Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 : Amri pastikan kemenangan sulung

FADHILUL IZMEL ISHAK | 14 Oktober 2015 12:05 AM
Amri Yahyah memastikan Malaysia membawa pulang tiga mata dari Dili apabila menjaringkan gol pada minit ke-10 dalam pertemuan dengan Timor Leste semalam.
KUALA LUMPUR – Jaringan Mohd. Amri Yahyah menghidupkan peluang tipis skuad Harimau Malaya apabila menumpaskan Timor Leste 1-0 untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan negara melonjak satu anak tangga ke tempat keempat Kumpulan A, di belakang Palestin, selepas mengutip empat mata daripada lima perlawanan dengan mencatat satu kemenangan, seri sekali dan tewas tiga kali. Arab Saudi terus unggul di anak tangga pertama setelah menang semua perlawanan mereka dan diikuti oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Ini adalah kemenangan pertama jurulatih sementara skuad negara Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan kompetitif daripada dua perlawanan sejak menggantikan Dollah Salleh.
Bagaimanapun, ini adalah kemenangan kedua jurulatih Harimau Muda itu, setelah pasukan negara menang 3-1 ke atas Laos di Bangkok minggu lalu.
Malaysia akan menentang Palestin dalam perlawanan seterusnya pada 12 November.
Kejayaan menewaskan Timor Leste tersebut memberi kepuasan kepada Kim Swee apabila skuad negara kini kembali memberi saingan kepada pasukan lain dalam aksi dwi kelayakan tersebut setelah memulakan kempen dengan aksi longlai, termasuk seri dengan Timor Leste di Bukit Jalil.
“Sangat penting untuk kita mendapatkan tiga mata pertama di pe­ringkat kelayakan kerana kita tahu skuad negara memerlukan kemenangan untuk menghidupkan kembali peluang terutamanya untuk ber­akhir di tempat ketiga.
“Satu situasi yang sukar dengan cuaca yang panas (ketika perlawanan). Kita nampak pemain berusaha bersungguh-sungguh jadi gol yang diperoleh bagi saya cukup baik dan kami berjaya bertahan (tidak dibolosi) selama 90 minit permainan,” kata Kim Swee menerusi telefon.
Ketika ditanya mengenai hanya satu gol yang dihasilkan meskipun skuad negara mencipta beberapa peluang bagus, Kim Swee berkata: “Saya tidak peduli tentang apa yang berlaku dalam padang kerana yang penting kita dapat tiga mata.
“Kalau dapat tiga gol tapi dibolosi empat gol kita masih kalah. Apa yang mustahak adalah kita menang dan pemain perlu menjaga disiplin mereka. Saya fikir ini, untuk sekian lama, ini kali pertama kita tidak dibolosi… jadi bahagian pertahanan dan pemain lain telah membuktikan mereka boleh bertahan.”
Skuad negara hanya memerlukan 10 minit untuk berada di depan apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Amri, yang menjadi ketua pasukan menggantikan Mohd. Safiq Rahim yang tidak boleh disenaraikan pada saat-saat akhir, menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas menerima hantaran lintang daripada Nazirul Naim Che Hashim.
Ketika perlawanan memasuki babak kedua gawang skuad negara berada dalam bahaya apabila Timor Leste kerap melakukan asakan, terutama percubaan daripada Rodrigro Sausa serta Ramon Saro hampir menyamakan kedudukan.
Mengulas mengenai ketiadaan arkitek Harimau Malaya, Mohd. Safiq dalam kesebelasan pasukan, Kim Swee memberitahu bahawa ia adalah disebabkan keputusan komisioner perlawanan yang tidak membenarkan pemain JDT itu diturunkan kerana mengutip kad kuning sewaktu menentang Palestin (16 Jun) dan Arab Saudi (8 September).
“Kita dimaklumkan oleh FIFA bahawa perlawanan menentang Arab Saudi digantung jadi pemain lawan yang menerima kad kuning dilupuskan. Kita menunggu sehingga pada saat akhir iaitu dalam mesyuarat komisioner perlawanan di sebelah petang (kelmarin) dan diberitahu Safiq boleh diturunkan.
“Bagaimanapun semalam (kelmarin) komsioner perlawanan memaklumkan Safiq tidak boleh bermain. Jadi saya terpaksa membuat sedikit pertukaran,” jelasnya.
Tambah Kim Swee keputusannya untuk membawa Safiq adalah bukan disebabkan salah faham cuma tidak mahu terlepas peluang untuk menggunakan khidmat pemain JDT itu sekira­nya kad kuning yang diterima­nya ketika menentang Arab Saudi tempoh hari tidak dikira.
Advertisements

