WORLD CUP 2014 – Ledakan Mueller bantu Jerman benam Amerika


REMBATAN pemain Jerman, Thomas Mueller (tidak kelihatan dalam gambar) gagal disekat penjaga gol, Tim Howard pada perlawanan Kumpulan G di Pernambuco Arena, Recife, semalam. – REUTERS

RECIFE – Bintang Jerman, Thomas Mueller meledakkan gol keempat pada Piala Dunia bagi meletakkan dia sebaris dengan Lionel Messi, dan Neymar sewaktu melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Amerika Syarikat, semalam yang sekali gus meletakkan pasukannya muncul juara Kumpulan G.

Amerika Syarikat yang dibimbing oleh bekas bos Jerman, Juergen Klinsmann turut layak ke pusingan 16 pasukan akhir sekali pun tumpas pada perlawanan di Racife, kerana kejayaan Portugal membenam Ghana 2-1 tidak cukup untuk mereka memintas skuad Uncle Sam itu ke pusingan kedua.

“Memang satu kejayaan besar dapat melepasi saingan peringkat kumpulan ini. Kami sedar perlawanan agak rumit, tetapi keputusan seri sudah memadai buat kami, jadi bukan mudah untuk kami mengharunginya.

“Tetapi, kami memiliki sebuah pasukan yang sangat kuat, dan para pemain pula setiasa mempunyai keinginan tinggi untuk memberikan yang terbaik. Peringkat kalah mati merupakan satu pertarungan yang berbeza.

“Kami berasa positif, sekarang kami perlu fokus kepada lawan yang khusus pada aksi berikut, ia tidak sama seperti yang kami harungi pada perlawanan peringkat kumpulan,” kata Klinsmann yang mana pasukannya akan bertemu Belgium di pusingan kalah mati.

Sebelum perlawanan tersebut berlangsung, tercetus spekulasi yang menyatakan Jerman, dan Amerika Syarikat telah merancang untuk mencatat keputusan seri yang membuka laluan kepada kedua-dua pasukan layak ke peringkat seterusnya.

Persahabatan antara Klinsmann dengan bekas pembantunya yang kini merupakan jurulatih Jerman, Joachim Loew telah memperkuatkan desas-desus terhadap teori konspirasi itu. Namun, Jerman telah mendominasi perlawanan yang diadakan di Arena Pernambuco itu.

“Kami mendominasi keseluruhan perlawanan. Kami beraksi dengan cukup tersusun, dan sehingga minit terakhir kami tidak memberi mereka begitu banyak ruang untuk menjaringkan gol,” kata Loew.

Sementara itu, Loew turut melahirkan perasaan gembiranya terhadap pencapaian Amerika Syarikat.

“Saya gembira melihat Amerika Syarikat berjaya. Jika anda tewaskan Ghana, dan seri menentang Portugal, saya rasa anda berhak untuk layak peringkat 16 pasukan akhir,” ujar Loew.

Gawang yang dikawal ketat penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard akhirnya bolos pada minit ke-55 hasil jaringan Mueller bagi memecah kebuntuan gol pada perlawanan tersebut. – AFP

Advertisements

WORLD CUP 2014 – Pencapaian terburuk Asia

Susunan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my


PERTAHANAN Korea Selatan, Kim Young-Gwon (dua, kiri) tidak mampu membendung perasaan sedih selepas pasukannya tersingkir pada saingan kumpulan Piala Dunia setelah tewas 0-1 kepada Belgium di Corinthians Arena, Sao Paulo, Brazil, semalam. – AFP

KUALA LUMPUR – Tiada kelibat pasukan dari benua Asia yang berada dalam kelompok 16 pasukan terbaik Piala Dunia sebaik saingan peringkat kumpulan melabuhkan tirai selain dengan menyaksikan semua wakil, Australia, Jepun, Iran dan Korea Selatan menghuni tangga tercorot dalam kumpulan masing-masing.

