PRK Teluk Intan: Pas keliru!

PADA 16 Mei 1972, Pas memecat Ahli Parlimennya dari Parit, Cikgu Hashim Gera atas sebab berjoget lambak dalam satu majlis di lobi Parlimen.
Masa zaman itu, Pas begitu tegar dalam hal berkait agama. Meski Cikgu Hashim mempertahan tindakannya pada masa di lobi Parlimen itu, juga hal joget secara umum sebagai sebuah tarian yang bersih di hadapan jawatankuasa disiplin, beliau langsung tidak diendahkan.
“Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari”. Bagaimanapun Pas menolak penjelasan Cikgu Hashim dan dia tetap dipecat kerana dianggap mencemar agama dan memalukan Pas sebagai sebuah parti politik yang sepatutnya mencerminkan sebuah jemaah Islam yang sempurna.
Hari ini, isu seperti Cikgu Hashim sudah tidak kedengaran lagi. Malah lebih ketara dan terbaharu semasa kempen pilihan raya di Bukit Gelugor dan menyusul menjelang pengundian kerusi Parlimen Teluk Intan Sabtu ini, kefahaman pemimpin Pas terhadap makna joget sudah berubah. Kalau UMNO datang, Pas lari. Kalau DAP datang, anehnya, tidak pula Pas lari. Lari tidak, bahkan semakin diraikan pula.
Sudah terang lagi bersuluh. Jelas sekali Pas menikus apabila berdepan dengan DAP. Di Bukit Gelugor tempoh hari, Pas sanggup korbankan orangnya sendiri, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar yang menjadi calon bebas untuk memperjuangkan ‘ideologi’ parti itu menentang calon DAP. Tetapi oleh kerana menjaga hati DAP, Mohamed Nabi Bux tidak diperakui pula sebagai ahli Pas walaupun dia bertegas mengatakan dia ahli Pas Gombak yang sah dan sijil keanggotaannya bukan palsu.
Itulah gelagat Pas. Sanggup meminggirkan ahli sendiri demi DAP. Apabila Pas berdepan dengan UMNO, macam musuh pula dibuatnya ke atas parti itu. Bak parti berlainan agama pula UMNO itu. Kalau lalu ular dan UMNO depan mata agaknya, tentu sekali UMNO akan ditalanya dulu.
Pas pada masa-masa lepas tidak sama seperti hari ini. Pas semakin liberal dalam banyak hal mengenai hukum agama. Pas mula pandai ‘melacur’ dalam politik dan berkiblat kepada permainan real politik. Pas sanggup berpeluk, bercium dan bersentuhan dengan DAP.
Sebab itu mungkin ada rasionalnya apabila Mohamed Nabi Bux menyifatkan dua pemimpin tertinggi Pas sedia ada umpama ‘talam dua muka’ berikutan tindakan mereka yang memutar-belit prinsip perjuangan Pas yang umum maklum diperjuangkan sejak lama dahulu.
“Apabila di depan pengundi Melayu, dia cakap itu adalah perjuangan Pas tetapi di depan kaum Cina malu-malu apabila bercakap pasal itu,” katanya.
Pas harus sedar mengenai agenda sebenar parti untuk memperjuangkan ideologinya dan tidak bercakap atas dasar politik semata-mata.
Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan Sabtu ini, sememangnya ramai hairan mengapa Pas begitu teruja sehingga bersungguh-sungguh hendak memenangkan calon DAP di situ.
