KUASA UNDI SURVIVAL POLITIK

ZULKIFLI JALIL | 01 Oktober 2015 1:05 AM
KUASA sebagai pengundi menjadi penentu sur vival mana-mana par ti politik terutama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijadual berlangsung pada 2018. – GAMBAR HIASAN/BERNAMA
DALAM sibuk-sibuk berhimpun, sampai lupa ‘dunia’ realiti. ‘Dunia’ realiti yang dimaksudkan penulis adalah ‘sudahkah mendaftar sebagai pe­ngun­di buat mereka yang berhimpun sama ada dalam himpunan berpermit mahupun sekadar demonstrasi jalanan?
Berhimpun dalam situasi sekarang dalam maksud yang hampir adalah kecenderungan kepada politik, tidak kiralah memihak parti kerajaan atau pembangkang. Tiada gunanya sekumpulan besar orang berhimpun kalau nama mereka pun tidak tersenarai pengundi berdaftar.
Dalam konteks ini, izinkan penulis menggamit perhatian orang Melayu termasuk orang UMNO betapa kuasa atas kertas undi lebih bernilai dan realistik berbanding apa sahaja perlakuan berpolitik. Kuasa pengundi berada di tempat pertama berbanding perbuatan atau pe­rilaku menyuarakan sesuatu isu semasa.
Kisah Kabinet Malaysia hakikatnya banyak berpaut kepada kisah UMNO kerana kepimpinan Kabinet disediakan oleh UMNO. Perkara ini mempunyai alasan yang mudah kerana UMNO membekalkan jumlah bilangan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, perlulah menewaskan UMNO.
Oleh itu, selagi UMNO me­ngekalkan status quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan melainkan untuk melantik seorang Presi­den UMNO untuk mengetuai Kabinet sebagai Perdana Menteri.
Namun, perlu diingatkan sekali lagi, tanpa kuasa sebagai pengundi berdaftar yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ahli UMNO, waima pemimpin kanan parti itu sekali pun tidak akan bermakna apa-apa dalam politik penentu parti memerintah.
Dan itu belum lagi yang liat untuk mendaftar, bahkan telah mendaftar pun, masih malas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Ini berbeza dengan kaum lain, yang akan terpacul seawal pagi lagi yang belum pun pusat pengundian dibuka – untuk berlumba-lumba membuang undi dalam usaha memenangkan calon mereka.
Orang Melayu termasuk daripada UMNO harus sedar dan mengambil iktibar hal ini. Misalnya, dalam proses pelantikan Perdana Menteri tidak ada disebutkan prasyarat mengenai bangsa atau agama. Ini bermakna bangsa bukan Melayu boleh dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa akan datang untuk menjadi Perdana Menteri, iaitu selagi beliau dapat menguasai keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Hakikat bahawa ini tidak pernah berlaku sebelum ini tidak bermakna bahawa ia tidak boleh atau tidak akan berlaku pada masa depan terutamanya apabila keadaan politik yang berubah-ubah di Malaysia. Ini kelak memungkinkan akan timbulnya beberapa orang lain yang boleh mendapat keyakinan Dewan.
Perkataan keyakinan di sini jelas merujuk seseorang yang memimpin parti dengan bilangan ahli-ahli dalam Dewan Rakyat yang terbesar. Keyakinan pada bahagian Yang di-Pertuan Agong pula tidak boleh membawa pengertian selain itu atau dalam konteks yang dibuat walaupun terikat dengan perkataan ‘pada pendapat beliau’ yang menandakan penentuan subjektif.
Mengikut makna konteks, walaupun beliau menggunakan fakulti subjektif dalam artikel itu, aplikasi tidak terkawal mengenai niat subjektif tidak boleh digunapakai. Jika berlaku pada masa akan datang, satu keadaan apabila pemimpin dua buah parti sama popular, sama kuat serta mempunyai jumlah perwakilan yang agak sama di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong akan terperangkap dalam keduduk­an yang sukar.
