Persekitaran punca orang Cina gagal kuasai bahasa Melayu – LAMA SANGAT DIPOLITIKAN..

18 November 2014 2:08 AM
KUALA LUMPUR 17 Nov. – Masalah utama orang Cina tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan fasih kerana terdapat kekangan persekitaran di sekolah vernakular yang tidak membantu mereka berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.
Aktivis bahasa, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tim berkata, orang Cina, termasuk pelajar bukannya tidak suka, benci atau anti dengan bahasa Melayu tetapi mereka sebenarnya tidak boleh bertutur dengan baik meskipun memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran tersebut.
Katanya, bagi menyelesaikan masalah itu, kerajaan perlu mengubah sistem pengajaran dan pem­belajaran (P&P) bahasa Melayu di sekolah vernakular, khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
“Ini sahaja langkah yang perlu diambil dan saya yakin semua pihak termasuk Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan turut bersetuju.
“Kerajaan tidak perlu mengambil langkah menutup sekolah-sekolah vernakular ini kerana sekolah Arab juga terlibat sama, sedangkan sekolah seperti itu penting dalam mendidik pelajar untuk menguasai bahasa Arab sekaligus memahami maksud hadis dan al-Quran,” katanya kepada di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya masyarakat Cina sensitif terhadap orang Melayu seperti mana orang Melayu bertindak sama terhadap kaum tersebut bagi memastikan negara terus aman dan harmoni, semalam.
Mengulas lanjut Swee Tim berkata, perubahan P&P itu secara tidak langsung mengatasi masalah polarasi atau berpuak-puak dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, situasi itu wujud kerana orang Cina atau India tidak boleh bergaul mesra dengan orang Melayu atas sebab kekangan pemahaman dalam bahasa kebangsaan.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Zafry Mohd. Yunus berkata, kaum Cina harus menyemai semangat kenegaraan yang tinggi dalam diri mereka.
Perkara itu, kata beliau, kerana sejak kebelakangan ini banyak isu perkauman serta penghinaan terhadap negara dan institusi diraja berlaku.
Katanya, perkembangan tersebut adalah berpunca daripada kurangnya penerapan nilai murni serta pemahaman mendalam terhadap Rukun Negara dalam kalangan masyarakat.
“Penguasaan dalam penggunaan bahasa Melayu dengan betul juga harus ditekankan kerana dengan adanya persamaan dalam bahasa dapat kita memastikan komunikasi yang lebih berkesan dan semangat 1Malaysia boleh direalisasikan.
“Saya ingin mencadangkan agar parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA, MIC dan Gerakan melakukan satu inisiatif bersama untuk menggalakkan kaum bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu dengan lebih efektif,’’ katanya.

POLITIK : UMNO bahas isu akta hasutan, sekolah vernakular

KHAIRULANUAR YAHAYA | 11 November 2014 5:15 PM
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa usul Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (duduk, lima kanan), Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (duduk, lima kiri) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (duduk, enam kiri). – fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR 11 Nov.- Dua isu hangat iaitu Akta Hasutan dan sekolah vernakular antara sembilan perkara yang dijangka mendominasi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Ibu pejabat UMNO telah menerima sebanyak 755 usul daripada 191 Bahagian UMNO seluruh negara.
“Jumlah tersebut melibatkan 368 Usul Untuk Rujukan dan 117 Usul Tanpa Bahas. Tiada usul yang ditolak. 638 Usul Untuk Rujukan melibatkan 81 usul pindaan perlembagaan, 87 usul politik, 67 usul ekonomi, 74 usul agama, 170 usul sosial, 121 usul pendidikan dan 38 usul lain-lain,” kata beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul, Perhimpunan Agung UMNO 2014 bercakap demikian pada sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menurut Hishammuddin, isu kawalan dan penguatkuasaan media sosial yang dikatakan lemah, kos sara hidup dan kualiti kehidupan turut dijangka akan mendominasi perbahasan nanti.
“Selain itu isu pengkaderan dalam UMNO dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memartabatkan ekonomi bumiputera juga akan dibahaskan oleh perwakilan,” katanya.
Turut menjadi tumpuan adalah usaha memartabatkan peranan cawangan-cawangan dengan peruntukan secukupnya, tataetika pemilihan parti dan pindaan serta penambahbaikan perlembagaan parti dengan memasukkan fasa ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Hishammuddin berkata, perwakilan tidak diberi sebarang sekatan dalam membahaskan usul pada perhimpunan nanti.
Selain itu seorang jurucakap daripada perwakilan Kelab UMNO Luar Negara dan seorang wakil mahasiswa institut pengajian tinggi tempatan juga diberi peluang untuk berbahas. – UTUSAN ONLINE


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-bahas-isu-akta-hasutan-sekolah-vernakular-1.23468#sthash.cEScvHZ6.dpuf


