F1 : Hamilton hampiri kejuaraan dunia ketiga

12 Oktober 2015 12:19 AM
PEMANDU Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton meraikan kejayaannya memenangi Grand Prix Rusia di atas pentas selepas menerima trofi di Litar Sochi Autodrom, Sochi semalam. AFP
SOCHI, Rusia – Lewis Hamilton melakar kemenangan dramatik dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Rusia semalam bagi mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketiga selepas rakan sepasukannya dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg berdepan masalah pendikit.
Penyandang juara dunia itu menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam, 37 minit dan 11.024 saat untuk muncul juara di sini, sementara pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di tempat kedua (1’37:16.977s), manakala pelumba Force India, Sergio Perez di tempat ketiga (1’37:39.942s).
Kejayaan Vettel menamatkan saingan di kedudukan kedua membuka laluan kepadanya untuk memintas Rosberg sebagai pencabar terdekat Hamilton setelah dipisahkan 66 mata di belakang pemandu Britain itu dengan empat perlumbaan masih berbaki dan 100 mata maksimum menjadi rebutan.
Jika keputusan seiring dengan apa yang disasarkan Hamilton, maka pelumba itu berpeluang besar untuk memastikan kejuaraan dunia menjadi miliknya di Austin, Texas, Amerika Syarikat dalam tempoh dua minggu lagi.
Hamilton, yang turut menjuarai persaingan dalam penganjuran sulung GP Rusia pada tahun lalu, turut berjaya mengatasi rekod yang pernah dicipta juara dunia tiga kali, Ayrton Senna, setelah dia mengumpul 302 mata, sementara Vettel mengutip 236 mata dan Rosberg meraih 229 mata.
“Kami seperti akan terus bersaing dan saya berasakan ini sesuatu yang hebat. Apa yang pasti kami bakal mempamerkan aksi yang menarik,” kata Hamilton, selepas menerima trofi kemenangannya daripada Pre­siden Rusia, Vladimir Putin.
Mengulas mengenai kegagalan Rosberg menamatkan perlumbaan, Hamilton yang melakar kemena­ngan kesembilannya musim ini dan yang ke-42 dalam kariernya berkata, rakan sepasukannya itu telah me­lakukan kesilapan pada selekoh pertama sehingga menyebabkan jenteranya terbabas.
“Kesilapan itu membolehkan saya memintasnya, dan selepas itu dia telah berdepan beberapa masalah. Malang sekali untuk pasukan kami. Saya sendiri tidak tahu berapa banyak lagi peluang untuk saya berada di kedudukan sebegini sekali lagi,” tambah penyandang juara dunia itu.
Sementara itu, pemandu Williams, Felipe Massa melengkapkan perlumbaan 53 pusingan itu di kedudukan keempat dalam aksi yang memaksa dua kereta keselamatan masuk ke litar selepas pelumba Finland, Valtteri Bottas dan Kimi Raikkonen berlanggar ketika bersaing merebut keputusan podium terakhir.
Bagaimanapun, Raikkonen dari Ferrari sekadar berpuas hati di tangga kelima, yang mana keputusan itu menghalang Mercedes dinobatkan sebagai juara pengeluar lebih awal buat tahun kedua berturut-turut.
Namun, perbuatan nekad Raikkonen itu mengundang padah kepadanya, setelah dia berdepan siasatan steward perlumbaan kerana terbabit dalam pelanggaran. – REUTERS

