Hari Pahlawan perlu jadi acara nasional

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan MOHD. FAUZI MOHAMAD SUHAIMI
pengarang@utusan.com.my
ISMAIL Ahmad (dua dari kiri) bersama Mohd. Anwar Mohd. Nor (empat dari kanan), Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (tiga dari kanan), Mohd. Noordin Abbas (kiri) dan Abdul Aziz Ishak (kanan) melakukan simbolik perasmian logo baharu Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) semasa majlis ‘Pahlawan Jasamu Dikenang’ di Dewan Besar Ibu Pejabat, Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Utusan, melalui Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AIZZUL A.MAJID
KUALA LUMPUR 28 Ogos -Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun perlu dijadikan acara nasional seperti sambutan Hari Kebangsaan bagi menghargai pengorbanan keringat, darah dan nyawa para perajurit negara.
Langkah itu juga sebagai medan terbaik untuk menerapkan nilai patriotik terutama dalam soal mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli mana-mana pihak khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini dilihat semakin terhakis.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan tersebut dan sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk berbuat demikian.
Katanya, cadangan mengenai langkah menjadikan Sambutan Hari Pahlawan sebagai acara nasional akan dibawa kepada kerajaan dalam masa terdekat dan berharap usaha berkenaan disokong pelbagai pihak kerana objektifnya demi patriotisme.
“Sekarang ini kalau tanya golongan muda, terlalu sedikit yang sedar dan mengingati tarikh Hari Pahlawan. Hari Pahlawan ini besar maknanya terutama bagi perajurit dan pengisiannya perlu bersifat nasional, bukan sekadar kutipan derma.
“Kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik untuk mengangkat darjat Hari Pahlawan sebagaimana sambutan Hari Kemerdekaan agar kita dapat mendidik rakyat Malaysia pentingnya nilai patriotik,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian selepas majlis ‘Pahlawan Jasamu Sentiasa Dikenang’ anjuran bersama PV-ATM dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di ibu pejabat akhbar itu di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad dan serentak dengan itu, logo baharu PV-ATM juga dilancarkan.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Anwar memberitahu, sambutan orang ramai khususnya sektor korporat terhadap kempen derma Tabung Hari Pahlawan sangat tidak memberangsangkan tetapi pihaknya masih menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta.
“Sasaran kita sama seperti tahun lalu kerana kami realistik, memandangkan sambutan daripada sektor korporat khususnya sangat tidak menggalakkan. Namun begitu kami akan terus meningkatkan usaha untuk menyedarkan mereka,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Anwar berkata, PV-ATM yang dahulunya dikenali sebagai Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kini sedang melaksanakan proses transformasi dan penjenamaan semula untuk mengembalikan kegemilangan persatuan.
Katanya, proses transformasi yang dibuat telah mula menampakkan hasil apabila kewujudan PV-ATM berjaya mendapatkan kembali penerimaan kerajaan, rakyat Malaysia serta veteran tentera sendiri yang berjumlah 160,000 orang kepada pertubuhan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140829/dn_04/Hari-Pahlawan-perlu-jadi-acara-nasional#ixzz3BjjU6LxT  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Advertisements