Sudahlah calon DAP itu secara terbuka menentang keras ideologi perjuangan Pas, tambah pelik lagi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap DAP berjasa besar sehingga menjadikan itu sebab utama mengapa partinya mengerah seluruh jentera untuk membantu calon DAP.
Sampai begitu sekali ucapan Abdul Hadi. Bukan sahaja Abdul Hadi tetapi ustaz dalam kalangan Pas pun beria-ia mahu memberi kemenangan kepada DAP. Malahan jaminan itu disuarakan pula jentera Pas yang menaruh keyakinan dapat meraih undi orang Melayu untuk DAP. Ini disasarkan di kawasan majoriti Melayu antaranya Kampung Changkat Jong dan Kampung Melayu. Apa sudah jadi Pas?
Ciri-ciri calon DAP di Teluk Intan amat jelas bertentangan dengan apa yang diagung-agungkan oleh Pas selama ini. Calon DAP tersebut secara jelas dan sedar, menolak ideologi Islam Pas.
Di manakah prinsip muslimat Pas! Tergadai prinsip disebabkan politik sempit parti. Muhasabah dirilah Pas. Jangan ada perasaan ujub (bangga dan sombong diri), kelak Allah SWT akan membayar tunai atas sikap dan tingkah laku kamu.
Di mana ustaz Pas? Apakah sanggup membiarkan perkara ini berleluasa? Anda yang lebih tahu hukum-hakam. Janganlah menjadi bisu melihat kemungkaran berlaku di bawah tanggungjawab ustaz sendiri.
Kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampakkah? Janganlah memberi komen berpilih. Tentang UMNO, cepat sahaja anda jatuhi hukum. Tetapi apabila ahli sendiri buat salah, membisu seribu bahasa. Bukankah itu dinamakan Assabiyyah!
Beberapa pemimpin DAP sebelum ini termasuk Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Tony Pua dan lain-lain telah mencabar Pas supaya keluar dari pakatan pembangkang jika masih berkeras hendak bentangkan usul berkenaan di Parlimen. Dengan apa yang telah dan sedang berlaku di PRK Teluk Intan, ia telah menjawab persoalan dalam artikel saya sebelum ini “Jantankah Pas?”
Pas bersikap pilih kasih tidak bertempat kepada orang UMNO berbanding kepada sekutunya, DAP dan PKR. Sebab itu mengikut kajian yang telah dibuat serta maklum balas yang diperoleh, calon BN diyakini mempunyai harapan cerah di Teluk Intan. Sekurang-kurangnya dengan majoriti yang kecil.
Undi Melayu dijangka solid kepada BN. Juga sekitar 70 hingga 75% undi Melayu akan terarah ke BN. Begitu juga undi kaum India sekitar 80% akan ke BN. Akhirnya, mengikut perkiraan tersebut, hanya 15% diperlukan oleh BN daripada kaum Cina.
Percayalah, selepas PRK Teluk Intan ini nasib calon DAP akan menimpa sama seperti apa yang berlaku kepada aktivis Tunku Aziz. Diketepikan dan dipinggirkan, bak kata pepatah, ‘habis madu, sepah dibuang’.
DATUK Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140530/re_03/PRK-Teluk-Intan-Pas-keliru#ixzz33ALn8D3N  © Utusan Melayu (M) Bhd

