Menabur bakti di pendalaman

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


SETIAP hari Azhar Mat Daud, 38, akan bangkit daripada lenanya tepat pukul 3 pagi. Lengkap berpakaian sesuai dengan imej seorang guru, dia menuju ke stesen kereta api Wakaf Bharu dengan menaiki motosikal.

Cerita Azhar, dia tidak boleh bangun lewat atau tidur selepas pukul 11 malam. Jika itu berlaku, dia akan lewat ke sekolah. Hal itu juga boleh mencalarkan imejnya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong.

Meskipun perjalanan dari rumahnya di Kota Bharu, Kelantan ke stesen berkenaan hanya mengambil masa kurang setengah jam, Azhar sentiasa berwaspada. Cikgu Matematik itu memberitahu, dia sering menoleh kiri kanan jalan dan pada masa sama, mulutnya terkumat-kamit membaca doa pelindung diri.

“Dalam waktu-waktu sebegini ramai yang masih tidur cuma ‘orang-orang tertentu’ saja yang masih berjaga dan bekerja,” ujarnya yang membawa maksud yang tersirat.

Ketibaan tren di stesen Wakaf Bharu lazimnya tepat pukul 4 pagi. Dengan langkah lemah longlai sambil bertemankan suara cengkerik dan unggas yang ditenggelamkan oleh bunyi bingit kereta api, Azhar mengambil tempat duduk. Untuk seketika, dia menjadi penumpang pertama tren itu.

Suasana yang masih gelap membuatkan Azhar tidak berupaya melakukan apa-apa kecuali melelapkan mata. Barangkali itu perkara terbaik yang dilakukan kerana sebelum sampai ke Dabong, kereta api akan melalui 20 stesen dengan jarak melebihi 200 kilometer (km). Perjalanan adakalanya memakan masa lebih tiga jam. Pernah sekali, akibat terlena, dia dibawa kereta api hingga ke stesen Kemubu.

“Inilah yang saya lalui selama tiga tahun berturut-turut. Pemeriksa tiket pun dah kenal kerana saya ialah pelanggan setia yang membeli tiket tiap-tiap hari.

“Percaya atau tidak, perjalanan saya ke tempat kerja lebih lama daripada waktu saya mengajar,” seloroh Azhar. Namun sepanjang wawancara berlangsung, dia tidak pernah menunjukkan sekelumit pun rasa kesal. Sebaliknya, Azhar menganggap ia adalah satu pengorbanan tulus untuk membantu murid-murid di pendalaman.

PADA asalnya, Norazlina berasa canggung tinggal dan bertugas di Dabong, tetapi setelah beberapa bulan di sana, dia mula berasa selesa.

Menceritakan latar dirinya, Azhar sebelum ini merupakan guru di SK Jalan Pasar 1, Pudu, Kuala Lumpur selama lapan tahun. Penyakit strok yang dihidapi oleh ibunya mendorong Azhar membuat permohonan untuk bertugas di negeri kelahirannya supaya hampir dengan orang tuanya.

“Walaupun berasal dari Kelantan, saya tak pernah ke Dabong. Pada asalnya, saya duduk di asrama, tetapi selepas kejadian rumah saya dirompak, saya khuatir untuk meninggalkan isteri dan dua anak saya,” terangnya.

Adakah rutinnya yang sangat memenatkan memberi impak kepada kesihatan Azhar? Lelaki itu mendiamkan diri sejenak. Daripada bebola matanya, barangkali Azhar enggan berkongsi rasa. Namun, apabila diasak, akhirnya dia mengaku.

“Saya ada hipertensi dan setiap tiga bulan saya mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Otorinolaringologi kerana mengalami masalah pernafasan.

“Jika dulu berat badan saya 110 kilogram (kg), kini 80kg setelah bertugas di Dabong,” katanya yang masih lagi boleh mengukir senyuman.

Barangkali masalah kesihatan bukan satu isu besar kepada Azhar. Ada kisah yang lebih meruntun perasannya.

Kematian ibu

“Saya sanggup berpindah ke kawasan pedalaman kerana ibu saya tetapi pada 3 Mac 2009, ibu saya meninggal dunia ketika saya sedang mengajar kelas tambahan.

“Saya dapat tahu berita kematian agak lewat kerana talian telefon di Dabong pada ketika itu kurang memuaskan, setengah jam kemudian barulah saya terima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan berita sedih itu,” katanya menahan perasaan ketika menitipkan cerita.

Gambaran perjalanan seorang guru di sekolah yang sama iaitu Noor Azainab Abdullah, 32, persis Azhar. Bezanya, hentian Noor Azainab bermula dari Kuala Krai. Azhar turut berada dalam tren yang sama.