Indeks Syariah diguna pakai

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak dan Jamil Khir Baharom (enam dari kiri) bergambar kenangan dengan Ahli Jawatankuasa Majlis Perhimpunan Ulama dan Umara serta penyampaian Anugerah Masjid Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. – UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 28 Ogos – Indeks Syariah untuk mengukur dan menilai pencapaian Malaysia dalam melaksanakan tuntutan syarak melalui maqasid syariah bakal diguna pakai di negara ini bermula Januari 2015.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, penyelidikan Indeks Syariah yang komprehensif itu sedang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim).
Beliau yang menyifatkan program itu amat dekat di hatinya menjelaskan, indeks tersebut mengukur tahap keseriusan usa-ha Malaysia dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.
“Banyak sangat polemik berhubung ada yang kata Malaysia merupakan negara Islam dan ada pula sebaliknya. Oleh itu, perlu ada ukuran secara saintifik berhubung keperluan tersebut.
“Menerusi indeks ini, kita boleh buat ukuran dan negara boleh buat perbandingan. Kalau ada yang sudah berjaya, Alhamdulillah, kalau masih ada kekurangan lagi, kita sama-sama perbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perdana Ulama-Umara dan Anugerah Masjid Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapa dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Albakri.
Sementara itu, Masjid As-Salam, Puchong Perdana, Selangor dinobatkan Juara Masjid Kariah 2014 manakala Masjid Sultan Yahya Petra, Machang dinobatkan sebagai Johan Masjid Daerah 2014 dalam majlis tersebut.
Nazir Masjid As-Salam, Yasim Mohamed berkata, penganjuran program yang melibatkan pelbagai anggota masyarakat termasuk yang bukan beragama Islam merupakan antara faktor kejayaan masjid itu.
Katanya, usaha itu berjaya menggarap nilai dakwah dalam kalangan ahli kariah bahawa masjid merupakan tempat penyatuan masyarakat walaupun mereka berbeza kepercayaan.
“Program pengimarahan tersebut menyebabkan Masjid As-Salam mendapat tempat di hati masyarakat bukan sahaja sebagai tempat menunaikan ibadah tetapi tumpuan aktiviti kebajikan dan ekonomi. Malah program sumbangan yang pernah kita anjurkan juga disalurkan kepada para penduduk yang bukan beragama Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Imam Tua Masjid Sultan Yahya Petra, Abd. Razak Husein menyifatkan kemenangan itu adalah hasil semangat kesatuan dalam kalangan ahli jawatankuasa bagi mengimarahkan rumah ibadah itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140829/dn_03/Indeks-Syariah-diguna-pakai#ixzz3Bjb7fd00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PIALA MALAYSIA : Aksi Kedah, Sarawak tegang

Pemain Kedah, Shafizan Hashim menendang pemain Sarawak, Junior Eldstal menyebabkan kedua-duanya dilayangkan kad merah dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi. – UTUSAN/Safrizal Azmi
KUALA LUMPUR – Juara Liga Perdana, PDRM muncul pasukan pertama mengesahkan tiket ke suku akhir, namun kerancakan Piala Malaysia sedikit tercemar dengan aksi tegang di antara Kedah dan Sarawak yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan di Alor Setar semalam.
Malah, kempen Piala Malaysia turut dikejutkan dengan kekalahan 1-2 juara 32 kali, Selangor kepada pasukan berstatus kelab, Sime Darby di Shah Alam.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, PDRM mengekalkan rekod empat kemenangan berturut-turut dan menjadi pasukan pertama ke suku akhir selepas menumpaskan T-Team 2-1.
Penyerang import dari Maldives, Ashfaq Ali menjadi wira apabila meledak kedua-dua gol pasukan pelawat.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, dua jaringan Sime Darby pada 15 minir terakhir mengejutkan Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.
Tuan rumah yang banyak menguasai permainan mendahului pada minit ke-63 melalui Ahmad Hazwan Bakri.
Ketika Selangor sibuk mencari gol tambahan, pemain gantian Sime Darby, Fahrul Razi Kamaruddin mengejutkan mereka dengan gol penyamaan minit ke-75, sebelum Mateo Roskam meledak gol kemenangan pada minit ke-81.
Sementara itu, tiga kad merah yang diberikan kepada Junior Eldstal, Shafizan Hashim dan Gabor Gyepes mencemari perlawanan Kedah dan Sarawak di Stadium Darul Aman yang berakhir tuan rumah menang 2-1.
Dalam aksi tegang itu, pengadil, Syed Azhar Syed Kamar diserbu pegawai skuad Bujang Senang sebaik saja tamat perlawanan.
Di Stadium Perak, tuan rumah gagal mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B apabila sekadar seri 1-1 dengan Terengganu walaupun mendahului perlawanan menerusi Hafiz Ramdan pada minit ke-47.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140828/su_04/Aksi-Kedah-Sarawak-tegang#ixzz3BeUhiR4H  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : Rayer mengaku tidak bersalah