UiTM lambang maruah bangsa

Oleh Prof. Madya Dr. Ismail Sualman

RAMAI yang tersentap dengan kenyataan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu.
Sesetengahnya bahkan menganggap kenyataan gadis yang mendapat ijazah dari UiTM itu sebagai melampau dan diumpamakan kacang lupakan kulit.
Penubuhan UiTM termaktub di bawah Akta 173 atas dasar semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan. Sehingga kini, terdapat 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.
Maka apa yang didakwa oleh Dyana Sofya bahawa UiTM hanya untuk orang Melayu adalah salah kerana pelajarnya juga terdiri daripada bukan Melayu iaitu pribumi Sabah dan Sarawak.
Penubuhan UiTM juga selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berhasrat mengimbangi dari segi ekuiti, profesional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia .
Perlu diingat bahawa toleransi dalam institusi pendidikan yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum menyebabkan kaum Cina dan India memahami bahawa UiTM perlu diwujudkan untuk orang Melayu dan bumiputera.
Malangnya kontrak sosial ini sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi, sehinggakan peruntukan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.
Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini dilakukan dengan kewujudan UiTM malah Seri Paduka Baginda juga ialah Canselor UiTM.
Jadi apa motif kenyataan calon DAP Teluk Intan berkenaan? Kenapa kenyataan sebegini dilemparkan sedangkan UiTM telah wujud sejak 1956 lagi. Adakah kerana ingin meraih undi daripada pengundi bukan Melayu?
UiTM telah melalui perkembangan yang amat pesat sejak mewarnai sektor pengajian tinggi dan terus mengembangkan sayapnya ke seluruh negara melalui 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit dan 21 buah kolej bersekutu serta sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.
Dengan tenaga kerja kira-kira 17,000 orang dalam satu rangkaian yang besar, universiti ini menawarkan lebih 300 program akademik dalam suasana yang kondusif dan ceria. Ia juga menjadi rumah kedua bagi hampir 172,000 orang pelajar.
Memang tidak dinafikan bahawa UiTM sangat komited dalam membantu anak-anak bumiputera mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat akademik tertinggi, juga dalam persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan.
Wawasannya ialah untuk memupuk kesarjanaan dan membina kecemerlangan akademik, agar mampu memimpin dalam apa juga arena.
Sebenarnya, UiTM sejak 1980 lagi telah membantu pelajar bukan Melayu termasuk Cina dan India dalam program pra-luar negara (INTEC UiTM). Program kerjasama JPA/Mara/Petronas telah menghantar puluhan ribu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia dan sebagainya.
Begitu juga program A-Level di Jerman melibatkan ribuan pelajar bukan Melayu. Fakta ini menunjukkan bahawa UiTM telah lama membantu pelajar bukan Melayu dalam pendidikan nasional.
Dyana Sofya mendakwa UiTM bukan milik UMNO atau Barisan Nasional (BN) lantas para pelajarnya tidak perlu terikat kepada parti itu.
Hakikatnya, memang UiTM ditubuhkan oleh pejuang UMNO. Malah ITM dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak manakala pengisytiharan naik taraf universiti dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebagai orang yang berterimakasih dan bersyukur, pelajar menginsafi bahawa banyak jasa UiTM kepada umat Melayu. Sememangnya tiada mana-mana akta atau arahan bahawa pelajar UiTM perlu terikat dengan parti. UiTM tetap mendokong demokrasi. Namun atas dasar orang yang tahu mengenang budi dan tahu membalas budi maka menjadi hak pelajar untuk menyokong BN dan UMNO.
Sementelah pemerintah Kerajaan Pusat sekarang adalah Kerajaan BN sejak dahulu hingga kini, maka UiTM akur dan mempunyai aspirasi yang sama.
Tuduhan calon DAP Teluk Intan ini bahawa pelajar UiTM datang daripada ibu bapa yang kaya dan berpendapatan tinggi juga melulu dan tidak berasas sama sekali. Semua maklum bahawa UiTM sememangnya diwujudkan untuk membela nasib orang Melayu dan bumiputera yang kurang berkemampuan membaiki potensi diri.
Tidak cukup dengan itu, program pra-diploma khusus untuk mereka yang kurang bernasib baik diwujudkan dan setakat ini lebih 55,000 graduan dihasilkan oleh program ini.
Program Destini Anak Bangsa (MDAB) khusus untuk pelajar miskin tegar melanjutkan pelajaran ke peringkat pra-diploma pula diperkenalkan sejak 2010 dan telah menghasilkan 35,000 alumni.
Program ini berjaya menyelamatkan anak bangsa yang kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada terabai.
UiTM juga membantu penubuhan MDAIM khusus untuk anak-anak kaum India dengan kerjasama MIC, di samping program serupa Mengubah Destini Anak Orang Asli.
Kini UiTM berbangga kerana mempelopori program khusus untuk anak miskin di bawah Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sebagai bekas pelajar UiTM, Dyana sepatutnya lebih memahami alma maternya.
Kita harap tiada lagi suara sumbang yang keluar dari mulutnya atau mulut sesiapa sahaja yang hanya akan meningkatkan sentimen perkauman dan perpecahan sesama kaum di Malaysia.
Janganlah dek kerana mengejar populariti, nasib anak bangsa digadai dengan kenyataan yang tidak berasas.
PENULIS ialah penganalisis politik


