Tinju novis sukan tempur lasak

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my
DUA pelatih polis yang menyertai kejohanan demonstrasi sukan tomoi berentap di dalam gelanggang tinju di Dewan Perdana (Pulapol) Air Hitam, baru-baru ini.

JEMPOL 28 April – Apa langkah anda untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh? Cabut lari atau bersedia untuk bertempur.

Ini adalah hakikat kehidupan, di mana amat perlu setiap individu mengetahui serba sedikit kaedah mempertahankan diri jika berlaku serangan, ancaman atau jenayah ke atas diri mereka.

Maka, sebab itulah ramai di kalangan anak muda hari ini memperlengkapkan diri mereka dalam seni mempertahankan diri, sukan tempur atau berguru dengan mereka yang diperakui kehebatannya.

Oleh itu, cara sama juga diguna pakai oleh sebahagian besar anggota keselamatan negara yang diperlengkapkan dengan kemahiran mempertahankan diri melalui penglibatan secara serius dalam sukan tempur.

Terkini mereka menyertai tinju novis, di mana melibatkan 16 orang pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, dekat sini dan berlangsung di Dewan Perdana di sini, baru-baru ini.

Seorang peserta, Muhamad Firdaus Maulud, 28, dari Seremban memberitahu, sukan tinju sudah lama bertapak di negara ini.

”Tinju novis ini untuk kami yang baru menceburkan diri. Saya fikir apa yang lebih penting adalah kesungguhan terlibat dalam sukan itu, yang saya lihat mampu menyihatkan badan dan menguatkan mental serta fizikal,” katanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, ditumbuk dan bertahan sewaktu bertempur sesuatu yang amat berguna dalam kerjaya kepolisan, lebih-lebih lagi berhadapan penjenayah kelak.

”Tidak mengapa hidung berdarah kerana sukan tinju novis ini menunjukkan ‘kejantanan’ kita di atas gelanggang,” ujarnya.

Rakannya, Nik Nordin Nik Lin, 24, berharap, generasi belia hari ini wajar menyertai apa juga sukan tempur untuk mempertahankan diri.

”Bila kita masuk sukan tempur ini, kita perlu juga melihat keperluannya pada masa hadapan dalam keadaan mendesak dan sedia membantu sesiapa sahaja yang ditimpa bahaya,” katanya.

Tambahnya, dalam mana-mana sukan tempur sekali pun, memang wujud perasaan takut apatah lagi bimbang dengan kecederaan yang dialami.

”Sukan ini memang lasak untuk lelaki. Ia sebenarnya menambah kekuatan badan kita untuk menerima apa juga asakan,” jelasnya.

Sementara itu, S. Alaganthdra, 22, dari Kuala Lumpur berkata, selain menyertai kejohanan tinju, dia turut terlibat dalam karate do.

”Selain tinju novis, saya terlibat dalam sukan karate do. Semua ini memerlukan kekuatan jati diri kerana jika kita lemah, ia tidak memberikan sebarang faedah.

”Tinju novis membuktikan keberanian kita,” katanya.

Mohamad Syawal Ahmad, 20 pula, pernah mewakili negeri Perak dalam kejohanan tinju.

”Orang melihat, kita bertembung di atas gelanggang. Tetapi orang tidak tahu, yang kesemuanya itu memerlukan teknik dan cara bertempur.

”Bukannya kita tumbuk semberono. Kita bertumbuk untuk mencapai kejayaan dengan memperoleh pingat serta mengumpulkan sebanyak mana mata dalam pertarungan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirul Ariffin, 22, dari Kelantan pula, meminati sukan tomoi dan ia memang sudah sebati dalam dirinya.

”Saya gembira kerana Pulapol Air Hitam sudi menjemputnya dari Pulapol Kuala Lumpur untuk memeriahkan majlis dengan pertunjukan sukan tomoi ini. Ini juga sukan tempur yang menarik dan menyeronokkan,” kata Amirul.

Begitu juga Tengku Sharizal Tengku Abd. Rahman, 22, yang juga dari Pulapol Kuala Lumpur dan turut menggemari sukan tomoi ini.

”Adalah baik kalau kita menyertai mana-mana sukan tempur dari usia kanak-kanak lagi. Saya sendiri pun menyertai sukan tomoi ini dari kecil dan belajar dari ayah sendiri.

”Sekarang sukan ini, digemari oleh sesiapa sahaja di Kelantan,” katanya.

Advertisements