Kevin mati dibunuh

Mayat disimen dalam tong dram, dicampak ke paya
MASZUREEN HADZMAN | 17 September 2015 1:28 AM
MOHMAD SALLEH (kiri) melihat kesan tong simen yang telah dipecahkan pihak polis yang mana mayat Anthony Kevin Morais ditemui di Jalan Subang 3, Subang Jaya, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Dibunuh semasa dalam perjalanan ke utara dipercayai di kawasan berhampiran Sungai Buloh.
Mayatnya kemudian disumbat ke dalam guni serta dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurah simen dan ditenggelamkan ke dalam paya di Jalan Subang 3, Su­bang Jaya dekat sini.
Itulah kekejaman yang dilakukan sekumpulan individu terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, 55, selepas melarikannya di Jalan Dutamas, Damansara di sini semasa mangsa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu.
Difahamkan, sebelum dilarikan, kereta mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh kumpulan suspek terbabit di kawasan lampu isyarat berhampiran sebuah pusat komersial di tempat kejadian.
Mangsa yang keluar dari kereta untuk memeriksa kerosakan kemudiannya ditolak masuk ke dalam keretanya semula oleh kumpulan individu terbabit ke tempat duduk penum­pang belakang dan kenderaan itu dipandu menuju ke arah utara.
Ketika dalam perjalanan menuju ke arah utara, mangsa dipercayai dipukul dengan senjata tumpul dipercayai besi panjang yang digunakan untuk membuka nat tayar kereta di kawasan berhampiran Sungai Buloh.
Mayat mangsa dipercayai dibawa ke Subang Jaya sementara kere­tanya dipandu anggota kumpulan yang melarikannya ke arah Hutan Melintang dan ditemukan dibakar di sana.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mayat mendiang Kevin ditemukan hasil pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di seluruh negara, sejak semalam.
Menurut beliau, kesemua suspek ditahan di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang.
“Hasil pengakuan itu, sekumpulan pegawai dan anggota STAFOC kemudiannya membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian pada pukul 6 pagi ini di mana mayat Kevin dibuang.
“Kita turut mendapat bantuan daripada pasukan penyelam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan bomba bagi membantu membawa naik tong dram terbabit untuk dipecahkan pada pukul 8 pagi sebelum menemukan satu mayat yang dipercayai mendiang Kevin,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohmad memberitahu, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan pihaknya berjaya merampas sebuah kende­raan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Triton yang digunakan untuk melanggar kereta mangsa ketika hari Kevin dilarikan.
Tambahnya, turut dirampas ia­lah kereta Honda Accord dan sejumlah wang bernilai RM17,100 di Pulau Pinang.
“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta Proton Persona dan satu resit pembelian batu, simen dan pasir yang digunakan suspek serta sejumlah lagi wang bernilai RM15,000 di Selangor.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Polis sebelum ini mengesahkan kehilangan Kevin pada 4 September lalu sebagai kes culik berdasarkan penelitian kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sepanjang jalan yang dilalui mangsa semasa hari kejadian dan sebahagiannya adalah milik persendirian bagi mengesan kedudukan mangsa.
Kevin dilaporkan hilang pada hari kejadian dan dilihat kali terakhir meninggalkan pangsapuri­nya di Menara Duta untuk ke pejabatnya di Putrajaya.
Susulan itu polis menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk menyiasat kes tersebut.
Polis juga mengesahkan kereta terbakar yang ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada 5 September lalu adalah mirip kenderaan yang digunakan Kevin pada hari dia diculik.
Umur: 55 tahun
Adik-beradik: 4 (sulung)
Status: Bujang
Pendidikan:
l Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh
l Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), Universiti London
Kerjaya:
1980
l Diterima masuk sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya
l Menyertai Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman
l Dilantik sebagai majistret
1985
l Menyertai Pejabat Peguam Negara (AGC)
2004
Dipinjamkan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Timbalan Pendakwa Raya
2014
1 Julai
Kembali bertugas di AGC sebagai Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan

1MDB : Pengakuan Justo: Siasatan dijalankan

THOMAS CHONG | 09 September 2015 12:53 AM
Xavier Andre Justo
PUTRAJAYA 8 Sept. – Pengakuan Xavier Andre Justo seperti yang didedahkan oleh media jelas menunjukkan terdapat usaha terperinci untuk mengguling kerajaan dan siasatan akan dilakukan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengakuan Justo yang dilaporkan akhbar tempatan diperoleh daripada pihak berkuasa Thailand dan Malaysia juga bekerjasama dengan negara jiran tersebut dalam siasatan yang akan dijalankan.
Ditanya sama ada kertas siasatan telah dibuka atau sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak memaklumkan kepadanya mengenai perkembangan kes tersebut.
“Saya tidak diberitahu oleh Ke­tua Polis Negara, tetapi adalah menjadi prosedur biasa untuk membuka kertas siasatan.
“Polis mendapat kerjasama dari Thailand untuk ambil tindakan selanjut termasuk membuka kertas siasatan sebelum dokumen ber­kenaan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dilaporkan akhbar tempatan berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Justo.
Dalam pengakuan yang dilaporkan akhbar tertentu, Justo juga menyebut Nurul Izzah menawarkan bayaran dalam bentuk kontrak sekiranya pembangkang mengambil alih Kerajaan Persekutuan daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tawaran tersebut bagaimanapun ditolak kerana Justo mahukan bayaran tunai berjumlah AS$2 juta (RM8.62 juta).
Nurul Izzah bagaimanapun telah menafikan pernah menawarkan kontrak kepada Justo untuk membeli maklumat berkenaan.

