Zambry akui Sultan Nazrin murka

02 April 2015 2:16 AM
IPOH 1 April – Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengakui Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah murka terhadap sikap wakil rakyat pembangkang yang berpakaian serba hitam sewaktu Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Zambry
Menurut beliau, kemurkaan itu dizahirkan kepada beliau sendiri sehingga baginda berangkat meninggalkan dewan persidangan undangan negeri sebaik sahaja mengakhiri titah perasmian.
Beliau berkata, berdasarkan jadual asal, Sultan Nazrin akan berangkat ke bilik diraja untuk santapan ringkas selepas perasmian DUN, disusuli sesi bergambar dan bersalaman dengan semua wakil rakyat.
“Memang tuanku murka. Saya faham ayat-ayat yang dizahirkan oleh tuanku, tak perlu saya sebutkan di sini. Sebagai seorang raja, sudah tentu baginda tidak mudah untuk menyebut ‘beta murka’.
“Saya sebagai Menteri Besar mengakui baginda memang murka. Ini sekali gus menjawab dakwaan wakil rakyat pembangkang dalam persidangan dewan hari ini yang mengatakan tuanku tidak murka terhadap tindakan mereka semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Zambry turut menyatakan rasa kesal dengan sikap pembangkang yang bukan sahaja tidak mengakui tindakan mereka semalam adalah salah, tetapi sebaliknya terus mempertahankannya.
Sepatutnya, tegas Zambry. apabila sudah melakukan kesalahan, wakil rakyat pembangkang perlu mengakuinya.
“Saya anggap ini menunjukkan sikap angkuh mereka. Mereka tidak menunjukkan rasa kesal dengan apa yang mereka lakukan. Mereka biadab.
“Alasan mahu menunjukkan tanda solidariti melibatkan empat perkara tidak boleh diterima kerana isu-isu seperti tanda simpati terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan isu negeri ini,” katanya.
Menurut Zambry, perbuatan pembangkang semalam melangkaui sempadan poltik kerana menghormati sultan adalah soal prinsip yang sewajarnya dipegang oleh semua ahli dewan.
Beliau berkata, alasan pembangkang bahawa perbuatan mereka semalam tidak menyalahi kod etika berpakaian adalah alasan cetek.
“Saya ingin bertanya kalau mereka benar-benar ikhas dan mahu menunjukkan tanda bantahan, mengapa tidak berpakaian hitam hari ini? Mengapa hanya semalam sedangkan persidangan ada empat hari lagi.
“Saya yakin mereka telah berbincang panjang lebar perkara ini. Bermakna mereka tidak menghormati sultan,” katanya.

