Patung disangka bayi lemas dalam kereta

GAMBAR menunjukkan patung yang disangka bayi di dalam sebuah kereta di Worksop, Britain baru-baru ini.

WORKSOP, Britain – Beberapa anggota polis memecahkan tingkap cermin sebuah kereta kerana menyangka satu patung di dalam kenderaan itu ialah bayi yang ditinggalkan berseorangan oleh keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian itu berlaku apabila seorang pejalan kaki menyangka patung tersebut ialah bayi yang mungkin akan mati kerana ditinggalkan keluarganya berseorangan manakala semua tingkap kereta ditutup.

Pejalan kaki itu kemudian bertindak menghubungi polis.

Beberapa anggota polis kemudian memecahkan tingkap kereta itu bagi menyelamatkan patung tersebut yang disangka bayi baru-baru ini.

Namun, mereka kemudian mendapati bayi itu hanya patung.

Polis terpaksa membayar ganti rugi sebanyak £200 (RM974) ekoran tingkap kereta itu dipecahkan.

Patung itu adalah milik seorang budak perempuan, Chanel Cristofis berusia lima tahun.

Polis memberitahu bapa budak itu supaya tidak lagi meninggalkan patung berkenaan di dalam kereta. – Agensi

Kolesterol tidak mengira saiz badan

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar IZHAM JAAFAR
MAZUIN Kamarulzaman ketika bercakap mengenai paras kolesterol.

APABILA bercerita mengenai kolesterol, biasanya hanya mereka yang berbadan gemuk atau berisi dikatakan akan berdepan dengan masalah ini.

Bagaimanapun tanggapan itu sebenarnya memang salah.

Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah tidak bergantung kepada saiz badan seseorang.

Jadi tidak pelik jika seorang yang kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.

Pakar Diet Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarulzaman berkata, kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.

”Hanya melalui profil lipid yang menerusi ujian darah yang merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), Kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida dapat mendapatkan jumlah sebenar kolesterol dalam tubuh,” katanya.

Katanya, sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.

”Kolesterol pula terbahagi kepada dua iaitu kolesterol jahat yang merujuk kepada LDL dan kolesterol baik pula HDL,” katanya.

Katanya, kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.

Sehubungan itu katanya, seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal.

Mazuin memberitahu, ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok yang merupakan antara pembunuh utama kepada rakyat negara ini.

Jelas Mazuin, lebih baik jika menjaga pemakanan setiap hari supaya tahap kolesterol tidak merbahayakan kesihatan.

“Jauhi makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging, produk tenusu, santan, minyak kelapa sawit, ais krim, coklat dan susu pekat manis kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL),” katanya.

Mazuin menambah, elakkan juga makanan yang mengandungi lemak trans (lemak terhidrogen) yang terkandung dalam makanan komersial tersedia seperti kek, biskut, snek, mentega kacang dan makanan berproses seperti sosej, pai, nugget, burger dan donut yang mengandungi kolesterol jahat (HDL).

Katanya, hadkan pengambilan makanan itu kerana ia akan merendahkan kolesterol baik (HDL).

“Makanan yang mengandungi lemak tak tepu pula dapat mengurangkan risiko serangan jantung kerana mengandungi anti-oksida dan tidak akan meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL),” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika diambil dalam jumlah berlebihan akan meningkatkan berat badan seseorang.

Jelas Mazuin antara makanan itu terdiri daripada jenis minyak seperti zaitun, bijan, kacang, jagung, kanola manakala ikan dari jenis salmon, tuna, mackerel, cencaru, tongkol, tenggiri, selain bijian, kekacang dan marjerin tidak tepu (soft).

Bagi mengelakkan penggunaan lemak yang berlebihan kata beliau, sebaiknya gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak seperti goreng ikan.

”Gunakan minyak jenis lemak tak tepu jika ingin memasak dengan minyak yang sedikit seperti mengoreng sayur dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, katanya elakkan menggunakan menggunakan minyak berulang-kali terutama apabila ia adalah minyak lemak tak tepu.

