AFF U15 : Malaysia belasah Kepulauan Mariana Utara 13-0

15 September 2015 12:56 AM
KETUA pasukan negara, Arif Shaqirin Suhaimi (tengah) melepasi kawalan pemain Kepulauan Mariana Utara di Vientiane, Laos, semalam. Gambar Harimau Muda Page – Young Tigers
KUALA LUMPUR – Selepas dihidang­kan dengan berita-berita sedih bola sepak negara sejak akhir-akhir ini, skuad bawah 15 tahun Malaysia memberi keceriaan kepada peminat bola sepak tempatan apabila memulakan kempen kelayakan Piala AFC Bawah 16 tahun dengan berpesta gol 13-0 ke atas Kepulauan Mariana Utara di Vientiane, Laos, semalam.
Anak-anak didik P. Somasundram memulakan pesta gol seawal minit keenam menerusi pemain sayap kiri, Muhammad Izreen Izwandy yang turut menambah tiga lagi jaringan peribadinya pada minit ke-32, 54 dan 67.
Pemain tengah, Muhammad Iqbal Hakem Mohd. Hata pula memahat nama sebagai penjaring hatrik pada minit ke-41, 44 dan 56.
Ketua pasukan, Arif Shaqirin Suhaimi (minit ke-36, m46) dan Muhammad Alif Safwan Sallahuddin (m58, m61) pula masing-masing menokok dua gol.
Bagai dahagakan jaringan, skuad negara terus mengganas dan memperoleh dua lagi gol melalui Nor Amirul dan Mohamad Najmi.
Malaysia diundi di dalam Kumpulan G bersama Kepulauan Mariana, Timor Leste, Filipina dan Laos.
Juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir yang berlangsung di India, tahun depan, manakala lima pasukan terbaik (naib juara) turut mendapat slot.
Skuad bawah 15 tahun Malaysia dibarisi pemain-pemain yang majoritinya mewakili Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam Liga Kementerian Pendidikan Malaysia Bawah 17 Tahun.
Kejohanan Piala AFC Bawah 16 tahun merupakan salah satu daripada kejohanan peringkat umur yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Malaysia akan meneruskan kempen dengan menentang Timor Leste esok, sebelum berdepan Fi­lipina pada Jumaat ini, diikuti tuan rumah, Laos dalam aksi terakhir kumpulan, Ahad.
Advertisements

AFF 2014 : Keputusan bersara kekal, Shukor puas

MUHAMMAD 
DAYNE AZMIN | 22 Disember 2014 12:54 AM
Shukor Adan
KUALA LUMPUR – Kapten Harimau Malaya, Muhammad Shukor Adan percaya, walaupun gagal menjulang Piala AFF buat kali kedua, namun kejayaan layak ke final telah membalas segala cemuhan dan kritikan yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan selama ini.
Dalam masa yang sama, tonggak veteran Felda United berusia 35 tahun itu menegaskan, dia tidak akan merubah keputusan nya untuk bersara daripada arena bola sepak antarabangsa bersama rakan sepasukan, Indra Putra Mahayuddin.
“Saya mohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia mewakili pemain negara kerana kami gagal membawa pulang Piala AFF.
“Namun saya rasa apa yang dilakukan pasukan dalam kejohanan ini perlu dihargai kerana semua pemain telah berjuang habis-habisan.
“Pelbagai cemuhan dan makian yang dilemparkan kepada kami selama ini.
“Malah ada pihak yang memandang rendah keupayaan pasukan, namun kami telah buktikan dengan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir.
“Saya harap, semua pihak terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dan juga Dollah Salleh sebagai jurulatih.
“Insya-Allah pasukan ini mampu memperbaiki kelemahan di masa akan datang,” ujar Shukor.
Shukor, yang hanya menyertai skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF demi menghormati permintaan jurulatih, Dollah Salleh turut berharap, pemain-pemain muda mampu memikul cabaran negara pada masa akan datang.
“Niat saya mahu bersara telah diberitahu sejak daripada aksi separuh akhir di Vietnam lagi, jadi saya tidak akan tarik keputusan berkenaan.
“Cukuplah. Saya sudah berusia 35 tahun dan sampai masanya untuk pemain-pemain muda untuk menunjukkan kemampuan kepada Dollah.
“Sampai bila orang-orang lama seperti saya sahaja menjadi pemain utama dalam Liga Malaysia, pemain muda kena buktikan sesuatu,” katanya.

