Utamakan sekolah satu aliran

Murid dapat mengenali satu sama lain
FADZIL ZAINOL | 22 September 2015 1:39 AM
Abdul Wahid Umar
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.
Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.
“Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi tahun lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke sekolah kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum) lain.
“Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi malangnya tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga murid daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum Cina. Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,” katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini hari ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada sesi perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.
Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil pelaburan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk dilaburkan di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan kembali pelaburan domestik.
Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan ke luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion.
“Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang tidak begitu besar,” katanya.
Advertisements

Hubungan kaum, agama semakin rapuh

Tuanku Abdul Halim zahir kebimbangan lihat situasi masa kini
JAMLIAH ABDULLAH | 19 Januari 2015 2:23 AM
Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah (dua dari kiri) berkenan memeriksa perbarisan kehormat pada Istiadat Perbarisan Kehormat Sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Dataran Balai Besar, Alor Setar, semalam . – BERNAMA
ALOR SETAR 18 Jan. – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini menzahirkan kebimbangan mengenai hubungan antara kaum dan agama dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin rapuh.
Titah baginda, sikap toleransi dan hormat-menghormati antara kaum dan agama yang dipelopori sejak merdeka hingga kini seolah-olah tidak diutamakan.
‘‘Dengan izin Allah SWT, beta telah bersemayam di takhta selama 57 tahun. Walaupun pelbagai peristiwa beta saksi sepanjang pemerintahan, beta tidak pernah berasa begini bimbang dengan hubungan antara kaum dan agama yang semakin rapuh.
‘‘Kebebasan dan hak bersuara tanpa batasan akan mengundang reaksi balas daripada pihak yang tersinggung. Malah, Perlembagaan Persekutuan secara jelas digubal untuk mengelak daripada tercetusnya konflik dalam kalangan rakyat.
‘‘Jika rakyat cintakan keamanan dan kedamaian seperti beta, maka gunakanlah kebebasan dan hak bersama ini dengan berhemah,’’ titah Tuanku Abdul Halim dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-87 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Teks baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Temenggong Datuk Seri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
Justeru, Tuanku Abdul Halim bertitah menggesa rakyat tidak mengambil tindakan provokasi yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen perkauman.
‘‘Keadaan negara yang aman dan selamat merupakan prasyarat utama bagi meningkatkan aktiviti ekonomi dan menarik masuk pelaburan. Apa yang berlaku di beberapa negara lain boleh dijadikan contoh dan teladan,’’ titah baginda.
Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan kebimbangan dengan pembabitan rakyat negara ini dalam kegiatan dan fahaman ekstremisme sehingga sanggup menjadi pengganas berani mati di negara asing.
‘‘Ibu bapa disaran mengawasi anak-anak supaya menghindari mereka daripada terjebak dengan fahaman yang sebenarnya menyimpang daripada ajaran agama sebenar.
‘‘Beta berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam akan dapat meneruskan usaha pemantapan fahaman ajaran Islam dalam kalangan rakyat, sekali gus menghindarkan umat Islam daripada tercicir pegangan dan amalan yang sebenar,’’ titah baginda.
Baginda menyeru semua rakyat memastikan projek pembangunan serta kegiatan sosioekonomi yang dirancang tidak menjejaskan alam sekitar, sekali gus menyebabkan bencana alam.
Titah baginda, semua pihak perlu bertanggungjawab memelihara alam sekitar dengan berkesan demi mengelakkan bencana alam seperti banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
“Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal,” titah Tuanku Abdul Halim.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim turut menzahirkan keinginan untuk melihat cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Sungai Petani oleh kerajaan negeri menjadi kenyataan.
‘‘Adalah diharapkan Kerajaan Persekutuan akan segera meluluskan cadangan kerajaan beta untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
‘‘Beta yakin pembinaan projek tersebut dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi bagi negeri-negeri di wilayah utara,’’ titah baginda.

