Taat kepada ulama dan umara’

Najib Tun Razak (kanan) bersalaman dengan Ketua Mahkamah Syariah Makkah, Sheikh Saleh Ad-Duwaish (tengah) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Keempat, di Mekah baru-baru ini. – BERNAMA

ALHAMDULILLAH telah berlalu Ramadan 1433 Hijrah. Suara para imam di Masjid Al-Haram Mekah sebagai masjid paling suci di ibu kota umat Islam sedunia. Pada penghujung setiap Solat Witir selepas Solat Tarawih dan Solat Tahajud iaitu sewaktu doa qunut – masih terbayang dan dihayati dengan memohon pengampunan Allah Yang Maha Kuasa, meningkatkan keimanan umat dan yang paling utama – merapatkan perpaduan umat demi menghadapi cabaran sosio-politik semasa yang pada ketika ini paling mencabar di Syria, Palestin dan Myanmar.
Hanya dengan perpaduan dapat memelihara dan menjana kekuatan umat. Teras Manhaj (skima) kekuatan umat akan tercapai apabila umat menghayati Firman yang Maha Pencipta (Surah Ali Imran, ayat 103) yang bermaksud: “Berpegang teguhlah dengan tali agama Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah”.
Juga sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah tidaklah menghimpun umat Muhammad di atas kesesatan. Dan Tangan Allah bersama jemaah. Dan sesiapa yang menyimpang maka penyimpangannya adalah ke dalam neraka” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Tirmizi).
Peranan ketua-ketua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada mesyuarat luar biasa atas inisiatif Raja Abdullah Arab Saudi untuk julung kali bermesyuarat bersebelahan Masjid Al-Haram di ibu kota Tanah Suci Mekah dan di penghujung bulan suci Ramadan iaitu pada kemuncak 27 Ramadan amat signifikan kepada perpaduan umat. Kita doakan agar ketua negara-negara Islam akan lebih berani serta proaktif dalam menangani urusan umat.
Harus juga diberi kepujian kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup mengharungi lautan ribuan umat Islam sejurus selepas solat tarawih untuk berjalan kaki (dengan mengambil risiko keamanan) dari Istana Tetamu ke lokasi lain bersebelahan Masjid Al-Haram bertemu dengan para ulama Mekah, Qaseem dan Riyadh.
Sifat tawaduk Perdana Menteri amat dipuji oleh para ulama yang hadir atas kesanggupan seorang ketua negara mendengar dan meneliti pandangan para ulama. Ini adalah satu acara yang jarang terjadi dan ia harus dijadikan satu contoh terbaik atau precedent kepada umat.
Selepas perjumpaan dengan para ulama yang diketuai oleh Sheikh Dr. Hamad Al-Jalali, seorang ulama veteran yang terkemuka di Arab Saudi, bersama Sheikh Dr. Sulaiman Al-Salumi, seorang Mufti di Masjid Al-Haram dan Pengerusi Badan Dakwah dan Bimbingan di Mekah; Sheikh Saleh Ad-Duwaish, Ketua Mahkamah Syariah Makkah; Sheikh Dr. Hamad Al-Ghammas, Pengerusi Lembaga Pengarah Al-Madj TV (13 saluran) yang popular di Asia Barat dan Al-Huda TV (saluran bahasa Inggeris) yang popular di benua Amerika dan Eropah; serta beberapa ulama yang lain, maka tersebar pujian di kalangan para ulama Asia Barat serta keinginan mereka untuk turut sama hadir pada majlis yang terpuji ini.
