UMNO : Krisis yang berlaku ditangani dengan baik

Hishammuddin akui ahli UMNO gelisah
MOHD. ASRON MUSTAPHA | 10 Ogos 2015 1:33 AM
HISHAMMUDDIN TUN HUSSIEN (tengah) berkata sesuatu kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pandan di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 9 Ogos – UMNO sudah berulang kali berdepan dengan krisis ke­pemimpinan sejak penubuhannya dan setiap kali onak politik itu datang melanda, seluruh ahli berjaya melaluinya dengan penuh kewarasan serta kebijaksanaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, untuk kesekian kalinya beliau percaya krisis yang timbul ketika ini akibat rombakan Kabinet dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mampu diatasi dengan baik.
Mengakui wujud kegelisahan dalam kalangan ahli UMNO akar umbi khususnya di Johor, Hishammuddin seterusnya mengulangi pendirian mahu isu 1MDB diselesaikan tahun ini dengan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang bersalah.
Beliau juga bersetuju sidang khas Dewan Rakyat dibuat untuk melantik ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baharu dengan segera, kerana tidak mahu siasatan 1MDB tertangguh sehingga mengundang persepsi negatif.
“Saya telah turun ke bahagian Mersing, Tenggaroh dan Sembrong. Saya tengok apa yang kita lalui sejak waktu Dato’ Onn Jaafar lagi, krisis ini bukan perkara baharu untuk Johor dan saya yakin orang UMNO Johor cukup bijaksana.
“Walaupun wujud isu, kain ren- tang kecam kerajaan dan perbualan dalam WhatsApp tetapi mereka meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pandan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pandan, Datuk Mohd. Haniff Koslan dan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamaruddin.
Ditanya mengenai kritikan beberapa menteri Kabinet terhadap keputusan menukar dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hishammuddin berkata, beliau tidak tahu mengapa mereka dipindahkan.
“Tidak adil untuk saya komen kerana tidak tahu apa ceritanya, kena tanya kepada pihak berkenaan tetapi yang penting ialah soal institusi. SPRM ada tanggungjawab, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara juga ada tanggungjawab,” katanya.
Mengenai desakan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) agar dua pegawai kanan SPRM itu dikembalikan semula ke suruhanjaya itu, beliau berkata, mana-mana pihak berhak untuk menyatakan pendirian masing-masing dalam isu berkenaan.
Namun tegasnya, adalah lebih baik untuk semua pihak tidak hanya menyatakan pendirian berasaskan persepsi semata-mata kerana apa yang lebih penting dalam kemelut yang membabitkan SPRM ialah proses siasatan tetap berjalan.
“Perjalanan untuk mencari kebenaran itu penuh dengan liku dan bagi saya, biar kita jawab dari semasa ke semasa bersandarkan pada maklumat yang kita dapat, bukan persepsi. Saya akan jawab apabila saya puas hati dengan maklumat,” katanya.

1MDB : Deloitte sahkan RM13.4b disimpan di Singapura

11 Jun 2015 2:01 AM
KUALA LUMPUR 10 Jun – Deloitte & Co (Deloitte) mengesahkan bahawa terdapat dana RM13.4 bilion yang disimpan dalam Bank BSI di Singapura ketika audit terakhir ke atas 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dilakukan pada 31 Mac tahun lalu.
Nur Jazlan
Firma audit antarabangsa itu mengesahkan perkara tersebut ketika prosiding bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, hari ini.
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed bagaimanapun berkata, dana yang dianggap sebagai aset nilai saksama itu belum dapat dipastikan sama ada berbentuk unit atau tunai.
“Dana itu tidak lesap (ketika itu), ia ada dan sama dengan nilai yang telah diaudit.
“Cuma dalam menentukan dana itu berbentuk unit atau tunai selepas kerajaan menebus sebahagian daripada aset itu, Deloitte tak dapat mengesahkannya selagi tidak menerima arahan untuk mengaudit penyata kewangan berakhir 31 Mac 2015,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Sementara itu, Nur Jazlan menegaskan, tiada konflik kepentingan membabitkan anak lelaki Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd. Nizar Najib dalam pengauditan akaun 1MDB.
Beliau berkata, ini kerana anak Perdana Menteri itu bekerja di bahagian perkhidmatan kewangan Deloitte, bukannya di seksyen pengauditan firma audit antarabangsa tersebut.
Menurut Nur Jaz­lan, beberapa maklumat yang diperoleh melalui prosiding berkenaan akan dijadikan rujukan sebagai persediaan mendapatkan keterangan daripada pengurusan tertinggi 1MDB dalam prosiding akan datang.
“Secara kesimpulan, Deloitte menjawab beberapa persoalan khusus terhadap akaun 1MDB tetapi PAC berkemungkinan akan memanggil semula firma berkenaan jika diperlukan,” ujarnya.
Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Datuk Shahrul Azral Ibrahim sekali lagi pada Ogos ini untuk memberi keterangan.
“Kedua-dua mereka tidak hadir pada prosiding yang ditetapkan pada dua minggu lalu kerana urusan rasmi, tetapi kali ini tiada alasan lagi. Selain itu, PAC juga akan mendengar penjelasan daripada KPMG yang mengaudit akaun 1MDB pada 2011 dan 2012,” katanya.

