CELAH GELEGAR: KES WARDINA, SALIB, VAMPIRE : antara Gereja, Alvin…

CELAH GELEGAR: KES WARDINA, SALIB, VAMPIRE : antara Gereja, Alvin…: Straight to the Point  – Kenapa isu gereja di Taman Medan itu menjadi minit mesyuarat Kabinet? Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri …

Advertisements

HASUTAN : Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan

Disiasat mengikut Akta Hasutan
MASZUREEN HADZMAN | 31 Mac 2015 1:37 AM
AHMAD Fadli Shaari (depan, dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas menunjukkan salinan laporan polis terhadap The Malaysian Insider di IPD Kota Bharu, semalam. – UTUSAN /YATIMIN ABDULLAH
KUALA LUMPUR 30 Mac – Tiga pengarang The Malaysian Insider ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan yang disiarkan dalam portal propembangkang itu.
Ketiga-tiga mereka masing-ma­sing merupakan pengarang bahasa Inggeris portal itu, Lionel Morais, 47, Pengarang Bahasa Melayu, Amin Shah Iskandar, 35, dan Pengarang Rencana serta Analisis, Zulkifli Sulong, 53.
Mereka ditahan semasa serbuan di pejabat portal itu di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 5.45 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, turut dirampas ialah komputer riba dan telefon bimbit.
“Serbuan dibuat bagi mendapatkan bahan-bahan berkaitan untuk membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dibuat portal propembangkang itu. Kesemua mereka ditahan di lokap Jinjang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya turut mengesahkan penahanan tiga pengarang terlibat.
“@PDRMsia sahkan bahawa tiga kakitangan The Malaysian Insider te­lah ditahan untuk siasatan. Siasatan bersama oleh PDRM dan @SKMM di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memberitahu sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat The Malaysian Insider berhubung laporan-laporan yang disiarkan dalam portal itu.
Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman berkata, siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Menurutnya, siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan perkara itu, sementara banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap portal tersebut.

‘Kebebasan mutlak bukan di sini’ – DUDUK DLM HUTAN PUN RIMAU PERHATI AJE…

Perdana Menteri menegaskan kepentingan Akta Hasutan dan Rang Undang-Undang Anti Keganasan adalah tepat
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 26 Mac 2015 2:27 AM
NAJIB TUN RAZAK melakukan tabik hormat dalam Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kuala Lumpur, semalam. Di sebelah beliau ialah Khalid Abu Bakar. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 25 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kebebasan mutlak tanpa sebarang rasa bertanggungjawab yang cuba dituntut dan diinginkan pihak tertentu tiada tempat di negara ini.
Serentak dengan itu, beliau dalam nada tegas mempertahankan kepentingan Akta Hasutan, selain turut menyifatkan langkah kerajaan menggubal dan bakal membentangkan Rang Undang-Undang Antikeganasan adalah tepat.
Pada masa yang sama, Najib berkata, tiada sebab untuk kerajaan apologetik dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan negara, walaupun beberapa pihak menuduh langkah tersebut sebagai tidak demokratik.
“Kerajaan mesti pastikan tidak berlaku sebarang bentuk keganasan dalam negara kita, tidak perlu apolo­getik walaupun mungkin akan ada yang kata ini tidak demokratik. Saya nak kata bahawa tiada kebebasan mutlak.
“Kebebasan mutlak tanpa rasa tanggungjawab tiada tempat di negara ini, kita akan pastikan setiap warganegara ikut lunas undang-undang,” katanya semasa berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan terbang lintas tiga buah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM), gimik pertunjukan membasmi jenayah pemerdagangan manusia oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan penyampaian Anugerah Integriti PDRM.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, untuk mentadbir dan memastikan sesebuah negara itu menjadi teguh serta kuat, terdapat empat aspek terpenting yang perlu diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan.
Menurutnya, aspek pertama adalah mempunyai struktur ekonomi yang kukuh, disusuli kestabilan politik serta perpaduan erat dalam kalangan rakyat sebelum yang ter­akhirnya ialah aman tanpa sebarang kacau bilau.
“Kalau tanya saya antara empat aspek ini, mana yang lebih penting? Mana satu yang perlu kita dahulukan? Saya boleh katakan bahawa keamanan dan keselamatan adalah aspek paling penting yang perlu dipertahankan.
“Sebab itu janganlah kita sebagai rakyat tidak hormati polis, pandang rendah dan tuturkan kata nista, hormatilah mereka kerana disebabkan polis kita dapat hidup dalam keadaan aman tanpa rasa takut,” katanya.

