PRK : BN tidak bertanding PRK DUN Chempaka

Tumpu pemulihan banjir, perpaduan ummah
HUSSAINI AMRAN DAN KAMIL MASLIH | 26 Februari 2015 1:38 AM

Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin mendengar sesuatu yang dikatakan oleh Hishammuddin Tun Hussein sebelum memulakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn PWTC Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama, Tengku Adnan Tengku Mansor. – Utusan/Abdul Razak Latiff

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini.
Perdana Menteri berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan itu berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu dan selepas mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.
Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu, pada masa ini, tumpuan perlu diberikan kepada program pemulihan mangsa banjir dan kerja-kerja kebajikan di Kelantan serta perpaduan ummah.
“Kita tengok masih banyak lagi mangsa banjir yang belum menerima bantuan.
“Selain itu, kita fikir kita perlu lihat kepada usaha-usaha membawa kepada perpaduan ummah walaupun ada perbezaan pendapat dan politik, perpaduan ummah perlu diutamakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.
Perdana Menteri menambah, keputusan untuk tidak meletakkan calon itu bukan perkara baharu kerana BN juga tidak bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor tahun lalu.
“Kita tidak boleh menghalang mana-mana individu untuk bertanding tetapi UMNO tidak akan meletakkan calon,” jelasnya ketika ditanya tentang kemungkinan calon Bebas bertanding dalam PRK DUN Chempaka.
Berhubung persiapan menghadapi kemungkinan PRK di Parlimen Permatang Pauh, Najib berkata, BN akan membuat keputusan setelah tafsiran Perlembagaan Persekutuan terhadap petisyen yang dikemukakan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dinasihatkan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan itu dan SPR akan tentukan tarikh.
“Bila SPR tentukan tarikh, MT UMNO akan buat keputusan dan umumkan bila sampai masanya kelak,” katanya.
Status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh masih belum ditentukan selepas anaknya, Nurul Nuha mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

POLITIK : Mat Razi mula tugas sebagai wakil rakyat

Mat Razi Mat Ail (kiri) beramah mesra dengan penduduk, Bunga Jusoh (dua dari kiri) dan Kalsom Jusoh semasa membuat kunjungan mesra di Pasar Getting, Tumpat, Kelantan, semalam. – BERNAMA
TUMPAT 26 Sept. – Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail memulakan tugas pada hari pertama dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal pukul 9 pagi.
Terdahulu, beliau mengunjungi ibunya, Habsah Ismail, 65, di Kampung Simpangan bagi memohon restu sebelum memulakan tugasnya.
Mat Razi turut mengambil peluang beramah mesra dengan peniaga di Pasar Kampung Geting selama kira-kira 30 minit.
Bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat itu ketika ditemui berkata, isu kebajikan, pembangunan ekonomi dan kemudahan infrastruktur akan menjadi fokus utamanya selain menyambung perancangan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.
“Tumpuan membantu golongan miskin dan anak yatim juga akan diberikan kerana sebagai pengundi di DUN Pengkalan Kubor, mereka turut menyumbang kepada kemenangan BN (semalam) menerusi undi yang dibuat.
“Insya-Allah, saya akan berusaha membawa kemajuan di DUN Pengkalan Kubor supaya rakyat di sini tidak kecewa kerana sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi signal untuk turut membantu,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi yang dikuasai sejak tiga penggal berturut-turut tersebut dengan jumlah majoriti lebih besar iaitu 2,635 undi.
Mat Razi memperoleh sejumlah 9,961 undi manakala pencabarnya, Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas mendapat 7,326 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 38 undi.
Mengulas lanjut, Mat Razi berkata, segala bentuk usaha yang mahu dilaksanakan akan dibincang bersama Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abdul Aziz terlebih dahulu.
“Itu (berbincang dengan parti) bukan bermakna saya tiada idea. Saya lebih suka bermusyawarah. Sudah menjadi prinsip saya. Saya lebih suka berbincang, apapun perlu bermusyawarah bagi mendapatkan pandangan orang lain sebelum buat keputusan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140927/po_04/Mat-Razi-mula-tugas-sebagai-wakil-rakyat#ixzz3EgVGEqRk  © Utusan Melayu (M) Bhd 



PRK PENGKALAN KUBOR : Barisan Nasional menang besar

Muhyiddin Yassin menjulang tangan Mat Razi Mat Ail (tiga dari kiri) sebagai meraikan kemenangan di Pusat Pengiraan Undi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Biji Wangsa, Tumpat, Kelantan, semalam. Turut kelihatan Mustapa Mohamed, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (dua dari kanan).
TUMPAT 25 Sept. – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang dikuasai sejak tiga penggal berturut-turut selepas mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
Kemenangan itu juga adalah hadiah paling bermakna kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyambut hari lahirnya yang ke-64 hari ini.
Calon BN, Mat Razi Mat Ail memperoleh sejumlah 9,961 undi manakala pencabarnya, Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas mendapat 7,326 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 38 undi.
Jumlah undi rosak mencatatkan penurunan iaitu 230 undi berbanding 344 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Pada PRK kali ini, jumlah majoriti BN meningkat sebanyak 2,635 undi berbanding 1,736 undi pada PRU-13.
Malah, BN berjaya mencatatkan kemenangan di sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan berjaya menembusi dua kubu kuat Pas di PDM Ketil serta Tujoh.
Jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini menurun iaitu hanya 73 peratus atau 17,555 pengundi berbanding 78.94 peratus pada PRU lalu.
Peratusan keluar mengundi menurun kerana dikatakan kebanyakan pengundi luar tidak pulang hari ini kerana mahu menunggu cuti umum Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Pengumuman keputusan PRK itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd. Sobri Ramli di pusat penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Biji Wangsa di sini pukul 9 malam ini.
PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati di sebuah hospital di China pada 20 Ogos lalu.
Kawasan tersebut mempunyai 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir (luar negara).
Pada PRU-13, Noor Zahidi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Terdahulu, Mat Razi yang berjubah gumbang dengan tenang ditemani isteri menunaikan tanggujawab membuang undi di Sekolah Kebangsaan Simpangan di sini pada pukul 8 pagi.
Calon Pas, Wan Rosdi mengundi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Kemenangan BN itu sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap imej Pas negeri ini kerana mereka beria-ia mahu mengambil semula kerusi DUN tersebut daripada PKR.
Pas menganggap kawasan Parlimen Tumpat yang turut mengandungi Pengkalan Kubor adalah kubu kuat mereka disebabkan prestasi cemerlang di tiga lagi kawasan iaitu Kelaboran, Wakaf Bharu dan Pasir Pekan pada pilihan raya umum sebelum ini.
Biarpun kemenangan BN tidak memberikan impak kepada Kerajaan Pas Kelantan kerana tidak menjejaskan jumlah kerusi dalam sidang DUN namun ia membawa manfaat yang besar untuk rakyat.
Agenda yang ditinggalkan oleh Allahyarham Noor Zahidi akan dapat diteruskan oleh Mat Razi untuk membangunkan kawasan yang bersempadan dengan pekan Tak Bai, Thailand itu.
Keputusan itu juga membuktikan isu royalti minyak yang dibawa secara agresif oleh Pas kali ini tidak memberikan sebarang kesan malah rakyat memberikan isyarat bahawa mereka sudah muak dengan retorik tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140926/po_01/Barisan-Nasional-menang-besar#ixzz3ENjTFr00   © Utusan Melayu (M) Bhd