MH370 tenggelam dalam ‘bentuk asal’ – Pakar

13 Ogos 2015 1:35 AM
KERATAN Utusan Malaysia 6 Ogos 2015
KUALA LUMPUR 12 Ogos – Pesawat MH370 yang hilang dipercayai sebahagian besarnya masih berada dalam ‘bentuk asal’ dan terdampar di dasar kawasan selatan Lautan Hindi, menurut pakar komunikasi satelit tempatan, Zaaim Redha Abdul Rahman.
Teori beliau menyatakan kemungkinan bahawa pesawat itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam dalam kejadian malang pada hari pesawat itu jatuh.
“Saya percaya pesawat itu telah kehabisan minyak, menjunam ke lautan dengan daya tujah perlahan… dengan demikian, saya berfikiran bahawa badan pesawat kekal seperti asal,” kata Zaaim Redha yang, selepas MH370 dilaporkan hilang, segera membantu untuk membaca dan membuat kesimpulan mengenai bacaan data penerbangan tersebut yang diperoleh daripada satelit dikendalikan oleh Inmarsat, sebuah firma komunikasi satelit bumi yang berpangkalan di United Kingdom.
Dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Zaaim Redha berkata, bahawa teori beliau yang menyatakan pesawat itu menjunam ke dalam laut disokong oleh penemuan flaperon sepanjang dua meter baru-baru ini, di Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi, disahkan sebagai bahagian daripada pesawat MH370 yang hilang.
“Flaperon tersebut hanya mengalami sedikit kerosakan dan hanya diselaputi teritip. Keadaannya menunjukkan bahawa ia tidak terpisah daripada badan pesawat secara kasar… malah bekas tanggalan pada serpihan itu kelihatan seolah-olah terpisah dengan baik di bahagian tepian sayap,” jelas beliau.
Zaaim Redha, yang kini perunding utama di Zeta Resources Sdn. Bhd. – yang menyediakan, antara lain, perkhidmatan perunding komunikasi satelit dan kejuruteraan. Beliau pernah menjadi sebahagian daripada pasukan perintis di Measat yang bertanggungjawab membangunkan dan melancarkan satelit pertama Malaysia.
Ketika berkhidmat dengan NEC Jepun, beliau mengetuai pasukan multinasional untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem komunikasi satelit Inmarsat-P ICO System (Generation 4).
Mengulas lanjut mengenai saiz serpihan bencana udara didapati konsisten dengan impak kemalangan, Zaaim Redha memberi contoh kemalangan pesawat Germanwings Flight 9525 di Alps Perancis pada Mac tahun ini, di mana tidak ada serpihan yang melebihi satu kaki (kira-kira 0.3 meter) panjang disebabkan oleh kesan terhempas yang kuat.
“Jika MH370 telah terhempas dengan kuat, kita akan mendapati banyak serpihan kecil daripada pesawat itu terapung di atas air sebaik saja selepas kemalangan itu berlaku. Tambahan pula, flaperon yang dijumpai (dari Pulau Reunion) tidak mungkin akan berada dalam bentuk kepingan besar… kita mungkin hanya menemui serpihan-serpihan kecilnya sahaja,” kata beliau.
Beliau yakin bahawa selepas menjunam ke dalam lautan, pesawat MH370 itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam ‘dalam bentuk asalnya’.
Menurut beliau, adalah tidak mus­tahil juga untuk sebuah kapal terbang terapung di permukaan air seperti dibuktikan oleh US Airways Flight 1549, yang terpaksa membuat pendaratan cemas di Sungai Hudson selepas bertembung sekumpulan be­bu­rung sehingga menyebabkan kedua-dua enjin jetnya gagal, pada Januari 2009.
“Terdapat juga kemungkinan bahawa pesawat (MH370) pesawat telah tenggelam jauh ke dasar lautan untuk beberapa lama sebelum flaperon (sebahagian daripada sayap pesawat) itu tertanggal.
Mengenai kemungkinan jika flape­ron itu telah terapung di permukaan air selama lebih 4,000 kilometer sebelum berakhir di Pulau Reunion, Zaaim Redha berkata, keadaan itu adalah munasabah berdasarkan keadaan arus semasa lautan tersebut. – bernama
“Berdasarkan corak bumi berputar, besar kemungkinan sekeping pesawat boleh terapung (lebih jauh) kerana arus lautan boleh menjadi sangat kuat.
“Kuasa arus lautan memang sukar dijangkakan… umpamanya baru-baru ini, seorang wanita Rusia yang merupakan seorang penerjun bebas terhebat sepanjang zaman, gagal untuk timbul selepas menyelam di Mediterranean dan dikhuatiri berdepan dengan arus dasar laut yang kuat ketika di dalam air.” – bernama
Baru-baru ini pada 29 Julai, sebahagian daripada sayap pesawat, dirujuk sebagai flaperon, ditemui di pantai Pulau Reunion di bawah pentadbiran Perancis yang terletak di Lautan Hindi.
Pada 6 Ogos, Najib mengumumkan bahawa pakar-pakar antarabangsa mengesahkan bahawa kesan materi penyelenggaraan pada bahagian pesawat itu sepadan dengan yang ada pada pesawat MH370.
Pasukan penyiasat yang melakukan pencarian di pesisiran pantai pulau berkenaan selepas penemuan itu turut menemui beberapa serpihan lain termasuk kusyen tempat duduk, bingkai tingkap, serta sisa-sisa sebuah beg pakaian dan botol kosong.
Bagaimanapun, penemuan tinggalan berkenaan masih belum dikenal pasti sebagai sebahagian daripada pesawat yang hilang itu.- BERNAMA

