Obama paksi pembunuhan penduduk Gaza – Duta Palestin

Abdul Azeez Abdul Rahim bersama Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha (tengah) bergambar bersama 65 peserta yang terdiri daripada doktor, media dan sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas menghadiri penutupan kursus dan latihan pengurusan krisis dan keselamatan di Kuala Lumpur, semalam. Objektif misi tersebut adalah bagi menyampaikan bantuan 40 tan metrik berbentuk ubat-ubatan dan makanan. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 3 Ogos – Palestin menggelarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, sebagai paksi yang menyokong pembunuhan hampir 1,800 penduduk tidak berdosa terutama golongan wanita dan kanak-kanak di Gaza oleh Israel.
Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Hamadto Kassem Al-Agha berkata, Obama dan AS patut malu dengan label kononnya negara kuasa besar itu jaguh demokrasi dunia tetapi sanggup membiarkan pembunuhan warga Palestin dengan menyokong rejim Zionis.
“Apakah Obama fikir tentera Israel yang menceroboh Gaza datang untuk membeli-belah? Obama patut merasa malu dengan diri sendiri kerana dunia melihat bagaimana penduduk Gaza disembelih setiap hari oleh Israel. Tindakan Hamas hanya mempertahankan diri.
“Sokongan Obama ke atas Israel merupakan hipokrasi terbesar AS dalam sejarah peradaban kemanusiaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penutup Latihan Keselamatan Taktikal untuk peserta Misi Kemanusian Gaza di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga merupakan Pengerusi Kelab Putra 1Malaysia iaitu badan bertanggungjawab menganjurkan Misi Kemanusiaan Gaza bermula 12 hingga 20 Ogos ini.
Semalam, Obama sebaik sahaja beliau menandatangani kelulusan dana berjumlah AS$255 juta (RM817 juta) untuk membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome di Israel, sekali lagi mengulangi sokongan kepada rejim Zionis.
Kelulusan dana itu hanya berselang dua hari selepas Pentagon mengumumkan penghantaran bekalan peluru tambahan kepada Israel sekali gus membuktikan AS tidak pernah mengambil peduli soal krisis dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Zionis di Gaza.
Dalam pada itu, Abdul Azeez menyifatkan peserta misi kemanusiaan kali ini yang berjumlah 65 orang telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan di luar jangka di Gaza, ekoran ancaman berterusan daripada Israel.
“Kita mendoakan yang terbaik untuk misi kali ini tetapi mengambil kira situasi semasa di Gaza, khususnya sikap Israel yang sentiasa mencabuli genjatan senjata memerlukan semua peserta dilengkapi dan didedahkan dengan aspek keselamatan.
“Latihan ini adalah berdasarkan kepada pengalaman kami sebelum ini dan bagaimana semua pihak perlu mematuhi peraturan operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan demi keselamatan semua peserta yang terlibat dalam misi kali ini,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_05/Obama-paksi-pembunuhan-penduduk-Gaza—Duta-Palestin#ixzz39U6MmFc0  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Advertisements