Kelayakan ­Piala Dunia ­2018/Piala Asia 2019 : Tak gentar samba Timor Leste

Harimau Malaya turun dengan misi cari kemenangan di Dili
MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 13 Oktober 2015 12:14 AM












PASUKAN Harimau Malaya sempat bergambar di Dili semalam, sehari sebelum menghadapi Timor Leste hari ini.
KUALA LUMPUR – WALAUPUN Timor Leste membariskan ramai pemain naturalisasi, terutama dari Brazil, namun itu tidak menggetarkan Harimau Malaya apabila berdepan pasukan itu dalam kelayakan ­Piala Dunia ­2018/Piala Asia 2019 di Dili, hari ini.
Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menegaskan, anak-anak buahnya sudah bersedia untuk bangkit daripada kekecewaan diikat Timor Leste 1-1 dalam perlawanan pertama mereka, Julai lalu.
Namun, beliau tetap mengi­ngatkan anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman Timor Leste, yang sudah menunjukkan peningkatan berbanding pertemuan pertama kedua-dua pasukan, tiga bulan lalu.
“Persiapan kita berjalan baik, di mana kita sampai ke Dili dua hari lepas dan semua mengikut perancangan apa yang ingin saya lakukan. Saya harap esok (hari ini) kita akan dapat mempamer aksi terbaik.
“Timor Leste bertambah baik..kita nampak yang mereka mempunyai ramai pemain naturalisasi da­ripada Brazil.
“Kejayaan mereka mendapatkan mata ketika menentang Palestin (1-1) menunjukkan bahawa mereka pasukan yang cukup baik tetapi kita juga melakukan persiapan yang rapi kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di Dili, semalam.
Dalam aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, skuad negara diikat 1-1 dengan Timor Leste di Bukit Jalil.
Malaysia kini berada di kedudukan tercorot kumpulan A selepas sekadar mengumpul satu mata dengan tiga kekalahan berturut-turut.
Skuad Kim Swee membawa misi wajib menang ke atas Timor Leste untuk memperbaiki kedudukan, sekali gus mencerahkan peluang beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2019 nanti.
Mengulas mengenai jumlah ja­ringan, Kim Swee berkata, itu tidak penting kerana yang mustahak pa­sukannya menampilkan aksi terbaik dan menunjukkan disiplin serta fokus tinggi dalam perlawanan itu.
“Setiap kali kita bermain semestinya kita akan menjaringkan gol dan terpulanglah berapa jumlah gol dapat dihasilkan, tetapi yang pen­ting kita mendapat keputusan yang baik tidak kira satu, dua atau tiga gol.
“Kalau daripada segi fizikal, Timor Leste mempunyai kelebihan namun sebelum ini ketika perlawanan dengan Arab Saudi mereka juga mempunyai fizikal yang baik .
“Banyak lagi pasukan yang ada fizikal yang bagus, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk pasukan negara tidak menampilkan aksi terbaik dan kita mempunyai kelebihan kita sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menuntut rakan-rakan sepasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan menentang Timor Leste dan berharap dapat meneruskan momentum kemenangan ke atas Laos minggu lalu.
“Pertama sekali kita tahu pa­sukan Timor Leste bukan pasukan yang sama seperti dulu dan jelas sangat berbeza.
“Jadi kami perlu bersedia daripada segala aspek sama ada taktikal, posisi, kawalan bola dan sebagainya.
“Moral pemain lebih baik ketika ini selepas berjaya melakar kemenangan dengan Laos tempoh hari dan saya harap momentum itu dapat diteruskan dalam perlawanan esok.
“Saya percaya rakan-rakan pa­sukan mahu keputusan yang baik agar kita berada dalam landasan baik untuk saingan ke Piala Asia,” katanya.

