1MDB & SOSMA : Khairuddin, Matthias didakwa

Tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan, kewangan negara
SUWARNI MOKHTAR | 13 Oktober 2015 1:11 AM
Khairuddin Abu Hassan (kiri) dan Matthias Chang (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Khairuddin dan Matthias. Kedua-duanya merupakan tertuduh pertama didakwa mengikut seksyen tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Ra­ya, Masri Mohd. Daud dan Mohd. Dusuki Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh terbabit diwakili peguam-peguam bela, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Zainur Zakaria.
Semasa prosiding, keadaan menjadi agak tegang apabila Masri memohon sebutan semula kes itu dibuat dalam tempoh sebulan agar segala dokumen berkaitan kes ber­kenaan dapat dilengkapkan sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Beliau juga tidak mencadangkan sebarang jumlah ikat jamin kerana pertuduhan tersebut tergolong di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan.
Mohamed Haniff bagaimanapun membantah atas alasan tiada asas yang menunjukkan bahawa pertuduhan terhadap Khairuddin, 53, dan Matthias atau nama penuhnya Chang Wen Chieh, 65, tergolong di bawah akta terbabit.
Beliau juga memohon agar kes itu dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada Seksyen 124L tergolong di bawah SOSMA kerana ia boleh menjejaskan urusan ikat jamin kedua-dua tertuduh.
Selepas mahkamah berhenti seketika, Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan sebutan semula kes itu pada 26 Oktober ini dan tiada jaminan dibenarkan.
Terdahulu, sebelum Mahkamah Majistret mula bersidang, penyokong dan ahli keluarga kedua-dua tertuduh dilihat bersorak dan melambai ke arah Khairuddin dan Matthias ketika mereka berdua dibawa keluar dari lokap ke kandang tertuduh.
Kedua-dua lelaki terbabit pada ketika itu berada dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna jingga. Pakaian tersebut bagaimanapun dilihat telah ditukar sebelum mereka dibawa pulang ke penjara.
Matthias juga sempat menyatakan bahawa dia tidak bersalah dan menyatakan bahawa mogok lapar­nya sudah memasuki hari kelima sejak dia ditahan pada 8 Oktober lalu.
Yang turut hadir di mahkamah hari ini ialah isteri Khairuddin yang juga pelakon, Datin Seri Umie Aida, anak pasangan tersebut Mohd. Daniel Firdaus dan adik kepada Umie, Betty Rahmad.
Berhubung permohonan habeas corpus bagi mencabar penahanan Khairuddin di bawah SOSMA, Mohamed Haniff berkata, kes itu akan disebut esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Ha­shim namun beliau belum dapat memastikan sama ada permohonan itu akan diteruskan memandangkan anak guamnya itu telah didakwa hari ini.
Advertisements