F1 : Hamilton garang di tempat sendiri

06 Julai 2015 12:36 AM
Lewis Hamilton
SILVERSTONE – Pendahulu kejua­raan dunia, Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix Britain buat kali ketiga semalam selepas bangkit mengatasi dua pelumba Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas pada awal perlumbaan dalam cuaca hujan.
Rakan sepasukannya, Nico Rosberg memastikan kejayaan satu-dua buat pasukan Mercedes AMG Pe­tronas, sementara pelumba Ferrari, Sebastian Vettel berada di tempat ketiga, sekali gus menyaksikan Hamilton semakin melebarkan jurang kepada 17 mata ke atas Rosberg.
Walaupun bermula di petak paling hadapan, juara dunia itu dan rakan sepasukan, Rosberg, ketinggalan sebaik saja perlumbaan bermula apabila dipintas Massa yang berada di petak ketiga bersama Bottas.
Namun, Hamilton berjaya me­ngatasi kedua-dua perlumbaan tersebut sebaik melakukan hentian pit pertama dengan berada di hadapan dengan kelebihan enam saat.
Sementara itu, Bottas yang cuba mempertahankan kelebihan di tempat ketiga di hadapan Rosberg akhirnya terpaksa akur apabila hujan yang pada pusingan ke-36 menukar rentak perlumbaan.
Rosberg berjaya memecut untuk memintas kedua-dua pemandu Williams bagi berada di tempat kedua dan muncul pendahulu buat seketika sebaik saja memasuki hentian pit kedua pada pusingan yang ke-43.
Namun, tindakan Hamilton menukar tayar jenis pertengahan dengan hujan kembali reda memaksa Rosberg menukar strategi dan situasi itu memberi kelebihan kepada pelumba Britain itu.
“Buat pertama kali dalam karier, saya melakukan keputusan paling tepat mengenai pemilihan tayar dan saya fikir pada mulanya telah kehilangan suhu pada tayar depan.
“Memang sesuatu yang agak mencabar bagi mana-mana pelumba apabila mendahului tetapi buat pertama kali, keputusan yang saya lakukan paling sempurna ke­rana saya dapat lihat hujan turun tidak menentu, ” kata Hamilton.
Vettel yang bermula perlahan dengan meraih tempat kesembilan di peringkat awal perlumbaan membuktikan pengalaman ba­nyak membantu untuk berada di tangga ketiga. – AGENSI

F1 : Grand Prix Azerbaijan diperkenalkan tahun depan

21 April 2015 1:21 AM
BERNIE ECCLESTONE (kiri) berbincang dengan delegasi media FIA ketika melawat pusat media di Litar Antarabangsa Bahrain di Manama, kelmarin. REUTERS
SAKHIR Ketua Komersial Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone berkata, Azerbaijan akan me­nganjurkan perlumbaan pertamanya musim depan, meskipun wujud kebimbangan terhadap rekod hak asasi manusia di negara tersebut.
Dikenali sebagai Grand Prix Eropah Baku, perlumbaan sulung F1 itu bakal diadakan di litar jalan raya di ibu negara Azerbaijan, Baku.
Laporan Human Rights Watch tahun ini berkata, terdapat kemerosotan dalam rekod bekas negeri Republik Soviet itu yang mana lebih daripada 30 orang pembela hak asasi manusia, termasuk aktivis politik dan wartawan telah ditangkap ataupun dipenjarakan.
Sewaktu bercakap menjelang Grand Prix Bahrain yang pernah dibatalkan penganjurannya pada 2011 selepas keganasan yang berlaku ekoran tuntutan perubahan politik di negara itu, Ecclestone berkata, dia tidak berasakan sebarang masalah akan timbul.
“Perlumbaan dijangka berlangsung dengan lancar,” katanya.
Pada awal minggu ini, laman web rasmi F1 telah menyiarkan notis undang-undang yang menyatakan bahawa, Kumpulan Formula Satu komited bagi menghormati hak-hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
Human Rights Watch melapor­kan, kerajaan Azerbaijan me­ning­katkan penindasan terhadap pengkritiknya yang mana ia telah mencatat kemerosotan ketara bagi hak asasi rakyat di negara itu.
Ketika ditanya sama ada situa­si hak asasi di Azerbaijan telah dipantau sebelum menyerahkan hak penganjuran, Ecclestone berkata, dia berasakan semua pihak berasa gembira dengan keputusan itu dan tiada masalah besar dijangka akan berlaku.
Ecclestone turut diajukan pertanyaan tentang kebimbangan ke­­merosotan perlumbaan F1 di Eropah. – AP