POLITIK : Perpaduan masa depan MCA – MARI SAMA-SAMA FIKIR…

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak berbual bersama beberapa pemimpin MCA ketika melawat galeri sejarah MCA sambil diperhatikan oleh Liow Tiong Lai (kanan) dan Wee Ka Siong (empat dari kiri) pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan muridnya ke tahap lebih baik.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dalam percakapan.
“Kita harap SJKC belajar bahasa kebangsaan dengan baik, boleh tak? Jangan guna ‘gua’, ‘lu’ lagi. Bercakap seperti Presiden MCA. Keseluruhan ucapan dasar beliau dalam bahasa (Melayu), tahniah. Kita hendak macam itulah, lancar bahasa kebangsaannya.
“Orang Melayu pun boleh belajar bahasa Mandarin, anak saya pun belajar bercakap bahasa Mandarin,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan barisan kepemimpinan parti itu serta komponen Barisan Nasional (BN).
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, masyarakat Cina tidak perlu bimbang dengan pembelajaran bahasa ibunda di SJKC kerana telah termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Jangan risau mengenai SJKC, ia sudah pun termaktub bahawa hak belajar bahasa ibunda dalam undang-undang negara. Dalam nasional blue print pun ada SJKC. Sebab itu saya bagi peruntukan baharu kepada SJKC dalam bajet kali ini,” katanya.
Sementara itu, menurut Najib, masa depan MCA kini bergantung sepenuhnya kepada perpaduan ahli dan pemimpinnya.
Berikutan itu, kata beliau, pemimpin MCA perlu merapatkan barisan dan menghentikan sebarang pertelingkahan sesama sendiri bagi mengelakkan rakyat berasa bosan serta parti tersebut kehilangan hala tuju.
Sebagai parti komponen BN, kata beliau, MCA mesti menjadi parti yang kuat dan bersatu sekali gus membantu mengembalikan semula sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada pilihan raya akan datang.
“Masa depan MCA bergantung kepada perpaduan. Perlu saling bekerjasama dan kuat bersama-sama. MCA ialah rakan kongsi kami, jangan gaduh sesama sendiri. Sudah-sudahlah,” katanya yang menyifatkan kewujudan puak-puak dalam parti akan menyulitkan pemilihan calon pilihan raya.
Najib bagaimanapun percaya kepemimpinan baharu MCA di bawah Tiong Lai telah menetapkan hala tuju dan gerakan untuk memulihkan parti berkenaan selain mengajak mereka mengingati sejarah perjuangan pemimpin terdahulu dan memahami asal-usul pembentukan negara, Perlembagaan serta perjanjian kontrak sosial.
Beliau cuba berlaku adil dan mahu melakukan lebih banyak kepada semua kaum tetapi masyarakat Cina juga perlu untuk menyokong BN.
Terdahulu, Tiong Lai dalam ucapannya berkata, MCA membantah pihak yang mencabar atau mempersoalkan kedudukan pendidikan Cina dalam negara ini khususnya desakan agar SJKC dimansuhkan.
Beliau berkata, institusi pendidikan Cina telah melahirkan ramai golongan profesional berkemahiran tinggi dan berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara.
“Desakan untuk memansuhkan SJKC tidak akan membantu BN meraih sokongan rakyat. Kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya untuk menjamin kesinambungan kepelbagaian bahasa yang terdapat dalam negara kita,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141013/dn_01/Perpaduan-masa-depan-MCA#ixzz3G0DnJOFF  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : Jangan campur urusan UMNO

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
DARI KIRI: Mohamad Azli, Ti Lian Ker, Leong Kim Soon
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad mengingatkan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon agar tidak mencampuri urusan dalaman UMNO, sebaliknya mereka sendiri perlu bekerja keras menarik balik sokongan kaum Cina kepada MCA yang berkurangan.
Mohamad Azli berkata demikian sebagai jawapan kepada kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan yang menyelar cadangannya supaya Perhimpunan Agung UMNO kali ini membahaskan sama ada sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) perlu diteruskan atau dimansuhkan selepas dilihat telah diperalat oleh pembangkang dalam menabur sentimen perkauman dan antikerajaan.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
* Lian Ker perlu menutup mulut sebab calon-calon MCA hanya menang pilihan raya dengan undi orang Melayu, bukannya undi kaum Cina. Lian Ker tidak mempunyai locus standi (hak) sebab kaum Cina tolak parti MCA.
* Lian Ker perlu sedar bahawa beliau tidak mewakili suara kaum Cina, maka saya memintanya supaya jangan syok sendiri dan bermimpi di siang hari.
* Tidak perlu ajar kami dalam UMNO tentang apa yang boleh dibahas dan yang tidak boleh dibahas. Tidak perlu jaga tepi kain UMNO, pergilah jaga kain parti DAP.
* Saya ingin menasihatinya supaya buka mata dan sedar bahawa SJKC banyak memberi keuntungan politik kepada pembangkang, bukannya MCA.
* Jangan berangan-angan mahu menjadi hero kepada semua kaum Cina sebab MCA gagal menangani DAP walaupun Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu belum disahkan.
* Saya kira MCA sedar tentang hakikat sebenar iaitu kaum Cina menolak MCA. Saya amat simpati dan kasihan kepada keadaan MCA sekarang. Tetapi Lian Ker dan Kim Soon masih tidak sedar diri dan syok sendiri serta menganggap mereka masih mewakili kaum Cina sehingga mahu pertahankan SJKC. Mereka sudah lupa kaum Cina tolak mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20141007/po_05/Jangan-campur-urusan-UMNO#ixzz3FWWpnJ6J  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : Isu SJKC dan hina Islam jadi tumpuan

