IPT : Sedia beri kuasa autonomi

Sedia beri kuasa autonomi.Bagi bolehkan universiti awam buat keputusan lebih pantas – Perdana Menteri
FITRI AFFENDI MUSTAFA | 08 September 2015 2:02 AM
NAJIB TUN RAZAK berucap dalam majlis bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, semalam. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Kerajaan bersedia untuk memberikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada semua universiti awam dari segi tadbir urus, kewangan dan perjawatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut untuk membolehkan pihak pengurusan universiti membuat segala keputusan dengan lebih pantas.
“Kita nak empowerment atau memperkasakan universiti bererti kita nak beri kuasa, kenaikan pangkat, jawatan dan juga kuasa kewangan supaya keputusan-keputusan lebih pantas dapat dibuat oleh pihak universiti.
“Bagaimanapun, ia mesti di­sertai dengan proses akauntabiliti supaya agensi-agensi pusat boleh dirundingkan apa bentuk dan secepat mana proses pemerkasaan itu dapat diturunkan kepada universiti kita,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Bersama Warga Pendidikan Tinggi serta Pelancaran Buku Panduan Enhancing University Board and Effectiveness di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Buku panduan itu yang juga dikenali sebagai UniTP Green Book merupakan salah satu daripada lima buku panduan yang dihasilkan bagi memacu program transformasi di universiti awam.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Sementara itu, Perdana Menteri berharap Lembaga Pengarah serta Naib Canselor universiti awam dapat membantu kerajaan untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi me­ngendalikan pengurusan universiti.
“Salah satu perkara yang amat rumit menjadi Perdana Menteri apabila terpaksa naikkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi kalau terpaksa naik yuran universiti dan sebab itu kita pertahankan yuran dari dahulu tak naik sampai sekarang.
“Dan jika nak pertahankannya dan mencapai sasaran 2.5 juta rakyat menerima pendidikan tinggi menjelang 2025 berbanding 1.4 juta sekarang, tak disebut sumber kewangan daripada mana. Jadi, saya berharap LPU (Lembaga Pengarah Universiti) dan NC (Naib Canselor) lihat dan guna keupayaan intelektual mereka untuk mencari sumber kewangan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Tinggi mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi LPU dan Naib Canselor universiti dua kali setahun bagi membincangkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
Najib berkata, perkara tersebut bukan untuk mencari kesalahan atau kelemahan universiti sebalik­nya bagi mendapatkan maklumat berkenaan masalah yang dihadapi pihak pengurusan.
“Perkara ini saya telah lalukan dengan menteri (kabinet) iaitu mengadakan KPI pada pertengahan tahun dan hujung tahun. Ini bukan sesi untuk ‘mendera’ Naib Canselor tetapi berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bagi memastikan perjalanan universiti lebih berkesan dan lancar,” jelasnya.
Najib turut menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menekankan kepentingan subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada orang ramai.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan kepentingan kepada orang ramai untuk menguasai Bahasa Inggeris pada tahap tinggi.
Advertisements

Penentu masa depan negara Najib

PPPM (PT) diyakini mampu lahirkan graduan berilmu, berakhlak

KAMIL MASLIH 
DAN SOFIAN BAHAROM | 08 April 2015 2:29 AM

Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bergambar bersama tokoh korporat

NAJIB TUN RAZAK dan Muhyiddin Yassin bergambar bersama tokoh korporat dan akademik yang bersetuju menyumbang kepakaran di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 di Kuala Lumpur, semalam. utusan/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR 7 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PT) yang dilancarkan hari ini merupakan hala tuju baharu yang bakal menentukan masa depan negara.
Menurut Perdana Menteri, pelan berkenaan yang menggariskan 10 lonjakan serta lima aspirasi sistem itu diyakini dapat melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan mampu memberi sumbangan kepada negara.
Jelasnya, beliau dapat merumuskan objektif pelan itu sebagai 3B iaitu melahirkan graduan-graduan yang berbakat, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.
“Saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan pelan ini tetapi saya yakin pelan ini boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk Malaysia, “ katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PPPM (PT) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Pada majlis berkenaan, para hadirin yang berjumlah lebih 2,500 orang itu turut dipertontonkan vi­deo ucapan tahniah daripada Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa -Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova.
Menurut Najib, beliau menyokong penuh PPPM (PT) kerana pelan itu bukan sahaja dapat menjana modal insan berkualiti yang memenuhi kehendak industri tetapi juga mempunyai nilai positif dari segi akhlak, rohaniah dan moral selari dengan identiti nasional.
“Ini sebab pandai sahaja tapi tiada akhlak pun tidak berguna. Dia boleh menggunakan kepandaiannya merosakkan negara kita. Contoh paling ekstrem, ada kelulusan tinggi tetapi guna ilmu itu buat bom, ini tidak mustahil,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Najib, autonomi yang diperoleh institusi-institusi pengajian tinggi awam di negara ini perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan selain menjana kewangan sendiri tanpa terlalu berharap peruntukan tambahan daripada kerajaan.
Kata Najib, kerajaan sememangnya memberi penekanan tinggi kepada bidang pengajian tinggi kerana peruntukan daripada bajet negara dalam bidang itu adalah sebanyak 7.7 peratus iaitu jauh lebih tinggi berbanding negara Korea Selatan sebanyak 3.9 peratus, Jepun (1 peratus), Indonesia (3.1 peratus), Thailand (3 peratus) dan Singapura (6.4 peratus).