Voice 370 tolak keputusan Malaysia

13 Ogos 2015 1:35 AM
WANG ZHUNCAI (tengah), yang anak perempuannya adalah salah seorang penumpang pesawat MH370 ditenangkan oleh ahli keluarga yang lain dalam sesi taklimat oleh MAS pada 7 Oktober 2014 di Beijing. REUTERS
KUALA LUMPUR 12 Ogos – Sebuah pertubuhan yang diwakili waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Voice 370 masih enggan menerima hakikat apabila bertindak menolak pengumuman kerajaan Malaysia yang mengesahkan penemuan serpihan pesawat di Pulau Reunion pada hujung bulan lalu adalah daripada MH370.
Voice 370 dalam kenyataannya berkata, ramai ahli keluarga mangsa masih berasa sangsi selepas seminggu kerajaan Malaysia mengesahkan serpihan berkenaan adalah dari pesawat MH370, kerana beberapa pakar penerbangan lain tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Kebanyakan ahli keluarga dan waris mangsa enggan menerima keputusan Malaysia dan masih menunggu analisis dan berita yang lebih jelas tentang penemuan terbabit,” jelas Voice 370.
Minggu lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa serpihan sayap, flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion adalah milik pesawat MH370.
Penemuan serpihan itu, sekali gus menunjukkan bukti fizikal pertama yang mengesahkan penerbangan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Misteri MH370 hampir terjawab

