SUKAN SEA 2015 : Skuad compound cipta sejarah

19 Jun 2015 12:41 AM
Fatin Nurfatehah Mat Salleh (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara compound individu wanita Sukan SEA 2015 di Singapura baru-baru ini. UTUSAN
SINGAPURA – Pasukan memanah compound yang diketuai Fatin Nurfatehah Mat Salleh wajar menerima pujian tinggi selepas mereka melakar sejarah dengan memenangi empat pingat emas Sukan SEA 2015.
Empat Sukan SEA yang lalu mereka tidak pernah menyumbangkan pingat emas namun dalam temasya di Singapura, mereka mempamerkan peningkatan prestasi mendadak di bawah kendalian jurulatih tempatan Adnan Ahmad. Malah, mereka hampir menyapu bersih semua pingat emas namun Zulfadhli Ruslan tewas dengan perbezaan satu mata dalam perlawanan akhir individu lelaki.
Kejayaan ini juga pasti sesuatu yang manis kepada pasukan compound kerana akhirnya mereka dapat membuka mata pihak berwajib seperti Majlis Sukan Negara (MSN) agar memberikan layanan sama rata seperti mana yang dinikmati oleh skuad recurve.
Difahamkan, sebelum pasukan compound tiba ke Singapura, mereka hanya diberi penajaan anak panah dan selebihnya atas perbelanjaan sendiri, mungkin kerana kurang yakin skuad itu mampu menyerlah dalam Sukan SEA kali ini.
Layanan itu sememangnya sesuatu yang pelik memandangkan trio berpasukan wanita compound yang terdiri daripada Fatin, Saritha Cam Nong dan Nor Rizah Ishak baharu sahaja melakar kejayaan terbesar pada 9 Mei lalu iaitu memenangi Piala Dunia di Shanghai, China dengan mengalahkan Amerika Syarikat.
Bagi pasukan recurve, prestasi pasukan lelaki boleh dikatakan agak sederhana sementara skuad wanita, yang terdiri daripada ramai muka baharu, masih dalam proses mencari pengalaman dan pendedahan bertanding di kejohanan peringkat tinggi.
Maruah skuad recurve di­selamatkan oleh trio Khairul Anuar Mohamad, Mohd. Iqram Joni dan Haziq Kamaruddin yang mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua temasya lalu untuk mengubati kekecewaan Haziq yang tewas kepada pemanah Thailand, Witthaya Thamwong dalam acara individu.
Skuad recurve wanita yang terdiri daripada Farah Amalina Azhar (20 tahun), Loke Shin Hui (18 tahun) dan Nur Afisa Abdul Halil (17 tahun) pula membawa pulang pingat gangsa wanita berpasukan selepas menewaskan Singapura, dan itu sekurang-kurangnya membuktikan mereka ada potensi menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017.
Fatin, yang merangkul tiga pi­ngat emas, mengakui mereka terpaksa berlatih secara berasingan untuk menghadapi Sukan SEA namun itu tidak menghalang mereka melakar kejayaan yang pasti akan dikenang dalam tempoh yang lama.
“Disebabkan masing-masing tinggal di tempat berasingan, kami terpaksa berlatih sendirian dan semuanya atas tanggungjawab ma­sing-masing tetapi atas semangat dahagakan kejayaan, kami berjaya melakukan apa yang orang lain fikir mustahil.
“Tiada sebarang rahsia tertentu di atas apa yang kami semua lakukan, hanya kerja keras dalam latihan dan disiplin, alhamdulilah apa yang kami buat di sini sesuatu yang sangat manis dan harap mampu dikekalkan selepas ini,” katanya. – UTUSAN