SELAIN digunakan oleh para guru, kereta api juga merupakan pengangkutan utama bagi majoriti pelajar SK Dabong dan SMK Dabong setiap hari.

Ujar guru pendidikan khas yang menetap di Kampung Pek, Machang, Kelantan itu, dia bukanlah individu yang gemar menaiki kereta api. Namun, wanita ini tidak menyangka kereta api menjadi pengangkutan utamanya ke tempat kerja.

Jadual Noor Azainab bermula pada pukul 4.20 pagi. Tepat 4.50 pagi, dia bergerak dan memakir keretanya di stesen kereta api Kuala Krai. Noor Azainab berkata, dia membiarkan wajahnya polos tanpa sebarang solekan.

“Biasanya, bila azan bergema saya berada dalam kereta api, jadi saya mengambil wuduk dan bersolat (dengan cara duduk) dalam kereta api,” kongsinya yang pernah sampai ke sekolah pada pukul 12 tengah hari disebabkan berlaku tanah runtuh dan kemalangan antara kerets api dan haiwan di landasan.

Ketika ditanya mengapa dia tidak tinggal di asrama yang disediakan oleh pihak sekolah, jawab bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu: “Saya seorang guru yang mengajar kanak-kanak istimewa, jadi saya perlu sentiasa mencari material terbaik untuk mereka daripada Internet, tapi malangnya di Dabong liputan jalur lebarnya sangat lemah.”

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tugas Noor Azainab bukan saja menuntut pengorbanan masa, malah ketahanan mental kerana dia mengendalikan pelajar lembam.

“Saya pernah terfikir untuk tukar sekolah. Mula-mula kerja oleh ibu saya kerap merayu supaya saya berbuat demikian tapi lama-kelamaan, saya rasa sayang kerana saya suka persekitaran di Dabong yang tenang.

“Perjalanan yang panjang ketika pergi dan pulang dari sekolah membolehkan saya menanda buku pelajar dan buat persediaan untuk mengajar,” ujarnya yang menempuh pengalaman yang sama pada bulan puasa.

Noor Azainab mengambil tren pukul 2.30 petang untuk pulang ke rumah. Pada waktu itu, selain menyaksikan gerabak kereta api dipenuhi pelajar sekolah, suasana pelajar mengulangkaji pelajaran dalam tren merupakan satu pemandangan yang cukup berharga bagi dirinya.

Mahir dialek Kelantan

SUDAH MENJADI RUTIN. Perjalanan pergi dan balik yang panjang dalam kereta api membolehkan Azhar menanda buku sekolah para pelajarnya.

Melewati kelas murid prasekolah di SK Dabong, Norazlina Abd. Aziz, 32, dilihat sedang mengajar pelajar-pelajarnya dengan penuh ketekunan. Dia sangat petah bertutur dialek Kelantan. Sangkaan penulis dan jurufoto, Hafiz Johari, dia sememangnya anak jati Kelantan, tetapi telahan itu ternyata silap besar.

“Saya orang Perak, tapi bila dah beberapa bulan mengajar di Dabong, secara automatik saya pandai bertutur dialek Kelantan,” katanya sambil tertawa kecil.

Siswazah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu itu tidak perlu disoal lanjut. Dia memberitahu, keputusannya untuk ke Dabong kerana suaminya bekerja di Pengkalan Chepa.

“Saya tak pernah tahu ada kawasan bernama Dabong, puas mencari maklumat dan apabila saya sampai di Dabong, saya sangat cuak sebab saya tengok jalan-jalannya sangat kecil,” ujarnya yang merasakan nasibnya lebih baik berbanding kepayahan yang dilalui oleh Azhar dan Noor Azainab.

Tidak seperti kedua-duanya, Norazlina tinggal di asrama bersama dua anaknya yang masing-masing berusia empat dan enam tahun. Dia hanya berkesempatan bertemu suaminya pada hujung minggu.

Pertemuan kami diakhiri dengan luahan kata-kata yang penuh bermakna daripada Norazlina: “Di Dabong, saya belajar erti dan tanggungjawab sebagai pendidik yang sebenar. Saya mengakui jiwa saya semakin dekat dengan kampung ini dan masyarakat Dabong yang penuh berhemah.”

p/s  Bagi guru-guru yang bekerja di bandar tapi perangai macam raja, patut malu pada rakan sejawat yang sanggup bertugas di sekolah pendalaman untuk memberikan pendidikan pada anak bangsa. 

Tabur bakti pendidikan negara

Oleh RAJA JAAFAR ALI
utusanjohor@utusan.com.my
Bangunan yang menempatkan bilik-bilik darjah masih teguh berdiri.