PALESTIN – AS sumbang AS$210 bilion sejak 1948

KERETA kebal Israel, Merkava bergerak di sempadan Israel dan Gaza selepas Israel mula mengundurkan sebahagian tentera daratnya dari wilayah Gaza setelah melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu selama 26 hari. – AFP
KUALA LUMPUR 3 Ogos – Sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap Israel bagi menyerang dan merampas wilayah Palestin bukan perkara baharu kerana negara Uncle Sam tersebut telah menyalurkan bantuan dianggarkan mencecah AS$210 bilion (RM674.5 bilion) kepada rejim Zionis itu sejak 1948.
Menurut Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Aman Palestin Berhad, Salman Abdul Rahman, bantuan itu termasuk dalam bentuk kewangan dan juga teknologi ketenteraan, sekali gus menyatakan pendirian sebenar negara itu dalam menyokong tindakan kejam tersebut.
“Daripada kajian dan fakta yang diperoleh, AS memang tidak pernah berubah pendirian menyokong tindakan Israel merampas tanah rakyat Palestin dengan bantuan mencecah AS$210 bilion sejak 66 tahun lepas. Malah, bantuan itu masih diteruskan sehingga kini.
“AS telah memperbaharui komitmen mereka ke atas Israel sejak 2003 apabila setiap tahun tidak kurang AS$3 bilion (RM9.6 bilion) disalurkan kepada Israel bagi membantu negara Yahudi itu. Ia termasuklah serangan ke atas Gaza pada hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, masyarakat dunia sudah tidak hairan dengan pendirian AS itu termasuk Presiden Barack Obama secara terbuka menyokong serangan terbaharu Israel ke atas Gaza yang kini telah membunuh 1,650 nyawa dan mencederakan 8,700 penduduk.
Malah jelas beliau, Konvensyen Perkongsian Perjanjian Amerika-Israel (AIPAC) yang ditandatangani oleh kedua-dua negara tersebut setiap tahun adalah bertujuan merangka kerjasama dalam pelbagai bidang termasuklah isu yang berlaku di Palestin.
“Setiap tahun dua negara ini akan bersidang dalam AIPAC bagi membincangkan kerjasama dua hala dan ia direstui oleh kebanyakan ahli politik AS. Contohnya seramai 97 Ahli Kongres AS menyokong tindakan Israel menyerang Gaza sejak 8 Julai lepas,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Geopolitik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali menyatakan kekesalannya kerana tiada usaha setakat ini dapat menyekat kekejaman Israel itu.
Beliau hairan kerana badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mampu melakukan apa-apa resolusi atau tindakan mendesak negara Yahudi tersebut daripada terus mencabuli gencatan senjata di Gaza.
“Saya tidak hairan kalau PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan serangan itu kerana AS sendiri merupakan salah sebuah negara kuasa veto penyokong kuat Israel. Tetapi apa yang menghairankan saya adalah mana perginya OIC?
“Dalam isu ini, bantahan dan tekanan perlu terus dilakukan ke atas Israel termasuk negara anggota OIC juga mesti bertindak segera mencari jalan menghalang kekejaman terhadap penduduk Gaza. OIC masih belum terlambat,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140804/dn_03/AS-sumbang-AS210-bilion-sejak-1948#ixzz39U54zKeD  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Sikap dunia Arab menyedihkan – Dr. M

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my
DR. Mahathir Mohamad tertarik melihat produk dodol berperisa durian semasa melawat salah sebuah kedai di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/Adilah Azhari (Pelatih Foto Uitm)
ALOR SETAR 14 Julai – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui sedih dengan sikap negara-negara Islam khususnya di dunia Arab yang seakan tidak mempedulikan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
Beliau yang dikenali cukup lantang dalam menghentam Israel dan dunia Barat berhubung keganasan itu berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan konsep persaudaraan yang ditekankan di dalam Islam.
“Itulah masalahnya apabila masing-masing mengaku ‘kuat’ mengamalkan ajaran Islam tetapi sibuk berkelahi sesama sendiri sehingga menguntungkan musuh Islam.
“Saya tidak mahu cakap banyak pasal negara lain tetapi sepatutnya sebagai orang Islam, kita saling tolong menolong dan bukannya bergaduh sampai sanggup tahan bekalan ubat dan makanan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika melawat ke Pekan Rabu, di sini hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan enggan masuk campur, manakala Mesir pula tidak sekadar menyekat bantuan kemanusiaan, malah bertindak menutup sempadannya dengan Palestin dan terowong yang sering digunakan untuk membawa masuk bahan makanan ke Gaza.
Berhubung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sehingga kini masih belum ‘membuka mulut’ mengenai kekejaman Israel itu, Dr. Mahathir secara sinis menyatakan pertubuhan itu sebenarnya langsung tidak boleh berbuat apa-apa.
“OIC? Oh, I see… Dia cuma nampak sajalah tapi tak boleh buat apa. Mereka tidak pernah bersetuju antara satu sama lain.
“Tapi nak buat macam mana. Di negara kita pun umat Islam cukup payah nak bersatu. Nak kata pada orang lain macam mana?” katanya sinis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140715/dn_15/Sikap-dunia-Arab-menyedihkan—Dr-M#ixzz37bSscRoL  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Syria: OIC bertindak

DARI UTUSAN MALAYSIA
16/8/2012

Najib bersama pemimpin negara islam pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah, kelmarin.