”Toskan dan keringkan minyak daripada makanan bergoreng dengan menggunakan tisu dapur sebelum dihidangkan,” katanya.

Mazuin memberitahu, elakkan juga penggunaan bahan mencelup tepung kerana ia akan menyerap lebih banyak minyak.

Sebaiknya pelbagaikan teknik masakan dalam seminggu iaitu mengukus, membakar, merebu dan sebagainya dan gunakan kuali tidak melekat.

Selain itu, gantikan masakan yang menggunakan santan dengan susu rendah lemak.

Apendiks ibarat bom jangka

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
Apendiks yang telah dibuang.

JANGAN salahkan keturunan, gaya hidup mahupun apa yang dimakan apabila tiba-tiba anda didiagnosis dengan penyakit apendiks.

Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Peh Kiam Heng, penyakit tersebut ibarat bom jangka yang boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tanpa mengira gaya hidup atau apa jua faktor lain.

Jelas beliau, ia sebenarnya bermula dari bahagian abdomen atau perut.

“Bila kita makan, makanan akan masuk ke salur pemakanan dari perut ke usus kecil dan akan ke usus besar.

“Makanan yang kita kunyah akan dihadam, kemudian dicerna dengan sebaiknya oleh organ penghadaman.

“Makanan tersebut akan bertukar menjadi bentuk serbuk dan usus besar menyerap air. Apabila menjadi bentuk ini, ia senang masuk dan sekali gus menyumbat satu ruangan kecil yang diberi nama apendiks,” jelasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurut beliau, apendiks kalau tersumbat pasti menyebabkan perjalanan dan bekalan darah seseorang terganggu.

Apabila terganggu, mudah jangkitan berlaku menyebabkan apendiks tersebut membengkak dan menimbulkan kesakitan.

“Apabila bercakap tentang penyakit apendiks, kita sering mencari punca mengapa boleh terkena penyakit ini. Sebenarnya, bukanlah disebabkan tabiat pemakanan, atau genetik.

“Sesiapa yang mengalaminya boleh dikategorikan sebagai kurang bernasib baik kerana apendiks bukanlah disebabkan anda seorang pemakan cili padi tegar atau bagi masyarakat Cina tabiat terus berlari lepas makan.

“Kesemuanya tidak ada kena mengena. Tiada kajian yang membuktikan perkara tersebut puncanya. Ia memang ibarat bom jangka,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, salah satu simptom sakit apendiks adalah kesakitan pada bahagian sebelah kanan bawah pusat hingga kadang kala menyebabkan pesakit demam, rasa memulas, loya dan muntah-muntah.

Namun, ada juga simptom yang tidak klasikal, contohnya perut rasa tidak selesa selepas makan dan berlanjutan hingga berhari-hari.

“Ada juga yang terasa kelainan di dalam perut. Namun, pesakit tidak pasti sakit di bahagian mana.

“Kalau kes yang sebegini, kita akan tahan pesakit di wad untuk pantau keadaan seterusnya.

“Cara diagnosis apendiks adalah mengikut prosedur klinikal sepenuhnya yang mana ia bergantung pada pengalaman doktor memeriksa keadaan pesakit dan ujian darah.

“Bila pesakit disyaki menghidap apendiks, biasanya langkah pertama kita akan ambil darah untuk melihat sama ada sel darah putihnya meningkat atau sebaliknya.

“Selepas itu barulah kita ambil sampel air kencing.

“Memang ada pesakit yang akan bertanya kenapa perlu ambil air kencing. Prosedur ini perlu dilakukan untuk mengenal pasti penyakit secara tepat kerana penyakit kencing kotor juga mempunyai simptom yang sama.

“Jadi untuk mengelakkan salah diagnosis dan rawatan sebaiknya, ujian dijalankan terlebih dahulu,” ujarnya.

Sepanjang bergelar pakar, Dr. Peh mengakui perubahan corak pesakit yang dirujuk kepadanya.

“Pesakit zaman ini ramai yang berpendidikan tinggi, mereka rajin mencari maklumat tentang penyakit di Internet.