Masing-masing mengimbas perintah Allah (Surah AnNisa’ ayat 59) yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada ArRasul dan Ulil-Amri dari kamu“.
Imam An-Nawawi di dalam Syarahnya Sahih Muslim menerangkan : “Berkata ulama: …ucapan ini adalah daripada jumhur para Salaf dan Khalaf, daripada para mufassirin dan fuqahaa dan selain mereka, dan mereka berkata, mereka (Ulil-Amri) itu adalah Ulama dan Umara’.” Ketaatan kepada kedua-dua ini pastilah dalam perkara yang makruf.
Tiada syak lagi kepentingan peranan dan tanggungjawab kedua-dua golongan ini. Maka kedua-duanya wajib berganding tangan menangani urusan umat. Kedua-duanya wajib dengan penuh rasional mengikhlaskan niat dan mengakomodasikan kelemahan yang sedia ada pada sifat basyar atau kemanusiaan demi memelihara keutuhan dan maruah agama, bangsa dan negara.
Benarlah Firman Allah di atas yang memerintah umatnya berpegang teguh kepada tali agama Allah dan tidak berpecah-belah. Firman-Nya juga (yang bermaksud) : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara; maka perdamaikanlah kedua saudara kamu (yang berselisihan)”. (Surah Al-Hujurat ayat 10).
Perpaduan dan kerjasama para ulama dan umara’ adalah formula Islamik yang menjamin kesejahteraan umat. Apabila kedua-dua golongan berpadu maka hak asasi memelihara akidah Muslim melalui konsep al-Wala’ dan al-Bara’ akan terlaksana.
Al-Wala’ ialah kesetiaan kepada segala yang memelihara kemaslahatan baik untuk Islam dan muslim. Al-Bara’ adalah menolak atau menyucikan diri daripada segala yang berunsur kufur atau kafir. Maka wajib memberi keutamaan kepada Islam dan Muslim berbanding ke atas kufur dan kafir. Wajib mendahului kesefahaman antara saudara Muslim berbanding ke atas mereka yang tidak mengucap dua kalimah syahadah.
Ini jauh berbeza dengan amalan demokrasi ala Barat yang sering melagakan antara pemerintah dan rakyat. Sistem pemerintahan demokrasi ala Barat yang bertujuan untuk mendirikan negara republik/sosialis sering melagakan antara pemerintah dan rakyat/pekerja (i.e. anti-establishment).
Apabila perbezaan memuncak maka diadakan demonstrasi jalanan untuk menyalakan api fitnah kemarahan, melahirkan simpati dan seterusnya mengaut undi rakyat. Maka terjadilah pertelingkahan bertujuan menggulingkan kerajaan sedia ada atas dasar kononnya “hak asasi manusia” tanpa mengira dasar al-Wala’ dan al-Bara’ dalam Islam.
Islam menganjurkan kesefahaman, perbincangan dan kerjasama antara umatnya. Pertelingkahan yang melampau lebih membawa kepada keburukan kepada kedua-dua pihak yang bermusuh; pada hal kedua-dua pihak mengucap dua kalimah syahadah.
Semoga Allah mengembalikan umat Islam kepada budaya dan peradaban al-Quran dan As-Sunnah dengan memelihara perpaduan umat demi menangkis fitnah luaran Islam yang berusaha memecah-belah umat serta menggadai hak akidah, agama, bangsa, negara dan maqasid/maksud syarak.