POLITIK : Ustaz Mat Razi calon BN PRK Pengkalan Kubor

Muhyiddin Yassin bersama Mustapa Mohamed (dua dari kanan), Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) dan Rosdi Abdul Aziz (kiri) menjulang tangan Mat Razi Mat Ail (tengah) selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan, semalam. – UTUSAN/Rosni Masri
TUMPAT 10 Sept. – Penolong Pegawai Pendidikan Tumpat yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian, Mat Razi Mat Ail diumumkan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN bagi PRK Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, Mat Razi menepati kriteria calon ditetapkan kerana selain mempunyai latar belakang pendidikan dan profesionalisme yang hebat, beliau juga seorang tokoh agama yang dihormati termasuk menjadi pengasas kepada sebuah sekolah pondok.
”Beliau ada kelulusan akademik, pengalaman bekerja, aktif memberi khidmat bakti kepada masyarakat, menjadi ustaz, imam dan mengasaskan sekolah pondok, jadi boleh dikatakan lengkap semuanya.
”Untuk Pengkalan Kubor ini, beliau calon yang paling sesuai dan saya minta pengundi di kawasan ini memberi sokongan kepada beliau sebagaimana sokongan kepada Allahyarham Datuk Noor Zahidi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut.
Yang turut hadir isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman; Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Abdul Aziz.
Dalam pada itu, beliau menggesa jentera BN bekerja keras dan tidak mengambil ringan PRK tersebut pada 25 September ini walaupun mempunyai kelebihan berikutan pelbagai isu yang melanda pakatan pembangkang ketika ini.
Tegasnya, BN turun sebagai ‘underdog’ kerana berhadapan dengan cabaran yang lebih besar kerana negeri ini dipimpin oleh Pas.
“Sebagaimana saya ingatkan kepada jentera, baik pilihan raya umum atau kecil, tiada yang mudah, kita akan berhadapan dengan cabaran yang hebat tidak kira siapa lawan yang akan bertanding. Jangan anggap mudah.
“Kita kena turun seberapa banyak mungkin ke akar umbi. Saya difahamkan ada lebih 7,000 buah rumah, kalau jentera kita dapat bertemu dengan setiap pengundi adalah lebih baik,” katanya.
PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Noor Zahidi Omar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akibat kanser pada 20 Ogos lalu.
Muhyiddin kemudiannya mengumumkan Mustapa sebagai Pengarah Jentera PRK DUN Pengkalan Kubor.
“Datuk Pa (Mustapa) Pengarah PRK DUN Pengkalan Kubor. Semua askar harus taat dan setia kepada Jeneral Datuk Pa, tidak boleh ingkar, kita harus mengatur gerak kerja secara teratur dan terancang,” katanya.
Sementara itu, Mat Razi berkata, beliau terkejut kerana dimaklumkan mengenai perkara itu di saat-saat akhir namun berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana menaruh kepercayaan dan memilihnya.
Katanya, untuk memastikan legasi kecemerlangan BN yang ditinggalkan penyandang bagi kerusi itu, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar dapat dipertahankan, beliau amat memerlukan sokongan semua pihak.
”Siapalah saya kalau tidak tuan-tuan, tuan-tuan adalah saya dan saya adalah tuan-tuan, bantulah saya dan berilah kerjasama bagi memastikan kemenangan BN,” katanya.
Mat Razi, 49, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Razi dilahirkan di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor pada 19 November 1965.
Bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Khairos Husin itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sejarah dan Persuratan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Mat Razi mula bergiat dalam politik sejak 1990 dan sepanjang tempoh itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO cawangan Simpangan, AJK Pemuda UMNO Bahagian serta AJK UMNO Bahagian.
Selain terlibat dalam dunia politik, Mat Razi yang pernah menimba ilmu di sekolah pondok juga merupakan bekas guru al-Quran, qari, AJK dan imam sambilan di Masjid Simpangan sejak 2003 dan aktif menguruskan jemaah yang ingin mengerjakan umrah sejak dua tahun lalu.
Beliau juga adalah pengasas kepada Pondok Simpangan, Tumpat di atas tanah wakafnya sendiri di Kampung Simpangan yang memberi pendidikan agama percuma kepada para pelajar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140911/po_02/Ustaz-Mat-Razi-calon-BN-PRK-Pengkalan-Kubor#ixzz3CyCLx5rc  © Utusan Melayu (M) Bhd 