“Seperkara lagi, mereka memang sangat prihatin dengan tahap kesihatan diri masing-masing. Kebanyakan pesakit saya di hospital swasta ini selalunya sudah dirawat di peringkat awal.

“Berbeza dengan kebanyakan kes yang saya terima ketika berkhidmat di hospital kerajaan dulu ada di antara kes yang apendiksnya pecah dan terpaksa dirawat di ICU,” katanya.

Beliau juga meminta pesakit apendiks agar tidak takut dengan pembedahan.

“Prosedurnya seperti pembedahan konvensional lain. Namun, kini terdapat cara moden iaitu laparoskopi iaitu potongan kecil dilakukan untuk kamera, manakala dua lubang lagi untuk peralatan umpama guna penyepit untuk menyingkirkan apendiks.

“Selepas pembedahan, pesakit biasanya tinggal di wad selama tiga hari,” jelasnya.

Pencemaran udara: Kementerian nasihat guna topeng muka

Cuaca panas dan kering ketika ini menyumbang kepada keadaan berjerebu di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Julai – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai menggunakan topeng muka ketika melakukan aktiviti luar memandangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan mencatatkan bacaan sederhana.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka perlu bagi mengelak sebarang implikasi kesihatan yang tidak diingini.

“Selain memakai topeng muka, kita sarankan agar orang ramai minum air yang banyak kerana cuaca panas dan kering berkemungkinan akan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Liver Update Kesembilan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Yayasan Hati Malaysia (MLF), Tan Sri Dr. Ismail Merican.

Dalam pada itu, Tiong Lai turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan wabak denggi sepanjang Julai hingga September kerana tempoh itu sering menyaksikan paras jangkitan tertinggi saban tahun.

Menurut beliau, bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 18 kes kematian dicatatkan berbanding 69 kematian pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Walaupun jumlah kes denggi berjaya dikurangkan mencecah 57 peratus pada tahun ini, namun sepanjang tempoh ini orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati,” katanya.

Krisis kemanusiaan terburuk dunia

Oleh AZNAN BAKAR
Setiap hari 60 orang bayi mati akibat kekurangan makanan di wilayah-wilayah di timur Afrika. – AFP

BANGKAI binatang ternakan bergelimpangan, bekalan air semakin meruncing dan makanan semakin sukar didapati.

Ini merupakan senario yang berlaku di wilayah timur Afrika menyebabkan jutaan penduduknya kini diancam kebuluran. Senario ini juga bakal mencetuskan malapetaka dan krisis kemanusiaan yang terburuk dunia.

Setiap hari kira-kira 60 orang bayi mati akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan. Dalam tempoh 24 jam lebih 3,000 orang yang keletihan dan kekurangan makanan tiba di kem-kem bantuan.

Mereka ini semuanya merupakan mangsa musim kering dan panas berpanjangan di timur Afrika.

Kehidupan kira-kira setengah juta kanak-kanak kini terancam. Keseluruhannya, tidak kurang daripada 12 juta penduduk wilayah itu kini diancam kebuluran.

Saban hari kehidupan mereka semakin nazak. Ini dapat dilihat pada keadaan fizikal setiap kanak-kanak yang tiba di kem-kem pelarian. Semua mereka kurus kering dan lesu.

Ada yang berjalan selama 20 hari dalam keadaan cuaca panas mencecah 50 darjah celsius sebelum sampai ke kem-kem yang menyediakan makanan untuk mereka.

Menurut Pengarah agensi bantuan perubatan British, Merlin di Kenya dan Somalia, Louise Paterson, situasi sekarang lebih teruk daripada apa yang berlaku di Ethiopia pada 1980-an.

Negara yang teruk diancam kebuluran ketika ini ialah Sudan, Kenya, Ethiopia, Djibouti dan Somalia.

Dalam usaha mencari makanan, beberapa keluarga sanggup jalan berkaki ayam berhari-hari merentasi padang pasir yang panas dan kering.

Tidak semua daripada mereka yang berjaya. Ada antaranya terutama kanak-kanak mati ketika dalam usaha mencari makanan itu.

Kemarau yang paling teruk dalam tempoh 60 tahun itu bukan sahaja memusnahkan tanaman, tetapi turut mengorbankan haiwan ternakan.