SUKAN SEA 2015 : Selamatkan olahraga negara

16 Jun 2015 1:06 AM
SINGAPURA – Pencapaian terburuk olahraga dalam sejarah Sukan SEA apabila sekadar meraih tiga pi­ngat emas di Singapura menunjukkan sukan itu kini dalam keadaan ‘tenat’ dan sesuatu perlu dilakukan seandainya Malaysia memasang impian untuk muncul juara keseluruhan apabila menjadi tuan rumah, dua tahun dari sekarang.
Olahraga adalah lubuk emas Sukan SEA, tanpa olahraga peluang untuk mengungguli temasya tidak mudah, jadi baik Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu pun Majlis Sukan Negara (MSN) perlu segera memikirkan apakah program terbaik yang boleh dilakukan untuk memulihkan kembali prestasi sukan itu.
Pada edisi ke-28 Sukan SEA di Singapura, kesemua tiga emas yang diraih adalah daripada acara padang menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin (lempat cakera), Muhamad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa dalam lompat tinggi lelaki.
Secara keseluruhan, olahraga hanya mampu menghadiahkan tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa daripada 24 acara yang di­sertai, selain memecah dua rekod kebangsaan.
Hakimi menghadirkan emas pertama selepas melakukan lompatan sejauh 16.76 meter, sekali gus me­lebur rekod temasya (16.67m) milik atlet Vietnam, Nguyen Van Hung.
Dia bukan sahaja memperbaharui rekod baharu kebangsaan tetapi turut meraih emas pertama negara untuk tempoh 18 tahun dalam acara lompat kijang lelaki selepas kali terakhir diraih menerusi Zaki Sadri pada Sukan SEA 1997 di Jakarta.
Irfan pula mempertahankan emas yang dimenangi di Myanmar, dua tahun lalu dengan jarak sejauh 56.62m, manakala Nauraj cemerlang melepasi ketinggian 2.13m.
Satu lagi pencapaian yang boleh dibanggakan buat olahraga pada Sukan SEA kali ini apabila berupaya melebur rekod berusia 14 tahun dalam acara 4x100m lelaki.
Kuartet yang dibarisi oleh Johnathan Nyepa, Mohd. Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy mencatat masa 39.67 saat dan menamatkan sai­ngan di tempat keempat.
Catatan masa tersebut memperbaharui rekod lama 39.83s milik gandingan kuartet, Watson Nyambek, Nazmizan Muhammad, Azmi Ibrahim dan R. Ganeshwaran yang dilakukan pada Sukan SEA 2001.
Jika diteliti beberapa acara prospek pingat emas olahraga seperti lompat bergalah lelaki, 20km jalan kaki, 200m lelaki dan 4x100m seakan sukar memberikan saingan kepada lawan masing-masing.
Begitupun sedikit berita baik yang dibawa daripada Sukan SEA kali ini adalah kemunculan beberapa bakat baharu yang boleh diketengahkan pada Sukan SEA 2017 .
Atlet 100m, Harith Ammar dan Nixson Kennedy, selain atlet 200m, G. Aravinn Thevarr antara yang perlu diberi perhatian. Turut mempunyai potensi adalah atlet pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli.
Nixson dan Harith Ammar yang berusia 20 tahun ketika ini mempunyai rekod peribadi terbaik iatu sekitar 10.50s, manakala Aravinn, 21, memegang rekod peribadi 21.40s dalam acara 200m.
Zaidatul Husniah, 21, berjaya mara ke saingan akhir 100m wanita dan membantu kuartet 4x100m meraih pingat gangsa mempunyai rekod peribadi yang cukup baik dalam acara 100m iaitu 11.62s.

SUKAN SEA 2015 : Pencapaian boling menakjubkan

16 Jun 2015 1:10 AM
PEMAIN boling negara merangkul kejuaraan berganda dalam acara berpasukan apabila meraih emas lelaki dan wanita untuk menutup kempen Sukan SEA 2015 dengan lima pingat emas keseluruhan.
SINGAPURA – Menamatkan kempen Sukan SEA 2015 de­ngan meraih lima pingat emas, satu perak dan empat gangsa adalah pencapaian menakjubkan buat skuad boling negara.
Malah, pencapaian tersebut juga menjadi salah satu penyumbang utama pingat buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA edisi Ke-28 di Singapura.
Pemain muda, Muhd. Rafiq Ismail, 18 tahun merupakan atlet pa­ling menonjol sepanjang saingan di Orchid Country Club kerana berjaya menghadiahkan tiga emas daripada lima yang diraih skuad boling negara menerusi acara individu, trio dan lima berpasukan lelaki.
Dua lagi pingat emas diraih menerusi beregu wanita dan lima berpasukan wanita.
Sementara, satu perak menerusi acara Masters lelaki dan empat pingat gangsa melalui beregu lelaki, lelaki Masters, beregu wanita dan individu wanita.
Ketua Jurulatih skuad bo­ling kebangsaan, Holloway Cheah berkata, semua pemain telah me­laksanakan tugas dengan baik terutama Rafiq.
Kata Holloway, pemain muda itu mempunyai masa depan yang cerah dan mampu meraih lebih banyak kejayaan buat negara.
“Dia telah melaksanakan tugas dengan baik pada Sukan SEA kali ini iaitu pada penyertaan pertamanya.
“Bagi saya dia masih muda dan perlu lebih banyak pengalaman untuk membantunya cemerlang dalam sukan boling,” kata Holloway.
Pada Sukan SEA 2013, acara boling tidak dipertandingkan manakala pada 2011, skuad negara meraih lima pingat emas, tiga pe­rak dan enam gangsa.

