Jangan ‘tergagau-gagau’ ikut Barat – Rais – TAK PAYAH POPULER SANGATLAH..

26 Januari 2015 1:13 AM
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim diminta membuat kajian terlebih dulu tanpa ‘tergagau-gagau’ mengikut budaya barat untuk menjadikan perbuatan merotan anak suatu kesalahan jenayah.
Rais Yatim
Sambil menyuarakan rasa hairan dengan kenyataan menteri itu, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Rohani tidak perlu terlampau mahu mengikut perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan amalan itu sehingga mengabaikan sosiobudaya yang dipraktikkan institusi keluarga di negara ini dalam mengawal tingkah laku anak-anak.
“Merotan anak ini sebenarnya perbuatan yang selaras dengan sosio budaya kita atau sengaja beliau (Rohani) nak tiru apa yang terkandung dalam konvensyen PBB sehingga menampakkannya popular.
“Sekarang pun anak-anak susah dikawal budi pekertinya, kalau bapa sendiri tak boleh merotan sedikit atau memukul tangan anaknya, ini sudah melampau.
“Kalau tidak ikut konvensyen ini tidak mengapa, bukan satu kemestian sebab aspek-aspek hak kemanusiaan ini lebih besar, bukan terhad pada kanak-kanak sahaja…ada 11 lagi konvensyen, jika semua nak ikut tanpa disesuaikan dengan amalan sosio budaya kita, susah kita nanti,” kata beliau kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Rais yang juga pakar undang-undang dan perlembagaan Persekutuan meminta Rohani merujuk mereka yang pakar sebelum mahu menjadikan perbuatan merotan anak suatu kesalahan jenayah.
“Jangan ‘tergagau-gagau’ menjadikan perkara itu kesalahan jenayah hanya kerana nak mengikut konvensyen PBB yang seolah-olah ‘bapa meniru’ yang tampak tidak ikut budaya timur,” kata beliau.
Semalam, Rohani berkata, penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001 yang baharu berhubung isu merotan suatu perbuatan jenayah itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.
Kata Rohani: “Walaupun merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita, namun kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.”

Batalkan cadangan larang rotan anak-anak

26 Januari 2015 1:14 AM
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diminta membatalkan cadangan agar tindakan merotan anak-anak dianggap sebagai kesalahan jenayah kerana larangan yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) turut mendapat tentangan di Sweden.
Khairul Anwar Rahmat
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pihaknya telah mengenal pasti perkara itu berdasarkan pengalaman sebagai pemerhati dalam kes pasangan Malaysia di Sweden tahun lalu bahawa beberapa pengamal undang-undang, bekas hakim, aktivis masyarakat dan ibu bapa di negara itu turut menyatakan tidak bersetuju dengan larangan tersebut.
Katanya, larangan itu turut dikecam hebat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sweden, antaranya Nordic Committee for Human Rights, World Peace Foundation (Sweden) dan The Stockholm Institute of Public and International Law.
“Ini jelas menunjukkan bahawa jika negara luar tidak sependapat tentang larangan itu, mengapa Malaysia mahu mencontohi undang-undang yang jelas berlawanan dengan amalan agama majoriti rakyat di sini yang merotan anak untuk mendidik dan mendisiplinkan mereka.
“Kerajaan harus menyedari bahawa merotan bagi tujuan mendidik mempunyai maksud berbeza dengan mendera seperti ditafsir dalam CRC, mungkin menteri berkenaan terkhilaf dalam perkara ini dan belum terlambat untuk membetulkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guna kaedah sendiri didik generasi muda