AL- FATIHAH : Allahyarham Noor Zahidi komited, tegas – Mustapa

MUSTAPHA Mohamed (tengah) beramah mesra dengan pakar-pakar perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ROSNI MASRI
KOTA BHARU 21 Ogos – UMNO negeri hanya akan membincangkan soal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor selepas selesai pengurusan jenazah penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar yang kini masih berada di Guangzhou, China.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini tumpuan akan diberikan kepada proses membawa pulang jenazah dari China ke tanah air.
“Pada masa sekarang tidak berbangkit lagi soal ini (pilihan raya). Selesaikan dulu urusan jenazah baru fikir mengenai hal tersebut.
“Sekarang kita sedang berusaha membawa jenazah pulang dari China ke tanah air secepat mungkin. Dijangkakan jenazah akan tiba esok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pakar-pakar perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Noor Zahidi menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Guangzhou, China semalam.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 5.45 pagi waktu Malaysia ketika sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Sementara itu, Mustapa yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Noor Zahidi.
Katanya, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang cukup komited, tegas serta tokoh yang banyak berjasa kepada UMNO dan rakyat negeri ini.
“Beliau (Noor Zahidi) merupakan timbalan saya yang cukup komited menjalankan tugas. Apabila saya di Kuala Lumpur, beliau banyak menjaga urusan UMNO Kelantan.
“Saya banyak bergantung kepada beliau dalam menguruskan soal harian UMNO di Kelantan. Sekarang saya rasa ‘patah kaki’ kerana beliau banyak membantu,” katanya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham dijangka tiba di tanah air dari Guangzhou, China malam esok.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Aziz memberitahu, mengikut persiapan yang diatur, jenazah akan diterbangkan dari Guangzhou dengan pesawat Malaysia Airlines pada pukul 2 petang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, dari KLIA, jenazah kemudiannya akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini.
“Jenazah dijangka tiba di Pengkalan Chepa pada pukul 9 malam esok dan dibawa ke kediamannya di Kampung Surau Pasir Pekan, Tumpat pada pukul 9.30 malam.
“Insya-Allah pengebumian Allahyarham akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan paling lewat pukul 10.30 malam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, beliau juga tidak menolak kemungkinan jenazah Noor Zahidi tiba lebih awal apabila terdapat perancangan kedua iaitu menerbangkan jenazah terus dari Guangzhou ke Pengkalan Chepa menerusi penerbangan AirAsia.
“Jika perancangan itu dapat dilaksana, jenazah dijangka tiba pada pukul 4 petang.
“Kita ada dua perancangan, sekiranya perancangan kedua itu tidak dapat dilaksanakan, kita ikut perancangan pertama iaitu tiba pada pukul 9 malam,” katanya.
Katanya lagi, jenazah Noor Zahidi sudah sempurna dimandi serta dikafankan di China dan hanya menunggu masa untuk diterbangkan ke negara ini bagi proses pengebumian.
“Pengebumian akan dibuat sebagai acara rasmi negara yang mana akan diuruskan pihak tentera,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140822/po_06/Allahyarham-Noor-Zahidi-komited-tegas—Mustapa#ixzz3B5GSkSS4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



POLITIK : ‘Anwar tidak kenal erti persahabatan’

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Pemecatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa menonjolkan lagi sikap ‘kawan makan kawan’ dalam diri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi mencapai kepuasan politik beliau.
Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan mendakwa, Anwar adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang sanggup memusnahkan karier sahabat sendiri secara terang-terangan meskipun individu itu pernah berjuang bersamanya.
Beliau yang merupakan kawan rapat Anwar selama lebih 30 tahun mendakwa, Anwar tidak pernah setia kepada persahabatan kerana baginya, kuasa adalah segalanya tidak kira jika orang lain perlu dikorbankan.
“Di antara rakan-rakannya, Anwar adalah seorang yang tidak setia. Dalam mencapai cita-cita politik dia tidak mengenali siapa kawan malah erti persahabatan juga sebenarnya tidak diketahuinya.
“Dia meletakkan dirinya sebagai pengarah sebuah filem dan memberi arahan dengan cemerlang namun sebenarnya dialah pelakon utama filem itu kerana kesudahannya adalah untuk memastikan cita-citanya tercapai,” dakwanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Pemecatan Abdul Khalid daripada PKR kelmarin merupakan kemuncak kepada krisis politik yang melanda parti itu namun ramai pihak masih tertanya-tanya apakah kesalahan dilakukannya kerana sejak menjadi Menteri Besar Selangor, pakatan pembangkang termasuk Anwar sendiri melabelkan beliau sebagai pemimpin yang terbaik serta amanah dalam mentadbir negeri.
Tanggapan itu bagaimanapun berubah apabila PKR mengumumkan Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu sedangkan selama ini kedua-dua pemimpin itu dilihat rapat dan mempunyai hubungan baik.
Ketika memecat Abdul Khalid, PKR turut menyenaraikan beberapa alasan termasuklah kononnya beliau tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan gagal mentadbir Selangor dengan baik.
Nallakarupan seterusnya mendakwa, Wan Azizah memang bersahabat baik dengan Abdul Khalid namun hubungan tersebut telah disabotaj oleh Anwar justeru beliau tiada pilihan kecuali menyokong apa sahaja perancangan yang dibuat suaminya.
“Anwar sanggup lakukan apa sahaja sebab itulah tiba-tiba dia melantik isterinya sebagai calon menteri besar walaupun tidak berpengalaman kerana yang penting adalah dia yang akan memberikan arahan.
“Ini maksudnya bukan sahaja dia mahu menjadikan PKR sebagai parti anak-beranak tetapi sebenarnya negeri Selangor pun cuba dijadikan miliknya walaupun jelas rakyat menolak malah sultan juga tidak bersetuju,” dakwanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140812/po_09/Anwar-tidak-kenal-erti-persahabatan#ixzz3A8dlwk00  © Utusan Melayu (M) Bhd 


