Ahli keluarga MH370 anjur bantahan

30 Januari 2015 1:17 AM
Seorang ahli keluarga penumpang warga China pesawat MH370 dihalang oleh anggota polis selepas dia cuba mendekati Kedutaan Malaysia di Beijing dalam satu tunjuk perasaan bagi menuntut kerajaan Malaysia meneruskan usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370, semalam. – RE UTERS
BEIJING 29 Jan. – Ahli keluarga penumpang warga China pesawat Malaysia Airlines MH370 mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia, di sini hari ini bagi menuntut supaya operasi mencari dan menyelamat penumpang dan anak kapal MH370 diteruskan.
Satu laporan dijangka dikeluarkan pada 7 Mac ini, sehari menjelang ulang tahun pertama nahas itu, dan sesetengah waris penumpang terbabit bimbang sekiranya operasi mencari dan menyelamat itu akan dihentikan.
Berpuluh-puluh ahli keluarga penumpang terbabit berhimpun dan mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia di sini awal hari ini.
Beberapa anggota polis bertindak mengepung kawasan kedutaan itu di daerah Chaoyang dan lebih 50 buah kenderaan polis, bas dan lima jentera bomba turut dikerahkan ke kedutaan berkenaan.
Seramai 15 penunjuk perasaan diusir oleh polis dan dibawa ke sebuah pusat sokongan, kata seorang waris mangsa nahas MH370 kepada dpa.
Katanya, dua warga emas kelihatan menangis dan enggan beredar dari kawasan itu manakala beberapa orang yang lain duduk dan enggan berganjak.
Sebahagian ahli keluarga berkata, mereka bimbang laporan yang bakal dikeluarkan itu akan mengumumkan operasi mencari dihentikan.
“Jangan umumkan MH370 hilang tanpa bukti,” kata satu kenyataan yang diterbitkan ahli keluarga penumpang MH370 yang dimuat naik di laman sosial Weibo.
Kebanyakan mangsa nahas pesawat MH370 itu adalah warga China dan kebanyakan ahli keluarga penumpang terbabit berharap kesemua penumpang masih hidup.
“Operasi mencari masih belum selesai dan mereka masih tidak mempunyai bukti mencukupi untuk merumuskan bahawa pesawat itu telah hilang,” kata, Zhang Yuxi, bapa kepada salah seorang penumpang pesawat MH370.
“Tindakan itu seumpama tidak menghormati kehidupan dan tidak menghormati penduduk China dengan bertindak menghentikan pencarian sebelum rangka pesawat ditemukan.
“Saya rindukan anak saya dan saya tidak dapat tidur sejak nahas itu berlaku,” katanya.

Keluarga penumpang pesawat MH370 sedih

30 Januari 2015 1:16 AM
Kelly, 29, isteri kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 memegang gambar suaminya bersama Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada satu acara di Putrajaya. – REUTERS
BEIJING 29 Jan. – Ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 dari China sedih dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia mengisytiharkan pesawat tersebut sebagai satu kemalangan selepas 10 bulan ia tidak ditemukan.
Portal berita USA Today yang memetik sepucuk surat yang mewakili kesemua ahli keluarga 154 penumpang warga China dalam pesawat itu kepada media melaporkan mereka sedih dengan tindakan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengisytiharkan pesawat itu ‘tidak ditemukan atau terhempas’.
Kira-kira 30 ahli keluarga penumpang pesawat itu turut menangis dan menjerit-jerit ketika berkumpul melahirkan kesedihan mereka.
Seorang ahli keluarga terbabit, Li Yeuhua, 57, yang anaknya, Li Wenbo, 29, merupakan salah seorang daripada 239 penumpang pesawat tersebut berkata, tindakan DCA itu tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan perjanjian untuk mengumumkan perkara itu tanpa sebarang bukti.
Ketua Pengarah DCA, Azharuddin Abdul Rahman, hari ini mengumumkan kehilangan pesawat MH370 itu dan kesemua 239 penumpang serta anak kapalnya dianggap terkorban pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui TV1 di Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua kumpulan yang mewakili ahli-ahli keluarga penumpang tersebut, Jiang Hui berkata, surat itu turut meminta bantuan kaunseling psikologi dan sara hidup ketika ada anggota keluarga penumpang pesawat itu jatuh sakit sejak tahun lepas kerana kesedihan berikutan nahas tersebut dan kurang sumber kewangan untuk perbelanajaan dan mendapatkan rawatan.
“Kami masih berharap ahli keluarga kami masih hidup kerana tiada bukti pesawat itu terhempas.
“Saya seorang yang rasional. Saya belajar kejuruteraan dan sains, namun saya tidak percaya dengan Malaysia Airlines. Terlalu banyak fakta yang bertentangan,’’ kata Jiang Hui anak kepada Jiang Cuiyun, 71, yang merupakan salah seorang penumpang pesawat MH370.

