Sukan air bendang meriah

Oleh AZMAN MD NOOR
utusankedah@utusan.com.my

PESERTA menyelongkar selut untuk menangkap ikan keli pada acara Sukan Air Dalam Bendang, Kampung Baru Bakai, Baling, baru-baru ini. – utusan/Azman Md. Noor

BALING 7 Nov. – Lebih 1,000 penduduk menyaksikan Sukan Air Dalam Bendang yang pertama kali diadakan sehingga mampu mengukirkan pengalaman berharga buat peserta dan para penonton.

Lebih terhibur apabila air bendang dengan selut menyaluti setiap peserta menjadikan setiap acara yang disertai mereka lebih menarik.

Lima acara dipertandingkan dalam sukan air yang diadakan di Kampung Baru Bakai di sini baru-baru ini. Sukan berkenaan dianjurkan oleh UMNO Bahagian Baling, Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil dan Jasa Parlimen Baling.

Sukan air yang dirancang sempena Program Juara Rakyat daerah itu diyakini mampu mengembangkan minda dan pengetahuan anak-anak muda dalam mengetengahkan potensi alam iaitu kawasan bendang sebagai lokasi sukan.

Acara-acara yang diadakan ialah tangkap ikan keli, tangkap itik, tarik tali, bola baling dan memancing ikan keli dengan menggunakan batang kail buatan sendiri.

Pelbagai aksi dan gaya peserta sudah cukup menghiburkan penonton yang berdiri di sekeliling bendang tersebut.

Setiausaha penganjur, Suharto Tijo berkata, sukan air dalam bendang yang dianjurkan pihaknya bertujuan untuk mengeratkan hubungan penduduk di samping memanfaatkan bendang sebagai lokasi sukan yang menyihatkan badan serta menyeronokkan.

Justeru, katanya, pihaknya berpuas hari apabila sukan itu berjaya menarik ramai peserta serta mencungkil bakat mereka dalam sukan air khususnya dalam bendang.

“Bukan mudah untuk beraksi dalam selut dan air lumpur seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd. Khairul Azhar Abdullah yang hadir turut menyertai beberapa acara bagi mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Acara begini perlu diteruskan lagi pada masa depan kerana ia cukup menarik dan mendapat perhatian ramai,” katanya.

Tambahnya, penggunaan bendang sebagai medan menunjuk bakat juga boleh menggalakkan anak-anak muda cintakan bendang yang dulu menjadi tempat utama masyarakat dari segi pulangan ekonomi dan kita boleh pelbagaikan kegiatan itu.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan diterima bukan sahaja peserta, malah juga daripada penonton, membangkitkan semangat pihaknya untuk mengadakan lagi acara pelik seperti itu pada masa depan.

Uji kesabaran, timbang rasa peserta

SEBAHAGIAN remaja yang menyertai perlawanan bola baling pada acara Sukan Air Dalam Bendang di Baling,

BALING 7 Nov. – Jom kita main selut sambil tangkap ikan dan itik!

Begitulah antara kata-kata yang disuarakan oleh seorang anak muda di Kampung Baru Bakai di sini baru-baru ini.

Kata-kata itu ternyata menggalakkan beberapa anak muda dan belia lain untuk turut sama pergi ke program Juara Rakyat yang dinamakan Sukan Air Dalam Bendang dan tentunya cabaran pelawaan ini tidak disia-siakan langsung oleh penduduk lain.

Program yang pertama kali diadakan itu memberi makna mendalam kepada generasi baharu yang selama ini tidak mengetahui betapa laman bendang yang menjadi sebahagian ekonomi masyarakat luar bandar rupa-rupanya boleh bertukar menjadi pentas menarik untuk disaksikan bersama.

Seorang peserta, Badrul Hisham Ahmad, 35, berkata, buat pertama kalinya Sukan Air Dalam Bendang itu mampu menarik ramai peserta dan penonton kerana tertarik dengan acara yang dianjurkan.

“Memang sungguh menarik apalagi sukannya mencabar dari segi fizikal dan mental peserta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Badrul Hisham yang teruja dengan sukan itu berkata, cabaran paling penting sukan air ini iaitu memerlukan semua peserta saling bertimbang rasa untuk mencapai kejayaan.