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140530/re_02/UiTM-lambang-maruah-bangsa#ixzz33AG1DT2f  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Sultan bijaksana berjiwa rakyat


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani dokumen perisytiharan baginda sebagai Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak, semalam.- BERNAMA

PERISYTIHARAN Raja Dr. Nazrin Shah, 58, sebagai Sultan Perak yang ke-35 disambut penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat jelata.
Membawa gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, pelantikan baginda dilihat sebagai penyambung naungan diraja bagi bumi bertuah, Perak Darul Ridzuan.
Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan dari Universiti Harvard, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah ini bakal meneruskan legasi ayahandanya sebagai raja yang bijaksana, berpendidikan tinggi dan berjiwa rakyat.
Berbeza dengan negeri-negeri beraja lain di negara ini yang menabalkan anak sebagai pewaris selepas kemangkatan Sultan, pemilihan Raja Pemerintah di Perak agak unik kerana perlu mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak.
Justeru sejurus kemangkatan Sultan Perak ke-34 petang kelmarin, mesyuarat khas Dewan Negara Perak diadakan bagi menentukan pengganti yang akan menerajui takhta pemerintahan negeri.
Keputusan melantik Raja Dr. Nazrin Shah sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas itu yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin.
Istiadat pelantikan dan perisytiharan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 kemudiannya disempurnakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara pada 2007, dikurniakan seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, 2.
Baginda dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.
Mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah pada galur ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.
Kedudukan di bawah Raja Kecil Besar ialah Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu.
Pada 1987, apabila Raja Muda, Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.
Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.
Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.
Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford.
Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.
Baginda kemudian menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Universiti Harvard.
Sultan Nazrin Shah yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya turut menjadi Felo Kehormat Kolej Worcester, Universiti Oxford.
Tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Universiti Oxford serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam universiti tersebut.
Selain itu, Sultan Nazrin Shah ialah Felo Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).
Baginda juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).
Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.
Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberikan kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.
Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007.
Semasa Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah pada 19 April lalu, baginda bertitah bahawa fungsi raja dalam kerajaan adalah memerintah dan bukannya mentadbir. Raja titah baginda, menjadi payung kedaulatan negara, memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
“Institusi raja bukanlah ‘cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua’ dalam sistem pentadbiran negara. Institusi raja juga bukan hiasan, sebaliknya adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan negara.
“Ini terbukti apabila 10 peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan dengan raja. Ini bermakna Malaysia yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah,” titah baginda.
Dan seluruh rakyat jelata khususnya di Perak meyakini Sultan Nazrin Shah akan membawa tenaga kepada institusi raja agar terus bersifat dinamik dalam menghadapi tuntutan dan cabaran semasa.
Daulat Tuanku!

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140530/re_01/Sultan-bijaksana-berjiwa-rakyat#ixzz33AEIu1pz  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Jenazah selamat dimakamkan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


TUANKU Bainun menyiram air mawar di pusara Almarhum Sultan Azlan Shah yang selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, semalam. – BERNAMA

