Dr. M dakwa Sosma untuk pengkritik kerajaan

13 Oktober 2015 1:30 AM
DR. MAHATHIR MOHAMAD (tiga, kiri) bersama (dari kiri) Shafie Apdal, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah, Sanusi Junid dan Ong Tee Keat dalam sidang akhbar di Putrajaya, semalam. – BERNAMA
PUTRAJAYA 12 Okt – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) telah dikenakan terhadap pengkritik-pengkritik kerajaan sedangkan akta tersebut seharusnya digunakan untuk menangani aktiviti keganasan.
Akibatnya beliau mendakwa, rata-rata rakyat ketika ini mula mempersoalkan tindakan kerajaan itu atas dakwaan menyalahgunakan undang-undang untuk menahan mereka yang mengkritik kerajaan.
Dr.Mahathir yang sering me­lakukan ‘serangan’ peribadi ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, sepatutnya perkara seumpama itu tidak berlaku kerana undang-undang yang dihasilkan di Parlimen adalah untuk menegakkan keadilan dan bukannya bertujuan mendiamkan pengkritik kerajaan.
“Mereka menggunakan perkataan sabotaj untuk memboleh­kan tindakan dikenakan terhadap kumpulan ini dengan menggunakan akta baharu ini (Sosma). Memang undang-undang menyekat kebebasan rakyat untuk berbuat sesuka hati tetapi dalam isu ini mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh ditakrif sebagai sabo­taj kepada kerajaan,” dakwanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Apa yang mengejutkan ia turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
Turut hadir bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan vete­ran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid di lokasi sama.
Dalam sidang akhbar yang sama Muhyiddin berkata, beliau mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung komitmen kerajaan memulihkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh enam bulan.
“Saya sekarang di luar kerajaan dan untuk berlaku adil biarlah kita tunggu masa tersebut. Jika boleh diselesaikan, bagus. Jika tidak akan timbul banyak implikasi lain yang boleh membawa kesan lebih besar daripada apa yang ada sekarang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain beliau meminta setiap ahli UMNO berani menyuarakan pandangan mereka berhubung pelbagai isu yang me­landa negara ketika ini melalui platform parti termasuk Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.
Katanya, inilah masa paling sesuai untuk mereka berbuat demikian dalam konteks menjadikan UMNO parti yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat apatah lagi dengan kedudukannya sebagai tunjang dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak kata, kita menentang kepimpinan tetapi ini soal menyua­rakan isu pokok yang seharusnya ahli UMNO tidak wajar berdiam diri. Jika itu berlaku (kegagalan ber­suara) negara akan berhadapan dengan masalah lebih besar. (Justeru) Inilah masa paling sesuai untuk ahli-ahli UMNO tampil ke depan,’’ katanya lagi.
Mohd. Shafie pula berkata, kehadirannya hari ini adalah untuk memberi sokongan kepada Dr. Mahathir atas faktor membela nasib rakyat.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak menggunakan undang-undang bagi menakutkan rakyat.
Tengku Razaleigh pula mendakwa, perkembangan yang berlaku itu tidak menggambarkan semangat dan tujuan SOSMA dibawa dan dilu­luskan oleh Parlimen sebelum ini.
“Ramai yang menemui saya dan meminta saya menyatakan kepada kerajaan berhubung perkara yang berlaku ini. Sebenarnya SOSMA adalah amat berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),’’ katanya.
Advertisements

