Qari, qariah dari Malaysia muncul johan Tilawah Antarabangsa Kali Ke-56


TUANKU Abdul Halim Mu’adzam Shah menyampaikan trofi kepada Ahmad Tirmizi Ali pada majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-56 di Dewan Merdeka, PWTC malam tadi.

KUALA LUMPUR 21 Jun – Malaysia mengungguli Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 yang berakhir malam ini apabila muncul johan bagi semua kategori dipertandingkan.
Qari dan qariah negara iaitu Ahmad Tirmizi Ali serta Hanimzah Jalaluddin muncul johan kategori tilawah selepas masing-masing mendapat markah 93.30 dan 90.67 peratus.
Mereka membawa pulang hadiah berupa jongkong emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), wang tunai RM40,000 dan piala iringan.


(DARI KIRI) johan hafazan lelaki , Mohd. Erasyad Abdullah, johan tilawah, Ahmad Tirmizi Ali, johan tilawah wanita, Hanimzah Jallaluddin dan johan hafazan wanita, Noorhafizah Mohd. Shafie bersama trofi di PWTC, malam tadi.

Dua lagi wakil negara, Mohd. Ersyad Abdullah dan Noorhafizah Mohd. Shafie pula masing-masing diumumkan sebagai johan bagi kategori hafazan yang julung kali dianjurkan serentak dengan majlis tilawah.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 termasuk RM10,000 yang disumbangkan Yapeim.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan menyempurnakan majlis penutup tilawah itu yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Datuk Othman Mustapha.
Dalam pada itu, qari dari Turki, Mehmet Bilir dan qariah Filipina, Rahima Pandoniongan Amerol masing-masing muncul naib johan bagi kategori tilawah, sementara tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Ihsan Nuzula Zamri dan qariah Brunei, Siti Huzzaimah Yadey Rosli.
Kategori hafazan pula menyaksikan hafiz dari Arab Saudi, Abdullah Mohammed Al Kayri dan hafizah dari Tunisia, Soumaya Cheikh Ali menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga masing-masing dimenangi peserta Qatar, Abdullah Hamad Salim Hamad Abu Sheraidah (bahagian lelaki) dan wakil Senegal, Ndombor Sene (bahagian wanita).
Bagi kategori tilawah, naib johan qari dan qariah membawa pulang RM30,000, ketiga (RM20,000) manakala naib johan bahagian lelaki dan wanita kategori hafazan (RM15,000) manakala tempat ketiga (RM10,000).
Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 berlangsung selama enam hari bermula 16 Jun lalu, menghimpunkan 84 peserta dari 52 negara untuk dua kategori iaitu tilawah dan hafazan.
Tiga negara yang pertama kali menyertai pertandingan bertemakan Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah tahun ini adalah Amerika Syarikat (AS), Belgium dan Hong Kong.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140622/dn_04/Qari-qariah-dari-Malaysia-muncul-johan-Tilawah-Antarabangsa-Kali-Ke-56#ixzz35QOOFoEy  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Hadapi realiti musuh yang sentiasa cari jalan hancurkan Islam