Akibatnya harga makanan melambung tinggi dan di luar kemampuan penduduk.

Wajah kanak-kanak yang kurus kering kerana kekurangan zat makanan kini merupakan pemandangan biasa.

Jurucakap Unicef, Marixie Mercado berkata, terdapat dua juta kanak-kanak di wilayah tersebut berhadapan dengan krisis kekurangan makanan.

“Setengah juta daripada mereka kini dalam keadaan kritikal yang mengancam nyawa,” katanya.

Di kem Dadaab di timur Kenya yang kini merupakan kem pelarian terbesar dunia, kira-kira 382,000 orang berhimpit-himpit dalam kemudahan yang hanya sesuai untuk 90,000 orang.

Sekitar 1,400 orang dalam keadaan terdesak dan kelaparan yang kebanyakannya kanak-kanak tiba di kem itu setiap hari.

Di kem yang terdapat di Ethiopia pula, setiap hari terdapat 1,700 penghuni baru tiba.

Suruhanjaya Bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan kerajaan Ethiopia telah menyediakan kem di Dolo Ado bagi memenuhi kebanjiran pelarian yang kebuluran.

Kem yang terdapat di beberapa bandar itu kini dipenuhi hampir 100,000 dan PBB mewujudkan beberapa lagi kem untuk keperluan 120,000 orang.

Ketua UNHCR, Antonio Guterres berkata, ini merupakan malapetaka kemanusiaan yang paling teruk dihadapi dunia.

Di Somalia sahaja satu perempat daripada 7.5 juta orang telah dipindahkan atau menjadi pelarian.

Malah ketua kumpulan militan utama di negara itu turut meminta pertolongan daripada agensi-agensi bantuan yang selama ini di larang masuk ke kawasan mereka.

Bagi penduduk yang kelaparan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan seteguk air dan sesuap makanan.

Ada yang sanggup berjalan berhari-hari untuk ke kem-kem pelarian yang menyediakan makanan dan ubatan.

Di Somalia, ramai penduduk luar bandar yang kelaparan dan kepenatan membanjiri ibu negara, Mogadishu dengan harapan ada pihak akan membantu mereka.

Tetapi ramai yang hampa dan ada pula yang meneruskan perjalanan ke Kenya.

Di Sudan Selatan, negara yang baru mencapai kemerdekaan, turut dilanda krisis makanan. Satu daripada sembilan kanak-kanaknya mati sebelum berusia lima tahun.

Krisis yang melanda wilayah timur Afrika itu bakal meragut jutaan nyawa jika bantuan dunia tidak disalurkan segera secara sistematik.

Kerajaan British telah berjanji akan menyalurkan 38 juta pound kepada Program Makanan Dunia (WFP). Jumlah itu hanya cukup untuk memberi makan kepada 1.3 juta orang untuk tempoh tiga bulan.

Suruhanjaya Eropah pula telah menghantar AS$8 juta sebagai bantuan kecemasan ke Dadaab.

Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC) iaitu organisasi yang menaungi 14 agensi bantuan British telah melancarkan rayuan bagi menangani situasi di timur Afrika itu.

Ia termasuk rayuan di radio dan televisyen yang berjaya mendapat sumbangan 6 juta pound.

WFP turut menganggarkan 3.5 juta di Kenya, 3.2 juta di Ethiopia, 2.5 juta di Somalia, lebih setengah juta di Uganda dan lebih 100,000 di Dijbouti kini terdesak memerlukan bantuan makanan.

Walaupun penduduk di wilayah tersebut sebenar biasa dengan kemarau yang panjang, tetapi situasi kali ini agak berbeza daripada biasa.

Kajian perubahan iklim tahun ini mendapati keadaan kering di Timur Afrika dijangka berterusan.

“Suhu global dijangka terus meningkat dan kami menjangka purata hujan di Kenya dan Ethiopia akan terus menurun atau kekal di bawah paras terendah dalam sejarah.

