KMJ : Sultan Johor pandu bas 
jumpa rakyat di tiga daerah

FIKRI ROSLY | 13 Ogos 2015 1:15 AM
SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR bersama peserta Konvoi KMJ 2015 tiba dengan memandu sendiri bas Prevost Marathon di Padang Perumahan Kilang Sawit PPNJ, Batu 17 di Kahang, Kluang, Johor, semalam.
KLUANG 12 Ogos – S elepas dua hari menunggang motosikal berkuasa tinggi, hari ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menunjukkan kemahiran baginda mengendalikan bas untuk bertemu rakyat jelata di daerah Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015.
Walaupun memasuki hari ketiga KMJ 2015, namun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tetap ceria dan bersemangat memandu bas mewah, Prevost Marathon Coach sejauh 286 kilometer bermula dari Kem Batalion Ke-5 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batu 3, di sini menuju ke destinasi pertama Perumahan Kilang Sawit PPNJ, Batu 17, Kahang.
Pada majlis tersebut, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan hamper bernilai RM100 setiap satu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 20 individu dan pelbagai bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bernilai RM288,300 kepada 15 golongan asnaf.
Lima penerima bantuan MAINJ mendapat sumbangan perumahan berjumlah RM40,000 setiap seorang bagi membina kediaman yang dilengkapi dengan tiga bilik.
Sultan Ibrahim juga berkenan melawat pameran Jabatan Pertanian bagi melihat tanaman cili, lada, buah kelapa sawit, nanas, produk burung puyuh dan kraf tangan berasaskan rotan serta mengunjungi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Baginda kemudiannya mengadili pertandingan memasak yang disertai kaum India dan seterusnya menyaksikan pertunjukan acara memanah tradisional.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pertandingan sukan rakyat yang mengetengahkan acara seperti terompah gergasi, boling buah kelapa, lari dalam guni dan tarik upih.
Sultan Ibrahim kemudian meneruskan jelajah ke Felda Nitar 1, Mersing dan sempat singgah kira-kira setengah jam untuk beramah mesra dengan penduduk di sana.
Sementara itu, semasa singgah di Jeti Penyabong, di sini baginda berkenan menyampaikan sumbangan daripada MAINJ dan seterusnya melawat ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menyaksikan acara memancing dan bento ketam.
Selepas itu, baginda bersama kerabat diraja dan rombongan KMJ 2015 bersantap sambil menyaksikan sukan rakyat dan persembahan kebudayaan.
Konvoi kemudian meneruskan perjalanan ke Felda Tenggaroh 3 dan Tanjung Sedili untuk bertemu masyarakat sebelum bermalam di Desaru.
Hari terakhir konvoi esok akan menjelajah ke daerah Kota Tinggi dan Kulaijaya sebelum berakhir di Mutiara Rini, Johor Bahru.

