Veteran UMNO sertai DAP dan Perkara 153


Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my

DAP dilaporkan sedang menarik beberapa veteran UMNO untuk menyertai parti itu, sekali gus akan dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang bagi memancing undi orang Melayu.

Dua nama yang disebut-sebut ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Pahang, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz dan veteran UMNO Negeri Sembilan, Aspan Alias.

Blog Big Dog (bigdogdotcom.wordpress. com) menganggap usaha itu merupakan taktik terbaru DAP untuk menunjukkan bahawa mereka bukan sebuah parti untuk satu kaum sahaja, sebaliknya turut dianggotai kaum lain, khususnya orang Melayu.

Katanya, veteran-veteran UMNO itu pula akan dicalonkan di kawasan majoriti Cina bagi membuka peluang orang Melayu mewakili mereka selain menunjukkan kemajmukan DAP sesuai dengan dasar “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan.

“(Selain itu, ia juga bagi) mengaburi mereka yang bebal politik terutama orang Melayu yang cenderung kepada politik liberal bahawa DAP merupakan alternatif terbaik untuk menentukan Malaysia relevan sebagai masyarakat sivil yang canggih dan moden, sesuai dengan mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

“Menafikan kuasa politik yang secara tradisinya di tangan orang Melayu semenjak merdeka tanpa bergantung mutlak kepada Pas dan PKR sebagai ejen meraih undi orang Melayu,” katanya.

Katanya, veteran-veteran UMNO yang disebut-sebut DAP menyertai mereka itu adalah mereka yang sudah luput tarikh dan bankrap politik sehingga merelakan diri mereka menjadi kuda tunggangan DAP kerana mementingkan diri sendiri.

Blog Gerakan Anti PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula menganggap usaha DAP menarik kedua-dua pemimpin itu ke dalam parti sebagai satu isyarat bahawa DAP sudah tidak lagi perlukan Pas dalam usaha meraih sokongan Melayu.

“Isyaratnya ‘keldai DAP’ sudah tidak ada kualiti. Ia juga membawa maksud Pas selaku keldai ulung DAP sudah tidak mahu digunakan lagi pada PRU-13.

“Pas gagal dalam melaksanakan arahan DAP. Gagal dalam erti kata Pas gagal memahamkan Melayu bahawa DAP itu bukanlah anti-Melayu,” katanya.

Mengenai Perkara 153 Perlembagaan yang terus dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu, Syed Imran (kudaranggi.blogspot.com) menganggap apabila perkara itu diungkitkan oleh pemimpin agama, ia sudah mencapat tahap keterlaluan dan melampaui batas.

Katanya, isu berkaitan agama iaitu semua agama dalah sensitif dan mesti ditangani dengan berhemah dan cermat dan para pemimpin agama perlu berhati-hati sebelum mempersoal atau melempar tuduhan.

“Perkara 153 sebenarnya melindungi dan memelihara bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi semua rakyat Malaysia.

“Inilah yang mesti difahami oleh ketua paderi yang membangkitkan kontroversi mengenainya. Jika dia tak faham maksud yang terkandung dalam perkara itu, duduk diam sajalah. Jangan usik sarang tebuan. Buruk padahnya!,” katanya.

Syed Imran berkata, Perkara 153 (1) cukup jelas dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak, politik mahupun agama kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk memelihara dan melindungi kepentingan orang Melayu/Bumiputera serta semua rakyat baginda di Malaysia.

Bagi Syed Ali Alhabshee (umnobahagiancheras.blogspot.com) pula mempersoalklan Perkara 153 Perlembagaan boleh mencetuskan ketengan kaum serta menjerumus negara ke kancah kacau-bilau.

Katanya, perbuatan mempersoalkan ketetapan tersebut sengaja dilakukan pihak tertentu walaupun penjelasannya sudah berulang kali dibuat dan rakyat pelbagai kaum menerimanya sebagai salah satu Rukun Negara.