Dr. M dakwa Sosma untuk pengkritik kerajaan

13 Oktober 2015 1:30 AM
DR. MAHATHIR MOHAMAD (tiga, kiri) bersama (dari kiri) Shafie Apdal, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah, Sanusi Junid dan Ong Tee Keat dalam sidang akhbar di Putrajaya, semalam. – BERNAMA
PUTRAJAYA 12 Okt – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) telah dikenakan terhadap pengkritik-pengkritik kerajaan sedangkan akta tersebut seharusnya digunakan untuk menangani aktiviti keganasan.
Akibatnya beliau mendakwa, rata-rata rakyat ketika ini mula mempersoalkan tindakan kerajaan itu atas dakwaan menyalahgunakan undang-undang untuk menahan mereka yang mengkritik kerajaan.
Dr.Mahathir yang sering me­lakukan ‘serangan’ peribadi ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, sepatutnya perkara seumpama itu tidak berlaku kerana undang-undang yang dihasilkan di Parlimen adalah untuk menegakkan keadilan dan bukannya bertujuan mendiamkan pengkritik kerajaan.
“Mereka menggunakan perkataan sabotaj untuk memboleh­kan tindakan dikenakan terhadap kumpulan ini dengan menggunakan akta baharu ini (Sosma). Memang undang-undang menyekat kebebasan rakyat untuk berbuat sesuka hati tetapi dalam isu ini mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh ditakrif sebagai sabo­taj kepada kerajaan,” dakwanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Apa yang mengejutkan ia turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
Turut hadir bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan vete­ran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid di lokasi sama.
Dalam sidang akhbar yang sama Muhyiddin berkata, beliau mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung komitmen kerajaan memulihkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh enam bulan.
“Saya sekarang di luar kerajaan dan untuk berlaku adil biarlah kita tunggu masa tersebut. Jika boleh diselesaikan, bagus. Jika tidak akan timbul banyak implikasi lain yang boleh membawa kesan lebih besar daripada apa yang ada sekarang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain beliau meminta setiap ahli UMNO berani menyuarakan pandangan mereka berhubung pelbagai isu yang me­landa negara ketika ini melalui platform parti termasuk Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.
Katanya, inilah masa paling sesuai untuk mereka berbuat demikian dalam konteks menjadikan UMNO parti yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat apatah lagi dengan kedudukannya sebagai tunjang dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak kata, kita menentang kepimpinan tetapi ini soal menyua­rakan isu pokok yang seharusnya ahli UMNO tidak wajar berdiam diri. Jika itu berlaku (kegagalan ber­suara) negara akan berhadapan dengan masalah lebih besar. (Justeru) Inilah masa paling sesuai untuk ahli-ahli UMNO tampil ke depan,’’ katanya lagi.
Mohd. Shafie pula berkata, kehadirannya hari ini adalah untuk memberi sokongan kepada Dr. Mahathir atas faktor membela nasib rakyat.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak menggunakan undang-undang bagi menakutkan rakyat.
Tengku Razaleigh pula mendakwa, perkembangan yang berlaku itu tidak menggambarkan semangat dan tujuan SOSMA dibawa dan dilu­luskan oleh Parlimen sebelum ini.
“Ramai yang menemui saya dan meminta saya menyatakan kepada kerajaan berhubung perkara yang berlaku ini. Sebenarnya SOSMA adalah amat berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),’’ katanya.

PARLIMEN : Kertas Putih tangani IS

Undang-undang baharu banteras aktiviti militan perlu digubal
KAMIL MASLIH DAN
 FITRI AFFENDI MUSTAFA | 27 November 2014 2:53 AM
Naji b Tun Razak ketika membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat, semalam. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 26 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan satu undang-undang baharu yang bersesuaian digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas.
Beliau yang membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat hari ini turut mencadangkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (POCA)(Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dan Kanun Ke­seksaan lebih diperkasakan.
Beliau memberitahu, rang undang-undang baharu bagi membanteras aktiviti militan dan kumpulan pengganas itu akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan da­ttang
“Melihat potensi ancaman daripada kumpulan ini, kita bimbang dan tidak dapat dinafikan kepula­ngan rakyat Malaysia dari kawasan konflik di Syria dan Iraq boleh me­ningkatkan lagi risiko keselamatan kepada negara.
“Lebih menakutkan, dengan pengalaman yang mereka ada, taktik peperangan yang mereka miliki, militan-militan ini berupaya me­lakukan kegiatan keganasan secara bersendirian,” katanya.
Kertas putih berkenaan diluluskan dalam sidang tersebut dan seluruh lapisan rakyat Malaysia diseru menggiatkan usaha dan komitmen untuk menyokong kerajaan menangani ancaman militan IS.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan khuatir kewujudan IS akan membentuk jaringan dengan kumpulan-kumpulan militan sedia ada termasuk kumpulan Abu Sayyaf di kepulauan Mindanao, selatan Fi­lipina yang telah melakukan sum­pah taat setia kepada IS.
Katanya, kedudukan operasi kumpulan Abu Sayyaf yang hampir dengan pantai timur Sabah boleh meningkatkan risiko keselamatan di kawasan itu dan juga merebak sehingga ke Sarawak.
Menurut beliau, selain seorang rakyat Malaysia maut kerana menjadi pengebom berani mati di Iraq, empat orang lagi rakyat Malaysia terbunuh di Syria pada tahun ini.
“Saya bimbang bilangan ini mungkin meningkat kerana seramai 39 orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sedang berada di Syria dan 40 lagi mungkin menerima nasib yang sama sekiranya pihak berkuasa tidak menahan mereka,” katanya.
Jelas Najib, kertas putih tersebut bertujuan mendedahkan wajar sebenar IS yang bertopengkan Islam dan kumpulan militan yang ber­akar-umbi dari al-Qaeda itu telah diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh masyarakat antarabangsa dan jumhur ulama-ulama antarabangsa.
“Penyelewengan ajaran Islam oleh IS juga semakin ketara apabila sewenang-wenangnya mengkafirkan orang Islam yang tidak sehaluan dengan pendirian pergerakan itu dan menghalalkan pembunuhan mereka,” katanya.
Tambahnya, cabaran menghadapi masalah itu amat besar kerana IS menggunakan media sosial untuk mengembangkan ideologinya bagi menarik sokongan masyarakat khususnya generasi muda dan menggunakan pelbagai bahasa dalam strategi propaganda serta pujukan.


– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kertas-putih-tangani-is-1.29769#sthash.JT8lSSl7.dpuf


MILITAN – Lelaki disyaki pengganas ditahan


Anggota polis menahan seorang lelaki warga Somalia yang disyaki merupakan anggota kumpulan pengganas Al-Syabab yang berpangkalan di Afrika Timur dalam satu operasi khas di Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Mei – Seorang lelaki warga Somalia yang disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Syabab, ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, suspek berusia 34 tahun itu turut berada dalam senarai nama dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan susulan ke atas suspek untuk mengenal pasti sama ada terdapat rangkaian anasir-anasir pengganas Al-Syabab yang mungkin bersembunyi atau menjalankan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan Malaysia.
“Suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, menurut sumber keselamatan, dalam operasi tersebut, tiada senjata dirampas dan polis masih menyiasat cara suspek masuk dan sekiranya terdapat anggota lain daripada kumpulan tersebut di negara ini.
Katanya, suspek ditangkap kerana dikhuatiri akan merekrut warga Somalia di negara ini yang kebanyakannya menuntut di ins­titusi pengajian tinggi (IPT) dengan fahaman pengganas.
“Kita juga bimbang jika suspek menjalin hubungan dengan militan tempatan dan mewujudkan rangkaian anasir pengganas di negara ini. Setakat ini, kumpulan itu aktif di negara Afrika,” ujar beliau yang memberitahu, Al-Syabab adalah kumpulan yang bertanggungjawab mengebom sebuah pusat beli belah di Nairobi, Kenya, tahun lepas.
Beliau turut memberitahu, polis mengharapkan sumber maklumat daripada perisik antarabangsa kerana Somalia merupakan sebuah negara yang masih belum aman sepenuhnya.
Al-Syabab yang berpangkalan di Somalia pernah menyertai kumpulan pengganas, Al-Qaeda pada 2012 dengan bermatlamat menegakkan undang-undang syariah atau negara Islam di beberapa buah negara miskin.
Sehingga kini, Al-Syabab dianggarkan mempunyai keahlian antara 4,000 hingga 6,000 orang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140509/je_01/Lelaki-disyaki-pengganas-ditahan#ixzz31CRspI28 ©  Utusan Melayu (M) Bhd 


SOSMA dan ISA; syurga Evangelisme; oh bahasaku!