“Malah langsung tiada hujan pada Mac hingga Jun yang sepatutnya merupakan musim hujan,” kata saintis Chris Funk.

p/s  Bila kerajaan mereka gagal memerintah dengan adil, rakyat yang menjadi mangsa…

Bell’s palsy bukan strok

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto SITI ASMAD MAMAT (Pelatih Unimas)
Belum ada kajian khusus mengenai rawatan akupuntur dalam merawat Bell’s palsy, namun pesakit boleh mencuba andai bersesuaian dengan diri.

SUATU petang sekitar penghujung tahun lalu, Azman Anas, 49, tiba-tiba terasa sebahagian mukanya kebas. Keadaan itu berterusan hingga ke malam. Namun disebabkan tiada perkara serius yang berlaku pada wajahnya, lelaki itu tidak menghiraukan.

Sehingga dia bangun keesokan paginya, alangkah terkejut Azman apabila mendapati kelainan pada sebelah wajahnya.

“Saya terperanjat apabila bangun mendapati wajah sebelah kiri seperti terjatuh. Bibir terjuih, begitu juga dengan pipi dan mata pula sukar dikerdip atau ditutup rapat,” kata beliau.

Risau dengan apa yang berlaku, tanpa berlengah dia terus berjumpa doktor pada pagi itu juga. Setahu Azman, sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang penyakit sama ada tekanan darah tinggi mahu pun diabetes. Dia mula menyangka itu mungkin petanda serangan penyakit tersebut.

Mungkin kurang terdedah dengan keadaan sebegitu, doktor yang beliau temui terus merujuk kepada pakar saraf kerana menyangka ia petanda serangan strok.

Azman agak kesal kerana doktor tersebut tidak menjalankan sebarang ujian untuk mengesahkan jenis penyakit sebaliknya terus merujuk kepada pakar.

“Mungkin benda sudah hendak jadi, pakar pula bercuti ketika itu menyebabkan kes saya tertangguh hingga hampir dua minggu. Dalam pada menanti keputusan, saya mencuba pelbagai jenis rawatan alternatif dan kemudian barulah saya disahkan mengalami Bell’s palsy,” katanya.

Sebelum disahkan mengalami penyakit itu, salah seorang saudaranya yang merupakan doktor merasakan beliau mengalami Bell’s palsy.

Sehari selepas mukanya menjadi herot dia terus menjalani rawatan bekam kerana merasakan ia berkaitan dengan saraf. Namun dia tidak mampu bertahan dengan rawatan tersebut yang katanya sangat menyakitkan. Dia juga menganggap itu antara kesilapan besar menyebabkan tempoh pemulihan menjadi lebih sukar.

Baginya, pengamal bekam mungkin kurang pengalaman dan pengetahuan menyebabkan keadaan bertambah teruk. Disebabkan ingin cepat sembuh dia mengikuti saranan demi saranan namun semuanya hanya memburukkan keadaan. Dalam pada itu, dia terus mengambil steroid yang diberi doktor namun dia mengalami sakit di bahagian perut yang teruk.

“Saya tidak ada pilihan, terpaksa juga meneruskan pengambilan steroid kerana ia menunjukkan sedikit peningkatan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Azman turut menjalani fisioterapi. Terapi menggunakan kuasa elektrik itu katanya walaupun secara perlahan, namun menunjukkan peningkatan.

“Saya nasihatkan kepada mereka yang mengalami, jangan berlengah mendapatkan rawatan dan jangan cepat terpengaruh dengan pendekatan alternatif kerana ia belum tentu menyembuhkan,” katanya.

Apa itu Bell’s palsy?

Menurut, Dr. Loganathan, Bell’s palsy adalah satu penyakit kelumpuhan muka idiopatik (tidak diketahui punca) akibat disfungsi saraf tengkorak VII (saraf muka) yang mengakibatkan ketidakupayaan mengawal otot muka pada bahagian yang terjejas.

“Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan kelumpuhan muka contohnya ketumbuhan otak, strok dan penyakit Lyme. Namun jika tiada sebab dan berlaku kelumpuhan, maka ia dipanggil Bell’s palsy,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut katanya, pesakit yang mengalami strok biasanya mengakibatkan bukan sahaja kelumpuhan pada wajah malah tangan dan beberapa anggota badan yang lain turut terjejas. Berbeza dengan Bell’s palsy di mana pesakitnya hanya mengalami lumpuh muka yang bukan berpunca daripada tekanan darah tinggi, diabetes atau sebagainya.

Menurut beliau, nama Bell’s palsy diberi sempena pakar anatomi Scotland Charles Bell yang pertama kali menggambarkan keadaan tersebut sebagai penyakit mononeuropati akut (penyakit yang melibatkan satu saraf).

Biasanya, ia berlaku secara tiba-tiba secara separa namun dalam kes tertentu (peratusan rendah) ia boleh melibatkan kelumpuhan kedua-dua belah muka.

Jelasnya, punca yang kurang dikenalpasti mungkin disebabkan radang akibat jangkitan viral seperti herpes yang menyebabkan saraf muka menjadi bengkak. Saraf tersebut, katanya, bergerak melalui tengkorak dalam saluran tulang kecil di bawah telinga.

Disebabkan ia membengkak dan mampat dalam saluran tulang yang sempit, dipercayai keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan atau perencatan pada saraf tersebut.

“Namun itu hanya sebahagian daripada punca yang dikenalpasti kerana punca sebenar tidak diketahui,” katanya.

Selain itu kata beliau, beberapa punca mungkin mempunyai kaitan dengan serangan Bell’s palsy seperti trauma, faktor sekeliling, emosi dan metabolik tidak stabil.

Simptom dan petanda

Dr. Loganathan berkata, Bell’s palsy dikenalpasti melalui bentuk muka seakan jatuh sebelah. Kegagalan saraf VII berfungsi menyebabkan mata pesakit tidak boleh dikerdip dan tutup, senyuman dan pergerakan bibir terganggu, lidah mengeras, kening juga seperti berkerut dan terangkat, air liur meleleh dan hidung seakan terjatuh pada bahagian yang terjejas.

Kata beliau, sesetengah pesakit boleh merasai kelainan pada wajahnya beberapa hari sebelum diserang Bell’s palsy seperti rasa kebas, sakit bahagian telinga dan rasa kelainan pada lidah.

Perkara tersebut, katanya, diberitahu oleh pesakit yang pernah mengalami serangan penyakit itu dan ia berulang berkali-kali.

“Ada pesakit yang mengalaminya lebih daripada tiga kali walaupun keadaan wajahnya sudah kembali seperti normal,” kata beliau.

Biasanya, kata Dr. Loganathan, Bell’s palsy menyerang secara random di kalangan mereka yang berusia, wanita selepas bersalin atau ketika kedatangan haid, remaja dan mereka yang mengalami stres. Malah, katanya, ada juga kes yang berlaku di kalangan kanak-kanak namun peratusannya sangat rendah.

“Serangan boleh dikelaskan kepada gred tertentu daripada sederhana hingga teruk dan segelintir mengalami kelumpuhan kedua-dua belah bahagian (hanya satu peratus),” kata beliau.

Rawatan

Menurut Dr. Loganathan, hampir 50 peratus pesakit boleh pulih dalam masa dua hingga tiga minggu malah ada yang menunjukkan pemulihan dalam tempoh 10 hari tanpa sebarang rawatan khusus.

“Sementara itu, 35 hingga 40 peratus mengambil masa lebih kurang setahun untuk pulih dan hanya lima peratus yang tidak pulih sepenuhnya di mana wajah mereka kekal menunjukkan mengalami Bell’s palsy,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai rawatan yang diberi kata beliau, doktor biasanya akan memberi pesakit ubat makan steroid (kortikosteroid) dengan dos yang tinggi pada peringkat awal serangan selama dua minggu. Ia akan berkurangan sehinggalah pesakit menunjukkan peningkatan.

Sesetengah pesakit mungkin tidak memerlukan rawatan khusus bergantung kepada tahap yang dilaluinya.

“Pesakit yang menunjukkan kelumpuhan menyeluruh, terutama melalui petunjuk mata dan mulut tidak boleh ditutup pada bahagian terjejas, dirawat dengan pembedahan khas,” katanya.