26 Januari 2015 1:14 AM
Harussani Zakaria
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan diminta tidak terlalu mengikut kaedah atau sistem perundangan Barat dalam usaha melindungi hak dan kepentingan kanak-kanak di negara ini.
Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, meskipun sistem perundangan di negara luar itu terbukti berkesan dalam mendidik generasi muda, tidak semestinya sesuai untuk diguna pakai di negara ini.
Katanya, pihak berkuasa perlu menggunakan kaedah tersendiri dalam mendidik generasi muda di negara ini kerana situasi dan budaya Malaysia dengan negara luar adalah berbeza.
“Saya tidak bersetuju sekiranya tindakan merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah kerana hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut bahawa perintahkanlah anakmu mendirikan solat ketika usianya tujuh tahun dan pukullah mereka sekiranya sudah berusia 10 tahun.
“Sebagai orang Islam, kita sepatutnya akur dengan pesanan Nabi Muhammad ini kerana pasti ada hikmah, jangan sesekali kita menafikan dan mengagung-agungkan cara Barat melebihi cara Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.
Sementara itu Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, dalam Islam, sebatan merupakan suatu hukuman pemulihan yang disyariatkan untuk melatih isteri dan anak-anak supaya melakukan sesuatu kewajipan.
Katanya, suami dibenarkan untuk memukul isteri bagi tujuan mendidik sahaja tanpa mencedera dan tidak menjatuhkan maruah isteri tetapi kaedah itu disifatkan sebagai senjata terakhir selepas semua jalan lain gagal iaitu dengan memberikan teguran serta mengasingkan tempat tidur.
Tambah beliau, kaedah yang sama turut diguna pakai sekiranya ibu bapa merotan anak-anak iaitu tidak boleh memukul mereka di tempat yang sama hingga memudaratkan.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/guna-kaedah-sendiri-didik-generasi-muda-1.52559#sthash.RvjZqZp5.dpuf

Anak muda sekarang semakin liar – Hashim

26 Januari 2015 1:14 AM
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Keputusan tergesa-gesa kerajaan untuk menggubal rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah, boleh mendatangkan kesan jangka panjang yang buruk pada negara.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan harus melihat kesan dari pelbagai sudut sebelum meneruskan hasrat tersebut.
“Merotan sudah menjadi budaya dalam mendidik anak-anak, saya bimbang, jika rang undang-undang ini dilaksanakan, mereka akan menjadi lebih liar kerana rasa dilindungi dan tiada rasa takut untuk membuat salah.
“Mungkin kita tidak dapat melihat kesannya sekarang, tetapi dalam jangka masa panjang, kadar jenayah mungkin akan meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Hashim berkata, jika melihat dari sudut positif, penggubalan akta itu akan mengekang ibu bapa daripada sewenang-wenangnya memukul anak.
“Apa yang bagus adalah kita dapat mengelak daripada berlakunya merotan yang boleh membawa kepada penderaan.
“Merotan untuk mengajar adalah bagus, tetapi penderaan pula boleh memberi kesan kepada mental dan fizikal kanak-kanak yang belum kuat, tambahan pula dengan pengaruh dari pelbagai aspek masa kini,” katanya.

Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah – PERLU KE CRC DIIKUTI ?

ZULKIFLI SAINUDDIN | 25 Januari 2015 1:58 AM
SHAH ALAM 24 Jan. – Merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.
Rohani Abdul Karim
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
“Walaupun merotan anak me­ru­­pakan sebahagian budaya ma­­syarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.
“Kita juga mengambil iktibar rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya selepas menghadiri program Santai Kopi O anjuran Komuniti Pertubuhan Wanita 1 Malaysia (Perwani) Shah Alam di Galeri Shah Alam, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Munirah Abdullah Bajanuddin dan Pengerusi Penyelaras Perwani Shah Alam, Radziah Ahmad.
Rohani berkata, setakat ini, hanya terdapat dua hukuman dalam Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Seksyen 31 dan Seksyen 33 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan kerana mendera atau mengabaikan anak.
Namun, jelas beliau, itu dianggap masih tidak mencukupi dan disebabkan itu dalam penggubalan akta baharu tersebut, hukuman tambahan iaitu menjalani khidmat komuniti di pusat perlindungan kanak-kanak kepada individu yang didapati bersalah mendera dan mengabaikan anak turut dimasukkan.
“Ini bertujuan memberi keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak terbabit agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan mendidik anak mereka,” katanya.
Kecederaan fizikal, emosi disabitkan jenayah
FARHANA JONI | 26 Januari 2015 1:14 AM
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi terhadap kanak-kanak menjadi satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda lebih tinggi.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan berkata, sebenarnya kesalahan itu turut digariskan dalam undang-undang sedia ada iaitu di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Bagaimanapun katanya, undang-undang tersebut hanya mengenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat, kaunseling atau kursus keibubapaan.
“Adalah ditegaskan bahawa peruntukan yang dicadangkan dalam rang undang-undang kanak-kanak baharu nanti bukanlah bermaksud setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah. Hanya perlakuan merotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh dikategorikan dalam melakukan kesalahan jenayah,’’ kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengulas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bahawa tindakan merotan anak akan menjadi kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.
Kata kenyataan itu, kementerian akan meneliti empat perkara dalam cadangan tersebut iaitu:
– Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC);
– Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);
– Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion;
– Peruntukan baharu tentang pelaksanaan deinstitutionalisation.
Dalam masa yang sama, ketika ini, menurut kenyataan tersebut, Seksyen 91 (1) (g) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC, kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut,’’ jelas kenya­taan tersebut.
Kata kenyataan itu, kementerian juga akan meneruskan tradisi amalan perundingan secara berterusan bersama-sama semua pihak berkepentingan dalam penggubalan undang-undang baharu.

