JDT tersingkir daripada ACL

11 Februari 2015 1:21 AM
PENYERANG JDT, Jorge Pereyra Diaz (kanan) cuba melepasi pemain Bangkok Glass dalam aksi Liga Juara-juara Asia di Bangkok semalam. – ASIANA
KUALA LUMPUR – Hasrat untuk me­nyaksikan wakil negara bersaing dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) terkubur setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas 0-3 kepada Bangkok Glass dari Thailand dalam kelayakan peringkat kedua di Stadium ­Thanyaburi, Pathum Thani semalam.
Bangkok Glass yang merupakan juara Piala FA Thailand, membuka jaringan menerusi pemain sayap kanan, Narong Jansawek pada minit ke-28, sebelum pe­nyerang dari Namibia, Lazarus Kaimbi menambah dua gol pada minit ke-51 dan 61 bagi menempah pertemuan dengan kelab China, Beijing Guoan dalam kelayakan ketiga.
Dalam aksi tersebut, JDT yang menurunkan ramai pemain simpanan seperti Mohd. Daudsu Jamaluddin, Jasazrin Jamaluddin dan Mohd. Shakir Shaari gagal memberi tentangan sengit, malah nyaris kalah dengan margin lebih besar sekiranya Darko Tasevski menyempurnakan penalti pada minit ke-64.
Kekalahan itu bermakna JDT kini akan bersaing dalam Piala AFC bersama Pahang selaku juara Piala Malaysia, sekali gus menyebabkan Selangor terkeluar daripada pertandingan di peringkat Asia.
Undian Piala AFC yang telah dikeluarkan menyaksikan JDT ber­ada dalam Kumpulan F bersama East Bengal (India), Kitchee (Hong Kong) dan Balestier Khalsa (Singapura).
Pahang pula dalam Kumpulan G bersama Global FC (Filipina), South China (Hong Kong) dan Yadanarbon (Myanmar).

JDT : ‘TMJ belum puas hati’

MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI | 06 Februari 2015 1:07 AM
PEMAIN tengah JDT, Hariss Harun (tengah) diraikan oleh rakan-rakan sepasukannya setelah dia menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menentang Bengaluru FC dari India dalam perlawanan pusingan pertama kelayakan ACL di Johor Bahru kelmarin. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU – aksi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika me­nundukkan Bengaluru FC 2-1 ternyata bukan di tahap sebenar kemampuan Harimau Selatan yang memerlukan skuad Bojan Hodak itu bekerja lebih keras untuk berdepan perlawanan seterusnya.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, dia berbangga dengan kejayaan dilakar pemainnya, namun masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Saya bangga dengan usaha dan kerja keras yang ditunjukkan mereka dalam perlawanan ini, tetapi masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.
“Jurulatih masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya yang ditemui selepas JDT berjaya melayakkan diri ke perlawanan kedua pusingan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini kelmarin.
Perkara sama turut diakui Bojan sendiri dengan menyifatkan anak buahnya masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diatasi sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam pertandingan itu.
Menurutnya, banyak peluang dicipta di hadapan pintu gol tetapi penyudah yang dicari gagal ditemukan, sekali gus memberi ruang kepada juara India itu mendapatkan jaringan penyamaan.
“Kami dihukum atas kesilapan sendiri pada minit terakhir perlawanan apabila pasukan lawan mendapatkan jaringan penyamaan, saya mengakui perkara itu harus diperbaiki.
“Tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kematangan yang ditunjukkan pemain kerana dapat bangkit kembali untuk mendapatkan kemenangan walaupun diheret ke masa tambahan,” katanya.
Tambah Bojan, situasi sedemikian memberi impak positif kepada para pemain, sekali gus meningkatkan lagi mutu permainan mereka dalam aspek fizikal, mental dan juga teknikal.

ALC : JDT benam Bengaluru FC 2-1; mara pusingan kedua

RABU, 4 FEBRUARI 2015 @ 11:29 PM
PEMAIN JDT, Chanthuru Suppiah meraikan jaringannya selepas meletakkan pasukannya kembali di hadapan pada perlawanan pusingan kelayakan pertama Liga Juara-Juara Asia 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru sebentar tadi. JDT tundukkan Bengaluru FC 2-1. – Foto Mohd Azren Jamaludin
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mara ke pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas menewaskan Bengaluru FC 2-1, malam ini.
Gol kemenangan pasukan tuan rumah hadir menerusi S Chanthuru pada minit ke-97 masa tambahan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin.
Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit permainan kelayakan pusingan pertama untuk mengheret perlawanan itu ke masa tambahan.
Pemain JDT, Hariss Harun meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan pusingan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru malam ini. – Foto Mohd Azren Jamaludin
JDT mendahului pada minit ke-47 hasil jaringan Hariss Harun tapi Eugeneson Lyngdoh menyamakan kedudukan untuk Bengaluru pada minit ke-89.
Dalam perlawanan kelayakan pusingan kedua, JDT akan menentang juara Piala FA Thailand, Bangkok Glass FC di tempat lawan Selasa ini.