Mojo & Caliph Buskers – Romancinta (LIRIK + LIVE)

Advertisements

MH370 – Lawak sengal seorang tukang masak

Oleh SITI JARUM





DALAM laman sosial sejak Jumaat lalu heboh dengan gelagat seorang tukang masak warga emas yang mempersenda tragedi MH370.
Tukang masak ini menerusi laman Instagram memperlihatkan dia seorang yang rendah pekerti. Dalam keadaan orang lain bersedih dengan kehilangan MH370, dia masih boleh buat lawak sengalnya.
Tulisnya dalam Instagram, “Dua objek di Perth dan satu ni I (saya) ingatkan ya la sebahagian daripada pintu kapal terbang MAS. Tapi setelah diteliti rupanya sebahagian daripada pintu jamban rumah Cik Kiah di pantai Morib yang telah usang rupanya… adoi frust-nya.”
Siti macam tak percaya ini yang ditulis oleh tukang masak itu. Tapi itulah yang dikirimkan kepada Siti petang Jumaat lalu. Kawan Siti meminta pandangan Siti untuk mengelaskan orang jenis ini. Siti beritahu kepada kawan Siti itu, biarkanlah, tidak semua orang ada otak.
Bukan Siti memperendahkan tukang masak, cuma secara kebetulan dia ini jadi tukang masak. Sebab itu Siti anggap keceluparan dia bukan mewakili semua tukang masak lain termasuk room mate Siti yang pandai masak.
Kalau Siti menjadi salah seorang keluarga penumpang sudah tentulah sangat terkilan. Siti yang bukan keluarga penumpang itu pun sedih sejak hari pertama lagi, inikan pula keluarga.
Kawan Siti kirim pula lagi jawapan tukang masak itu, antara lain tulisnya, “Let’s play a joke and see the reaction of all Malaysian yg suka melatah and mengutuk orang as well as press and blog that will take this issue even bigger!”
Mak oii, speaking London dia. Tapi maaflah, kalau ikut pesan orang tua-tua dulu, orang jenis ini tidak boleh bawa masuk majlis. Sebab tidak tahu bawa diri, sentiasa songsang dengan orang lain. Memang ada benarnya juga, tengoklah perkara yang serius seperti MH370 pun nak dibuat lawak.
Tapi bila memikirkan bukan semua orang ada otak sihat, darah Siti tak menyirap sangat. Sebaliknya bersimpati ke atas orang yang tidak dapat merasai apa yang orang lain rasa. Ini satu kekurangan. Siti harap kalau suatu hari nanti tukang masak ini ditakdirkan ditimpa musibah, janganlah sesiapa mempersendakan dia. Ini bukan tindakan yang baik.
Ingatlah hidup kita ini ibarat tanduk lembu yang bukan menghala ke belakang tapi menghala ke depan. Maknanya setiap hari kita menghala masa depan yang kita tidak tahu apa yang berlaku kepada kita. Moral ceritanya, jangan takbur sangat dengan kegembiraan yang dimiliki. Esok lusa tak tahu lagi.
Cuma Siti nak pesan kepada tukang masak yang seorang ini, orang Malaysia bukan cepat melatah. Jangan salahkan orang lain untuk melindungi keterlanjuran yang kita lakukan. Siti percaya, bukan orang Malaysia atau orang Melayu yang akan marah kalau dia tulis begitu, mat saleh pun marah juga.
Sebelum ini pun Siti banyak membebel tentang orang yang tak tahu menggunakan teknologi maklumat. Salah seorang ialah tukang masak ini. Bagi Siti dia telah menyalahgunakan teknologi maklumat daripada perkakas di telapak tangannya.
Kalau beginilah cara dia menggunakan teknologi maklumat, Siti berani kata dia bukannya maju tapi terkena kejutan budaya telefon canggih. Tapi sayang sekali telefon canggih itu tidak dimanfaatkan. Dia tak tahu menggunakannya. Orang ada Instagram, dia pun nak Instagram. Orang guna untuk kebaikan, dia guna untuk mempersendakan orang.
Siti secara peribadi tak ada masalah dengan tukang masak ini. Malah tak pernah bercakap pun, jauh sekali menulis tentang dia yang kawan-kawan Siti angkat sebagai selebriti. Ini pun satu masalah di negara kita, celupar dan kontroversi terus diangkat jadi selebriti. Dijulang-julang. Pantang dia bersin sikit, berkajang-kajang kawan-kawan Siti tulis dalam surat khabar.
Bila jadi selebriti, sanjungan yang diberikan melampaui tahap pemikiran. Sekarang barulah orang membuka mata rupa-rupanya tinggi populariti tidak semesti tinggi juga pemikirannya.
Siti harap tukang masak ini jangan melilau di hotel yang menempatkan keluarga penumpang MH370. Ini untuk keselamatan dia juga. Siti bimbang kalau ada yang bagi penampar, macam bomoh yang dakwa tampar buaya sampai bisu.
SITI JARUM: Hanya pilih MAS, yang lain minta maaflah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140323/re_15/Lawak-sengal-seorang-tukang-masak#ixzz2wqrYYwRj  © Utusan Melayu (M) Bhd 