JOHOR BAHRU 28 April – Tiga tahun lagi bakal menyaksikan genap seabad umur Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang sebelum ini dikenali sebagai English College (EC) menabur bakti dalam pendidikan negara.

Memulakan operasi pada 21 Mac 1914, di bangunan berdekatan Istana Sungai Chat dan berhadapan dengan Pantai Lido, seramai 21 pelajar terpilih dari Sekolah Bukit Zahrah ditempatkan di sini di bawah tunjuk ajar dua guru ‘orang putih’ dari England yang dikenali sebagai Mr. Morrison dan Mr. Holman.

EC terus berkembang sebagai institusi pendidikan Inggeris di bandar raya ini sebelum dipindahkan ke Jalan Sungai Chat berhadapan dengan Dataran Bandaraya pada 1930 dan terus mencipta nama dengan kelahiran kumpulan-kumpulan pelajar cemerlang.

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dari 1941 hingga 1945 menyaksikan EC bertukar peranan menjadi markas tentera, kilang senjata, hospital dan tempat tahanan sebelum dibuka semula pada 1946 dengan kemasukan kumpulan pelajar perempuan pertama tiga tahun kemudian.

Sebaik tamat penjajahan British, nama EC ditukar kepada MSAB pada 1960, bersempena nama Sultan Abu Bakar, Bapa Pembangunan Johor yang membawa kemodenan dalam pentadbiran kerajaan Johor dan sekolah ini melahirkan banyak ‘produk’ tokoh seperti Tun Hussien Onn, Tun Dr. Ismail dan Tun Musa Hitam.

Pada masa kini, kesemua sejarah lengkap sekolah ini sejak awal penubuhan, era kegemilangan dan suka dukanya dihimpunkan di dalam Muzium Mini Tun Hussein Onn di dalam MSAB sendiri.

Pada 1998, ia telah dirasmikan anak kepada Perdana Menteri ketiga itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Melangkah masuk ke dalamnya, terpampang gambar tokoh-tokoh terkemuka yang lahir dari sekolah ini termasuk Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menerima pendidikan formal di sekolah ini.

Selain itu, banyak gambar hitam putih generasi terdahulu MSAB yang membangkit nostalgia di bangku sekolah terutama kepada Alumni MSAB terhadap sekolah berusia 97 tahun ini.

Bukan itu saja, muzium mini itu juga menempatkan peralatan makmal, buku teks dan latihan pelajar pada era 1930-an hingga kini, termasuk juga piala-piala kemenangan.

Pemimpin-pemimpin lain yang menerima pendidikan di sekolah ini ialah bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat; wartawan dan penulis, Adibah Amin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Selain itu, juga bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsudin Osman, Datuk Chua Jui Meng dan Datuk Bandar Johor Bahru, Jaffar Awang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MSAB, Zais Akil berkata, siapa saja digalakkan mengunjungi muzium mini tersebut untuk mengetahui dengan lebih dekat sejarah penuh penubuhannya, terutama bekas-bekas pelajar sekolah ini.

“Kita akan buat majlis besar-besaran sempena 100 tahun MSAB pada 2014 nanti. Muzium ini menjadi saksi kepada kecemerlangan yang ditonjolkan oleh mereka yang pernah mendapat pendidikan awal di sini dari era penjajah, kemerdekaan dan kemajuan Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Alumni MSAB, meluahkan rasa bangga dengan penganugerahan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Premier sejajar dengan matlamat membina negara bangsa, pembangunan modal insan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dan memartabatkan profesion perguruan.

p/s  Saya adalah salah seorang bekas pelajar MSAB (EC) dari tahun 1975 sehingga 1979. Peperiksaan yang diduduki ialah Lower School Certificate (LCE) dan Malaysia Certificate of Education (MCE). Mewakili MSAB dalam pasukan Bolasepak bawah 15 thn (1977) dan bawah 18 thn (1979). Kepada rakan-rakan yang mengenali saya boleh hubungi saya di jalaini62@yahoo.com. Sejarah tidak akan dilupai… Untuk lebih mengenali saya klik about me di blog ini.

38,000 komputer diagih

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

AHMAD Bashah Md. Hanipah (belakang, lima dari kiri) bersama guru dan pelajar pada majlis pelancaran pemberian komputer 1Malaysia di SMKTAR di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 27 April – Sebanyak 38,000 unit komputer riba 1Malaysia akan diagihkan kepada pelajar yang layak di 178 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini menjelang Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM38 juta bagi tujuan itu di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI).