KUALA KANGSAR 29 Mei – Jenazah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini petang ini selepas solat Asar dalam suasana mendung dan gerimis.
Jenazah Almarhum dimakamkan di antara makam Sultan Idris Shah II dan makam anak ketiga baginda, Raja Datuk Seri Ashman Shah yang mangkat pada 30 Mac 2012.
Kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata mula membanjiri pekarangan masjid seawal pukul 4 petang selepas jenazah baginda disemayam di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini untuk penghormatan terakhir.
Jenazah baginda tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan peterana ‘Seraja Diraja’ berwarna kuning pada pukul 4.30 petang untuk disembahyangkan.
Selepas disembahyangkan, jenazah dibawa ke Makam Diraja yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut untuk istiadat pemakaman.
Talkin dan doa kemudian dibacakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria selepas jenazah selesai dikebumikan kira-kira pukul 6 petang.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun mendahului keluarga diraja menabur bunga rampai dan menyiram air mawar di makam Almarhum diikuti oleh Raja Dr. Nazrin Shah yang diisytiharkan sebagai Sultan Perak baharu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat-kerabat diraja lain turut menyiram air mawar.
Hujan mulai renyai-renyai sebaik sahaja majlis tersebut berakhir pada pukul 6.40 petang.
Sultan Azlan Shah, 86, yang merupakan Sultan Perak kedua berada paling lama di takhta pemerintahan, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Baginda meninggalkan Tuanku Bainun, Raja Dr. Nazrin Shah dan tiga puteri, Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_02/Jenazah-selamat-dimakamkan#ixzz339rAq3ao  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Pencarian MH370 terus buntu


Gambar bertarikh 14 April lalu, menunjukkan anggota Tentera Laut Australia, menurunkan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 dari kapal Ocean Shield ke Lautan Hindi bagi misi pencarian pesawat MH370. – REUTERS

SYDNEY 29 Mei – Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu, sekali lagi buntu selepas Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) percaya, Lautan Hindi bukanlah lokasi sebenar kapal terbang itu berakhir.
Menurut JACC, perkara itu disahkan selepas operasi di lokasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 yang telah ditamatkan, tidak menemukan apa-apa yang berkaitan dengan MH370.
“Data yang dikumpul dalam misi telah dianalisis. JACC boleh menyatakan tiada sebarang tanda serpihan pesawat itu ditemui oleh kapal selam tersebut sejak menyertai operasi mencari ini,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurut JACC, kawasan tersebut kini boleh diketepikan sebagai tempat persemadian terakhir pesawat MH370, keputusan yang dilihat akan menyedihkan lagi ahli keluarga penumpang pesawat.
Kapal Australia, Ocean Shield yang membawa kapal selam Bluefin-21 juga telah meninggalkan kawasan perairan tersebut selepas menjelajah dasar laut seluas kira-kira 850 kilometer persegi untuk mencari MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 orang penumpang serta anak kapal.
JACC dalam pada itu menjelaskan, operasi pencarian kini memasuki fasa baharu menggunakan kelengkapan canggih untuk mengimbas dasar Lautan Hindi yang digabungkan bersama semua maklumat serta analisis data bagi menentukan lokasi pencarian baharu.
Tugas itu bakal dilakukan kapal peninjau China, Zhu Kezhen yang berperanan melaksanakan pemetaan dasar laut bermula Ogos ini dan mungkin mengambil masa selama setahun.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kejuruteraan Laut, Tentera Laut AS, Michael Dean berkata, pihaknya percaya, isyarat ping yang dikesan dari dasar laut Lautan Hindi bukan datang daripada kotak hitam MH370.
“Jika ping itu berasal daripada perakam data pesawat atau perakam suara, ia pasti sudah ditemui.
“Teori terbaik yang boleh kami fikirkan ketika ini adalah bunyi ping itu merupakan isyarat dikeluarkan oleh Ocean Shield sendiri atau alat elektronik pengesan ping,” katanya kepada stesen televisyen, CNN. – AFP/DPA



MH370: Hubungan tidak terjejas

Rozaman Ismail


Najib Tun Razak bersama delegasi Malaysia (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Li Keqiang dan delegasi China di The Great Hall of People, Beijing, China, semalam.