DEBAT 211 JAM DARI 24. NOV HINGGA 2 DISEMBER 2011

Debat dapat sokongan Dr. Mahathir, pelajar dan artis
Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

CUBAAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan mengadakan Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam mulai 24 November hingga 2 Disember ini mendapat sokongan negarawan negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu dijangka akan menghadirkan diri sebagai peserta dalam acara yang akan berlangsung di Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam, Selangor.

Ia juga bakal disertai beberapa artis terkenal tanah air dan kira-kira 1,300 pendebat yang terdiri daripada pelajar sekolah, kolej, politeknik, institut perguruan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Program debat ala perbahasan di Parlimen itu adalah kesinambungan daripada rekod terdahulu yang berjaya dicatatkan dalam MBR iaitu selama 100 jam, 10 minit dan 44 saat.

Rekod itu telah dicipta oleh pelajar UiTM pada 2006 dengan bantuan sebilangan pendebat dari luar. Program itu telah dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan UiTM.

Sebanyak 211 usul akan dikemukakan dalam usaha terbaru untuk memecah rekod yang berlangsung secara berterusan selama sembilan hari.

Antara usul-usul yang dicadangkan selaras dengan tema debat iaitu ‘Transformasi dan Perpaduan Bangsa Dalam Mengangkat Martabat Bahasa Melayu’ adalah ‘ Demi Kestabilan Negara, ISA Perlu Dipertahankan’.

Usul lain adalah Perlembagaan Kita Sudah Tidak Lagi Dijunjung; Rukun Negara Hanya Hafalan, Bukan Amalan; Ketidakseimbangan Etnik Dalam Sektor Swasta: Salah Mereka; Dialog Antara Agama Perkukuh Integrasi Nasional dan Pendidikan dan Perpaduan, Seiring Tidak Sehaluan.

Ia merupakan anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Yayasan Oreator bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Pendidikan UiTM.

Felo Impak UiTM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perdebatan itu diharap dapat memupuk kesedaran untuk mengutamakan fakta dalam melakukan transformasi perpaduan negara dan bukannya berlandaskan emosi semata-mata.

Tambah beliau, usaha untuk mencipta rekod MBR itu merupakan satu pendedahan awal kepada mahasiswa tentang tata susila dan adab perdebatan di Parlimen di samping memupuk budaya perpaduan berbilang kaum di negara ini.

”Usaha untuk meningkatkan soal perpaduan adalah penting bagi generasi muda untuk membentuk masyarakat yang berdisiplin pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Irmohizam menjelaskan, persediaan untuk mencipta rekod MBR itu berjalan lancar dengan segala persiapan dari segi logistik telah pun dibuat untuk memastikan keselesaan lebih 30,000 pengunjung.

”Kerancakan debat ini sudah mula dapat dirasai apabila ramai di kalangan kumpulan pelajar UiTM telah mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada pendebat.

”Penyertaan dibuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas dengan setiap pasukan mempunyai lapan anggota iaitu tiga pencadang, tiga pembangkang dan dua calon simpanan.” ujarnya.

Baru-baru ini, UiTM dan Utusan Melayu (M) Bhd. turut menjalin kerjasama bagi menjayakan program berkenaan dengan matlamat untuk memartabatkan kedudukan pendidikan orang Melayu, penyelidikan dan perkembangan bahasa Melayu.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi tersebut untuk memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini, termasuk meningkatkan kedudukan bahasa Melayu serta tulisan jawi.

Utusan diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam pada itu, Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, akhbar berkenaan akan memberikan liputan penuh sepanjang acara itu berlangsung.

”Orang ramai juga boleh mengetahui perkembangan sepanjang acara itu secara terus dalam talian melalui laman web Utusan Online,” ujarnya.

