Memperkasa peranan wanita

Najib Tun Razak menyampaikan amanat kepada ribuan peserta 1Million Women Purple Walk di Putrajaya, semalam. Peserta berjalan sepanjang boulevard Putrajaya menuju Dataran Putrjaya di hadapan Istana Kehakiman. – BERNAMA

PUTRAJAYA 17 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta melantik sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah.
Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu diambil kerana transformasi negara tidak dapat dijayakan sekiranya wanita yang merupakan separuh daripada jumlah penduduk Malaysia tidak diarusperdanakan.
“Saya hendak memberi panduan kepada pemimpin GLC dan GLIC supaya mereka mengangkat sekurang-kurangnya seorang wanita dalam lembaga pengarah masing-masing.
“Ini dilakukan supaya wanita yang telah dilatih untuk menjadi ahli lembaga pengarah dapat dilantik mengisi jawatan yang ada. Saya juga menyarankan pihak swasta lain supaya memberi wanita peluang yang sama,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis 1Million Women Purple Walk yang diadakan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Dataran Putrajaya, di sini hari ini yang disertai oleh lebih 400,000 orang wanita.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri-menteri Kabinet; Timbalan-timbalan Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Najib berkata, kerajaan bukan hanya mahu mengiktiraf sumbangan wanita semata-mata tetapi mahu mengupaya dan memperkasa golongan tersebut.
“Kita lihat dalam pengajian tinggi, sebanyak 62 peratus penuntut ialah wanita. Sebanyak 30 daripada 62 Hakim Mahkamah Tinggi terdiri daripada wanita, ini mungkin satu pencapaian tertinggi di dunia.
“Dalam kalangan Ketua Setiausaha (KSU) pula, tujuh KSU wanita telah dilantik. Terbaharu, seorang KSU wanita dilantik untuk Kementerian Kesihatan iaitu antara kementerian yang paling besar,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut mengiktiraf kejayaan wanita dalam bidang keusahawanan dan memuji mereka sebagai pembayar hutang yang baik.
Menurut beliau, kerajaan akan terus membantu wanita berdikari melalui pelbagai inisiatif termasuk program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang disertai sebanyak 65,000 wanita dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memanfaatkan beribu-ribu wanita. 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Puluhan ribu banjiri Dataran Putrajaya

1Million Women PurpleWalk

Ribuan peserta membanjiri Dataran Putrajaya untuk menjayakan program 1Million Women Purple Walk dan majlis pelancaran 1Malaysia Komuniti Perwani, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

PUTRAJAYA 17 Mac – Dataran Putrajaya hari ini mencatatkan sejarah apabila menghimpunkan lebih 400,000 wanita untuk menyertai Program 1Million Women Purple Walk yang berlangsung dalam suasana penuh meriah.
Himpunan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini turut berlangsung serentak di beberapa tempat di seluruh negara.
Program ini merupakan satu inisiatif bagi melambangkan solidariti wanita Malaysia dan meraikan kejayaan kaum hawa dalam pelbagai bidang.
Ratusan ribu peserta pelbagai kaum membanjiri Dataran Putrajaya, di sini hari ini untuk mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Bersesuaian dengan warna tema sambutan, Najib dan Rosmah yang berbaju ungu disertai Timbalan Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan kenamaan lain berjalan kaki hampir satu kilometer dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke Dataran Putrajaya yang menjadi fokus sambutan.
Sejurus mereka tiba di kawasan pentas utama yang dipenuhi peserta acara berbaju ungu, lagu kebangsaan “Negaraku” dinyanyikan disusuli bacaan doa dan bertafakur untuk wira-wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
Program bersejarah ini turut dihadiri wakil-wakil kedutaan asing, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan beruniform dan pelajar insitusi pengajian tinggi.
Para peserta turut dihiburkan dengan persembahan artis, pancaragam dan pasukan sorak.
Sempena program itu, Perdana Menteri turut melancarkan trak kafe bergerak Purplelicious selain mencuba hidangan kafe tersebut yang dikendalikan golongan ibu tunggal.
Najib dan Muhyiddin kemudiannya menghadiri program santai sarapan dengan orang ramai termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di tempat meletak kenderaan di Istana Kehakiman.
Kedua-dua pemimpin berkenaan meninggalkan majlis selepas melawat gerai-gerai dan ruang pameran yang dibuka sempena program tersebut.