Jerebu dijangka bertambah teruk

20 Oktober 2015 1:52 AM
Pelajar Kolej Vokasional Kuching, Batu Lintang memakai penutup hidung dan mulut ketika menduduki peperiksaan di kolej berkenaan di Kuching, Sarawak, semalam. Calon yang menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Kolej Vokasional diteruskan di seluruh negara di bawah Ops Topeng, semalam. – Utusan/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUALA LUMPUR 19 Okt. – Krisis je­rebu yang melanda negara diramalkan bertambah buruk sehingga November ini berikutan pembakaran terbuka masih berlaku di Sumatera, Indonesia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, bantuan daripada Malaysia juga masih tidak berkesan kerana pembakaran berlaku terlalu besar.
Menurut beliau, setakat ini tiada tanda-tanda jerebu akan berkura­ngan dan pihak kementerian mengambil pendekatan terbaik bagi mengurangkan masalah tersebut.
“Angin Monsun Timur Laut diramalkan tiba pada bulan depan dan itu akan membantu mengurangkan jerebu dan masalah tersebut juga dijangka berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi akaun Facebook di sini hari ini.
Masalah jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini me­nunjukkan peningkatan mendadak apabila 14 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam.
Malah hari ini, semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah serta Kuching dan Samarahan di Sarawak terpaksa ditutup lagi akibat krisis jerebu yang seakan tiada berkesudahan.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, proses pembenihan awan akan dilakukan pada bila-bila masa sekiranya masalah jerebu semakin kritikal.
“Kementerian mempunyai peralatan, tenaga kerja dan peruntukan yang mencukupi untuk me­lakukan proses tersebut dan Jabatan Meteorologi juga tidak perlu merujuk kepada mana-mana pihak untuk melakukan pembenihan awan.
“Pembenihan awan merupakan satu-satunya teknologi yang kita ada di Malaysia dan ia amat penting serta berkesan untuk mengurangkan jerebu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah­ Jabatan Meteorologi, Datuk Che Ga­yah Ismail berkata, negara hanya akan bebas daripada masalah je­rebu rentas sempadan apabila tiada lagi ribut tropika di rantau ini.
“Ribut tersebut mempengaruhi corak tiupan angin dan menyebabkan cuaca kering, jadi menyebabkan negara mengalami masalah jerebu.
“Namun, apabila bermulanya musim tengkujuh awal November nanti, masalah jerebu akan berkurang dan mungkin berakhir.” katanya. – UTUSAN
Advertisements

JEREBU : Dijangka berlarutan sehingga Mac depan

20 Oktober 2015 1:22 AM
Helikopter MI-17 milik Indonesia menggugurkan air untuk memadamkan kebakaran hutan dalam operasi besar-besaran oleh kerajaan Indonesia di Ogan Komering Ilir, wilayah Sumatera Selatan, Jumaat lalu. AFP
JAKARTA 19 Okt. – Masalah jerebu rentas sempadan yang melanda Asia Tenggara kini akibat pembakaran hutan di Indonesia, bakal merebak ke kawasan-kawasan baharu dan dijangka berlarutan sehingga tahun depan.
Pakar menjangkakan krisis je­rebu di rantau ini bakal berlarutan sehingga awal tahun depan, berikutan kegagalan pihak berkuasa untuk memadamkan kebakaran tersebut sehingga menyebabkan peningkatan jumlah titik panas di bahagian timur negara ini.
Seorang saintis dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa, Herry Purnomo berkata, titik panas kini sudah sampai ke wilayah Papua, sebuah kawasan yang biasanya mengelakkan pembakaran secara meluas.
Seorang pegawai kanan di sebuah syarikat yang aktif di kawasan hutan Indonesia pula berpendapat krisis jerebu mungkin berterusan sehingga Mac tahun depan.
Indonesia biasanya mema­suki musim hujan pada Oktober dan November, namun tahun ini negara ini dijangka berdepan fenomena El Nino sederhana yang membawa musim kering sehingga Disember ini dan bakal menyukarkan usaha mengawal kebakaran yang berlaku.
Satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mengesan 1,729 amaran kebakaran di Indonesia pada Rabu lalu, jumlah terbesar direkodkan dalam sehari sepanjang dua tahun lalu.
Kira-kira separuh daripada kebakaran yang dikesan minggu lalu berlaku di kawasan tanah gambut yang kaya dengan karbon, keba­nyakannya di Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Sulawesi dan Papua.
Presiden Indonesia, Joko Widodo turut meningkatkan usaha untuk menangani jerebu termasuk membuat lawatan ke kawasan yang terjejas teruk serta meminta negara-negara lain untuk membantu, namun usaha itu masih tidak berhasil.
“Kita semua tahu bahawa kawasan kebakaran kini telah merebak, melebihi keadaan biasa. Usaha untuk memadamkan kebakaran sedang dijalankan melalui darat dan udara, justeru kita perlu bersabar,” katanya. – REUTERS

