Harga ayam naik?

‘Drama ulangan’ setiap kali Aidilfitri
SITI NORHAWA MOHD. ALI | 30 Jun 2015 1:35 AM
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 29 Jun – Alasan makanan ayam mahal dan permintaan tinggi berbanding bekalan diibaratkan sebagai ‘drama ulang tayang’ oleh para penternak dalam usaha mereka menaikkan harga ayam setiap kali perayaan Aidilfitri.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, alasan-alasan tersebut sudah tidak boleh diterima kerana digunakan saban tahun oleh para penternak bagi mengaut keuntungan pada musim perayaan.
Katanya, walaupun harga ayam akan dikawal dalam tempoh pe­rayaan, namun sebelum harga si­ling ditetapkan para penternak cuba memberi tekanan supaya harga ditetapkan kelak adalah tinggi dan tetap memberi keuntungan besar kepada mereka.
“Jika benar kos makanan ternakan meningkat sejak beberapa tahun lalu, mereka sepatutnya sudah mencari jalan penyele­saian contohnya menghasilkan makanan ayam sendiri supaya tidak lagi bergantung dengan import.
“Saya berharap selepas ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempamerkan kos bersih semasa seekor ayam supaya pengguna boleh membuat perbandingan dengan harga ayam di pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan persatuan penternak ayam beberapa negeri akan menaikkan harga ayam dengan alasan makanan ayam yang diimport mengalami kenaikan harga akibat kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia di samping pe­ningkatan permintaan menjelang Aidilfitri.
Sementara itu, menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, jika di luar musim pe­rayaan Aidilfitri, para penternak boleh pula menjual dengan harga rendah tanpa mengalami kerugian.
“Namun bila dekat nak raya, mulalah macam-macam alasan diberikan, makanan ternakan naik lah dengan tahun ini nilai mata wang ringgit yang rendah dijadikan alasan mengapa makanan ternakan import mahal.
“Mereka tahu permintaan terhadap ayam akan meningkat, jadi inilah masa untuk merebut peluang mengaut keuntungan besar. Sedangkan jika bukan musim pe­rayaan, mereka boleh jual dengan harga rendah dan tidak pula mengalami kerugian besar atau tutup kedai.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) harus menyiasat persatuan penternak dan pemborong yang didakwa berpakat menaikkan harga ayam menjelang musim perayaan dan ambil tindakan sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persa­tuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan yang dilakukan harus tidak sehingga membebankan pengguna.
“Saya faham jika kos operasi semakin meningkat tetapi saya berharap peniaga tidak tamak dan menaikkan harga secara mendadak.
“Wakil-wakil daripada penternak, pemborong, peniaga malah pengguna harus mengadakan dialog dan bersedia bertolak ansur untuk menyelesaikan masalah yang tidak berpenghujung ini,” katanya.

