TEMBELANG PAS TERBURAI

Hasan dedah ‘rahsia pak turut’


HASAN Ali berucap di hadapan kira-kira 5,000 pengunjung pada majlis Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bertemakan Selamatkan Aqidah di Dewan Budi Penyayang, Kepala Batas, Pulau Pinang, Sabtu lalu. – Sazali Che Din


SELEPAS mengadakan empat road show setakat ini, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali ternyata mula ‘menggerunkan’ parti tersebut.

Hal ini memandangkan satu demi satu ‘rahsia pak turut’ Pas dalam pakatan pembangkang yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP didedahkan oleh beliau. Walaupun dituduh oleh penyokong fanatik Pas sebagai ‘pencacai’ dan ‘boneka’ UMNO namun ia setakat ini masih belum mampu menggugat perjuangan Hasan untuk terus bersuara bagi membongkar kepincangan Pas.

Mungkin untuk menyedapkan hati, dua pemimpin kanan Pas menganggap Hasan ‘dipersilakan’ terus bersikap demikian kerana pada pandangan mereka ia tidak akan menjejaskan parti itu.

Tetapi Pas tidak boleh angkuh atau merasakan tindakan Hasan tidak akan meninggalkan apa-apa kesan kepada parti tersebut. Ia kerana Hasan bukanlah sebarang individu. Hasan sudah menyertai Pas sejak 15 tahun lalu dan beliau adalah antara pemimpin pertama yang berada dalam pakatan pembangkang apabila gabungan tiga parti tersebut menubuhkan kerajaan negeri di Selangor.

Selain itu, Hasan juga ialah bekas Naib Presiden Pas dan bekas Ahli Jawatankuasa Pas pusat. Jjusteru sudah pastilah Hasan mempunyai banyak rahsia mengenai kelemahan yang berlaku dalam parti berkenaan dan paling penting mendedahkan kenapa Pas begitu bersedia menjadi ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

Sebenarnya adalah menjadi hak Pas untuk tidak menjawab segala tuduhan Hasan dan Hasan pun tidak ‘mengemis’ atau mendesak parti itu untuk menjawab. Tetapi adalah menjadi tanggungjawab Hasan sebagai seorang Islam untuk mendedahkan bagaimana dahsyatnya ketaksuban berpolitik yang diamalkan oleh Pas sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya demi mencari kuasa politik.

Tindakan Hasan berbuat demikian bukanlah untuk meruntuhkan Pas, apatah lagi berhasrat melenyapkan parti itu daripada persada politik tanah air.

Sebaliknya Hasan terpaksa bertindak begitu kerana ingin menyedarkan Pas bahawa perjuangan parti berkenaan sudah jauh tersasar daripada perjuangan asalnya. Pas tidak lagi berpolitik berkiblat kepada matlamat untuk memperjuangkan Islam tetapi segala-galanya ditumpukan kepada usaha untuk meraih kuasa bersama PKR dan DAP.

Sebab itulah seperti mana didedahkan oleh Hasan, Pas sudah menjadi parasit akidah apabila tidak menyokong Himpunan Sejuta Umat demi menjaga rakan sekutunya. Kalau dalam soal akidah pun Pas boleh berbelah-bahagi, apa ertinya kewujudan Pas sebagai sebuah parti Islam?

Pada masa ini adalah jelas, Pas merasa tidak tergugat dengan pendedahan Hasan atas tafsiran tiada orang Pas yang akan mempercayainya. Mungkin kenyataan itu benar jika ia dilihat dari sudut penyokong fanatik Pas yang majoritinya hanya tahu mengangguk sahaja apa juga kata pemimpin mereka.

Tetapi bagi orang Melayu dan umat Islam, mereka akan membandingkan segala hujah Hasan dengan realiti amalan politik Pas, di situ mereka akan mendapati apa yang diperkatakan oleh Hasan ada kebenaran. Bukan rahsia lagi, Pas kini sudah tiada taring, Pas kini semakin celaru dan seolah-olah tidak tahu ke arah mana hendak dituju.

Semua itu berlaku kerana kesilapan Pas sendiri yang gagal menjadi sebuah parti Islam yang tegas mempertahankan prinsip perjuangan asal mereka. Kesudahan istiqamah Pas menjadi rapuh apabila berkawan dengan PKR dan DAP sehingga memungkinkan orang seperti Hasan terpaksa mendedahkan kepincangan Pas.

“Ramai melihat Pas kini dalam keadaan kucar-kacir dan tiada pendirian. Saya percaya ahli dan penyokong Pas kini amat dahagakan kepimpinan yang lebih menyerlah.

“Keadaan ini jelas menunjukkan Pas tersepit di antara kepentingan politik sehingga terpaksa merendahkan suara demi kepentingan sekutunya,” kata penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan.

Apa pun, adalah sesuatu yang aneh apabila Pas cuba melihat segala tindakan Hasan sebagai satu serangan daripada musuh.

