AFC CUP : Gol Gopinathan julang Tok Gajah

FADHILUL IZMEL ISHAK | 26 Februari 2015 1:10 AM
DICKSON NWAKAEME (No. 10) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Azidan Sarudin ketika membantu Pahang menewaskan Yadanarbon FC 3-2 dalam perlawanan Piala AFC di Mandalay, Myanmar semalam. – ASIANA.MY
KUALA LUMPUR – Ketika saingan hampir berakhir dengan seri, R. Gopinathan muncul wira Pahang apabila meledak gol kemenangan dua minit sebelum tamat permainan untuk membantu Tok Gajah menundukkan Yada­narbon FC 3-2 dalam aksi Piala AFC di Mandalay, Myanmar semalam.
Kemenangan tersebut memberi permulaan sempurna buat Pahang dalam saingan pembukaan Kumpulan G.
Skuad kendalian Zainal Abidin itu bermula garang sejak awal permainan apabila penyerang kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme membuka jaringan seawal minit kelima.
Dia melakukan rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol kebangsaan Myanmar, Thiha Si Thu.
Enam minit kemudian, Pahang mengukuhkan kedudukan mereka dan Nwakaeme sekali lagi muncul wira Tok Gajah.
Kali ini, dia menewaskan benteng pertahanan lawan dengan menggeleck bola dari luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Thiha.
Pahang dilihat kerap melakukan serangan pada babak pertama, malah hampir menjaringkan gol ketiga namun tandukan Damion Stewart yang berpunca daripada sepakan bebas Hafiz Kamal sekadar melewati palang gol.
Kesilapan Stewart di hadapan pintu gawang Pahang membawa padah apabila dia menjaringkan gol sendiri pada minit ke-40, sekali gus memberi kelebihan kepada skuad kendalian Naing Kyi untuk merapatkan kedudukan.
Tok Gajah terpaksa beraksi de­ngan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Mohd. Razman Roslan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan selepas mengasari pemain lawan di dalam kotak penalti.
Natijahnya Yadanarbon FC dihadiahkan sepakan penalti dan berjaya disempurnakan oleh Djedje Maximin pada minit ke-55. Mereka hampir mendahului Pahang selepas menerima sepakan penalti kedua pada minit ke-70, namun Maximin gagal menyempurnakannya.
Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan seri 2-2, Gopinathan muncul wira Pahang selepas menjaringkan gol terakhir pada minit ke-88 setelah menerima hantaran cantik daripada Hafiz.

LIWAT : Rayuan perlu pendapat bertulis Peguam Negara

26 Februari 2015 1:32 AM
Perlembagaan tidak tetapkan tempoh petisyen rayuan diteliti
Shamrahayu
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong meneliti mana-mana petisyen rayuan yang dikemukakan.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, Lembaga Pengampunan itu bagaimanapun perlu mempertimbangkan pendapat bertulis daripada Peguam Negara. “Dari segi jangka masa tempoh petisyen rayuan, saya tidak berani hendak ramal, kalau ikut tatacara, Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada bila-bila masa atau secepat mungkin tetapi itu bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya di sini hari ini.
Semalam, anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mengesahkan yang keluarganya telah mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan semalam berkata status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen berkenaan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Shamrahayu, Lembaga Pengampunan terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Peguam Negara, Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong akan hanya membuat keputusan mengenai petisyen rayuan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, meneliti pendapat bertulis daripada Peguam Negara dan mendengar pandangan daripada anggota-anggota Lembaga Pengampunan.
“Perlu diingatkan, Lembaga Pengampunan boleh memberi pengampunan atau meringankan hukuman namun sabitan bersalah sebagaimana diputuskan oleh mahkamah kekal dan tidak boleh diubah, dengan kata lain, proses pengadilan telah selesai dan apa yang tinggal adalah proses belas kasihan,” katanya.