Bersama dalam satu keluarga yang besar

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
Tetamu Kehormat…Abdul Taib Mahmud, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet Persekutuan dan negeri mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-51 di Dataran Kipas, Miri malam tadi. – UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
MIRI 16 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semenjak terbentuknya Malaysia 51 tahun lalu, rakyat negara ini telah menempuh pelbagai perubahan dan transformasi dari sudut politik, ekonomi dan sosial.
Sehubungan itu, katanya, dalam usia melebihi setengah abad, rakyat Malaysia seharusnya sudah mempunyai jati diri kental dan semangat patriotisme yang teguh terhadap negara.
Beliau berkata, hari ini, masyarakat dapat melihat kesinambungan jasa pemimpin terdahulu yang berjuang untuk memerdekakan negara dan pengorbanan itu wajar disanjung dan terus diwarisi.
“Tuan-tuan dan puan-puan (rakyat Sarawak) yang hadir pada sambutan Hari Malaysia Ke-51 di Dataran Kipas Miri pada malam ini adalah penyambung warisan Sarawak merdeka dalam Malaysia.
“Apabila rakyat mengatakan bahawa Sarawak mendapat seribu satu macam rahmat merdeka dalam Malaysia, maka rakyat Sarawak menyatakan kemerdekaan Sarawak itu akan terus dipertahankan.
“Pada saya, kenyataan ini yang menyebabkan kita (orang luar) yang datang ke Sarawak, saya rasa isteri, saya rasa menteri Persekutuan bila kita turun ke Sarawak…turun ke Sabah, kita merasakan kita bersama dalam satu keluarga yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Perayaan Hari Malaysia Ke-51 Tahun 2014 di Dataran Kipas di sini malam ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bersama isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta barisan menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Menurut Najib, dalam tempoh 51 tahun pembentukan Malaysia, rakyat negara ini telah kukuh perasaan kekeluargaan setelah berdepan dengan pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan.
“Pasukan keselamatan kita dari Semenanjung menitiskan darahnya di Sarawak dan Sabah untuk mempertahankan kemerdekaan di kedua-dua negeri ini.
“Kita juga menghargai pejuang dari Sarawak dalam pasukan polis yang turut berkorban nyawa kerana mempertahankan kemerdekaan negara kita,” katanya.
Tambahnya, setelah ‘berjalan’ jauh selama 51 tahun, beliau percaya dalam hati sanubari sebahagian besar penduduk Sarawak dan Sabah, mereka tidak menyesal dengan keputusan menyertai Malaysia.
Katanya, rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak juga tidak akan patah semangat untuk terus pertahankan kemerdekaan negara.
“Kita akan terus pertahankan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia dan saya sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab dan kewajipan saya ialah kalau ada pihak cuba menggugat kedaulatan kita, keselamatan kita, maka hendaklah mereka diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang yang ada,” tegasnya.
Dalam pada itu, Najib mengakui Malaysia ibarat sebuah keluarga yang besar dan sememangnya kadang kala akan timbul beberapa masalah berbangkit dan beliau sebagai ketua keluarga sanggup mendengar apa sahaja suara yang dinyatakan dalam keluarga.
“Kalau Ketua Menteri Sarawak minta sesuatu (mengikuti) kehendak rakyat Sarawak, kalau Ketua Menteri Sabah minta sesuatu kehendak rakyat negeri Sabah dalam Malaysia, maka menjadi tanggungjawab saya mesti mendengar dan memberi pertimbangan yang sewajarnya.
“Dalam perhimpunan malam ini, saya nak nyatakan bahawa kehendak dan suara rakyat Sarawak dari kerajaan negeri Sarawak pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya.
“Saya dengar permintaan rakyat nak tambah pendapatan Sabah dan Sarawak daripada hasil minyak. Kita bersikap terbuka, kerajaan Pusat bersedia menimbang apa yang patut untuk memberi pendapatan yang lebih kepada negeri Sarawak,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140917/dn_01/Bersama-dalam-satu-keluarga-yang-besar#ixzz3DYM6TLJS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Imej Mukhriz yang makin digeruni

Khabar Dari Alor Setar
Oleh Jamilah Abdullah




Tokoh Qasidah, Habib Syech As Seggaf (tengah) bersama Mukhriz Mahathir, Mufti Kedah, Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad (dua dari kiri) berselawat bersama rakyat negeri itu pada Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman Alor Setar, malam kelmarin.