Ambil tindakan ke atas blog hasut rakyat – NGO

26 Februari 2015 1:37 AM
Zaparuddin Abdul Rahim (tengah) menujukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam terhadap penulis blog Sakmongkol AK47 yang berunsur fitnah dan berbaur hasutan seperti diterbitkan di laman portal The Malaysian Insider. – Utusan/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 25 Feb. – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemantau Media Sosial Pasukan Semut Malaysia membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘The White and Black Minstrel Show will end as a huge embarassment’ yang didakwa berbaur hasutan dan menghina mahkamah oleh sebuah blog, Sakmongkol AK47.
Pengerusinya, Zaparudin Abd. Rahim mendakwa, artikel yang dipercayai ditulis oleh Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Datuk Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz itu amat berbahaya dan berunsur fitnah.
Dakwanya, artikel itu adalah satu pembohongan bagi mengelirukan rakyat berhubung keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disiarkan oleh sebuah portal berita, The Malaysian Insider baru-baru ini.
“Artikel itu bukan sahaja berunsur fitnah dan bohong, malah berbaur hasutan supaya rakyat menggulingkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi seperti tercatat pada ayat terakhir ‘Once we have Federal power, we don’t need to go before King to free Anwar”.
“Ternyata kenyataan ini amat berbahaya sekali. Adakah jika pakatan pembangkang menjadi Kerajaan Persekutuan maka Anwar sudah tentu dibebaskan? Adakah pembangkang memang berniat membebaskan beliau sahaja walaupun ternyata dibuktikan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan?” soalnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaparudin berkata, pihaknya juga mahu tindakan diambil terhadap blogger tersebut kerana artikel itu didakwanya jelas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan negara.
Katanya, ini terbukti menerusi kenyataan dalam artikel itu yang berbunyi ‘As we know, the ones who did that are the two policemen – whom as the courts and the law enforcement agencies would have us believe, on a frolic on their own, suddenly thought of killing someone today’.
“Kenyataan di atas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan terutama pihak pendakwa raya dan polis yang kononnya tidak profesional dalam menjalankan tugas dan bertujuan mengaburi pandangan dan kepercayaan rakyat.
“Blog itu juga mempertikai kes yang telah diputuskan oleh mahkamah. Ini bagi kami satu penghinaan terhadap institusi kehakiman negara yang semua tahu adalah badan yang bebas,” katanya.
Tambah Zaparudin, artikel itu juga didakwanya bertujuan menanam persepsi buruk dalam minda rakyat agar mempercayai Kerajaan Persekutuan bersubahat dengan pihak berkuasa dan institusi kehakiman untuk menghukum Anwar dan mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan,” dakwanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