F1 : Hamilton calon hangat juara dunia

21 April 2015 1:36 AM
LEWIS HAMILTON meraikan kejayaan muncul juara Grand Prix Bahrain di Sakhir kelmarin,iaitu kejuaraan ketiganya musim ini. Reuters
SAKHIR – Lewis Hamilton kini memburu gelaran Formula Satu (F1) dunia ketiga selepas meneruskan momentum dengan menjuarai Grand Prix Bahrain, kelmarin, iaitu kejuaraan ketiga­nya daripada empat perlumbaan musim ini.
Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu yang memenangi perlumbaan dari petak utama mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu dalam carta pemandu dunia dengan me­ngumpul 93 mata.
Dia kini menjarakkan kedudukan kepada 27 mata di depan rakan sepasukan, Nico Rosberg yang semakin tertekan kerana sudah mula dikejar pemandu Ferrari.
Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari berada di tangga ketiga dengan 65 mata, manakala seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen berada di kedudukan keempat menerusi 42 mata.
“Tidak kira dengan siapa pun anda lawan, anda perlu mencuba dan menewaskan setiap pencabar yang berada di luar sana.
“Memang menarik dapat bersaing dengan Ferrari,” kata Hamilton yang menegaskan, persaingan musim ini berbeza dengan tahun lalu, di mana dia lebih banyak bersaing dengan Rosberg.
Pemandu Britain itu memulakan aksi dari petak depan buat kali pertama dalam perlumbaan di padang pasir.
Beraksi pada sebelah malam di bawah lampu limpah tidak menjejaskan Hamilton, 30, selepas dia memandu dengan tenang untuk mengetepikan Raikkonen dan Rosberg, yang menduduki tangga kedua serta ketiga.
Masalah brek yang dialami Rosberg ketika saingan berbaki dua pusi­ngan telah membuka laluan kepada Raikkonen untuk menaiki podium buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
“Ferrari telah memberikan kami saingan yang cukup baik dan kami perlu terus berusaha sebagai sebuah pasukan.
“Jadi, kami tidak 100 peratus gembira dalam perlumbaan ini kerana kami mahukan kemenangan 1-2,” kata Ha­milton lagi.
Sementara itu, Rosberg masih belum mencatat sebarang kemenangan mahu pun menempah petak utama setakat ini. Dia hanya memenangi satu perlumbaan dalam 15 saingan terakhir.
“Hamilton telah memacu jenteranya dengan laju hari ini, memang mustahil untuk mengejarnya,” kata Rosberg.
Vettel yang pada mulanya tampak berkedudukan baik untuk menaiki podium, bagaimanapun gagal mengekalkan momentum ekoran penukaran sayap depan jentera yang mengambil masa agak lama, sekali gus sekadar di tangga kelima di belakang Valtteri Bottas dari Williams. – AP