Gabungan NGO Melayu serah memorandum perpaduan

16 Januari 2015 1:36 AM
MUHYIDDIN YASSIN menerima Memorandum Perpaduan Nasional yang diserahkan oleh Azih Muda (dua dari kanan) sambil disaksikan Abdul Hamid Mohamad (tiga dari kanan) di Sri Satria, Putrajaya, semalam. – BERNAMA
PUTRAJAYA 15 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima Memorandum Perpaduan Nasional daripada Gabungan NGO Melayu yang dianggotai 320 badan bukan kerajaan (NGO).
Memorandum itu yang bertemakan Perpaduan Rakyat Malaysia Teras Keamanan dan Kemakmuran Negara diserahkan oleh Pengerusi Konvensyen Perpaduan Nasional, Datuk Azih Muda sambil disaksikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Dalam majlis yang berlangsung di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria itu, seramai 12 wakil pemimpin NGO Melayu turut hadir antaranya Pre­siden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Zaini Hassan dan Datuk Ruhanie Ahmad.
Memorandum tersebut me­ngandungi 54 usul membabitkan 19 usul berkaitan politik, Perlembagaan negara dan undang-undang; 20 usul melibatkan sosio- ekonomi dan tujuh usul berkaitan hal ehwal agama Islam itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 November lalu.
Azih berkata, konvensyen yang berlangsung di Kuala Lumpur pada November lalu telah meluluskan Memorandum Perpaduan Nasional sebagai usul dan pandangan kepada Perdana Menteri dan kerajaan bagi dipertimbangkan secara serius dalam kerangka kerajaan menggubal Dasar Perpaduan Nasional.
Sementara itu, Abdul Hamid melahirkan rasa kesal apabila penglibatannya dalam konvensyen tersebut sebagai pakar rujuk dan penasihat telah mendapat kritikan daripada pihak-pihak tertentu sedangkan beliau bukan ahli mana-mana NGO.
“Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pernah menyer­tai politik dan bertanding menentang Shahrizat (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam pilihan raya umum) selain pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Ne­geri Terengganu selepas memang dalam pilihan raya.
“Ketika itu tidak ada siapa pun persoalkan, tetapi kenapa saya yang hanya dijadikan sebagai tempat rujukan dan memberikan pandangan dituduh rasis,” katanya.

Konvensyen lulus Memorandum Perpaduan Nasional

24 November 2014 2:50 AM
Ibrahim Ali (dua dari kanan) menyerahkan Laporan Memorandum dan Usul Konvensyen Perpaduan Nasional kepada bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin pada Konvensyen Perpaduan Nasional di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 23 Nov. – Konvensyen Perpaduan Nasional hari ini meluluskan Memorandum Perpa­duan Nasional yang berlandaskan pada status quo hak-hak pribumi, Melayu dan Islam serta bukan pribumi.
Memorandum itu diluluskan selepas dibahaskan oleh 24 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh dan ahli akademik dalam konvensyen anjuran Gabungan NGO Melayu dan Islam Penggerak Perpaduan Nasional di Pusat Islam di sini.
Ia diluluskan secara sebulat suara oleh peserta perhimpunan selepas diusulkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional, Datuk Ibrahim Ali.
Perhimpunan pertama kali disertai kira-kira 350 NGO tersebut merupakan platform terbaharu kepada mereka untuk membincangkan masalah dihadapi masyarakat masa kini, khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Ibrahim berkata, memorandum berkenaan merupakan suara hati nurani NGO pribumi, Melayu dan Islam yang mengandungi 54 usul.
Beliau berkata, sejumlah 19 usul dihasilkan daripada penghujahan tentang politik, Perlembagaan, undang-undang dan keselamatan negara manakala 20 usul pula melibatkan isu-isu ekonomi.
“Sebanyak lapan usul daripada suara hati kita adalah tentang pendidikan dan bakinya perbincangan dari sudut agama,’’ katanya ketika membentangkan laporan memorandum dan usul berkenaan dalam konvensyen tersebut.
Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, keseluruhan usul itu berlatarbelakangkan suasana di negara ini sejak Pilihan Raya Umum 2008, melibatkan lapan perkara iaitu:
Keunggulan Perlembagaan Per­sekutuan yang kini dipertikaikan oleh sesetengah pihak.
Keluhuran undang-undang negara terutama untuk menjamin ketenteraman awam dan keselamatan seperti Akta Hasutan yang cuba dimansuhkan.
Kesucian Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang kebelakangan ini dijadikan bahan polemik dan cuba diperkecilkan oleh sesetengah pihak.
Kedaulatan institusi Raja-raja Melayu.
Keselamatan politik Barisan Nasional (BN) berteraskan UMNO yang sedang terhakis dan terancam.
Status pribumi, Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keselamatan ekonomi pribumi yang terumbang-ambing.
Isu-isu pendidikan yang dipersepsikan sebagai mengancam kesejahteraan pribumi dalam bidang itu.
Menurutnya, senario dan isu-isu tersebut perlu ditangani secara tegas oleh kerajaan kerana perpaduan nasional akan terjejas, sentimen perkauman boleh memuncak serta kesejahteraan rakyat boleh terancam jika dibiarkan berlarutan.
Beliau berkata, memorandum itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, raja-raja Melayu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri.
“Penyerahan kepada Najib akan cuba dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula Selasa ini,” katanya.
Katanya, penyerahan memorandum bertajuk ‘Perpaduan Rakyat Teras Keamanan dan Kemakmuran Negara’ itu bertujuan membantu kerajaan dengan menjadikannya sebagai panduan untuk menangani isu-isu yang timbul.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/konvensyen-lulus-memorandum-perpaduan-nasional-1.28544#sthash.xFT0fEp5.dpuf