Beliau menasihatkan pesakit mendapatkan rawatan awal dalam masa 48 jam selepas serangan berlaku bagi memudahkan proses pemulihan.

Bagi masalah yang dikenalpasti berpunca daripada radang, doktor akan memberi antiviral berserta steroid. Namun dalam kebanyakan kes yang berlaku, steroid dilihat lebih berkesan berbanding antiviral, kata Dr. Loganathan.

Beliau turut menyarankan pesakit melindungi mata mereka daripada terdedah dengan memakai pelindung dan menitis ubat cecair bagi mengelak mata menjadi kering akibat kesukaran mengerdip mata.

Rawatan fisioterapi kadangkala diberi kepada pesakit bagi membantu menguatkan otot terjejas dan sebagai stimulasi kepada saraf yang terlibat. Jenis-jenis fisioterapi yang biasa diberi kata beliau adalah urutan muka, senaman otot muka dan stimulasi elektrik. Namun katanya berdasarkan daripada kajian, fisioterapi tidak membantu sepenuhnya.

Pembedahan

Bagi masalah Bell’s palsy yang berlanjutan, pembedahan memperbetulkan saraf muka mungkin membantu. Pelbagai teknik pembedahan dikenalpasti membantu masalah ini. Antaranya pembedahan memperbetulkan tulang yang terjejasPembedahan mengembalikan senyuman (smile surgery) antara prosedur yang dijalankan bagi mengembalikan wajah pesakit.

Rawatan alternatif

“Sebenarnya belum ada satu kajian khusus yang dijalankan bagi membuktikan sama ada rawatan alternatif seperti akupuntur berkesan dalam merawat masalah Bell’s palsy,” kata beliau.

Namun Dr. Loganathan tidak menghalang seandainya pesakit ingin mencuba kerana mungkin ia satu rangsangan yang baik untuk saraf, namun keberkesanannya belum terbukti secara saintifik. Walaubagaimanapun sekali pun ingin mencuba rawatan alternatif, beliau tetap menyarankan pesakit agar meneruskan rawatan steroid kerana ia terbukti dan diyakini dalam merawat masalah Bell’s palsy.

Kebaikan makan pisang

Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my

PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang masalah kesihatan seperti strok.

PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.

Menurut Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.

“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.

“Pada amnya, pisang bebas daripada lemak, kandungan garamnya rendah serta kaya dengan vitamin serta potasium.

“Ini menyebabkan semua jenis pisang dikategorikan sebagai berkhasiat.

“Apatah lagi ia senang untuk dimakan dan dihadam khususnya oleh bayi berusia enam bulan dan ke atas.

Khasiat

“Tidak ada kesan sampingan pada kesihatan walaupun pisang itu manis kerana kandungan gula dalam pisang adalah semula jadi,” katanya.

Kata beliau lagi, terdapat perbezaan antara pisang yang dimakan begitu sahaja dengan kerepek pisang atau pisang goreng.

Menurut beliau, pisang yang digoreng atau dibuat kerepek mengandungi lemak.

Jadi, adalah selamat jika pengambilan pisang goreng dikurangkan kepada seminggu sekali atau sebulan sekali.

Jika digoreng, kandungan khasiat serta vitamin dan zat-zat lain dalam pisang akan berkurangan sebaliknya kandungan lemak akan bertambah.

Ujar beliau, pisang juga dianggap penting dalam bidang perubatan. Di Thailand, misalnya, wanita hamil digalakkan oleh doktor untuk makan pisang bagi memudahkan proses bersalin. Ia juga membekalkan tenaga bagi melawan dan menyembuhkan penyakit.

Beberapa kajian antarabangsa mendapati hampir 15 jenis masalah kesihatan boleh dikurangkan dengan memakan pisang.

“Antaranya, penyakit anemia iaitu kekurangan hemoglobin dalam darah boleh diatasi dengan memakan pisang kerana ia membantu meningkatkan pembentukan hemoglobin.

“Kandungan potasium tinggi dalam pisang turut menolong merendahkan tekanan darah serta mengurangkan risiko strok,” jelas beliau.