Adakah baginda akan menggunakan kayu pengukur berdasarkan atas bilangan wakil-wakil untuk menyukat kekuatan dan sokongan para pemimpin parti-parti yang berkaitan? Atau mungkinkah ba­ginda akan bertitah dan menentukan bahawa ‘pada pendapatnya’ seorang pemimpin lain mendapat keyakinan Dewan – mungkin pada ciri-ciri kekuatan wataknya, baik akhlaknya dan lain-lain sifat.
Hanya masa akan menentukan kerana peruntukan ini tidak pernah diuji sebelum ini walaupun terdapat pendapat yang berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa baki untuk berbuat demikian. Dan pihak mahkamah akan menjadi pengadil sekiranya perkara ini diuji pada satu tarikh di masa akan datang.
Di mata dunia, Malaysia masih boleh dengan yakin mempertahankan bahawa ia tidak mengamalkan kecenderungan diskriminasi di bawah undang-undang pelantikan kuasa eksekutif. Ini adalah mengikut keadaan semasa kesan Perlembagaan yang ada. Namun ia, tertakluk kepada kemungkinan ia akan dipinda pada satu masa kelak.
Hakikatnya Artikel 43 bukanlah salah satu artikel-artikel yang memerlukan majoriti dua pertiga dan sokongan kedua-dua majlis Parlimen untuk diluluskan bagi maksud pindaan. Mana-mana parti politik yang mempunyai kedudukan majoriti mudah di Dewan memang boleh mencetuskan proses meminda peruntukan dalam Artikel 43 yang mana terletaknya pangsi ketua eksekutif negara.
(Perdana Menteri dilantik di bawah Artikel 43(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pelantikannya hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum pembentukan sebenar Kabinet, iaitu yang pada pendapat beliau (baginda) dapat menguasai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan).
Kuasa sebagai pengundi menjadi penentu survival mana-mana parti terutama dalam pilihan raya umum ke-14 yang dijadual dilangsungkan pada 2018.
Sekitar 2011 telah timbul perdebatan bahawa walaupun statistik penduduk Pulau Pinang menunjukkan peratusan orang Melayu mengatasi kaum Cina, masing-masing 42.05 peratus dan 40.92 peratus, namun pengundi Cina lebih ramai daripada pengundi Melayu.
Itu belum lagi dikira pada masa ini yang jika direkodkan daripada SPR, nescaya kita akan menemukan satu data yang memeranjatkan dari segi komposisi pengundi. Jika dulu ‘mereka’ mendominasi bandar-bandar, kini ‘mereka’ berada di pinggir bandar dan tidak lama lagi pasti menerobos mendominasi luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Jangan salahkan sesiapa. Pokok pangkalnya tanya diri sendiri. Siapa yang komited, rajin dan berdaya saing terutama memastikan nama tersenarai dalam daftar pengundi sahaja yang boleh survive.

SPR wajar letak syarat wajibkan bakal Ahli Parlimen, ADUN fasih berbahasa Melayu

30 April 2015 1:40 AM
RAIS YATIM tidak ketinggalan menggunakan Instagram ketika melawat gerai-gerai pameran pada majlis perasmian Hari Kualiti UIA di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/HALIM KHALID
KUALA LUMPUR 29 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mewajibkan ahli politik yang ingin bertanding dalam pilihan raya mesti fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, fasih dalam bahasa kebangsaan amat penting bagi membolehkan wakil rakyat mendengar dan membawa masalah rakyat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat secara berkesan.
“Wakil rakyat haruslah fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan dan bukannya hanya menguasai bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka sahaja.
“Tidak perlu penggubalan undang-undang pada skala besar, memadai SPR meletakkan syarat supaya ahli politik yang mahu bertanding perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pada Hari Kualiti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang turut dihadiri Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin di sini hari ini.
Baru-baru ini, pendakwah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempertikaikan kegagalan sesetengah wakil rakyat menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun sudah berpuluh tahun tinggal di negara ini.
Tambah Rais, jika kefasihan pertuturan dalam bahasa Melayu dapat disyaratkan oleh SPR, perkara tersebut akan menjadi satu panduan yang boleh dicontohi dalam usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu.
Mengulas mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini, Rais berkata, apa yang harus ditanamkan di dalam fikiran semua pihak ialah bahasa Melayu juga mampu memainkan peranan itu sebagaimana bahasa Inggeris.