Bahasa kebangsaan belum berjaya

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
MUHYIDDIN Yassin menyampaikan hadiah penulisan Karya Ilmiah 2014 kepada Prof. Mat Rofa Ismail dalam pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam. Turut hadir Dr. Rais Yatim (kiri), Dr. Md. Salleh Yaapar (tiga, kanan) dan Dr. Awang Sariyan. – BERNAMA
PUTRAJAYA 14 Okt. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan masih belum benarbenar berjaya.
Sehubungan itu beliau mahu pembabitan semua warganegara dalam menjayakan Dasar Bahasa Kebangsaan ditingkatkan apatah lagi nilai bahasa kebangsaan begitu berbezabeza pada golongan tertentu.
“Saya menyeru semua warganegara tanpa mengira asal keturunan di negara ini agar memberikan nilai yang tinggi kepada bahasa kebangsaan dan bersamasama bergerak memajukan bahasa dan persuratan kebangsaan.
“Sinergi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pelbagai persatuan dan institusi pelbagai keturunan yang sedikit sebanyak menunjukkan kesan positif perlu juga ditingkatkan supaya bahasa kebangsaan kita benarbenar menjadi milik sepunya seluruh warganegara,” katanya.
Beliau berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan.
Dalam majlis tersebut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menyerahkan watikah pelantikan sebagai anggota kerja Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan antara penerimanya ialah Awang (DBP); Prof. Dr. Dustin Carrell Cowell (University of WisconsinMadison, Amerika Syarikat); Dr. K. Alexander Adelaar (University of Melbourne, Australia); Prof. Wu Zong Yu (Beijing Foreign Studies University, China) dan Dr. Victor A. Pogadaev (Universiti Negara Moscow, Rusia).
Muhyiddin berkata, begitu juga peranan media cetak dan media ekektronik yang seharusnya diberikan perhatian khusus dalam konteks memartabatkan bahasa kebangsaan berdasarkan pengaruhnya kepada masyarakat.
“Sebagai pihak yang amat berpengaruh kepada masyarakat peranan media massa cukup penting dalam menyemaikan mesej yang berkesan melalui bahasa yang difahami oleh golongan terbanyak.
“Media massa turut berperanan dalam memupuk budaya berbahasa santun, selaras dengan adab dan budi bahasa kita sebagai warganegara yang menjunjung kesopanan dan kesusilaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan Muhyiddin berkata, cabaran media baharu yang sebahagiannya cenderung untuk bebas daripada norma adab, akhlak dan juga bentuk bahasa tidak terkawal boleh menjejaskan usaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu serta pemikiran jika perkara tersebut dibiarkan.
“Bahasa kebangsaan tidak wajar dikorbankan dengan menjadi bahasa pasar atau bahasa perhubungan harian sematamata walaupun kita akui keperluan penggunaan bahasa untuk perhubungan biasa dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya lagi.
Pada peringkat institut pengajian tinggi (IPT) pula Muhyiddin berkata, sejak Pelan Memperkasakan Bahasa Kebangsaan di IPT dilancarkan tiga tahun lalu sebanyak enam institut pengajian tinggi awam (IPTA) telah diaudit di peringkat awal.
“Selepas ini semua IPTA akan diaudit bagi memastikan semua IPTA memperkasakan bahasa kebangsaan sebagaimana digariskan di dalam pelan berkenaan.
“Antaranya penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengantar kuliah selain penegasan penghasilan karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan sebagai salah satu asas pengiktirafan untuk kemajuan kerjaya tenaga akademik,” katanya lagi.
Ujarnya, program itu akan diperluaskan kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan IPTS tidak mengesampingkan bahasa kebangsaan dalam proses pembelajaran dan pengajarannya.
“Penggubalan dasar dan pelan memperkasakan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 20132025 juga antara langkah meningkatkan tahap serta mutu bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar (sekolah),” ujar beliau.
Muhyiddin turut menyentuh peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memperkasakan bahasa kebangsaan antaranya berkaitan dengan kelulusan memaparkan iklan di tempat awam.
Hakikatnya ujar beliau, citra bahasa di tempat awam masih memerlukan kesungguhan PBT dalam menguatkuasakan Undangundang Kecil Pengiklanan yang menggariskan keutamaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama perniagaan, nama tempat, nama bangunan dan paparan lain.
“Peningkatan nama yang tidak bercitra kebangsaan bagi taman perumahan, kawasan dan gedung perniagaan atau institusi misalnya agak membimbangkan dalam konteks pembinaan citra kebangsaan.
“Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan kali ke67 pada 4 Mac lalu yang dipengerusikan oleh saya sendiri memutuskan bahawa paparan di tempat awam sama ada pihak swasta atau agensi kerajaan hendaklah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada DBP dalam aspek bahasanya,” katanya.
Oleh itu beliau berharap semua PBT mensyaratkan pengiklan dan pihak yang memohon untuk memaparkan sesuatu di tempat awam mematuhi peraturan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141015/dn_05/Bahasa-kebangsaan-belum-berjaya#ixzz3GAsj9pth  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Perpaduan kaum bermula di sekolah