Pegawai 1MDB tidak lakukan kesalahan

Hasil penelitian terhadap kertas siasatan Bank Negara
THOMAS CHONG | 09 Oktober 2015 1:18 AM
PUTRAJAYA 8 Okt. – Jabatan Peguam Negara mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas mengkaji kertas siasatan Bank Negara terhadap syarikat tersebut.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, jabatan itu mengesahkan menerima kertas siasatan tersebut daripada Bank Negara pada 21 Ogos lalu.
‘‘Kertas siasatan telah diteliti Timbalan Peguam Cara Negara I, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah yang membuat keputusan tiada kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai 1MDB serta mengarahkan tiada tindakan lanjut perlu diambil.
‘‘Kertas siasatan telah dipulangkan pada 11 September dan keputus­an berkenaan turut dimaklumkan kepada Bank Negara pada hari yang sama,’’ kata kenyatan itu.
Kenyataan itu dibuat bagi meng­ulas titah Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Jabatan Peguam Negara seterusnya memaklumkan pada 1 Oktober lalu, Bank Negara telah meminta jabatan tersebut supaya mengkaji semula keputusan hasil siasatan yang telah dibuat.
‘‘Selepas mempertimbangkan fakta bahawa tidak lagi ada bukti baharu, Peguam Negara memutuskan untuk mengekalkan keputus­an awal. Dalam soal ini, Jabatan Peguam Negara ingin menyatakan bahawa laporan berita antara 12 September hingga hari ini bahawa kertas siasatan berada di jabatan ini dan perbincangan masih dijalankan adalah tidak tepat,’’ jelas kenyataan itu.
Jabatan Peguam Negara turut memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB kerana ke­terangan daripada beberapa saksi penting belum dirakamkan.
Jabatan itu turut menegaskan, pasukan petugas khas mengenai 1MDB tidak pernah dibubarkan dan siasatan yang sedang berjalan tidak pernah terhalang atau terhenti.

Keluar BN jika putuskan hubungan – Khairy

22 September 2015 1:39 AM
Mohd. Shahar Abdullah
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Pemuda UMNO menggesa Pemuda MCA Pasir Gudang untuk keluar dari Barisan Nasional (BN) jika mereka masih berdegil mahu memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang, Cia Chow Hui yang tidak bersetuju dengan sokongan yang ditunjukkan Perdana Menteri terhadap Himpunan Rakyat Bersatu baru-baru ini hanya memburukkan keadaan di sebalik kemerosotan sokongan masyarakat Cina terhadap BN.
“Pemuda MCA Kebangsaan perlu membuat siasatan mendalam ke atas ketetapan Pemuda MCA Pasir Gudang seperti yang dinyatakan Chow Hui semalam dan jika mereka masih mahu memutuskan hubungan dengan Najib, lebih baik mereka keluar sahaja daripada BN.
“Kerjasama yang terjalin dengan parti komponen tersebut sejak sekian lama boleh rosak dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab seperti Pemuda MCA Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pula menyifatkan Pemuda MCA tidak mengukur baju di badan sendiri sebelum mempertikai pendirian Perdana Menteri memandangkan kegagalan mereka meraih sokongan masyarakat Cina kepada BN.
“Kenyataan Chow Hui itu bersifat populis apabila mempersoalkan pendirian Perdana Menteri terhadap perhimpunan baju merah sedangkan yang sepatutnya dipersoalkan ialah pendirian Ketua Pemuda MCA, Senator Ching Sin Woon yang secara terbuka menggalakkan ahlinya menyertai perhimpunan Bersih 4 yang lalu.
“Dalam hal ini, Pemuda Kedah tidak teragak-agak untuk memutuskan hubungan dengan Pemuda MCA sekiranya mereka tidak tampil bertanggungjawab atas kenyataan berunsur penghinaan yang dibuat ahli mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Shahar Abdullah dalam kenyataannya menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya tidak terus mengambil pendekatan berkecuali dan segera mengambil tindakan disiplin ke atas Chow Hui yang dilihat tidak matang, selain cenderung dan senada dengan DAP.
“Kami mahu Tiong Lai tidak terus berdiam diri dan berani mengambil tindakan disiplin ke atas Chow Hui yang jelas akan menjahanamkan BN melalui gerak tari kelompok yang digelar ‘musang berbulu ayam’ ini.
“Berikutan kenyataan dua pemimpin Pemuda MCA itu yang dilihat cenderung menyokong DAP, ia telah menimbulkan persoalan adakah mereka ini sengaja menyertai parti komponen semata-mata mahu merosakkan parti,” katanya.