F1 : Hamilton menang di China, Rosberg berang

13 April 2015 12:45 AM
SHANGHAI – Lewis Hamilton membuktikan kehebatannya apabila menjuarai Grand Prix China, tetapi kemenangannya itu dicemari de­ngan kemarahan rakan sepasukan dalam Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg apabila persengke­taan lama kedua-dua pemandu itu meletus kembali semalam.
Lewis Hamilton menjulang trofi kejuaraan selepas memenangi Grand Prix China di Shanghai semalam. AFP
Dalam perlumbaan yang ber­akhir dengan kereta keselamatan memimpin saingan, pemandu Bri­tain tersebut melakar kemenangan kedua daripada tiga Grand Prix yang telah berlangsung tahun ini, sementara Rosberg di kedudukan kedua dan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel di anak tangga ketiga.
Rosberg, yang menghamburkan kemarahan terhadap mekaniknya setelah tewas tipis semasa sesi kelayakan untuk merebut petak utama, pada satu ketika meminta Hamilton agar meningkatkan kelajuan jenteranya, setelah Vettel semakin menghampiri belakang pelumba Jerman itu.
“Saya tidak mengawal perlumbaannya, saya hanya menguasai perlumbaan saya sendiri. Saya langsung tidak diancam oleh Nico sepanjang saingan,” kata Hamilton ketika ditanya tentang arahan pa­sukannya agar meningkatkan kelajuan jenteranya.
Rosberg yang benar-benar marah membalas kembali kenyataan tersebut dan berkata: “Memang menarik dapat mendengar alasan daripada anda, Lewis yang menunjukkan anda sememangnya mementingkan diri sendiri.
“Memandu lebih perlahan daripada sepatutnya pada awal saingan telah membuka laluan kepada Sebastian untuk memintas saya. Keadaan itu benar-benar meletakkan diri saya dalam bahaya.”
Hamilton melebarkan rekod kemenangannya di China kepada empat kejuaraan, tetapi kejayaannya itu telah dibayangi pertelingkahan terbaharunya dengan Rosberg.
Vettel, yang mengejutkan Mercedes apabila memenangi saing­an di Malaysia dua minggu lalu, telah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, dengan pemandu kedua Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keempat.
Hamilton berada hampir lima saat di depan Rosberg sehinggalah pemandu Torro Rosso, Max Verstappen yang berdepan masalah teknikal ketika saingan berbaki dua lagi pusingan untuk tamat, telah memaksa kereta keselamatan ma­suk ke dalam litar.
“Kereta keselamatan masuk di hujung perlumbaan benar-benar tidak membantu sesiapapun,” kata Hamilton yang hanya berdepan masalah kokpit jenteranya yang terlalu panas.
Sementara itu, dua pemandu Williams, Felipe Massa dan Valtteri Bottas masing-masing menamatkan saingan di kedudukan kelima serta keenam. – AFP

F1 : Mercedes tekad bangkit di China

09 April 2015 1:00 AM
SHANGHAI – Mercedes AMG Petronas akan berusaha untuk kembali selaku kuasa dominan dalam Formula Satu apabila Grand Prix China berlangsung Ahad ini selepas pasukan itu berasa terpukul dengan kemenangan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel di Malaysia.
LEWIS HAMILTON menjadi pelumba pilihan untuk menang Grand Prix China di Shanghai kerana litar yang bersesuaian dengan kereta Mercedes AMG Petronas selain muncul juara tahun lalu.
Lewis Hamilton menerajui penguasaan satu-dua Mercedes bersama Nico Rosberg dalam perlumbaan pembukaan musim di Melbourne, Australia bulan lalu, dengan pasangan itu menang mudah di Litar Albert Park.
Mereka dijangka mengulangi penguasaan itu di Malaysia tetapi Vettel dan Ferrari menghalangnya untuk kedua-duanya menang satu perlumbaan buat kali pertama sejak 2013, hasil kereta yang tidak begitu ‘mendera’ tayar semasa perlumbaan dalam cuaca panas, selain kebijaksanaan dalam mengatur taktikal.
Mercedes kini sangat sedar yang mereka berdepan persaingan sengit daripada pasukan yang sebelum ini merosot akibat satu demi satu krisis yang melanda mereka semasa kempen 2014, tetapi pasukan dari Jerman itu pastinya lega kerana mereka akan berlumba di gelanggang yang sesuai dengan kereta mereka manakala suhu litar tidak begitu mendera tayar Pirelli yang digunakan.
“Kami meninggalkan Malaysia dengan banyak perkara untuk difikirkan. Keputusan di sana mungkin bagus untuk sukan ini…tetapi untuk kami, itu adalah satu amaran.
“Pencabar kami telah meningkatkan kualiti mereka dan kini kami mesti meningkatkan kualiti kami lebih lagi. Seperti yang kami katakan sejak di Melbourne, kami menjangkakan persaingan sengit sepanjang musim ini untuk merebut kedua-dua kejohanan dunia (pengeluar dan pemandu) dan kami mesti memaksimumkan setiap peluang.
“China ialah peluang seterusnya untuk berbuat begitu…litar yang sangat sesuai untuk pasukan kami,” kata ketua perlumbaan Mercedes, Toto Wolff.
Hamilton menewaskan Rosberg di Shanghai tahun lalu dan walaupun trend semasa menjadikan Mercedes sebagai pilihan di litar sepanjang 5.451 kilometer itu, Ferrari pernah menang pada 2013 dan sangat teringin untuk menghalang pemandu Britain itu daripada mencatatkan kemenangan keempat di China.
Fernando Alonso merupakan seorang lagi pemandu yang mendapat amaran di Malaysia dan sementara pemandu Sepanyol itu terpaksa menarik diri lebih awal dalam perlumbaan sulungnya untuk McLaren selepas tidak berlumba di Melbourne akibat kemalangan pramusim, menyaksikan bekas pasukannya meraih kemenangan semestinya menjengkelkannya.
Williams dan Red Bull juga akan mengharapkan keputusan lebih positif selepas dua perlumbaan pertama mendedahkan ketidak­mampu­an mereka.
Williams pada awalnya dijangkakan akan bersaing dengan Ferrari untuk tempat kedua tetapi kalah teruk kepada Vettel di Australia dan Malaysia, sementara Red Bull telah diganggu oleh masalah dengan Renault yang membina enjin untuk mereka, dan gagal untuk membina sesuatu daripada sesi ujian yang cemerlang di Malaysia. – AFP