“Jangan cuba nyalakan kemarahan orang Melayu dan umat Islam walaupun mereka berselindung di sebalik pertubuhan agama,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Evangelical Christian Fellowship Nasional, Dr. Eu Hong Seng mempertikaikan Perkara 153 dan menyifatkannya sebagai membuli kaum lain.

Isu lain yang turut menjadi topik bualan di kalangan penulis blog minggu ini ialah berhubung sekeping gambar seorang remaja bukan Melayu yang menunjukkan isyarat lucah di hadapan kalimah Allah.

Sehubungan itu, beberapa blog menggesa pihak berkuasa menyiasat kesahihan gambar tersebut dan menyeret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Selamat menyambut Tahun Baru 2012

Muhasabah akhir tahun, bina harapan pada tahun baru

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
DARI UTUSAN MALAYSIA
30/12/2011

TAHUN baharu menjelang tiba, namun rentetan peristiwa yang berlaku pada tahun 2011 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis. Semuanya adalah rencah dan rencam kehidupan yang perlu kita fahami bagi membolehkan menjadikannya sebagai ikhtibar untuk masa depan.

Sejak permulaan 2011 lagi seluruh dunia dikejutkan dengan pelbagai bentuk bencana dan kerakusan moral manusia sehingga ke akhirnya masih tidak menunjukkan adanya tanda-tanda akan reda. Revolusi yang menimpa negara-negara Arab masih belum sepenuhnya kembali normal, bahkan gelora berontak rakyatnya semakin sukar untuk distabilkan kepada keadaan sebelumnya.

Bencana alam yang menimpa beberapa negara turut meninggalkan trauma yang besar apatah lagi dalam tempoh kurang dari setahun berlaku gempa bumi berikutnya sebagaimana terjadi di Christchurch, New Zealand. Masyarakat yang menghuni kawasan terbabit sentiasa berada dalam ketakutan.

Bencana berkembar yang menimpa Jepun turut menghimpitkan kehidupan sehingga sebahagian besar masyarakat Fukushima dan Niigata terpaksa membina semula dengan jerih payah. Kehilangan harta benda tidak dapat dilupa bahkan kehilangan sanak-saudara terus menjadi emosi sedih menyelubungi kenangan sepanjang hayat.

Thailand terbelenggu dengan kemusnahan yang besar akibat banjir yang melanda kota Bangkok selama lebih sebulan menyebabkan kerugian melampaui ratusan juta dolar. Bahkan fenomena air pasang besar yang melanda Kelantan, Johor, Terengganu dan Pahang menjadikan penghuni sekitar pantai sentiasa cemas. Kini diramalkan kejadian yang sama bakal menimpa pesisir pantai Sarawak dan Sabah.

Dalam perspektif Islam, setiap bencana yang melanda dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Allah SWT menguji kesabaran dan sikap pasrah dirinya. Bencana boleh dinilai sebagai perencah yang boleh menambahkan keimanan seseorang malah malapetaka itu juga boleh ditinjau dalam persekitaran kealpaan manusia terhadap keharmonian alam sekitar.

Lebih menyedihkan ialah bagaimana manusia turut melakarkan ke arah kehidupan yang serakah dan penuh kepalsuan sehingga sanggup melanggar nilai adat dan etika. Mereka yang berkuasa, sanggup melakukan “penjualan maklumat dari dalam” sehingga membolehkan kenalan atau kroninya membida sesuatu tender dengan tawaran yang lebih baik, sedangkan keupayaan fizikalnya amat terhad.

Mereka yang melaksanakan urusan pemberian kontrak sanggup menerima tawaran daripada para pelobi dengan sedikit imbuhan manakala ada juga yang menubuhkan syarikat tertentu atas nama sanak saudaranya yang terdekat semata-mata inginkan projek terbabit.