Tambah beliau, Kumpulan Utusan juga akan membuka gerai jualan buku dan majalah sepanjang acara itu berlangsung.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke UiTM baru-baru ini mendapati telah diadakan klinik debat yang dikendalikan oleh Penasihat program debat tanpa henti berkenaan, Noriza Hussin.

Klinik debat yang disertai pelajar kokurikulum satu dan pengucapan awam UiTM di Dewan Dedaru, Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam turut memfokuskan teknik debat dan tanggungjawab setiap pendebat.

Bermula dengan tanggungjawab pencadang pertama disusuli dengan pencadang kedua dan pencadang ketiga, seterusnya peranan ketua pembangkang, timbalan ketua pembangkang dan pembangkang ketiga serta diakhiri dengan sesi penggulungan bagi kedua-dua pihak.

Selain itu, klinik perdebatan itu juga membantu peserta bagaimana untuk membina usul berdasarkan tema program itu.

Ia juga memberi fokus kepada kemahiran berkomunikasi khususnya dalam aspek kualiti nada dan penguasaan istilah-istilah bahasa Melayu di samping melatih peserta untuk berfikir secara kritikal.

KOMEN : SEMOGA SEMUANYA MENCAPAI KEJAYAAN…

Dinosaur Spielberg di layar kaca


DARI KOSMO ONLINE
28/10/2011

KOS Terra Nova yang mencecah RM219 juta mencipta sejarah sebagai produksi drama termahal pernah dihasilkan dalam industri televisyen global.


SELEPAS mengejutkan pawagam seluruh dunia dengan filem pecah panggung tentang dinosaur, Jurassic Park pada tahun 1993, sebelum disusuli sekuelnya, The Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III, penerbit dan pengarah tersohor Hollywood, Steven Spielberg kini kembali muncul dengan produksi dinosaur.

Dikenali dengan judul Terra Nova, naskhah kali ini dihasilkan khusus untuk tayangan di layar kaca.

Jika untuk Jurassic Park dan The Lost World: Jurassic Park, Spielberg bertindak sebagai pengarah, namun untuk Terra Nova seperti mana juga untuk Jurassic Park III, dia kini lebih selesa bertindak sebagai penerbit bersama.

“Mencipta sejarah drama bersiri termahal pernah dihasilkan dalam industri TV global, kos keseluruhan Terra Nova yang merupakan produksi eksklusif Fox International Channels mencecah AS$70 juta (RM219 juta) dengan episod pertama sahaja menelan kos sebanyak RM63 juta!,” ujar pegawai perhubungan media Arc PR selaku wakil Fox International Channels, Benjamin Tok.

Tambahnya, Terra Nova mengisahkan era pada tahun 2149, yang mana planet bumi ketika itu tidak lagi dapat menampung populasi manusia yang berlebihan, tumbuhan yang boleh dijadikan makanan berkurangan selain kualiti udara menjadi semakin buruk menyebabkan kehidupan manusia diancam kepupusan.

“Namun, di Chicago para saintis menemui ‘terowong masa’ yang membolehkan manusia mengembara 85 juta tahun ke belakang iaitu ke zaman prasejarah bumi yang mana ketika itu dunia dikuasai para dinosaur.

“Jim Shannon, isterinya, Elisabeth dan tiga orang anak mereka, Josh, Maddy, and Zoe menyertai kumpulan pertama manusia yang terpilih untuk memulakan hidup baharu di ‘dunia baharu’ untuk masa depan manusia yang digelar sebagai Terra Nova itu,” katanya.

JASON O’MARA (kanan) dan Stephen Lang merupakan dua teraju utama Terra Nova.


Menampilkan aktor Jason O’Mara untuk karakter Jim Shannon, barisan pelakon Terra Nova diperkuatkan oleh tenaga lakonan Stephen Lang (sebagai Komander Nathanial Taylor), Shelley Conn, Naomi Scott, Alana Mansour, Christine Adams dan Allison Miller.

Ujar Benjamin lagi, apa yang menarik khusus buat penonton di Malaysia, Terra Nova bakal disiarkan dalam dua bahasa audio iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Lima pelakon tersohor tanah air turut terpilih bagi meminjam suara untuk versi bahasa Malaysia iaitu Rosyam Noor (untuk karakter Komender Nathanial Tyalor), Aaron Aziz (Jim Shannon), Vanidah Imran (Elisabeth Shannon), Sharifah Amani (Maddy Shannon) dan Zahiril Adzim (Josh Shannon),” katanya.