3 Exco PKR berada dalam dilema isu Khalid
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini dikatakan berada dalam dilema untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir negeri itu.
Ketiga-tiga mereka kini berada dalam kedudukan ‘atas pagar’ setelah didesak oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong Abdul Khalid atau memilih menteri besar yang baharu.
Tiga ADUN PKR yang merupakan Exco kerajaan negeri itu ialah ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail (Pengerusi Kebajikan, Hal Ehwal Wanita); ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong (Pengerusi Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar) dan ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi (Pengerusi Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi).
Dipercayai ketiga-tiga mereka didesak menandatangani surat sumpah bagi menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Desakan itu menyebabkan ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan berbelah-bahagi sama ada mahu menyokong Abdul Khalid atau Wan Azizah.
Tekanan yang dibuat PKR terhadap ketiga-tiga Exco itu juga dilihat sebagai langkah untuk mengasingkan Abdul Khalid yang enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.
Difahamkan arahan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Abdul Khalid dipanggil kelmarin bagi menghadiri perbicaraan Lembaga Disiplin untuk menjelaskan keengganan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun sehingga kini difahamkan ketiga-tiga Exco terbabit belum membuat keputusan untuk menandatangani surat akuan bersumpah berkenaan kerana dipercayai tiada jaminan yang kukuh diberikan oleh parti kepada mereka.
Ketiga-tiga Exco PKR tersebut juga sedang menghitung hari sama ada mereka juga akan senasib dengan Abdul Khalid jika tidak menyatakan sokongan kepada Wan Azizah.
Ini berikutan difahamkan ketiga-tiga Exco tersebut belum tentu akan dipilih semula sebagai Exco kerajaan negeri sekiranya Wan Azizah berjaya mentadbir negeri Selangor.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140812/po_10/3-Exco-PKR-berada-dalam-dilema-isu-Khalid#ixzz3A8erzyL7  © Utusan Melayu (M) Bhd 





