Revolusi Syiah pengaruhi PAS

DARI BERITA HARIAN

2013/08/08 – 04:19:29 AM
 Juhaidi Yean Abdullah 
Revolusi Iran kira-kira 34 tahun lalu menggoncang dunia. Kuasa besar Barat terpinga-pinga dengan pengaruh pemimpin Syiah, Ayatollah Khomeini dan bagaimana beliau menjatuhkan kerajaan Reza Shah Pahlevi, yang disokong Amerika Syarikat. Gerakan Islam sedunia bagaikan mendapat semangat baru. Di Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berjumpa Khomeini.

Pulang ke Malaysia, Anwar isytiharkan sambutan ‘Hari Pembebasan dan Perpaduan Iran’ pada 16 Mac 1979. PAS tidak ketinggalan. Pemimpinnya, Mohamed Sabu menggunakan retorik tokoh Syiah itu dalam ucapan dan ceramahnya. Mereka juga mempengaruhi gerakan pelajar Islam, terutama di sekolah agama dan pondok, untuk menentang kerajaan menggunakan revolusi di Iran sebagai contoh.

Rencana Harakah (31 Disember 1999) memuji Khomeini sebagai wira dan ‘role model’ untuk PAS. Malah, ada dakwaan seorang ulama PAS dilantik duta khas Khomeini untuk Asia Tenggara dan risalah ucapan pemimpin Syiah itu diedar di masjid sekitar Kuala Lumpur (Baca Shanti Nair, Islam in Malaysian Foreign Policy, ISEAS 1997).
Pada Muktamar PAS 1983, Presidennya, Yusof Rawa berucap: “Kejayaan revolusi Islam di Iran menambah lagi keyakinan kita terhadap kejayaan Islam masa hadapan. Kita mestilah mempelajari daripada kejayaan umat Islam di Iran untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan kita untuk berjuang.” Yusof menyaksikan sendiri bibit-bibit revolusi kerana ketika itu, beliau adalah Duta Malaysia ke Iran, Turki dan Afghanistan.

Kebetulan, perkembangan di Pakistan yang menyaksikan kemunculan Jeneral Zia ul-Haq (yang memperkenalkan hudud dan cukai cara Islam) dan gerakan Islam menentang kerajaan Anwar Sadat di Mesir turut memberi kesan ke atas PAS sehingga muncul kumpulan pemimpin muda yang berlainan pembawaan berbanding pemimpin terdahulu seperti Dr Burhanuddin al-Helmy dan Tan Sri Asri Muda.
 

Selain Yusof, paling menonjol ialah Datuk Nik Aziz Nik Mat dan beberapa pemimpin ABIM-PAS, seperti Datuk Fadzil Noor, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman.

Bawa pendekatan baru
 

Sebagai Presiden (1983-89), Yusof membawa pendekatan baru, menyusun organisasi parti dan membuka ruang kepada ulama menguasai PAS. Beliau mempelopori konsep ‘kepemimpinan ulama’, memperkenalkan Majlis Syura dan jawatan Mursyidul Am, yang dipegangnya sendiri. Menurut Badlihisham Mohamad Nasir:
 
“Imej PAS dikatakan seolah-olah berubah mengikut rentak kepemimpinan ala-Syiah di Iran yang memberikan status yang amat tinggi kepada ulama.” (Tamadun, Ogos 1999). Apabila Jaafar Nimeiri melancar revolusi Islam di Sudan pada 8 September 1983, Yusof mencadangkan penubuhan negara Islam di Malaysia mengikut acuan revolusi Iran. Menurut Dr Farish A Noor, di bawah kepemimpinan Yusof dan kumpulan muda, PAS bersikap lebih militan dan berkonfrontasi ala gerakan radikal Mesir seperti Tanzim al-Jihad dan Takfir wa’l-Hijrah.

Tanzim al-Jihad (atau Jama’ah al-Islamiyyah) dipimpin personaliti Ikhwanul Muslimin seperti Muhamad Abdul al-Salam Faraj, Abbud al-Zumur dan Khalid Islambuli, semuanya pengikut Khomeini, Syed Qutb dan Sheikh Umar Abdul al-Rahman, yang membenarkan pembunuhan orang awam Islam atas nama jihad.
 

