Mukhriz sedia hadapi segala kemungkinan

31 Julai 2015 1:55 AM
Mukhriz Mahathir bersama para tetamu yang hadir dalam Majlis Jamuan Hari Raya Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman Alor Setar, Kedah, semalam. UTUSAN/ismail kamadin
JERLUN 30 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Maha­thir menegaskan, beliau sedia ber­de­pan dengan apa sahaja kemungkinan dikenakan tindakan ekoran penyebaran video rakaman perbu­alan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi viral di Internet.
Bagaimanapun, Mukhriz secara peribadi berpendapat, lawatan beliau ke rumah Muhyiddin bukan satu kesalahan kerana tujuan berbuat demikian adalah sebagai mewakili rakyat Kedah untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
“Adakah patut tindakan diambil terhadap saya kerana saya melawat seorang bekas pemimpin untuk ucapkan terima kasih pada dia? Sa­ya ingat tak salah.
“Lepas tu (itu) keluar dalam video pula, apa salahnya kita selalu (rakam) dalam video, walaupun begitu saya bersedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan pun,” katanya ketika ditemui pada maj­lis sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Jerlun di Wisma UMNO Jerlun di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman video Muh­yid­din yang mendakwa terdapat sejumlah wang didepositkan ke da­lam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah menjadi viral sejak semalam.
Kelibat Mukhriz turut kelihatan dalam video berkenaan selain seorang lagi bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang berkunjung ke kediaman Muhyiddin kelmarin.
Sambil menegaskan, beliau sudah lali dengan asam garam dunia politik, Mukhriz juga mengingatkan bahawa kuasa yang ada di ta­ngannya sekarang diturunkan oleh Allah.
“Bila-bila masa sahaja Dia (Allah) boleh tarik balik, kita kena reda dengan keadaan,” jelasnya.
Mukhriz menjelaskan, perbual­an yang menjadi viral itu berlangsung di kediaman Muhyiddin dan sepatutnya tidak menjadi hala­ngan untuk sesiapa sahaja berbual mengenai apa-apa topik di rumah sendiri.
“Saya di rumah saya pun macam-macam saya bercakap tapi di rumah, kalau di rumah itu diviralkan video itu bukan salah Muh­yid­din. Saya rasa patut ditanya siapa yang rekod, kenapa diviralkan dan itu yang patut dipersoalkan,” katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai berita yang tersebar mengenai kemungkinan beliau akan ditahan oleh pihak berkuasa selepas tersebarnya video tersebut, Mukhriz memberitahu, orang ramai seharusnya jangan terlalu percaya kepada sebarang berita yang belum tentu kesahihahnya.
“Saya berpegang kepada amalan jangan selalu cepat percaya pada mesej yang kita terima, elok kita buat usul periksa dahulu, dalam suasana yang tidak menentu sekarang macam-macam gosip ada,” ka­tanya.
Sementara itu, Mukhriz menjelaskan, beliau telah menasihatkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di negeri itu agar tidak membatalkan jemputan untuk merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian yang telah dibuat kepada Muhyiddin dan bekas-bekas menteri Kabinet yang telah digugurkan kerana mereka masih mempunyai jawatan di dalam parti Melayu itu.

Autonomi UiTM dilaksana serentak mulai 1 September

30 Julai 2015 1:15 AM
SAHOL HAMID ABU BAKAR (tiga dari kanan) bersama Redzuan Abd. Rahman (empat dari kanan) mengagihkan buah durian kepada kakitangan dan pelajar UiTM Perlis semasa Majlis Sambutan Aidilfitri UiTM Perlis 2015 di Arau, semalam.
ARAU 29 Julai – Pemberian autonomi kepada kesemua 13 cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dilaksanakan secara serentak bermula 1 September ini, dengan proses penurunan kuasa dijalankan secara berperingkat-peringkat sehingga 2018.
Pada 2018 juga, kesemua kampus UiTM akan diletakkan secara bersendirian dalam ranking universiti terbaik dunia namun masih mengekalkan jenama universiti terbabit.
Naib Canselornya, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, beliau sendiri akan menjelajah ke seluruh kampus universiti itu untuk menerangkan perubahan transformasi yang sedang berlaku dalam pentadbiran UiTM.
Kata beliau, pemberian kuasa autonomi kepada kampus UiTM merupakan langkah penurunan kuasa kepada rektor bagi membolehkan pengurusan UiTM ditadbir secara lebih berkesan.
“Dengan pemberian kuasa autonomi ini, rektor mempunyai kuasa sebagai Naib Canselor (NC) dan setiap kampus akan bertindak sebagai sebuah ‘universiti’ bersendirian.
“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan perubahan misi serta visi UiTM dan ini bermakna yuran pelajar dan gaji kakitangan kekal selain masih menggunakan Senat UiTM yang sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri UiTM Perlis di sini hari ini.
Yang turut hadir Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman.
Pada 11 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penganugerahan status autonomi kepada semua kampus UiTM dalam usaha menjadikan institusi keramat itu sebagai universiti terbaik di dunia.
Penganugerahan tersebut perlu untuk memastikan sistem tadbir urus UiTM mampu mentadbir sebanyak 224,000 pelajar yang dijangka menyertai 244 program di universiti itu menjelang 2020.
Sahol Hamid seterusnya memberitahu, pemberian autonomi berkenaan merupakan gabungan penyesuaian antara konsep sistem pentadbiran Universiti California, Amerika Syarikat (AS) dan Universiti Oxford, United Kingdom (UK).
Katanya, UiTM akan mengutamakan 11 elemen dalam menjayakan perubahan transformasi itu antaranya adalah pemilihan pensyarah yang benar-benar berkualiti.
“Kita akan pastikan hanya pensyarah yang mempunyai azam dan semangat untuk memajukan anak bangsa diterima di UiTM. Sehingga kini, kita telah mengambil tindakan terhadap 20 pensyarah dan kakitangan UiTM yang tidak menepati kriteria kita,” ujar beliau.