Zainab Ibrahim, 43, berkata, sukan itu benar-benar menguji tahap kesabaran yang perlu ada pada setiap peserta agar tidak mudah mengalah atau gelojoh.

Menurutnya, dengan keadaan keseluruhan kaki terbenam di dalam selut, tenaga yang banyak diperlukan dan ini menguji kebolehan dan kesabaran.

Seorang peserta, Salwani Abdul Wahab, 19, juga teruja dengan sukan itu kerana boleh mempelajari pengalaman mengerjakan bendang.

“Paling tidak saya boleh berada dalam selut bendang merasai pengalaman menarik ini, memang menyeronokkan,” ujarnya yang turut berjaya menangkap seekor itik.

Bagi Abdul Razak Ahmad, 38, sukan itu mampu mengetengahkan bendang bukan sahaja sebagai medan menanam padi, malah boleh menjadi pentas sukan dalam mendekatkan persaudaraan antara semua peserta.

Katanya, sukan sebegini boleh menggalakkan persaudaraan sesama peserta dan meningkatkan kesedaran kepada generasi muda bahawa bendang juga menjadi tempat terbaik menyatukan semua masyarakat.

Advertisements

Kolam renang paling padat di dunia

BEBERAPA orang penari menari di depan sejumlah orang yang memenuhi kolam renang gergasi di Daying baru-baru ini.

DAYING, China – Lebih sejuta orang telah mengunjungi sebuah kolam renang gergasi yang dikenali dengan nama Laut Mati China dan terletak di sebuah taman tema air di sini, wilayah Sichuan.

Ramai pengunjung mandi di kolam tersebut walaupun ia dipenuhi dengan orang ramai pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Taman tema dalam bangunan itu merupakan taman tema air terbesar di China merangkumi kawasan seluas 30,000 meter persegi.

Laut buatan itu mengandungi 43 bahan mineral.

Ekoran kadar kemasinan kolam itu lebih 22 peratus, orang ramai akan mudah terapung sama seperti di Laut Mati di Asia Barat. – Agensi

13 robot filem Transformers dipamer

SEJUMLAH orang mengerumuni sebuh robot Transformers di Changchun, Jilin.

BEIJING – Sebanyak 13 robot yang digunakan dalam franchais filem Transformers dipamerkan di sebuah taman di Changchun, Jilin, lapor sebuah akhbar semalam.

Sejumlah besar orang merakamkan gambar dan melihat replika robot itu seperti Optimus Prime, Bumblebee dan Megatron pada Sabtu lalu.

Kehadiran robot itu memberi petanda bahawa China akan mempunyai taman tema Transformers.

Robot-robot itu akan dipindahkan selepas kerja-kerja untuk membina taman tema Transformers dilakukan. – Agensi

50,000 kunjungi Menara KL

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
kota@utusan.com.my
DEMONSTRASI silat turut menjadi sebahagian daripada acara yang menarik pengunjung pada program Pesta Negeri @ Menara Kuala Lumpur yang sedang berlangsung.

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pesta Negeri @ Menara Kuala Lumpur yang bermula sejak penghujung April lalu telah menarik 50,000 pengunjung termasuk pelancong asing setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Zuraidah Mohd. Said menjelaskan, statistik menunjukkan setiap hari sebanyak 2,000 hingga 5,000 orang mengunjungi program itu, yang diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di pekarangan Kampung Budaya 1Malaysia di Menara Kuala Lumpur.

“Pesta Negeri @ Menara Kuala Lumpur 2011 bermula dengan Pesta Negeri Perak pada 28 April hingga 8 Mei diikuti Pesta Negeri Terengganu pada 28 Jun hingga 2 Julai. Pesta yang sedang berlangsung sekarang ialah Pesta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan disusuli dengan Johor, Sabah, Sarawak, Perlis, Melaka, Kelantan,” kata Zuraidah di sini hari ini.

“Sepanjang pesta ini berlangsung, lebih daripada 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara telah berkunjung di mana mereka berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan dan kesenian setiap negeri di samping menikmati makanan tempatan daripada setiap negeri yang mengambil bahagian,” tambah beliau.