Takfir wa’l-Hijrah (atau Jama’ah al-Muslimin) dipimpin Ahmad Shukri Mustafa, juga pengikut Syed Qutb, dan sering menggunakan takfir sebagai senjata politik. Kumpulan ini menganggap selain ahli mereka, orang lain adalah kotor dan berdosa. (Islam Embedded Vol 2, MSRI Kuala Lumpur, 2004). Tidak terbabit ialah Imam Hassan al-Banna, Sheikh Ahmad Yasin atau Fathi Yakan, yang penulis silap label sebagai pemimpin Syiah dalam artikel minggu lalu.

Sejak itulah, PAS dilihat mengambil pendekatan politik yang semakin keras. Pemimpin mereka sering melabel orang lain sebagai kafir, asabiyyah, munafiqin, mustazaffin dan syirik. Kemuncaknya ialah Amanat Haji Hadi pada 1982 yang menuduh UMNO kafir. Hadi juga menulis buku bertajuk Hizbullah dan Hisbussyaitan manakala Ibrahim Libya mahu berjihad menumbangkan kerajaan yang dianggap sekular dan munafik mengguna revolusi Syiah sebagai model. (Baca Perisai Memali oleh CN Afghani, Baling, 1997)

Kini PAS tolak pengaruh Syiah

Revolusi Iran akhirnya menghadapi masalah dalaman dan luaran. Mereka yang dianggap musuh kerajaan Syiah dipenjara atau dibunuh, tokoh akademik dibuang kerja dan parti politik seperti Tudeh diharamkan. Khomeini melancar perang dengan Iraq antara 1982-1988 sehingga menghancurkan kedua-dua negara. Ramai pemimpin dan tokoh revolusi yang kemudian membantah pemusatan kuasa ulama, kerakusan Khomeini dan kekejaman Syiah letak jawatan (Perdana Menteri Mehdi Bazargan), meninggalkan negara (Presiden Bani-Sadr), dibuang negara (Ayatollah Muhammad Kazim Shariatmadari,) atau dibunuh (Sadeq Gobtzadeh).

Hari ini, PAS secara terbuka menolak pengaruh Syiah tetapi 35 tahun lalu, tokoh yang berani membangkitkan bahaya kesan revolusi Iran dan sikap Syiah dalam kalangan kepemimpinan parti seperti Abu Bakar Hamzah, Asri Muda dan Nakhaie telah disingkir. Kata Abu Bakar, yang dipecat pada 1986: “Memang perangai orang PAS sekarang ini suka mentakfirkan orang lain, suka pulau memulau, suka rasa dirinya saja yang beriman dan bertakwa, sedangkan orang lain adalah kafir belaka. Perangai biadab seperti ini berleluasa dalam PAS dan ayatollahnya gagal membendung… perangai jahiliah beginilah yang akan meruntuhkan perjuangan PAS.” (Mingguan Islam, 17 Jun 1988)

Gerakan Syiah dalam PAS bukan persepsi

DARI BERITA HARIAN

2013/08/01 – 08:12:17 AM
 Juhaidi Yean Abdullah 
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak menolak adanya penganut Syiah dalam jemaahnya. Dalam satu ceramah, beliau berkata: “PAS terbuka kepada semua orang, bukan saja mazhab Syafie. (Orang) mazhab Hanafi, Hambali, Wahabbi, Syiah, Khawarij pun masuk PAS.” Jika benar pun ada pemimpin PAS yang menganut ajaran Syiah, mereka pasti tidak mengaku.

Sikap ini dipanggil takiyyah (munafik, berbohong) dan diamalkan penganut Syiah untuk melindungi diri dan membolehkan mereka terus mengamal dan menyebar pengaruh dalam kalangan umat Islam di negara ini, yang majoritinya beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bila ditanya minggu lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu enggan menjawab kerana anggap soalan itu perangkap media, manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula beri jawapan bodoh.