MEKAH 15 Ogos – Malaysia akan menyertai negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyokong cadangan badan itu menggantung keanggotaan Syria berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan syor-syor dikemukakan oleh menteri-menteri luar negara anggota OIC berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara itu menyebabkan ramai rakyat terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.
Katanya, majoriti negara anggota bersetuju untuk berbuat demikian kerana pergolakan di Syria sudah sampai ke tahap yang memerlukan OIC mengambil tindakan lebih tegas.
‘‘
Saya jangka keputusan ini akan disahkan oleh ketua-ketua kerajaan OIC malam ini dan inilah juga pendirian yang akan disuarakan oleh Malaysia,” katanya pada sidang akhbar berhubung hasil Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 OIC pada hari pertama di sini malam tadi.
Beliau berkata, keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria itu dibuat secara konsensus. Ditanya sama ada OIC berusaha untuk berinteraksi secara terus dengan Presiden Bashar Assad, beliau berkata, langkah-langkah itu telah diambil tetapi Assad berkeras dengan tindakannya sehingga negara itu terjerumus ke dalam kancah perang saudara.
‘‘Kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk menggantung keanggotaan Syria dan Syria perlu melakukan transisi kepimpinannya supaya sebuah kerajaan baru dibentuk melalui demokrasi berdasarkan kehendak rakyat,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, selain Syria, dua isu lain yang turut dibincangkan semalam ialah mengenai Palestin dan Rohingya.
Mengenai Palestin, kebanyakan ketua negara menyentuh isu berkenaan yang sudah lama diperjuangkan dan langkah seterusnya ialah berusaha supaya Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada perhimpunan yang akan diadakan bulan depan.
‘‘
OIC perlu menentukan sikapnya sebagai satu kumpulan untuk menjadikannya satu realiti,” katanya. Perkara ketiga yang disentuh ialah mengenai Rohingya yang mana OIC bersimpati dengan nasib mereka.
‘‘Ini juga salah satu isu yang perlu diperjuangkan oleh Malaysia dan penting bagi OIC mengambil berat isu ini. Satu misi mendapatkan maklumat yang akan diketuai oleh Setiausaha Agung OIC akan ke Myanmar untuk melihat keadaan sebenar,” katanya.
Beliau berkata, langkah menghantar misi ke Myanmar itu telah dipersetujui oleh kerajaan negara itu dan Malaysia mengalu-alukan usaha tersebut.
Katanya, OIC amat mengalu-alukan usaha Myanmar ini kerana melalui penilaian oleh misi tersebut, OIC dapat menyusun langkah seterusnya bagi memastikan hak asasi Muslim Rohingya dipertahankan.
Bagi Malaysia, isu ini juga amat penting kerana permasalahan yang berlaku di sana menyebabkan kemasukan 90,000 rakyat Rohingya ke negara ini.
Perdana Menteri juga memberitahu, beliau telah diberi penjelasan oleh kerajaan negara itu bahawa perkara berkaitan Rohingya tidaklah seberat yang dibangkitkan.
‘‘
Saya menghargai penjelasan ini dan diharapkan melalui misi itu nanti, negara-negara anggota ASEAN yang akan bersidang pada bulan November akan datang juga dapat menentukan pendirian mengenai perkara ini.
“Kita juga mengalu-alukan jaminan Presiden Thein Sein bahawa dia sedang melakukan tindakan konstruktif untuk meredakan isu Rohingya ini,” katanya. – UTUSAN