Soalnya bersalahkah Hasan apabila beliau menegur sikap berpolitik Pas? Berdosakah Hasan apabila beliau mengingatkan Pas mengenai perjuangan Islam yang semakin ditinggalkan parti itu?

Hasan hanya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin Islam, Hasan tidak mahu Pas terus hanyut memburu kuasa politik sehingga segala-galanya mahu dikorbankan. Hasan sudah masak dengan mainan politik PKR dan DAP, sebab itulah beliau bersedia mengorbankan diri untuk keluar daripada Pas supaya beliau tidak ada sekatan menegur parti kesayangannya itu.

Seperti mana beliau tegaskan sebelum ini, beliau tetap sayang kepada Pas dan Hasan memahami jika beliau berada dalam parti itu, beliau tidak akan mampu memperbetulkan parti berkenaan kerana terdapat ramai parasit.

Justeru mahu tidak mahu, Hasan terpaksa ‘berkorban’ untuk memastikan Pas tidak terus diperalatkan oleh PKR dan DAP.

Adalah sesuatu yang malang kerana sehingga kini Pas masih mengamalkan sindrom penafian. Segala pendedahan yang dibuat oleh mana-mana pihak akan dianggap bermotif politik dan bertujuan meruntuhkan parti itu. Tetapi hakikatnya, orang luar tidak akan mampu meruntuhkan Pas sebaliknya apa yang berlaku Pas sendiri yang sedang melemahkan perjuangan mereka.

Kerjasama dengan PKR dan DAP tidak memperkukuhkan Pas, sebaliknya hanya merapuhkan parti itu kerana Pas terpaksa mengorbankan prinsip perjuangannya demi senada dengan kedua-dua parti berkenaan.

Walaupun pada asalnya Pas merupakan satu-satunya parti yang berasaskan Islam di negara ini tetapi semua itu sudah menjadi kenangan. Pas ‘tersesat’ dalam pencarian merebut kekuasaan dan bersedia menjadi ‘pak turut’ sahaja kepada PKR dan DAP.

Sebaliknya apa yang berlaku sekarang tidak kira apa pun tuduhan Pas, UMNO jauh lebih baik dalam menjaga kepentingan umat Islam dan orang Melayu. Inilah yang cuba dilakukan oleh Hasan iaitu memperingatkan Pas supaya jangan terlalu taksub dalam kerjasama dengan PKR dan DAP.

Mahu tidak mahu, Pas adalah parti yang berasaskan Islam dan ditubuhkan atas nama perjuangan Islam. Kalau pemimpin Pas mendakwa, parti mereka lebih baik kerana UMNO adalah parti nasionalis, bagaimana pula dengan kerjasama Pas dengan PKR dan DAP. Apakah PKR dan DAP itu memperjuangkan Islam? Apakah PKR dan DAP akan merelakan Pas melaksanakan syariat Islam jika pembangkang memerintah?

Semua orang tahu pendirian kedua-dua parti berkenaan sebab itulah Pas terpaksa mengubah haluan politiknya daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan. Tidak usahlah pemimpin Pas menafikan kenyataan bahawa perjuangan Islam yang selama ini menjadi asas kewujudannya sudah tidak ada lagi dalam kamus politik Pas.

Apa pun Hasan akan terus menjelajah dalam memberi penerangan kepada orang Melayu dan umat Islam mengenai amalan politik Pas serta ancaman politik PKR dan DAP. Jika Pas terus memandang remeh pendedahan Hasan dan tidak mahu bermuhabasah demi memperbetulkan landasan perjuangannya, percayalah Pas akan menjadi parti paling rugi dalam pertarungan politik di negara ini.

Advertisements

Duta Palestin terkejut


Oleh KAMIL MASLIH


KUALA LUMPUR 30 Jan. – Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush (gambar) terkejut terhadap kenyataan ‘pelik’ daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.

Jelas beliau, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disiarkan di dalam The Wall Street Journal (WSJ) itu nyata membingungkan kerana pihak yang memerlukan perlindungan keselamatan adalah rakyat Palestin.

“Israel mempunyai lebih daripada 200 jenis senjata nuklear dan sebuah tentera yang dilengkapi serba serbi senjata canggih.

“Pihak mana yang sewajarnya mendapat perlindungan keselamatan, adakah penceroboh atau penduduk Palestin yang setiap hari ditindas dan dikenakan sekatan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan kontroversi Anwar terbongkar apabila akhbar WSJ pada Khamis lalu mendedahkan sokongan Ketua Pembangkang tersebut apabila dipetik sebagai berkata: “Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel’’.

Bagaimanapun, selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Tegas Abdelaziz, Israel secara terang-terang telah mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi kemanusiaan serta mengenepikan segala usaha daripada komuniti antarabangsa untuk membawa keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

“Palestin adalah isu penting bagi umat Islam, justeru adalah amat pelik dan menghairankan untuk kenyataan seperti itu datang daripada seorang pemimpin Malaysia yang beragama Islam, sedangkan Malaysia adalah perintis kepada usaha yang menyokong rakyat Palestin serta perjuangannya,” kata beliau.