Tambah beliau, selain itu, kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu masalah pembuangan air besar secara normal setiap hari.

Ia turut mengurangkan tekanan kerana sejenis protein dikenali sebagai Trytophan yang ada di dalamnya membantu menenangkan fikiran serta otak orang yang berada dalam tekanan.

Katanya lagi, orang yang bergelut dengan penyakit ketakutan, obesiti dan tabiat rokok, digalakkan mengamalkan pemakanan pisang dan mereka dipercayai mampu bebas daripada masalah itu secara beransur-ansur.

Kajian turut membuktikan bahawa seseorang yang berdepan masalah mabuk hamil khususnya wanita yang berasa mual dan muntah pada beberapa bulan pertama kehamilan, boleh mengambil pisang untuk mengelak masalah itu.

Di samping itu, mereka yang menghadapi masalah kegemukan akibat tekanan di tempat kerja boleh diatasi dengan memakan pisang setiap dua jam.

Ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja selain mengawal kandungan gula dalam darah. Bahagian dalam kulit pisang pula membantu memulihkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.

“Apa yang penting, kita perlu memberi tumpuan pada kesihatan dengan mengamalkan tabiat makan pisang.

“Bagi anak-anak, kita sangat mudah untuk menyuruh mereka makan pisang kerana ia manis dan lembut. Ia boleh disediakan dalam bentuk kek, mufin dan roti pisang,” katanya.

Laris

Pisang boleh diperoleh sepanjang tahun. Di negara ini, pisang rastali, emas, tanduk, abu dan berangan adalah yang paling laris. Ia turut menjadi tumpuan peniaga pisang goreng dan kerepek.

Seorang peniaga buah-buahan di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, Ramli Mat Dalip, 42, berkata, pisang sentiasa menjadi pilihan orang ramai dan ia adalah salah satu buah yang boleh didapati sepanjang tahun.

Kata beliau yang berniaga sejak 15 tahun lalu, pisang berangan dan abu sering dibeli peniaga kerepek atau kuih.

Bagaimanapun, katanya, pisang emas dan berangan memang laris dijual dan dibeli pengguna kerana rasanya manis dan boleh dimakan begitu sahaja.

“Dari segi harga, tidak banyak perbezaan kerana harga pisang mengikut jenisnya iaitu dijual sekitar RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

“Permintaan terhadap pisang pada musim perayaan khususnya Tahun Baru Cina, Hari Wesak dan Deepavali juga memberangsangkan.

“Pengguna kerap datang meminta pisang emas dan rastali kerana saiznya kecil iaitu di antara tujuh hingga 10 sm.

“Mereka akan menggunakan pisang itu dalam upacara sembahyang selain untuk dimakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Romlah Ahmad, 31 menjelaskan, berbanding buah-buahan lain khususnya yang diimport, pisang tidak menghadapi masalah kenaikan harga.

“Pisang tidak menghadapi masalah itu. Harganya di mana sekali pun lebih kurang sama iaitu kekal sekitar RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram.

“Lagipun pisang dikatakan paling berkhasiat dan kaya dengan zat dan vitamin. Tidak hairanlah jika orang ramai gemar memakannya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pensyarah sebuah kolej swasta di ibu negara, Daljit Kaur, 36, berkata, beliau dan keluarga gemarkan pisang kerana kebaikan yang diperoleh daripada buah tersebut.

Katanya, sejak kecil lagi beliau suka makan pisang dan pernah sekali beliau berdepan dengan seorang rakan yang mempunyai masalah kekurangan hemoglobin dalam darah dan mencadangkan supaya dia makan pisang untuk mengatasi masalah tersebut.

“Selepas itu, saya dapati kesihatannya bertambah baik bahkan setahun kemudian, boleh dikatakan dia bebas sepenuhnya daripada masalah itu.

“Selain itu, ketiga-tiga anak saya yang berusia di antara enam hingga 13 tahun juga gemar makan pisang setiap hari.

“Mereka nampaknya sihat dan tidak menghadapi kesukaran untuk membuang air besar lagi,” katanya.