Konvoi KMJ disambut meriah

LUQMAN HAZIQ ABDULLAH DAN MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 12 Ogos 2015 1:38 AM
SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR bersalam dengan rakyat jelata sempena Program Kembara Mahkota Johor 2015 di Muar, Johor, semalam Utusan/Ishak Rahmad
MUAR 11 Ogos – Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 yang memasuki hari kedua penjelajahannya terus berlangsung meriah dan di­sertai masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Konvoi bermotosikal diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang meneruskan jelajah dari daerah Muar ke Ledang, Segamat dan Kluang itu dilepaskan dari Tangga Agong, Bangunan Sultan Abu Bakar di sini kira-kira pukul 8 pagi oleh Pegawai Daerah Muar, Muji Salimon sambil disaksikan kira-kira 3,000 penduduk.
Konvoi kemudiannya menuju ke lokasi pertama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Persisiran Perdana, Ledang dan disambut meriah oleh warga sekolah tersebut.
Sultan Ibrahim turut berkenan melawat tapak sukan rakyat terdiri daripada 13 jenis sukan yang dimainkan secara serentak oleh pelajar sekolah itu antaranya ba­ling pot, motor tolak, gelang getah tagen, golek tayar, lari dalam guni, teng teng dan ceper.
Baginda turut menunjukkan kemahiran bermain gelang getah tagen atau lebih dikenali sebagai gundu manakala Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim pula menunjukkan bakat bermain senapang pelantak.
Selesai bersantap bersama rakyat, konvoi berkenaan meneruskan jelajah ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Ledang untuk menyaksikan pa­meran dan produk inovasi yang dihasilkan oleh pelajar pusat tersebut.
Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Kampung Paya Redan untuk sesi beramah mesra bersama penduduk diikuti Majlis Santapan di Padang Awam Lenga, Muar.
Di Padang Awam Lenga, ketibaan konvoi tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muh­yiddin Yassin.
Dalam majlis itu, Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada penerima.
Permaisuri Johor kemudian melawat gerai pameran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor diikuti pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi menyaksikan hasil kraf tangan masyarakat berkenaan.
Selepas beramah mesra selama kira-kira sejam di Kampung Sri Gajah, konvoi meneruskan jelajah sejauh 235 kilometer itu ke Pekan Kangkar Baru, Batu Pahat dan Kampung Melayu Batu 3 1/2 Paloh sebelum berakhir di Kem Batalion Ke-5 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batu 3, Kluang.
Esok, KMJ meneruskan jelajah pada hari ketiga dari Kluang menuju ke Mersing dan Kota Tinggi.

KMJ : Sultan Johor basah kuyup bertemu rakyat

12 Ogos 2015 1:38 AM
SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR (depan) mengetuai konvoi Kembara Mahkota Johor 2015 meredah hujan lebat untuk bertemu rakyat di Labis, Johor, semalam. Utusan/Baazlan Ibrahim
LABIS 11 Ogos. – Hujan lebat tidak menghalang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meneruskan konvoi bermotosikal untuk bertemu rakyat jelata di Kampung Sri Gajah, Chaah dekat sini.
Walaupun dalam keadaan basah, Sultan Ibrahim tetap terse­nyum melayani dan bersalaman dengan rakyat berbilang kaum di salah satu lokasi persinggahan Kembara Mahkota Johor 2015 (KMJ 2015) itu.
Orang ramai juga berkumpul beramai-ramai dan tidak mahu melepaskan peluang berjumpa dan menatap wajah sultan mereka dari dekat.
Turut berangkat Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta anakanda baginda yang lain.
Yang turut menyertai konvoi berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis.
Sepanjang hampir satu jam berada di Kampung Sri Gajah, Sultan Ibrahim sempat menyaksikan demonstrasi mencantum benih durian.
Baginda kemudian meneruskan KMJ yang memasuki hari ke­dua ke Batu Pahat dan Kluang.

KMJ 2015 berlepas dari Pontian

Jelajah 858 kilometer erat hubungan istana Johor dan rakyat
MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 11 Ogos 2015 1:26 AM
PONTIAN 10 Ogos – Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 yang menjelajah ke semua daerah sejauh 858 kilometer bermula hari ini, bakal mengeratkan hubungan antara is­tana dengan rakyat jelata.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tahunan yang memasuki edisi ke-18 itu juga amat dinanti-nanti oleh rakyat berbilang kaum di ne­geri ini.
“Penganjuran KMJ sejak 15 ta­hun lalu, dilihat dapat menge­rat­kan hubungan baik antara istana dengan rakyat untuk memperkukuhkan institusi raja berperlembagaan. Ini merupakan peluang yang dinantikan rakyat untuk bertemu Sultan.
“Rakyat negeri ini perlu berasa bertuah kerana mempunyai sultan yang prihatin terhadap perkembangan rakyat di setiap daerah,” kata­nya dalam Majlis Pelepasan Kembara Mahkota Johor 2015 di pekarangan Laman Diraja Pontian, di sini hari ini.
KMJ 2015 selama empat hari itu dilancarkan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Yang turut berangkat ke majlis berkenaan, Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che’ Puan Khaleeda Bustamam serta putera dan puteri baginda.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim dan barisan Exco kerajaan negeri.
Mohamed Khaled berkata, program berkenaan juga mampu menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Program bertemakan ‘Muafakat Bangsa Johor’ itu diketuai oleh Sul­tan Ibrahim yang menunggang motosikal Harley Davidson Street Glide dan disertai peserta konvoi yang terdiri daripada kerabat diraja dan pegawai kerajaan.
Hari ini, Sultan Ibrahim dan peserta konvoi bertemu rakyat jelata di daerah Pontian dan Batu Pahat sebelum bermalam di Muar.
Esok konvoi akan menjelajah ke daerah Muar, Segamat dan Kluang.