“Kita harus memperbanyakkan penghasilan dan penerbitan buku teks dalam bahasa kebangsaan.
“Universiti juga harus memperbanyakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara bagi mengangkat martabatnya dan supaya kegemilangannya di Nusantara seperti satu ketika dahulu dapat dikembalikan,” katanya

POLITIK : Misi rampas Malaysia; Sumpah Pemuda dan mengapa RM10,001?

ZAINI HASSAN | 29 Oktober 2014 2:29 AM
SEMALAM saya dihubungi oleh seorang yang pernah menjadi pakar strategis dan think tank kepada pentadbiran kerajaan yang terdahulu.
Dia mendedahkan satu maklumat yang menurutnya perlu dibocorkan sebelum terlambat.
Ia membabitkan soal kawasan pilihan raya. Walaupun isu ini bukan baharu atau luar biasa namun ia perlu dimaklumkan supaya nanti nasi tidak menjadi bubur.
Pihak pembangkang sekarang bukan macam yang dulu-dulu. Mereka sudah ada duit. Mereka ada dua negeri yang amat kaya iaitu Pulau Pinang dan Selangor.
Ditambah dengan semangat mahu menakluki negara Malaysia ini pada PRU akan datang, tindak-tanduk mereka cukup istiqamah.
Konon ceritanya DAP dan pakatan pembangkang lain sedang menjalankan kerja-kerja sulit mereka mendaftarkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain secara agresif sekali.
Mereka mengalihkan pengundi tegar mereka dari satu kawasan yang majoriti besar ke satu kawasan lain bagi membolehkan mereka menang di situ.
Pengundi itu tidak semestinya akan berpindah secara fizikal. Hanya alamat sahaja yang berubah. Semasa pilihan raya nanti mereka akan mengundi di kawasan alamat baharu itu.
Misalnya kita ambil contoh di Parlimen Seputeh yang majoriti DAP cukup besar melebihi 50,000 undi. Kempen dilakukan secara sis­tematik menukar pendaftaran pengundi dari situ, contohnya ke kawasan yang BN menang terlalu kecil, termasuk di bawah 1,000 undi.
Menurut maklumat itu ia sedang dilakukan di mana-mana. Bagi menjaga sensitiviti maka tidak perlulah saya sebut di mana kempen-kempen penerangan dan proses itu dijalankan.
Pernah dulu saya mendengar ramai pengundi dari kawasan Kedah bersempadan dengan Pulau Pinang kononnya dipindahkan ke Pulau Pinang bagi memastikan DAP terus memerintah negeri itu.
Mereka cukup fokus dalam strategi ini. Saya tidak pasti apakah parti lawan daripada pembangkang itu sedar mengenai perkara ini?
Saya tidak pasti apakah BN sendiri pun melakukan perkara yang sama?
Apakah peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam hal ini? Apakah mereka sedar berlakunya lonjakan pengundi yang luar biasa dalam sesuatu kawasan. Jika berlaku apakah tindakan mereka?
Bagi saya ini semua ialah strategi untuk berperang. Siapa bijak dialah yang menang. Siapa lambat dialah yang kena pancung.
Bahasa Melayu penyatu negara besar Indonesia
KAJIAN oleh penyelidik UKM terhadap sekumpulan pelatih PLKN bukan Melayu yang didapati tidak boleh bertutur dalam bahasa negara sendiri amat memalukan kita semua. Bukan mereka bodoh atau OKU lembam, kerana rata-rata memperoleh pangkat A subjek itu dalam SPM.
Ekoran itu keluarlah kenyataan itu dan ini daripada pelbagai pihak kerajaan. Maka kedengaranlah suara kita perlu memperkasakan itu dan ini.
Berbeza dengan di Indonesia. Pada tahun 1928 satu sumpah dikenali sebagai Sumpah Pemuda telah menyatupadukan ribuan etnik dan suku kaum negara besar itu menjadi 1Indonesia melalui bahasa Melayu. Ia dilakukan atas iltizam politik yang tiada tolok-bandingnya.
Ternyata ia berkesan. Dari Papua sehingga ke Aceh mereka bertutur satu bahasa, satu loghat dan dialek Indonesia Raya yang tidak berubah. Orang Cina Indonesia bertutur tiada beza dengan orang pribumi dan sukuan etnik daripada 250 juta rakyat negara itu.