Bertambah memeritkan, tiada satu kemenangan mampu dicapai oleh mana-mana pasukan dari benua Asia pada kali ini yang menjadikan Piala Dunia 2014 Brazil sebagai satu pencapaian terburuk Asia sejak 1990.

Secara keseluruhan, gabungan mata antara Australia, Jepun, Korea Selatan, dan Iran adalah sebanyak tiga mata sahaja, iaitu paling rendah semenjak penyertaan 32 pasukan di Piala Dunia pada tahun 1998.

Prestasi hambar yang ditunjukkan oleh wakil-wakil Asia kali ini pasti memberikan sedikit kebimbangan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memandangkan satu perbincangan bersama Oceania pernah dilakukan pada penghujung tahun lalu bagi mendapatkan slot tambahan pada Piala Dunia 2018.

Jepun, dan Korea Selatan yang mara ke pusingan kedua semasa Piala Dunia 2010, pada kali ini cukup menghampakan apabila sekadar meraih satu keputusan seri, dan dua kekalahan.

Aksi Jepun, dan Korea Selatan, dua wakil tetap Asia semenjak Piala Dunia 1998 sedikit menimbulkan persoalan kerana melepaskan enam gol di peringkat kumpulan yang menampakkan kelemahan ketara di bahagian pertahanan.

Hanya prestasi Iran mungkin sedikit boleh dipuji kerana nyaris membuat kejutan ke atas Argentina apabila hampir mengikat juara Dunia dua kali itu dengan keputusan seri tanpa jaringan sebelum gol Lionel Messi pada masa kecederaan membunuh segala jalan cerita indah skuad The Princes of Persia itu.

Sementara Australia pula paling menghampakan kerana mudah ditundukkan oleh juara bertahan, Sepanyol dan Chile walaupun mungkin mampu memberikan sedikit tentangan ketika kalah 2-3 kepada Belanda.

Sebagai rekod, Piala Dunia 2002, dan 2010 menyaksikan pungutan mata tertinggi diraih pasukan-pasukan Asia iaitu sebanyak 14 mata di peringkat kumpulan sambil Korea Selatan mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 semasa menjadi tuan rumah.

Selain itu, pada Piala Dunia 1994, Arab Saudi menjadi pasukan Asia paling mencuri tumpuan kerana mampu mencipta kejutan pada penampilan pertama apabila mara ke pusingan kedua selepas memenangi dua perlawanan di peringkat kumpulan dengan mengatasi Belgium, dan Maghribi.

window[‘betterdeals_data’] = { subId: ‘1060-1060’, ad_lbl_content: ‘Brought to you by OnlineBrowserAdvertising’ };window[‘betterdeals_data’] = { subId: ‘1060-1060’, ad_lbl_content: ‘Brought to you by OnlineBrowserAdvertising’ };

Demonstrasi, reformasi, baling kerusi

Zulkiflee Bakar


Pergaduhan antara penyokong-penyokong calon yang bertanding semasa pemilihan Cabang PKR Kota Raja di Klang, baru-baru ini.
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sering mendabik dada, kononnya pemimpin mereka paling hebat mentadbir, parti mereka paling bijak mengurus dan bersikap telus dalam segala perkara. Disebabkan pegangan songsang ini, parti itu sering sahaja ‘menyerang’ kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui sokongan sekutunya, DAP dan Pas.

Malah PKR juga antara parti yang bertanggungjawab untuk mengerakkan demonstrasi jalanan bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil serta kononnya bagi menghapuskan segala kepincangan dan penyelewengan ketika pilihan raya berlangsung. Sudah tentulah sasaran mereka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tetapi apa yang berlaku dalam pemilihan parti itu membuktikan, PKR bukan sahaja parti cakap tak serupa bikin, malah penuh dengan kepincangan. Sebutlah apa sahaja, baling kerusi, lontar kasut, menjerit, maki hamun dan bermacam-macam lagi perangai buruk semuanya terjadi dalam pemilihan parti tersebut.