WORLD CUP/PIALA ASIA : Jangan burukkan lagi keadaan

FADHILUL IZMEL ISHAK | 08 September 2015 12:29 AM
ONG KIM SWEE (baju merah) memberi arahan kepada pemain negara dalam latihan terakhir Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, semalam. utusan/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR – Sudahlah diaibkan 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hilang jurulatih dan berdepan kemungkinan hilang Presiden, pa­sukan Malaysia bakal berdepan Arab Saudi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 hari ini dalam keadaan serba tidak kena.
Justeru, jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee merayu kepada penyokong bola sepak negara agar tidak memburukkan lagi keadaan pasukannya dengan membuat kacau di Stadium Shah Alam.
Kata Kim Swee, pasukannya mungkin tidak mampu menjanjikan kemenangan, namun mereka berjanji akan mempamer aksi terbaik dan memberi tentangan kepada Arab Saudi, sekali gus me­nebus aib di Abu Dhabi.
“Sudah pasti tidak mudah buat kami melupakan mimpi ngeri (kalah kepada UAE) dalam masa yang singkat, tetapi pemain masih mempunyai satu hari lagi untuk bangkit dan saya harap mereka akan melakukannya.
“Kami perlukan peluang kedua, malah menagih sokongan daripada penyokong,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Pada ketika Kim Swee merayu sokongan diberikan kepada skuad Harimau Malaya, pemainnya sendiri sebenarnya perlu melakukan sesuatu untuk kembali mendapat kepercayaan seluruh rakyat negara ini.
Mereka hanya akan memburukkan lagi keadaan sekiranya masih mempamer persembahan tidak bersemangat apabila menentang Arab Saudi, pasukan yang sama handal dengan UAE.
Kebanyakan peminat bola sepak Malaysia sedar untuk menewaskan gergasi Asia yang pernah beberapa kali merasai pentas Piala Dunia itu bukan perkara mudah.
Namun, apa yang dimahukan oleh mereka adalah satu persembahan bersungguh-sungguh ditunjukkan oleh pemain bola sepak negara.
Dalam erti kata lain, sekali pun tewas, usahlah sampai dibelasah dan tumbanglah dalam keadaan bermaruah.
“Saya harap menjelang perlawanan esok (hari ini) tiada sebarang gangguan diterima oleh pasukan. Anda perlu ingat banyak ­aspek serta faktor yang perlu dipertimbangkan sekiranya berlaku kekecohan.
“Peraturan sangat ketat dan saya harap peminat dapat datang memberi sokongan kepada pasukan negara. Saya harap dalam perlawanan esok tiada sebarang insiden yang tidak ­diingini berlaku dan semua orang akan pulang ke rumah dengan selamat,” kata Kim Swee lagi.
Katanya, meskipun Arab Saudi mendapat sentuhan bekas jurulatih Belanda, Bert van Marwijk yang pernah memimpin pasukan lama­nya layak ke final Piala Dunia 2010, namun faktor itu tidak akan menggentarkan Harimau Malaya.
Mereka pasti tidak mahu menghampakan penyokong di Stadium Shah Alam.

WORLD CUP 2014 – ‘Selecao sudah ketinggalan’

NEYMAR mengalami kecederaan belakang pada Piala Dunia hingga menyebabkan dia terlepas sebahagian aksi Brazil, termasuk ketika pasukan itu dimalukan 7-1 oleh Jerman di separuh akhir.
RIO DE JANEIRO – Bintang penyerang Brazil, Neymar menegaskan, pasukannya sudah ketinggalan di belakang Jerman dan Sepanyol, dan mereka perlu berani untuk mengakui hakikat itu.
“Saya fikir bola sepak Brazil sudah ketinggalan.
“Kami di belakang Jerman dan Sepanyol.
“Kami tergelincir di belakang dan kami perlu menjadi lelaki yang sejati untuk mengakuinya,” kata Neymar.
Neymar bagaimanapun menegaskan, mereka sudah berusaha keras untuk menjuarai Piala Dunia tetapi negara lain menunjukkan peningkatan dan mengatasi mereka.
Dalam temu bual eksklusif dengan televisyen Globo semalam, bintang penyerang berusia 22 tahun itu berkata, dia dan pasukannya berhak diberi tujuh daripada 10 markah penuh atas persembahan mereka.
Kempen Brazil berakhir dengan kehancuran bermula dengan kekalahan memalukan 1-7 kepada Jerman di separuh akhir, sebelum diaibkan 0-3 oleh Belanda pada penenetuan tempat ketiga.
“Tiada kesilapan tertentu yang dilakukan oleh Selecao. Saya bukan seorang yang memahami banyak tentang taktik,” katanya lagi ketika ditanya posisi yang wajar diperbaiki mereka selepas tamat Piala Dunia.
Dalam dua perlawanan yang memalukan itu, Neymar terpaksa menjadi penonton selepas mengalami keretakan tulang belakang ketika suku akhir menentang Colombia.
Dia dihentak di belakang oleh Juan Zuniga dalam satu ‘tindakan yang tiada kena-mengena dengan bola sepak’ namun menerima permohonan maaf pemain Colombia itu.
“Saya mempunyai seorang pemimpin yang juga antara seorang jurulatih terbaik pernah dimiliki Brazil.
“Kami sentiasa berlatih. Kami memberikan segalanya,” katanya lagi, yang menempak segala kritikan yang dilemparkan kepada skuad Selecao.
Kekalahan memalukan Brazil pada Piala Dunia kali ini turut mendorong kepada peletakan jawatan jurulatihnya, Luis Felipe Scolari sejurus tamat kejohanan.
Neymar enggan menyalahkan Scolari, jurulatih yang turut membawa Brazil dinobat sebagai juara dunia buat kaliu kelima pada 2002.
Namun, dia membayangkan bahawa apa yang berlaku ke atas pasukannya mungkin disebabkan kerana kebanyakan pemain mereka kurang menjalani latihan di negara sendiri berbanding Eropah.
“Anda banyak berlatih, tetapi kadangkala anda berlatih dengan keazaman yang kurang. Itulah yang mungkin terjadi dengan pemain-pemain Brazil,” ujar bintang penyerang Barcelona itu lagi.
Neymar juga menegaskan Brazil terpaksa mengakui hakikat bahawa pasukan lain sudah maju meninggalkan negaranya.
Itu bermakna, Brazil tidak akan menerima laluan selesa seperti yang pernah dialami sebelum ini.
Brazil hari ini bersedia untuk melatih bekas jurulatih Dunga untuk menggantikan Scolari bagi bersedia pada kejohanan Selecao berikutnya, Copa America 2015 di Chile.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140722/sl_01/Selecao-sudah-ketinggalan#ixzz389ZwPG00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