Namun, tidak sukar untuk kita mengenali siapa antara pemimpin tinggi PAS yang dipercayai penganut Syiah. Menurut ramai guru pondok dan pengikut PAS sendiri, ia berdasarkan pengucapan, amalan dan tindakan individu berkenaan. Beliau sering mengagung-agungkan pemimpin Syiah seperti Hassan Nasrullah, Sheikh Ahmad Yasin dan gerakan seperti Hizbullah dan rejim Bashar al-Assad.
Juga Hassan al-Banna, Kalim Siddiqui, Ali Shariati dan Fathi Yakan. Selain melawat Lubnan, Iran, Iraq dan Syria, individu ini juga sering mengagung-agungkan kejayaan Iran dan membela Syiah dalam ceramahnya. Kata mereka, hakikat individu ini menjadi pemimpin tinggi PAS juga disebabkan sokongan golongan Syiah dalam PAS.

Dalam satu wawancara pada Jun 2011, pemimpin ini akui kagum dengan gerakan dan kejayaan Revolusi Ayatollah Khomeini ketika menyertai PAS sekitar 1978-1979. Beliau juga akui mempelajari falsafah, cara dan mendalami semangat beberapa pemimpin politik yang beliau sanjungi tanpa sedar mereka adalah Syiah.

“Bagi saya bukan melihat pemahaman, anutan dan sebagainya dan kadang-kadang saya tidak tahu apa pegangan dan anutan mereka tetapi saya melihat dari sudut kepemimpinan. Inilah sikap saya, tidak langsung melihatnya dari sudut latar belakang mazhab mereka.” Namun, pemimpin ini mengelak menjawab sama ada beliau Syiah atau tidak.

Bila dicabar Datuk Mukhriz Mahathir pada awal Mei lalu untuk tampil menjelaskan secara ikhlas dan telus mengenai pembabitannya dalam fahaman Syiah, beliau juga tidak menjawab.

Tolak penyatuan dengan UMNO

Pemimpin Syiah dalam PAS adalah mereka yang menolak penyatuan dengan UMNO yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka dikatakan mula bergerak sejak 1980-an, apabila mengikuti lawatan tajaan ke Iran dan Pakistan. Pada 1987, seramai 300 penganut Syiah berkumpul di Kota Bharu atas nama seminar haji. Dewan seminar penuh dengan gambar dan risalah Khomeini. Ini segera diikuti satu lagi seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang mana antara resolusi yang diluluskan ialah menzahirkan ketaatan kepada pemimpin revolusi Iran itu selain menggesa Haramain ditadbir oleh Badan Islam Antarabangsa.

Mulai 1987, buku Syiah dan pelbagai risalah yang memuat ucapan Khomeini tersebar luas. Dalam memperingati Hari Quds Antarabangsa, perutusan Khomeini disampaikan yang mempertahan akidah Syiah.

Kini, ajaran Syiah mudah diakses melalui internet. Lagu dan hujah pemimpin Syiah boleh diikuti di YouTube. Bilangan pengikut Syiah di Malaysia hari ini dianggarkan ratusan ribu orang, termasuk pensyarah universiti. Walaupun pihak kerajaan masih mencari bukti pengaruh Syiah di institusi pengajian tinggi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah antara IPTA yang mempunyai sel Syiah yang aktif.

Fahaman Syiah diasaskan Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dari San’aa, Yaman yang pergi ke Madinah ketika pemerintahan Saidina Uthman RA. Beliau berpura-pura masuk Islam dan berlagak alim untuk menyebar dakyah bahawa Saidina Ali adalah pengganti Nabi Muhammad SAW, menuduh semua sahabat Rasulullah adalah murtad, isteri Baginda, Aisyah seorang penzina dan pelacur, manakala Imam Syafie, Hanafi dan Maliki adalah kafir.

Menurut Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr Sulaiman Saloomi, pengikut Syiah anggap Saidina Ali lebih mulia daripada Rasulullah dan kononnya Malaikat Jibril sepatutnya hantar wahyu kepadanya, bukan Nabi Muhammad. Bagi mereka, al-Quran boleh diubah, dan periwayat hadis seperti Abu Hurairah dan Amru bin Asy adalah pembohong. Mereka anggap solat Jumaat tidak fardu, manakala amalan meratap dan memukul badan sehingga berdarah tanda kesyahidan Saidina Husin adalah sebahagian penyelewengan akidah mereka.