KOMEN : TAK RUGI BERSANGKA BAIK…

Advertisements

Kenapa Anwar tolak hudud?

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pas dinasihatkan tidak berharap kepada komitmen Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan pada masa depan.
Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan (gambar) berkata, berdasarkan kenyataan Anwar selama ini, beliau secara jelas menyatakan hukum syariah itu tiada dalam dasar bersama pakatan pembangkang atau dokumen Buku Jingga yang menggariskan agenda pakatan pembangkang.
Sehubungan itu, kata Nallakaruppan, beliau berasa kasihan terhadap para pemimpin Pas yang beria-ia mahu memperjuangkan hukum hudud sedangkan Anwar tidak bersedia melaksanakannya dan DAP pula secara konsisten serta keras menentang agenda tersebut.
“Saya menghormati para pemimpin spiritual Pas yang tegas memperjuangkan hukum hudud kerana mereka ikhlas dan komited terhadap usaha itu, tetapi selagi berada dalam pakatan pembangkang, hudud dilihat amat sukar dilaksanakan.
“Di samping itu, Pas tidak boleh berharap kepada Anwar kerana Anwar sendiri takut terhadap hukum hudud apabila beliau selama ini terlibat dalam pelbagai isu moral,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang merupakan bekas rakan karib Anwar selama lebih 30 tahun mengulas mengenai pendirian Anwar selaku Ketua Pembangkang yang tidak jelas mengenai hudud ekoran perbalahan berterusan Pas dan DAP dalam aspirasi pelaksanaan hukum itu.
Pada sidang akhbar 28 September 2011, Anwar menjelaskan hudud bukan merupakan sebahagian agenda pembangkang buat masa ini tetapi pada masa sama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003.
Dalam satu kenyataan menerusi blog beliau kelmarin pula, Anwar sekadar menegaskan pakatan pembangkang mengiktiraf, menghormati perbezaan pandangan serta kedudukan komponen pembangkang berkenaan hukum hudud dan mendakwa ia merupakan penerimaan mereka terhadap amalan konsensus politik.
Sementara itu, Nallakaruppan memberitahu, Pas dan rakyat tidak harus terpedaya dengan tindak-tanduk serta kenyataan bercelaru Anwar dalam isu hudud kerana Ketua Pembangkang tersebut mempunyai keupayaan mengelirukan masyarakat.
“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam blog beliau beberapa hari lalu mengakui terpedaya dengan imej Islamik Anwar yang warak dan menasihatkan semua rakyat terutama penyokong pembangkang tidak ikut tertipu.
“Seperti yang kita tahu, Anwar hanya bercita-cita menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun dan mengimpikan untuk menguasai Putrajaya,” katanya.

Mengusir Bumiputera ke kampung?

