POLITIK : Saifuddin umum sertai PKR

16 Oktober 2015 1:20 AM
PETALING JAYA 15 Okt. – Ura-ura mengatakan Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal bertukar parti menjadi realiti, apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu secara rasmi mengesahkan penyertaan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
Saifuddin
Pengumuman itu dibuat Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan beliau (Saifuddin)…penyertaannya bertepatan dengan strategi Keadilan untuk memberi fokus kepada isu-isu masyarakat Melayu dan Bumiputera agar kebajikan mereka terbela,” katanya.
Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali serta pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu.
Dalam sidang media sama, Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, keputusannya didorong oleh kemahuan untuk melihat perubahan dalam arena politik negara.
“Saya sudah berfikir panjang lebar sebelum membuat keputusan.
“Saya mahu membina negara ini melalui pembaharuan institusi…ia tidak dibincangkan secara komprehensif dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN)…maka sudah sampai masa saya rasakan saya tidak lagi serasi dengan UMNO dan BN,” katanya.
Saifuddin sebelum ini dikatakan bakal menyertai PKR apabila beliau menghadiri Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 yang diadakan untuk memuktamadkan pembentukan pakatan pembangkang yang baharu. 
– BERNAMA
Advertisements

DAP perlu mohon maaf

Gerakan, MCA lihat DAP punca polarisasi sosial
SOFIAN BAHAROM | 01 Oktober 2015 1:19 AM
LIANG TECK MENG (kanan) dan Ti Lian Ker menunjukkan gambar yang berunsur perkauman semasa sidang akhbar di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AIZZUL A.MAJID
KUALA LUMPUR 30 Sept. – Polarisasi sosial dan ke­tegangan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini berpunca daripada angkara DAP yang berterusan bermain dengan api perkauman.
Sehubungan itu, Gerakan dan MCA hari ini mendesak DAP supaya tampil memohon maaf serta bertaubat atas tindakan mereka selama ini yang dilihat akan membawa kehancuran kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menegaskan, taktik DAP untuk mengapi-apikan sentimen dalam kalangan masyarakat telah pun bermula sebelum Bersih 4.0 apabila Penasihatnya, Lim Kit Siang memijak gambar beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang.
Kata beliau, DAP seterusnya te­lah merampas perhimpunan haram Bersih 4.0 dengan matlamat buruk dan agenda politik untuk menunjukkan kuasa melalui demonstrasi jalanan yang menyaksikan kebiadaban penyokong-penyokongnya.
“Bukti ini jelas menunjukkan bahawa DAP yang memulakan budaya tidak sihat ini. Kita perlu faham kenapa tidak munculnya himpunan baju merah pada Bersih 1, 2, 3 tetapi apabila Bersih 4.0 ada perhimpunan baju merah. Ini kerana reaksi kepada kebiadaban tersebut.
“Kita kena lihat ada kain ren­tang minta hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) pada perhimpunan baju merah. Kenapa ada SKJC sahaja kenapa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT)?
“Ini kerana DAP telah pun menanam kebencian dan cuba mengapi-apikan sentimen antara kaum. Oleh itu kami mengutuk sekeras-keras­nya tindakan DAP dan mahu DAP bertaubat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Dalam pada itu, Lian Ker berkata, tindakan penyokong-penyokong DAP memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyinggung perasaan dan hati masyarakat Melayu.
Menurutnya, provokasi-provokasi politik oleh DAP tidak wajar dilakukan memandangkan negara sedang dilanda krisis ekonomi global dan kejatuhan nilai ringgit.
“Sedarlah bahawa pembinasaan negara dapat berlaku dalam sekelip mata tetapi pembinaan negara mengambil tempoh masa yang lama, begitu juga jambatan silaturahim dan hubungan baik antara kaum dalam negara ini,” katanya.

Saya tidak akan tunduk – Mufti Pahang

29 September 2015 12:57 AM

KUANTAN 28 Sept. – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman tidak gentar dengan ancaman DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa agama negeri kerana khutbah Aidiladha yang mendakwa DAP menentang Islam.

