Krisis air Lembah Klang tenat 2017

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 08 Julai 2015 2:20 AM
KUALA LUMPUR 7 Julai – Krisis bekalan air yang melanda Lembah Klang dijangka berlarutan dan menjadi lebih tenat pada 2017 jika Kerajaan PKR Selangor masih enggan memuktamadkan perjanjian dengan syarikat konsesi air bagi menyiapkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang masih tertangguh.
Mahdzir Khalid
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bekalan air yang ada sekarang tidak akan bertahan selepas 2017 memandangkan rizab margin bekalan itu tidak sampai dua peratus sedangkan jumlah yang diperlukan adalah 10 hingga 15 peratus seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Beliau berkata, loji-loji yang ada di Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Tasik Subang, Sungai Langat dan Sungai Semenyih juga tidak mampu menampung keperluan itu, jus­teru Langat 2 adalah penyelesaian jangka panjang dan mampu merawat sehingga 1,600 juta liter air bersih setiap hari yang disalurkan dari Empangan Kelau, Pahang.
“Walaupun pembinaan terowong air mentah sudah disiapkan, pembinaan Langat 2 masih pada tahap 20.65 peratus berbanding dijadualkan iaitu 24.91 peratus berikutan tindakan kerajaan negeri menangguhkan pemberian kelulusan dan permit yang diperlukan untuk pembinaannya.
“Akhirnya pembinaan Langat 2 mengalami kelewatan dari perancangan asal untuk siap pada 2017. Dengan mengambil kira perkembangan ini, kedudukan bekalan air di Lembah Klang dijangka berada pada tahap meruncing bermula 2017 hingga Langat 2 siap pada 2019,” katanya ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman di Dewan Negara hari ini.
Abdul Rahim dalam soalannya meminta penjelasan kerajaan setakat mana masalah bekalan air menjejaskan pembangunan di Lembah Klang dan langkah-langkah untuk mengatasinya sebelum Malaysia mencapai taraf negara maju 2020.
Menurut Mahdzir, sejak krisis kekurangan bekalan air berlaku, sebanyak 593 projek pembangunan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tidak diberi kelulusan oleh SPAN dan kesemuanya dijangka turut tertangguh sehingga 2019.
Sementara itu, katanya, Kerajaan PKR Selangor sepatutnya tidak mempolitikkan isu air dan memainkan peranan mereka terutama selepas Kerajaan Pusat sanggup membelanjakan lebih RM3 bilion untuk membina empangan loji baharu bagi kemudahan rakyat negeri itu meskipun tidak diperintah oleh parti kerajaan.
“Kerajaan Pusat sanggup belanja berbilion ringgit untuk bawa air dari Pahang ke Selangor, cari duit dalam RM3 bilion nak bawa air, tampung kekurangan dan kira-kira 1,600 juta liter sehari akan dapat dibawa. Jadi, kita tidak akan ada masalah catuan bekalan air seperti sekarang.
“Perjanjian antara Pusat dan negeri sudah ditandatangani bersama bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan selepas itu langkah kedua antara kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat operator mengenai berapa jumlah harga melibatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) dan Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas),” katanya.

600 bawa baldi desak Azmin percepat penstrukturan air

FAZRINA AYU RADUIAN | 18 Jun 2015 1:15 AM
PESERTA demonstrasi berarak dari Dataran Shah Alam menuju ke Bangunan SUK sambil membawa baldi membantah tindakan kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2, semalam. UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
SHAH ALAM 17 Jun – Tidak tahan lagi dengan masalah gangguan bekalan air yang sering melanda kawasan mereka, kira-kira 600 penduduk hari ini berarak sambil membawa baldi menuju ke pejabat Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Mereka berbuat demikian bagi mendesak Mohamed Azmin mempercepatkan usaha untuk memeterai perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) berikutan krisis air yang membelenggu rakyat sejak 2008.
Kesemua mereka berarak sejauh 300 meter dari Dataran Shah Alam dan berhimpun di pintu masuk utama Bangunan SUK selama lebih sejam sambil mengecam tindakan Mohamed Azmin melengah-le­ngahkan perjanjian penstrukturan air dan pembinaan Langat 2 itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zakaria yang mengetuai kumpulan itu berkata, mereka mahu Mohamed Azmin yang akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili pada Jumaat ini supaya segera memeterai perjanjian berkenaan sekali gus mempercepatkan projek Langat 2.
“Paras air yang menurun meng­akibatkan kesan langsung kepada kualiti hidup rakyat negeri ini.
“Bayangkan kesusahan penduduk lebih-lebih lagi warga emas di beberapa tempat seperti Semenyih, Klang dan Kelana Jaya terkesan akibat ketiadaan air dan terpaksa menunggu bekalan air bersih yang menyukarkan aktiviti seharian mereka,” katanya di sini hari ini.
Perhimpunan yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut disertai oleh 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 22 Ketua UMNO bahagian di Selangor.
Selain itu, satu memorandum bagi mendesak isu air diselesaikan segera turut diserahkan kepada Mohamed Azmin yang diterima oleh Pegawai Beritanya, Sharil Said.
Zainuri menambah, perhimpunan lebih besar akan diadakan sehingga isu bekalan air bersih di ne­geri ini selesai.
“Sebagai negeri maju, isu air perlu diselesaikan segera dan kami akan berhimpun sekali lagi secara besar-besaran di hadapan SUK sekiranya kerajaan negeri masih melengahkan perjanjian itu,” tegasnya.