Sementara itu, kata Abdelaziz, beliau amat menghargai ketegasan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang menyatakan kerajaan Malaysia tidak pernah menyokong tindakan penindasan rakyat Palestin yang ditakrifkan Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negara tersebut.

“Kami yakin bahawa sokongan kuat daripada kerajaan dan rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin akan tetap berterusan,” katanya.

KOMEN : APA NKA DIHARAPKAN DARI ANWAR…. DEMI KUASA DAN ANGAN-ANGAN NAK JADI PM, TOLAK PERJUANGAN RAKYAT PALESTIN DAN SOKONG TINDAKAN KEJAM REJIM ZIONIS DEMI MMENDAPATKAN DANA POLITIK… BIJAK SEBAGAI KAKI TEMBERANG…

SINDROM MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI DAN TIKAM BELAKANG..


Menilai kedudukan calon veteran
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

DALAM satu taklimat pilihan raya, seorang ahli politik veteran bertaraf YB ‘mengamuk’ apabila mendapati namanya digugurkan dan digantikan dengan calon lebih muda untuk pilihan raya umum akan datang.

YB ini tidak mahu mendengar penjelasan pihak yang membuat laporan tersebut dengan menganggap ia ‘mengarut’ dan mahu berjumpa dengan pemimpin atasan untuk mengadu.

Apa yang dipaparkan ini hanyalah contoh kecil bagaimana ada pemimpin veteran yang sudah lagi tidak mampu membawa kemenangan kepada parti masih mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Biar pun pengguguran itu berlandaskan kepada fakta yang dibentangkan hasil kajian yang dibuat namun ramai pemimpin veteran tidak akan mudah menerima kenyataan tersebut.

Semua ini hakikatnya bukanlah satu sikap politik yang matang, sepatutnya ahli politik veteran yang merasakan masanya sudah tiba untuk berundur akan rela berbuat demikian tanpa paksaan.

Masalahnya, di dalam UMNO ramai pemimpin-pemimpin veteran merasakan hanya mereka sahaja yang layak dan tiada siapa yang boleh menggantikan mereka.

Atas sebab itulah sudah tiba masanya, pucuk pimpinan parti bertegas dalam soal ini, pemilihan calon untuk pilihan raya umum akan datang perlu dibuat dengan teliti tanpa harus tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan.

Ia kerana pilihan raya umum akan datang cukup penting untuk survival politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO, ia dianggap ‘ibu’ kepada semua pilihan raya yang pernah diadakan.

Oleh itu sudah tentulah UMNO tidak harus menghabiskan masa melayan kerenah sesetengah pemimpin veteran yang masih mahu bertanding biar pun menyedari dia akan ditolak oleh rakyat.

Tumpuan utama perlu diberikan kepada negeri-negeri yang dianggap kritikal seperti Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor.

Di negeri-negeri berkenaan, UMNO tidak boleh melakukan kesilapan dalam memilih calon kerana misi UMNO adalah menawan semula Kedah, Kelantan dan Selangor serta mempertahankan kekuasaan di Perak.

Begitu juga di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang dikatakan menjadi sasaran utama pembangkang untuk menambah kerusi.

Jika UMNO masih leka dengan melayan kerenah pemimpin-pemimpin tertentu yang merasakan diri mereka sahaja yang layak, maka UMNO perlu bersedia berhadapan dengan kekalahan.

Hakikatnya, fenomena ingin menjadi calon dan merasakan dirinya layak menjadi calon bukanlah perkara baru, apatah lagi apabila seseorang individu itu memegang jawatan di peringkat bahagian.

Pandangan kuno bahawa jawatan di peringkat bahagian adalah tiket untuk terpilih sebagai calon masih melumuri sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO.

Apa yang mengecewakan ada antara mereka awal-awal lagi sudah membuat kenyataan berbentuk ugutan, kalau dirinya tidak terpilih dia akan memastikan partinya juga akan kalah.

Individu seumpama ini tidak diperlukan oleh parti kerana perjuangan politiknya hanya semata-mata untuk dirinya bukan parti.

Kalau ahli politik itu ikhlas sudah pasti dia akan menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukannya, jika terpilih bertanding Alhamdulillah, kalau tidak terpilih, dia akan bersungguh-sungguh membantu calon penggantinya untuk menang.

Tetapi senario ini acap kali sukar berlaku kerana sindrom merasakan dirinya sahaja layak dan berada dalam kategori ‘calon boleh menang’.

Justeru sudah tiba masanya, pucuk pimpinan parti bertegas dalam soal ini dan tidak melayan kerenah politikus yang hanya mementingkan diri sendiri.