Yang menarik ialah kahwin mutaah, yang boleh dilakukan dengan sesiapa, hatta untuk beberapa jam dengan sedikit bayaran dan tiada had berapa orang. Ulama Syiah bernama Yusuf Sani’ie mengulas sebahagian bab akad dan nikah dalam Kitab Tahrir Wasilah karangan Khomeini seperti berikut: “Boleh menggauli isteri dari dubur dengan syarat mendapat keredaannya. Bermesra-mesra dengan cara meraba isteri yang belum mencapai umur sembilan tahun (termasuk yang masih menyusu) dengan syahwat atau memeluknya atau ‘bermain-main’ dengan pahanya, adalah harus.” Bagi kita, ini adalah perbuatan keji, mungkar dan zalim.

Hayati merdeka menerusi Perlembagaan

DARI BERITA HARIAN

2013/08/28 – 08:22:15 AM  
Shamrahayu A Aziz 
 
 
Perlembagaan Persekutuan yang kita ada sekarang mula beroperasi selepas kita mencapai kemerdekaan. Seperti tulisan saya pada minggu lalu, Perlembagaan adalah lambang kemerdekaan.

Dalam mengisi Perlembagaan ketika kemerdekaan itu, kita maklum bahawa dalam Perlembagaan itu terkandung prinsip hasil inspirasi pimpinan politik dan paling utama ialah inspirasi Raja-Raja Melayu ketika itu. Di samping itu, ada juga cadangan kepakaran daripada Ahli Suruhanjaya Perlembagaan atau juga dikenali Suruhanjaya Reid.

Inspirasi pimpinan politik dan juga Raja-Raja Melayu itu jelas sekali dilihat dalam pelbagai perkara dalam pengisian Perlembagaan, iaitu dalam perkara membabitkan unsur warisan. Paling jelas ialah mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, keistimewaan Melayu yang mencakupi beberapa perkara, iaitu tanah rizab Melayu serta kuota permit perniagaan, biasiswa dan dalam perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kedudukan institusi Raja yang diperjelas kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi beraja.

Perlu diberi penghayatan

Ada juga penulis yang menamakan perkara ini sebagai unsur tradisi. Walaupun ada perbezaan dalam istilah ini, apa yang penting untuk difahami ialah kebanyakan prinsip penting terkandung dalam Perlembagaan itu adalah berasal dari tanah air ini. Seperti yang sentiasa saya sebut dalam tulisan sebelum ini, Perlembagaan sebenarnya adalah dokumen yang mempunyai pengisian yang begitu padu dengan kehendak dan keinginan warganya.

Oleh itu, dalam mengisi kemerdekaan ini setiap prinsip warisan atau tradisi ini perlu diberikan penghayatan sepenuhnya. Walaupun kita menyedari mengenai perubahan yang sudah dan perlu berlaku dalam perkembangan keadaan negara, ia adalah prinsip warisan ini. Tujuannya supaya kita tidak menyimpang daripada tujuan asal Perlembagaan.

Dalam membahaskan perkara tradisi ini, ramai juga yang berasakan kita tidak perlu lagi berpusing menggunakan gear undur untuk mengisi kemerdekaan. Ada yang berhujah bahawa mungkin perkara terbabit baik pada masa itu, iaitu pada masa ia diperkenalkan, tetapi ia harus berubah apabila masa dan keadaan berubah. Banyak yang sudah dibahaskan mengenai isu ini.
 

Kebijaksanaan pimpinan

Walau apa pun, saya mahu menegaskan di sini bahawa, dalam apa juga perubahan keadaan kita, mengekalkan pusaka lama seumpama nilai tradisi ini adalah satu keperluan dan sebarang perubahan hendaklah apa yang sebenar-benar boleh membawa kepada kebaikan. Nilai pusaka inilah yang menjadikan sesebuah bangsa itu dapat mengekalkan jati diri mereka serta mempunyai landasan kegemilangan yang nyata dan teratur. Nilai tradisi ini juga yang berupaya memangkin pembangunan.

Kebijaksanaan pimpinan juga memainkan peranan paling penting dalam mengekalkan nilai tradisi ini. Oleh itu, dalam apa juga pembangunan dan polisi sudah tentu nilai tradisi ini hendaklah dijadikan kayu pengukur dan pengimbang.