Oleh AZELI ALI
azel.ali@utusan.com.my
R.S.N Rayer
PULAU PINANG 27 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan ceramah di Jalan Delima, Island Glades, Jelutong, di sini Mei lalu.
Rayer, 43, daripada parti DAP mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli UMNO dengan melafazkan kata-kata menghasut pada ceramahnya itu.
Rayer yang juga peguam didakwa menyebut kata-kata menghasut ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.
Pelbagai pihak sebelum ini merasakan Rayer sepatutnya didakwa dari dahulu lagi dan meminta supaya kesnya tidak ditangguh.
Malah, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz baru-baru ini meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap Pejabat Peguam Negara yang didakwanya mengamalkan ‘pendakwaan terpilih’ terhadap mereka yang menghina agama, bangsa dan negara.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, paling ketara adalah dalam kes Rayer yang menggelarkan UMNO celaka.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani yang mengendalikan pendakwaan memohon jaminan RM20,000 atas alasan kes berkenaan merupakan kes berprofil tinggi dan kejadian berlaku di dalam DUN.
Walau bagaimanapun, Gobind Singh Deo yang mengetuai barisan tiga peguam yang mewakili Rayer memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM2,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.
Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan Rayer diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sementara di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, Rayer turut dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama kerana didakwa menyebut kata-kata menghasut dalam ceramahnya di Taman Permainan Kanak-kanak, Jalan Delima, Island Glades, Jelutong di sini pada pukul 10 malam, 22 Mei lalu.
Bagi pertuduhan pilihan pula, Rayer didakwa mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli UMNO dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh memecahkan keamanan awam pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakim Zaharah Hussain kemudian membenarkan Rayer diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes di kedua-dua mahkamah pada 17 Oktober ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140828/ma_01/Rayer-mengaku-tidak-bersalah#ixzz3BeScYI4M  © Utusan Melayu (M) Bhd 