Jangan ‘perap’ harimau

Pemain muda juga perlu diberi kepercayaan sarung jersi kebangsaan
FADHILUL IZMEL ISHAK | 22 Disember 2014 12:55 AM
INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (tengah) meraikan jaringannya bersama Badhri Radzi dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
KUALA LUMPUR – Jika Malaysia serius untuk me­rampas Piala AFF 2016 dan melangkah ke peringkat lebih tinggi, ada dua perkara utama yang perlu diberi perhatian serius oleh pengurusan pasukan.
Pertama, semua tonggak utama Harimau Malaya harus diberi pe­ranan penting dalam pasukan ne­geri atau kelab masing-masing.
Kedua, memandangkan sebahagian besar barisan pemain yang tewas kepada Thailand sudah berusia, Dollah Salleh perlu memberi tumpuan kepada pemain muda.
Itu pandangan yang dilontarkan bekas pengendali skuad kebangsaan, B. Sathianathan sejurus melihat Harimau Malaya kempunan untuk merangkul Piala AFF buat kali kedua selepas tumpas menerusi agregat 3-4 kepada Thailand dalam perlawanan akhir.
Kemenangan 3-2 yang dicatat di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin tidak mampu menampung kekalahan 2-0 yang dialami anak-anak buat Dollah dalam final pertama di Bangkok, minggu lalu.
“Saya fikir pemain Harimau Muda yang bakal beraksi bersama pasukan ne­geri masing-masing musim depan harus diberi perhatian serius jika kita mahu mencari muka baharu untuk menghiasi skuad negara.
“Pemain Harimau Muda yang sebelum ini menerima didikan daripada Datuk Ong Kim Swee sudah banyak diberi pendedahan dan saya yakin mereka mampu menggalas cabaran bersama pasukan negeri dengan baik.
“Bagaimanapun pemain-pemain ini hanya boleh memberi permainan terbaik kepada skuad kebangsaan kalau mereka diberi pe­ranan penting bersama pasukan negeri atau kelab masing-masing.
“Kita lihat aksi Indra Putra (Mahayuddin), Shukor (Adan) dan Piya (Badhri Radzi) dalam Piala AFF kali ini. Walaupun sudah berusia, mereka mampu memberi persembahan yang cemerlang kerana mereka a­dalah watak penting buat Felda United serta Kelantan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sathianathan turut memuji Dollah kerana membuat beberapa keputusan berani dengan me­manggil pemain seperti Indra Putra, Shukor dan Badhri dalam pasukannya.
Tiga pemain ini jelas menjadi watak penting dalam membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2014.
Sementara itu bekas pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah turut sependapat dengan Sathianathan dalam soal tonggak utama Harimau Malaya sepatutnya diberi tempat dalam skuad utama Liga Super.
Beliau memberi contoh, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali adalah penyerang utama skuad kebangsaan tetapi malangnya tidak memainkan peranan penting bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Itu menyebabkan aksi mereka sedikit berkarat berbanding pemain seperti Mohd. Amri Yahyah.
“Patut pemain penting seperti ini diberi kepercayaan oleh kelab mereka, tetapi malangnya mereka tidak mendapat peluang. Ini menyebabkan mereka berkarat.
“Apa pun saya bangga dan kagum dengan Dollah Salleh kerana berjaya mencapai kejayaan dalam tempoh yang singkat.
“Dollah turut melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan kepadanya, malah kejayaan ini turut menutup segala kritikan yang dilempar terhadap dirinya ketika mula memikul tanggungjawab tersebut.
“Kejayaannya itu membuktikan jurulatih kebangsaan masih mempunyai kualiti,” katanya.

AFF 2014 : Safee yakin 
Harimau masih boleh!

MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 19 Disember 2014 1:17 AM
SEMANGAT pemain Harimau Malaya belum padam, sebaliknya mereka bertekad untuk mencari kemenangan dalam final kedua Pial a AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
BANGKOK – “Jika Thailand boleh melakukannya di tempat sendiri, mengapa tidak kami apabila di Bukit Jalil nanti.”
Itu kata-kata penuh bersemangat Safee Sali yang masih yakin keajaiban bakal berlaku dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF esok.
Penyerang Harimau Malaya itu, yang dimasukkan pada pertengahan babak kedua untuk menggantikan Mohd.Amri Yahyah, menegaskan kekuatan Thailand dan skuad negara tidak banyak beza.
Justeru itu, katanya, jika Harimau Malaya dapat menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil Piala AFF akan dijulang di depan puluhan ribu penyokong negara.
“Sebenarnya kita bermain dengan baik menentang Thailand, terutama pada separuh masa pertama apabila kita mencipta banyak peluang.
“Namun, di penghujung babak kedua Thailand tampak semakin agresif dan sepakan penalti me­ngubah rentak perlawanan.
“Kita masih ada 90 minit dan saya tidak nampak mengapa kami tidak boleh bangkit,” katanya semalam.
Selepas jaringan penalti yang disempurnakan oleh Charyl Chappuis pada minit ke-72, Dollah Salleh mengambil risiko memasukkan Safee dan Baddrol Bakhtiar bagi memantapkan jentera serangan.
Langkah itu sebaliknya membuka ruang kepada Thailand yang berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-86 menerusi serangan balas menarik yang diatur Chanathip Songkrasin sebelum disudahkan Kroekrit Thawikan.
Bagi Safee, kekuatan Thailand banyak bergantung kepada Cha­nathip yang mengawal bahagian tengah dengan baik.
“Kita boleh nampak pemain nombor 18 (Chanathip) yang ba­nyak menjadi perancang kepada segala gerakan Thailand.
“Mungkin jurulatih boleh merencana sesuatu supaya dia tidak dapat terlalu banyak ruang pada perlawanan kedua nanti,” katanya. – UTUSAN

AFF 2014 : Perjuangan belum tamat – Dollah

17 Disember 2014 10:15 PM
BANGKOK 17 DIS. 2014 – Pemain Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin bersaing dengan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin untuk mendapatkan bola pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia menentang Thailand, di Stadium Nasional Rajamangala, di sini, hari ini. – UTUSAN/Abdul Razak Latif
BANGKOK 17 Dis. – Perjuangan belum berakhir. Harimau Malaya masih mempunyai 90 minit untuk merubah nasib mereka apabila menerima kunjungan Thailand dalam final kedua Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, tegas jurulatih Malaysia, Dollah Salleh selepas melihat pasukannya tewas 2-0 di Stadium Rajamangala di sini, sebentar tadi.
“Kita tidak bermain sebaik ketika menentang Vietnam (separuh akhir kedua) di Hanoi, sedangkan Thailand menunjukkan permainan yang memang sudah kita jangkakan.
“Bahagian pertahanan juga agak goyah malam ini, terutama menerusi kesilapan yang dilakukan pada minit ke-72 (Thailand dihadiahkan sepakan penalti kerana Mohd. Fadhli Shas mengkasari lawan).
“Namun dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Kita tewas 2-0 hari ini tetapi kita masih boleh bangkit dan merubah kedudukan apabila beraksi di depan penyokong sendiri.
“Saya percaya, pemain kami akan tampil dengan aksi lebih baik apabila menerima kunjungan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil,” ujar Dollah.
Malaysia beraksi bersama misi mencari kejuaraan Piala AFF buat kali kedua selepas muncul juara pada 2010, manakala Thailand pula bakal hadir dengan reputasi selaku juara tiga kali. – UTUSAN ONLINE