Menteri Besar akur titah Sultan Selangor

31 Mac 2015 1:38 AM
SHAH ALAM 30 Mac – Kepentingan rakyat dan kedaulatan ne­geri Selangor akan diutamakan dan dipastikan terjamin dalam perjanjian penstrukturan air di negeri ini, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
MAXIMUS ONGKILI
Menurut Moha­med Azmin, beliau akan mengatur pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dalam kadar segera.
“Difahamkan beliau (Maximus) berada di Sabah beberapa hari dan sekembalinya beliau, saya akan tetapkan tarikh secepat mungkin di mana di peringkat pegawai telah mengadakan perbincangan sejak Isnin yang lalu.
“Selepas itu, saya akan bertemu dengan Menteri supaya perkara ini dimuktamadkan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-13 oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Terdahulu, dalam titahnya, Sultan Selangor mahu semua pihak tidak mempolitikkan isu perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini demi menjamin kepentingan rakyat.
Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri komited untuk menamatkan perjanjian air dengan syarat kerajaan Persekutuan tidak berganjak dengan semangat, prinsip dan terma perjanjian utama yang telah ditandatangani.
“Perkara ini telah ditegaskan oleh Sultan Selangor supaya kerajaan negeri bertegas memelihara kedaulatan negeri dan kedua belah pihak perlu menghormati perjanjian yang telah ditandatangani demi kepentingan pengguna dan rakyat” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertegas akan mencari saluran alternatif bagi membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas petisyen pengampunan diraja oleh keluarganya ditolak.
“Saya akan berbincang dengan pihak keluarga dan pihak peguam Anwar untuk melihat apakah saluran lain yang boleh dikemukakan,” katanya






AIR : Azmin sedia berunding kembali – PULAK DAH…BIOL BERTINGKAT..

11 Mac 2015 1:29 AM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (kiri) berbual mesra dengan Mohamed Azmin Ali di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA
KUALA LUMPUR 10 Mac – Sehari selepas menyatakan tidak akan me­­­neruskan run­dingan perjanji­an penstrukturan perkhidmatan in­dus­tri bekalan air di Selangor de­ngan Kerajaan Pusat, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali hari ini me­ngu­bah pendiriannya apabila bersedia membuka pintu rundingan berhubung perkara tersebut.
Mohamed Azmin mengesahkan pihaknya terbuka untuk berbincang berhubung pajakan tanah yang terlibat dalam rancangan penstrukturan air Selangor.
Pendirian tersebut dibuat oleh be­liau selepas Menteri Tenaga, Tek­­nologi Hijau dan Air, Datuk Se­ri Dr. Maximus Ongkili memberi penjelas­an bahawa aset tanah yang akan terlibat dalam perjanjian tersebut hanya akan diambil alih selama 45 tahun oleh Kerajaan Persekutuan sebelum diserahkan semula kepada kerajaan Selangor sebaik tempoh perjanjian itu tamat.
an kita boleh bincangkan,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Mohamed Azmin ber­­kata, Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan meneruskan rundingan perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air di negeri itu dengan Kerajaan Pusat.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, berdasarkan perjanjian yang dimeterai, tidak dinyatakan secara spe­sifik berkenaan tanah, sebaliknya hanya dinyatakan sebagai aset.
“Peruntukan itu samar-samar, ha­nya menyatakan aset yang boleh dipindahkan dan kekal, tidak sebut tanah secara spesifik. Sedangkan kami dalam perjanjian itu nyatakan secara spesifik aset-aset kami,” katanya.
Mohamed Azmin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sekiranya berlaku pertambahan amaun daripada ke­seluruhan RM14.9 bilion perjanjian berkenaan sekiranya perbincangan berkenaan pajakan itu dilaksanakan.
“Kalau ada cadangan baharu hendak bincang, mungkin kita perlu nilaikan tanah,” katanya.
Pada sidang akhbar pada sebelah pagi, Mohamed Azmin berkata, perjanjian penstrukturan air Sela­ngor ditamatkan kerana Kerajaan Pusat mahu menuntut tanah kerajaan negeri itu yang akan dilalui paip saluran air terbabit.
Katanya, jika Kerajaan Pusat bersetuju mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik Selangor dan tidak membuat tuntutan bercanggah dengan semangat perjanjian yang termeterai, maka kerajaan negeri bersedia untuk berbincang ke arah mencapai persetujuan bagi manfaat seluruh pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