HASUTAN : Polis cadang kumpulan 
SSKM dituduh di mahkamah

11 Februari 2015 1:27 AM
KOTA KINABALU 10 Feb. – Polis telah mengemukakan kertas siasatan berhubung tangkapan individu yang didakwa kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) kepada Timbalan Pendakwa Raya termasuk mencadangkan tuduhan di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948.
JALALUDDIN ABDUL RAHMAN
Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, cadangan itu dibuat pihaknya selepas mendapati tindakan kumpulan dan penyokong SSKM tersebut mampu mengganggu-gugat keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini.
Malah, jelas beliau, pihaknya turut mengenal pasti pemimpin mahupun parti politik yang menjadi dalang kumpulan itu bergiat aktif.
“Setakat ini kita telah menahan 14 individu, masing-masing di Tuaran dan Lahad Datu pada minggu lalu serta baru-baru ini.
“Terbaharu, tangkapan lima individu di Lahad Datu, kesemua mereka ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 1 Februari lalu, polis menahan sembilan individu termasuk tiga wanita kerana mengedar risalah dan membuat pungutan suara SSKM di pasar tamu Tuaran, dekat sini.
Sabtu lalu pula, polis menahan lima lagi individu di sekitar pekan Lahad Datu sambil merampas 200 risalah, baju dan topi yang tertera perkataan SSKM.
Jalaluddin memberitahu, pihak­nya telah memperoleh waran tangkap ke atas individu dikenali sebagai Doris Jones yang dipercayai dalang kepada aktiviti SSKM.
Setakat ini, kata beliau, pihak­nya hanya memperoleh waran tangkap terhadap individu berkenaan.
Mengulas tentang laman web SSKM, menurutnya, polis mempunyai pasukan khas untuk memantau kenyataan yang dikeluarkan berhubung SSKM termasuk laman web kumpulan itu.
“Kita ada pasukan khas. Setiap hari kita akan pantau dan buat laporan polis termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika terdapat elemen menghasut kita akan ambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin memaklumkan perintah berkurung di pantai timur Sabah dilanjutkan bermula esok sehingga 26 Februari ini.
Kata beliau, lanjutan perintah berkurung itu dibuat pihaknya mengambil kira tiga aspek iaitu, jaminan kepada keselamatan dan aktiviti pelancongan di daerah-daerah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
“Kedua, memudahkan penguat kuasa menjalankan tugas-tugas mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta ketiga, jaminan daerah-daerah di pantai timur Sabah selamat daripada aktiviti penculikan selain cubaan menceroboh oleh penculik untuk tebusan (KFR) dan kumpulan yang mendakwa tentera Sulu,” jelasnya.

Jangan lagi campur urusan Islam

16 Januari 2015 1:34 AM
KUALA LUMPUR 15 Jan. – Eric Paulsen didakwa cuba mencampuri urusan agama Islam apabila menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat kepada umat Islam.
Mohd. Tamyes
Mufti Sela­ngor, Datuk Mohd. Tam­yes Abd. Wahid berkata, Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu ha­nya mahu mencari publisiti murahan dan cuba menjaga ‘tepi kain’ umat Islam.
Menurut beliau, Eric wajib meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana mereka amat terkilan dengan pandangan itu walaupun beliau seorang bukan Islam.
“Saya meminta Eric jangan pandai-pandai nak membuat komen sesuka hati, dia tidak sepatutnya cuba menjaga tepi kain umat Islam,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad semalam menyifatkan tindak-tanduk Eric sebagai biadab serta mempunyai agenda pencerobohan terhadap Islam dengan menyemai unsur-unsur provokasi dan penghinaan terhadap agama suci ini.
Baru-baru ini, Eric menerusi laman sosial Twitter mengeluarkan kenyataan menuduh Jakim menyebarkan fahaman ekstremis pada se­tiap Jumaat yang dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.
Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, kenyataan Eric itu seolah-olah mahu menghina Islam dan mempunyai agenda tersembunyi kerana sejak merdeka tidak ada seorang pun dalam kalangan bukan Islam yang berani mengkritik khutbah Jumaat melainkan beliau.
Sehubungan itu, katanya, Eric mesti memohon maaf secara terbuka dan ikhlas selain tindakan undang-undang perlu diambil kerana kenyataan beliau itu jelas berbaur hasutan.
“Mungkin kali ini umat Islam tidak menunjukkan reaksi ketara atas kenyataan beliau itu, tetapi kita bimbang suatu hari nanti berlaku pertumpahan darah dan keganasan antara umat Islam dan bukan Islam di negara ini.
“Sebagai seorang peguam, beliau sepatutnya tahu undang-undang dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mele­takkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, jadi beliau perlu akur dan hormat kepada peruntukan ini tanpa menyentuh apa sahaja ajaran Islam,’’ katanya.