Ketika PKR selama ini begitu selesa menuduh SPR tidak telus, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mereka sendiri turut dipertikaikan, ini belum lagi mengambil kira bagaimana keputusan boleh berubah-ubah, wujudnya pengundi hantu dan bekalan elektrik terputus di dewan pengiraan undi.

Begitu juga dari segi proses pengiraan undi, ketika proses itu dijalankan secara telus oleh SPR dalam pilihan raya, lihatlah pula bagaimana undi dikira dalam pemilihan PKR.

Ada yang dibuat di dalam dewan, ada dilakukan di ruang tamu rumah dan ada pula di dalam bilik hotel, oleh itu ketelusan apa yang diperjuangkan oleh PKR selama ini?

Kalau dikaji, segala yang berlaku dalam PKR adalah tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan oleh parti itu terhadap BN dan SPR, tetapi kini ia ibarat ‘menuding kain orang terkoyak, kain sendiri sudah terlondeh’. Ternyata sekali, PKR semakin mendapat ‘pembalasan’ terhadap segala fitnah dan tohmahan yang kerap mereka lakukan ke atas pihak lain.

Selama ini, mereka hanya bijak menuduh dan memfitnah tetapi apabila diminta bukti, ia hakikatnya sekadar modal untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat terhadap kemenangan BN dalam pilihan raya sama ada kecil mahupun umum. Apa yang anehnya, PKR hanya membuat bising, apabila pembangkang tewas tetapi apabila mereka menang senyap sunyi pula.

Bagaimanapun apa yang berlaku ke atas PKR bukanlah satu kejutan memandangkan sejarah perjalanan politik parti itu sendiri sudah memberi petanda awal bahawa mereka akan terlibat dalam kekecohan dan kekalutan apabila berlaku pemilihan dalam parti.

PKR mengajar rakyat turun ke jalanan untuk berdemonstrasi, PKR mengajak rakyat untuk melakukan reformasi dalam politik dan PKR juga membimbing rakyat untuk berani berhadapan dengan pihak berkuasa, tetapi sekarang ‘ilmu-ilmu’ itu sedang dipraktikkan oleh penyokong-penyokong sendiri.

Mereka mengadakan demonstrasi membantah JPP, mereka melaungkan reformasi untuk menuntut kepimpinan PKR melakukan reformasi dan mereka juga bertindak samseng dengan membaling kerusi dalam mesyuarat.

Semua ini adalah hasil ‘didikan politik’ demonstrasi dan reformasi yang selama ini begitu dibanggakan oleh PKR. Justeru tidak perlulah pemimpin-pemimpin PKR juga memberi hujah jahil dengan menyatakan ada penglibatan orang luar dalam kekecohan yang berlaku kepada parti itu.

Inilah masalah krisis identiti yang berlaku kepada kepimpinan PKR, mereka tidak pernah bermuhasabah atau mahu mengaku kelemahan yang dimiliki, sebaliknya apa juga yang berlaku kepada parti itu akan disalahkan kepada orang lain.

Sikap mahu mencerminkan diri sendiri, langsung tidak ada seolah-olah mereka insan-insan suci yang cuba dinodai oleh pihak lain.

Mungkin ini juga ‘didikan politik’ pemimpin-pemimpin kanan mereka yang sering menganggap apa yang berlaku kepada diri mereka adalah satu fitnah dan konspirasi UMNO dan kerajaan BN. Bagaimanapun PKR tidak boleh lagi berdolak dalih.

Kerusi berterbangan, pergelutan yang berlaku dan darah yang mengalir ketika mesyuarat pemilihan parti itu di seluruh negara sudah membuktikan parti tersebut sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang amat serius.

Sudahlah selama ini PKR dilihat tidak mempunyai hala tuju sebaliknya sekadar untuk memenuhi cita-cita politik pemimpin-pemimpin sahaja, kini pertelingkahan dalaman melibatkan ahli-ahlinya juga semakin kritikal.