Oleh HUSSAINI AMRAN
hussaini.amran@utusan.com.my


Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ditemani Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan Najib Tun Razak bersalaman bersama para peserta ketika menghadiri Majlis Tilawah dan Menghafal al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-56 di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama, Jamil Khir Baharom (kanan). – UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini agar bersatu-padu bagi menjadikan mereka kembali utuh dan mampu menghadapi rintangan serta ancaman musuh.
Seri Paduka bertitah, cabaran terbesar umat Islam masa kini adalah untuk bersatu hati dan bersepakat menghadapi realiti musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan mereka.
Titah Tuanku Abdul Halim, permusuhan dalam masyarakat perlu dihindari dan mereka yang masih lena dibuai kelekaan fatamorgana duniawi perlu dibangkitkan.
“Selagi kesatuan ummah tidak mampu dicapai, selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah SWT akan tertangguh.
“Telah dinyatakan dalam al-Quran bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa kecuali mereka berusaha untuk mengubah segala kepincangan dalam diri mereka sendiri,” titah Seri Paduka ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaacob dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Tuanku Abdul Halim bertitah, umat Islam juga diseru kembali berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai Islam sejati bagi mengembalikan kesatuan ummah.
Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya kembali kepada ajaran Islam seperti yang telah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Titah Tuanku Abdul Halim, Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam sekaligus menjadikan umatnya memiliki sikap atau watak yang berimbang.
“Berimbang bermaksud seluruh pertimbangan negatif dan positif diberi perhatian supaya jalan berfikir yang diambil selalu bersifat wasatiyyah,” titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan rakyat agar mengamalkan konsep ‘ummatan wa-satan’ dalam setiap amalan.
Seri Paduka bertitah, dakwah Islam hanya dapat tertegak dan berjalan lancar dalam masa kedamaian serta apabila demokrasi wujud, bukannya dalam situasi tertekan dan kezaliman berlaku.
Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ini berlangsung mulai malam ini hingga 21 Jun ini.
Sebanyak 29 negara menyertai kategori tilawah manakala kategori hafazan disertai 27 negara.
Bagi kategori tilawah, Malaysia diwakili qari, Ahmad Tirmizi Ali dan qariah, Hanimzah Jalaluddin manakala kategori hafazan diwakili Mohd. Ersyad Abdullah serta Norhaafizah Mohd. Shafie.
Johan qari dan qariah kategori tilawah masing-masing akan membawa pulang hadiah berupa jongkong emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), piala iringan dan wang tunai RM40,000.
Sementara itu, johan qari dan qariah kategori hafazan masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai RM30,000 termasuk RM10,000 yang disumbangkan Yapeim.
Kategori tilawah bermula malam ini dengan qari Palestin, Murad Y.M Abugharbia dan qariah Belgium, Sara El Azouti memperdengarkan bacaan masing-masing.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140617/dn_03/Hadapi-realiti-musuh-yang-sentiasa-cari-jalan-hancurkan-Islam#ixzz34rGJv69Z  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Malaysia teratas Indeks Keislaman


Malaysia berada di kedudukan ke-33 berbanding negara-negara OIC dalam kajian Indeks Keislaman yang dijalankan ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat. – AFP

LONDON 11 Jun – Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam Indeks Keislaman berbanding negara-negara Kerjasama Pertubuhan Islam (OIC) lain berdasarkan kajian yang dijalankan oleh dua ahli akademik dari Universiti George Washington, Amerika Syarikat.
Kajian yang mengambil kira faktor negara-negara yang berpegang teguh kepada nilai-nilai ajaran al-Quran itu meletakkan Malaysia di tangga ke-33 berbanding negara-negara OIC lain seperti Arab Saudi dan Qatar, yang masing-masing berada pada kedudukan ke-93 dan ke-111.
Tidak ada sebuah pun negara yang majoriti penduduknya beragama Islam berada pada kedudukan 50 teratas, melainkan Malaysia serta Kuwait yang berada di tangga ke-42.
Malah yang menarik perhatian tentang Indeks Keislaman itu, Israel berada di tangga ke-27, manakala Singapura di tangga ke-8.
Menurut BBC, kajian yang dijalankan oleh Pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa dan Perniagaan Antarabangsa Universiti George Washington, Profesor Hossein Askari dan rakannya, Scheherazade S. Rehman itu mengesan bagaimana negara-negara di dunia mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat.
Hossein yang merupakan ahli akademik kelahiran Iran berkata, Indeks Keislaman itu meletakkan Ireland pada kedudukan pertama negara paling berpegang teguh kepada ajaran al-Quran, diikuti Denmark, Sweden dan United Kingdom.
“Kami melihat sama ada benar atau tidak negara-negara itu buat apa yang sepatutnya mereka buat. Kami turut melihat pada faktor tadbir urus, politik dan hak asasi manusia serta hubungan antarabangsa, katanya.
Hossein berkata, faktor utama negara-negara Islam mendapat kedudukan terendah dalam indeks itu adalah disebabkan tadbir urus negara-negara berkenaan yang menjadikan agama sebagai alat untuk berkuasa.
Al-Quran mengajar kemakmuran ekonomi adalah perkara yang baik untuk masyarakat, namun laporan Hossein mendapati, kemakmuran tidak menjadi perkara yang diutamakan oleh kebanyakan negara Islam.
Pada November lalu, Hossein berkata, perlu diberi penekanan bahawa kebanyakan negara yang mengaku mengamalkan ajaran Islam dan digelar sebagai negara Islam tidak melaksanakan keadilan, mengamalkan rasuah, serta mundur dan pada hakikatnya tidak sebenar-benar mengamalkan Islam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140612/lu_03/Malaysia-teratas-Indeks-Keislaman#ixzz34Niz8D40  © Utusan Melayu (M) Bhd 