LIWAT : Petisyen pembebasan atau rayuan

Zulkifli persoal dokumen Wan Azizah kepada Istana Negara
ZULKIFLEE BAKAR | 26 Februari 2015 1:32 AM
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Apakah kandungan sebenar dokumen yang dihantar oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam, adakah ia mengandungi rayuan pengampunan atau petisyen memohon pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
AZMIN ALI
Persoalan itu ditimbulkan oleh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin kerana menurut beliau, kalau ia adalah petisyen memohon pembebasan bermakna ia tidak terikat dengan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.
Bagaimanapun tegas beliau, jika dokumen yang dihantar itu adalah rayuan pengampunan maka ia terikat dengan peruntukan perlembagaan tersebut yang perlu dibaca dengan Perkara 42 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan antaranya bergantung kepada keperluan tiga syarat iaitu perayu mengakui kesalahan yang disabit, menyesal dengan perlakuan kesalahan yang disabit dan memberi akui janji tidak mengulangi kesalahan yang disabit.
“Oleh itu apakah sebenar dokumen yang dihantar oleh Wan Azizah memandangkan atas faktor rayuan pengampunan sewajarnya dikemukakan oleh Anwar sendiri dan bukan pihak lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas desakan pembangkang supaya Anwar dibenarkan hadir sidang Dewan Rakyat berikutan pengesahan keluarga Anwar semalam bahawa mereka mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantu pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan .
Zulkifli berkata, antara rayuan pengampunan dan petisyen pembebasan mempunyai dua maksud berbeza.
“Jika ia sekadar petisyen pembebasan pihak Istana boleh menolak melalui cara pentadbiran tanpa perlu dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh memaklumkan kepada Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) berlaku kekosongan bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
“Bagaimanapun jika ia rayuan pengampunan baharulah kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen masih kekal dan Dewan Rakyat perlu menanti proses pengampunan selesai untuk mengisytiharkan kerusi Parlimen berkenaan kosong atau tidak,” katanya.
Selain itu Zulkifli menegaskan, apa yang perlu difahami rayuan pengampunan hanya berkaitan dengan hukuman sama ada dikurangkan atau ditangguhkan, namun sabitan kesalahan tetap kekal.
“Ini bermakna walaupun proses rayuan pengampunan berjalan, Anwar masih lagi disabit kesalahan jenayah, beliau kekal sebagai banduan dan masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan penjara,” katanya.
Zulkifli berkata, Wan Azizah perlu telus dengan mendedahkan isi sebenar dokumen tersebut bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan langkah penghantaran dokumen itu dikaitkan dengan strategi politik beliau bagi mengelakkan berlaku pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Selain itu, kata Zulkifli, tindakan tersebut juga mewujudkan tafsiran sesetengah pihak bahawa ia langkah Wan Azizah bagi melengah-lengahkan usaha pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan DAP melantik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Menteri Besar sebagai Ketua Pembangkang dalam sidang Parlimen bulan depan.
“Apa pun jawapan ada kepada Wan Azizah untuk menjelaskan kepada rakyat isi sebenar kandungan dokumen tersebut bagi mengelakkan pelbagai andaian dibuat,” katanya.