BUMBUNG MERAH

Bagi orang biasa, mereka hanya mahu mencari sebuah rumah untuk membesarkan keluarga dan berteduh tanpa memikirkan permainan hartanah yang menjadikan ramai individu kaya-raya.
Permainan jual beli hartanah adalah satu dunia yang memang jauh daripada kemampuan diri, apatah lagi bagi golongan seperti kami yang hanya mampu membeli rumah kos rendah sahaja.
Namun, kebelakangan ini saya dan rakan-rakan yang sama taraf melihat dunia permainan hartanah semakin keji dan kotor apabila pemaju galak membina rumah mahal sementara orang kaya membeli rumah kos rendah dan sederhana sebagai ‘pelaburan’.
Berita yang menyatakan Persatuan Pemaju Perumahan (REHDA) yang mahu melupuskan kuota bumiputera yang tidak dapat dijual juga umpama menghina kebijaksanaan orang biasa.
Kami tidak kaya tetapi kami juga tidak bodoh. Bagaimana mahu dijual jika asyik membina rumah mewah yang harganya tidak kurang daripada RM400,000 dan mencecah RM10 juta sebuah?
Adakah mereka ini ingin mempermainkan orang Melayu dengan membeli tanah-tanah dan membina rumah yang sememangnya tidak mampu dimiliki kami walaupun dalam tiga keturunan?
Jelas lagi nyata ini semua taktik untuk menghalau bumiputera kembali ke kampung dan pedalaman dan menumpukan kaum tertentu sahaja di kawasan bandar.
Sampai bila kerajaan mahu membiarkan ini berlaku tanpa menghadkan bilangan projek perumahan mewah di kawasan orang Melayu?
Seperti mana dapat dilihat kereta-kereta mewah di jalan raya majoritinya dipandu kaum bukan Melayu. Kini sudah jelas wujud penempatan-penempatan mewah yang didiami bukan Melayu bersama orang asing yang membeli rumah di sini.
Di samping itu, kediaman sederhana dan kos rendah pula ‘diserang’ golongan berduit yang mahu berkecimpung dalam permainan hartanah. Walaupun kononnya sebagai pelaburan, tindakan mereka yang membeli murah dan menjual mahal telah menyebabkan harga rumah melonjak dengan mendadak dalam tempoh 10 hingga 15 tahun sebelum ini.
Ramai yang menjadi jutawan segera melalui aktiviti ini walaupun kerajaan telah mengenakan caj jika menjual semula rumah yang baru beberapa bulan dibeli.
Bayangkan untung bersih menjual rumah kos sederhana atau rendah boleh mencecah RM100,000 sebuah sementara caj yang dikenakan hanya beberapa ribu ringgit sahaja.
Mereka ini umpama penyangak mata wang tetapi memainkan harga hartanah terutamanya harga kediaman.
Akhirnya, kami yang mencari rumah untuk didiami menjadi pemilik keempat atau kelima yang terpaksa membayar sehingga lima kali ganda harga sebenar rumah tersebut.
Saya tahu orang yang bergiat dalam permainan hartanah mahupun warga REHDA sendiri akan mempertahankan tindakan mereka sebagai satu proses perniagaan biasa mahupun menyalahkan kenaikan kos barang binaan.
Namun, kami rakyat jelata tidak reda dengan cara ‘penyamun tarbus’ ini dan tidak menghalalkan satu sen pun yang tergadai untuk mereka ini menjadi kaya dengan mudah.
Saya harap kerajaan kembangkan lagi fungsi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membeli tanah-tanah dan membina rumah mampu milik untuk didiami sahaja.
Hentikan gerakan membina rumah mewah yang tidak kena tempat dan masanya serta halang aktiviti jual-beli rumah semata-mata demi keuntungan.
Berilah peluang kepada anak-anak muda yang masih menyewa untuk membeli rumah pertama mereka berbanding lanun-lanun kaya yang hanya mahu menjadi lebih kaya.

Azab

DARI UTUSAN MALAYSIA
28/8/2012

bencana alam seperti gempa bumi atau banjir diturunkan bagi mengingatkan umat manusia akan azab Allah SWT. – Gambar hiasan