MALAM kelmarin bertempat di Stadium Darulaman Alor Setar berlangsung Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat dengan kehadiran kira-kira 40,000 umat Islam dari seluruh pelosok negeri ini untuk menzahirkan kecintaan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Majlis dihiasi dengan alunan qasidah dan selawat diketuai tokoh qasidah terkenal Indonesia, Habib Syech As Seggaf usai perarakan peserta pada lewat petang yang diketuai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tazkirah ulama yang hadir pada majlis ilmu tersebut sangat berharga kepada mereka yang hadir dan begitu juga lantunan qasidah dan selawat yang bergema menjadi pengisian yang sangat bermakna.
Pun begitu di sebalik niat kerajaan negeri Kedah memperbanyakkan usaha dakwah dan tarbiah kepada masyarakat Islam di negeri ini seperti program tersebut masih ada suara-suara sumbang dalam kalangan pemimpin pembangkang menuduhnya sekadar percaturan politik demi meraih sokongan rakyat.
Tanpa segan-silu, ada yang sanggup menggelar Mukhriz dengan pelbagai nama dan apa yang menyedihkan adalah kenyataan seumpama itu keluar dari mulut pemimpin yang mengakui Islam sebagai teras perjuangan parti mereka.
Barangkali parti pembangkang hari ini semakin tercabar kerana pelbagai langkah yang sebahagiannya menjadi dasar kerajaan negeri dalam mempertahankan Islam dan umatnya semakin mendapat tempat di hati rakyat termasuk daripada parti lawan.
Apatah lagi, pentadbiran Mukhriz dilihat konsisten dalam memastikan kesejahteraan Islam di negeri ini sekali gus dilihat menggerunkan terutama sekali apabila beliau mampu melaksanakan dasar yang tidak mampu dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah pemerintahan sebelum ini.
Sebagai contoh, pewartaan fatwa anti Syiah yang kelak penggubalan enakmen di bawahnya dan ketegasan kerajaan negeri terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama-agama lain dalam kitab mereka, memperlihatkan kesungguhan Mukhriz dalam menjaga kesejahteraan Islam di negeri ini.
Mukhriz juga berani mengambil langkah mengasingkan pendapatan negeri daripada sumber yang patuh syariah dan tidak patuh syariah bagi perbelanjaan yang melibatkan umat Islam iaitu sesuatu yang julung-julung kali diadakan.
Siapa yang dapat menjangka seorang pemimpin yang dilihat sering tampil dengan imej korporat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini mempunyai sisi lain sebagai seorang pemimpin yang tegar dalam menegakkan syiar Islam.
Nah, ini sebenarnya realiti kepimpinan Mukhriz yang digeruni pemimpin pembangkang negeri ini sekali gus cuba diserongkan dengan pelbagai tohmahan walaupun ketika beliau cuba mengusahakan pelbagai langkah ke arah meningkatkan kerohanian umat Islam negeri ini.
Berbalik kepada program malam tadi, selain bagi memupuk penghayatan dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW, majlis seumpama ini seharusnya dilihat sebagai medan penyatuan seluruh umat Islam dan tidak sewajarnya ‘diserongkan’ hanya kerana penganjurannya diterajui oleh kerajaan negeri yang kini ditadbir oleh UMNO-BN.
Kebanyakan penduduk negeri ini sebenarnya cukup bersyukur dan gembira dengan penganjuran acara seumpama itu yang memberi peluang kepada mereka beribadah dan menyatakan kecintaan kepada Rasulullah.
Semua memahami bahawa Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak berselawat ke atas Rasulullah seperti firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56)
Mukhriz sendiri menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan program Kedah Berselawat sebagai acara tahunan dan niat murni beliau wajar disahut semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Mudah-mudahan, pada ketika pemimpin pembangkang di negeri ini ‘bekerja keras’ meletakkan pantang-larang pada pentadbiran Mukhriz, beliau tidak melatah dengan membalas perbuatan serong tersebut sebaliknya meneruskan sahaja usahanya kerana akhirnya, rakyat yang akan menilai keikhlasan beliau itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140211/re_02/Imej-Mukhriz-yang-makin-digeruni#ixzz2t4I3nsDD  © Utusan Melayu (M) Bhd