POLITIK : Guan Eng mulut celupar – 2 KALI 5 SAMA AJE MEREKA NI..

Mustafa Ali cabar KM Pulau Pinang bersemuka isu pilihan raya PBT
MOHAMMAD YASIR JAAFAR | 29 Januari 2015 1:43 AM
Mustafa Ali (kiri) ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali melepaskan ge­ram hari ini dengan mencabar Lim Guan Eng bersemuka berikutan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bahawa beliau tidak jujur berhubung pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mustafa yang menyifatkan Guan Eng sebagai seorang bermulut celupar menegaskan, Setiausaha Agung DAP itu ada menghubungi­nya berkenaan hasrat parti tersebut untuk melaksanakan pilihan raya PBT namun dibuat selepas beberapa hari cadangan berkaitan diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
“Perkataan yang digunakan oleh Guan Eng itu bukan sahaja tidak tepat malah tidak betul dan menggambarkan beliau seorang manusia mulut celupar.
“Saya cabar dia supaya bersemuka secara terbuka, biar dia bagi versi dia, saya bagi versi saya. Biar masyarakat tentukan siapa betul, siapa salah, siapa bohong, siapa tidak bohong,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.
Yang turut hadir Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Cabaran itu dibuat berikutan kenyataan Guan Eng dalam sebuah portal propembangkang yang mendakwa beliau telah menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mustafa untuk berbincang tentang pelaksanaan pilihan raya PBT sebelum memulakan kempen undi di Pulau Pinang.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut melahirkan rasa terkejut apabila kedua-dua pemimpin terbabit gagal mengakui perkara tersebut serta menuduh mereka bersikap tidak jujur.
Jelas Mustafa, beliau tidak pernah membincangkan soal pelaksanaan pilihan raya PBT bersama Guan Eng kerana perkara itu tidak termaktub dalam rangka kerja dasar bersama pakatan pembangkang.
“Memang saya akui dia meng­hubungi saya, tetapi benda bercakap ikut suka hati ini tidak bagus bagi seorang pemimpin seperti dia.
“Dia (Guan Eng) minta supaya memberikan kenyataan positif, saya hanya menjawab insya-Allah dan tidak membantah kerana perkara itu sudah berlaku dan dibentangkan waktu itu.
“Sebenarnya saya hendak menjaga suasana harmoni dalam kalangan pakatan pembangkang, kerana waktu itu Guan Eng maklumkan dia terpaksa lakukan (pilihan raya PBT) kerana menerima tekanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah masuk dalam janji DAP di Pulau Pinang, maka kita (Guan Eng) terpaksa puaskan mereka (NGO),” ujarnya.
Dalam pada itu, Mustafa yang mengakui hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana turut tidak termaktub dalam rangka kerja dasar bersama pakatan pembangkang memberitahu, Pas tidak boleh memberi persetujuan terhadap pilihan raya itu kerana bercanggah dengan dasar pakatan.
“Saya mendapat tahu berkenaan pembentangan pilihan raya PBT pada sidang DUN Pulau Pinang itu ketika wakil tunggal Pas, Datuk Salleh Man menghubungi saya.
“Ketika itu saya bertanya bila hendak dibentangkan ini, dia berkata mungkin esok (Mei 2012), jadi saya maklumkan perkara itu tidak pernah dirujuk kepada pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.
“Maka saya selaku Setiausaha Agung mengarahkannya supaya mengelak daripada menyokong atau menolak usul itu,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Pas akan meninggalkan pakatan akibat kemelut berkenaan, Mustafa berkata, isu itu masih belum berbangkit.
“Jangan cepat sangat, niat dalam hati siapa yang tahu,’’ katanya.