Alumni UiTM jangan lupa diri – Ibrahim Ali

26 Februari 2015 1:36 AM
Ibrahim Ali bersalam dengan para pelajar baharu UiTM selepas menyampaikan ucapan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam, semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM 25 Feb. – Lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kurang semangat jati diri dan patriotisme ditegur kerana sikap sedemikian boleh membantutkan usaha kerajaan mahu terus membantu melahirkan orang Melayu dan bumiputera berpendidikan tinggi.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, alumni UiTM tidak sepatutnya lupa dengan budi yang ditabur oleh kerajaan sehingga membolehkan mereka berjaya dalam hidup dan mempunyai kerjaya baik.
Menurutnya, golongan tersebut seharusnya membalas jasa itu dengan menyokong atau membantu UiTM apabila diperlukan.
“Sekarang ada kira-kira 500,000 alumni UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing, mempunyai jawatan penting, namun apabila sokongan daripada mereka diperlukan, tidak ramai yang boleh menyumbang balik kepada UiTM.
“Sehubungan itu, setiap pelajar UiTM perlu ada sikap bertanggungjawab, pengorbanan tinggi dan sentiasa bersyukur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berceramah di depan kira-kira 900 pelajar baharu UiTM sempena program Minggu Destini Siswa di sini hari ini.
Dalam ceramahnya itu, Ibrahim yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM turut menasihatkan pelajar-pelajar tersebut supaya tidak mudah diperalatkan atau dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.
Jelasnya, setiap daripada mereka mempunyai peranan khusus untuk mengangkat martabat orang Melayu dan bumiputera.
“Tugas kamu sekarang adalah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan cemerlang. Jangan hampakan harapan ibu bapa.
“Apabila tamat belajar nanti, balas jasa mereka yang membantu dengan menyumbang kepada bangsa dan negara,” ujarnya.

Ambil tindakan ke atas blog hasut rakyat – NGO

26 Februari 2015 1:37 AM
Zaparuddin Abdul Rahim (tengah) menujukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam terhadap penulis blog Sakmongkol AK47 yang berunsur fitnah dan berbaur hasutan seperti diterbitkan di laman portal The Malaysian Insider. – Utusan/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 25 Feb. – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemantau Media Sosial Pasukan Semut Malaysia membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘The White and Black Minstrel Show will end as a huge embarassment’ yang didakwa berbaur hasutan dan menghina mahkamah oleh sebuah blog, Sakmongkol AK47.
Pengerusinya, Zaparudin Abd. Rahim mendakwa, artikel yang dipercayai ditulis oleh Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Datuk Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz itu amat berbahaya dan berunsur fitnah.
Dakwanya, artikel itu adalah satu pembohongan bagi mengelirukan rakyat berhubung keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disiarkan oleh sebuah portal berita, The Malaysian Insider baru-baru ini.
“Artikel itu bukan sahaja berunsur fitnah dan bohong, malah berbaur hasutan supaya rakyat menggulingkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi seperti tercatat pada ayat terakhir ‘Once we have Federal power, we don’t need to go before King to free Anwar”.
“Ternyata kenyataan ini amat berbahaya sekali. Adakah jika pakatan pembangkang menjadi Kerajaan Persekutuan maka Anwar sudah tentu dibebaskan? Adakah pembangkang memang berniat membebaskan beliau sahaja walaupun ternyata dibuktikan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan?” soalnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaparudin berkata, pihaknya juga mahu tindakan diambil terhadap blogger tersebut kerana artikel itu didakwanya jelas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan negara.
Katanya, ini terbukti menerusi kenyataan dalam artikel itu yang berbunyi ‘As we know, the ones who did that are the two policemen – whom as the courts and the law enforcement agencies would have us believe, on a frolic on their own, suddenly thought of killing someone today’.
“Kenyataan di atas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan terutama pihak pendakwa raya dan polis yang kononnya tidak profesional dalam menjalankan tugas dan bertujuan mengaburi pandangan dan kepercayaan rakyat.
“Blog itu juga mempertikai kes yang telah diputuskan oleh mahkamah. Ini bagi kami satu penghinaan terhadap institusi kehakiman negara yang semua tahu adalah badan yang bebas,” katanya.
Tambah Zaparudin, artikel itu juga didakwanya bertujuan menanam persepsi buruk dalam minda rakyat agar mempercayai Kerajaan Persekutuan bersubahat dengan pihak berkuasa dan institusi kehakiman untuk menghukum Anwar dan mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