SUKAN SEA 2015 : Bola keranjang raih emas ke-60

Kembalikan status gergasi Asia Tenggara, emas ke-13 Sukan SEA
16 Jun 2015 1:13 AM

PEMAIN negara, Lee Jo Rynn (kanan) diasak oleh pemain Vietnam, Bich Nguyen dalam saingan terakhir Sukan SEA 2015 di Arena OCBC, Singapura semalam.
SINGAPURA – Malaysia mengembalikan status mereka sebagai gergasi bola keranjang wanita Asia Tenggara selepas me­rampas semula pingat emas yang ‘hilang’ sejak lapan tahun lalu de­ngan menundukkan Vietnam, semalam.
Malah, lebih istimewa lagi, emas tersebut merupakan emas ke-60 buat kontinjen negara pada Sukan SEA 2015 dan kejuaraan disahkan milik mereka selepas mengalahkan Vietnam 82-50 dalam aksi terakhir saingan yang dijalankan menerusi format liga sepusingan.
Malaysia memiliki sejarah hebat dalam bola keranjang wanita Sukan SEA apabila merangkul kejua­raan tujuh kali berturut-turut pada 1977, 1979, 1981, 1983, 1985, 1987 dan 1989, selain meraih emas pada 1993, 1997, 2001, 2003 serta 2007.
Bola keranjang tidak dipertan­dingkan dalam Sukan SEA 2005 di Manila dan Myanmar 2009, namun sebaik saja ia kembali, Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan, sebaliknya Thailand merangkul emas dalam dua temasya terakhir pada 2011 dan 2013.
Justeru, tidak hairanlah me­ngapa kejayaan membawa pulang emas Sukan SEA buat kali ke-13 amat bermakna buat anak-anak buah Yoong Sze Yuin, apatah lagi dia hadir ke Singapura dengan bersandarkan kudrat pemain muda dengan purata umur sekitar 22 tahun.
“Rata-rata pemain baru berusia 22 tahun, namun mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi dan ini kunci utama kejayaan kami.
“Skuad ini mempunyai masa depan yang cerah dan saya yakin, apabila Sukan SEA kembali ke Kuala Lumpur, dua tahun dari sekarang, kami mampu mengulangi pencapaian emas,” kata Sze Yuin.
Kemenangan ke atas dua pencabar utama, Indonesia (70-45) dan Thailand(65-56) menjadi kunci kejayaan Malaysia yang tidak berdepan masalah menumpaskan tuan rumah, Singapura (65-39).
Emas juga begitu bermakna buat R. Kalaimathi yang hampir terlepas Sukan SEA apabila mendapat kecederaan lutut semasa perlawanan persahabatan.
“Pada mulanya doktor sahkan saya mendapat kecederaan lutut, seminggu sebelum saya datang ke sini dalam satu perlawanan persahabatan.
“Nasib baik dengan kerja keras fisioterapi melakukan rawatan pemulihan, saya sempat menyertai pasukan.
“Tidak dinafikan tuah juga memainkan peranan apabila Indonesia menumpaskan Filipina, jika tidak mungkin emas agar sukar buat Malaysia,” katanya.
Kemenangan juga cukup istimewa buat pendatang baharu Sukan SEA, Yap Fook Yee yang meraikan ulang tahun ke-22 semalam. Sebaik saja tamat permainan, rakan-rakan sepasukannya menghadiahkan kek kepadanya.
“Ini adalah Sukan SEA pertama saya dan kami memenangi emas pada hari jadi saya, ia sangat istimewa,” ujar Fook Yee.
Sementara itu, pasukan lelaki negara sekadar menamatkan kempen di tangga kelima.

