Tambang naik – SPAD

Teksi, kereta sewa naik 20-67%, bas ekspres 22.6%
NAZWIN IZAN 
AHMAD NAZRI | 20 Mac 2015 1:39 AM
KUALA LUMPUR 19 Mac – Tambang teksi dan kereta sewa naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala kadar tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus mulai 15 Mei ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar ketika mengumumkan kadar baharu itu berkata, keputusan membenarkan kenaikan tersebut setelah mengambil kira kenaikan kos terpaksa ditanggung pengusaha pengangkutan awam.
Berdasarkan kadar tambang baharu, penumpang teksi 1Malaysia (Teks1M) di Pulau Pinang perlu membayar RM19.80 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM11.80 sebelum ini manakala penumpang di Lembah Klang dan Johor Bahru pula sebanyak RM17.50 bagi 10 kilometer pertama berbanding RM10.80 pada kadar lama.
Bagi teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru pula, penumpang perlu membayar RM14.30 di bawah kadar baharu berbanding RM10.80 pada kadar lama bagi 10 kilome­ter pertama; dan di Pulau Pinang, RM17.50 pada kadar baharu berbanding RM11.80 pada kadar lama dan kereta sewa pula RM14.50 berdasarkan kadar siling yang baharu.
“Penyelarasan kadar tambang ini dibuat selepas mengambil kira ke­perluan pihak pengusaha, kos sara hidup dan operasi serta kepenting­an orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu. Penetapan kadar baharu terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan tambang di buat pada 2009.
“Kenaikan kadar tambang baharu ini tidak melibatkan kadar tambang teksi eksekutif dan lapangan terbang,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan kenaikan kadar tambang pengangkutan awam di Ibu Pejabat SPAD di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismail Mohamed Kamal dan Ketua Pegawai Pembangunan SPAD, Dr. Prodyut Dutt.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, peningkatan kadar tambang bas ekspres dianggarkan antara RM4.60 sehingga RM11 berikutan kadar baharu iaitu 11.4 sen bagi setiap satu kilometer berbanding 9.3 sen sebelum ini.
“Kami sudah mengkaji dan menilai kadar munasabah yang tidak membebankan orang ramai,” katanya dengan menambah, pengusaha teksi perlu menyusun semula meter di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan kadar baharu itu.
“Saya mahu semua pemandu teksi lebih patuh dan bertanggungjawab dengan pengumuman kadar baharu ini dan tidak mengambil kesempatan,” kata Syed Hamid.
Ditanya mengenai kadar yang akan dikenakan bagi perkhidmatan di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana, beliau berkata, perkara itu hanya akan diumumkan oleh syarikat terbabit.
Beliau juga menegaskan, penyelarasan kadar baharu itu tidak dibuat berikutan penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa 1 April ini sebaliknya mengambil kira kepentingan semua pihak.
Sementara itu, Keretapi Tanah Me­layu (KTM) Berhad dalam satu kenyataan memberitahu akan melaksanakan kadar tambang baharu selepas mendapat kelulusan SPAD memandangkan pelarasan harga dilakukan kali terakhir pada Februari 2003.
Kata kenyataan tersebut, perbezaan kadar tambang sehala baharu berbanding sedia ada bergantung kepada jarak perjalanan dari satu stesen ke stesen yang lain.
Tambang komuter naik mulai Mei
20 Mac 2015 1:39 AM
KUALA LUMPUR 19 Mac – KTM Berhad (KTM) hari ini mengumumkan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei.
KTM dalam satu kenyataan berkata, perbezaan kadar tambang sehala yang baharu berbanding tambang sedia ada adalah bergantung kepada jarak perjalanan daripada satu stesen ke stesen yang lain.
Ia turut memaklumkan kadar baharu diskaun tiket sebanyak 20 peratus bagi pemegang tiket tambah nilai, diskaun antara 18 peratus hingga 26 peratus kepada pemegang pas mingguan serta diskaun 19 peratus hingga 35 peratus bagi pemegang pas bulanan, bergantung kepada jarak perjalanan.