YADIM – Program Dakwah Negara

Jamil Khir Baharom (dua dari kiri) memukul gong bagi merasmikan prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan, Kedah, kelmarin. – MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN.

JERAI 29 Mac – Bulan Dakwah Kebangsaan yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sejak 1978 kini dikenali sebagai Program Dakwah Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau percaya Yadim telah merencana aktiviti Program Dakwah Negara tahun ini dengan baik.
Katanya, tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 Yadim yang kewujudannya dirasai di medan dakwah kebangsaan dan antarabangsa.
“Ini merupakan ruang dan peluang terbaik untuk kita bersama meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan Islam sebagai agama kasih sayang demi kesatuan dan perpaduan umat.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yadim atas penganjuran program ini dan mendoakan pelaksanaannya berjalan lancar serta mencapai objektifnya dengan impak positif kepada seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis prapelancaran Program Dakwah Negara 2014 di Karnival TV AlHijrah di Pantai Murni, Yan di sini semalam.
Menurut Jamil, Program Dakwah Negara itu dianjurkan tepat pada masanya untuk menyampaikan Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang sebagai asas kesatuan dan perpaduan umat.
“Kemelut perpecahan pada hari ini menggambarkan betapa kasih sayang telah dipinggirkan dalam mendepani isu yang tidak kunjung putus.
“Tambahan pula perbezaan yang wujud sesama kita diperbesarkan dengan api kebencian dan ini melahirkan sikap yang tidak sepatutnya dibudayakan,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya perkara itu dibiarkan berterusan, maka kesatuan dan perpaduan umat sukar untuk dicapai.
“Islam sebagai agama yang menganjurkan kasih sayang dalam setiap tindak-tanduk kita dan kasih sayang disemai dalam umat akan melahirkan watak dengan sikap terhormat.
“Inilah asas kepada kesatuan dan perpaduan yang ingin kita tuai bersama,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_11/Program-Dakwah-Negara#ixzz2xVfMuKjr  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Jangan rendahkan martabat al-Quran