MH 370 : Bersabar, reda dengan ketentuan-Nya

OLEH ZULKIFLI JALIL PENGARANG@UTUSAN.COM.MY | 30 Januari 2015 1:50 AM
Reaksi isteri dan anak kepada Mohd. Hazrin Hasnan, Krew Penerbangan Malaysia MH370, Intan Maizura Othaman dan Muhammad semasa meninggalkan pekarangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Putrajaya, semalam. – Bernama
ORANG yang bersabar itu apabila ditimpa musibah mereka akan mengucapkan kalimah Istirja’ iai­tu “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Inilah yang membezakan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman.
Apabila petang semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu, secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban, kita mengharapkan pihak keluarga mangsa menerimanya.
Kepada keluarga mangsa yang beragama Islam, redalah dengan ketentuan-Nya.
Seandainya kita tidak mengimani takdir, mungkin kita akan terus meratapi kepergian anak, isteri, suami serta insan tercinta yang pergi terlebih dulu. Setiap kali mengingatinya akan terasa ‘lemas’ dan tidak terasa air mata mengalir. Sentiasalah mengingati Allah dan berharap rahmat di sebalik takdir-Nya, barulah terasa ringan menjalaninya.
Tragedi MH370 turut dibincangkan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 25 Mac 2014.
Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam yang disabitkan kematiannya dalam tragedi
MH370 ini adalah tergolong sebagai Syahid Akhirat berasaskan kepada hadis Nabi SAW yang menyebutkan bahawa mati kerana tenggelam termasuk dalam salah satu kategori Syahid Akhirat.
Mengenai hal berkaitan pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa, atau hukum-hukum lain yang bersangkutan daripada tragedi ini, Muzakarah menegaskan bahawa ia hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan berasaskan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan setelah pengesahan atau pensabitan kematian diputuskan oleh mahkamah.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pada 8 Mac tahun lalu dalam perjalanannya ke Beijing, China.
Beberapa bulan kemudian, pada 17 Julai, negara dikejutkan lagi dengan berita tragis penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal pula terhempas di timur Ukraine semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, selepas ditembak jatuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sedekahkan Al-Fatihah buat penumpang MH370 dan MH17 yang beragama Islam. Semoga roh para arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan soleh.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bersabar-reda-dengan-ketentuan-nya-1.54195#sthash.fwfNnGa6.dpuf

Keluarga Muzi reda pengisytiharan kerajaan
30 Januari 2015 1:51 AM
KUALA LANGAT 29 Jan. – Ibu kepada salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, Muzi Yusof reda dengan pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan anaknya bersama-sama 238 orang lagi penumpang pesawat itu dianggap telah kehilangan nyawa mereka.
Saimah Sidek, 70, ketika ditemui di kediamannya di Jenjarom di sini, berkata, sebagai umat Islam beliau menerima perkara itu sebagai kententuan Allah SWT meskipun perasaan kecewanya wujud.
Namun, beliau sedar bahawa pelbagai pihak khususnya pihak berkuasa telah melakukan usaha yang terbaik bagi mencari pesawat tersebut di Lautan Hindi dengan kerjasama pelbagai negara.
“Perasaan sedih, kecewa itu memanglah ada lebih-lebih lagi apabila mendengar pengumuman tersebut hari ini. Bagaimanapun, saya reda dengan pengumuman itu.
“Namun, saya masih mengharapkan usaha mencari pesawat itu diteruskan supaya segala persoalan kehilanganya terjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika menerima kunjungan kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Langat yang diketuai Datuk Sulaiman Karli.
Tambah Saimah, beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya itu yang berusia 50 tahun ketika insiden kehilangan tersebut dilaporkan berlaku hampir setahun lalu.
Sementara itu, Sulaiman ketika ditemui di sini berkata, pengumuman oleh pihak kerajaan hanya untuk memudahkan urusan waris kesemua penumpang MH370 dan berharap usaha mencari diteruskan sehingga bukti kehilangan pesawat ditemui.
“Saya sentiasa memantau perjalanan pencarian MH370, seperti orang lain saya juga ingin tahu ke mana pesawat sebesar itu hilang. Apa pun sebagai umat Islam kita reda dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan Allah SWT,” katanya.