2,000 belia Shah Alam mohon masuk UiTM

09 Mac 2015 1:40 AM
AZHARI SHAARI (depan, tiga dari kiri) bersama Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Rahim Mat Shah (depan, dua dari kiri), Naib Ketua Bahagian, Datuk Nor Hisham Ses (depan, empat dari kiri) dan Ketua Pemuda Bahagian, Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop (kiri) melaungkan ‘Kami Mahu Masuk U’ bersama calon-calon pelajar Universiti Teknologi Mara dalam Program Jom Masuk U yang diadakan di Dewan Beringin, Seksyen 24 di sini semalam. – utusan/ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM 8 Mac – Walaupun keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang, namun demi mengubah masa depan yang lebih baik, 2,000 belia yang kebanyakannya daripada keluarga kurang kemampuan memohon melanjutkan pelajaran di Uni­versiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi program Jom Masuk UiTM.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi peluang kepada belia yang mendapat keputusan SPM sekurang-kurangnya tiga kredit meneruskan pendidikan tinggi, seterus­nya dapat mengubah nasib keluarga yang terpaksa berdepan kos tinggi di bandar besar.
“Program yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Shah Alam ini bukan sahaja mendapat perhatian warga bandar raya itu, malah ada yang datang dari Kuala Lumpur dan sejauh Miri, Sarawak.
“Kita berharap program sebegini dapat dikembangkan lebih jauh oleh semua UMNO bahagian di Selangor,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut di Dewan Beringin, Seksyen 24, di sini hari ini.
Calon-calon yang berjaya mendapat tempat di UiTM menerusi program berkenaan akan menjalani kursus pradiploma sebelum ke peringkat diploma.
Azhari menambah, pihaknya sentiasa komited menganjurkan program pendidikan untuk anak-anak warga bandar raya ini seperti tuisyen percuma menjelang pe­periksaan SPM pada tahun lalu.

Sultan Nazrin sebak kenang amanat ayahanda

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 18 Disember 2014 2:31 AM
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH sebak ketika menerima persalinan jubah bekas Canselor Universiti Malaya, Almarhum Sultan Azlan Shah daripada Prof. Dr. Mohd. Amin Jalaludin (kanan) pada Majlis Memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam
KUALA LUMPUR 17 Dis. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebak ketika mengenang kembali amanat ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah 35 tahun lalu mengenai pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terus dipelihara.
Baginda yang kelihatan mengalirkan air mata mengenangkan pesanan itu bertitah, suasana negara sekarang menyaksikan ramai rakyat semakin cenderung mencetuskan isu-isu sensasi sehingga menjejaskan hubungan harmoni antara kaum selain berpotensi mencetuskan konflik agama dan perkauman.
Sehubungan itu baginda menyeru semua pihak memahami atau membaca kembali pesanan tersebut yang dizahirkan Almarhum dalam pidato pada 30 Jun 1979 menyentuh mengenai prinsip-prinsip asas penubuhan negara ini.
Jelas baginda, pidato dizahirkan semasa majlis Pidato Penghargaan Graduan Kehormat sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) tersebut merupakan satu antisipasi dan peringatan yang mendahului waktu khususnya untuk rakyat Malaysia.
“Mesej utama yang terkandung dalam pidato tersebut menyentuh aspek-aspek keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Pentingnya negara memiliki badan kehakiman yang bebas berkecuali dan mahkamah mestilah mengenali keadilan, berkawan mesra dengan kedaulatan undang-undang, bersahabat rapat dengan kebenaran dan berjinak-jinak dengan kejujuran,” titah baginda dalam nada yang sesekali tersekat-sekat.
Baginda bertitah demikian dalam majlis Memperingati Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga bekas Canselor UM selama 28 tahun di universiti itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin.
Titah baginda itu menyebabkan para hadirin yang memenuhi Dewan Tunku Canselor senyap, malah sebahagian daripadanya kelihatan turut mengalirkan air mata.
Sementara itu, Sultan Nazrin yang kini dilantik Canselor UM menggantikan ayahandanya berkata, Almarhum turut pernah mengingatkan agar pemimpin politik tidak menjadikan universiti sebagai salah satu pentas untuk berpolitik.
Titah baginda, peringatan itu dizahirkan pada tahun 1987 berikutan telah terbukti mana-mana universiti yang mendapat campur tangan luar akan menyebabkan kemerosotan dalam mutu akademiknya.
“Sultan Azlan Shah secara konsisten menegaskan pentingnya universiti merangka kandungan pendidikan yang holistik, merangkumi aspek agama, intelek, nilai-nilai murni dan integriti.
“Titah tersebut dizahirkan 27 tahun lalu. Namun, kata-kata pe­ringatan tersebut adalah mutiara kata yang wajib dijadikan pedoman demi menjamin mutu akademik universiti tidak dikorbankan oleh faktor-faktor bukan akademik,” titah baginda.