MH17 – Fasa mencabar kenal pasti jenazah

THE HAGUE 27 Ogos – Proses mengenal pasti identiti baki mayat warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 kini memasuki fasa sukar dan mencabar.
Anggota Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17, Datuk Dr. Zahari Noh (gambar) berkata, kes itu semakin rumit kerana pakar forensik kini hanya boleh bergantung kepada DNA yang prosesnya mengambil masa panjang.
“Kini di fasa DNA, proses semakin lebih terperinci. Jika wujud padanan cap jari atau DNA, kes boleh diteruskan untuk pengesahan identiti.
“Ia ambil masa lama, boleh juga sekejap. Ada kes terpaksa dikaji semula. Ada yang (ambil masa) satu hari sahaja sudah selesai proses identifikasinya.
“Pakar kini tidak boleh lagi bergantung kepada padanan seperti cap jari tangan atau gigi seperti pengecaman dan identifikasi jenazah lain sebelum ini,” katanya di sini.
Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang itu berkata demikian sewaktu temu bual bersama Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pakar forensik itu adalah satu-satunya wakil Malaysia dalam Lembaga Pengenalpastian Identiti Mangsa MH17 yang ditempatkan di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum dekat sini.
Dr. Zahari menjelaskan, dalam menentukan identiti jenazah, ia perlu melalui proses seperti pengumpulan anggota badan, bedah siasat dan rekonsiliasi (yang melibatkan gabungan pengumpulan anggota badan dan bedah siasat menggunakan teknik padanan cap jari, DNA serta patologi).
Katanya, selesai sahaja proses tersebut, mana-mana kes yang telah dikenal pasti identiti jenazah itu akan dibentangkan ke lembaga.
Jelas beliau, antara tugasnya adalah meneliti setiap kes yang dibentangkan dalam mesyuarat yang diadakan tiga kali seminggu; Isnin, Rabu dan Jumaat untuk tujuan pengenalpastian dan pengesahan identiti.
“Ada tujuh orang di dalam lembaga itu dari pelbagai bidang seperti pendakwa raya dan dari negara lain termasuk Belanda dan United Kingdom.
“Tugas kami adalah bersidang, semak setiap kes, buat presentasi. Apabila semua sudah setuju, baru sahkan identiti jenazah.
“Apabila ada jenazah Malaysia telah dikenal pasti dan disahkan, saya akan memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di sini yang kemudian akan memaklumkan kepada keluarga dan lain-lain lagi,” katanya.
Dr. Zahari menarik perhatian, sebaik sahaja jenazah dikenal pasti, pelbagai proses dokumentasi pula diperlukan untuk membawa keluar jenazah ke Rumah Mayat Monuta.
Mengikut Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti, jenazah adalah milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah kemudian perlu melalui lima proses penting.
Ini antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.
Selesainya proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90 kilometer dari Hilversum untuk menjalani urusan pengurusan jenazah mengikut agama masing-masing.
Ditanya mengenai rungutan sesetengah pihak mengenai kenapa semua jenazah tidak dibawa keluar secara serentak, beliau berkata, setiap proses identifikasi memerlukan masa dan perlu mengharungi pelbagai fasa.
“Umum perlu faham, ada 298 kes dan setiap kali bersidang, cuma 20 kes sahaja dibentangkan. Dari situ, tidak semua yang dikenal pasti adalah warganegara Malaysia.
“Prosedur di sini seperti identifikasi dan autopsi adalah berbeza. Kecepatan proses pengenalpastian mana-mana jenazah bergantung kepada selesainya fasa rekonsiliasi,” katanya.
Tegas Dr. Zahari, mana-mana kes jenazah sama ada lengkap atau sebaliknya yang telah selesai melalui proses rekonsiliasi akan dibawa ke lembaga mengikut giliran dan secara rawak.
“Tidak semestinya setiap kali kami bermesyuarat, akan ada kes yang dibentangkan melibatkan jenazah Malaysia.
“Kita tidak tahu mayat dari negara mana yang datang atau kes apa dibentangkan. Malah ada beberapa kes yang ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah terdapat 180 dari 298 mayat telah dikenal pasti ketika ini.
Dr. Zahari yang telah berkhidmat hampir 27 tahun dalam bidang kesihatan termasuk forensik ini berkata adalah menjadi keinginan dan harapan untuk mengenal pasti dan menemui kesemua mayat warga negara Malaysia dalam kadar segera.
“Walau berdepan kerumitan, saya sering berdoa agar setiap kali mesyuarat, akan ada jenazah dari Malaysia dan dikeluarkan secepat mungkin, barulah lapang dada saya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan sebanyak 31 jenazah rakyat Malaysia telah dikenal pasti.
Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas dan pada Ahad kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi itu tiba di tanah air.
Satu lagi jenazah tiba pada Sabtu lepas.
Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.
Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. – BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140828/dn_03/Fasa-mencabar-kenal-pasti-jenazah#ixzz3BeRTOJWz  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Lapan lagi jenazah nahas MH17 tiba 2 September

Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Lapan lagi mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MH17) yang telah dikenal pasti akan dibawa pulang ke tanah air pada 2 September ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, tujuh mangsa adalah rakyat Malaysia manakala seorang lagi merupakan rakyat Belanda.
Katanya, pada masa ini, lapan jenazah tersebut sedang melalui proses dokumentasi di Amsterdam, Belanda.
“Dengan kepulangan lapan lagi jenazah ini, bermakna 32 jenazah rakyat Malaysia akan dan telah selamat dibawa pulang ke tanah air.
“Setakat ini kita telah berjaya membawa pulang 24 jenazah rakyat Malaysia dari Amsterdam. Jumlah ini melibatkan penumpang dan anak kapal serta krew teknikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, istiadat penghormatan lapan jenazah itu akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagaimana istiadat penghormatan jenazah yang diadakan sebelum ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, maklumat terperinci mengenai lapan jenazah itu akan dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 yang dijadualkan berlangsung pada 1 September ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha memastikan pasukan penyiasat dan pihak keselamatan Malaysia dibenarkan memasuki semula kawasan nahas sekali gus menjalankan tugasan yang belum selesai khususnya bagi mencari mayat yang masih belum ditemui.
Beliau menambah, dalam menangani tragedi itu, kerajaan amat konsisten bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 mesti dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sekeras-kerasnya.
“Pihak kerajaan amat berharap agar semua pihak termasuk media dapat menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17 dan bersama-sama menjaga privasi dan sensitiviti mereka,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140828/dn_02/Lapan-lagi-jenazah-nahas-MH17-tiba-2-September#ixzz3BeQOi54T  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PALESTIN : Penduduk Gaza rai kejayaan

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum (tengah) diusung oleh beberapa orang penduduk Palestin bagi meraikan persetujuan gencatan senjata dengan Israel di Gaza City, kelmarin. – REUTERS
GAZA CITY 27 0gos – Persetujuan gencatan senjata di antara Palestin dan Israel bagi menamatkan pergolakan berdarah di Gaza yang memasuki hari ke-50 semalam, disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan gembira oleh penduduk di wilayah ini.
“Hari ini kami mengisytiharkan kejayaan atas rintangan yang kami hadapi. Hari ini kami isytiharkan kejayaan bagi Gaza,” kata jurucakap pergerakan Hamas, Sami Abu Zuhri.
Penduduk Palestin meraikan persetujuan tersebut dengan berkumpul dan berarak di jalan-jalan raya sambil membunyikan hon kenderaan masing-masing, selain corong-corong pembesar suara di masjid turut memainkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah.
“Perasaan saya ketika ini bercampur baur. Kami terluka setelah berlakunya banyak kematian, tetapi kami juga berasa bangga kerana kami walaupun berperang secara bersendirian, tetapi perpaduan kami masih lagi kekal utuh,” kata seorang penduduk Gaza yang dikenali sebagai Ahmed Awf.
Bagaimanapun, Israel yang enggan memberi maklum balas lanjut berkenaan persetujuan itu berkata, jika persetujuan itu dihormati, usaha untuk membawa masuk bantuan makanan, perubatan dan bahan binaan bagi membangunkan semula Gaza akan berjalan dengan lancar.
“Israel tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk awam yang menyatakan sokongan mereka ke atas Gaza, tetapi kami tidak mahu melihat Hamas membina semula kekuatan ketenteraan mereka,” kata jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, Mark Regev.
Israel berpendapat pergerakan Hamas kini sedang mengalami tamparan hebat selepas beberapa orang pemimpin sayap ketenteraan mereka terbunuh, selain terowong bawah tanah yang menghubungkan mereka dengan kawasan sempadan Israel dimusnahkan.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jen Psaki berkata, pihaknya menggesa kedua-dua belah pihak untuk mematuhi syarat-syarat perjanjian yang telah ditetapkan bagi memastikan gencatan senjata berkenaan ‘bersifat kekal dan berterusan’.
“Kami melihat perkara ini sebagai satu peluang, bukan satu kepastian. Perjalanan masih panjang dan kita harus sentiasa menyedari akan perkara ini. Kita akan tangani masalah ini secara terbuka,” jelas Psaki.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_03/Penduduk-Gaza-rai-kejayaan#ixzz3BeOfra9O  © Utusan Melayu (M) Bhd