Kebiadaban tidak mampu disekat lagi

Oleh Hassan Mohd. Noor

HEBOH satu Malaysia mengenai perkataan celaka yang dituturkan oleh wakil rakyat DAP di Pulau Pinang, RSN Rayer. Ramai yang marah dengan kata-kata celupar itu dan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima itu menarik balik perkataan itu. Apa yang hendak ditarik balik? Kata sudah diucap. Ini bukan soal terlajak perahu. Kata-kata yang menghiris perasaan sudah diucap. Satu dunia tahu mengenainya. Apa lagi yang mahu diperbaiki? Dunia ‘tanpa sempadan’ mengajar kita untuk bercakap apa sahaja tanpa mengira sensitiviti orang lain. Lebih-lebih lagi yang turut bercakap tanpa mengira perasaan orang lain datang daripada kaum yang sama. Mereka tidak peduli dengan maki hamun yang dilontarkan di pentas politik sama ada melalui ceramah, media sosial seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan pelbagai lagi.
Contohnya jika orang Melayu beragama Islam yang dididik dengan pelbagai peraturan kehidupan yang baik sama ada melalui agama atau budaya sudah bersedia untuk memaki hamun sesama bangsa sendiri, apa hendak dihairankan dengan orang lain? Memang benar jika Rayer dipetik sebagai berkata, beliau dimaklumkan bahawa perkara tersebut menjadi isu disebabkan DAP yang memaki UMNO, bukannya pihak lain. Lebih menarik, Rayer didakwa berkata, perkataan (celaka) itu ‘biasa’ bagi orang Pulau Pinang. Mungkin kenyataan itu ada kebenarannya tetapi ia harus merujuk dalam ‘konteks’ apa perkataan itu diucapkan. Kadang-kadang dalam nada gurau sesama rakan, perkataan itu jadi lumrah.
Bagaimanapun perkataan itu menjadi ‘luar biasa’ apabila dituturkan dalam nada yang serius, marah, tanda menunjukkan kebencian serta bergantung kepada ‘niat’ seseorang. Celaka bukanlah sesuatu yang bermaksud baik. Apa maksud celaka? Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), celaka membawa maksud tidak baik (tentang nasib); tidak bahagia; malang dan sial. Perkataan itu juga membawa erti kata makian yang bermaksud bedebah atau jahanam. Jika dilihat maksudnya tentulah sesiapa juga akan marah.
Persoalannya adakah ‘celaka’ itu sebagai sesuatu yang biasa di Pulau Pinang? Apa komen anak-anak Pulau Pinang terutama orang Melayu dan Islam? Mungkin akan ada perbezaan pendapat. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman mempunyai pandangannya berhubung kata-kata itu. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, orang Pulau Pinang yang berasal dari kampung Guar Petai, Seberang Perai juga mempunyai pandangan tersendiri lebih-lebih lagi yang menuturkannya adalah rakan sekutunya, DAP. Kadang-kadang dalam politik, sesuatu yang dilarang akan bertukar menjadi perkara yang harus kononnya atas muslihat tertentu. Begitulah realiti yang ada hari ini. Maki hamun, kata-kata kesat serta sikap tidak beradab atau tidak berakhlak sudah menjadi produk biasa dalama politik termasuklah yang melibatkan orang Melayu dan Islam. Bagi sesetengah orang, mereka tidak peduli lagi akhlak dan etika. Maki hamun jadi `makanan’. Maknanya ia bukan sesuatu yang memeranjatkan dan menghairankan apabila orang bukan Melayu/bukan Islam berani ‘meminjam’ perkataan-perkataan yang menyakitkan telinga.
Jika celaka menjadi satu kebiasaan, bagaimana pula (jika ada) perkataan, ungkapan atau perbuatan lain yang dikatakan boleh menyinggung orang bukan Melayu? Tidak perlulah disebut perkataan atau ungkapan berkenaan. Cuma apakah dalam berpolitik, sudah hilang rasa hormat terhadap orang lain? Bagaimana agaknya apabila perkataan celaka itu boleh digunakan sesuka hati di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang? Kita tidak tahu perkataan itu akan ditujukan kepada siapa. Mungkin perkataan yang ‘setaraf’ dengannya akan turut diungkapkan. Apa akan jadi jika DUN Pulau Pinang menjadi gelanggang untuk menghamburkan kata-kata yang menyakitkan dan menimbulkan kebencian?
Selak tidak mahu menyebut kata-kata itu kerana bimbang ia boleh dianggap sebagai bermain api. Bimbang dituduh rasis. Memang benar ingatan Zainal Abidin supaya lebih hati-hati apabila bercakap ‘kerana mulut badan binasa’. Kata Zainal: “Kita kecewa, duka seperti dihiris apabila dia menggelar UMNO celaka. UMNO tidak kisah jika nak mengkritik parti tetapi kritikan itu biarlah beretika dan bukan dengan perkataan yang boleh menyakiti orang Melayu,”. Dalam politik sudah tidak ada etika. Demi meraih sokongan politik, pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian rakyat. Lihatlah apa yang berlaku terhadap pemimpin negara yang disindir melalui pelbagai cara. Apa sahaja tindakan dan keputusan kerajaan walaupun untuk kebaikan atau faedah bersama dipandang sinis.
Begitu kreatif rakyat Malaysia termasuk yang bergelar Melayu Islam mencipta sindiran. Walaupun tindakan itu melampaui batasan tatasusila agama dan budaya, tetapi ada sesetengah pihak tidak peduli itu semua. Bagi yang beragama Islam, soal dosa, pahala seolah-olah ditolak ke tepi. Sama ada sedar atau tidak, mereka menjadi penyumbang kepada tindak tanduk yang boleh dianggap menghina, mencerca dan mengaibkan seseorang dengan niat untuk memalu atau memperlekeh individu berkenaan. Hari ini ramai yang tidak dapat mengawal keceluparan dengan membangkitkan pelbagai isu atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Bercakap ikut sedap mulut dan kenyataan mereka tersiar di media cetak dan media sosial. Bagi mereka, mengeluarkan kenyataan menandakan matlamat sudah tercapai. Apakah dengan meminta maaf semuanya akan selesai? Sebelum ini banyak kata atau tindakan biadab berlalu begitu sahaja. Apa yang berlaku hari ini adalah kesinambungan cerita-cerita tidak beretika dan biadab yang sebelum ini sudah dihidangkan. Isu seperti ini tidak ada kesudahannya. Mulut celupar tidak mampu disekat. Mereka bercakap ikut ‘sedap mulut’ . Puas dan lega apabila apa yang terbuku dan ingin diucapkan sudah dilontar . Biarlah seribu kecaman, kutukan atau ribuan laporan polis dibuat, tetapi yang penting, ‘batu sudah dilontar, tumbukan atau tikaman sudah dilepaskan’.
Sama ada mengenai sasaran atau tidak, itu perkara kedua. Mereka puas dan gembira kerana melepaskan segala-galanya sama ada berbentuk kritikan, fitnah, tohmahan, maki hamun atau penghinaan. Cakap sejengkal dibawa sehasta. Selak balik pelbagai isu – agama, bahasa, budaya, kaum yang dilontarkan sebelum ini yang mengundang pelbagai kenyataan balas yang kadangkala mencemaskan. Bak kata orang luka di tangan dapat diubat, luka di hati siapa tahu. Luka di tangan kerana pisau, luka di hati kerana kata. Memang mudah menarik balik kenyataan dan memohon maaf tetapi luka sudah hilang, parutnya tinggal juga.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140526/re_05/Kebiadaban-tidak-mampu-disekat-lagi#ixzz32yMWELXC © Utusan Melayu (M) Bhd 