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR





TREND sumpah secara terbuka dikhuatiri menjadi budaya dalam amalan masyarakat Melayu di negara ini. – Gambar hiasan
BELUM lagi selesai kontroversi pengakuan sumpah menggunakan al-Quran membabitkan pemimpin parti politik, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama apabila kitab suci umat Islam dijadikan bahan penyelesaian kes membabitkan ahli sukan.
Malangnya, isu yang dilihat boleh diselesaikan menggunakan pelbagai kaedah rundingan dan perundangan itu, sebaliknya diatasi dengan jalan mudah setelah gagal membuktikan pertuduhan dan perselisihan yang berlaku.
Justeru, berlakulah upacara angkat sumpah di hadapan al-Quran dan mendapat liputan secara langsung di media walaupun umum tidak mengetahui tujuan di sebalik lafaz sumpah tersebut.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: (Nabi) Isa ibni Maryam melihat seorang lelaki mencuri, lalu dia berkata kepadanya: Apakah kamu mencuri? Lelaki itu menjawab: Tidak! Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia! Maka Isa berkata: Aku beriman kepada Allah dan aku mendustakan mataku. (riwayat Bukhari) Hadis di atas menjelaskan kebesaran kedudukan sumpah dan jika bertembung antara sumpah dengan sesuatu yang lain, maka yang lebih utama ialah sumpah.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, walaupun sumpah terdapat di dalam Islam, namun ia merupakan langkah terakhir yang boleh diambil selepas menemui jalan buntu untuk menyelesaikan sesuatu kes.
Katanya, ini sebagaimana dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Maidah ayat 89 maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.
“Sumpah memang ada disebutkan di dalam Islam. Namun ia diharuskan selepas tiada jalan penyelesaian lain boleh diambil untuk menyelesaikan perkara tersebut sehingga boleh memberi darurat kepada seseorang jika tidak bersumpah.
“Manakala orang yang bersumpah perlu bertanggungjawab dan menanggung sebarang risiko dengan apa yang disumpahkan kerana dia telah meletakkan Allah SWT dalam pengakuan yang dibuat.
“Sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik yang bermaksud: Suatu ketika Rasulullah ditanya tentang dosa besar, baginda menjawab: Yang termasuk dosa besar ialah menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, menamatkan nyawa orang lain bukan dalam hal yang dibenarkan agama dan sumpah palsu. (riwayat Bukhari),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Abdul Halim yang juga bekas mufti Terengganu berkata, al-Quran yang merupakan kata-kata Allah SWT dan mukjizat kepada umat Islam seharusnya dihormati dengan meletakkan kedudukannya di tempat yang mulia.
“al-Quran merupakan mukjizat terbesar bagi umat Islam. Bukti keagungannya sehingga kita perlu mengambil wuduk dan suci daripada hadas sebelum menyentuhnya.
“Justeru, menggunakan al-Quran dalam perkara remeh dilihat umpama menghina kedudukan al-Quran yang terkandung di dalamnya kalam (kata-kata) Allah SWT. Ia sekali gus menunjukkan imej Islam yang rendah menurut pandangan masyarakat lain,” katanya mengulas senario sumpah yang sering dijadikan alat mempertahankan diri.

Menghina agama
Tambah Abdul Halim, budaya sumpah yang dilakukan oleh umat Islam dibimbangi disalah erti sehingga mampu menjatuhkan kedaulatan institusi agama Islam.
Ini katanya, apabila ajaran agama Islam disalahgunakan oleh umat Islam dengan melibatkan nama Allah SWT dan al-Quran sewenang-wenangnya dalam segala urusan harian manusia.
Beliau berkata, bukan sahaja merendahkan imej agama Islam dan martabat al-Quran, malah tindakan itu turut boleh memperlekehkan keagungan tuhan iaitu Allah SWT.
“Pelbagai serangan memburuk-burukkan Islam sentiasa dirancang seperti dalam bentuk penghinaan dan mempersendakan agama dengan menjadikan Rasul dan juga al-Quran sebagai sasaran semata-mata bertujuan untuk menjatuhkan kedaulatan Islam.
“Namun, perkara ini bersifat zahir iaitu boleh dilihat dan didengari untuk diambil tindakan. Namun, apa yang lebih membahayakan adalah penyalahgunaan ajaran agama Islam oleh umat Islam sendiri.
“Sebagai contoh menggunakan al-Quran sebagai saksi untuk bersumpah walaupun dalam perkara remeh. Ini secara tidak kita sedari hakikatnya telah merendahkan martabat keagungan kitab al-Quran tersebut setaraf dengan perkara remeh tersebut,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140220/ba_01/Jangan-rendahkan-martabat-al-Quran#ixzz2turLAkKW  © Utusan Melayu (M) Bhd