Katanya, pengagihan komputer berkenaan yang dibuat secara berperingkat membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu masyarakat khususnya pelajar luar bandar supaya celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Pemilikannya dengan sasaran satu komputer bagi satu keluarga memberi kemudahan kepada pelajar dan masyarakat untuk mengakses jalur lebar secara lebih meluas.

“Kita harap pemberian ini juga dapat merapatkan jurang digital serta komunikasi antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya pada majlis pelancaran pemberian komputer 1Malaysia di bawah NBI peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (SMKTAR) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah SKMM Wilayah Utara, Mohd. Hussin Ali dan Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat. Pada majlis tersebut seramai 389 pelajar SMKTAR menjadi kumpulan pertama menerima sumbangan komputer riba berkenaan.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pengetahuan dalam bidang ICT menjadi faktor penting bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik bahkan memastikan masyarakat pada masa ini celik teknologi maklumat agar setanding dengan rakyat di negara maju.

“Penggunaan ICT dalam pembelajaran amat berguna apabila kesemua maklumat dikehendaki diperoleh dengan mudah dan cepat. Pada zaman sekarang, menjadi satu kelebihan bagi mereka yang melayari Internet untuk menyediakan pelbagai bahan rujukan serta maklumat.

“Nasihat saya kepada pelajar jangan menyalahgunakan kemudahan ini untuk tujuan yang tidak baik.

“Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak ketika menggunakan komputer supaya ia tidak disalahgunakan,” katanya.

Sementara itu Mohd. Hussin berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan tahap penembusan jalur lebar supaya kemudahan itu dapat dinikmati oleh masyarakat ke arah melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang setanding dengan negara-negara maju.

Antara langkah yang diambil kata beliau, ialah bekerjasama dengan syarikat penyedia kemudahan jalur lebar dan membuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di kawasan-kawasan tertentu seperti di tanah rancangan Felda.

Kejar kereta api ke sekolah

Oleh RAHANA MOHD DAHARI
utusankelantan@utusan.com
Pelajar menaiki kereta api sebagai pengangkutan awam utama ke sekolah selepas pelancaran Tiket Konsesi Bulanan Pelajar 1Malaysia di Stesen KTMB Dabong, baru-baru ini.

KUALA KRAI 21 April – Rutin hariannya adalah menaiki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) seawal pukul 6 pagi dari perhentian stesen Kampung Baru Bukit Abu atau lebih dikenali sebagai Slow Pak Long dekat sini.

Walaupun terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk bersiap ke sekolah, Mohd. Shahrul Shariff, 13, anak sulung dari dua beradik tidak pernah mengeluh apatah lagi mengadu letih kepada kedua-dua orang tuanya kerana perasaannya begitu kuat untuk ke sekolah.

“Saya mahu menjadi doktor dan membantu ibu bapa yang mengambil upah menoreh getah.

“Bangun awal pagi ketika masih gelap kemudian berjalan kaki bersama kawan-kawan sekampung ke stesen bukan halangan untuk kami menimba ilmu,” katanya ketika ditemui di perhentian stesen Dabong, dekat sini baru-baru ini.

Pengalaman menaiki kereta api menuju ke sekolah yang memakan masa hampir satu jam dengan jarak 19 kilometer itu, berlanjutan selama tujuh tahun, sejak usia Mohd. Shahrul 6 tahun lagi.

Bersekolah dalam Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, Mohd. Shahrul tidak keseorangan kerana seramai 228 pelajar lagi menggunakan perkhidmatan tren dari perhentian Manek Urai ke Dabong setiap hari.

“Saya sudah biasa bangun pukul 5 pagi untuk bersiap-siap dan bersarapan. Selalunya ibu hidang roti kemudian bergegas ke stesen kereta api yang tidak jauh dari rumah.

“Lebih kurang pukul 6 pagi kereta api tiba. Selalunya saya terlelap dan kadang kala berbual-bual dengan kawan-kawan. Sampai di stesen Dabong, hari sudah cerah lebih kurang pukul 7 pagi,” katanya.

Mujurlah kedudukan sekolahnya yang hampir dengan stesen memudahkannya sampai sebelum loceng sesi persekolahan dibunyikan tepat pukul 7.30 pagi.

Sebelum berhenti di perhentian Kampung Baru Bukit Abu, tren sama membawa pelajar lain dari perhentian Ulu Temiang yang jaraknya 23 kilometer dari Dabong.

Sebahagian pelajar menunggu menaiki kereta api untuk pulang ke rumah di Stesen KTMB Dabong.

Tren sama akan berhenti lagi di Bukit Abu pada jarak 11 kilometer dan perhentian seterusnya Kuala Geris, 9 kilometer di hadapan.