Drama 13 episod yang sudahpun memulakan tayangannya di Amerika Syarikat pada 26 September lepas itu dan bakal memulakan tayangannya dengan dua episod terus menerus secara eksklusif menerusi Astro serentak di dua saluran iaitu Fox (710) dan Star World (711) pada pukul 8.55 malam menjelang esok, Sabtu, 29 Oktober ini.

Sementara episod baharu pada minggu-mingu seterusnya akan ditayangkan setiap Jumaat pada pukul 8.55 malam hanya di saluran Fox (710).

Mr. Bean tidak berasa seronok


DARI KOSMO ONLINE
5/10/2011

AFP

ROWAN ATKINSON (tengah) bergambar bersama beberapa wanita semasa dia menghadiri tayangan perdana filem Johnny English Reborn di London pada Ahad lalu.


LONDON – Aktor yang dikenali ramai melalui siri komedi Mr. Bean, Rowan Atkinson kembali menggeletek di layar perak sebagai ejen perisik dungu, Johnny English.

Walaupun mendokong watak kelakar dalam filem terbaharunya, Johnny English Reborn, Atkinson mengaku penggambaran filem tersebut bukan sesuatu yang melucukan, apatah lagi menyeronokkan.

“Secara jujur, saya tidak pernah berasa seronok semasa melakukan penggambaran filem,” katanya.

Ditemui pemberita semasa acara karpet merah di sini pada hujung minggu lalu untuk mempromosikan Johnny English Reborn di Britain, pelakon berusia 56 tahun itu menambah: “Tidak banyak gelak ketawa didengari di set penggambaran kerana saya menjadi terlalu serius ketika bekerja,”

Johnny English Reborn merupakan sekuel filem Johnny English yang menemui penonton pada 2003.

Selain Atkinson, filem arahan Oliver Parker itu turut menampilkan aktres Gillian Anderson dan Pamela Head.

Filem Johnny English pada 2003 yang menelan modal AS$40 juta (RM127.84 juta), meraih pulangan AS$160 juta (RM511.36 juta) menerusi tayangan di seluruh dunia. – Reuters

Nostalgia 27 tahun Blues Gang, Sweet Charity

Oleh ABD. AZIZ ITAR

PADA usia 59 tahun Ramli Sarip masih utuh di atas pentas persembahan.


BLUES Gang dan Sweet Charity merupakan dua kumpulan dalam genre muzik berbeza iaitu blues dan rock yang masih bertahan di persada muzik tanah air sejak lebih 30 tahun lalu.

Dua kumpulan itu bukan sahaja masih utuh dengan lagu-lagu mereka yang tidak luput ditelan zaman, malah turut mengimbau nostalgia para peminat pada Konsert 2 Raksasa yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pada konsert anjuran Netzah Productions Sdn. Bhd. itu, Sweet Charity dan Blues Gang bergabung semula buat kali kedua di atas pentas yang sama selepas 27 tahun.

Gabungan dua kumpulan muzik gergasi itu bukan setakat mampu mengubat rindu para peminat, tetapi ia juga sebuah konsert berskala besar yang cukup dinanti-nantikan oleh anggota-anggota kumpulan tersebut.

“Sememangnya saya sungguh teruja untuk menjayakan konsert pada malam ini,” ungkap vokalis Blues Gang, Ito Mohd. sebelum dia memulakan persembahannya.

Kumpulan blues yang mula mencipta nama pada tahun 1979 itu memulakan aksi mereka menerusi intro muzik blues yang disulami elemen muzik seperti gamelan Jawa sebelum meneruskannya dalam lagu Malaya Blues.

Ito yang menyanyi sambil diselang-selikan dengan aksinya bermain harmonika banyak mengimbau nostalgia dengan lagu-lagu lama Blues Gang yang sarat dengan nilai setempat rakyat negara ini.

Antaranya melalui lagu Sakit Sakit Sakit, Jumpo Kawan Lamo, Apo Nak Dikato, Khatulistiwa, Cinta Oh Cinta, Perempuan dan Ku Tetap Menanti pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM73 dan RM500 itu.

Ito juga cuba menyuntik elemen 1Malaysia dalam lagu Khatulistiwa apabila menukar bait lirik lagu itu daripada ‘hey orang kita khatulistiwa, kepada hey orang kita 1Malaysia’ dengan gayanya sendiri.