SUKAN SEA 2015 : Wei Feng puas kembalikan emas

Juara perseorangan lelaki pertama selepas 14 tahun
17 Jun 2015 12:18 AM
Chong WEI FENG (kanan) dan Mohd. Arif Abdul Latif meraikan pingat emas serta perak yang dimenangi mereka selepas mengalahkan satu sama lain dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan SEA 2014 di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
SINGAPURA – Biarpun lawan yang dikalahkan adalah rakan se­negara sendiri, namun Chong Wei Feng puas kerana berjaya menamatkan penantian 14 tahun Malaysia dengan merangkul pingat emas badminton perseora­ngan lelaki dalam Sukan SEA 2015 semalam.
Pemain kelahiran Kedah berusia 28 tahun itu mudah menundukkan Mohd. Arif Abdul Latif 21-8, 21-9 untuk menghadiahkan pingat emas terakhir kontinjen negara di Si­ngapura, yang juga emas ke-62 buat Malaysia.
Individu terakhir yang menyumbangkan emas perseorangan lelaki buat negara adalah Mohd. Roslin Hashim pada Temasya 2001 di Kuala Lumpur.
Menurut Wei Feng, emas tersebut mengubat sedikit kekecewaan tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Dunia di Indonesia, Ogos ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih untuk menyenaraikan bekas jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Zulfadli Zulkiffli.
“Ini adalah hadiah istimewa buat seluruh rakyat Malaysia kerana sudah lama kita tidak memena­ngi pingat emas dalam perseorangan lelaki pada Sukan SEA.
“Saya lihat, Arif tidak beraksi baik sepanjang permainan dan kerap melakukan kesilapan. Itu memudahkan saya untuk mengutip mata demi mata.
“Saya memang berpuas hati dapat mengembalikan emas kepada Malaysia, malah saya lega kerana prestasi saya semakin meningkat. Itu petanda baik dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” kata Wei Feng.
Ketika Wei Feng meraikan kejayaan terbesar dalam kariernya, impian Malaysia untuk menamatkan penantian 16 tahun dalam acara beregu campuran tidak kesampaian selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas pada perlawanan akhir yang amat mendebarkan.
Peng Soon-Liu Ying yang baru kembali bergandingan akibat kecederaan yang menimpa Liu Ying, dikerah dalam pertarungan se­ngit yang berlarutan selama 1 jam 9 minit sebelum akur dengan kekalahan 21-18, 13-21, 23-25 kepada pasangan No. 11 dunia, Praveen Jordan-Debby Susanto dari Indonesia.
Dengan kekalahan itu, Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee kekal sebagai pasangan terakhir Malaysia menjuarai acara beregu campuran pada Sukan SEA 1999 di Brunei.
Praveen-Debby pula memastikan Indonesia terus menguasai acara tersebut buat kali keenam berturut-turut.

SUKAN SEA 2015 : Emas ini untuk anda semua’

17 Jun 2015 12:18 AM
SOONG FIE CHO (kiri) memeluk Amelia Alicia Anscelly sebaik saja menewaskan Vivian Hoo-Woon Khe Wei untuk muncul juara beregu wanita Sukan SEA 2015 di Singapura, semalam.
SINGAPURA – “Pingat emas ini buat semua rakyat Malaysia, terutama rakyat Sabah.”
Itu kata Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho sambil menahan tangisan kegembiraan sejurus mengejutkan pasa­ngan utama negara yang juga penyandang juara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei untuk muncul juara beregu wanita Sukan SEA 2015, semalam.
Jika selama ini, Vivian-Khe Wei, yang juga juara Sukan Komanwel sering menjadi sandaran Malaysia dalam kejohanan utama, kemenangan 21-18, 21-13 yang dilakar Amelia-Fie Choo ke atas mereka menunjukkan skuad badminton negara kini mempunyai beberapa pemain yang boleh diharapkan.
Malah, ini bukan kemena­ngan pertama dilakar Amelia-Fee Choo ke atas beregu No. 11 dunia itu tahun ini. Mereka sebelum ini turut mengejutkan Vivian-Khe Wei dalam perlawanan akhir Terbuka India, Januari lalu.
Bagaikan tidak percaya berjaya menghadiahkan emas buat negara dalam Sukan SEA, kedua-dua pemain yang ber­asal dari Sabah itu menangis sejurus mengutip mata kemenangan dan menitiskan air mata, sebaik saja lagu Negaraku berkumandang.
“Kemenangan ini buat kedua ibu bapa, teman lelaki saya dan semua rakan-rakan di Sabah yang membantu kami. Emas ini untuk anda semua.
“Sabah sebuah negeri yang cantik, di mana setiap rak­yatnya mengambil berat antara satu sama lain. Saya percaya semua orang di tempat kami akan bangkit dengan lebih kuat,” kata Amelia, yang turut mendedikasikan kejuaraannya kepada mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu baru-baru ini.
Menurut pasangan No. 26 dunia itu, kejayaan menumpaskan beregu utama negara membuktikan mereka juga mampu menyumbang biarpun sekadar turun bersama status No. 2 di belakang Vivian-Khe Wei.
“Memang puas dapat kalahkan beregu utama negara. Kami membuktikan biarpun kami hanya No. 2, tetapi tetap berupaya memberikan saingan kepada mereka.
“Persefahaman dan komunikasi yang baik bersama Fie Choo hari ini menjadikan kami lebih bersemangat. Kami juga bermain tanpa tekanan,” kata Amelia lagi.