Maka itu diperingati Sumpah Pemuda itu semalam. Renungi mesej Presiden baharu Indonesia Joko Widodo dalam Facebooknya sempena hari keramat republik itu. Semoga kita mendapat iktibar daripada mereka. (Bahasanya tidak diubah)
IR H JOKO WIDODO
Hari ini kita memperingati Sumpah Pemuda 1928, sejarah Sumpah Pemuda adalah ‘sejarah kesadaran’ bagi Pemuda Pemudi Indonesia dari mana pun ia berasal, dari manapun ia berorganisasi, dari manapun ia punya asal usul, di saat itu kesadaran akan persatuan sebagai bangsa Indonesia menjadi teramat penting.
Sumpah pemuda, merupakan buah dari dialektika bahwa untuk mencapai kemerdekaan itu yang pertama-tama harus dilakukan adalah ‘Persatuan’.
‘Persatuan’ adalah gagasan dasar yang mampu melahirkan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945. Konsepsi Persatuan inilah yang menjadikan negara kuat dan landasan dari Persatuan adalah kesamaan mimpi, kesamaan cita-cita dan bersatu dalam tindakan.
Bung Karno pernah berkata dalam peringatan Sumpah Pemuda di tahun 1958 “Janganlah kita mengambil abu-nya Sumpah Pemuda, tapi kita harus mengambil api-nya Sumpah Pemuda” Menurut Bung Karno, Api-nya Sumpah Pemuda itu ‘Semangat’, Api-nya Sumpah Pemuda itu Mencintai Tanah Air dengan seluruh jiwa, Api-nya Sumpah Pemuda itu Menjunjung Bahasa Indonesia sebagai buah dari rasa Persatuan itu.
Mencintai Tanah Air dengan romantika-nya, dengan dialektikanya, dengan dinamika-nya harus dimiliki oleh pemuda-pemudi Indonesia. Kita bukan bangsa ‘yang tiba-tiba lahir’, kemerdekaan kita tidak diberi bangsa penjajah, tapi kita merebutnya dengan revolusi bersenjata lalu sepakat mendirikan sebuah bangsa, membangun peradabannya.
Menjunjung tinggi Bahasa Indonesia adalah salah satu Sumpah Pemuda, tapi apakah kita sudah menghormati bahasa kita? Apakah kita meletakkan bahasa Indonesia dalam alam pikiran kita? Apakah kita merasa bangga menggunakan bahasa Indonesia.
Sebagai orang tua kita lebih bangga anak-anak kita ‘nyerocos’ menggunakan bahasa Inggris, ketimbang bahasa Indonesia karena bahasa Inggris dianggap lebih superior ketimbang bahasa sendiri. Bahasa Indonesia yang indah itu dirusak dengan bahasa campuran seperti Indonglish, kita menjadi bangsa yang gagap terhadap bahasa sendiri.
Untuk meloncati peradaban jauh ke muka, salah satu syaratnya adalah kita harus bangga terhadap bahasa sendiri, bangga terhadap Bahasa Indonesia.
Mengapa RM10,001 bukan RM20,001?
GAJI RM10,000 atau RM15,000 adakah dianggap sebagai sudah kaya dan mewah?
Ia tinggi sedikit sahaja daripada di bawah RM10,000. Jika anak-anak ramai, bersekolah, isteri tidak bekerja dan tinggal di bandar besar maka gaji ba­nyak itu bukanlah mewah.
Malah itulah kategori gaji sederhana yang paling banyak terbeban dan mencabar sekarang ini. Ia dikenali sebagai middle income syndrome.
Ekoran pengumuman menteri yang bijaksana mengenai pengawalan subsidi minyak, ramai golongan itu sekarang tengah marah-marah. Ada yang merungut-rungut dengan saya.
Mengapa tidak dimulakan pada peringkat RM20,001 kata mereka? Dengan kos hidup yang terlalu menekan apakah gaji RM10,001 itu sudah cukup besar?
Saya menasihatkan bapak menteri tadi timbangkanlah semula formula itu.