HRB : Pertahan maruah Melayu

17 September 2015 1:27 AM
Mohd. Ali Rustam (kanan) melaungkan slogan Hidup Melayu di hadapan ribuan peserta Himpunan Rakyat di Padang Merbok, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Himpunan Rakyat Bersatu menjadi landasan bagi melaungkan suara orang Melayu yang sudah bosan terhadap sikap biadab segelintir rakyat yang berkiblatkan DAP.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, himpunan itu bertujuan menunjukkan kebangkitan perpaduan orang Melayu bagi mempertahankan maruah bangsa itu daripada terus dihina gara-gara terlalu taksub dengan perjuangan politik bersifat cauvinis.
Tegasnya, himpunan itu menjadi ‘lidah’ bagi orang Melayu untuk menggesa sikap biadab peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 menghina pemimpin Melayu dihentikan serta merta.
“Mereka semakin berani menghina pemimpin Melayu, kalau tidak suka sekalipun tidak perlu sampai pijak gambar.
“Mereka bukan sahaja berani hina dan memijak gambar Perdana Menteri malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan Pre­siden dan juga Timbalan Presiden Majlis Ulama Dunia.
“Ini bukan kali pertama, sebaliknya telah diulang dua kali, tiga kali malah sudah empat kali. Kita tidak boleh terima lagi, sebab itu kita berhimpun hari ini untuk memberi amaran keras supaya mereka menghentikannya,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, di sini hari ini.
Jelasnya, malah dalam Islam juga menuntut umatnya untuk melawan kemungkaran melalui tiga cara iaitu menggunakan ta­ngan, lidah dan hati.
“Kita tidak akan menggunakan tangan kerana kita menghormati sistem demokrasi ini, tetapi hari ini kita gunakan `lidah’ untuk melawan musuh kita yang semakin biadab.
“Oleh itu kami mengutuk sekeras-kerasnya himpunan haram Bersih kerana kita tidak sanggup lagi membiarkan mereka terus tidak menghormati Rukun Negara seperti kesetiaan kepada Raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan paling jelas kesopanan dan kesusilaan,” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sekiranya benar-benar ingin menolak kepimpinan sedia ada mereka perlu boleh menterjemahkan melalui kotak undi.
“Tetapi bukan dengan cara menghina pemimpin Melayu,” jelasnya.

200,000 hadiri HRB

Keadaan berjerebu tidak halang peserta berkumpul
17 September 2015 1:27 AM
Peserta Himpunan Rakyat Bersatu berarak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN /Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Walaupun berhadapan dengan keadaan berjere­bu dan tindakan pihak tertentu yang mahu menggagalkan Himpunan Rakyat Bersatu (HRB), ia ternyata tidak menggugat kira-kira 200,000 orang dari seluruh pelosok tanah air turun ke ibu negara bagi menghadapi perhimpunan tersebut.
Mereka yang berada di sini sejak awal pagi dengan penuh bersemangat berkumpul di beberapa lokasi yang ditetapkan sebelum berarak menuju ke Padang Merbok. Biarpun tercetus sedikit kekecohan di Jalan Tun Tan Cheng Lock namun ia sama sekali tidak menjejaskan perhimpunan tersebut.
Seperti biasa portal berita propembangkang dan beberapa pihak lain cuba memberi gambaran buruk terhadap perhimpunan ber­kenaan melalui media sosial kononnya perhimpunan itu bersifat perkauman.
Tetapi hakikatnya, perhimpunan itu seperti ditegaskan oleh beberapa pemimpin yang berucap adalah sebagai tindak balas terhadap kebiadaban peserta perhimpunan haram Bersih menghina pemimpin Melayu. Malah pemimpin tersebut menegaskan, perhimpunan berkenaan sebagai peringatan kepada DAP supaya tidak menggunakan nama rakyat bagi mencapai tujuan politik mereka.
Apa yang menarik, sebahagian besar peserta perhimpunan terdiri daripada anak muda yang dilihat begitu bersemangat dalam mempertegaskan hak dan kepentingan orang Melayu, biarpun ada pihak menganggap perhimpunan itu bukanlah memperjuangkan orang Melayu.
Berselawat ke atas nabi, menyanyi lagu Warisan dan Barisan Kita menjadi pembakar semangat kepada peserta. Apa yang diketengahkan sepanjang perhimpunan itu adalah peringatan supaya jangan sesekali mana-mana pihak cuba membakar semangat orang Melayu melalui tindakan biadab.
Meskipun dihangatkan dengan hawa panas terik, kesemua peserta sanggup berarak berbelas-belas kilometer bermula dari beberapa lokasi seperti Jalan Conlay, Masjid Wilayah, Masjid Negara, Jalan Bukit Bintang dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menuju ke Padang Merbok.
Kesemua peserta berkenaan mula berarak kira-kira pukul 1.30 petang sebelum berkumpul di padang berkenaan. Ketibaan mereka disambut dengan lagu Inilah Barisan Kita yang dilihat membakar semangat peserta untuk terus berhimpun.
Tepat pukul 3 petang, himpunan itu dimulakan dengan bacaan doa sebelum disusuli dengan laungan kata-kata semangat. Tanpa disedari Padang Merbok bagaikan ‘lautan merah’ yang dibanjiri oleh peserta berkenaan yang bersatu hati mengenakan baju merah.
Padang berkenaan yang sekadar mampu menampung kehadiran 80,000 orang itu turut menyaksikan peserta lain terpaksa memenuhi kawasan berhampiran padang seperti di tepi jalan dan ruang tempat letak kereta berhampiran padang tersebut.
Dalam pada itu, difahamkan kekecohan di Jalan Petaling didakwa dicetuskan oleh kelompok yang sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu bagi memburukkan Himpunan Rakyat bersatu. Ini memandangkan semua peserta himpunan itu telah diarahkan supaya berkumpul secara aman di Padang Merbok.
Pada himpunan tersebut, kebanyakan ucapan pemimpin lebih berasaskan perpaduan Melayu dan pada masa sama menyelar tindakan segelintir puak yang semakin berani menghina orang Melayu gara-gara terlalu taksub dengan ideologi DAP.
Tidak ketinggalan, Presiden Yayasan Persahabatan Malaysia (Permai), Tan Sri Annuar Musa telah diberikan penghormatan bagi membentangkan 14 resolusi yang perlu diberi perhatian oleh orang Melayu termasuk kerajaan sebagai penutup himpunan tersebut.
Tepat pukul 5.30 petang peserta yang datang dari seluruh pelosok tanah air bersurai dengan aman.