BEIJING 29 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa insiden kehilangan pesawat MH370 tidak akan menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-China, sebaliknya memberi peluang kepada kedua-dua negara mengukuhkan hubungan sedia ada.
Najib berkata, rakan sejawatannya, Li Keqiang telah menyatakan komitmen berterusan untuk membantu Malaysia dalam operasi mencari pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.
“Dalam pertemuan dengan Li Keqiang hari ini, beliau melihat isu ini tidak akan menghalang hubungan sedia ada, malah boleh dijadikan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan itu,” katanya dalam sidang akhbar bersama-sama dengan wartawan Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Li Keqiang dalam ucapan alu-aluannya berharap Malaysia akan meneruskan operasi tersebut bagi menentukan apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat itu.
“China berharap Malaysia terus menerajui usaha mencari serta menjalankan siasatan serius terhadap insiden itu bagi memberikan kelegaan kepada keluarga dan waris,” katanya.
Perdana Menteri bersama-sama dengan delegasi seramai 15 orang adalah dalam lawatan enam hari ke negara ini, bermula Selasa lalu.
Menurut Najib, beliau melahirkan rasa dukacita bagi pihak Malaysia kepada kerajaan China khususnya keluarga mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada China atas segala bantuan dan kerjasama bagi menangani isu tersebut.
“China mengakui isu ini amat berat untuk Malaysia dan negaranya sendiri, justeru mereka memberi komitmen untuk terus membantu kita,” kata beliau lagi.
Kepada satu soalan, Perdana Menteri berkata, kedudukan kawasan bagi operasi mencari pesawat berkenaan tidak berubah.
Mengenai pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya itu Najib berkata, majlis itu berlangsung dalam suasana yang sangat positif dan mesra dengan kedua-dua buah negara mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan yang sudah sekian lama terjalin dalam pelbagai bidang.
Mengenai kerjasama dalam bidang automotif, Perdana Menteri berkata, Proton Holding Berhad dan Geely International Corporation sedang berunding bagi memeterai perjanjian untuk pengeluaran kereta bagi pasaran China dan ASEAN.
Sebelum itu, Perdana Menteri yang mengetuai delegasi diberi sambutan penuh istiadat oleh kerajaan China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Majlis tersebut berlangsung di dataran The Great Hall of People, tempat yang sama ayahandanya, Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein diraikan ketika merintis hubungan diplomatik dengan negara itu empat dekad lalu.
Sejurus selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, Najib diberi penghormatan memeriksa pembarisan kehormat tiga sayap angkatan tentera republik itu sambil diiringi 19 das tembakan meriam.
Antara menteri yang menyertai rombongan tersebut ialah Menteri Pertahanan yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Utusan Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin.
Sementara itu, Hishammuddin ketika ditemui pemberita mengesahkan Malaysia akan menggunakan ProSas Deep Towed Synthetic Sonar dan Remora Remotely Operated Vehicle (ROV) dalam operasi mencari pesawat MH370 di dasar laut.
Menurut beliau, sistem terkini dan mempunyai keupayaan yang tinggi itu akan dibiayai oleh Petronas dan Deftec.
“Sistem ini dipercayai mampu membantu kerja-kerja mencari yang sudah memasuki fasa baharu itu,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_06/MH370-Hubungan-tidak-terjejas#ixzz339p4SP00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Sultan Nazrin, Sultan Perak Ke-35


Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membaca watikah pelantikan sebagai Sultan Perak pada Istiadat Pengisytiharan Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. – BERNAMA

IPOH 29 Mei – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa rakyat.
Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University, baginda diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang baharu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda.
Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak petang semalam yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen. (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah semalam.
Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, empat tahun dan seorang puteri Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Feb 1984.
Mengikut hirarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.
Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.
Pada 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.
Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.
Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, telah melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.
Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Oxford University.
Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Harvard University.
Sultan Nazrin Shah yang merupakan Pro-Canselor Universiti Malaya adalah juga Felo Kehormat Kolej Worcester, Oxford University.
Pada tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Oxford University serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam Oxford University.
Selain itu, Sultan Nazrin Shah merupakan Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) Terbilang.
Baginda juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).
Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.
Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.
Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007. – BERNAMA