Kemasukan pertama pelajar UiTM Raub November tahun depan

19 November 2014 12:41 AM
Shahiruddin Ab. Moin (dua dari kanan) melihat pelan pembinaan kampus UiTM Raub, Pahang, baru-baru ini.
RAUB 18 Nov. – Pembinaan Kampus Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Raub bernilai RM230 juta dijangka siap lebih awal pada Julai tahun hadapan berbanding jadual asal pada Oktober 2015.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, proses pembinaan yang dimulakan pada November 2012 berjalan dengan lancar di mana sebanyak 70 peratus pembinaan telah siap setakat ini.
“Kita berpuas hati dengan perlaksanaan projek yang setakat ini berjalan dengan lancar dimana lebih cepat sebanyak kira-kira 15 peratus atau pun 75 hari.
“Jadi kita menjangkakan projek ini akan diserahkan pada Oktober tahun depan sebelum kemasukan pelajar pertama pada 1 November 2015,” katanya selepas melakukan lawatan di tapak projek UiTM Raub di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengarah Projek Utusan Intelek Sdn. Bhd., Mohd. Khalil Dan dan Pegawai Daerah Raub, Khairul Anuar Mahmood.
Menurut Shahiruddin, kampus yang mampu memuatkan sehingga 3,000 pelajar itu akan menawarkan tiga bidang pengajian utama iaitu Fakulti Sains dan Pentadbiran, Fakulti Sains dan Matematik dan Fakulti Pengurusan.
Justeru, beliau berharap kampus berkenaan bukan sahaja dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar setempat tetapi mampu melonjakkan lagi ekonomi penduduk setempat.
“Jadi saya berharap peluang perniagaan di dalam kampus akan turut diberikan kepada penduduk setempat selain pembinaan kawasan perniagaan di luar kampus.
“Saya juga berharap penduduk setempat akan mengambil kesempatan dengan merebut pelbagai peluang yang ada bagi meningkatkan pendapatan masing-masing,” ujarnya.


– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/kemasukan-pertama-pelajar-uitm-raub-november-tahun-depan-1.26292#sthash.am8PIZRF.dpuf


Istiadat Konvokesyen UiTM ke-81 Sabtu ini

ABDUL RAZAK IDRIS | 18 November 2014 1:51 AM
SHAH ALAM 17 Nov. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan melangsungkan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-81 bermula dari 22 November hingga 9 Disember depan.
Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Alfina Bakar berkata, istiadat itu akan menyaksikan sebanyak 31,532 graduan UiTM di seluruh negara menerima pengiktirafan di atas kecemerlangan mereka dalam pelbagai bidang pengajian meliputi doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma.
Katanya, sebanyak 52 graduan akan menerima PhD manakala 1,170 graduan akan menerima ijazah sarjana. Sebanyak 13,370 penuntut pula bakal menerima ijazah sarjana muda, diikuti 16,699 (diploma), diploma lepasan ijazah (48) dan profesional (193).
“Sebanyak 17,134 penerima ijazah dan diploma merupakan penuntut di kampus induk di sini manakala sebanyak 14,398 penuntut dari kampus cawangan di seluruh negara bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.
“Penganugerahan ijazah itu akan di­sempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UiTM yang mana Seri Paduka berkenan menyampaikan ijazah tersebut pada sidang pertama istiadat konvokesyen itu,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Seri Paduka juga berkenaan menyampaikan Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor; Anugerah Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Tun Abdul Razak kepada graduan cemerlang sempena istiadat konvokesyen berkenaan yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM.
Selain itu, anugerah lain yang akan turut disampaikan pada istiadat konvokesyen tersebut adalah Anugerah Cemerlang Tan Sri Arshad Ayub; Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang); Anugerah Cemerlang Pharmaniaga; Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM; Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hashim; Anugerah Kepimpinan Cemerlang dan Anugerah Hadiah Buku MTDC.


– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/istiadat-konvokesyen-uitm-ke-81-sabtu-ini-1.26031#sthash.31VUtyVn.dpuf