Zaini Hassan

Benarkah undang-undang menggantikan ISA terlalu lembik?
Benarkah ada banyak kelompongan yang membebankan pihak keselamatan, terutamanya dalam menangani cabaran keganasan, kebencian kaum, sosial, agama yang semakin sofistikated?
Ada yang masih percaya walaupun ISA diwujudkan pada tahun 1960, namun ia masih mampu menangani cabaran semasa.
Jika pun dihapuskan ISA mengapa tidak diperkasakan SOSMA – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 – sama ada setaraf atau lebih mantap?
Semasa pihak polis dalam proses membuat penahanan demi penahanan kumpulan militan berani mati sekarang, ke mana akhirnya mereka itu akan dihantar?
Jika didapati bersalah kelak, adakah mereka sekadar akan meringkuk dalam penjara?
Apakah ada proses pemulihan (rehabilitation) seperti dalam tahanan ISA dahulu?
Kumpulan militan tegar itu perlukan pemulihan ideologi dan psikologi serta akidah – bukannya diperap dalam penjara semata-mata.
Pihak Peguam Negara harus mengkaji lagi hal ini. Rujuk dengan pihak polis yang sudah mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun.
Dalam masa yang sama, apakah SOSMA ini setaraf ISA yang sepatutnya menjadi instrumen bagi mempertahankan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan?
Perkara 149 adalah perundangan bagi menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam:
(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau
(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau
(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau
(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau
(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau
(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya.
Persoalannya adakah SOSMA yang diwujudkan itu berperanan sama seperti ISA sebagai instrumen kepada Perkara 149 itu? Adakah SOSMA dan Perkara 149 berjalan seiring?
Jika tidak, adakah pemansuhan ISA itu sah?

Saya difahamkan ada pihak yang akan mencabar isu pemansuhan ISA itu ke mahkamah.

Benarkah? Siapakah mereka itu? Kita tunggu dan lihat.

BENARKAH Malaysia ialah syurga aktiviti ‘evangelist’ Kristian?

Saya menerima satu dokumen penyelidikan daripada seorang sahabat, bukan berbangsa Melayu, tetapi seorang Mat Salleh yang sudah menganut agama Islam. Biar saya rahsiakan identitinya.
Dia bekas pensyarah universiti dan seorang scholar atau sarjana yang tidak putus-putus menyelidik, membaca, menulis, melukis. Beliau ialah seorang Mat Salleh yang tipikal dan hidup dengan penuh kasih sayang bersama isterinya di sore hari.
Dia memberi penyelidikannya kepada saya untuk dibaca. Saya merasakan menjadi tanggungjawab saya untuk menulis di sini. Kerana penemuannya cukup memeranjatkan.
Aktiviti oleh aktivis evangelist Kristian ini umpama anai-anai yang memakan kayu secara senyap-senyap sehingga meranapkan keseluruhan rumah – atau dalam konteks ini meranapkan akidah orang Islam dan institusi itu sendiri.
Beliau menulis: Di antara kebanjiran pelancong beragama Kristian yang melawat negara ini, satu kumpulan cukup menarik perhatian: peserta persidangan. Sejak 2000, lebih 100 persidangan Kristian antarabangsa telah diadakan di Malaysia. (Beliau turut menyenaraikan satu-persatu daripada beratus persidangan itu).
Persidangan itu mewakili seluruh spektrum pergerakan evangelikal global daripada yang berhaluan karismatik radikal kepada gereja-gereja arus perdana tradisional dan individu kecil-kecilan, daripada pelbagai negara.
Banyak daripada persidangan ini dalam jumlah yang sederhana, namun ada antaranya yang besar – Perhimpunan WEF General Assembly 2001, misalnya, telah membawa lebih 600 pemimpin pendakwah Kristian dari 108 negara, dan 2013 World Pentecostal Conference telah mengumpulkan sebanyak 3,500 ahli.
Jadi amat mudah disebut, sejak 2000, lebih 10,000 aktivis Kristian telah datang ke Malaysia untuk tujuan yang besar iaitu menghadiri persidangan Kristian.
Untuk peserta persidangan (conference goers) ini, tujuannya hanyalah untuk berdakwah dan Malaysia ialah destinasi pilihan untuk tujuan keagamaan!
Beliau memetik satu carian internet (daripada banyak lagi): http://www.necf.org.my/newsmaster.cfm?&menuid=43&action=view&retrieveid=1344 berbunyi:
Malaysia… bukan sahaja sebuah makmal bagi pemuda-pemudi Barat merasai pertukaran-budaya Kristian (evangelizing). Malaysia juga pusat latihan dan sebagai sumber ‘pertukaran-budaya evangelist’ untuk seluruh dunia. David Demian, pengasas Watchmen for the Nations, berkata begini kepada peserta di KL:
“Malaysia adalah jambatan dalam menyediakan kemudahan bagi Gospel pulang semula ke Asia Barat berdasarkan negara ini yang pelbagai-budaya dan komposisi agama… Dalam permainan catur, walaupun peranan buah itu tidak penting ia harus digerakkan untuk menentukan (trigger) pergerakan yang lain. Jika Malaysia tidak bergerak, seluruh permainan akan terhenti.”
Dokumen lengkap ini akan dimuat naik dalam bentuk pdf untuk bacaan umum tidak lama lagi.