Perkara ini kita boleh lihat dalam proses membuat Perlembagaan merdeka dulu. Daripada dokumen sejarah saya dapati banyak perkara yang sudah disebut oleh kepemimpinan mengenai perkara yang dijangka berlaku. Oleh itu, nilai tradisi itu dijaga oleh peruntukan berkaitan pindaan Perlembagaan.

Tonggak Perlembagaan

Boleh dikatakan semua nilai tradisi tidak boleh dipinda menerusi proses demokrasi atau undian di Parlimen. Nilai ini hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Bahkan polisi berkaitan keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 hanya boleh dipinda dengan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, jelas di sini, bahawa semua perkara tradisi itu adalah tonggak kepada Perlembagaan. Maka, amalan dalam bentuk polisi hendaklah sentiasa dipadankan dengan kedudukannya dalam Perlembagaan.

Pemahaman kita kepada nilai tradisi dalam bulan kemerdekaan ini boleh dijadikan cara untuk kita mencernakan kefahaman terhadap hubungan antara Perlembagaan dan kemerdekaan. Selain itu, ia juga bagi menjelaskan lagi kecintaan kita kepada tanah air tumpah darah ini dan seterusnya dapat mendatangkan kesan positif terhadap kecintaan kepada negara dan bangsa.

Mahkamah tak berhak adili akidah

DARI BERITA HARIAN

2013/08/30 – 06:30:21 AM
 Juhaidi Yean Abdullah 
Keputusan kehakiman minggu lalu membenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan tindakan rayuan di mahkamah untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh sebuah gereja dalam penerbitannya diterima lega oleh majoriti umat Islam negara ini.

Dalam suasana agama Islam dihina bertubi-tubi dan umat Islam menahan kemarahan sejak lima tahun lalu, keputusan Mahkamah Rayuan itu meredakan sedikit suhu yang boleh meledak menjadi konflik agama jika tidak berhati-hati.

Walaupun Islam dan Kristian mempunyai akar bersama, yakni apa yang dipanggil agama Samawi Nabi Ibrahim, justeru mempunyai banyak persamaan dalam kitab agama masing-masing, namun ada perbezaan ketara yang tidak mudah dikompromi atau didamaikan. Nabi Isa sebagai anak Tuhan dan kematiannya di batang salib, konsep Tritunggal dan kalimah Allah adalah antara perkara yang tidak boleh diterima oleh umat Islam di Malaysia kerana ia membabitkan soal tauhid dan akidah. Ini perkara asas.

Walaupun ada hujah bahawa penggunaan kalimah Allah sudah lama berlaku di Indonesia, termasuk penerbitan al-kitab dan dalam kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, ia tidak boleh dijadikan sandaran untuk menuntut perkara yang sama di Malaysia. Latar belakang masyarakat, sejarah dan tahap penerimaan adalah berbeza. Apa yang sudah berlaku di Indonesia atau Sabah puluhan tahun lalu, tidak boleh buat apa-apa lagi. Waktu itu, proses Kristianisasi di wilayah berkenaan boleh dilakukan dengan bebas dan mudah oleh penyebar agama Kristian kerana masyarakat yang disasar masih simple dan hampir tiada halangan peraturan atau perundangan.

Kedudukan istimewa kepada Islam

Kita faham tugas penyebar ajaran Kristian dan proses Kristianisasi. Menjadi amalan mereka untuk mengkristiankan seberapa ramai orang tempatan menggunakan bahasa dan adat budaya lokal (Lihat The Willowbank Report: Consultation on Gospel and Culture oleh Committee for World Evangelisation, 1978). Justeru, kalimah Allah juga mahu direbut tetapi hari ini, keadaan sangat berbeza terutama dalam masyarakat kompleks dan majmuk yang menuntut mereka yang beragama agar bersikap harmoni, saling menghormati dan memahami. 

Negara ini ada Perlembagaan yang memberi kedudukan istimewa kepada Islam dan undang-undang tertentu yang mesti dipatuhi ter-utama berkaitan penyebaran agama lain dalam kalangan orang Islam. Kita ada peraturan yang menetapkan bahawa selain kalimah Allah, ada lagi beberapa istilah yang khusus kepada Islam yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Perkara ini mesti dihormati, dan jangan dicabar lagi.