1MDB : TUNGGULAH LAPORAN SIASATAN PAC

Sahkan akaun 1MDB – PM arahkan Ketua Audit Negara, -Laporan akan diserah kepada PAC
05 Mac 2015 1:08 AM
NAJIB TUN RAZAK
KUALA LUMPUR 4 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, laporan Ketua Audit Negara akan dise­rahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipar­tisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.
Ia menyatakan Perdana Menteri telah memberitahu Kabinet mengenai langkah itu.
“Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian,” kata Najib.
Kenyataan itu menerangkan perdana menteri hari ini memang­gil 1MDB dan juruaudit mereka, Deloitte menghadap Kabinet berikutan laporan media baru-baru ini berkaitan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.
Setelah menerima penjelasan dari 1MDB dan Deloitte, Kabinet melahirkan keyakinan bahawa tidak terdapat sebarang salah laku dalam 1MDB, dan hasrat mereka supaya syarikat itu dibenar melaksanakan hasil semakan strategiknya yang dicadangkan,” kata kenyataan itu.
Walaupun demikian, ia mengambil perhatian bahawa kerajaan telah meminta Ketua Audit Negara memeriksa akaun 1MDB sebagai langkah lanjutan.
Ia berkata, 1MDB telah memberi taklimat mengenai situa­si semasanya dan menjawab siri pertanyaan dikemukakan oleh menteri-menteri kabinet, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Deloitte katanya, memberi keterangan menyeluruh tentang urusan mereka dengan 1MDB dan mengesahkan bahawa firma itu telah mengaudit dan mengesahkan akaun syarikat berkenaan.
“Kabinet diberitahu bahawa dakwaan baru-baru ini yang ditujukan kepada 1MDB, adalah berkaitan transaksi pihak ketiga seperti Petrosaudi, bukan 1MDB.
“Pelaburan relevan 1MDB telah dikembalikan sepenuhnya dengan keuntungan signifikan yang tersedia diaudit,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda berkata, adalah jelas semua serangan yang ditujukan kepada 1MDB hanya bermotif politik dan sengaja dibuat sebagai percubaan untuk melemahkan syarikat dengan menyebarkan dakwaan tidak berasas dan lebih bersifat spekulasi yang seterus­nya akan memberi kesan kepada ekonomi.
“Sehubungan itu, 1MDB amat mengalu-alukan permintaan Per­dana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Ketua Audit Negara mengesahkan akaun 1MDB, yang mana sebelum ini telah diaudit oleh Deloitte yang juga satu daripada firma terkemuka dunia.
“Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Audit Negara dan berharap hasil penemuannya dapat menjawab segala spekulasi yang ditimbulkan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
RABU, 4 MAC 2015 @ 7:58 PM
Oleh Magendran Rajagopal
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kepada Kabinet sebentar tadi bahawa beliau sudah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk bertindak secara bebas bagi mengesahkan akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Selanjutnya, kata Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara mengenai akaun 1MDB itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selaku badan mewakili kedua-dua pihak (penyokong kerajaan dan pembangkang) berdasarkan keanggotaan dalam Parlimen.
“Sekiranya sebarang salah laku dibuktikan, undang-undang akan dikuatkuasa tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, di sini sebentar tadi.
Terdahulu, berikutan laporan media terkini berhubung 1MDB, Perdana Menteri memanggil syarikat itu dan auditornya, Deloitte, untuk menghadap Kabinet, hari ini.
Pada perjumpaan itu, 1MDB memberi taklimat mengenai kedudukan terkini syarikat berkenaan dan memberi maklum balas kepada soalan yang dikemukakan Menteri Kabinet termasuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Deloitte pula memberi gambaran menyeluruh mengenai urusan mereka dengan 1MDB dan mengakui bahawa pihaknya melakukan audit dan mengesahkan akaun syarikat berkenaan.
Kabinet juga dimaklumkan bahawa dakwaan baru-baru ini yang ditujukan kepada 1MDB berhubung transaksi dilakukan pihak ketiga seperti Petrosaudi International (Petrosaudi), bukan 1MDB. Semua pelaburan berkaitan oleh 1MDB sudah dipulangkan secara penuh dengan keuntungan diaudit yang besar.
Selepas menerima penjelasan daripada 1MDB dan Deloitte, Kabinet yakin bahawa tiada salah laku dilakukan dalam 1MDB dan menyuarakan hasrat mereka supaya syarikat itu dibenar melaksanakan hasil cadangan kajian strategiknya.
Sebelum ini, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda, dilaporkan berkata semua tuduhan disebarkan portal media tertentu di negara ini berhubung usaha sama 1MDB dan Petrosaudi, adalah tidak benar.
Malah, beliau dipetik berkata 1MDB memperoleh AS$488 juta (RM1.8 bilion) apabila menamatkan usaha sama dengan
Petrosaudi pada 2012 dan semua fakta serta perincian mengenai transaksi itu boleh dirujuk pada akaun audit yang dipaparkan di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pada masa sama, Petrosaudi, kenyataan sebelum ini, menafikan dakwaan kononnya ada sejumlah dana yang diperoleh sepanjang kerjasama strategik dengan 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi di luar negara.
Berikutan beberapa tuduhan tidak berasas yang dikaitkan dengan Petrosaudi baru-baru ini, syarikat berkenaan dilaporkan sedang meneliti langkah perundangan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab di sebalik penyebaran dakwaan terbabit.