POLITIK : Pas sedia berdepan DAP

Bahas hukum hudud di Parlimen
RODELIO JUNJUN TAUCAN | 26 Februari 2015 1:37 AM
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Pas tidak akan tergugat dengan ancaman atau ugutan daripada DAP sebaliknya sedia berbahas dengan pemimpin parti itu sekira­nya Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hukum hudud dibentangkan di Dewan Rakyat April ini.
Mahfodz Mohamad
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, wakil rakyat Pas telah bersedia berhujah untuk memastikan matlamat melaksanakan hukum hudud di Kelantan dapat direalisasikan.
Tegas beliau, hukum hudud mesti dilaksanakan kerana telah menjadi matlamat asal penubuhan Pas, justeru DAP tidak akan mampu menghalangnya walau apa cara sekalipun.
“Sekarang ini tinggal di peringkat pengurusan untuk dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 18 Mac dan kemungkinan bulan April di Parlimen jadi nampak sangat pelaksanaannya sudah di peringkat hujung.
“Kalau DAP tidak setuju, duduk diam tunggu dibentangkan baharu kita lihat macam mana, Pas sudah kaji untuk melaksanakannya sejak 1990 lagi, maka kita tidak akan berundur dan bersedia berbahas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan seperti dilaporkan hari ini mempersilakan DAP untuk meninggalkan pakatan pembangkang sekiranya parti itu masih berkeras membantah hasrat Pas untuk meneruskan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Gesaan tersebut dibuat berikutan kenyataan Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo kelmarin yang menegaskan hukum hudud tidak mendapat sokongan daripada pakatan itu dan bukan sebahagian rangka kerja bersama mereka.
Mengulas perkara itu, Mahfodz berkata, apa sahaja persetujuan yang dicapai di dalam pakatan pembangkang tidak akan mengubah dasar perjuangan Pas malah parti itu lebih senior daripada sekutu mereka.
“Tidak logik kalau sebab ancaman itu, Pas tukar dasar kerana parti ini dan perjuangannya telah wujud lebih lama daripada pakatan pembangkang sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, sidang DUN Kelantan nanti diharapkan dapat memperkasakan enakmen tersebut agar lebih lengkap sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Wakil rakyat Pas yang ada boleh berhujah tetapi peringkat permulaan adalah di Kelantan. Saya harap semua kelemahan dapat diperbaiki supaya apabila dibawa ke Dewan Rakyat semuanya lengkap,” katanya.

Saya tidak gentar – KPN

Ugutan bunuh dari rakaman video
TERMIZI CHE ANUAR | 26 Februari 2015 1:37 AM
Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan beliau tidak gentar terhadap ugutan bunuh oleh kumpulan Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) melalui rakaman video amatur menggunakan laman sosial Youtube.
Khalid juga menyifatkan perbuatan kumpulan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta memberikan gambaran buruk terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
Katanya, video tersebut menu­njukkan kumpulan itu tidak mengenal erti sebenar sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
“Ugutan sedemikian langsung tidak menakutkan saya sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dan ugutan seperti itu merupakan lumrah kehidupan seorang pegawai polis dalam menjalankan tugas.
“Namun, apa yang saya bimbangkan adalah terdapat segelintir masyarakat tidak menggunakan saluran demokrasi sedia ada dan sering melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dalam menuntut perubahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hari ini rakaman video amatur yang bertajuk Peringatan Kepada IGP memaparkan tiga individu berpakaian hitam dengan muka seorang daripada mereka ditutupi logo kumpulan tersebut, manakala dua lagi memakai topeng mengugut membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya menjadi viral di laman media sosial.
Video selama 1.27 minit yang dikesan dimuat naik di YouTube itu dilihat serius apabila pada akhir rakaman tersebut, mereka bertindak membakar kereta mainan menggunakan pemetik api sebelum disusuli dengan kesan bunyi letupan kuat.
Khalid berkata, aktiviti dan identiti kumpulan tersebut sedang dikesan oleh polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menggangu gugat keamanan negara.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan keyakinan bahawa masyarakat Malaysia tidak mahu melihat negara ini menjadi huru-hara akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Saya menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang niat jahat sedemikian untuk menghentikannya serta-merta.
“Tindakan itu berupaya memberikan implikasi keselamatan amat serius dan akan merosakkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama,” jelasnya.