ACA mahu Malaysia anjur semua acara pada Sukan SEA 2017

17 Jun 2015 1:14 AM
MOHD. HARRIF SALLEH menyumbangkan dua pingat emas buat skuad berbasikal dalam Sukan SEA 2015 menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai.
MELAKA – Peluang skuad kebangsaan untuk meraih lebih tujuh pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tampak cerah selepas Kongres Persatuan Berbasikal Asean (ACA) merayu agar Malaysia menganjurkan semua acara berbasikal seperti lebuh raya, trek, BMX dan berbasikal bukit (MTB) pada temasya dwitahunan itu.
Presiden ACA, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, usul tersebut telah dibawa oleh beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia serta Vietnam dan ia diluluskan sebulat suara dalam Kongres ACA yang diadakan di Singapura pada minggu lalu.
Tambahnya, Thailand misalnya kecewa dengan tindakan negara penganjur Sukan SEA 2015, Si­ngapura yang hanya menganjurkan acara lebuh raya dan mencicirkan acara tradisi lain seperti trek, BMX serta MTB.
“Thailand telah mendesak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017 agar kembali menjadikan lebuh raya, trek, BMX dan MTB sebagai acara wajib pada temasya di Kuala Lumpur. Usul tersebut kemudian dipanjangkan lagi oleh Vietnam dan Indonesia.
“Malah Myanmar juga menjelaskan bahawa, ia turut menjadikan lebuh raya, BMX dan MTB sebagai acara di Nay Pyi Taw pada 2013.
“Kongres kemudian secara sebulat suara meluluskan usul mendesak Malaysia menganjurkan acara lebuh raya, trek, BMX dan MTB pada pengunjuran akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Abu Samah yang juga Naib Pre­siden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan, andai usul tersebut diterima oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, lebih 18 emas bakal diraih daripada disi­plin basikal.
Ujar beliau, sekurang-kurangnya sembilan atau sepuluh emas bakal dipertaruhkan menerusi acara trek, manakala tujuh emas dalam acara lebuh raya di samping tiga masing-masing dalam acara MTB dan BMX.
Beliau menjelaskan, ACA akan menulis kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung usul tersebut seterusnya akan mendesak perkara itu dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Abu Samah yang juga Presiden PKBM percaya, penampilan semua acara trek pada Sukan SEA 2017 hampir pasti membolehkan Malaysia menuai lebih tujuh emas sebagaimana diraih pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
“Saya juga percaya acara trek Sukan SEA 2017 akan diadakan pada arena baru yang bertaraf Kategori Satu. Saya dimaklumkan Velodrom Nilai akan siap sebelum bermulanya Sukan SEA 2017,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji persembahan pasukan negara yang meraih lima pingat, termasuk dua emas dihadiahkan oleh Mohd. Ha­r­rif Salleh dalam Sukan SEA 2015.
Kemenangan tersebut menamatkan kemarau 10 tahun acara lebuh raya sejak kali terakhir Suhardi Hassan menang emas di Manila, Filipina pada 2005.
Raih banyak emas andai Malaysia anjur semua kategori berbasikal pada Sukan SEA 2017