Tidak kiralah sehebat mana pun politikus berkenaan tetapi kalau di kawasan sendiri rakyat sudah tidak menerimanya maka dia perlu bersedia untuk digugurkan.

Sebab itulah penyenaraian semula calon atau pemimpin yang bertaraf veteran dalam pilihan raya umum akan datang perlu dilakukan dengan teliti.

Jika pemimpin veteran itu masih berpengaruh dan diterima oleh rakyat tidak mengapa tetapi kalau sebaliknya maka parti perlu memiliki keberanian menggugurkannya.

Tidak perlu ada simpati atau rasa bimbang terhadap tindak balas yang akan dilakukan oleh mana-mana pemimpin veteran yang tidak dipilih bertanding.

Ia kerana selagi rakyat di sesuatu kawasan itu mahukan perubahan, maka mereka sudah pasti akan memberi sokongan kepada mana-mana calon yang dipilih bagi menggantikan pemimpin yang mereka tolak.

Masalahnya, acap kali juga berlaku, parti tunduk kepada desakan sesetengah pemimpin veteran ini tetapi kesudahannya parti yang rugi. Berdasarkan hakikat itu adalah wajar semua pemimpin UMNO berpegang kepada akujanji yang mereka lafazkan ketika perhimpunan agung UMNO lalu.

Dalam situasi politik yang dianggap genting sekarang terutamanya dalam berhadapan pilihan raya umum, kepentingan parti harus mengatasi segala-galanya.

Perkara utama yang perlu diberi pertimbangan ialah meletakkan lebih ramai calon muka baru tanpa mengorbankan calon veteran yang menjadi aset kepada parti.

Kita perlu ingat, dalam pilihan raya umum akan datang, pengundi muda akan menjadi pengundi teramai, mereka mempunyai cita rasa dan pandangan politik yang berbeza.

Oleh itu, jika UMNO dan BN meletakkan calon bertaraf veteran yang tidak mampu membawa apa-apa faedah kepada parti adalah lebih baik mereka ini digantikan dengan calon lebih muda.

Bagaimanapun calon muda berkenaan biarlah yang popular di kalangan rakyat dan mempunyai karisma. Pada masa ini sama ada hendak diakui atau tidak, kebanyakan pemimpin muda di peringkat bahagian tidak begitu menonjol atau dihalang daripada menonjol.

Di bahagian-bahagian tertentu ada pemimpin-pemimpin muda yang mengetuai sayap parti bersikap seperti ‘hidup segan mati tak mahu’.

Mereka tidak aktif melaksanakan agenda parti tetapi apabila datang musim pilihan raya barulah hendak tunjuk muka. Keadaan ini sudah tentulah tidak menguntungkan parti kerana apa yang lebih penting adalah penerimaan rakyat terhadap kehadiran mereka.

Seperkara lagi yang harus diberi pertimbangan serius oleh UMNO ialah menggugurkan mana-mana pemimpin yang sudah bertanding berkali-kali tetapi tetap kalah.

Tidak kiralah sama ada pemimpin itu berada di kubu kuat pembangkang atau tidak tetapi jika parti merasakan orang lain lebih layak bertanding maka pilihlah orang itu.

Apa pun adalah diharapkan akan ada sikap berkorban di kalangan sesetengah pemimpin veteran yang sudah tidak lagi diterima oleh rakyat. Mereka perlu bersedia memberi laluan kepada calon lain dan bukannya mengatur gerakan untuk memastikan pengganti mereka tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Janganlah merasakan kita sahaja hebat sedangkan yang sepatutnya membuat penilaian itu ialah rakyat. Merekalah yang akan menentukan hidup mati perjuangan sesebuah parti melalui pilihan raya yang bakal diadakan.

UMNO memerlukan barisan pemimpin dan ahli yang ikhlas, sedia berkorban dan melakukan pengorbanan demi perjuangan parti, bukannya peribadi.

KOMEN : MASALAHNYA BILA JAWATAN DAN PANGKAT KEBESARAN NAK DI BAWA MASUK KE LIANG LAHAT… YANG PENTING KUASA…

ISU MURTAD

Jawatankuasa Penguatkuasaan Syariah perlu demi akidah umat Islam
DARI UTUSAN MALAYSIA
30/1/2012

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Penubuhan Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-undang Syariah yang memantau pengembangan agama bukan Islam terhadap orang Islam yang diumum semalam disambut baik beberapa tokoh agama.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut (gambar) berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut merupakan satu tindakan yang tepat pada masanya berdasarkan pegangan akidah umat Islam yang kian goyah di negara ini.

“Jawatankuasa yang terdiri daripada pihak yang berkenaan dilihat mampu untuk menjadi benteng terakhir dalam menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini.

“Justeru, saya berharap agar satu pasukan pegawai khas yang terdiri daripada pakar dalam undang-undang sivil, peguam syariah serta pegawai penyiasat turut ditubuhkan bagi memantapkan jawatankuasa tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa itu yang bertindak sebagai badan yang memantau lebih rapi pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam seperti diumum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam.