Seingat penulis ketika dijinak-jinakkan dengan ajaran Kristian di Gereja Seventh Day Adventist, Kota Bharu ketika masih belajar di Tingkatan Enam di Maktab Sultan Ismail sekitar 1978-79, paderi tidak penggunaan kalimah Allah; yang disebut hanya God, Lord, Son of God, Father dan sebagainya. Bible dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Cina juga tidak ada kalimah Allah, justeru kenapa dalam versi bahasa Melayu saja yang mahu dimasukkan kalimah Allah?

Tingkatkan kefahaman

Beberapa pihak menggalakkan diskusi antara agama dan dialog peradaban-kebudayaan untuk tingkatkan persefahaman. Ini perkara yang baik, dan sudah lama diusahakan oleh institusi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan universiti. Ia masih berterusan. TV Al-Hijrah misalnya, menayangkan Dialog Harmoni yang menampilkan tajuk universal yang dikupas tokoh pelbagai agama. Yang menjadi isu bukan kurangnya dialog agama, tetapi apa yang dilihat sebagai usaha mencabul kesucian agama dan hak umat Islam, termasuk mengadili akidah Islam di mahkamah. Ini yang sukar diterima, apatah lagi jika dilakukan secara arogan.

Majoriti orang Islam negara ini tersentak apabila sebuah gereja berani menyaman kerajaan pada 2009 bagi menuntut hak menggunakan kalimah Allah. Jiwa Muslim bertambah berang apabila pemimpin pembangkang tidak dilihat mempertahan kedaulatan agama. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Nasaruddin Hassan adalah antara pemimpin pembangkang yang menyokong gesaan Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng pada 25 Disember 2012 lalu agar orang bukan Islam dibenarkan mengguna kalimah Allah. Untuk seketika, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga sependirian sehinggalah mereka disekolahkan oleh mufti dan tokoh agama, termasuk ulama PAS, Datuk Dr Haron Din dan Datuk Harun Taib. Itupun mereka ditempelak Azmin Ali yang berkata Majlis Syura cuma organisasi kecil dalam PAS, justeru tidak mencerminkan pendirian pakatan pembangkang.

Mungkin itulah sebabnya hampir tiada pemimpin PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada di Mahkamah Rayuan untuk mendengar keputusan hakim minggu lalu. Yang ramai adalah ahli NGO Islam dan aktivis persatuan yang prihatin. Suasana ini berbeza dengan ketika kes liwat Anwar, yang mana ramai pemimpin PAS fanatik dan penyokong PKR liberalis-pluralis yang datang memberi sokongan. Maknanya antara sokongan dalam kes yang mendaulatkan agama dengan kes liwat, orang PAS dan PKR lebih pentingkan politik daripada menegakkan syiar Islam. 

SENARAI 49 KONGSI GELAP SELURUH MALAYSIA

Geng 36, 04, 08 paling bahaya

ABDUL Rahim Mohamad Radzi (tengah) bersama Jalil Hasan (kanan) dan Othman Yusof menunjukkan senarai nama pertubuhan kongsi gelap dalam sidang akhbar mengenai Pewartaan Pertubuhan-pertubuhan Kongsi Gelap di Malaysia di Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 29 Ogos – Tiga pertubuhan kongsi gelap iaitu Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 dikesan sebagai kumpulan samseng paling berbahaya daripada 49 kongsi gelap di seluruh negara yang diumumkan kerajaan hari ini.
Kumpulan itu didapati menjalankan pelbagai jenis jenayah berat dan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, Geng 36 yang majoriti ahlinya daripada kaum Cina mempunyai 8,512 ahli dan bergerak aktif di sekitar Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, Geng 04 dan Geng 08 yang mempunyai jumlah ahli masing-masing 5,240 orang dan 4,423 orang serta dianggotai kaum India pula dikesan aktif melakukan jenayah di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka
“Jumlah keseluruhan ahli kongsi gelap yang direkodkan ialah seramai 40,313 orang yang bergerak secara aktif dalam 49 pertubuhan kongsi gelap di seluruh negara dengan menjalankan kegiatan seperti pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