Bencana yang dimaksudkan itu menggambarkan betapa menipisnya moral seseorang, termasuk tokoh agama. Tokoh agama sanggup berbohong dan bahkan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam hal ini, ia bukan sahaja membantu membentuk imej buruk orang tertentu, bahkan organisasi yang berada di sekelilingnya.

Institusi agama turut menerima tempias, kerana ada segelintir pemimpinnya sanggup menipu atas alasan kepentingan agama. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada Hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan dosa. Padahal kamu mengetahui. ” (Al-Baqarah [2] : 188)

Kita tidak mengharapkan sesetengah bencana itu berlaku ke atas diri mahupun keluarga kita, tetapi ia boleh berlaku juga atas kesilapan diri kita sendiri. Dengan menurunkan bencana, Allah SWT sebenarnya memberikan petunjuk bahawa atas kedegilan itulah dunia bakal musnah dan kehidupan berkecai.

Namun, ketika ditimpa musibah, manusia begitu mengharapkan belas ihsan Allah SWT agar ia dihentikan secepat mungkin sebagaimana trauma manusia ketika dilanda tsunami tujuh tahun lalu.

Musibah juga merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah.

Betapa pahit dan getirnya musibah yang menimpa, baik berupa kemiskinan, kesakitan, ketakutan, kegagalan mahupun semua bencana di dunia ini, Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dansyaqi menjelaskan di dalam kitabnya Mau’idhatul Mu’minin bahawa di dalamnya mengandungi lima perkara yang sepatutnya disyukuri.

Pertama, memberikan kita pengertian bahawa musibah itu adalah hakikat kebesaran Allah SWT. Kedua,musibah yang menimpanya itu tidak membabitkan urusan agama.

Ketiga, musibah yang menimpanya pada ketika dia masih berada di dunia adalah lebih ringan berbanding ketika di akhirat. Semasa dilanda musibah di dunia, manusia masih mempunyai peluang untuk mengatasinya, tetapi di akhirat peluang itu tertutup sepenuhnya.

Keempat, sejak azali lagi setiap musibah itu telah tertulis di lohmahfuz, jauh sebelum kelahiran seseorang itu lagi.

Kelima, apabila kita dapat menerima musibah dengan sabar dan tenang, kita sebenarnya berupaya lahir sebagai orang kuat dan yakin dengan ketentuan Allah SWT, yakni menerima suratan takdir.

Dalam meneruskan kehidupan ini, kita harus bersyukur kerana kita dilahirkan dalam sebuah negara (Baldatun Thoiyyibatun) yang dilimpahi nikmat kekayaan, jauh daripada malapetaka alam yang besar dan sentiasa dilingkari kedamaian.

Secara lahiriah, kemakmuran boleh dilihat dengan jelas, namun tidak mampu melahirkan ketenangan dan kebahagiaan. Sebaliknya, mereka dilanda gelisah, cemas, bimbang dan takut. Ada juga manusia berpura-pura hidup dalam keadaan tenang dan makmur, tetapi dalam hati kecilnya penuh dengan kebimbangan, ketakutan dan rasa cemas.

Bencana juga turut dikaitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan kemaksiatan, sehingga tidak ada yang mampu mencegahnya dan tidak ada pula yang mampu mengajaknya ke jalan yang benar.

Amar makruf nahi mungkar adalah dua perkara yang harus dilakukan bersama. Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh pemerintahan itu berupaya membimbing atau mengajak rakyatnya bersungguh-sungguh dalam menegakkan peraturan dan undang-undang tersebut.

KIAMAT

Ramalan tarikh kiamat jejas akidah


GAMBARAN berlakunya kiamat dari filem Hollywood 2012.


BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.

Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.

Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.

Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.

Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.

Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.

Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.

Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.

Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?

Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.

“Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.

“Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.

“Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku,” katanya.

Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.

Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.” Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A’raaf: 187).

Perkasa lapor polis


DARI UTUSAN MALAYSIA
30/12/2011

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran risalah yang mengajak orang ramai menyertai Kempen ‘Bebaskan Anwar 901’ yang dirancang diadakan pada 9 Januari depan.