5 gol paling cantik di Piala Dunia 2014

BINTANG Belanda, Robin van Persie menjaringkan salah satu gol paling menarik dalam Piala Dunia menerusi tandukan, dan penyerang Colombia, James Rodriguez merembat salah satu gol dengan gaya paling spektakular dalam kejohanan kali ini.
Berikut merupakan lima jaringan yang dianggap paling cantik dalam kejohanan Piala Dunia Brazil 2014 yang berakhir dengan Jerman muncul juara setelah menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir kelmarin.
ROBIN van Persie melayangkan badan untuk menanduk bola bagi mencipta ‘gol ajaib’ ketika Belanda bertemu Sepanyol dalam perlawanan peringkat Kumpulan B pada 13 Jun. – AFP
– ROBIN VAN PERSIE
Belanda lwn Sepanyol,
Kumpulan B
Salvador, 13 Jun
Gol ‘ajaib’ pertama Piala Dunia 2014, yang dipilih oleh kebanyakan pengulas sebagai gol terbaik. Dengan Belanda ketinggalan 1-0, Daley Blind membuat sepakan lintang ke kotak penalti. Van Persie mengagak arah bola dengan tepat, dan melayangkan badan untuk membuat tandukan lambung dan bola melepasi penjaga gol Iker Casillas dan memasuki gawang. Itu bukan sahaja salah satu gol tercantik kejohanan, malah menjadi pemangkin kepada kejayaan Belanda menewaskan Sepanyol 5-1.
TIM Cahill (kiri) merembat gol pertama pasukannya ketika bertemu Belanda dalam perlawanan peringkat Kumpulan B pada 18 Jun. – AFP
– TIM CAHILL
Australia lwn Belanda,
Kumpulan B
Porto Alegre, 18 Jun
Australia dianggap sukar untuk melepasi Kumpulan B, di mana lawan mereka pada pusingan pertama adalah Belanda, Sepanyol dan Chile. Walaupun mereka telah kalah seperti yang dijangkakan, penyerang veteran Tim Cahill memberi pasukannya satu detik kenangan pada kejohanan tersebut dengan menjaringkan gol yang hebat pada minit ke-21. Berlari untuk menyambut hantaran bola jauh, pemain berusia 34 tahun itu melepaskan rembatan voli yang menggerunkan dan bola terkena bahagian bawah palang lantas menerjah jaring.
LIONEL Messi (kanan) membuat sepakan lencong dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol kemenangan Argentina ketika bertemu Iran dalam perlawanan peringkat Kumpulan F pada 21 Jun lalu. – REUTERS
– LIONEL MESSI
Argentina lwn Iran, Kumpulan F
Belo Horizonte, 21 Jun
Iran kelihatan telah bertahan dengan cemerlang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang pasukan kuat, Argentina. Malah pada satu ketika mereka mampu mendapatkan gol kemenangan. Tetapi ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, dan penyokong Argentina hampir terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan, Messi membuktikan kehebatannya untuk menjaringkan gol kemenangan. Menyambut bola di sudut kanan kotak penalti, dia menggelecek seorang pemain pertahanan dan menendang bola dengan kaki kiri yang menggegarkan jaring.
JAMES Rodriguez (kiri) melepaskan rembatan jarak jauh selepas mengawal bola dengan dadanya ketika bertemu Uruguay di pusingan kedua pada 28 Jun. – AFP
– JAMES RODRIGUEZ
Colombia lwn Uruguay,
pusingan kedua
Rio de Janeiro, 28 Jun
Pemain berusia 22 tahun Rodriguez telah memenangi hati peminat dengan kemahirannya ketika menyerang di peringkat kumpulan, di mana dia telah menjaringkan tiga gol. Tetapi dia meningkatkan taraf dirinya ke tahap lebih hebat apabila menjaringkan gol dengan cukup bergaya di Stadium Maracana sewaktu bertemu Uruguay di peringkat 16 pasukan terakhir. Menyambut bola dengan dadanya 22 meter dari gawang, pemain nombor 10 Colombia itu membiarkan bola dan kemudian melepaskan voli yang tidak mampu dihalang apabila bola meluru ke bawah palang gol dan memasuki jaring.
MARIO Goetze (kiri) membuat sepakan voli untuk menjaringkan gol kemenangan Jerman ketika bertemu Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro kelmarin. – REUTERS
– MARIO GOETZE
Jerman lwn Argentina,
perlawanan akhir
Rio de Janeiro, 14 Julai
GOETZE bermula sebagai salah seorang pemain dalam kesebelasan utama pasukan dibimbing oleh Joachim Loew tetapi kemudiannya kehilangan tempat dalam skuad itu. Tetapi apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan pemain berusia 22 tahun itu tidak mengecewakan. Andre Schuerrle membuat larian dan hantaran lintangnya telah disambut oleh Goetze dengan dadanya sebelum membuat rembatan voli untuk gol kemenangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140716/sl_10/5-gol-paling-cantik-di-Piala-Dunia-2014#ixzz37mgWqrNS  © Utusan Melayu (M) Bhd 