Seharusnya, apa yang berlaku kepada PKR ini memberi keinsafan kepada rakyat untuk memahami begitulah keadaan apabila sebuah parti ditubuhkan semata-mata bagi memenuhi impian politik individu dan mahu merebut kekuasaan semata-mata.

PKR bukan ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib rakyat dan bagi mensejahterakan negara, sebaliknya mahu memenuhi nafsu politik pemimpin-pemimpinnya. Sebab itulah PKR dilihat mengamalkan politik ‘matlamat menghalalkan cara’, mereka tidak peduli apa pun asalkan impian mereka tercapai. Pendekatan ini akhirnya ‘merebak’ kepada ahli-ahlinya yang sanggup ‘bertempur’ sesama sendiri dalam pemilihan parti.

Sememangnya, berdasarkan apa yang terjadi dalam pemilihan parti itu, jelaslah PKR ibarat ‘Parti Kian Rosak’, yang sedang bergelumang dengan seribu satu masalah sama ada melibatkan pemimpin, ahli mahupun penyokongnya.

Atas sebab itulah, PKR tidak layak untuk bercakap atau mengkritik apa juga perkara terhadap kerajaan BN kerana parti mereka sendiri berada dalam keadaan lintang pukang dan tidak terurus. Usahlah bercakap soal reformasi kalau dalam PKR sendiri berlakunya kejadian baling kerusi.

Justeru sudah sampai masanya rakyat menolak PKR kerana apa yang berlaku membuktikan parti itu sama sekali tidak layak menerajui negara ini. PKR dilihat hebat bukan kerana kekuatan parti itu dan kehebatan pemimpinnya, tetapi disebabkan mereka mampu mempengaruhi DAP dan Pas untuk berkongsi kuasa dengan mereka.

Bayangkanlah apa yang akan berlaku kepada negara ini kalau PKR menjadi tonggak utama pemerintahan negara, kalaulah dalam parti sendiri pun berkecamuk dan tidak tentu hala, bagaimana mereka hendak memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat dan negara ini?

Apatah lagi dalam PKR juga wujudnya budaya yang sama sekali tidak sesuai dengan rakyat negara ini khususnya bergaduh sesama sendiri sehingga ada yang tercedera.

Cukup-cukuplah terpedaya dengan politik songsang PKR, jadikanlah kekecohan dalam pemilihan parti itu sebagai pengajaran dan panduan bahawa parti tersebut hanya bijak untuk melaungkan reformasi, mencetuskan demonstrasi dan membaling kerusi.

window[‘betterdeals_data’] = { subId: ‘1060-1060’, ad_lbl_content: ‘Brought to you by OnlineBrowserAdvertising’ };window[‘betterdeals_data’] = { subId: ‘1060-1060’, ad_lbl_content: ‘Brought to you by OnlineBrowserAdvertising’ };

