Ahmad Zahid TPM baharu

NORLIZA ABD. RAHMAN, SAIFULIZAM MOHAMAD DAN SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH | 29 Julai 2015 1:29 AM
PUTRAJAYA 28 Julai – menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Selain memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid kekal sebagai Menteri Dalam Negeri.
Rombakan kali pertama selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) itu turut menyaksikan pengguguran empat orang menteri antaranya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri G. Palanivel serta seorang timbalan menteri selain perubahan portfolio menteri-menteri sedia ada.
Susunan baharu Kabinet hari ini juga menyaksikan pelantikan tujuh menteri baharu terdiri daripada Datuk Wilfred Madius Tangau, Datuk Hamzah Zainudin, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak.
Selain itu sembilan timbalan menteri baharu turut dilantik antaranya, Datuk Mohd. Johari Baharum; Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Kesemua pelantikan baharu menteri dan timbalan menteri itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Perubahan portfolio pula membabitkan dua menteri dan seorang timbalan menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Ahmad Maslan manakala Datuk Seri Idris Jusoh diberi tanggungjawab memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi yang diwujudkan semula dalam rombakan Kabinet kali ini.
Susunan baharu anggota Jemaah Menteri dan timbalan menteri itu berkuatkuasa esok.
Dalam perkembangan berkaitan Najib berkata, keputusannya menggantikan Muhyiddin dengan Ahmad Zahid dibuat selepas mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran.
Kata beliau, begitu juga de­ngan keputusannya menggugurkan empat orang menteri dan seorang timbalan menteri serta perubahan portfolio dibuat setelah mengambil kira faktor yang sama.
“Ini bagi memastikan pentadbiran di bawah saya terus komited, sentiasa fokus kepada usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat pada PRU-13,” katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan keputusan menggantikan Muh­yiddin sebagai satu keputusan yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan supaya Jemaah Menteri dapat berge­rak sebagai satu pasukan yang jitu.
“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khid­mat bakti yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Begitu juga oleh menteri dan timbalan menteri yang kini tidak lagi dalam pentadbiran kerajaan,” katanya lagi.
Najib berkata, rombakan Kabinet hari ini bertujuan memperkukuh­kan lagi barisan Jemaah Menteri untuk menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Bagi tujuan ini, Jemaah Menteri perlu bertindak sebagai satu pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu-isu negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu Najib berkata, beliau boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan.
Namun demikian katanya, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara, juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility).
“Insya-Allah, saya yakin senarai Kabinet yang baharu ini dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada kerajaan BN,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin terima dengan hati terbuka

MUZDALIFAH MUSTAPHA | 29 Julai 2015 1:29 AM
Muhyiddin Yassin sewaktu keluar dari kediamannya di Damansara untuk memberi kenyataan media berhubung pengguguran beliau daripada barisan Kabinet semalam. BERNAMA
PUTRAJAYA 28 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima dengan hati terbuka penggugurannya daripada barisan Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Beliau menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk me lantik dan menggugurkan mana-mana anggota Kabinet.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhi dmat dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua jabatan, pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan dengan penuh amanah.
Beliau turut sentiasa menyokong semua dasar kerajaan dan kepemimpinan Perdana Menteri selama dalam perkhidmatannya.
Walau bagaimanapun jelasnya, hanya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau mempunyai prinsip dan pendirian sendiri.
“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.
“Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada Kabinet maka saya reda,” katanya.
Walau bagaimanapun Muhyiddin bertekad untuk setia kepada perjuangan UMNO selaku Timbalan Presiden dan berjanji akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya.
“Saya akan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuh kan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO. Kepada Allah saya berserah,” katanya.
Muhyiddin memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri selama tujuh tahun iaitu sejak 10 April 2009 dan turut memegang portfolio Kementerian Pendidikan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh merupakan Timbalan Presiden UMNO sejak 2009 selepas menewaskan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pada Pemilihan UMNO 2009.
Muhyiddin yang memulakan karier dalam politik sekitar tahun 1971 telah memegang pelbagai portfolio sebelum ini antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Besar Johor.