Selain itu, pemain drum Blues Gang, Shaik Karim juga tidak ketinggalan menyanyikan tiga buah lagu berjudul Ibu, Katakan dan Mak Siti yang mempunyai melodi yang menarik.

“Lagu Ibu ini saya tujukan kepada semua ibu termasuklah ibu Ito iaitu Zaharah Maarof yang telah meninggal dunia minggu lalu,” ujar Karim yang meminta agar para penonton bertafakur seketika selepas menyanyikan lagu itu.

Blues Gang yang turut menampilkan anggota asalnya seperti Jim Madasamy (bass), Julian Mokhtar (gitar) dan Ghani (keyboards) memang kental dengan muzik blues mereka.

Ternyata pada usia 60 tahun, Ito atau nama sebenarnya, Mohd. Arif Kendut masih mempunyai stamina di mana suara serak-serak basahnya masih tidak berubah sejak dari dulu hingga hari ini.

Malah, penyanyi blues yang mempunyai empat anak dan lima cucu itu tetap bertenaga pada persembahannya bersama Blues Gang selama 75 minit tanpa henti.

Persembahan Alleycats memukau penonton


Oleh ABD. AZIZ ITAR


PERSEMBAHAN memukau David Arumugam ketika menyampaikan lagu popularnya pada konsert Sampaikan Salam Alleycats di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi. – UTUSAN/Mohd. Naim Aziz


KUALA LUMPUR 16 Sept. – Ketiadaan penyanyi kedua Alleycats, mendiang Loga yang meninggal dunia empat tahun lalu tidak membantutkan Konsert Sampaikan Salam Alleycats yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad ini di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di sini.

Sebaliknya, konsert anjuran AM Event Management itu tetap meriah apabila kumpulan yang ditubuhkan 43 tahun lalu itu menampilkan pengganti Loga iaitu Glen Salay dan anak perempuan mendiang, Dasha dalam segmen kedua konsert itu, Tribute To Loga.

Menurut vokalis utama Alleycats, Datuk David Arumugam, kemunculan dua penyanyi itu sedikit sebanyak dapat mengembalikan nostalgia peminat Loga pada konsert keduanya yang diadakan di IB yang mengenakan tiket berharga RM65 hingga RM450 itu.

“Glen dan Dasha adalah penyanyi pelapis dalam Alleycats. Segmen Tribute To Loga diharap dapat mengubat rindu peminat. Selain itu, segmen 1Malaysia ini pula saya dedikasikan untuk semua rakyat negara ini sempena Hari Malaysia esok (hari ini),” katanya pada konsert itu semalam.

Keriuhan konsert dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia sebagai media rasmi dan Sinar FM sebagai radio rasmi itu mula kedengaran apabila Alleycats tampil dengan lagu-lagu popular mereka seperti Senyumlah Kuala Lumpur menerusi iringan Orkestra Tradisional Malaysia.

Tambah menghangatkan lagi suasana apabila pada konsert itu, David turut menjemput seorang peminat tegarnya, Mohd. Hatta naik ke pentas bagi menyanyikan lagu Alleycats yang berjudul Setahun Sudah Berlalu dan Andainya Aku Pergi Dulu dengan meniru gaya serta suaranya.

“Kalau macam ini saya pun susah mahu cari makan,” katanya sambil disambut hilai ketawa penonton sebelum dia turun ke tempat duduk penonton menyaksikan Mohd. Hatta menyanyi sendirian lagu Andainya Aku Pergi Dulu di atas pentas.

Pada konsert dengan durasi hampir dua jam itu, Alleycats menyampaikan hampir 30 buah lagu antaranya berjudul Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Kerana Kau, Rayuan Di Puncak Genting, Senandung Semalam dan Sampaikan Salam.

Tambah David, bagi menarik perhatian lebih ramai penonton, dia dan Alleycats akan mempelbagaikan lagu-lagu nyanyian mereka pada setiap malam yang mana akan ada lagu-lagu yang mereka persembahkan tidak dibawakan pada malam sebelumnya.

Konsert di bawah pimpinan komposer Eddie Marzuki itu terus mendapat sambutan apabila lebih separuh daripada tiket untuk menyaksikan persembahan kumpulan berasal dari Pulau Pinang itu telah habis dijual. Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket boleh menghubungi talian 03-40265558.

KOMEN : MESTI MENJADI MALAM NOSTALGIA BAGI PEMINAT ALLEYCATS…