Saya bimbang langkah itu akan menaikkan kemarahan yang tidak pasal-pasal di kalangan golongan kategori tersebut.


– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/misi-rampas-malaysia-sumpah-pemuda-dan-mengapa-rm10-001-1.18033#sthash.y9r9YZjP.dpuf


PRK DUN Pengkalan Kubor 25 Sept.

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
ABDUL Aziz Mohd. Yusof bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Pengkalan Kubor, Kelantan, Mohd. Sobri Ramli (kanan) selepas menetapkan tarikh pilihan raya DUN tersebut pada 25 September manakala penamaan calon pada 13 September ketika di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, semalam. – BERNAMA
PUTRAJAYA 29 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan pada 13 September ini, manakala 25 September pula sebagai tarikh me­ngundi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pilihan raya kecil itu dibuat berikutan kematian penyandang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, ketika menjalani rawatan kanser hati di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu.
“SPR telah menerima makluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan pada 24 Ogos berhubung kekosongan kerusi DUN Pengkalan Kubor berikutan kematian Noor Zahidi.
“SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan bahawa satu PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung PRK kerusi DUN Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lepas, Noor Zahidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi sebanyak 10,174 mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim (8,438 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (65 undi).
Menurut Abdul Aziz, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 serta digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama Tahun 2014 yang telah dikemaskini 20 Ogos lalu.
“Daftar pemilih di kawasan berkenaan mengandungi 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH) dan daftar pemilih itu akan mula dijual pada 8 September ini.
“Kawasan itu mempunyai 12,462 (51.84 peratus) pengundi lelaki, wanita 11,577 (48.16 peratus), pengundi berdaftar paling ramai ialah kategori umur 30 hingga 39 tahun iaitu 5,744 (23.89 peratus),” katanya.
Selain itu katanya, SPR juga telah menetapkan tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara ialah pada 15 September dan untuk luar negara pada 13 September.
Beliau berkata, SPR juga telah bersetuju untuk melantik Ketua Jajahan Tumpat, Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, Mohd. Sobri Ramli sebagai pengurus pilihan raya bagi memantau semua aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen.
Dalam pada itu katanya, semakan daftar pemilih boleh dibuat dengan melayari laman web http://www.spr.gov.my dan melalui SMS dengan menaip SPRSEMAKNO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 8 September atau menghubungi talian 03-88856565/09-7482510.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140830/po_01/PRK-DUN-Pengkalan-Kubor-25-Sept#ixzz3C7dbHedc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Chegubard malu bersemuka SPR

Oleh FITRI AFFENDI MUSTAFA
pengarang@utusan.com.my
BADRUL Hisham Shaharin atau Chekgubard (kiri) menyatakan sesuatu kepada peguamnya, Michelle Yesudas semasa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, semalam. – UTUSAN/Ghazali Basri
PETALING JAYA 4 Ogos – Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau yang digantung keahlian, Badrul Hisham Shaharin mengakui berasa malu untuk bersemuka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika tiada sebarang tindakan diambil dalam menyelesaikan masalah pemilihan PKR.
Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegubard berkata, ini kerana semua aduan yang dikemukakan beliau sejak tahun 2010 kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) masih belum mendapat sebarang balasan atau tindakan.
Katanya, antara aduan berkenaan pemilihan PKR yang sering dikemukakan ialah berkaitan kertas undi berlebihan, pengundi yang mengundi atas nama orang lain serta pihak JPP yang dipercayai terlibat dengan masalah penyelewengan pemilihan.
“Bagi saya masalah penipuan ini khususnya pemilihan dalam parti perlu ditangani segera. Jika tidak saya bersama rakan-rakan lain yang berjuang atas nama bersih dan demokrasi berasa malu untuk berjumpa dengan pihak SPR disebabkan parti ini juga akan dianggap sama menipu dalam demokrasi.
“Jadi, kenapa apabila kita lawan dengan SPR, kita perlu raikan, tetapi ketika lawan di tempat tertentu kita tidak raikan. Oleh itu, saya akan terus berjuang untuk menegakkan demokrasi di semua tempat,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Seksyen di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penipuan atau penyelewengan terhadap sistem demokrasi termasuk dalam parti sendiri.