DALAM pengertian keagamaan, hukuman yang ditimpakan kepada seseorang sebagai akibat daripada perbuatannya, disebut azab. Hukuman itu sendiri terbahagi kepada dua, iaitu yang berasal daripada Allah SWT dan yang dilakukan suatu golongan terhadap golongan lain.
Contoh hukuman daripada Allah SWT adalah hukuman yang ditimpakan kepada Firaun dan para pengikutnya agar mereka menyedari kekeliruannya dan kembali ke jalan yang benar (rujuk az-Zukhruf: 48).
Adapun contoh hukuman daripada suatu golongan kepada golongan yang lain adalah seksaan yang dilakukan Firaun serta para pengikutnya terhadap Bani Israel dan pembunuhan semua bayi lelaki mereka (rujuk al-Baqarah: 49; al-‘Araaf: 141; Ibrahim: 6; ad-Dukhaan: 30-31)
Di dalam al-Quran dijelaskan bentuk dan sebab azab. Contoh sebab azab kerana kafir kepada Allah SWT diterangkan dalam surah al-Anfal ayat 35, dan mendustakan ayat-ayat Allah SWT dalam surah al-‘Araaf ayat 36-39. Salah satu contoh bentuk azab Allah SWT di neraka adalah minuman daripada air yang sedang mendidih. Ini terdapat dalam surah al-An’am ayat 70.
Pada umumnya, kaum Asy’ariyah (penganut aliran Asy’ariyah) meyakini adanya azab Allah SWT yang ditimpakan kepada manusia ketika masih berada di dunia ini. Dalam al-Quran dikisahkan adanya azab dalam pelbagai bentuk bencana alam.
Bangsa-bangsa terdahulu yang ingkar atau zalim tertimpa bencana itu, misalnya angin kencang yang amat dingin dan membinasakan kaum Ad (rujuk al-Haqqah: 6)
Nabi Hud a.s diutus Allah SWT untuk memberi peringatan kepada kaum Ad yang sesat (surah al-Ahqaf, ayat 21) kerana mereka menyembah objek lain selain Allah SWT. Mereka tidak mahu mendengarkan Nabi Hud dan tetap membangkang. Akhirnya, Allah SWT menurunkan azab kepada kaum Ad dalam dua tahap. Salah satu azabnya berupa kekeringan atau kemarau yang sangat dahsyat.
Sebelum bencana banjir diturunkan, Nabi Nuh a.s sudah mengingatkan umatnya akan azab Allah SWT. Namun mereka tetap membangkang dan menolak ajakan Nabi Nuh a.s. Akhirnya bencana banjir besar ditimpakan kepada kaum Nabi Nuh a.s kerana mereka berbuat zalim. Atas perintah Allah SWT, Nabi Nuh a.s dan kaumnya yang bertakwa membina bahtera besar agar mereka terhindar daripada bencana bah (banjir besar).
Menurut tafsir Ibnu Katsir, ada dua pendapat tentang azab kubur. Pertama, menyatakan bahawa azab kubur berbentuk penyeksaan secara fizikal, sedangkan yang kedua berpendapat bahawa azab kubur hanya merupakan pengalaman rohani.
Meskipun demikian, tidak semua ulama, terutama ulama moden, berpendapat bahawa azab kubur itu ada. Sebahagian daripada mereka tidak percaya akan adanya azab kubur.
Para ahli ilmu kalam berpendapat bahawa azab di akhirat berlaku secara fizikal. Hal ini didasarkan pada keyakinan mereka tentang adanya kebangkitan jasmani seperti dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh? Katakanlah: Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali pertama. (Yaasin: 78-79)
Kaum sufi menolak kebangkitan (dibangunkan kembali) jasmani. Menurut mereka, jasmani bersifat sementara. Apa yang akan dibangkitkan (dibangunkan kembali) di akhirat adalah rohani. Oleh hal yang demikian itu, azab akhirat itu bersifat rohani.

PAS MEROYAN TUN M TOLAK HUDUD YANG BOLEH LIWAT ISTERI

Saya tolak hudud Pas, bukan hudud Islam – Dr. Mahathir

DARI UTUSAN MALAYSIA
29/8/2012

 
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) menegaskan beliau selama ini hanya menolak hukum hudud yang diperjuangkan Pas dan tidak pernah sesekali menolak hukum syariah itu seperti terkandung dalam ajaran Islam.
Menurutnya, ini kerana hukum hudud yang diperjuangkan parti pembangkang itu cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.
Sebagai contoh katanya, di bawah ‘hudud Pas’, seseorang beragama Islam yang didapati bersalah mencuri akan dipotong tangan sementara bagi bukan Islam akan hanya dihukum penjara sekiranya didapati bersalah.
“Saya tak boleh sokong itu kerana tak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, ia tidak Islam. Islam tuntut supaya apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.
“Ini tidak adil, adakah orang Islam potong tangan, orang bukan Islam tak potong, masuk dua bulan penjara, itu tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Isu hudud kembali hangat diperkatakan kebelakangan ini apabila Pas mendakwa akan terus memperjuangkan hukum syariah itu jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak sementara rakan sekutunya, DAP dengan keras berulang kali menolak idea tersebut.
Pas juga mendakwa hudud tidak boleh dilaksana sekalipun Kelantan dan Terengganu telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 kerana tidak dipersetujui Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Selain itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dipetik daripada lidah rasmi parti itu, HarakahDaily pada 1 Oktober 2011 berkata, Pas tidak memaksa orang bukan Islam untuk menerima hudud sama seperti mereka tidak dipaksa memeluk Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun lalu juga dipetik memberi jaminan bahawa hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.
Dalam pada itu Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot ketika dihubungi menjelaskan, hukum syariah termasuk hudud menekankan keadilan ke atas semua pihak dan ia seharusnya terpakai ke atas umat Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara.
“Kafir pun termasuk, kalau hanya untuk Islam, ia sudah lari daripada kehendak hukum ajaran Islam. Maka hudud Islam kalau hendak dilaksanakan perlu ke atas semua pihak,” katanya.
KOMEN : ITU PUN SUSAH PUAK MEREKA NAK FAHAM… HUKUM SYARIAH ISLAM MENEKANKAN KEADILAN UNTUK SEMUA TANPA MENGIRA ANUTAN AGAMA SESEORANG… JADI TAK TIMBUL ADA 2 HUKUM KALAU PUAK MEREKA MEMERINTAH… CAKAP TAK SERUPA BIKIN…

