CAF 2015 : Piala Negara-Negara Afrika: Guinea layak, Nigeria tersingkir

KHAMIS, 20 NOVEMBER 2014 @ 8:12 AM
ABUJA: Negara yang sedang dilanda wabak Ebola, Guinea mengiringi Ivory Coast, Mali, Ghana dan Republik Demokratik Congo apabila melayakkan diri pada saingan Piala Negara-Negara Afrika
2015 tetapi nasib malang menimpa juara bertahan, Nigeria apabila tersingkir.
Pada akhir peringkat kelayakan menyaksikan Nigeria seri 2-2 ketika menentang Afrika Selatan di gelanggang sendiri, Uyo dan seterusnya tersingkir apabila menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan A.
Congo pula yang menang 1-0 ke atas Sudan mengesahkan tempat sebagai naib juara kumpulan dan tiket ke pusingan akhir. Slot terakhir disambar Republik Demokratik Congo sebagai pemenang tempat ketiga.
Pasukan yang sudah melayakkan diri sebelum perlawanan terakhir peringkat kelayakan itu ialah Algeria, Burkina Faso, Cameroon, Cape Verde Islands, Congo Brazzaville, Gabon, Senegal, Afrika Selatan, Tunisia dan Zambia.
Equatorial Guinea pula layak secara automatik sebagai tuan rumah.
Apapun, kejutan terbesar ialah kegagalan Nigeria yang dianggap negara paling popular di rantau itu.
Tokelo Rantie meletakkan Afrika Selatan di depan ketika berdepan anak didik Stephen Keshi pada minit ke-42 apabila dia melepasi halangan Azubuike Egwuekwe dari sebelah kiri sebelum merembat melepasi jangkauan penjaga gawang, Vincent Enyeama.
Rantie menambah jaringan kedua peribadi pada minit ke-48 apabila memperdaya pertahanan Nigeria sebelum menyepak masuk.
Nigeria merapatkan jurang pada minit ke-68 menerusi Sone Aluko selepas memanfaatkan lantunan bola dari sepakan Ike Uche yang terkena palang post.
Pemain sayap Hull City itu menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit terakhir perlawanan tetapi sudah terlambat buat juara bertahan itu.
Afrika Selatan pula terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Reneilwe Letsholoyane dibuang padang pada minit ke-74.
Sementara itu, Guinea membuktikan wabak Ebola tidak menghalang untuk mara pada kejohanan itu tahun depan.
Biarpun terpaksa bermain di Maghribi, mereka mempamerkan aksi terbaik apabila menewaskan Uganda 2-0. – AFP
PENYERANG Afrika Selatan, Moeketsi Sekola (kiri) bersaing dengan pemain Nigeria, Omatsone Aluko pada perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2015 di Stadium Akwa Ibom, Uyo, Nigeria, hari ini. – Foto AFP
Advertisements

CAF 2015 : Pemain Afrika Selatan dedikasi kejayaan kepada Meyiwa

AHAD, 16 NOVEMBER 2014 @ 12:03 PM
CAPE TOWN: Pemain-pemain skuad kebangsaan Afrika Selatan membuka jersi dan memaparkan baju tanpa kolar putih dengan mesej dedikasi kepada bekas kapten, Senzo Meyiwa sejurus layak ke kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2015, semalam.
Afrika Selatan dengan jolokan Bafana Bafana menewaskan Sudan 2-1 dalam perlawanan yang dijalankan di tempat kelahiran Meyiwa, Durban sebagai penghormatan kepadanya yang terbunuh akibat rompakan.
“Saya hanya berharap dia ada di sini bersama kami,” kata penjaga gol baharu Afrika Selatan, Darren Keet yang menggantikan Meyiwa di posisi itu.
“Ia perkara yang paling menghibakan. Dia tidak berada di sini bersama kami dan semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Selain itu, pemain-pemain Afrika Selatan turut memakai lilitan hitam di lengan dan bertafakur selama seminit sebelum perlawanan bagi memberi penghormatan kepada Meyiwa.
Afrika Selatan mengesahkan tempat ke kejohanan yang dijadual berlangsung di Equatorial Guinea, awal tahun depan itu menerusi gol daripada Thulani Serero dan Tokelo Rantie pada kedua-dua babak permainan.
Gol tunggal Sudan dijaringkan Salah Ibrahim ketika lewat permainan dalam stadium yang dipenuhi lebih 30,000 peminat.
Meyiwa sebelum ini cemerlang membantu Afrika Selatan dalam empat perlawanan awal kelayakan dengan catatan tanpa kalah.
Dalam pada itu, Cameroon, Zambia, Senegal, Burkina Faso dan Gabon turut mengesahkan tiket untuk beraksi di kejohanan bola sepak terbesar benua Afrika itu bersama tuan rumah, Equatorial Guinea. – AP
PEMINAT pasukan Afrika Selatan memegang gambar bekas penjaga gol, Senzo Meyiwa ketika perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Sudan di Durban, semalam. – Foto AFP


CAP 2015 : Nigeria pecat Stephen Keshi, pilih Shaibu

STEPHEN Keshi dipecat selaku ketua jurulatih skuad Nigeria, hari ini. – Foto AFP
CAPE TOWN: Stephen Keshi dipecat selaku ketua jurulatih skuad Nigeria, hari ini dan tempat dia digantikan oleh ‘konsortium’ jurulatih untuk mengendali baki dua perlawanan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika, bulan depan.
Persekutuan Bola Sepak Nigeria (NFF) mengesahkan perkembangan ini dalam satu kenyataan walaupun Keshi berjaya mengemudi The Super Eagles merakamkan kemenangan 3-2 ke atas Sudan di Abuja tempoh hari.
Shaibu Amodu.
‘Konsortium’ berkenaan akan diketuai Shaibu Amodu, yang kembali memegang jawatan berkenaan buat kali kelima.
Dia membimbing pasukan layak ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sebelum digantikan oleh Lars Lagerback dari Sweden.
Salisu Yusuf, Gbenga Ogunbote dan Aloysius Agu adalah jurulatih lain yang terbabit dalam kumpulan ini untuk mengetuai cabaran juara bertahan itu. – Reuters