UMNO – Kemelut selesai – Razif

PUTRAJAYA 14 Mei – Selepas dua hari kemelut politik melanda Te­rengganu ekoran pertukaran pucuk pimpinan negeri, akhirnya konflik tersebut selesai apabila isu keluar UMNO oleh bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said berjaya diatasi.
Perkembangan tersebut adalah hasil daripada perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahmad yang mengesahkan bekas menteri besar itu kesal dengan apa yang berlaku dan menarik balik segala kenyataannya sebelum ini.
Menteri Besar Terengganu yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, beliau cukup yakin dan percaya bahawa Ahmad akan terus bersama-sama menyokong kepemimpinan negeri.
“Ini yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri. Berlaku komunikasi antara beliau dan Ahmad dan jawapannya positif. Kita tunggulah. Insya-Allah dalam sedikit masa lagi kita akan mendapat menerima maklum balas seperti mana yang dihasratkan oleh kita semua.
“Saya juga pernah bekerja dengan Datuk Seri selama enam tahun dan saya penuh yakin dan percaya bahawa beliau akan bersama dengan kita semua,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd.Zubir Embong telah mengadakan pertemuan bagi bertukar-tukar pandangan dengan Perdana Menteri selama satu jam.
13 ADUN tersebut ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Datuk Mohd. Jidin Shafee (Permaisuri), Rozi Mamat (Telemong), Rosli Othman (Kemasik), A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan) dan Roslee Daud (Bukit Besi).
Turut sama, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih), Muhammad Pehimi Yusof (Jertih), Datuk Sabri Mohd. Noor (Langkap), Mohd. Mahdi Musa (Kota Putera), Bazlan Abd. Rahman (Batu Rakit), Mohd Iskandar Jaafar (Jabi) dan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (Besut).
Bagaimanapun, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad tidak hadir dalam pertemuan itu kerana beliau dikatakan tidak sihat namun Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri itu menyatakan sokongan terhadap Ahmad Razif.
Pertemuan 13 ADUN bersama Perdana Menteri itu dikatakan adalah kali kedua selepas mereka mengadakan perbincangan di kediaman peribadi Najib di Jalan Duta, malam tadi.
Krisis politik Terengganu bermula selepas pelantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar yang baharu dan menyebabkan Ahmad serta ADUN Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Selain itu, Ahmad Razif berkata, rakyat turut menerima baik peralihan teraju kepemimpinan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berikrar untuk meneruskan agenda merakyatkan pembangunan dengan memberi tumpuan kepada bidang pendidikan selain memastikan kekuatan ekonomi rakyat negeri Terengganu terus dipacu.
“Kita mahu nasib rakyat Terengganu terus terbela dan kita juga mahu negeri Terengganu akan menjadi sebuah negeri yang maju. Penting juga kita menyediakan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
“Terengganu akan kita jadikan sebagai ‘simpanan tetap’ kepada Barisan Nasional (BN) seperti mana yang saya telah janjikan kepada Perdana Menteri sebentar tadi. Saya dan semua ADUN BN akan bekerja dalam satu pasukan,” ujarnya.
Beliau turut mengakui kemelut yang berlaku sejak dua hari itu mempunyai hikmah antaranya merupakan peluang terbaik untuk memantapkan lagi kekuatan BN di Terengganu.
“Walau apa pun saya melahirkan rasa syukur bahawa kemelut yang berlaku di Terengganu ini tidak seperti mana digembar-gemburkan dan kita sudah sedia maklum bahawa dengan apa yang berlaku ini banyak pihak yang mengambil peluang dan kesempatan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140515/po_01/Kemelut-selesai—Razif#ixzz31kyPhGP2  © Utusan Melayu (M) Bhd 