WORLD CUP 2014 – Jepun dileburkan pemain gantian

DUA pemain Jepun, Yoshito Okubo (kiri) dan Keisuke Honda kelihatan begitu kecewa setelah mereka tersingkir daripada Piala Dunia setelah kalah 4-1 kepada Colombia di Cuiaba semalam. – REUTERS
CUIABA – Bagi Jepun, Piala Dunia kali ini menjadi igauan ngeri yang kembali menghantui mereka selepas kalah 4-1 kepada Colombia semalam.
Juan Cuadrado, James Martinez dan Jackson Martinez (dua) menja­ringkan gol buat Colombia dengan Shinji Okazaki menjadi penjaring tunggal buat Jepun.
Perlawanan itu turut menyaksikan penjaga gol simpanan Colombia, Faryd Mondragon mencipta sejarah menjadi pemain tertua beraksi dalam Piala Dunia pada usia 43 tahun dan tiga hari.
Penampilan Mondragon mengatasi legenda Cameroon, Roger Milla yang bermain dalam Piala Dunia pada usia 42 tahun dan 39 hari.
Juara Asia, Jepun, menguasai perlawanan dengan serangan berbahaya bertubi-tubi dalam setiap perlawanannya tetapi hanya mendapat hasil yang tidak setimpal.
Dalam setiap perlawanan, pemain handalan lawan mereka muncul sebagai pemain gantian pada babak kedua – dan Jepun layu di bawah tekanan.
Dalam perlawanan sulung Jepun, Didier Drogba dari Ivory Coast menjadi musuh. Semalam giliran perancang Colombia, James Rodriguez.
Penyerang, Yoichiro Kiyotake, selepas perlawanan yang mengakhiri perjalanan Jepun di Piala Dunia semalam berkata: “Momentum itu beranjak (kepada pihak lawan).”
Igauan ngeri kedua yang Jepun hadapi semula semalam ialah penyudahan mereka yang teruk.
Kekurangan naluri pemusnah membelenggu mereka dalam kekalahan 2-1 kepada Ivory Coast, sekali lagi ketika seri 0-0 dengan Greece dan akhirnya semalam ketika mereka kalah 4-1 kepada Colombia walaupun Jepun menguasai perlawanan untuk tempoh yang panjang.
Bagi kebanyakan perlawanan itu, Jepun tampak telah menemui semula bakat menyerangnya yang menghiburkan, menentang Colombia yang sudah pun layak ke peringkat kalah mati dan memilih untuk merehatkan pemain tonggak.
Pasukan Asia itu lebih baik dalam babak pertama dan mencipta peluang – tetapi tidak mampu mengubahnya menjadi gol.
Itu mendedahkan Jepun kepada serang balas Colombia, yang pertama mendorong penalti pada minit ke-17.
Jepun mengakhiri kemarau jaringannya apabila Okazaki menanduk masuk hantaran lintangan cantik Keisuke Honda dalam masa kecederaan babak pertama, mencetuskan semula harapan bahawa Piala Dunia belum berakhir buat mereka.
Dengan Greece mendahului 1-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, Jepun hanya perlu menjaringkan gol semula untuk berkemungkinan masuk ke peringkat kalah mati.
Rodriguez dengan cepat menamatkan harapan itu.
Sebagai pemain gantian pada babak kedua, Rodriguez menjana tenaga kepada rakan sepasukannya dengan gabungan karisma dan gerak kaki mempesona.
Menggelecek ke kotak penalti Jepun, dia mengumpan bola tepat kepada Jackson Martinez yang dengan tenang menolak masuk pada minit ke-55 untuk menjadikan kedudukan 2-1.
“Mereka menyudahkan peluang mereka. Kami tidak menyudahkan milik kami,” kata Honda.
Honda menjelajah ke seluruh padang untuk merancang serangan Jepun dan membayangi Shinji Kagawa, yang kembali ke barisan utama selepas disisihkan dalam perlawanan menentang Greece lalu.
Honda hampir menjaringkan gol pada minit ke-33 menerusi sepakan bebas yang sedikit tersasar.
Sementara itu sepakan penalti pada masa kecederaan oleh Georgios Samaras memastikan Greece mara ke pusingan kedua manakala pemain Ivory Coast remuk hati setelah tewas 2-1.
Greece mendahului 1-0 menerusi gol Andreas Samaris tetapi pasukan dari Afrika itu kelihatan mampu layak apabila menyamakan kedudukan menerusi jaringan Wilfried Bony pada minit ke-74. – AGENSI