Wahai umat Islam sekelian, bangkitlah dan bersatulah, sebelum kita diubah…

SEMASA menaip kolum ini menggunakan Blackberry, telefon itu tidak putus-putus bergema. Kumpulan-kumpulan whatsapp saya cukup-cukup aktif.
Salah satu kumpulan itu ialah Penasihat GPMS. Kebetu­lan saya juga salah seorang ahli kumpulan itu.
Berikut petikan perbincang­an itu yang saya mahu kongsikan dengan pembaca sekelian. Panjang sebenarnya, tapi saya pendekkan.
Sebenarnya soal perbahasan mengenai bahasa Melayu ini tak habis-habis lagi diperbincangkan. Mengapa ya? Apakah lemah sangat mutu bahasa Melayu ini? Atau mulai dipinggirkan? Sudah tidak dihormati? Atau sudah hilang daya saing?

Renung-renungkanlah…

SASTERAWAN NEGARA, Usman Awang tamat sekolah Melayu darjah 6; menulis dalam bahasa Melayu; karya dalam bahasa Melayunya diterjemahkan hampir dalam 10 bahasa.
Novel Salina ditulis oleh Samad Said dalam bahasa Melayu; turut diterjemahkan dalam 10 bahasa.
Paulo Coelho; menghasilkan pelbagai karya dalam bahasa Portugis. Novel tersohornya The Alchemist diterjemahkan ke dalam 67 bahasa mencapai jualan sekitar 150 juta naskhah seluruh dunia.
Kawan saya Mr. Katano cakap orang Melayu kurang berjaya sebab bila ada satu ilmu moden seperti kejuruteraan mahu disampaikan, maka orang Melayu majoriti tidak faham. Sebab Melayu yang tahu ilmu tersebut hanya boleh sampaikan dalam bahasa Inggeris kerana belajar di England.
Manakala orang Jepun yang pergi belajar di Jerman dan Amerika, apabila pulang mereka mengajar ilmu yang dipelajari dalam bahasa Jepun, maka majoriti orang Jepun fahamlah.
Kita sibuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu mahu dicampak ke mana?
Bimbang, bahasa Melayunya tidak mencecah bumi; bahasa asingnya tak sampai ke langit.
Saya sokong sepenuhnya memartabatkan bahasa Melayu. Kepada orang Melayu yang kurang fasih bercakap atau menulis bahasa Melayu kena belajar lagi. Kita mesti tunjukkan kepada orang bukan Melayu bahawa orang Melayu pun kena mencuba dan terus belajar menguasai Melayu. Jangan marah kalau terasa. Nanti kena jual.
Tidak salah belajar bahasa, jangan taksub dengan budaya mereka. Pejuang bahasa Melayu pun rata-rata Inggeris mereka hebat. Masalah kita adalah mengamalkan budaya mereka lebih daripada belajar bahasa.
Isu bahasa akan terus berlarutan lama lagi, selagi sistem pendidikan negara masih ada pelbagai cabang. Masing-masing kaum di Malaysia mengakui bahasa mereka lebih baik.
Mereka mendakwa, bahasa Cina dan India ditutur oleh berbilion orang. Siapa lebih hebat? Aduhai…

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140507/re_06/SOSMA-dan-ISA-syurga-Evangelisme-oh-bahasaku#ixzz31BZhxp1m  © Utusan Melayu (M) Bhd