BN akan bentang kad laporan prestasi

15 September 2015 2:11 AM
Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN ) di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan ialah Timbalan Pengerusi BN , Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung BN , Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – UTUSAN/FAUZI BAHA RUDIN
KUALA LUMPUR 14 Sept. –Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan kad laporan prestasi dan pencapaian berasaskan aku janji kepada rakyat sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kad laporan itu akan dibentangkan pada tahun ini sebagai memenuhi prinsip akauntabiliti kepada rakyat.
Walau bagaimanapun kata beliau, kaedah dan cara pembentangan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat berhubung segala pencapaian dan program yang telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun setengah pentadbiran kerajaan termasuk program-program yang bakal direncanakan untuk tempoh sama akan datang.
“Dalam tempoh dua tahun setengah ini kita telah laksanakan pelbagai projek dan program bersandarkan aku janji itu, jadi sudah sampai masa kita akan bentangkan kad laporan kerajaan BN kepada rakyat.
“Kita akan keluarkan atas prinsip akauntabiliti kepada rakyat, segala pencapaian dan apa yang bakal dilakukan kerajaan untuk tempoh dua tahun setengah akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam ini.
Mesyuarat berkenaan adalah yang pertama selepas rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN lain.
Mengulas berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu yang dijadual diadakan pada 16 September ini, Najib menegaskan, peserta perlu mematuhi undang-undang dan syarat ditetapkan.
“Sebagai Pengerusi BN saya mengambil pendekatan setuju untuk tidak setuju bagi menghormati pandangan daripada rakan-rakan dalam parti komponen.
“Sekiranya penganjur masih mahu berhimpun mereka perlu mendapat kebenaran tempat berhimpun dan patuh pada undang-undang polis,” katanya.
Beliau menambah, paling utama adalah peserta dilarang untuk membangkitkan sentimen berbaur perkauman.
“Peserta tidak boleh bawa poster atau sepanduk yang berbaur perkauman sehingga boleh mendatangkan pergeseran dan perbalahan,” ujarnya.
Pada sambutan Hari Malaysia itu, beliau meminta supaya polis melakukan kawalan ketat terutamanya di laluan himpunan berkenaan.
“Pada 16 September, semua pemimpin BN akan berada di Kota Kinabalu bagi menyemarakkan semangat kekitaan ideal dengan perjuangan dan komitmen BN,” jelas beliau.