Memurni semula gerakan hak asasi

Oleh Azril Mohd. Amin


Penyokong hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menyertai demonstrasi sempena Hari Antarabangsa Menentang Homofobia dan Transfobia di Queretaro, utara Mexico, pada 17 Mei lalu. – REUTERS

DALAM ucapannya semasa merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan betapa pemikiran dan fahaman humanrightisme kini menjadi ancaman atau serangan baru yang agresif terhadap umat Islam.
Apabila menyentuh isu hak asasi manusia, pastinya beliau mahu menyuntik perspektif baru sesuai dengan wadah seumpama majlis tilawah apabila ramai dalam kalangan audiens mentaddabur isi kan­dungan al-Quran sebagai panduan kepada umat manusia memecahkan pelbagai masalah yang melanda kemanusiaan, termasuklah tuntutan hak asasi manusia yang semakin rumit dan menjadi kontroversi akibat penyelewengan fahaman tersebut.
Kandungan ucapan Perdana Menteri harus disambut dengan baik oleh kerana penzahiran hasrat dan komitmen Kerajaan Pusat memperbaiki keadaan hak asasi manusia tampak terus diusahakan selagi tidak bercanggah dengan kedaulatan Islam me­nurut fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai kesederhanaan di dalam budaya masyarakat berbilang kaum di Ma­laysia.
Sementara kita boleh menerima prinsip-prinsip tertentu hak asasi manusia, khususnya yang disaring melalui sumber-sumber muktabar hukum Islam, isu yang perlu diwaspadai adalah fahaman humanrightisme suatu bentuk agama sekular baru yang sudah mulai berkembang pesat di dalam negara akibat kesan langsung lobi gerakan hak asasi manusia liberal-sekular di luar negara.
Fahaman ini yang berasaskan pemikiran ‘humanisme’, ‘sekularisme’ dan ‘liberalisme’, bersifat songsang sementelah ia mengagung-agungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata, serta menolak sebarang sistem nilai merangkumi norma agama dan adab-susila.
Kesan fahaman ini terjelma dengan jelas, sebagai contoh, di dalam kontroversi tuntutan-tuntutan batil Comango semasa sesi Semakan Berkala Sejagat di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva tahun lepas.
Pengkagum-pengkagum hak asasi manusia yang taksub serta masih tidak sedar tentang ancaman fahaman humanrightisme ini seharusnya terlebih dahulu membaca karya sarjana Barat, Anthony Julius, The Trials of the Diaspora (2010) yang menggunakan istilah fahaman humanrightisme tersebut untuk mendedahkan bahaya ketaksuban hak asasi manusia sebagai agama sekular baru – ‘the new secular religion’.
Beliau menulis, “A human rights discourse now dominates politics; there is a powerful human rights movement. It is the new secular religion of our time. This new ‘human rights-ism’ accords great value to the United Nations – notwithstanding its inability to enforce its decisions, and its refusal to make practical demands of its members to be democratic or respect the human rights of their citizens.”
Bukan sahaja wacana fahaman berbahaya ini sudah mendominasi politik dalam kalangan masyarakat dunia, malah memberikan nilai terhadap fungsi serta peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang pada hakikatnya menjadi semakin tidak berkesan.
Malah Tan Sri Razali Ismail seorang diplomat ulung negara yang pernah menjawat kedudukan presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 1996-1997 menyatakan kekecewaannya dengan kegagalan badan dunia tersebut semasa melancarkan karya penulisan beliau bertajuk “A UN chronicle: 1988-1998 di Institut Diplomasi dan Hu­bungan Luar Negeri (IDFR), Wisma Putra pada 30 April lalu.
Beliau turut menggesa usahasama kerajaan dan masyarakat awam untuk memperbaiki PBB yang telah terjerumus ke dalam isu pembaziran masa dan wang akibat siri perhimpunan yang berlangsung tanpa re­solusi yang mantap dan berkesan di dalam menyelesaikan isu-isu global.