AIR : Maximus jawab tuduhan MB Selangor

Azmin cuba kelirukan rakyat
11 Mac 2015 1:28 AM
KUALA LUMPUR 10 Mac – Kementerian Tenaga, Tek­no­logi Hijau dan Air menyi­fat­kan Menteri Besar Sela­ngor, Mohamed Azmin Ali cuba mengelirukan rakyat apabila me­nuduh kononnya Kerajaan Pusat melanggar perjanji­an utama berhubung pro­jek penstrukturan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Maximus Ongkili
Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sebaliknya berkata, pe­nangguhan projek tersebut berpunca da­­­ripada kegagalan kerajaan ne­­geri me­laksanakan tiga syarat permulaan (condition precedent) untuk memastikan per­­janjian yang ditandatangani pada 12 September tahun lalu di an­tara Kerajaan Pusat, kerajaan negeri, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dapat dilaksana­kan.
Beliau berkata, kegagalan pertama adalah Air Selangor masih belum menyelesaikan urusan pindah milik aset air kepada PAAB untuk membolehkan PAAB menyediakan peruntukan berjumlah RM168 bili­on bagi membantu kos pengambilalihan syarikat konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Sya­bas), Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB) dan Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass).
Katanya, kegagalan kedua adalah Air Selangor masih belum me­­nyelesaikan urusan pindah mi­lik aset air syarikat konsesi kepada PAAB sebagai balasan kepada pengambilalihan liabiliti syarikat tersebut oleh PAAB yang berjumlah RM7.65 bilion.
“Yang ketiga, Air Selangor masih belum memuktamadkan senarai aset miliknya untuk membolehkan Lesen Individu Kemudahan dikeluarkan kepada PASSB mengikut Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006).
“Saya ingin menegaskan bahawa pelanggaran sesuatu perjanjian ha­nya boleh berlaku apabila perjanjian itu sudah dikuatkuasakan. Memandangkan kerajaan negeri masih memerlukan tempoh panjang bagi selesaikan, pihak-pihak kepada perjanjian utama telah setuju lanjutkan tempoh itu sebanyak tiga kali.
“Isu-isu tersebut se­patutnya diselesaikan se­­belum 11 November 2014 tetapi Selangor masih gagal selesaikan sehingga tempoh lanjutan ketiga pada 9 Mac (semalam). Jadi bola itu berada di gelanggang anda Menteri Besar Se­langor, bukan di gelanggang kami,” katanya ketika menjawab soalan Mohamed Azmin (PKR-Gombak) berhubung komitmen Pusat untuk menyelesaikan masalah air di ketiga-tiga negeri dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Maximus berkata, Kerajaan Pu­­sat bekerja keras memastikan pen­strukturan semula bekalan air dapat dilaksanakan melalui 32 perte­muan dengan kerajaan negeri selain bersetuju menandatangani beberapa perjanjian termasuk melibatkan syarikat konsesi.
Jelasnya, persetujuan juga dibe­rikan untuk kerajaan negeri me­ngambil alih perkhidmatan bekalan air daripada Syabas, PSNB, Abass dan Syarikat Pengeluaran Air Su­ngai Selangor Sdn. Bhd. (Splash).
“Malah Kerajaan Persekutuan melalui PAAB juga menyediakan peruntukan sejumlah RM2 bilion bagi membantu kerajaan negeri mengambil alih ekuiti syarikat kon­sesi tersebut,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Maximus berkata, gangguan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya pulih pada 2017 dijangka berlarutan berikutan beberapa tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor yang menyebabkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihannya mengalami kelewatan.
“Saya dimaklumkan bahawa kelewatan ini berlaku kerana ke­rajaan negeri telah mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempat­an menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan semula di­muktamad­kan,” tegasnya.
Tambahnya, dari segi ekonomi, gangguan bekalan air yang berterusan menyebabkan proses pengeluaran permit kepada kira-kira 500 syarikat luar negara yang mahu melabur di Selangor terpaksa ditangguhkan.