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my
ROMPIN 6 Sept. – Agenda menyemarakkan perpaduan kaum di negara ini seharusnya bermula di peringkat sekolah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, untuk itu cadangan beliau supaya diperbanyakkan sekolah kebangsaan (SK) dengan menyeragamkan sukatan mata pelajaran harus dilihat dalam sudut yang positif.
“Dalam masa sama, hentikan penambahan sekolah jenis kebangsaan Cina (SKJC) yang jelas berbeza sukatan mata pelajarannya sehinggakan ada pelajar yang tidak fasih berbahasa kebangsaan.
“Saya bukan suruh tutup, sebaliknya kekalkan yang sedia ada kerana kita perlu memperkasakan SK,” kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNOKERBahagian Rompin di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kampus Muadzam Shah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rompin, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Mohd. Johari Hussain; Ketua Wanita UMNO bahagian, Datin Samsiah Arshad dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Azlina Azma Mohd. Azmi.
Menurut Razali, jika pembinaan SKJC masih diteruskan beliau bimbang masyarakat akan keliru kerana usaha memupuk perpaduan kaum tidak bermula dari awal iaitu di peringkat sekolah.
“Senario inilah yang berlaku hari ini contohnya dalam bidang sukan, orang Melayu hanya bermain takraw dan orang Cina menguasai permainan bola keranjang,” jelasnya.
Sementara itu katanya, persidangan perwakilan UMNO yang dianjurkan setiap tahun merupakan satu proses yang mustahak bagi membincangkan agenda rakyat dan bukan sekadar perjumpaan biasa.
“Persidangan ini sebagai medan untuk setiap perwakilan melontarkan pandangan dan membincangkan pelbagai isu terutama berkaitan perpaduan kaum, pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Persidangan perwakilan UMNO di setiap bahagian merupakan satu proses yang sangat mustahak kerana berlandaskan matlamat asal UMNO iaitu membela nasib rakyat,” katanya.
Menurutnya, UMNO bukan lahir disebabkan individu atau ketua, sebaliknya lahir daripada perjuangan orang Melayu terdahulu dan walaupun bertukar pemimpin, UMNO tetap meneruskan agenda perjuangan yang sama tanpa sedikit pun berganjak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140907/po_08/Perpaduan-kaum-bermula-di-sekolah#ixzz3ChBkGIz8  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Najib garis tiga Amanat Merdeka

