengan Presiden parti itu.
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau akan tetap bersama dengan Abdul Hadi dalam mempertahankan pendirian parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
“Saya kekal teguh bersama Presiden Pas (Abdul Hadi),” kata­nya dalam akaun Twitter miliknya hari ini.
Kenyataan Iskandar itu kemudiannya disokong oleh ahli-ahli Pas negeri.
Dalam laman Facebook milik Pas Selangor, mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Abdul Hadi dan Iskandar selain bersedia mempertahankan tindakan parti itu dalam isu hudud.
“Kami teguh bersama Pesuruhjaya Pas Selangor (Iskandar) dan Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi). Anda bagaimana?” jelas status Facebook Pas Selangor hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Hulu Kelang daripada Pas, Saari Sungib mahu DAP tidak mengambil tindakan unilateral sehingga memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Abdul Hadi.
Malah, beliau turut meminta DAP supaya menghormati prinsip serta perlembagaan parti-parti dalam pakatan pembangkang, bukannya mencampuri hal dalaman yang bukan melibatkan mereka.
“Jika semua pihak menghormati prosedur dan perlembagaan parti masing-masing, saya fikir tidak akan timbul masalah,” ujarnya.
DAP membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dan menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi berikutan ketegasannya mahu membawa rang undang-undang persendirian mengenai hudud ke Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, parti itu kini sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Abdul Hadi sebagai pemimpin pakatan pembangkang.
Menurutnya, DAP tidak lagi boleh bekerjasama dengan Abdul Hadi yang disifatkan tidak jujur dan tidak bermaruah.

DAP putus hubungan dengan Presiden Pas – SETUJU UTK TIDAK BERSETUJU…

DAP tuduh Abdul Hadi Awang tidak bermaruah
KASTHURI JEEVENDRAN | 25 Mac 2015 1:49 AM
Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR 24 Mac – DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan tidak bermaruah dan jujur berikutan tindakan parti itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, pengkhianatan Abdul Hadi bukan saja dalam isu hudud, malah dalam isu pencalonan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang menyebabkan krisis besar berlarutan sehingga hampir menjatuhkan kerajaan ne­geri Selangor.
“DAP kesal dengan pengkhianatan Abdul Hadi. Kami telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepemimpinan beliau dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan sebarang kerjasama dengannya.
“Ini bukan kali pertama tetapi kali ketiga perkara membelakangkan dasar persefahaman ini berlaku. Beliau tidak jujur dan bermaruah.
“Tindakan yang diambil sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) juga akan menyebabkan kedudukan majlis pimpinan pakatan pembangkang dalam keadaan terawang-awang namun kami akan bertemu dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membincangkan masa depan kami nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mesyuarat tergempar CEC malam tadi diadakan bagi membincangkan kedudukan serta pendirian parti itu dalam pakatan pembangkang selepas Pas meneruskan pembentangan Rang ­Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Kelantan pada Rabu lalu yang diluluskan sebulat suara sehari selepas itu.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan, partinya tetap berkeras menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana bercanggah dengan Perlembagaan.
“Pengundi yang menyokong Pas dalam pilihan raya umum lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk dasar bersama yang dibawa oleh pakatan pembangkang. Yang melanggar dasar ini adalah Pas,” tegasnya.
Dalam pada itu, ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini, Guan Eng turut mendesak Abdul Hadi me­ninggalkan pakatan pembangkang sekiranya masih bertegas mahu membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di Parlimen.
Menurut Guan Eng, sekiranya Abdul Hadi masih berdegil untuk meneruskannya, beliau harus melaksanakannya di atas kapasiti peribadi sebagai Ahli Parlimen dan bukan sebagai anggota pakatan pembangkang.

POLITIK : Pas boleh ‘hidup’ tanpa PKR, DAP

Pernah disisih rakan sekutu sehingga berjuang sendirian
ZAAIN ZIN | 23 Mac 2015 1:04 AM
KOTA BHARU 22 Mac – Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengikut langkah DAP untuk tidak menyokong pembentangan rang undang-undang berkaitan pelaksanaan hudud di Dewan Rakyat kelak gagal memberi kesan kepada Pas kerana perjuangan tersebut akan tetap diteruskan.
Mohd. Amar Nik Abdullah
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sepanjang berada bersama pakatan pembangkang, Pas sudah beberapa kali disisihkan rakan sekutu sehingga terpaksa berjuang bersendirian dalam pelbagai isu.
Sehubungan itu, katanya, beliau yakin Pas tetap boleh ‘hidup’ sekiranya suatu hari nanti pakatan pembangkang ditakdirkan berpecah.
“Kalau betul PKR pun tak nak bersama kita, kita terima hakikat. Kita tak boleh paksa dia ikut juga. Apa yang penting kita kena teruskan hudud sebab ini memang perjuangan Pas.
“Andai Pas balik ke asal iaitu bersendirian pun kita terima hakikat, tetapi sejarah membuktikan kita tetap boleh `hidup’ walaupun sudah beberapa kali bersendirian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pas kini bersendirian tanpa restu pakatan pembangkang untuk memperjuangkan pelaksanaan hudud di Kelantan selepas PKR memutuskan mengikut langkah DAP untuk tidak menyokong hasrat parti itu membentangkan rang undang-undang berkenaan di Parlimen.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR semalam dan kenyataan mengenai­nya ditandatangani Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan kepemimpinan tertinggi parti itu.
Mohd. Amar yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud dalam pada itu menegaskan, jika PKR dan DAP terus membantah dan menghalang usaha Pas, tindakan itu tidak menguntungkan kedua-dua parti tersebut.
Katanya, bantahan tidak sepatutnya berlaku kerana hanya akan merugikan keseluruhan pakatan pembangkang.