Jika kritikan Razali dilihat sebagai desakan berterusan tokoh-tokoh dunia untuk memperbaiki PBB, maka amaran Najib tentang bahaya fahaman humanrightisme merupakan peringatan agar fahaman tersebut tidak kekal mendominasi dan merosakkan niat dan tujuan asal Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB 1948 yang sepatutnya memperkukuh tiang kewujudan PBB demi kemaslahatan tamadun manusia.
Malah, kegagalan PBB terus mendapat kritikan sarjana mutakhir Barat, seperti yang dinyatakan di dalam karya Stephen Hopgood “The Endtimes of Human Rights” (2013) yang mengkritik kegagalan rejim kontemporari hak asasi manusia.
Menurut Stephen Hopgood “Whether it is the increase in deadly attacks on aid workers, the torture and ‘disappearing’ of al-Qaeda suspects by American officials, the flouting of international law by states such as Sri Lanka and Sudan, or the shambles of the Khmer Rouge tribunal in Phnom Penh, the prospect of one world under secular human rights law is receding. What seemed like a dawn is in fact a sunset. The foundations of universal liberal norms and global governance are crumbling.”
Kegagalan fahaman liberal-sekular yang mendominasi gerakan hak asasi manusia menzahirkan kewujudan pelbagai tuntutan hak asasi manusia tidak munasabah yang menghakis kedaulatan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Yang terhasil ialah tuntutan-tuntutan untuk membenarkan gejala murtad berleluasa, desakan penghapusan kedudukan istimewa bumiputera di dalam fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, desakan pengiktirafan hak-hak LGBT yang menjurus ke arah hak perkahwinan sejenis, tuntutan menghapuskan institusi Islam seperti Mahkamah Syariah, majlis-majlis agama Islam dan jabatan-jabatan agama Islam serta beberapa tuntutan kontroversi lain yang mencabar kedaulatan negara.
Oleh yang demikian fahaman humanrightisme tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela sebagai suatu agama di dalam horizon gerakan hak asasi manusia.
Malah, jika para sarjana Barat sendiri sudah mulai sangsi serta mengecam ideologi liberal-sekular hak asasi manusia, mengapa masih wujud pentaksub-pentaksub di Malaysia yang ghairah menjunjung fahaman hak asasi manusia berkerangka Barat yang sesat dan akhirnya mahu menghancurkan tamadun manusia?
Sebaliknya, agenda yang memurnikan kembali gerakan hak asasi manusia perlu dipelopori negara seperti Malaysia serta dilakukan secara berhikmah, strategik dan bersepadu seperti melalui Suruhanjaya Tetap Bebas OIC mengenai Hak Asasi Manusia yang ditubuhkan pada 2011. Dari sejumlah 18 negara yang menganggotai Suruhanjaya tersebut, Turki dan Malaysia dilihat sebagai sangat berpotensi untuk memimpin artikulasi bagi mengetengahkan matlamat syariat Islam tentang hak asasi manusia.
Penulis percaya bahawa seruan Najib bukanlah mengarah kepada membawa Malaysia daripada PBB sebagai jalan penyelesaian mendepani fahaman humanrightisme ini.
Mesej yang ingin dibawa adakah kita mahu terus menerima prinsip-prinsip hak asasi manusia mengikut fahaman liberal-sekular Barat atau memilih untuk mencorak sendiri fahaman hak asasi manusia menurut pandangan alam Islam dan tamadun yang tidak bercanggah fitrah kemanusiaan?
Prinsip-prinsip hak asasi manusia perlu dilaksanakan di dalam kerangka maqasid syariah, yang merupakan seumpama tembok yang sifatnya menjadi pemelihara dan penjamin kesejahteraan hidup manusia, bukan fahaman liberal-sekular yang bernama humanrightisme yang sekadar bermatlamat membuka pintu kebebasan nafsu manusia yang tiada berpenghujung.
PENULIS ialah seorang peguam, dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140521/re_01/Memurni-semula-gerakan-hak-asasi#ixzz32JPXlL00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