Jelas beliau, sambutan yang diterima pihaknya sungguh menggalakkan dengan pengunjung pada hari minggu adalah seramai 2,000 orang, manakala pada hujung minggu pula meningkat sehingga 5,000 orang.

Pesta Negeri @ Menara Kuala Lumpur dibuka secara percuma kepada pengunjung mulai 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Pesta Negeri Wilayah Persekutuan yang sedang berlangsung sekarang diadakan bersempena Festival Kuala Lumpur 2011 yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Kesenian dan Kebudayaan.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dan akan diadakan antaranya ialah Up, Close & Personal with Anuar Zain pada 15 dan 16 Julai lalu, Pesta Durian @ Menara Kuala Lumpur (21-24 Julai), Menara Kuala Lumpur – Tower to Tower Hunt 2011, Pesta Durian @ Muzium Telekom (25-27 Julai) dan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk (30 Julai).

Selain itu, Menara Kuala Lumpur kini lebih indah pada waktu malam apabila dilimpahi cahaya berwarna biru, ungu dan jingga setiap malam sepanjang Julai ini, bermula pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan dilanjutkan sehingga 1 pagi pada Sabtu dan Ahad.

“Pada tahun ini juga Menara Kuala Lumpur berbangga kerana telah mendapat anugerah The BrandLaureate Country Branding Awards 2010-2011 oleh The Asia Pacific Brands Foundation dan Award for Outstanding Achievement in Tourist Attraction Category dalam majlis Anugerah Datuk Bandar Kuala Lumpur,” ujar Zuraidah.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi talian 03-2020 5444/ 03-2020 5499 dan layari laman sesawang http://www.menarakl.com.my.

Memuliharatradisi Mandailing

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR


PALUAN Gordang Sambilan diiringi nyanyian adat Onang-onang telah menamatkan penantian kira-kira 600 tetamu pada malam itu.

Saat paluan pertama bergema bermakna pasangan pengantin yang ditunggu-tunggu sedang diarak untuk disandingkan di pelamin indah. Dengan berpegangan tangan, pasangan pengantin terlebih dahulu dililit dengan sehelai kain ulos oleh ibu pengantin perempuan sebagai tanda menyambut pengantin. Mereka kelihatan malu-malu sambil kenyusun langkah penuh berhati-hati ketika melewati deretan tetamu yang begitu teruja.

Sememangnya, tradisi perkahwinan Mandailing begitu sukar dilihat di Malaysia kini. Sejajar proses urbanisasi, tradisi yang kuat melingkari kehidupan kaum Mandailing di Malaysia suatu masa dahulu hampir diabaikan.

WARNA, hiasan dan upacara di pelamin ini adalah mengikut adat Mandailing.

Ramai anak muda tidak lagi berminat meneruskan tradisi nenek moyang mereka. Majlis perkahwinan bertema moden kontemporari barangkali lebih bergaya dan menjadi pilihan masa kini, apatah lagi cara hidup dan pertuturan Mandailing yang turut kian dilupakan. Tetapi tidak pula bagi pengantin perempuan, Intan Hawarin Salehudin Hasibuan, 28, yang memilih pasangannya, Azizan Kassim, 30. Mereka mahu memulakan pelayaran hidup berumahtangga tanpa melupakan tradisi Mandailing yang diturunkan ibunya, Aznah Sulaiman, 56. Dibesarkan dengan budaya dan pertuturan Mandailing, Intan yang merupakan anak keenam daripada 10 adik-beradik itu telah menghidupkan kembali tradisi perkahwinan Mandailing. Ia dilaksanakan penuh adat di Muzium Negara Kuala Lumpur, minggu lalu.

KUMPULAN Air Banjir dari Kampung Batu 12 Hulu Langat mempersembahkan tarian mereka.

Intan memberitahu, dia dibiasakan dengan gaya hidup Mandailing sejak kecil tetapi hanya menyedarinya setelah dewasa. Satu-satunya perkara yang disedari ketika itu adalah bahasa ibunda Mandailing yang menjadi pertuturan dalam kalangan warga tua di kampungnya di Sungai Bil, Tanjung Malim. “Saya dibesarkan dengan masakan tradisi seperti bulung gadung (gulai pucuk ubi) dan sambal tuk tuk malah dapat memahami butir bicara bahasa Mandailing walaupun tidak mahir menuturkannya. “Justeru, untuk perkahwinan ini, saya mahu menjadikannya majlis penuh bermakna dengan menghidupkan kembali adat Mandailing yang menjadi latar kehidupan saya selama ini,” jelas penolong kurator Muzium Negara itu.