Pengalaman sama turut dirasai seorang lagi pelajar, Syahirah Mat Hussein, 13, dari Kuala Geris yang menaiki kereta api pukul 6.30 pagi.

Dia mengakui pada peringkat awal, dia agak keletihan kerana terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi untuk mengejar tren bagi mengelak terlepas waktu persekolahan.

“Mula-mula memang penat, sebab baru tahun ini saya naik tren kerana bersekolah menengah di Dabong.

“Apabila dapat tempat duduk sahaja, saya sambung tidur tetapi sekarang tidak lagi. Bila jumpa kawan-kawan yang naik dari stesen lain, kami berborak-borak dan tidak sedar perjalanan sekejap sahaja,” katanya.

Berdasarkan kepada sambutan penggunaan pelajar terhadap perkhidmatan tren yang merupakan kenderaan murah, mudah, selamat dan efisien, KTMB melancarkan Tiket Konsesi Bulanan Pelajar 1Malaysia.

Bertempat di stesen kereta api Dabong, perasmian majlis disempurnakan oleh Pengurus Besar Antara Bandar KTMB, Mohd. Zain Mat Taha.

Turut dihadiri wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Krai, Abdullah Mohd. Zain, pelajar SMK Dabong dan guru-guru.

Melalui kemudahan tersebut, KTMB menyediakan pakej istimewa yang lebih murah dan berpatutan bagi menggantikan penggunaan tiket bulanan dengan diskaun sehingga 35 peratus sebulan.

Menurut Mohd. Zain, pelaksanaan tiket tersebut untuk mengurangkan beban ibu bapa yang kebanyakan tinggal di luar bandar dan berpendapatan rendah.

“Secara purata pelajar hanya perlu membayar RM7 sebulan berbanding RM8 sebelum ini,” katanya.

Setakat ini, katanya, seramai 204 pelajar SMK Dabong membeli Tiket Konsesi 1Malaysia dan pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 1,200 tiket berkenaan di seluruh negara terutama sekitar Kuala Krai, Kuala Lipis di Pahang dan Labis di Johor.

p/s  Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Berakit-rakit kehulu, Berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian.

Kaji semula hadkan nasi lemak

PERATURAN mengehadkan jualan nasi lemak di kantin sekolah dikatakan tidak akan membantu menyelesaikan masalah obesiti di kalangan pelajar. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan meminta kerajaan mengkaji semula arahan mengehadkan penjualan nasi lemak di kantin sekolah kerana langkah itu kurang sesuai dan tidak menyelesaikan masalah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, sekatan penjualan nasi lemak kepada sekali seminggu tidak akan menangani isu obesiti di kalangan pelajar jika kesedaran mengenai pemakanan berkhasiat di kalangan ibu bapa masih rendah.

Sebaliknya, kata beliau, ibu bapa sendiri harus memainkan peranan untuk menggalakkan anak-anak mereka melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta menekankan pemakanan seimbang.

“Tidak wajar penjualan nasi lemak dihadkan kerana ia makanan yang sinonim dengan masyarakat negara ini selain murah dan mengenyangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan semalam yang menguatkuasakan serta-merta larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat khususnya yang mengandungi gula serta garam berlebihan di kantin sekolah bagi membendung masalah pelajar mengalami obesiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan perkara itu juga mahu pengusaha kantin hanya menjual nasi lemak sehari dalam seminggu.

p/s  Yang penting quantiti yang dimakan dan bukan jenis makanan yang dimakan.

Menu baru cegah obesiti

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

PENGUSAHA kantin bukan sahaja perlu mengurangkan kekerapan menjual nasi lemak tetapi juga makanan ringan yang digoreng seperti nugget. – Gambar hiasan


SUBANG JAYA – Kerajaan menguatkuasakan serta-merta larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat khususnya yang mengandungi gula serta garam berlebihan di kantin sekolah di seluruh negara bagi membendung risiko semakin ramai pelajar mengalami masalah obesiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan perkara itu semalam menegaskan, pengusaha kantin juga hanya dibenarkan menjual nasi lemak sehari dalam seminggu.

Walaupun beliau menganggap nasi lemak mempunyai khasiatnya sendiri, pengambilan makanan itu secara kerap dan berlebihan akan mendorong seseorang itu mengalami obesiti.

“Peraturan melarang penjualan makanan tidak berkhasiat ini termasuk air bikarbonat bukan sahaja melibatkan pengusaha kantin tetapi juga penjaja lain di sekitar kawasan sekolah,” katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan peringkat kebangsaan ke-5 2011 di sini semalam.