Abdul Rahman Osman
Menurut beliau, khutbah ter­sebut merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.
“Kita tidak akan tunduk kepada pihak yang mahu jabatan ini memohon maaf dan menarik balik teks khutbah Aidiladha itu.
“Sepatutnya mereka yang me­mohon maaf terlebih dahulu kerana campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas me­ngenai tindakan DAP kelmarin yang menggesa JAIP memohon maaf ber­hubung teks khutbah Aidiladha itu.
Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dilaporkan memberi masa lima hari sehingga Rabu ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Menurut Abdul Rahman, beliau sedih dengan tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu dan tidak menghormati institusi Islam.
“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman ka­mi dan meminta kami memohon maaf,” katanya.
Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang itu, umat Islam dinasihat supaya terus bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.
Perpecahan itu kerana meng­utamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Is­lam seperti UMNO, Pas, PKR dan ditambah dengan Parti Amanah Negara (Amanah) malahan ada dalam kalangan umat Islam yang menyertai DAP secara terang-terangan menentang Islam.
Teks khutbah yang dibaca oleh Abdul Rahman di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 itu turut mengingatkan umat Islam supaya bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka.
Abdul Rahman berkata, kan­dungan dalam khutbah berkenaan adalah benar dan bukannya ber­baur fitnah serta telah merujuk kepada al-Quran iaitu ayat 28 Surah Ali Imran.
Menurutnya, surah berkenaan menjelaskan larangan orang muk­min berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin.
“Kandungan dalam khutbah Ai­diladha bukan hasutan seperti didakwa DAP tetapi kita hendak berdakwah dan memberitahu ke­pada orang Islam lain mengenai perkara yang sudah dinyatakan dalam al-Quran.
“Kalau kita lihat dalam beberapa isu seperti hudud sebelum ini, mereka menentangnya yang ber­makna menolak hukum Islam sedangkan Islam tidak pernah me­nafikan hak orang lain walaupun Islam adalah agama Persekutuan di Malaysia,” katanya.

1MDB : Nurul Izzah disiasat ekoran pengakuan Justo

18 September 2015 1:57 AM
Nurul Izzah Anwar
KUALA LUMPUR 17 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Naib Presi­den PKR, Nurul Izzah Anwar kini disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.
Nurul Izzah disiasat berhubung satu pendedahan oleh bekas Ketua Teknologi Maklumat (IT) PetroSaudi International (PetroSaudi), Xavier Andre Justo baru-baru ini yang mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berminat membeli data berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.
“Ya saya mengesahkan Nurul Izzah disiasat dan pegawai polis memang ada pergi ke pejabatnya,” kata Khalid yang kini berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Sementara itu, dalam sebuah portal propembangkang, peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya memberitahu, pihak polis telah mencari Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di pejabatnya untuk soal siasat.
Walau bagaimanapun Latheefa mendakwa, Nurul Izzah ketika ini berada di Amerika Syarikat untuk urusan tertentu dan hanya akan pulang pada Isnin depan.
Laporan beberapa akhbar sebelum ini yang memetik butiran siasatan kes membabitkan Justo, termasuk penga­kuan bertulis yang dibuat atas ke­re­laan sendiri mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011.

Parti Pekerja tetap guna nama Amanah

ZABRY MOHAMAD 
DAN ZULKIFLI SAINUDDIN | 17 September 2015 12:53 AM
Mohamad Sabu (dua dari kanan) menyentuh bola kaca sebagai simbolik pelancaran perdana Parti Amanah Negara di Shah Alam, Selangor, semalam. Utusan/Izham Jaafar
SHAH ALAM 16 Sept. – Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) tidak mengendahkan larangan Jaba­tan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya tidak menggunakan nama baharu iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) apabila meneruskan majlis pelancaran perdana parti itu hari ini.
Setiausaha Agungnya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir bagaimanapun mendakwa, majlis tersebut hanya memperkenalkan logo dan bendera parti baharu itu.
Menurutnya, beliau yakin permohonan mereka tiada masalah dan akan diluluskan kerana segala yang diperlukan oleh ROS sudah dipenuhi.
“Saya rasa tiada masalah kerana proses permohonan pertukaran nama seperti dimaklumkan oleh ROS akan memakan masa beberapa hari. Kadang-kadang orang sengaja memperbesar-besarkan cerita.
“Ini program Parti Pekerja untuk memperkenalkan logo dan bendera baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berkenaan yang disempurnakan Pengerusi Parti Pekerja, Mohamad Sabu di sini hari ini.
Selain logo dan bendera baharu, majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 orang kebanyakannya bekas pemimpin dan ahli Pas itu turut memperdengarkan lagu parti.
Antara yang hadir Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Pengerusi Bersih 4.0, Maria Chin Abdullah.
Semalam, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam kenyataannya memaklumkan yang pihaknya belum meluluskan permohonan penukaran nama Parti Pekerja kepada Ama­nah.
Katanya, tindakan menggunakan nama dan menganjurkan program atas nama Amanah selagi tidak diluluskan oleh ROS merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.