LGBT: Jangan undang bala Allah

NASHARUDIN MAT ISA





SESI pembentangan Malaysia dalam proses semakan berkala (UPR) di Geneva telah berlalu. Proses seterusnya adalah dijangkakan pada tahun 2017. Alhamdulillah, kerajaan Malaysia telah menyatakan maklum balas yang cukup meyakinkan khasnya dalam mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, selain dengan jelas menolak cadangan beberapa buah negara anggota supaya Malaysia menandatangani beberapa perjanjian (covenant) antarabangsa dan juga mengiktiraf hak-hak LGBT (singkatan bagi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender). Antara negara yang terang-terang meminta supaya Malaysia mengiktiraf LGBT ialah Belanda, Kanada dan Argentina, selain itu juga bebebarapa buah NGO luar dan dalam negara mendesak agar Malaysia dan kerajaannya mengiktiraf golongan-golongan pengamal seks songsang ini melalui kenyataan-kenyataan seperti “…regrets Malaysia rejection of all recommendations related to sexual orientation and gender identity. Carnal intercourse against the order of nature is punished with imprisonment and whipping…Criminalisation of same sex conduct encourages and reinforces intolerance, abuse, discrimination and marginalisation – leading to an overall destabilisation of society…”
Walaupun pendirian Malaysia sudah jelas dalam hal yang berkaitan dengan LGBT, namun pihak Comango masih belum berdiam diri. Pada 21 Mac 2014, iaitu sehari selepas Malaysia membentangkan pendiriannya di HRC, pihak Comango telah mengadakan satu acara sampingan di Geneva. Antara yang berucap ialah wakil penganjur Seksualiti Merdeka, Thilaga Sulathireh, yang menyentuh isu LGBT ini secara terbuka malah menuduh pihak polis dan pihak berkuasa agama bertindak ganas terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.
Thilaga memanipulasi isu ini apabila menuduh pihak berkuasa dan autoriti agama dengan perbuatan ‘mendiskriminasi’ golongan LGBT, sedangkan mereka berselindung di sebalik isu ini, dengan bermatlamat akhir untuk mendapat pengiktirafan perlakuan homoseksual secara bebas dan perkahwinan sesama jenis.
Pihak Comango dalam laporan mereka kepada proses kedua UPR Malaysia, dengan jelas menyatakan tuntutan mereka tentang hak LGBT yang mana mereka menyatakan bahawa “Malaysia refuses to recognise SOGI rights as human rights. Lesbians, bisexuals, gays, transgendered, inter-sexed and queer persons (LGBTIQ) are vilified, faced violence…” dengan memetik insiden-insiden seperti serbuan terhadap sebuah pusat mengurut yang menawarkan khidmat kepada golongan songsang ini, selain menuntut agar Malaysia mengkaji, meminda dan memansuhkan undang-undangnya agar mematuhi prinsip-prinsip Yogyakarta. Tindakan ini juga selari dengan tekanan-tekanan antarabangsa di UPR yang mengesyorkan agar Malaysia memulakan proses memansuhkan elemen-elemen perundangan Seksyen 377A, Seksyen 377B, dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang menyifatkan amalan seks di luar tabii itu sebagai perbuatan jenayah.
Saya percaya bahawa umumnya, masyarakat kini telah terdedah dan mengetahui akan polemik serta ancaman tuntutan hak asasi manusia yang dibawa oleh Comango pada sesi UPR Malaysia yang kedua ini (sesi pertama telah diadakan pada 2009). Namun mungkin juga terdapat pertanyaan dalam kalangan masyarakat tentang apakah itu LGBT, SOGI dan kini, Prinsip Yogyakarta?
Kesinambungan kepada LGBT ini, telah wujud dasar SOGI (Sexual Orientation and Gender Identity) yang memperjuangkan kebebasan bagi mereka yang mengamalkan perhubungan seks songsang, semuanya di atas nama hak asasi manusia.
Bagi kelangsungan perjuangan mereka, suatu pertemuan kumpulan-kumpulan pakar hak asasi manusia telah diadakan di Yogyakarta pada 2006. Menurut mereka, sebagai suatu bentuk respons terhadap apa yang dirasakan sebagai pola penderaan dan penindasan terhadap golongan ini, maka diilhamkan Prinsip Yogyakarta 2006. Di dalamnya terkandung prinsip-prinsip hak asasi manusia yang bersifat ‘sejagat,’ mematuhi dan menuruti piawaian undang-undang antarabangsa yang mana kesemua negara di dunia ini harus patuhi. 
Setakat kini, dalam kerancakan dunia mencanang penerimaan budaya seks songsang ini sebagai satu bentuk hak asasi manusia, tinggal 76 negara sahaja yang tidak mengiktiraf homoseksualiti dan mengkategorikannya sebagai unsur jenayah.