KOMEN : HARAP TIDAK TERUS TIDUR LENA DENGAN PERMASALAHAN YANG DIHADAPI OLEH NEGARA-NEGARA ISLAM…

PM temui ulama tersohor Arab Saudi

DARI UTUSAN MALAYSIA
15/8/2012

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar penerangan daripada seorang ulama Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) semasa pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa OIC di Mekah, semalam. Turut hadir Mufti Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Al Salumi (kiri) dan Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa.
MEKAH 14 Ogos – Ulama-ulama tersohor di sini menyanjung tinggi peranan Malaysia untuk memperjuang dan menjaga kepentingan Islam sama ada dari segi akidah dan perekonomian semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, mereka menganggap Malaysia sebuah negara yang berjaya memperjuangkan Islam.
‘‘Saya berasa bangga bahawa mereka yang begitu terkenal dalam bidang masing-masing dan mempunyai pengaruh di sini menganggap Malaysia berjaya memperjuangkan Islam untuk diiktiraf sebagai model negara Islam,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Najib yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum itu mengadakan pertemuan dengan ulama-ulama tempatan di sebuah hotel di sini malam tadi (waktu tempatan).
Lima ulama yang turut hadir ialah Sheikh Dr. Abdullah Al Jalali dari Al Qassim Province, Arab Saudi; Mufti Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Salumi; Ketua Hakim Mahkamah Mekah, Sheikh Saleh Al Duwaish; Pengerusi dan ahli lembaga pengarah 13 saluran tv Al Majd dan Al Huda dan Sheikh Dr. Abdul Rahim Mulazadah yang juga Penasihat Wessel Tv Channel London. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib menyifatkan pertemuan seperti ini dapat menterjemahkan prinsip beliau serta kerajaan bahawa ulama dan umarak perlu memupuk hubungan yang baik bukan sahaja di dalam tetapi di luar negara supaya dapat memberi kebaikan kepada Islam dan umatnya.
‘‘Mereka juga berbesar hati dari segi lawatan peribadi ke Malaysia dengan melihat perkembangan yang amat positif dalam usaha Malaysia memerangi kemiskinan terutama kejayaan yang dicapai oleh Felda sebagai bentuk pembangunan dalam usaha pembasmian kemiskinan,” katanya.
Di samping itu, ulama-ulama berkenaan juga melihat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama tetapi telah dapat menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.
‘‘Daripada situ (Islam sebagai agama Persekutuan), kita dapat melaksanakan dasar-dasar untuk meninggikan syiar Islam dan tuntutan Islam tanpa menafi hak orang bukan Islam menganuti agama masing-masing,” katanya.
Pada pertemuan itu juga beliau menjelaskan pegangan Malaysia kepada konsep wasatiyyah sejak dulu hingga sekarang selari dengan kehendak Islam di mana kesederhanaan inilah yang dapat membawa kemakmuran kepada negara.
‘‘Mereka juga menghargai bahawa di peringkat enakmen negeri telah mentafsirkan Islam sebagai Sunnah Waljamaah yang dengan ini kita dapat mempertahankan kesucian Islam dan dengan itu tidak berlaku kemungkinan timbul apa-apa unsur yang boleh membawa konflik atau kerosakan akidah,” katanya. – Utusan
 KOMEN : KENAPA SUSAH SANGAT PUAK PAS NI NAK TERIMA KENYATAAN YANG MALAYSIA MEMANG SUDAH DIIKTIRAF SEBAGAI SEBUAH NEGARA ISLAM…? ATAU MEREKA NAK TAMBAH KOT NEGARA ISLAM PAS, ITU PASAL KARPAL CAKAP OVER MY DEAD BODY….