Tambah Nooh, satu pusat jagaan yang berperanan membantu pemulihan akidah orang Islam yang dimurtadkan juga perlu ditubuhkan selaras dengan konsep memberi kesedaran kepada mereka untuk kembali kepada ajaran Islam.

“Pusat pemulihan tersebut bertanggungjawab memberi pendidikan agama kepada mereka yang dimurtadkan agar akidah dapat diperbetulkan.

“Dalam masa sama, saya turut menyeru Jabatan Agama Islam negeri yang masih belum mewujudkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam agar melaksanakannya segera bagi menjamin akidah umat Islam terjaga,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Muhammad Yusoff Hussein berpendapat jawatankuasa tersebut berperanan dalam memberi kesedaran kepada orang Islam mengenai kesan murtad terhadap mereka.

“Tidak dinafikan ramai orang Islam yang tidak faham mengenai murtad. Justeru, jawatankuasa ini perlu lebih proaktif untuk menjelaskan kesan serta gejala ini kepada masyarakat.

“Perlu diadakan juga perbincangan dari semasa ke semasa kepada seluruh masyarakat supaya mereka memahami kepentingan menjaga akidah serta kepercayaan terhadap agama Allah,” ujarnya.

Perpaduan BN jadi penentu

Najib Tun Razak menyertai acara makan bersama pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak di Dewan SJKC Yuk Choy, Ipoh, semalam. Turut kelihatan, Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek (tujuh dari kanan) dan Menteri Besar Perak, Dr. Zambry Abd. Kadir (enam dari kiri). – bernama


IPOH 29 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu seluruh parti komponen Barisan Nasional (BN) bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dan bersatu padu bagi memastikan parti itu mendapat kepercayaan besar rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri menegaskan, hanya kesepaduan jentera dan pelaksanaan strategi yang tepat akan membolehkan BN mendepani setiap cabaran sepanjang pilihan raya itu yang dianggap paling getir dalam sejarah.

”Saya bukan bercakap mengenai MCA, tetapi semuanya, UMNO, Gerakan, MIC (serta) parti komponen di seluruh negara. Ada pepatah Inggeris menyebut a house divided will fall (rumah yang terbahagi-bahagi akan runtuh).

”Jadi kita perlukan MCA yang bersatu padu, MIC yang bersatu padu, Gerakan yang bersatu padu, UMNO yang bersatu padu. Kita perlukan BN yang bersatu padu,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk R. Ganesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, adalah amat penting untuk jentera BN bekerja keras menambah keyakinan dan kepercayaan rakyat supaya terus menyokong kerajaan.

Beliau menarik perhatian kerjasama erat semua pihak termasuk parti-parti komponen BN dalam mengadakan majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, dekat sini semalam sehingga mampu menarik kehadiran lebih 50,000 rakyat berbilang kaum.

”Itu adalah antara ukuran kerja kuat yang kita buat untuk menambah keyakinan rakyat kepada kita, kita perlu membina kepercayaan rakyat. Itu kunci kejayaan kita,” ujarnya.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya juga meminta seluruh ahli dan pemimpin komponen BN Perak supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Zambry yang juga Pengerusi BN negeri bagi memastikan Perak kekal dalam penguasaan BN.

”Kita mahu pertahan Perak sebagai negeri BN, ini amat penting untuk kita lakukan dan kita akan bekerja kuat. Berilah kerjasama kepada Menteri Besar sebagai Pengerusi BN negeri supaya kita boleh menang,” ujarnya.

Bukti Anwar lidah bercabang


PETIKAN kenyataan Anwar Ibrahim seperti disiarkan The Wall Street Journal, kelmarin.


KUALA LUMPUR 29 Jan. – Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya kenyataan beliau yang menyokong segala usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel, sengaja diputar-belit oleh media tempatan adalah satu lagi bukti sikap lidah bercabang Ketua Pembangkang itu.

Sambil mempersoalkan sejak bila hak rakyat Palestin dibela oleh Israel sehingga ketua pembangkang itu sanggup menyokong keselamatan negara Yahudi itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, tindakan Anwar bertujuan menyuci dosanya terhadap zionis.

“Ini bukti satu lagi sikap lidah bercabang. Sejak bila hak rakyat Palestin dibela Israel? Rakyat Palestin setiap hari dibunuh oleh Israel, apakah Anwar tidak tahu? Anwar sedar semua ini tetapi demi kepentingan politik beliau sanggup mengutamakan Yahudi demi menjaga hati zionis.

“Ini kerana Anwar mahu barat melihat beliau kawan kepada zionis dan golongan neo konservatif (kumpulan pro-Yahudi) selepas terlajak menghentam Apco Worldwide tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kenyataan kontroversi Anwar itu terbongkar apabila akhbar The Wall Street Journal pada Khamis lalu mendedahkan sokongan Ketua Pembangkang tersebut kepada Israel apabila dipetik sebagai berkata: “Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.”

Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Sebaliknya, menurut Anwar, kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi, maka, wajar hak rakyat Israel juga dihormati, selaras dengan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi.

Mengulas isu sama, bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, alasan yang diberi dalam menghalalkan sokongan ke atas Israel membuktikan Anwar buta sejarah kerana zionis tidak pernah mengiktiraf hak rakyat Palestin mahu pun orang Islam.

“Golongan Yahudi ini memang telah ditegaskan dalam al-Quran bahawa mereka akan sentiasa memerangi dan menindas orang Islam khususnya bangsa Palestin. Jadi di mana logik alasan yang diberikan Anwar untuk beliau menghalalkan sokongannya kepada Israel.

“Semua ini sebenarnya cerminan sikap beliau yang sejak dahulu pro-Yahudi. Sebab itu Anwar tergamak menyokong segala usaha demi keselamatan Israel ketika rakyat Palestin setiap hari dibunuh dengan kejam dan hak mereka sebagai manusia dinafikan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Zahid mencabar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menyatakan sokongan ke atas Anwar dalam isu negara Israel dengan segera, kerana beliau adalah calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Menurut beliau, Pas perlu menyatakan pendirian dengan jelas berhubung sokongan Anwar ke atas keselamatan Israel itu kerana pendedahan mengenainya, dibuat oleh akhbar antarabangsa yang sangat dipercayai pihak pembangkang dan bukannya media tempatan.

Sikap berdiam diri pemimpin Pas diselar

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) menyelar sikap pemimpin tertinggi Pas yang sehingga kini berdiam diri meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha bagi menjamin keselamatan negara Israel.

Beliau berkata, sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dalam isu tersebut nyata berbeza berbanding pertengahan 90-an dahulu apabila Pas menentang keras kehadiran pasukan kriket remaja Israel.

“Kenapa sampai sekarang pemimpin Pas berdiam diri? Mana perginya Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz ketika Anwar menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha untuk keselamatan negara Israel? Mana Mahfuz yang dahulu sanggup masuk penjara kerana prinsip menentang Israel? Apakah Pas setuju dengan Anwar?

“Bagi saya kalau Pas memilih untuk berdiam diri dalam isu ini, maknanya Pas yang mengangkat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memerintah juga menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan negara Israel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sikap berdiam diri pucuk pimpinan tertinggi Pas terhadap kenyataan kontroversi Anwar sedangkan sebelum ini parti tersebut lantang mengkritik kerajaan berhubung isu Apco Worldwide yang dikaitkan dengan negara Yahudi itu.

Sehingga kini, hanya Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang tampil mengeluar kenyataan secara umum menolak sebarang usaha untuk menyokong Israel apatah lagi untuk memberi perlindungan kepada golongan yang disifatkannya dilaknat oleh Allah.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata, kenyataan terbaru Anwar adalah rentetan bukti amalan politik dua alam ketua pembangkang itu yang tidak pernah tetap pendirian jika berdepan khalayak berbeza dan ia dibuat bertujuan meraih kembali sokongan serta kepercayaan kumpulan pro-Yahudi di Barat.

“Rakyat perlu sedar hakikat ini. Anwar mempunyai hubungan rapat dengan kelompok individu yang pro-Yahudi. Hubungan beliau dengan Paul Wolfowitz (arkitek perang Iraq), William Cohen (bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat) dan Al Gore telah sekian lama menjadi rahsia terbuka,” katanya.

Saya tak percaya berita ini – Nik Abduh

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Dewan Pemuda Pas Pusat berbeza pendapat berhubung kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.

Ini kerana, di sebalik ketegasan Ketuanya, Nasrudin Hassan menolak mana-mana usaha untuk menyokong Israel, Timbalannya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula enggan mempercayai laporan yang diterbitkan oleh The Wall Street Journal itu.

“Menyokong segala usaha melindungi keselamatan negara Israel? Saya tak percaya berita ini,” kata Nik Abduh menerusi laman Facebook dipercayai merujuk kepada laporan akhbar antarabangsa itu berhubung kenyataan Anwar.

Semalam, Nasrudin meskipun membuat kenyataan secara umum tanpa merujuk terus kepada Anwar berkata, sokongan terhadap Israel tidak layak dan tidak wajar diberikan sekali pun atas nama untuk mengambil hati Amerika Syarikat.

Tegasnya, Israel adalah sebuah entiti haram yang terlalu besar dosanya terhadap umat Islam, justeru segala usaha menyokong apatah lagi memberi perlindungan kepada golongan yang dilaknat oleh Allah perlu ditolak.

The Wall Street Journal pada Khamis lalu menyiarkan kenyataan Anwar yang dipetik sebagai berkata: “Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.”