Tambah Intan, hasratnya itu dipermudahkan kerana melalui Internet, dia dipertemukan dengan Pensyarah Kanan Unit Kecemerlangan Warisan Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sharifudin Yusop. Bertemu margaraja Mohd. Sharifudin ialah margaraja atau ketua adat Mandailing selepas diamanahkan untuk menjaga Gordang Sambilan yang terdiri daripada sembilan gendang besar. Ia merupakan alat muzik kesenian warisan budaya tradisional kaum Mandailing. “Beliau telah membantu saya dan ibu untuk mengadakan majlis penuh adat Mandailing ini. “Bukan sekadar membantu dari segi maklumat dan pengendalian majlis, malah beliau menyediakan aksesori pengantin yang bertepatan dengan budaya perkahwinan Mandailing,” katanya.

PARA wanita Mandailing pelbagai generasi bergabung dalam kumpulan Ribut Petir.

Majlis perkahwinan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail, itu dimulakan dengan persembahan Gordang Sambilan oleh kumpulan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Lembah Pantai. Ia disempurnakan dengan turutan upacara khas iaitu manortor, upa-upa, merenjis dan makan beradab. Upacara manortor yang merupakan tarian tradisi dipersembahkan oleh kumpulan Ribut Petir dan Air Banjir dari Kampung Batu 12 Hulu Langat. Kumpulan tersebut masing-masing menghiburkan tetamu dengan langkah tari Manortor Suhut dan Manortor Raja-raja. Pengantin menari Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan manortor oleh pasangan pengantin. Biarpun sedikit kekok, terutamanya bagi pengantin lelaki yang merupakan anak jati Terengganu.

AZIZAN (dua dari kiri) yang merupakan anak jati Terengganu juga bersedia menari mengikut adat Mandailing bersama pasangannya.

“Sebelum mengenali Hawa (panggilan untuk Intan Hawarin) saya langsung tidak mengetahui mengenai budaya kaum Mandailing. Tapi disebabkan perkahwinan ini, saya telah banyak mempelajari budaya mereka seperti warna rasmi pelamin Mandailing iaitu hitam dan merah serta makanan dan pakaian khas Mandailing. “Saya dan keluarga tidak mempunyai halangan malah teruja untuk bersama-sama mengadakan majlis perkahwinan yang mengikut adat Mandailing ini,” jelas Azizan yang terlebih dahulu melalui upacara masuk marga (kaum) yang dilaksanakan sebelum majlis pernikahan. Menurut Azizan, untuk berkahwin dengan orang Mandailing, dia perlu masuk marga dengan memilih keluarga angkat dari marga yang berbeza dengan keluarga pengantin perempuan yang berasal dari marga Hasibuan. “Saya telah memilih marga Nasution dan ia dijalankan dalam upacara ringkas berupa pemberitahuan masuk marga di kampung pengantin perempuan,” katanya.

IBU pengantin perempuan, Aznah, menyempurnakan upacara buat pasangan pengantin di pelamin.

Sementara itu, upacara upa-upa yang dijalankan di pelamin merupakan upacara wajib majlis perkahwinan Mandailing yang diadakan bertujuan menaikkan ‘tondi’ atau semangat pengantin. Ibu pengantin, Aznah memberitahu, ketika upacara upa-upa tersebut, kaum keluarga pengantin telah menjamu pengantin dengan beberapa jenis makanan iaitu pulut kuning, ayam golek, telur rebus, udang, gula dan garam yang diletakkan dalam satu dulang khas. “Ketika upacara ini dijalankan, kaum keluarga terdekat akan memberi nasihat kepada pengantin mengenai alam rumah tangga, kemudian barulah acara merenjis dan makan beradab dijalankan sebagai penutup majlis,” jelasnya.

Hiburan kostum Tokyo

MODEL Akua Nanami menyarungkan kostum Sheryl Nome.