Laporan itu dibuat oleh Presidennya, Datuk Ibrahim Ali dan dengan dihadiri oleh hampir 20 ahli Perkasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 2.10 petang.

Selain Perkasa, di PAHANG, seramai 80 individu mewakili 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu turut membuat laporan polis mendesak supaya pihak berkuasa segera menghalang perhimpunan yang dirancang itu.

Antara NGO terlibat adalah Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kerabat Pusaka Merong Mahawangsa Malaysia (PKPMM) Wilayah Timur, Pertubuhan Belia Beserah, Pertubuhan Belia Bukit Setongkol, wakil penduduk Beserah, Sungai Karang dan Lepar.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui selepas membuat laporan polis menegaskan, rancangan untuk berhimpun di pekarangan Mahkamah Jalan Duta di sini adalah satu tindakan yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan perlembagaan.

“Mereka seharusnya membiarkan proses perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan dengan baik tanpa gangguan daripada mana-mana pihak memandangkan ia telah lama tertangguh

“Namun, tindakan mereka yang menggalakkan orang ramai menyertai kempen tersebut sengaja dilakukan bagi menganggu proses perbicaraan dan mencetuskan hura-hara,” katanya.

Menurut Ibrahim, sebagai rakyat yang matang, kita perlu menghormati mahkamah selepas keputusan yang menentukan sama ada Anwar bersalah atau tidak sudah dikeluarkan.

“Namun, belum keluar lagi keputusan mereka awal-awal menuduh dakwaan ke atas Anwar adalah satu konspirasi yang kedua bertujuan membunuh karier politiknya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar hari ini turut membuat laporan polis di IPD yang sama berhubung kenyataan seorang pemimpin tertinggi Gereja National Evangelical Christian Fellowship (NECF) yang mempersoalkan Perlembagaan 153.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan sempena sambutan hari Natal itu jelas satu kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana di bawah Fasal 153, Perlembagaan Negara tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana individu dan rakyat Malaysia.

BERANI BUAT BERANI TANGGUNGLAH…


Jangan peralat rakyat – NGO
Oleh AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengingatkan rakyat bukanlah perkakas yang boleh diperalatkan bagi menyokong mana-mana pemimpin politik yang berhadapan dengan kes mahkamah.

Sehubungan itu, mereka menentang keras sebarang usaha untuk mengadakan demonstrasi pada 9 Januari ini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal mengetahui nasib beliau dalam kes dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika benar benar Anwar tidak bersalah mengapa beliau tidak berani untuk bersumpah laknat dan tidak menyaman Mohd. Saiful bagi membersihkan namanya.

”Lagipun solat hajat juga pernah dilakukan berhubung kes ini, jadi mengapa tidak mahu menerima petunjuk daripada Allah?,” soalnya.

Kata beliau lagi, peguam yang mewakili Anwar adalah nama-nama besar dalam institusi guaman dan segala keputusan haruslah diterima.

“Jika tidak puas hati gunakanlah saluran yang betul. Mereka melaungkan keadilan untuk Anwar namun bagaimana pula dengan keadilan Mohd. Saiful Bukhari yang terpaksa menanggung segala penderitaan,” tegasnya.

Beliau mengulas gerakan melalui kempen Bebaskan Anwar 901 yang dilancarkan oleh parti pembangkang bagi menyeru orang ramai terutama mahasiswa turun ke jalanan pada tarikh tersebut.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata, kumpulan terbabit dilihat cuba untuk mencabar sistem perundangan negara dan menunjukkan mereka tidak memahami sudut perundangan sebenar.

“Mereka cuba untuk memutar-belitkan fakta memandangkan sebelum ini bukan tidak ada ahli politik ataupun menteri yang dihadap dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, jadi kenapa apabila membabitkan Anwar perlu ada gerakan begini?

“Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan jangan terburu-buru membuat keputusan kerana apa yang bakal diputus adalah berlandaskan fakta dan bukti,” katanya.

Presiden Majlis Belia Felda, Anuar Abd. Manap menyeru semua pihak memberikan ruang kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Jangan terlalu mengikut kata hati terutamanya mahasiswa. Sebagai orang terpelajar seharusnya mereka meneliti dan bertindak seperti seorang mahasiswa dan apa yang penting adalah jangan mudah terpengaruh kerana jika tersilap langkah ia hanya akan merugikan diri sendiri,” katanya.

Bagi Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay menetapkan pendirian untuk bersama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Gerakan seperti itu hanya akan membawa kerosakan dan keadaan huru-hara sahaja. Kita semua sepatutnya menghormati keputusan mahkamah dan bukannya dengan berdemontrasi,” ujarnya.

Siswa UiTM jangan sertai 901


Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 29 Dis. – Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) diingatkan agar tidak terlibat dengan Kempen Bebaskan Anwar 901 yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.

Ini kerana sebagai mahasiswa mereka perlu patuh kepada undang-undang negara dan tidak menjadi alat pihak yang tidak menghormati undang-undang.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, para mahasiswa UiTM sudah dididik untuk menjadi seorang yang mampu berfikir dan menilai sesuatu perkara sama ada ia mengikut laras perundangan atau sebaliknya.

”Saya memberi amaran keras kepada pelajar-pelajar UiTM supaya tidak terlibat dengan perhimpunan yang jelas mempunyai agenda yang boleh merosakkan keamanan negara.

”Kita ada 200,000 pelajar di semua UiTM seluruh negara mungkin ada seorang dua yang akan terlibat dan saya berharap mereka berfikir sebelum bertindak menyertai apa-apa perkara yang dilarang undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Muzik UiTM dengan The Actors Studio.

Hadir sama Penerbit Eksekutif The Actors Studio, Faridah Merican dan Pengarah Artistiknya, Joe Hafsham.

Sahol Hamid berharap mahasiswa UiTM yang dianggap seperti anak sendiri tidak mengingkari peringatan yang diberikan kerana perhimpunan haram kebiasaannya akan berakhir dengan demonstrasi yang sukar dikawal.

KOMEN : SOKONG SARANAN DATUK…

Suzuki Swift Sport 2012


SEKALI pandang, penampilan luarannya tidak jauh berbeza dengan model Swift Sport sebelum ini.


VARIAN berprestasi Suzuki Swift, sama ada model lama, Cultus GTi atau model baharu seperti Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian saya.

Masih segar dalam ingatan beberapa tahun lepas pengalaman menyaksikan kelajuan Cultus GTi, paling menarik enjin model itu cuma bersesaran 1.3 liter.

Selepas itu, kemasyhuran Cultus GTi terganggu kerana akronim GTi sebenarnya adalah milik Volkswagen. Hasil perbincangan di luar mahkamah, Suzuki mengugurkannya dan menggunakan nama GT sahaja.

Kini, model berprestasi Swift lebih selesa menggunakan nama Swift Sport. Jika kelajuan Cultus GTi ibarat lipas kudung, Swift Sport pula membuat saya kagum dengan ciri-ciri keselamatannya.

Bayangkan sebuah kereta kompak dengan enam beg udara sebagai ciri standard, tidakkah anda akan turut berasa kagum? Berbeza dengan kebanyakan kereta yang dipasarkan di dalam negara dengan hanya dua beg udara.

Baru-baru ini, Suzuki telah melancarkan model pengganti Swift Sport yang bakal dijual bermula tahun depan di pasaran terpilih global. Swift Sport adalah model penting untuk varian Swift yang menawarkan tahap penalaan, prestasi pengendalian dan pemberhentian lebih bagus berbanding model standard.