Namun dalam laporan sama, Ketua Pembangkang itu tidak mengesahkan akan membuka hubungan diplomatik dengan Israel iaitu suatu langkah yang menurut beliau bergantung sama ada Israel menghormati aspirasi rakyat Palestin.

KOMEN : DAH KALAU DUIT YAHUDI JUGA YANG MEREKA PERLUKAN UNTUK MENJATUHKAN KERAJAAN YANG ADA, TEMBERANG ANWAR UNTUK MENDAPATKAN SOKONGAN KERAJAAN ASING SUDAH BOLEH DIBACA… ANWAR BAKAL PM TAJAAN ZIONIS…



POLITIK PUAK PEMBANGKANG CACI DAN FITNAH…

Politik beradab demi kemaslahatan rakyat


Orang ramai perlu bijak menilai apabila mendengar ceramah politik. – Gambar Hiasan


IMAM al-Ghazali (450 – 505H/1058-1111M) yang terkenal dalam bidang tasawuf dan psikologi pendidikan Islam turut memberikan sumbangan besar kepada falsafah politik dengan melahirkan beberapa karya penting sama ada dalam bentuk surat-surat kumpulan nasihat kepada pemerintah atau tanggungjawab menguruskan negara.

Dalam usaha menguruskan negara, al-Ghazali menjelaskan falsafah politik hendaklah berteraskan kepada membentuk perpaduan dan memacu kemajuan bagi membolehkan rakyat hidup selesa dan tenteram.

Berkonsepkan kepada itulah al-Ghazali mendefinisikan politik atau siasah ialah menambah baik urusan manusia dengan memacu jalan yang lurus bagi meneruskan kehidupan selaras dengan prinsip menegakkan kebenaran dan menghapus kemungkaran.

Dengan menggunakan rangka falsafah politik itu, sekurang-kurangnya dapatlah kita menilai apakah realiti politik yang berlaku di Malaysia setelah beberapa kaedah dilaksanakan oleh parti politik semakin menipis dengan peraturan adab dan nilai-nilai moral.

Bentuk politik beradab ialah kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki hendaklah digunakan untuk melakukan kebajikan kepada rakyat dan bukannya mengheret rakyat dalam kancah sengketa ataupun huru-hara.

Sebuah parti politik yang mendakwa perjuangannya adalah untuk membentuk masyarakat dan negara berdasarkan Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur, atau negara yang sejahtera dan (mendapat keampunan) Tuhan Yang Maha Pengampun tidak dapat ditemui apakah sesungguhnya perjuangan mereka. Yang jelas ialah setiap tindak-tanduknya telah menghasilkan perilaku politik yang amat tidak beretika.

Apabila memperlihatkan bingkai ubudiyah, yakni pengabdian manusia seruannya lebih menumpukan kepada rasa ketaatan yang lebih besar kepada pemimpin sehingga membentuk situasi bahawa pemimpin itu adalah penentu segala-galanya, rakyat tidak perlu mempersoalkan apakah yang dilakukan itu benar-benar bercirikan kehendak Islam atau di sebaliknya.

Resah rakyat tidak dipedulikan. Keinginan rakyat tidak diberikan perhatian yang serius bahkan bagi ‘menyuntik sedikit kelegaan’ elit politik menggunakan pautan sejarah dan petikan ayat-ayat al-Quran bagi menggambarkan bahawa retorik politiknya menurut jalan yang lurus dan tepat. Realitinya tidak sedemikian, kerana rentetan sejarah dan petikan ayat-ayat al-Quran dan hadis tidak dikembangkan dalam kerangka tindakan yang komprehensif.

Sejak kemunculannya lagi belum terangkum dengan jelas apakah kaedah yang dilakukan demi meningkatkan kehidupan rakyat manakala setiap masa menyatakan bahawa pendekatan yang dibawa telah menghasilkan persekitaran kehidupan yang baik dan penuh keimanan. Apakah muslihatnya bila membuat dakwaan sedemikian, sedangkan secara drastiknya tidak ada kemajuan dan petunjuk positif boleh dibanggakan.

Mungkin sebahagian daripada kita boleh meneliti apakah benar kesejahteraan hidup rakyat telah berjaya ditingkatkan sedangkan kadar pengangguran semakin meningkat, jumlah penghidap HIV/AIDS kian bertambah manakala lain-lain jenayah (curi, pecah rumah, menipu, merogol, mengugut dan pergaduhan) tidak juga berkurangan. Tetapi, pemimpin yang mendakwa dirinya telah mampu menyuburkan semangat keislaman dan keimanan semakin sehari semakin membusung dengan nilai-nilai kehidupan yang terkeluar daripada peraturan adab.

Untuk membuktikan dirinya berintegriti, pemimpin tersebut masih berdolak-dalik. Untuk membuktikan dirinya bersih daripada sebarang prasangka mementingkan kekayaan, pemimpin itu masih berdiam diri daripada mengisytiharkan aset yang dimilikinya sama ada atas nama dirinya atau pun ahli keluarganya.