UMNO hanya perlu seorang nakhoda sahaja

10 Ogos 2015 1:33 AM
JOHOR BAHRU 9 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Johor berikrar akan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berpendapat parti itu hanya memerlukan seorang nakhoda.
Mohamed Khaled
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu ahli UMNO mesti memberi kepercayaan kepada Presiden parti untuk mengemudi bahtera parti.
“Kami mengambil ketetapan, UMNO hanya ada satu nakhoda iaitu Presiden UMNO dan kita mesti memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengemudi bahtera ini,” katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, dekat sini hari ini.
Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Md. Jais Sarday dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz.
Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang pada masa yang sama mengakui UMNO kini tidak berada dalam kedudukan sebaiknya, namun UMNO Johor tetap menyatakan sokongan sebulat suara terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta memberikan ruang untuk beliau merungkai segala isu dan kemelut yang melanda parti, bangsa dan negara, sekali gus mengharapkan jalan pencerahan untuk mereka.
“Atas sebab itu, kami mengalu-alukan dan menghargai janji Datuk Seri Presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa enam bulan dan kami juga menaruh kepercayaan ia akan tercapai,” katanya.
Mengenai isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet baru-baru ini, beliau mengulangi pendirian UMNO Johor yang menghormati keputusan Perdana Menteri biarpun pada hakikatnya ada dalam kalangan ahli UMNO Johor yang ‘terluka’.
“Mana mungkin kami akan membelakangkan Tan Sri Muhyiddin hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri. Persahabatan kami bukan kerana darjat, pangkat, gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat, ia adalah cara Johor,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan.
Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengingatkan semua ahli UMNO supaya tidak hilang fokus terhadap agenda utama parti, iaitu memperjuang dan memastikan kepentingan serta perpaduan orang Melayu di negara ini terus utuh dan kukuh.
“UMNO bukan milik sesiapa, UMNO institusi siasah milik bangsa Melayu, milik ummah. Maka tiada siapa yang lebih besar dan gah daripada ini semua, UMNO dan perjuangan bangsa Melayu mesti diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, UMNO Johor tidak akan sekali-kali membenarkan parti tersebut dikebumikan di negeri ini yang merupakan benteng paling kuat parti terbesar melayu itu.
Justeru, beliau mengajak semua ahli parti bersatu dan bermuafakat kerana UMNO adalah satu-satunya institusi yang membuahkan begitu banyak kebaikan kepada agama, bangsa dan negara, sekali gus mahu kepentingan parti itu dipertahankan.
Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan, sebagai benteng paling kuat, apatah lagi parti itu ‘dilahirkan’ di negeri ini, UMNO yang dibentuk, diasuh, ditatang dan didewasakan di sini mesti dipertahankan demi kelangsungannya.
“Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, ‘platletnya’ UMNO dan ‘DNA’ parti juga tanpa ragu adalah UMNO, sekali gus kami tidak akan sekali-kali membenarkan UMNO dikebumikan di negeri ini.
“Biar badai apa pun menghempas, biar gerhana apa pun yang terbias, UMNO pasti akan kami jaga dengan ikhlas, dengan amanah dan dengan keringat serta darah dan yakin Datuk Seri Presiden juga berkongsi pendirian dan rasa seperti kami. UMNO adalah amanah bangsa yang sangat besar,” katanya.