UMNO – Ahmad Razif kekal MB yang sah


Mohd. Hafarizam

KUALA LUMPUR 13 Mei – Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang baharu mengangkat sumpah pelantikan malam tadi kekal sebagai Menteri Besar Terengganu yang sah meskipun tiga wakil rakyat daripada UMNO mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas.
Pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun ketika ditemubual menerusi siaran langsung Buletin 12 Awani di saluran Astro Awani 502 hari ini berkata, kedudukan itu berdasarkan beberapa faktor iaitu:
* Selagi kedudukan Ahmad Razif tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diambil undi tidak percaya, maka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu adalah Menteri Besar Terengganu yang sah.
* Selagi tiada permin­taan untuk membubarkan DUN oleh Ahmad Razif selaku Menteri Besar, maka DUN sedia ada masih lagi berterusan dan beliau masih lagi memegang jawatan Menteri Besar.
* Selagi tiada pelantikan Menteri Besar ba­haru oleh Sultan Terengganu atas sebab baginda telah mendapati Ahmad Razif telah hilang kepercayaan ADUN-ADUN, beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.
Mohd. Hafarizam berkata, situasi yang berlaku di Perak pada 2009 apabila tiga ADUN pakatan pembangkang mengumumkan keluar parti adalah berbeza dengan keadaan di Te­rengganu.
Beliau yang juga Pe­nasihat Undang-Undang UMNO berkata, ini kerana tiga ADUN berkenaan bukan sahaja keluar daripada parti masing-masing menjadi ADUN Bebas tetapi turut menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
“Disebabkan itu, Sultan Perak selepas menemuduga 31 ADUN termasuk tiga ADUN Bebas yang memberi sokongan kepada BN telah berkenan melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjadi Menteri Besar baharu,” ujarnya.
Tambah beliau, situasi antara kedua-dua buah negeri itu juga berbeza kerana apa yang berlaku adalah pengumuman secara lisan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud bahawa mereka telah keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas.
Berikutan itu, katanya, beberapa persoalan timbul iaitu apakah surat mengenai keputusan itu diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung UMNO secara rasmi dan apakah dimaklumkan kepada Speaker DUN Terengganu.
“Jika diambil kira pengumuman secara lisan oleh ketiga-tiga ADUN ini, mereka hanya menyatakan keluar daripada UMNO tetapi mereka tidak menyatakan menyokong Pas. Ini berbeza dengan situasi di Perak kerana sokongan tiga ADUN Bebas telah diberikan kepada BN,” katanya.
Mohd. Hafarizam berkata, rakyat Terengganu tidak perlu gusar bahawa kerajaan BN Terengganu telah tumbang kerana Ahmad Razif masih Menteri Besar.
Katanya, kerajaan yang memerintah Terengganu pada masa ini adalah kerajaan BN yang diterajui UMNO.
“Tidak timbul Pas mengambil alih tampuk pentadbiran kerana apakah 15 ADUN mereka telah menghadap Sultan Terengganu.
“Apakah Sultan Terengganu berpuas hati bahawa kerajaan BN telah hilang majoriti dan paling penting apakah baginda berkenan melantik Menteri Besar baharu daripada Pas,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140514/po_07/Ahmad-Razif-kekal-MB-yang-sah#ixzz31ezYtTmE  © Utusan Melayu (M) Bhd