“Selain itu, mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau dan kuku kambing,” katanya dalam sidang akhbar Op Cantas Khas di pejabatnya, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Jalil Hasan dan Penyiasat Undang-undang KDN, Othman Yusof.
Menurut Abdul Rahim, daripada pecahan kaum, orang India paling banyak menyertai kongsi gelap iaitu 28,926 orang diikuti kaum Cina (8,214 orang) dan Melayu (1,923 orang).
Katanya, terdapat 21 pertubuhan kongsi gelap di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mempunyai ahli sebanyak 329 dan 921 orang.
Abdul Rahim berkata, kebanyakan kaum Melayu menganggotai Geng Double 7, Tiga Line dan Geng 30 yang dikesan bergiat aktif di seluruh Semenanjung.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa semalam.
Beliau berkata, menerusi pengisytiharan itu, mana-mana individu atau pihak lain tidak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan segala akaun, aset dan harta pertubuhan-pertubuhan kongsi gelap itu akan diserahkan kepada Jabatan Insolvensi sekiranya ditahan.
“Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335 sebagai contoh seksyen 6(2) dan 6(3), seksyen 42 dan seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta seksyen 142 Kanun Keseksaan.
“Pada masa sama, tiada seorang pun yang boleh menggunakan semula tulisan, senarai anggota, panji atau tanda bagi berhubung dengan sesuatu pertubuhan kerana menyalahi undang-undang berdasarkan kepada peruntukan seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya bersama beberapa agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, ROS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan akan terus memperhebatkan usaha memerangi kegiatan samseng itu. Mengenai penglibatan ahli politik dan warga asing dalam kegiatan kongsi gelap itu, beliau berkata, tiada sebarang maklumat lanjut mengenainya dan perkara itu perlu dirujuk dan disahkan oleh pihak polis.
Ditanya sama ada terdapat anggota kongsi gelap itu yang berjaya ditahan dalam Op Cantas, Abdul Rahim mengesahkan terdapat kes anggota kongsi gelap berjaya ditahan.
“
Ada kes kita dapati ada kaitan dengan kongsi gelap, kadang-kadang dapat dikesan menerusi uniform, logo pada badan dan sebagainya tetapi ada juga yang tidak berkaitan namun, maklumat lanjut akan disahkan oleh pihak polis.
“
Kita akan sentiasa memantau perkembangan ini dan menjalankan penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ROS dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi membanteras kumpulan ini,” katanya.

RUPANYA BANYAK YANG HARAM KAT MALAYSIA NI…

Maklumat 49 pertubuhan haram, kongsi gelap diumumkan hari ini

PUTRAJAYA 28 Ogos – Kementerian Dalam Negeri akan mengumumkan maklumat 49 pertubuhan haram termasuk kongsi-kongsi gelap yang telah diwartakan selewat-lewatnya pada esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai pertubuhan haram itu akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Katanya, maklumat yang diumumkan itu akan meliputi nama pertubuhan dan lokasi utama kegiatan pertubuhan haram berkenaan.
“Saya telah menandatangani (dokumen berkenaan) pewartaan pertubuhan haram ini, kesemuanya ada 49 buah organisasi.
“Setelah diwartakan, nama dan lambang pertubuhan itu akan diharamkan. Mereka juga tidak dibenar menggunakan premis atau bergerak atas nama dan simbol berkenaan.
“Jika bersalah, mereka boleh dikenakan denda maksimum termasuk penjara lima tahun dan denda RM15,000,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Poland, Adam Waclaw Jelonek di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, kerajaan telah bersetuju untuk membeli perkakas persenjataan dari Poland bergantung kepada keperluan yang ada.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sebarang perubahan pada nama dan logo pertubuhan haram berkenaan akan dipantau oleh polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Ditanya tentang jumlah ahli yang terdapat dalam 49 pertubuhan tersebut, beliau berkata, maklumat tersebut perlu diumumkan oleh polis.
Mengenai perkaitan pertubuhan haram dengan aktiviti perniagaan pula, Ahmad Zahid berkata, pihaknya mempunyai hubungan kerjasama yang erat dengan Pendaftar Syarikat (ROC) untuk memantau perkara itu.
Tambahnya, pewartaan dan pengumuman senarai pertubuhan haram termasuk kongsi gelap tersebut telah mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Peguam dan pertubuhan pencegahan jenayah.
“Ini sebagai kempen kesedaran untuk mewujudkan rasa tanggungjawab semua pihak tentang kewujudan pertubuhan haram ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap dalam operasi besar-besaran nanti akan ditanggung oleh syarikat penyumberan luar yang bekerjasama dengan pihak kedutaan dan pejabat pesuruhjaya tinggi asing.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa kerajaan akan melancarkan operasi penahanan PATI secara besar-besaran mulai Ahad ini dan mereka yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin bagi mengelakkan masalah kesesakan dalam pusat tahanan.
 