Ahli keluarga kecewa tidak dimaklum sidang akhbar MH370

THOMAS CHONG 
DAN SAIFULIZAM MOHAMAD | 30 Januari 2015 1:50 AM
POLIS menghalang anggota keluarga mangsa tragedi pesawat MH370 yang terlalu sedih menyerbu Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing, China, semalam berikutan pengumuman Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengenai kesemua penumpang pesawat itu terkorban. – REUTERS
PUTRAJAYA 29 Jan. – Ahli-ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 kecewa kerana tidak dimaklumkan tentang sidang akhbar oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerba­ngan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengenai status terkini kehilangan pesawat tersebut.
Sidang akhbar yang pada awalnya dijadual diadakan di ibu pejabat DCA di sini hari ini turut ditunda dan ditukar tempat selepas pihak pe­nganjur dikejutkan dengan keha­diran beberapa orang ahli keluarga.
Isteri kepada pramugara MH370, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan, iaitu Intan Maizura Othman hadir bersama anak bongsunya, Muhammad yang berusia lapan bulan.
Seorang ahli keluarga dari China yang mahu dikenali sebagai Kelly pula menunjukkan kertas yang meminta supaya suaminya yang menaiki pesawat MH370 dipulangkan.
Walaupun terdapat ahli keluarga yang kelihatan menitiskan air mata ketika dikerumuni pemberita, namun semua kelihatan tenang.
Jacquita Gonzales, isteri kepada pramugara, Patrick Gomes berkata, ahli keluarga berasa kecewa kerana hanya menerima maklumat mengenai sidang akhbar itu melalui pemberita pada petang ini.
“Kami langsung tidak dimaklumkan mengenai sidang akhbar ini dan adalah amat sukar untuk menggambarkan perasaan saya pada masa ini.
“Emosi saya seperti roller-coaster yang turun dan naik secara mendadak kerana gagal mendapat maklumat mengenai orang kesayangan,” katanya.
Seorang ahli keluarga, Lim Wee Hoon pula berkata, dia menghadiri sidang akhbar DCA walaupun tidak dijemput kerana ingin mendapat maklumat terkini mengenai iparnya yang masih hilang sejak 8 Mac lalu.
“Saya tertinggal siaran langsung mengenai satu pengumuman pen­ting pada tahun lalu dan saya tidak mahu ketinggalan apa-apa maklumat penting mengenai ahli keluarga saya yang menaiki pesawat MH370.
“Apa yang mengecewakan ialah pihak Malaysia Airlines (MAS) ketika dihubungi gagal mengesahkan sidang akhbar hari ini, kami hanya mendapat maklumat melalui petugas media,” katanya.
Sepupu kepada Mohd. Razahan Zamani yang menaiki pesawat MH370, Mohammad Sharil Shaari pula berkata, ibu Mohd. Razahan masih tidak dapat menerima kehilangan anaknya sejak 8 Mac lalu.
“Ibunya akan berasa marah jika ada sesiapa yang meminta supaya dia reda dengan apa yang berlaku,” katanya.