WORLD CUP 2014 – Presiden Argentina mengaku tidak minat bola sepak

LIONEL Messi (kiri) dan Alejandro Sabella (kanan) tersenyuan ketika menyaksikan Cristina Fernandez memberi ucapan pada majlis sambutan kepulangan skuad Argentina di Buenos Aires semalam. – REUTERS
BUENOS AIRES – Presiden Argentina, Cristina Fernandez mengaku tidak menonton skuad La Albiceleste beraksi sepanjang Piala Dunia di Brazil yang tamat kelmarin.
Sehari selepas tamat kejohanan tersebut yang menyaksikan Argentina kalah 0-1 kepada Jerman dalam perlawanan akhir, Fernandez menyambut ketibaan para pemain yang sedang berduka itu dengan pelukan untuk menenangkan mereka.
Fernandez telah menolak pelawaan Presiden Brazil, Dilma Rousseff untuk menghadiri perlawanan akhir dengan memberi alasan sakit tekak, manakala Chancelor Jerman, Angela Merkel berada di stadium dan begitu seronok menyambut gol kemenangan Jerman.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Fernandez yang diiringi Lionel Messi serta rakan sepasukannya telah berkata: “Seperti yang awak tahu, saya bukanlah peminat bola sepak. Saya tidak menonton satu perlawanan pun, termasuk aksi final semalam (kelmarin).”
Katanya lagi, beliau turut membuat panggilan kepada jurulatih pasukan, Alejandro Sabella selepas tamat perlawanan kerana berasakan mereka seolah-olah telah menang.
Walaupun kenyataannya itu tidak mengejutkan orang ramai kerana mengetahui Fernandez tidak meminati sukan itu, tetapi beliau dilihat gagal mendekatkan diri dengan rakyat yang begitu obses dengan bola sepak serta bersedih terhadap kekalahan pasukan mereka.
Seorang penganalisis politik, Felipe Noguera menganggap Fernandez, yang tidak boleh bertanding dalam pilihan raya tahun depan, gagal untuk menyelami perasaan rakyat Argentina yang sedang terluka akibat kekalahan pasukan mereka dalam final Piala Dunia.
“Kenyataannya itu hanya menunjukkan yang beliau hidup dalam dunia sendiri. Bulan ini merupakan sangat positif untuk negara ini, tetapi kelihatan beliau tidak bersama dalam hal tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang penyokong Argentina memuat naik luahan hatinya di Twitter serta mengutuk kenyataan Fernandez.
“Terdapat kemiskinan, beliau tidak nampak. Terdapat keadaan tidak selamat, beliau tidak nampak. Argentina layak ke final, beliau tidak nampak. CFK adalah wanita yang buta,” kata seorang pengguna Twitter yang diajukan kepada Fernandez. – REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140716/sl_03/Presiden-Argentina-mengaku-tidak-minat-bola-sepak#ixzz37mcuF2Sf  © Utusan Melayu (M) Bhd