JALUR GEMILANG – Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku

Berlambak ‘bendera’ semasa PRU, susah sangat Jalur Gemilang setahun sekali

DUA belas hari lagi, Malaysia akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku. Sambutan kali ini berlangsung dalam suasana umat Islam masih meraikan Hari Raya Aidilfitri, hari ke-24 dalam bulan Syawal. Adakah kemeriahan Aidilfitri akan menenggelamkan semangat mengingati sambutan kemerdekaan negara? Setiap kali menjelang kemerdekaan, kerajaan akan mengadakan program untuk menggalakkan rakyat mengibarkan bendera kita, Jalur Gemilang. Kenapa rakyat perlu diperingatkan tentang kibaran bendera setiap kali negara mahu menyambut Hari Kemerdekaan?
 Tentulah, kebanyakan orang sering lupa untuk mengibarkan bendera ini. Cuba lihat sekeliling. Lihat rumah anda sendiri, rumah jiran, bangunan pejabat, kediaman, bangunan perniagaan termasuk hotel, kenderaan sama ada lori, kereta, bas, teksi atau motosikal. Bolehkah anda melihat sehelai kain berjalur merah putih berkibar megah di bangunan atau kenderaan? Jika ada, bagus tetapi bagaimana kalau tidak ada? Suasana tentu berubah jika setiap bangunan kediaman, pejabat serta kenderaan awam dan persendirian mengibarkan bendera. Bayangkan jika 1.4 juta kakitangan awam memasang Jalur Gemilang. Khabarnya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman telah meminta penjawat awam memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing sebagai lambang semangat cintakan negara.
Langkah itu menurut beliau sebagai penghargaan kepada kerajaan yang sering menambah baik sektor perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan insentif.
Kata Omar: “Saya selalu dapat aduan menyatakan penjawat awam kalau hal hendak naik gaji, bonus atau elaun semua bersemangat tapi bila hendak meriahkan sambutan hari kemerdekaan setahun sekali pasang bendera susah. Baru-baru ini kerajaan dah bagi bonus RM500 untuk penjawat awam dan RM250 untuk pesara, takkan hendak beli bendera sebatang pun tak boleh,’’
Benar kata Omar. Bukan senang untuk membeli sebatang bendera. Kalau boleh hendak percuma. Menjelang hari raya, orang ramai boleh berbelanja besar untuk menghias rumah dengan lampu hiasan berwarna warni atau pelita minyak tanah. Mereka mampu berbelanja untuk membeli kain berwarna warni bagi menggantikan langsir yang masih elok. Begitu juga dengan alas meja. Alangkah eloknya menjelang hari raya lalu, keghairahan membeli-belah itu memasukkan juga senarai membeli Jalur Gemilang. Bagaimanapun ada juga pemimpin yang mengambil kesempatan mengedarkan Jalur Gemilang semasa rumah terbuka Aidilfitri seperti ditunjukkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri Yaakob di kawasan Parlimennya, Bera.
Apalah ada pada Jalur Gemilang? Memang benar, ramai yang tidak tahu nilai secebis kain berjalur merah putih itu. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera, tetapi lambang kedaulatan dan identiti negara. Seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak, mengibarkan Jalur Gemilang dengan pengertian sepenuhnya menunjukkan semangat patriotik serta melambangkan kedaulatan dan jati diri negara. Janganlah kita mengibar bendera kebanggaan negara sejak 1950 itu sebagai ikut-ikutan. Kibarlah bendera dengan rasa megah bahawa bendera adalah identiti jati diri rakyat, lambang rakyat Malaysia yang bersyukur atas kejayaan negara.
Bendera amat bermakna kepada sesebuah negara. Cuba selak kembali, apakah reaksi kita apabila Jalur Gemilang dibakar oleh penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati terhadap negara? Selak juga tindakan penunjuk perasaan di mana-mana sahaja di dunia yang akan memijak, mengoyak atau membakar bendera sebagai tanda protes. Kenapa mereka melepaskan geram kepada bendera? Jika bendera tidak ada nilainya, sudah tentu tindakan pijak dan bakar tidak memberi sebarang kesan.
Malang sekali, di negara kita, ada pihak yang cuba memperkecilkan Jalur Gemilang ini. Disebabkan politik kepartian, Jalur Gemilang diperlekehkan. Sejarah negara telah mencatatkan peristiwa memperkecilkan bendera ini. Selak teringat pada tahun 2011 bagaimana ketika itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan mahu Jalur Gemilang ditukar kepada bendera baru jika mereka memerintah. Beliau memperkecilkan bendera Malaysia kononnya ia ditiru daripada bendera Amerika Syarikat dan terlalu melambangkan Barisan Nasional (BN). Dia dilaporkan enggan mengibarkan bendera kebangsaan itu sebaliknya mengedarkan bendera DAP di kawasannya.
Tahun lalu, timbul pula isu berkibarnya bendera yang dinamakan Sang Saka Malaya yang diadaptasi daripada bendera Indonesia dan Singapura. Bendera itu dikibar di beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor serta pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka. Bendera ini juga didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa. Begitulah nasib Jalur Gemilang, bendera kebanggaan kita. Sepatutnya parti-parti politik turut memainkan peranan untuk menggalakkan rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik turut sama mengibarkan Jalur Gemilang. Semangat mengibarkan bendera menjelang pilihan raya umum (PRU) perlu dihidupkan dalam suasana menyambut kemerdekaan ini. 
Lihat sahaja semasa kempen PRU lalu, bermacam-macam saiz bendera parti politik dapat dilihat. Lebih hebat, ada bendera parti yang dijulang sehingga ke pucuk pokok, di lereng bukit dan pelbagai lagi yang menampakkan kesungguhan untuk menonjolkan simbol parti masing-masing.
Eloklah dalam suasana menyambut kemerdekaan ini, parti-parti politik turut mempunyai semangat yang sama iaitu di samping membekalkan bendera, kali ini Jalur Gemilang, pasanglah seberapa banyak yang mungkin dengan kreativiti masing-masing. Mungkin juga di bawah bendera Malaysia itu, tertera nama parti politik atau lambang parti bersaiz kecil sebagai tanda sumbangan mereka. 
Mungkin Pas yang benderanya boleh kelihatan di sana sini walaupun di luar musim PRU dapat mempelopori langkah ini. Siapa tahu, di setiap kenderaan berkibar Jalur Gemilang beserta lambang bulan yang secara tidak langsung akan mempromosi parti berkenaan. Bukan setakat bendera, pelekat kereta juga boleh dikeluarkan. Berbaki 12 hari lagi, pemasangan Jalur Gemilang diharap dapat disemarakkan lagi. Semoga rakyat Malaysia tidak segan atau malu mengibarkan Jalur Gemilang. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-56. Semoga Malaysia, negara tanah tumpah darah kita ini terus bermaruah dan berdaulat.