KREATIVITI dunia fesyen pada hari ini semakin ketara. Jika sebelum ini kebanyakan individu lebih selesa meniru corak pemakaian dan stail yang digayakan selebriti, tetapi kini trendnya berbeza. Generasi muda khususnya dilihat semakin obses mengadaptasi gaya dan penampilan sama seperti karakter kartun fantasi dan animasi pilihan mereka.

Bagaimanapun, meniru kostum daripada animasi, komik manga ataupun permainan video bukan sesuatu yang asing dalam kalangan generasi muda Jepun.

PENGGAYA kostum ini meminjam imej Cure Blossom yang berperwatakan comel dan riang.

 

Populariti pemakaian kostum animasi itu bukan saja boleh disaksikan pada acara atau festival tertentu malah anak-anak muda di sana tanpa segan silu tampil sedemikian pada hari-hari biasa.

Baru-baru ini, sebagai simbol ‘kasih sayang’ mereka pada budaya tersebut, para peminat animasi, komik dan manga di Tokyo berhimpun beramai-ramai dalam satu pesta yang dinamakan Festival Cure Cosplay. Festival anjuran komuniti Cure itu menyaksikan seramai 60 ahli Cure melakukan pertunjukan fesyen cosplay iaitu memperagakan kostum watak kegemaran masing-masing.

SALAH seorang peserta, Jane Airi menggayakan kostum Dream C Club sempena Festival Cure Cosplay.

 

Antaranya, kostum karakter Cure Blossom, seorang gadis berperwatakan ceria dan comel dalam persalinan gaun kembang merah jambu serta putih.

Selain itu, kostum Hajime Saitou dalam permainan video Hakuouki dan Grell Sutcliff watak komik Black Butler turut menjadi pilihan. Lihat saja aksi mereka!

 

Menyingkap keagungan Islam

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my
PETUGAS Dynasty Event Sdn. Bhd. membersihkan Kacip Hukum Patani iaitu sebuah peralatan untuk memotong tangan pesalah yang dipamerkan di Pameran Keagungan Tamadun Islam dan Mistik di Taman Rempah, Melaka.

MELAKA 16 Jun – Baju besi dan peralatan perang kerajaan Uthmaniah pada kurun ke-17, alat-alat pembedahan pakar perubatan Ibnu Sina, astronomi Islam, England dan Eropah merupakan antara artifak yang boleh disaksikan pada Pameran Keagungan Tamadun Islam dan Mistik yang berlangsung selama sebulan di Taman Rempah di sini.

Urus Setia dan Promosi Pameran Dynasty Event Sdn. Bhd., Azhar Kassim, syarikat yang menganjurkan pameran itu berkata, pameran yang bermula sejak 2 Jun lalu sehingga 3 Julai ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan unsur-unsur mistik, tahyul, khayal, syirik dan pemujaan yang masih bersarang dalam fikiran masyarakat.

Menurutnya, pameran sempena Pesta Sungai Melaka 2011 itu mampu memberi pendidikan kepada generasi baru tentang perkara berkenaan dan melihat keagungan agama Islam.

“Pada pameran ini, kita mahu umat Islam melihat perkara-perkara tahyul serta khurafat yang dipamerkan sebagai perkara yang perlu dijauhi dan pada masa sama menanamkan rasa cintakan Islam melalui artifak keagungan tamadun Islam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, antara yang terdapat pada pameran itu ialah pedang dan pelita emas Laksamana Cheng Ho, alat-alat penulisan Islam, fosil berusia lebih 100,000 tahun dan barangan peribadi Rasulullah SAW.

Antara artifak mistik yang dipamerkan ialah Buluh Berang Dalam Ada Batu Delima, Dulang Tembaga 21, Delima dan Air Merah yang digunakan oleh pengamal ilmu bomoh sebagai alat pemujaan untuk membuat nombor ekor.

Menurut Azhar, kesemua artifak itu yang diinsuranskan dengan nilai RM10 juta merupakan koleksi peribadi pemilik dari dalam dan luar negara yang mengamanahkan kepada syarikat tersebut untuk menyimpan dan mempamerkannya kepada masyarakat umum.

“Untuk pameran di Melaka sahaja, Dynasty Event mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta untuk kos pengangkutan, gaji pekerja dan sewaan khemah,” katanya.