“Prinsip saya semua perkara berkenaan penyelewengan dalam sistem demokrasi, saya akan lawan dan tentang dengan berani.SP
“Saya sudah nyatakan pelbagai bukti dan saya rasa masalah ini (pemilihan PKR) perlu diselesaikan segera disebabkan semua aduan yang dibuat masih belum mendapat balasan sehingga hari ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai jawatan Menteri Besar Selangor, Badrul Hisham berkata, beliau menggesa satu referendum rakyat diadakan bagi mengambil kira pandangan rakyat mengenai perubahan pucuk kepimpinan di Selangor.
Katanya, ini kerana kemenangan pakatan pembangkang di Selangor juga adalah disebabkan oleh pengaruh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Jadi, saya rasa sebarang perubahan dalam jawatan Menteri Besar perlu mengambil kira pandangan rakyat kerana sebarang pertukaran bukan berdasarkan arahan dari pucuk pimpinan parti sahaja,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140805/po_01/Chegubard-malu-bersemuka-SPR#ixzz39TpSypJB  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PRK – BN sudah buat penilaian ikut harapan pengundi

TELUK INTAN 19 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin menegaskan, tidak timbul isu calon kitar semula bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan kerana Barisan Nasional (BN) telah melakukan penilaian mendalam mengikut harapan pengundi di sini.
Beliau berkata, pemilihan sesuatu calon BN dibuat mengikut kesesuaian seseorang individu di satu-satu kawasan, justeru, pencalonan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dilihat paling sesuai kerana dikenali ramai, berpengalaman, masih muda serta bertenaga untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Yang penting kita tahu apa harapan pengundi di sini. Di tempat lain, mungkin kita lihat pada calon baharu tetapi di sini, ini calon paling sesuai. Siapa yang tidak kenal beliau, masih bertenaga dan sihat, sebab itu tak ada isu calon kitar semula atau telah berkali-kali bertanding.
“Memang dalam keadaan tertentu ada menang dan kalah, tetapi kali ini, kita harap trend akan berubah. Ini kerana kita membuat penilaian secara mendalam, bukan sambil lewa atau semberono sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penamaan calon PRK Parlimen Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perak, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan Siew Keong.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengharapkan sokongan lebih 60,000 pengundi di Teluk Intan kerana Siew Keong dipilih atas faktor pengalamannya dalam kerajaan serta parti, selain merupakan anak tempatan yang dikenali dan banyak berjasa di sini.
Muhyiddin berkata, pimpinan parti menyokong penuh Siew Keong untuk menggalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan bagi membangunkan Teluk Intan demi manfaat penduduk setempat.
“Untuk tempoh berkempen sehingga 31 Mei ini, kita telah gerakkan jentera parti di seluruh peringkat, malah lebih bersedia daripada biasa kerana turut mendapat sokongan daripada luar.
“Yang penting, saya maklumkan dalam mana-mana pilihan raya bahawa kita tidak boleh ambil mudah, perlu kerja keras dan mengambil platform ini untuk menjelaskan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pengundi atau mungkin disentuh parti lawan baik dalam soal ekonomi, sosial, keagamaan dan politik,” katanya.
Muhyiddin turut menjelaskan bahawa BN mempunyai peluang 50-50 dan yakin trend pengundi akan berubah dalam tempoh beberapa hari mendatang sama ada mereka terpengaruh atau dipengaruh parti yang bertanding.
“Bagi saya, sesiapa sahaja yang menentang BN kita anggap sebagai lawan. Yang penting, jentera parti akan berge­rak, semua pengundi mesti diyakinkan dengan perjuangan dasar BN kerana kita bukan parti perkauman tetapi untuk semua kaum,” katanya.
Ditanya sama ada pencalonan Dyana Sofya Mohd. Daud sebagai calon DAP mendatangkan risiko buat parti kerana ibunya, Yammy Samat merupakan ahli UMNO, Muhyiddin berkata, BN lebih melihat kepada individu yang bertanding tanpa mengambil kira latar belakangnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140520/po_02/BN-sudah-buat-penilaian-ikut-harapan-pengundi#ixzz32DEQ8LPS © Utusan Melayu (M) Bhd