OIC selesai isu umat Islam

DARI UTUSAN MALAYSIA
15/8/2012

NAJIB Tun Razak mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah, semalam. Turut hadir Tokoh Ulama Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah Al Jalali (kanan) dan Mufti Masjidilharam, Sheikh Dr. Sulaiman Salumi (kiri). – BERNAMA

MEKAH 14 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selama dua hari yang bermula hari ini sebagai pertemuan istimewa dan tepat pada masanya.
Perdana Menteri berkata, mengambil semangat Ramadan serta berlangsung di kota suci, Malaysia berharap OIC dapat merumuskan keputusan penting berkaitan permasalahan umat Islam yang berlaku ketika ini terutama melibatkan Myanmar dan Syria.
Katanya, mesyuarat yang dipanggil oleh Raja Abdullah Abdul Aziz itu memerlukan ketegasan OIC untuk mengambil langkah lebih positif bagi menangani permasalahan umat Islam di Syria dan Myanmar.
”Perbalahan yang serius sedang menimpa rakyat Syria yang memerlukan OIC mengambil tindakan lebih tegas, bukan sahaja tindakan politik tetapi tekanan dan tindakan tertentu untuk menyelamatkan keadaan di Syria,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam tadi.
Syria, salah sebuah daripada 57 negara anggota OIC kini sedang bergelut dengan peperangan antara pihak kerajaan pimpinan Bashar Assad dan pemberontak. Ramai penduduk awam terbunuh dalam konflik tersebut.
Ditanya mengenai kemungkinan Syria disingkirkan dari OIC seperti yang dilakukan oleh Liga Arab, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diputuskan kemudian dalam mesyuarat yang akan berlangsung mulai malam ini.
”Setakat ini mood dalam persidangan nampak menjurus kepada pendirian yang hampir sama dengan Liga Arab,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kemelut yang melanda umat Islam di Myanmar dan Syria tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Sementara itu, menjawab soalan dalam satu temu bual khas dengan stesen televisyen Huda TV, Perdana Menteri berkata, Malaysia setakat ini telah menghantar pasukan khas untuk membantu pelarian etnik Rohingya akibat keganasan yang meletus di Rakhine.
Pada masa sama, Malaysia akan meneruskan tekanan politik serta mendapatkan penglibatan pertubuhan hak asasi manusia untuk memainkan peranan lebih penting.
Katanya, OIC perlu bertindak sebagai satu suara yang mewakili masyarakat Islam seluruh dunia. – Utusan

KOMEN : APA PUN TANGAN-TANGAN GHAIB ADA MEMAINKAN PERANAN UTAMA BAGI MENGHANCURKAN PERPADUAN ORANG ISLAM… ORANG KAFIR NI TIDAK AKAN SENANG SELAGI KITA TIDAK MENGIKUT AGAMA MEREKA…

Najib, rombongan tunai umrah

DARI UTUSAN MALAYSIA
14/8/2012

Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor keluar dari Masjidil Haram, selepas menunaikan ibadat umrah, semalam. Turut mengiringi, Jamil Khir Baharom (kiri). – BERNAMA

MEKAH 13 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di Tanah Suci Mekah awal hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa kali ke-4 Persidangan Kerjasama Islam (OIC) esok, memulakan aturcara beliau dengan menunaikan ibadah umrah.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota rombongannya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Mohamad Al-Saggaf memulakan ibadah umrah dengan tawaf mengelilingi Kaabah kira-kira 7 pagi waktu tempatan.
Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu bertujuan membincangkan situasi terkini di negara dan dunia Islam dengan hasrat mengembalikan dan mengukuhkan perpaduan umat Islam serata dunia serta memerangi unsur yang membawa kepada perbalahan dan kekacauan.
Sidang kemuncak anjuran Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz itu berlangsung di As-Saffa Palace.
Ia terletak bersebelahan Masjidil Haram dan ia bermula selepas solat tarawih kira-kira 11 malam sehingga waktu bersahur kira-kira 4 pagi mulai malam esok dan lusa.
Najib dijangka menyampaikan kenyataan pendirian Malaysia terhadap isu yang bakal dibangkitkan dalam sidang kemuncak itu. – BERNAMA