Umat Islam di dunia kini, yang mengakui beriman kepada Allah dan berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah, seharusnya menentang gerakan untuk membenarkan, mengiktiraf dan mempromosikan kegiatan mungkar ini. Malahan, penentangan ini juga tidak terhad kepada agama Islam memandangkan tidak wujud mana-mana agama lain yang mengiktiraf budaya dan kelakuan homoseksual ini.
Akhir tahun lalu, Mahkamah India telah menarik kembali pengiktirafannya terhadap LGBT dan penentangan ini bukan sahaja terdiri daripada umat Islam, bahkan juga penganut Hindu, Kristian berserta aktivis-aktivis lain. Keputusan yang sama juga dilihat di Australia. Keputusan-keputusan sebegini memberi harapan bahawasanya masih wujud nilai-nilai moral di negara-negara lain selain polemik yang timbul dalam kalangan mereka sendiri apabila aktivis-aktivis hak asasi manusia ini mahukan hak perlakuan beastiality (hubungan intim bersama haiwan seperti anjing dan kambing) seperti yang diperjuangkan oleh sebuah organisasi bernama Equality For All (EFA). Polemik juga timbul ekoran keputusan senat Amerika meluluskan undang-undang membenarkan askar-askarnya untuk bukan sahaja berperilaku homoseksual tetapi beastiality juga.
Merujuk kepada al-Quran sendiri dan pendirian Islam terhadap seks luar tabii, Allah telah menerangkan akan laknat-Nya terhadap kaum Nabi Lut (a.s) yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk (homoseksual), yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kaum sebelum itu dalam Surah al-‘Ankabut, ayat 28-29.
Kisah kehancuran kaum Nabi Luth a.s ini juga telah dimaktubkan dalam al-Quran (Surah Hud, ayat 82) yang berbunyi: “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.”
Persoalannya, adakah sanggup bagi seseorang Muslim untuk kita menidakkan perintah Allah SWT setelah datangnya peringatan daripada Rasulullah SAW, dan adakah kita lebih gagah daripada kaum Nabi Luth a.s? Di sini, saya amat tertarik dengan kenyataan seorang pendakwah terkenal iaitu Mufti Ismail Menk, dalam satu ceramahnya, telah menyatakan bahawa jika umat terdahulu melakukan satu jenis kemungkaran atau kemaksiatan, namun umat masa kini seperti berlumba-lumba melakukan kesemua kemungkaran dan kemaksiatan yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Sesungguhnya, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi, “Dari Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku ialah perbuatan kaum Luth.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Dalam hal ini, adalah amat wajar bagi umat Islam, dalam melaksanakan kewajiban al-amr ma‘ruf nahi munkar, selain bangkit untuk menentang gerakan fahaman hak asasi manusia yang bersifat sekular ini secara ilmiah, untuk juga mengamalkan pendekatan prinsip Sad al Zaraie dalam fiqh Islam (yakni menutup jalan yang boleh membawa keburukan).
Melihat kepada konteks ini, kita amat berterima kasih di atas usaha-usaha pihak kerajaan dan juga masyarakat setempat (baik persatuan guru dan lain-lain) dalam usaha mendidik para guru dan ibu bapa mengenal pasti anak-anak yang cenderung ke arah tersebut, selain usaha mendekati dan memulihkan golongan yang terjerumus dalam kancah seks songsang.
Antara cadangan usaha itu ialah diwujudkan dana untuk tujuan kaji selidik mengenal pasti dan mencegah fahaman luar tabii selain menyekat penularan budaya mempromosikan budaya lelaki menjadi perempuan dan seangkatannya, yang kian hari kian galak dilakukan.
Selain itu, kita berharap dengan adanya kerjasama yang erat antara pihak-pihak yang prihatin, dapat dibentuk sebuah gerak kerja mantap dalam menyelidiki dan seterusnya menentang serta mencegah penularan fahaman-fahaman atas hak asasi manusia yang dikatakan sebagai agama sekular dunia moden, yang mengancam nilai-nilai agama, secara ilmiah dan bersepadu. Ini kerana, pada hemat saya, kita amat bernasib baik pada kali ini selain usaha-usaha ini juga tidak akan terhenti di sini, sesuai dengan firman Allah yang berbunyi:
“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah Al- A’raf; ayat 16-17).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140330/re_09/LGBT-Jangan-undang-bala-Allah#ixzz2xVopwj6B  © Utusan Melayu (M) Bhd