06 Ogos 2015 1:23 AM
PAKAR penerbangan awam Malaysia tiba di Pusat Teknikal Aeronautikal di Balma berhampiran Toulouse, Perancis semalam untuk menyertai pasukan penganalisis serpihan pesawat yang ditemukan di Pulau Reunion pada 5 Ogos lalu. – AFP
KUALA LUMPUR 5 Ogos – Selepas lebih 500 hari kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, misteri terbesar dalam sejarah pe­nerbangan dunia hampir pasti me­nemui jawapannya.
Bagi pakar-pakar penerbangan seluruh dunia, bukti utama iaitu nombor siri, BB657 yang tertera pada flaperon sepanjang dua meter yang ditemukan di Pulau La Reunion, sebuah wilayah Perancis di Lautan Hindi pada 29 Julai lalu telah memberi kesimpulan awal bahawa itu adalah daripada pesawat jenis Bo­eing 777 yang sama dengan MH370.
Kemungkinan berkenaan diso­kong oleh fakta sejarah penerbangan yang menyaksikan hanya sebuah pesawat Boeing 777 yang perjalanannya berakhir di lautan iaitu MH370.
Bagaimanapun analisis kepada serpihan sayap di bahagian fla­peron yang ditemukan di Pulau La Reu­nion itu hanya selesai dilakukan hari ini oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Toulouse. Perancis.
Sehingga berita ini ditulis pada tengah malam Khamis, pasukan penyiasat dari beberapa negara yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman masih belum membuat sebarang pengumuman.
Bekas juruterbang MAS, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, keadaan arus di Lautan Hindi yang melawan arah jam turut menunjukkan bahawa pulau berkenaan adalah lokasi bersesuai­an untuk serpihan kapal itu ditemukan.
“Empat pesawat Boeing 777 terhempas dan satu terbakar. Hanya satu berakhir di laut iaitu MH370. Kalau ikut keadaan Lautan Hindi, arusnya akan membawa serpihan itu pergi ke pantai di mana flaperon itu ditemukan,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.
Selain fakta tersebut, penduduk tempatan dikatakan turut menjumpai banyak lagi bukti berkaitan MH370 iaitu serpihan pintu pesawat yang mempunyai tulisan bahasa Melayu dan Cina malah pasukan penyiasat Malaysia yang telah me­lakukan pencarian di sepanjang pantai dilaporkan turut menemukan banyak lagi serpihan pesawat yang diperbuat daripada aluminium termasuk bingkai besi.
Sehari selepas penemuan itu, Timbalan Perdana Menteri Austra­lia, Warren Truss, yang mengetuai usaha pencarian MH370 di Lautan Hindi menegaskan pasukan pe­nyiasat menganggap serpihan ber­kenaan sebagai bukti penting yang boleh membawa kepada kejayaan menemukan MH370.
Sebelum ini, pelbagai penemuan turut dikaitkan dengan MH370 termasuk di Kepulauan Andaman oleh seorang pakar teknologi maklumat dari India, Anoop Madhav Yeggina dan pengesanan sebuah kapal milik syarikat penerokaan berpangkalan di Adelaide, GeoResonance di Teluk Bengal, namun tidak satu pun yang disahkan benar dan ada kaitan de­ngan pesawat itu.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lalu semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac tahun lalu mengesahkan isyarat ping yang diperoleh daripada satelit Inmarsat menunjukkan penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.
Berikutan itu, Pusat Penyela­rasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), yang mengetuai operasi mencari telah melakukan pencarian ke kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di lokasi terakhir pesawat berkenaan dikesan namun sehingga hari ini masih belum menemui kejayaan.
Kerajaan Malaysia secara rasmi telah mengisytiharkan insiden itu sebagai satu kemalangan mengikut peraturan antarabangsa, namun jawapan utama kepada misteri kehilangannya masih tersimpul di Lautan Hindi dan diharapkan fla­peron itu memberi satu harapan baharu yang ditunggu-tunggu.

MH370 : Keluarga mangsa mahu lebih banyak sokongan

06 Ogos 2015 1:24 AM
SAUDARA MARA penumpang pesawat MH370 ditahan oleh pasukan polis ketika cuba masuk ke bangunan yang menempatkan pejabat MAS di Beijing, China, semalam tetapi mereka kemudiannya dibenarkan masuk untuk bertemu dengan wakil syarikat penerbangan itu untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pesawat tersebut. – REUTERS
BEIJING 5 Ogos – Ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di China menggesa MAS menawarkan lebih banyak sokongan kepada mereka bagi menghadapi situasi yang menimpa keluarga mereka.
Seorang ahli keluarga, Jiang Hui, 41, berkata, usaha MAS untuk bertemu ahli keluarga mangsa sebanyak dua kali sebulan tidak mencukupi.
“MAS menutup pejabatnya yang menguruskan pertemuan dengan keluarga pada April lalu,’’ katanya yang ibunya merupakan seorang penumpang dalam pesawat tersebut.
Beliau turut mendesak supaya mereka diberikan kebenaran untuk melihat video pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pesawat MH370 berlepas pada 8 Mac 2014, bagi membolehkan mereka melihat siapa yang menaiki penerbangan berkenaan.
“Kami tidak diberi akses melihat bahan itu sehingga sekarang,’’ katanya.
Berhubung penemuan serpihan bangkai pesawat dipercayai merupakan sebahagian pesawat MH370, Jiang Hui berkata: “Saya tidak mempedulikan perkara itu.’’
“Apa yang saya mahu tahu ialah sama ada kejadian ini merupakan satu kemalangan atau perbuatan jenayah,’’ katanya. – DPA