AFF 2014 : Cakar Harimau 
belum cukup tajam

18 Disember 2014 12:47 AM
Pemain Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin bersaing dengan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin untuk mendapatkan bola pada Perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia menentang Thailand, di Stadium Nasional Rajamangala, di sini, hari ini.
BANGKOK – Skuad Harimau Malaya menghadapi laluan cukup sukar untuk meraih gelaran kedua dalam Piala AFF apabila melangkah ke perlawanan akhir kedua Piala AFF Sabtu ini selepas tumpas 2-0 di tangan juara tiga kali Thailand di Stadium Rajamangala di sini semalam.
Kekalahan itu mengulangi keputusan sama ketika skuad negara kali terakhir bertandang ke Thailand pada separuh akhir kedua 2012 di Stadium Supachalasai.
Bagaimanapun, masih ada yang positif dipertontonkan oleh Harimau Malaya apabila mereka me­ngasak sebaik permainan bermula dalam misi mendapatkan jaringan di tempat lawan apabila melancarkan dua percubaan dalam tempoh lima minit pertama.
Percubaan sulung skuad Dollah Salleh membuatkan kira-kira 50,000 penyokong tuan rumah tergamam apabila hantaran tinggi Safiq Rahim ke dalam kotak penalti ditanduk oleh Amri Yahyah namun dapat ditangkap kemas oleh Kawin Thamsatchanan pada minit ketiga.
Belum sempat Thailand mendapatkan rentak, dua minit kemudian Norshahrul Idlan Talaha pula me­nguji kewibawaan penjaga gol berpengalaman itu yang menampan kemas rembatannya.
Selepas membenarkan pelawat mengasak, skuad Gajah Perang me­nguji kekentalan benteng Harimau Malaya menerusi pemain sayap kiri Kroekrit Thawikan yang hampir menewaskan Farizal pada minit ketujuh tetapi percubaannya tersasar sedikit ke sebelah kanan.
Percubaan itu menambah semangat tuan rumah, yang perlahan-lahan membina rentak dan menguasai sepenuhnya permainan namun Harimau Malaya sekali-sekala mengatur serangan balas yang mencemaskan kubu Thailand.
Namun, tiga minit sebelum rehat, Mohd. Farizal Marlias bertindak cemerlang untuk menyelamatkan percubaan penyerang Adisak Kraisorn yang mengambil kesempatan atas kesilapan Mohd. Fadhli Shas yang tertanduk bola ke belakang.
Walaupun pada awalnya me­ngasak dan berjaya menyerap segala asakan Thailand, gawang Harimau Malaya akhirnya bocor ketika permainan semakin hampir ke penghujung.
Gol pertama tuan rumah diperoleh pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Charyl Chappuis selepas kekasaran dilakukan oleh Mohd. Fadhli.
Thailand kemudian memperoleh gol kedua apabila serangan balas yang digerakkan oleh ‘Iniesta Thailand’, Chanathip Songkrasin disem­purnakan penuh bergaya oleh Kroekrit pada minit ke-86.
Indra Putra Mahayuddin hampir menghadiahkan gol buat Harimau Malaya pada penghujung perlawanan namun tandukannya diselamatkan oleh Kawin.
Dollah berkata, skuadnya bermain dalam keadaan tertekan dan kesilapan bahagian pertahanan membolehkan Thailand menjaringkan kedua-dua gol.
“Kita main dalam keadaan tertekan. Thailand telah bermain seperti dijangka, mereka bermain di tempat sendiri.
“Bahagian pertahanan kita ketara goyang yang menyebabkan Thailand dapat menjaringkan kedua-dua gol,” katanya.
Bagaimanapun, dia yakin mereka mampu bangkit dalam perlawanan akhir kedua di Bukit Jalil Sabtu ini.
“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Di Kuala Lumpur nanti saya percaya pemain-pemain akan menunjukkan lebih daripada apa yang mereka lakukan malam ini,” tegasnya. – UTUSAN

AFF 2014 : Safiq cedera, tapi enggan mengalah

17 Disember 2014 1:00 AM
Safiq Rahim tetap menjalani latihan semalam bagi perlawanan akhir pertama Piala AFF di Bangkok walaupun dia masih terasa sakit akibat kecederaan di bahagian lutut. – UTUSAN
BANGKOK – Setelah Shukor Adan disahkan boleh beraksi, kini Safiq Rahim pula menimbulkan kebimbangan dalam kem Malaysia apabila pemain tengah itu bergelut dengan kecederaan di lutut kanan.
Kecederaan itu dialaminya sejak kempen Piala AFF 2014 di pe­ringkat Kumpulan B, namun gagal memaksa Safiq mengalah dan kini pengorbanannya berbaloi apabila membawa Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir.
Walaupun begitu, kecederaan Safiq tampak semakin serius selepas perlawanan separuh akhir kedua dengan Vietnam namun pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tetap berdegil mahu diturunkan.
“Tidak, saya sama sekali tidak mahu terlepas dua perlawanan akhir ini, aksi yang cukup penting kepada kami dan saya sanggup melakukan apa sahaja untuk diturunkan.
“Kecederaan ini saya alami sejak di Singapura cuma semakin lama semakin terasa kerana tempoh pemulihan yang pendek.
“Saya akan berjuang habis-habisan sbiarpun terpaksa bermain dalam kesakitan.
“Berdasarkan laporan fisioterapi, saya masih belum cergas 100 peratus tetapi itu tidak menghalang niat saya untuk bermain,” katanya yang ditemui sebelum sesi latihan akhir di Stadium Rajamangala semalam.
Safiq kini merupakan penja­ring terbanyak Piala AFF edisi ke-10 dengan empat gol, berkongsi kedudukan bersama penyerang Viet­nam, Le Cong Vinh.
Memainkan peranan penting di bahagian tengah, khidmat Safiq amat ditagih oleh Dollah kerana pemain yang berasal dari Selangor ini mampu membantu barisan pertahanan selain membuka ruang kepada penyerang.
Berdasarkan sesi latihan akhir semalam, Safiq dilihat mampu bermain dengan baik dan dijangka tetap akan disenaraikan oleh Dollah. – UTUSAN