Berikutan ciri-ciri sporty dan praktikaliti hariannya, Swift Sport mempunyai ramai peminat sejati di lebih kurang 40 buah negara serata dunia. Swift Sport baharu mempunyai DNA yang sama seperti model sebelumnya. Cuma kali ini, model tersebut lebih ekonomikal dan mesra alam sekitar bagi memenuhi kehendak semasa.

Rekaan luaran Swift Sport adalah refleksi kepada evolusi ke arah rupa yang lebih sporty. Peralatan aerodinamik yang eksklusif untuk Swift Sport baharu mengawal aliran udara, menahan daya angkat dan memberi imej yang lebih rendah ke bumi. Lampu utama jenis High-Intensity Discharge (HID) dengan lapisan warna kelabu metalik serta rekaan lampu kombinasi baharu menyerlahkan lagi dinamik penampilan luaran model itu.

Pengendalian lebih baik

Rekabentuk ruang dalaman yang sporty model itu dibantu oleh kerusi sport dengan corak fabrik eksklusif, kluster lima meter mudah dibaca dan susunan yang kemas. Sementara Toe dan Camber yang tegar digunakan untuk sistem suspensi jenis torsion beam dan ketegaran lateral yang lebih pada sesendal torsion beam. Sementara bearing yang lebih besar pada roda belakang pula membantu kestabilan pada bahagian belakang kereta sewaktu mengambil selekoh mencabar.

Kekenyalan ditingkatkan pada pegas gegelung hadapan dan belakang. Penambahan lantunan pada pegas gegelung hadapan secara signifikannya menyumbang kepada kestabilan dengan mengurangkan olengan badan kereta.

Modifikasi yang dilakukan pada peralatan stereng, kotak gear, rangka suspensi dan bearing yang lebih besar pada roda hadapan pula menjadikan pengendalian Swift Sport baharu itu lebih baik berbanding model sebelumnya.

Enjin M16A Swift Sport baharu sebenarnya adalah sama dengan model lama. Tetapi kali ini ia disemak semula dengan penambahan kuasa bersama emisi lebih rendah.

Pencapaian itu adalah hasil penggunaan sistem masukan boleh ubah (variable), penggunaan VVT (Variable Valve Timing) yang lebih optimum dan valve lift yang ditingkatkan.


RUANG kokpit yang berorientasikan kepada pemandu.


Hasilnya, kuasa maksimum naik daripada 123hp kepada 136hp. Tork maksimum pula meningkat daripada 148Nm kepada 160Nm pada kelajuan enjin yang sedikit rendah iaitu 4,400rpm. Ini seterusnya membolehkan pemandu menikmati prestasi merentasi julat kelajuan enjin.

Emisi enjin model baharu turut mengalami penurunan sekitar sepuluh peratus iaitu 165g/km kepada 147g/km. Sistem ekzos yang disemak semula pula menghasilkan bunyi yang lebih sporty.

Transmisi manual Swift Sport baharu secara spesifiknya dibangunkan untuk mengambil kesempatan penuh terhadap prestasi enjin M16A. Penggunaan gear manual enam kelajuan menyumbang kepada pemanduan yang lebih sporty dan menjimatkan minyak.

Dari segi keselamatan pula, Swift Sport baharu mempunyai tujuh beg udara dan Electronic Stability Program sebagai peralatan standard. Penggunaan keluli regangan tinggi yang ekstensif dan analisis struktur berkomputer membolehkan badan kereta menjadi ringan serta selamat. Tiang-tiang kereta pula mengandungi material yang mampu menyerap hentakan, sekali gus dapat mengurangkan impak pada kepala penumpang.

Dengan segala ciri-ciri di atas tiada sebab mengapa penggemar kereta berprestasi tidak boleh jatuh hati kepada model dari Jepun itu. Swift Cultus GTi atau Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian.

Model itu biasa-biasa sahaja tetapi menyeronokkan. Ibarat seorang kawan harian, tetapi penuh dengan ilmu yang membuatkan kita tidak serik untuk berkawan dan berborak dengannya. Suzuki Swift Sport, sentiasa di hati.