PERDANA Menteri melaungkan ‘Merdeka’ ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 di Matic, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 30 Ogos – Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera untuk generasi akan datang adalah antara tiga Amanat Merdeka yang digariskan Datuk Seri Najib Tun Razak demi kesinambungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa.
Perdana Menteri menggariskan:
* Amanat Merdeka Pertama: Mengukuhkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan.
* Amanat Merdeka Kedua: Memupuk keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan.
* Amanat Merdeka Ketiga: Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera.
Berucap menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-57 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini, beliau berkata, mengukuhkan solidariti rakyat ketika kebersatuan dalam kesedihan, sebagai contoh, dalam istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 adalah Istiadat Penghormatan Tertinggi Negara yang tiada pernah diberi kepada orang awam.
Ini merupakan julung kalinya Najib menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu seperti amalan biasa.
Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini.
Najib dalam amanat merdeka pertamanya itu menjelaskan rakyat bertafakur serentak selama satu minit di seluruh negara sebagai solidariti dan semangat kebersatuan demi membina satu Negara, 1Malaysia.
“Pokoknya, saudara dan saudari, kita telah tunjukkan kebersatuan itu sewaktu Hari Berkabung di seluruh negara tempoh hari, dan kita akan teruskan semangat kebersamaan di kala senang mahupun tatkala dalam kesusahan, selamanya,” katanya.
Dalam menghuraikan amanat merdeka keduanya mengenai memupuk keyakinan rakyat itu, beliau berkata masa depan yang cerah akan menjadi milik semua jika rakyat mempunyai ikhtiar-ikhtiar yang mantap dan hidup saling ganding-bergandingan, demi sebuah hasrat yang murni itu.
Najib berkata, pentadbirannya akan terus membuat keputusan demi keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia berlandaskan keperluan, tuntutan dan kemampuan kerajaan.
Menyentuh mengenai amanat merdeka ketiga iaitu mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera, beliau berkata: “Walau apa dugaan melanda, walau apa ujian melintang, kita akan terus mara dan melangkah ke depan, membina sebuah Malaysia yang permai bagi masa depan anak-anak cucu kita”.
Najib seterusnya mengajak rakyat sama-sama berusaha gigih menggapai kejayaan demi generasi akan datang.
Pemilihan Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai lokasi penyampaian perutusan itu kerana ia mempunyai sejarah tersendiri termasuk ia tempat sidang pertama Parlimen pada 1959 dan tempat berlangsungnya tiga istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Najib turut menyentuh mengenai usaha pembangkang yang cuba memecahbelahkan rakyat dalam masa pentadbirannya mempunyai tanggungjawab cukup besar demi mendahulukan kepentingan rakyat.
“Makanya, sekali apapun yang cuba digoyahkan oleh pihak pembangkang, seandai apapun yang mereka ingin mengadudombakan, tidak kira tohmahan apa yang dilemparkan, agenda memperkasakan pembelaan rakyat akan tetap dipertahankan,” katanya.
Beliau juga menegur sesetengah pihak yang mempertikaikan pengiktirafan kerajaan kepada para perajurit dan anggota keselamatan.
“Apa yang ingin pihak kerajaan jelaskan, usahlah diperbanding-bandingkan, tentang penghormatan tertentu yang diberikan kepada mangsa tragedi MH17 bahawa kononnya kenapakah istiadat tertinggi sedemikian tidak diwajarkan juga kepada para perajurit dan anggota keselamatan dalam peristiwa Lahad Datu,” katanya.
Najib berkata, hasutan itu adalah memesongkan dengan niat yang tidak baik.
“Jelasnya, sekali lagi saya menegaskan bahawa jasa para wira negara ini akan sentiasa disanjung tinggi dan mendapat tempat utama dalam kenangan bakti yang telah dicurahkan,” katanya. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140831/dn_01/Najib-garis-tiga-Amanat-Merdeka#ixzz3C7rhnkCE  © Utusan Melayu (M) Bhd