F1: Ferrari terlalu pantas buat kami hari ini – Hamilton

AHAD, 29 MAC 2015 @ 8:10 PM
Oleh Khairil S Iswan
SEPANG: Kemenangan Ferrari di Grand Prix Malaysia 2015 menamatkan rentetan tujuh bulan kemenangan Mercedes AMG PETRONAS sejak tahun lalu namun ia masih dianggap positif oleh pelumbanya, Lewis Hamilton.
Begitupun, pelumba kelahiran Britain itu pantas meminta pasukannya mengatasi kelemahan yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang itu yang disifatkannya turut berpunca daripada kesilapan strategi.
“Mereka (Ferrari) terlalu pantas buat kami hari ini,” kata Hamilton yang dilihat beberapa kali mempertikaikan strategi pasukannya menerusi radio dan dapat didengari di bilik media.
“Masih ada ruang yang boleh kami tingkatkan dan kamu tidak boleh memenangi segala-galanya.
“Agak baik untuk melihat pemenang daripada pasukan lain. Saya ketika ini bersedia untuk menghadapi saingan lebih mencabar ketika ini,” katanya.
Sekalipun gagal mencatat kemenangan, Hamilton masih mengungguli carta teratas kedudukan pemandu dengan mengumpul 43 mata, hanya dibezakan dengan kelebihan tiga mata berbanding Vettel di kedudukan kedua.
Pada perlumbaan pembuka musim 2015 Formula Satu (F1) di Australia, dua minggu lalu, Hamilton menjuarai perlumbaan diikuti rakan sepasukannya, Nico Rosberg di kedudukan kedua dengan Vettel melengkapkan kedudukan podium.
Mencatat kemenangan cukup meyakinkan di Melbourne, jurang itu terus mengecil di Malaysia dan kesilapan strategi pantas dibayar dengan harga yang mahal.
Bos Mercedes, Toto Wolf turut mengakui peningkatan ditampilkan Ferrari yang memaksa pasukannya bekerja lebih keras.
PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton menduduki petak pertama dalam perlumbaan Formula Satu (F1), Sepang. -Foto AP