IPU : Sekolah di empat negeri diarah tutup

15 September 2015 2:05 AM
Mahdzir Khalid
PUTRAJAYA 14 Sept. – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup esok ekoran jerebu.
Langkah itu dilakukan berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri 200 lewat malam ini.
Sebelum itu di KUBANG PASU, Mahdzir berkata, pengetua dan guru besar di seluruh negara di­beri kuasa untuk menutup sesi per­sekolahan di sekolah masing-masing jika IPU merekodkan bacaan 200.
Katanya, biarpun begitu, pihak sekolah perlu memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) terlebih dahulu.
Menurutnya, pihak sekolah juga perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan pelajar sekiranya membuat keputusan untuk menutup sekolah.
“Kita meminta pihak sekolah memberi tumpuan kepada isu kese­lamatan pelajar dan tidak bo­leh terus melepaskan pelajar pulang, kena ada pengubahsuaian terhadap SOP tersebut.
“Selain itu, kita juga memberi kelonggaran kepada pihak sekolah, contohnya dengan menghimpunkan pelajar terlebih dahulu atau memaklumkan kepada ibu bapa terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memo­randum persefahaman (MoU) antara Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Hotel EDC UUM di sini hari ini.
Pada masa sama, Mahdzir berkata, pa­ra pengetua dan guru besar perlu menghentikan akti­viti di lu­ar bilik darjah dihentikan serta merta berikutan jerebu pa­da masa ki ni.
“Selain itu, pihak sekolah dan PIBG di kawasan yang teruk terjejas kalau boleh dapat membantu menyediakan penutup mulut kepada para pelajar,” katanya.

Empat kawasan catat bacaan IPU tidak sihat

ALIF FADLI MOHD. SORI | 08 September 2015 1:43 AM
PEMANDANGAN berjerebu yang dirakamkan pada pukul 12 tengah hari dari tingkat 23 Bangunan MATRADE di Kuala Lumpur, semalam. Utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Sebanyak empat kawasan di sekitar Lembah Klang dan kawasan selatan pantai barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara lokasi yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi adalah di Muar, Johor dengan bacaan 109, di­ikuti Bandar raya Melaka (106); Bukit Rambai, Melaka (105) dan Nilai, Negeri Sembilan (104).
Menurutnya, keadaan udara tidak sihat dicatatkan pagi ini di sekitar kawasan terjejas akibat je­rebu yang merentasi sempadan berikutan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera, Indonesia.
“Bacaan IPU setakat pagi ini menunjukkan 20 kawasan mencatatkan kualiti udara yang baik manakala 26 kawasan merekodkan status kualiti udara tahap sederhana.
“Bilangan titik panas di Suma­tera tidak dapat dikesan sepenuh­nya berikutan cerapan satelit tidak menyeluruh tetapi sebanyak 132 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia semalam dan tiada titik panas dikesan dalam negara setakat semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, pihak kementerian turut menggesa negara jiran, Indonesia mengambil tindakan segera dalam menangani peningkatan bilangan titik panas dan menggiatkan usaha memadamkan kebakaran di kawasan terlibat.
Katanya, beliau juga akan ke negara tersebut dalam tempoh terdekat untuk berjumpa pihak kementerian terlibat bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah jerebu yang sedang me­landa Malaysia.
“JAS masih memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu masih tidak menentu dan peningkatan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang berpotensi menyebabkan pencemaran berkenaan ke pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan negeri dan tempatan serta semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dengan mengambil langkah bagi mengelakkan pembakaran terbuka,” katanya. 


IPU tidak sihat di 6 kawasan

AHMAD SHAZWAN 
MD. YUSOF | 04 September 2015 12:49 AM
DUA pemuda memakai topeng muka ketika melalui kawasan berhampiran Menara Alor Setar dalam keadaan jerebu tebal di Alor Setar, Kedah, semalam. UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
KUALA LUMPUR 3 Sept. – Sebanyak enam kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 sehingga pukul 5 petang ini.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, antara lokasi yang mencatat bacaan IPU tidak sihat tertinggi adalah di Alor Setar dengan bacaan 117, diikuti Kangar (110); Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegoh, Ipoh (105); Seri Manjung, Perak (103); Kampung Air Putih, Taiping (102) dan Pelabuhan Klang (101).
Bagaimanapun, kualiti udara di Tanjung Malim yang mencatat bacaan IPU tertinggi semalam dengan 106, kembali pulih hari ini apabila hanya merekodkan bacaan sekitar 53 sehingga pukul 5 petang.
Namun, sebanyak 34 lokasi mencatat bacaan sederhana antara 51 hingga 100 sementara keadaan jerebu di 11 kawasan di Malaysia Timur berada dalam keadaan baik dengan merekodkan bacaan IPU sekitar 50 dan ke bawah.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam dengan merujuk laman web JAS di http://apims.doe.gov.my untuk maklumat semasa.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan berkata, masalah cuaca kering dan berjerebu ini dijangka berakhir dengan bermulanya musim peralihan monsun pada Oktober ini.
Katanya, fenomena El Nino sederhana yang sedang berlaku dijangka menjadi kuat dan berterusan sehingga awal tahun hadapan.
“JAS akan terus memantau rapi status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan keadaan jerebu masih tidak menentu dan peningkatan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang berpotensi menyebabkan pencemaran berkenaan ke pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan negeri dan tempatan serta semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dengan mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengelakkan berlakunya pembakaran terbuka,” katanya.

13 kawasan catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR 13 Mac – Sebanyak 13 kawasan di seluruh negara mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga pukul 9 pagi ini.
Menurut Laman Web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan tersebut adalah Bukit Rambai (116), Nilai (147), Seremban (117), Tanjung Malim (101), Sri Aman (101), Banting (138), Kuala Selangor (158), Pelabuhan Klang (148), Petaling Jaya (111), Shah Alam (108), Batu Muda Kuala Lumpur (116), Cheras (104) dan Putrajaya (127). – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_27/13-kawasan-catat-IPU-tidak-sihat#ixzz2voYjXFFF  © Utusan Melayu (M) Bhd