Usaha tingkatkan profesionalisme

Suruhanjaya perkhidmatan berasingan diwujudkan
03 September 2015 12:59 AM
Paul Low Seng Kuan bergambar dengan (dari kiri) Akhbar Satar, Jose Ugaz, Mustafar Ali dan Akere Muna selepas merasmikan Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 2 Sept. – Kerajaan akan memper­ku­kuhkan Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mewujudkan sebuah suruhanjaya perkhidmatan berasingan dalam usaha meningkatkan keupayaan serta profesionalisme kesemua anggota dan pegawainya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk dan dalam masa sama turut memaklumkan syor itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat kerana membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Selain SPRM beliau berkata, kerajaan juga akan mengukuhkan lagi kedudukan Jabatan Audit Negara dengan memberikan lebih kuasa serta skop audit yang lebih luas kepada jabatan itu.
“Bukan itu sahaja, jabatan juga bertanggungjawab melaporkan ke­pada jawatankuasa khas di Parlimen yang dianggotai oleh pihak kerajaan dan pembangkang.
“Inilah antara bukti komitmen kerajaan untuk mempertahankan kebebasan institusi-institusi awam di negara ini terutama SPRM dan Jabatan Audit Negara,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Transparency International (TI), Jose Ugaz; Presiden TI Malaysia, Datuk Akhbar Satar; Pengerusi Majlis IACC, Akere Muna dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali.
Persidangan selama tiga hari bertemakan ‘Mengakhiri Kesan Buruk: Rakyat, Integriti dan Tindakan’ itu dianjurkan SPRM, Majlis Penasihat IACC, TI dan TI Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Paul Low berikrar mempertahankan SPRM daripada campur tangan mana-mana pihak khususnya yang cuba mengganggu siasatan serta tugasan suruhanjaya tersebut.
“Ini adalah janji saya. Saya tidak akan benarkan mana-mana pihak mengganggu SPRM. Biarkan SPRM melakukan tugas mereka tanpa rasa takut dan memilih,” katanya.
Seperkara lagi beliau berkata, tugas mempertahankan kewibawaan serta kredibiliti SPRM bukan terletak di bahunya serta kerajaan semata-mata bahkan tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh semua rakyat negara ini.
“Jika berlaku campur tangan, rakyat juga harus bersuara dan ini semua bertujuan mempertahankan kebebasan SPRM dalam menjalankan tugas-tugas mereka,” katanya.
Dalam ucapannya itu, Paul Low turut menyentuh keperluan parti-parti politik di negara ini memaklumkan sumber dana yang diperoleh melalui satu peraturan yang akan diwujudkan kelak.
Untuk itu, katanya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik bagi tujuan tersebut.

RASUAH : 19 tauke ladang ditahan

SPRM gempur Cameron Highlands
SAYED HESHAM IDRIS | 01 Julai 2015 1:56 AM

IPOH 30 Jun – Selepas enam bulan mela­kukan intipan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggempur Came­ron Highlands. Hasilnya, 19 tauke ladang ditahan kerana disyaki memberikan rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.
Sogokan itu bertujuan mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan seperti penerokaan tanah haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyimpan racun tidak berjadual.
Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia sejak November tahun lalu telah mendedahkan kebanjiran warga asing dan masalah pencerobohan tanah di Cameron Highlands sehingga memusnahkan alam sekitar daerah peranginan itu.
Dalam tiga siri laporan khas terbaharu mulai Ahad lalu, akhbar ini mendedahkan bagaimana keadaan tanah tinggi itu yang terus dice­roboh dan berhadapan dengan masalah warga asing akibat amalan rasuah.
Sumber dalaman SPRM memberitahu, kesemua mereka ditahan di Cameron Highlands hari ini dalam Operasi Sejuk, yang melibatkan transaksi rasuah antara RM127 hingga RM30,000 dengan jumlah keseluruhan RM163,577.
Mereka yang ditahan dibawa dari Cameron Highlands ke Pejabat SPRM Perak di sini dalam keadaan tangan bergari.
“Kesemua mereka ditahan di sekitar Cameron Highlands oleh pegawai dari ibu pejabat SPRM dan dibawa ke Pejabat SPRM Perak untuk soal siasat.
“Mereka terdiri daripada pengusaha ladang namun terdapat seorang warga asing dari Bangladesh yang merupakan tauke ladang. Kes disiasat di bawah Seksyen 17B Akta SPRM kerana memberi rasu­ah kepada penjawat awam yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau sekurang-kurangnya RM10,000,” kata sumber itu.
Sumber itu menambah, sebahagian besar mereka ditahan di kebun, rumah dan kawasan sekitar kebun masing-masing di Cameron Highlands.
“Tiada laporan mereka cuba melarikan diri atau hilang sepanjang operasi. Daripada jumlah 19 orang itu, 17 dibebaskan dengan jaminan RM5,000 seorang manakala dua lagi ditahan,” katanya.
Menurut sumber tersebut, operasi itu adalah hasil intipan SPRM selama lebih enam bulan untuk membuktikan wujudnya sogokan oleh tauke ladang kepada anggota penguat kuasa di Cameron Highlands.
Katanya, intipan juga dilakukan rentetan bencana alam di tanah tinggi itu pada hujung tahun lalu sehingga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat kawasan bencana memberi amaran supaya penguatkuasaan diperketatkan.
Namun, katanya, di sebalik ama­ran tersebut, penerokaan tanah haram terus berlaku hingga menimbulkan kecurigaan terhadap kete­lusan pihak penguat kuasa.
“Hasil daripada risikan bersama SPRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak enam bulan lalu mengesahkan berlakunya rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang membawa kepada penangkapan hari ini,” katanya.