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) bersama Mohd. Zainal Abidin Rafique (dua dari kiri) beramah mesra dengan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Mohd. Feisol Mohammad Hasan (dua dari kanan) pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang, di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Isu mengenai sistem sekolah satu aliran serta penggunaan media sosial untuk menghina agama lain mendapat perhatian ahli UMNO apabila terus dibangkitkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian yang berlangsung hari ini.
Di JOHOR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Muar menegaskan, UMNO tidak rasis hanya kerana membangkitkan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu tidak perlu dibina dan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat serta cubaan mengalih perhatian daripada isu pokok.
Sambil membidas tuduhan itu, katanya, isu sebenar ialah berkenaan perpaduan yang gagal dipupuk dan kira-kira 1,200 SJKC sedia ada dilihat sudah cukup mengikut kuota ditetapkan.
“Kita kena ada sasaran (jumlah SJKC). Kita perlu tahu sekolah mesti jadi tempat permulaan perpaduan. Kalau dari kecil sudah dipisahkan (apabila besar mereka) akan terus terpisah dan ada yang tidak fasih berbahasa Melayu.
“Kalau kita ikhlas nak bersatu padu dan maju bersama ini perlu dilakukan. Kalau tidak cukup SJKC dan minta lagi, sampai bila masalah (perpaduan) tidak selesai,” katanya dalam mesyuarat yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Muar.
Di PULAU PINANG, Ketua Wanita UMNO negeri, Norliza Abdul Rahim pula berkata, sistem sekolah satu aliran yang pernah dicadangkan sebelum ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih meluas dan tidak disempitkan dengan persepsi sebagai percubaan ‘membunuh’ sistem pendidikan vernakular.
Menurutnya, sistem sekolah satu aliran sebenarnya merupakan asas penting kepada penyatuan nasional yang harus bermula pada peringkat kanak-kanak lagi.
“Sekiranya sistem sekolah satu aliran dilaksanakan tidak bermaksud bahasa Mandarin dan Tamil akan pupus di negara ini, tetapi tetap boleh diajar dan diseragamkan mengikut kesesuaian.
“Dalam masa sama akan mewujudkan sikap saling menghormati dalam kalangan murid terhadap kepelbagaian bahasa yang wujud di negara ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bukit Mertajam.
Dalam pada itu, isu pendakwaan terpilih yang berlaku dengan majoriti ‘mangsanya’ merupakan orang Melayu menjadi topik panas dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam hari ini.
Pengerusi Biro Hal-Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika merasmikan mesyuarat berkenaan secara terbuka mengkritik pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal itu tetapi gagal melaksana tugas mereka sehingga mewujudkan keadaan demikian.
“Kita dapat lihat pendakwaan terpilih berleluasa dan pihak Pemuda UMNO, saya berasa tersentuh hati apabila beberapa ahli Pemuda di negeri ini sudah didakwa di mahkamah baru-baru ini kerana menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan orang yang memulakannya masih bebas,” katanya.
Nazir Hussin kecewa apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memberi alasan tidak munasabah setiap kali isu pendakwaan terpilih dibangkitkan.
“Dalam kes Namewee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, R.S.N. Rayer dan seorang lelaki menendang remaja yang tersebar dalam laman sosial, terdapat beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara tetapi tiada tindakan. Dalam kes Namewee misalnya, bukti video klip jelas menunjukkan perbuatan menghina agama Islam apabila mempersendakan azan tetapi tiada tindakan susulan. Adakah pihak berkuasa terlalu lemah sehingga gagal mengesan beliau?” katanya.
Nizar Hussin turut mendedahkan, siasatan pihaknya mendapati terdapat 17 kes berkaitan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan perkauman menerusi media sosial diabaikan.
Di KEDAH, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menggesa orang Melayu supaya bersatu bermula daripada sekarang jika mahu kekal berkuasa dan dihormati oleh kaum lain di negara ini.
Katanya, penghinaan terhadap agama Islam, orang Melayu dan institusi raja yang semakin menjadi-jadi di laman sosial sekarang disebabkan orang Melayu berpecah.
“Dulu kita kuat dan orang lain tidak berani menggugat kita, namun sekarang kerana kita berpecah kita senang dirobohkan dan dihina.
“Orang lain melihat Melayu sebagai kaum yang lemah disebabkan kita berpecah-belah walaupun kita adalah majoriti. Perpecahan membuatkan kita menjadi seperti kaum minoriti di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sik di Dewan Institut Kemahiran Mara di situ.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140817/po_12/Isu-SJKC-dan-hina-Islam-jadi-tumpuan#ixzz3AnkK9mI4  © Utusan Melayu (M) Bhd