Anwar terlibat gerakan Freemason?

Ibrahim Ali menunjukkan salinan nama Anwar Ibrahim yang terdapat dalam kumpulan Freemason di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Safiyana Salim

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia bagaimana nama beliau boleh tersenarai sebagai salah seorang ahli dan pemimpin dalam organisasi Yahudi antarabangsa, Freemason.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang terkejut dengan perkara itu berkata, berdasarkan senarai kedudukan yang disiarkan dalam laman web organisasi tersebut, Civil Service Lodge No. 148, peranan Anwar begitu aktif.
“Saya tidak menuduh Anwar tetapi menuntut beliau memberi penjelasan kerana perkara ini sangat mustahak. Ini kerana nama individu yang menyandang kedudukan dalam organisasi tersebut sama dengan Anwar tetapi jika hanya pelanduk dua serupa tidak mengapa.
“Apa yang saya bimbang jika individu tersebut benar-benar ketua pembangkang. Jika itu berlaku sudah pasti ia akan mengancam kedudukan Islam di negara ini kerana Freemason satu gerakan sulit Zionis yang bertujuan mempromosi kekuasaan Yahudi di seluruh dunia.
“Persoalannya bagaimana nama Anwar boleh berada di dalam kumpulan ini? Anwar perlu jawab dan jika benar beliau tidak terlibat sila tampil dengan penjelasan, bukan berdiam diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengikut laman web Civil Service Lodge No. 148, jawatan Anwar dalam Freemason pada 2004 dan 2005 adalah sebagai Junior Deacon, 2009 dan 2010 sebagai Director of Ceremonies manakala pada 2011 pula berperanan sebagai Tyler.
Freemason bermaksud bebas membangun dan sejarah penubuhan gerakan itu bermula selepas Perang Salib.
Ia ditubuhkan dengan matlamat untuk membina gereja Solomon di atas tapak Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis selain bertujuan membolehkan kelompok Yahudi menguasai dunia baik dari sudut sosial, ekonomi serta politik.
Menurut Ibrahim, maklumat mengenai perkara tersebut difaks oleh pihak tidak dikenali dan selepas beliau sendiri meneliti serta membaca maklumat yang disiarkan laman web berkenaan, ternyata terdapat seorang individu bernama Anwar Ibrahim dalam gerakan itu.
“Kita bimbang jika tiada penjelasan segera daripada Anwar, masyarakat khususnya umat Islam di negara ini akan menjatuhkan hukuman lebih awal dengan mengambil kira kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini termasuk menyokong keselamatan Israel.
“Namun, saya masih lagi menaruh harapan bahawa semua itu tidak benar, iaitu Anwar tidak terlibat dengan gerakan sedemikian walaupun satu dunia mengetahui hubungan rapat ketua pembangkang dengan pemimpin-pemimpin Yahudi,” katanya.

KOMEN : TAK AKAN ANWAR MENGAKU PUNYA…