POLITIK : Air: Rundingan struktur semula 
tidak diteruskan – BIOL

HUSSAINI AMRAN | 10 Mac 2015 12:58 AM
KUALA LUMPUR 9 Mac – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan meneruskan run­dingan perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air di negeri itu dengan kerajaan Pusat.
Mohamed Azmin Ali
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, tempoh rundingan tamat hari ini dan kerajaan PKR Selangor tidak berhasrat untuk menyambungnya.
“Mereka melanggar perjanjian dan tidak mematuhinya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ketika ditanya sama ada run­dingan baharu akan diadakan, Mohamed Azmin memberitahu, beliau masih menunggu terma-terma baharu yang bakal dikemukakan secara rasmi oleh Kerajaan Pusat.
Kerajaan Pusat dan kerajaan PKR Selangor memeterai perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 12 September lalu.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang mewakili Kerajaan Pusat dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang mewakili kerajaan Selangor
Sementara itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman manakala Pengurusan Air Sela­ngor Sdn. Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air itu bertujuan mewujudkan industri perkhidmatan air yang cekap, berdaya maju dan mampan di Sela­ngor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Keputusan tidak 
masuk akal – Rakyat

10 Mac 2015 12:58 AM

SHAH ALAM 9 Mac – Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak melanjutkan perjanjian penstrukturan air dengan kerajaan Pusat dilihat sebagai satu keputusan yang tidak ‘masuk akal’ kerana hanya akan menyusahkan kehidupan rakyat.


SLUG_LANGATSELANGOR – SHAH ALAM – 9 MAC 2015 – Che Nora Ali. Tinjauan penamatan perjanjian air.Gambar/Pemberita: Norhayati Yahaya

Beberapa penduduk di bandar raya ini yang ditemui di sini hari ini, mengakui sudah cukup serik dengan catuan bekalan air sebelum ini yang mana telah menimbulkan seribu satu keperitan kepada mereka.
Menurut mereka, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu mengkaji semula keputusan tersebut kerana beliau tidak pernah membentangkan sebarang rancangan alternatif sekiranya berlaku semula krisis air di negeri ini.
Suri rumah, Siti Nor Saadah Mohd. Yusof, 32, berkata, gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan sejak kebelakangan ini sudah cukup membawa pelbagai kesukaran dalam urusan seharian.
Jelasnya, apatah lagi jika perjanjian penting seperti itu ditamatkan, sudah tentu bakal mendatangkan lebih banyak masalah kepada rak­yat.
“Masalah air di Selangor bukan isu baharu tetapi selalu menghantui penduduk sejak akhir-akhir ini.
“Kami tidak sanggup lagi hendak menghadapi catuan air,” katanya.
Mohamed Azmin dilaporkan berkata, perjanjian induk penstrukturan air antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang berakhir hari ini tidak akan dilanjutkan selepas penangguhan kali kedua.
Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas mendapati kerajaan Pusat ‘melanggar terma’ perjanjian yang ditandatangani pada September lalu menyebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan.
Pekerja swasta, Mohd. Nizar Samian, 49, memberitahu, Mohamed Azmin tidak sewajarnya mencampur aduk aspek politik dalam pentadbirannya kerana perkara itu membabitkan keperluan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan kebajikan rakyat dalam membuat sebarang keputusan penting sedemikian.
“Ketepikan isu politik dalam masalah air demi membela hak asasi rakyat,” tegasnya.
Seorang lagi kakitangan swasta, Norhabibah Ahmad, 35, berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan itu demi rakyat.
“Saya harap pihak-pihak terbabit dapat membincangkan semula isu ini dan mencari kata sepakat demi kesejahteraan rakyat terutama di Selangor,” katanya.
Turut sependapat dengan Norhabibah ialah Che Nora Ali, 53.
Menurut Che Nora, kedua-dua pihak terbabit perlu mencari jalan supaya masalah tersebut dapat segera diselesaikan.
“Jangan tangguh lama perjanjian air ini. Mesti ada cara untuk menyelesaikannya,” ujarnya.
Maximus tunggu surat rasmi Azmin

10 Mac 2015 12:58 AM
PUTRAJAYA 9 Mac – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menunggu surat rasmi daripada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berhubung keputusan untuk tidak melanjutkan perbincangan tentang perjanjian penstrukturan semula air Selangor.
Maximus Ongkili
Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, kerajaan negeri Selangor perlu memberi penjelasan lebih lanjut berhubung tindakan yang diputuskan itu sebelum pihaknya mengulas lanjut.
“Kita tunggu surat rasmi daripada kerajaan Selangor dan penjelasan yang akan diberikan mereka berhubung keengganan untuk melanjutkan tarikh bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi me­ngulas keputusan yang diambil Mohamed Azmin tentang perjanjian penstrukturan semula air Selangor di sini hari ini.
Sementara itu dalam majlis ber­asingan, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak­nya akan memberi jawapan berhubung pembatalan berkenaan sebaik sahaja menerima surat rasmi kerajaan Selangor.
“Elok tunggu dulu, saya ingat kalau jawab hari ini tidak sesuai lagi, jadi tunggu dulu surat, sehingga kita mendapat gambaran sebenar, nanti baru kita jawab,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan acara balloting kategori solar fotovolta (PV) bukan individu dengan kapasiti kurang daripada 425 kilowatt (kW) di sini hari ini.