JANGAN LUPA KEPALA KONGSI TU…

Polis buru 40,000 anggota kongsi gelap

CYBERJAYA 28 Ogos – Polis menyenaraikan 40,000 anggota kongsi gelap di seluruh negara dalam Op Cantas kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan.
 
Jenayah kekerasan adalah termasuk pembunuhan, pergaduhan, pecah rumah, samun, rogol dan merusuh.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis akan meneruskan operasi itu sehingga kadar jenayah kekerasan di seluruh negara menurun.
“Operasi itu akan diteruskan sehingga keyakinan rakyat terhadap keselamatan meningkat dan persepsi “rasa takut menjadi mangsa jenayah” berkurangan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis menandatangan 
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti LimKokWing di sini, hari ini.
MoU ditandatangani Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Naib Presiden Kanan universiti itu, Datuk Raja Aznil Raja Hashim.
MoU itu membolehkan universiti tersebut mendapat kontrak lima tahun untuk menyediakan bahan seperti poster, animasi dan klip video kepada PDRM untuk kempen pencegahan jenayah siber.
Op Cantas dilancarkan 23 Ogos lalu berikutan peningkatan laporan jenayah kekerasan termasuk kes tembak dan operasi itu merangkumi pemeriksaan di jalan raya, kelab malam serta kenderaan untuk memeriksa individu yang terbabit dalam penggunaan senjata api tanpa lesen, anggota kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, memiliki senjata berbahaya dan mereka dalam senarai dikehendaki polis.
Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mengumumkan senarai nama kumpulan kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan kumpulan itu dalam tempoh terdekat kerana mereka merupakan pertubuhan haram serta mahu masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh dalam usaha menangani jenayah.
Mohd. Bakri berkata, sejak operasi itu dijalankan, 2,247 orang ditahan sehingga semalam di seluruh negara dengan tujuh senjata api, satu bom tangan dan 77 senjata tajam berbahaya dirampas.
Beliau berkata pihak polis juga telah memeriksa 37,305 kenderaan. – BERNAMA
KOMEN : RAMAI LAGI TU… YANG MEMBELA PUN PATUT DISIASAT… MANA TAHU MEREKA PUN ADA KEPENTINGAN…
Naufal Muzir

Biar tak ramai kawan jangan ramai musuh.love my country, говорить через социальные медиа

naxxone84

Luahan Kejam Nukilan Jiwa

jebatmustdie

This site is dedicated to opinion pieces by pundits and the intelligentsia; mostly on politics and socio-economics

SPM Soalan

All SPM Info, Trial, HOTS/KBAT and Past Years Papers

MUAFAKAT

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia

Ahmad Ali Karim's Weblog

probably one of the youngest blogger ...

Piglove

Adventures of Bacon and Friends

theratuvendor's Blog

beauty stop & FIXI's novel lover

Evil Joy Speaks

Orang Biasa Aje. Pentingnya Mencari kebenaran Dalam Melayari Kehidupan Sebagai Insan Kamil

records with merritt

Curate Your Vinyl Collection Here

Food Adventures

A personal blog about my family, cooking adventures, and crafts.

Coach Daddy

It's about fatherhood, futbol, and food.

Abby Has Issues

I have issues. So do you.

Karim's Blog

will blog anything for the betterment

Gelagat Anwar

Fikir Masak Masak

Your Well Wisher Program

Attempt to solve commonly known problems…