Sementara itu, pengguna warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun pula akan terus menikmati tambang konsesi pada kadar 50 peratus daripada tambang tunai yang baharu.
“Seperti yang sedia maklum, perkhidmatan KTM Komuter telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari aspek ketepatan masa perjalanan dan tahap keselesaan penumpang sejak penggunaan tren baharu enam koc mulai tahun 2012.
“Penggunaan tren baharu enam koc yang sangat konsisten prestasinya telah melonjak ketepatan masa perkhidmatan KTM Komuter dari hanya 17 peratus pada 2011 kepada 97 peratus pada 2014,“ kata KTM.
Ia berkata, pelarasan tambang itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kadar baharunya turut dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Kali terakhir KTM melaksanakan pelarasan tambang ialah pada Februari 2003.
Bermula 1 April, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kadar tambang baharu di semua stesen KTM Komuter, laman sesawang KTM Berhad di http://www.ktmb.com.my atau mengubungi Pusat Panggilan KTMB 1300-88-5862. – BERNAMA- 
Kerajaan digesa teliti kadar tambang baharu
20 Mac 2015 1:40 AM
KUALA LUMPUR 19 Mac – Kerajaan digesa mengkaji terlebih dahulu implikasi kenaikan kadar tambang baharu teksi dan bas ekspres yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini kerana ia dilihat bakal membebankan rakyat.
SHAHARUDDIN AWANG YAHYA
Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Shaharuddin Awang Yahya berkata, bila ada sesuatu kenaikan, ia pasti akan memberi tekanan berat kepada pengguna terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Seharusnya pihak SPAD tidak perlu menaikkan kadar tambang tersebut secara drastik, pihak berwajib sepatutnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengusaha pengangkutan awam dan orang ramai bagi menentukan kadar tambang yang bersesuaian.
“Kita akur dengan kenaikan tambang baharu ini tetapi mereka perlu mengambil kira pandangan dan kesan-kesannya kepada para pengguna. Kenaikan tambang tersebut sedikit sebanyak menyusahkan pengguna terutamanya kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan tambang baharu pengangkutan awam yang diumumkan SPAD hari ini.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, pengguna mula berasa tertekan dengan kenaikan harga barangan mahupun servis yang mula naik sedikit demi sedikit sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula bulan depan.
“Saya yakin pengguna akan bertambah bimbang tentang kenaikan harga sama ada akan terus naik ataupun turun selepas pelaksanaan GST nanti. Kita sebagai pengguna faham mengapa kenaikan tambang itu berlaku cuma ia terlalu tinggi dan perlu diteliti semula.
“Tidak adil rasanya sekiranya pihak berwajib tetap meluluskan permohonan kenaikan tambang tersebut tanpa mendapat persetujuan dan kata putus yang terbaik kerana kenaikan tersebut jelas meningkatkan perbelanjaan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, bas ekspres dan teksi merupakan pengangkutan awam yang sering digunakan oleh pengguna.
“Kenaikan tambang tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perbelanjaan pengguna. Kita boleh lihat pada masa kini, masyarakat kerap menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja malah kerajaan juga menggalakkan untuk menggunakannya.
“Saya menggesa pihak kerajaan untuk mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang tersebut dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan perkara tersebut. Mereka seharusnya perlu ada garis panduan dalam menentukan paras tambang yang berpatutan agar mampu dibayar oleh semua golongan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan, kenaikan tambang tersebut adalah munasabah dalam konteks kenaikan beberapa kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan seperti minyak, tayar dan sebagainya yang sudah mening­kat.
“Kami sebagai NGO pengguna tidak menghalang mengenai kenaikan struktur tambang baharu ini cuma pengusaha perkhidmatan awam perlu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna. Mereka perlu memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna dapat ditingkatkan seiring dengan kenaikan tersebut, ” katanya.
“Saya tidaklah kata bahawa kenaikan tambang ini menguntungkan orang ramai cuma sebagai pengguna bijak mereka boleh meminta mendapatkan mutu perkhidmatan yang berkualiti dari segi layanan dan keselesaan ketika menaiki bas mahupun teksi disebabkan sudah membayar lebih,” katanya.
Advertisements