Sebagai ulama fiqh, Iman al-Ghazali memberikan ketegasan bahawa kekuasaan dan kekuatan yang ada dalam diri seseorang pemimpin hendaklah digunakan bagi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan rakyat. Tetapi apa yang berlaku ialah pemimpin yang mendabik sebagai orang yang beriman dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT itu tidak pernah memikirkan dengan tepat dan jelas bagaimana rakyat yang memberikan harapan dan kuasa kepadanya, maka dia perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya secara lebih berkesan.

Sebaliknya, rakyat diajak dan didorong untuk bertindak keterlaluan sehingga masalah peribadi dihubungkaitkan sebagai persoalan memastikan peluang dan memusnahkan masa depan dalam politik. Maka, dalam menimbuskan jurang kredibiliti dan melonjakkan imej, pemimpin tersebut sanggup melancarkan kempen mengajak rakyat mencetuskan kekecohan sehingga menampakkan bahawa yang bersalah ialah pihak yang berusaha menguatkuasakan peraturan dan mengawal situasi.

Mereka yang gigih berusaha mengekang tindakan liar dilihat sebagai zalim dan keterlaluan, sedangkan secara lojik, penganjurnya harus dipersalahkan akibat membelakangkan peraturan dan tidak menerima ketetapan. Atas kegelisahan takut dijatuhkan hukuman bersalah, rakyat diberitahu secara sinisnya bahawa memang peraturan itu sengaja digunakan untuk menafikan kebebasan dan hak setiap orang.

Bukankah kebebasan seluas-luasnya telah diberikan? Bukankah peluang tersebut telah digunakan secara maksimum sehingga menggelorakan pemikiran rakyat seolah-olah setiap hari adalah hari penentuan? Setiap hari perlu diperkuatkan azam bahawa pihak yang memerintah perlu disingkirkan kerana pemerintah dianggap gagal dan melakukan kezaliman? Apakah kaitannya persoalan peribadi dengan tindakan kerajaan apabila mempertahankan kewajaran undang-undang bagi membuktikan terlaksananya proses mencari keadilan kepada pihak yang mendakwa dan didakwa?

Hal itulah yang menjadi bahan pemikiran politik al-Ghazali apabila beliau menggariskan asas berpolitik mestilah dilaksanakan secara terbuka dengan menolak keinginan mempertahankan peribadi seseorang. Mengekalkan keamanan negara menjadi prinsip perjuangan dan meletakkan tindakan memenuhi kebajikan rakyat sebagai praktis yang besar, bukannya hanya sekadar menabur janji dan menyalahkan orang lain, apabila gagal.

Sebarang usaha yang konkrit perlu didedahkan. Bukan sekadar mendakwa berjaya mengurangkan hutang hampir RM600 juta sedangkan usaha itu sebenarnya dilakukan oleh pihak lain. Yang menyumbangkan dana ialah orang lain, tetapi yang mendakwa kejayaan adalah elit politik yang gagal melaksanakan program membela nasib rakyat secara berkesan, hanya menempel atas kejayaan dan inisiatif pihak lain.

Pemimpin yang mengamalkan budaya “lembu punya susu tetapi sapi dapat nama” itulah dinilai sebagai politik tidak beradab oleh al-Ghazali.

Seseorang pemimpin mestilah mencapai tahap kualiti yang tinggi baik dari segi ilmu mahupun perilakunya kerana ia terdedah kepada pelbagai cabaran. Seseorang pemimpin mestilah bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawabnya menyelesaikan masalah rakyat dan bukan hanya sekadar bermain dengan retorik, menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan suasana bermusuhan.

Perkembangan politik semasa, kerana tarikh pilihan raya umum semakin dekat, lebih banyak pendekatan propaganda digunakan sehingga menampakkan hanya pihak tertentu sahaja yang bersalah sedangkan orang yang melancarkan serangan itu tidak sedikit pun memperlihatkan kesungguhan melaksanakan prinsip membentuk kesejahteraan dan menganjurkan perpaduan.

Setiap apa yang ditawarkan membawa kepada penyelesaian berdarah, kerana falsafah politik yang dipeganginya itulah sahaja yang benar dan berjiwa Islam sedangkan seluruh tindakannya tidak pernah membuktikan budaya beradab dan berintegriti.

KOMEN : POLITIK PUAK PEMBANGKANG BOLEH DIKATEGORIKAN SEBAGAI POLITIK SAMPAH DAN KAKI TUMPANG KEJAYAAN KERAJAAN BN… TENGUK AJE KAT SELANGOR, PENANG DAN KEDAH… APA YANG RAKYAT DAPAT… MALAPETAKA KERAKUSAN KUASA … MASALAH DATANG BERTIMPA-TIMPA TANPA SUATU PENYELESAIAN…