WORLD CUP 2014 – Uruguay, Suarez menggigit

Uruguay, Suarez menggigit
PENYERANG Uruguay, Luis Suarez (kiri) ‘memeriksa’ giginya sambil melihat pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini yang terbaring kesakitan sewaktu perlawanan terakhir dalam Kumpulan D di Natal semalam. – AFP
NATAL – Luis Suarez menghadapi kemungkinan digantung perlawanan untuk tempoh yang panjang selepas menggigit pemain pertahanan lawan ketika pasukannya menyingkirkan bekas juara dunia, Itali dari Brazil menerusi kemenangan 1-0 dalam perlawanan Kumpulan D semalam.
Ketua pasukan Uruguay, Diego Godin menanduk masuk gol tunggal perlawana pada minit ke-81, sekali gus menyaksikan Itali tersingkir dari Piala Dunia seawal peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut.
Namun penyingkiran mengejut Itali dibayangi oleh kejadian luar biasa melibatkan Suarez – pernah digantung dua kali sebelum ini kerana menggigit lawan – sejurus sebelum gol kemena­ngan dijaringkan oleh Godin.
Ulang tayang televisyen menunjukkan Suarez kelihatan cuba membenamkan giginya ke bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini dalam insiden di luar perebutan bola.
Chiellini kemudian menarik jersi untuk menunjukkan tanda merah pada bahunya kepada pengadil Mexico, Marco Rodriguez.
Selepas itu, Chiellini memberitahu televisyen Itali: “Dia menggigit saya, itu jelas, saya masih ada tanda itu.
“Pengadil patut meniup wisel dan memberikan dia kad merah.”
Suarez cuba menyangkal kejadian itu ketika memberi ulasan kepada televisyen Uruguay de­ngan mendakwa Chiellini telah melanggarnya.
“Ada perkara-perkara yang berlaku di padang dan awak tidak patut melihatnya sebagai penting,” kata Suarez.
Pengurus veteran Uruguay, Oscar Tabarez merayu kejadian itu diabaikan.
“Saya tidak melihatnya. Saya mahu melihat imejnya terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar. Tabarez turut mengandaikan Suarez dijadikan mangsa oleh wartawan.
“Dia menjadi keutamaan sasaran bagi banyak media,” kata Tabarez. Diasak dengan isu itu, Tabarez yang jelas berang, enggan mengutuk Suarez. “Ini ialah Piala Dunia bola sepak, ini bukan tentang akhlak yang murah,” katanya.
Namun di sebalik ulasan Suarez, bukti video kejadian itu begitu jelas.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkata, mereka akan mengkaji laporan pengadil dan video perlawanan itu.
“Kami menanti laporan perlawanan rasmi dan akan mengumpul semua elemen yang diperlukan dalam menilai perkara itu,” kata jurucakap FIFA, Delia Fischer.
Namun pegawai kanan lain tidak berlengah dalam me­ngutuk penyerang itu.
“Tidak syak lagi Luis Suarez ialah seorang pemain bola sepak yang hebat tetapi sekali lagi tindakannya mengakibatkannya terdedah kepada kritikan teruk.
“FIFA mesti menyiasat kejadian itu dengan amat serius dan mengambil apa sahaja tindakan yang difikirkan perlu,” kata Naib Presiden FIFA, Jim Boyce kepada BBC.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Michel D’Hooghe berkata, Suarez wajar menghadapi perbicaraan.
“Ini benar-benar satu kes serius bagi suruhanjaya tatatertib kami,” kata D’Hooghe kepada BBC.
Jika didapati bersalah oleh pemimpin tatatertib FIFA, kejadian itu hampir pasti bererti penamat kejohanan buat Suarez.
Itali yang kehilangan Claudio Marchisio kerana dibuang padang dalam babak kedua, menyertai bilangan bertambah pasukan Eropah yang tersingkir selepas Sepanyol, England, Croatia dan Bosnia-Herzegovina.
Dalam perlawanan lain Kumpulan D di Belo Horizonte, Costa Rica memastikan Piala Dunia hambar England berakhir dengan tangisan dalam seri 0-0.
Keputusan itu bererti Costa Rica menjuarai kumpulan itu, dengan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dengan Uruguay berkesudahan sebagai naib juara.
Costa Rica akan menentang naib juara Kumpulan C, Greece, Sabtu ini selepas mereka menang 2-1 ke atas Ivory Coast. – AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140626/sl_04/Uruguay-Suarez-menggigit#ixzz35hcTsyYW  © Utusan Melayu (M) Bhd